Selasa, 17 Mac 2015

Bacaan Sujud Sahwi

0 ulasan
Bismillahirrohmaanirrohiim
Assalamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokaatuh

Saya nak bertanya bagi mendapatkan dalil yang pasti berkenaan bacaan dalam sujud sahwi. Setakat yang saya tahu, yang dipelajari dan diajar sejak dulu-dulu, bacaan dalam sujud sahwi dengan lafadz : Subhaanal-ladzii laa yanaamu walaa yashuu atau Subhaanal-ladzii la yashuu walaa yanaamu.

Jadi, di buku hadits manakah saya boleh dapatkan hadits menceritakan lafadz sujud sahwi seperti ini, supaya dapat saya membuat semakan. Atau boleh saja ditulis disini supaya dapat dikongsikan dengan ramai rakan lain.

Saya sangat berharap dapat mengenali dalil-dalilnya supaya kepercayaan dan peri amalan saya menjadi kukuh dan benar, insya’Allah

Diharapkan Pak Lang dapat memberikan bantuan dan panduan.

Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji hanya bagi Allah, kami memuji-Nya, memohon pertolongan dan ampunan kepada-Nya, kami berlindung kepada Allah dari kejahatan diri-diri kami dan kejelekan amal perbuatan kami. Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya, dan barangsiapa yang Allah sesatkan, maka tidak ada yang dapat memberinya petunjuk.

Aku bersaksi bahawasanya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

“Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Rabb-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan dari keduanya Allah memperkembang-biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Bertaqwalah kepada Allah yang dengan Nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”
Surah An-Nisaa' (4) : ayat 1

Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah Kitabullah (Al Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad Saw. (As-Sunnah). Seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diada-adakan (dalam agama), setiap yang diada-adakan (dalam agama) adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di Neraka. Amma ba’du.

Saya mendoakan agar Tuan sentiasa dalam rahmat Allah Ta’ala. Amat matang dan mulia hasrat memastikan segala kepercayaan dan peri amalan berdasarkan dalil/nas yang sohih, soreh dan qot’ie. Sepatutnya inilah sikap yang mesti ada pada semua ummat Muslimin. Lantaran Islam adalah syari’at Allah dan rasul-Nya, yang lengkap sempurna, tidak perlu didasari oleh aqal-aqalan, rekaciptaan dan tambah-tambahan dalam segala segi.

Dari satu sisi lain, berhati-hatilah dengan ibadah solat lantaran ia amat mulia dan menjadi tiang syari’at Islam. Nabi Saw. telah memberikan contoh tauladan kaifiyat ibadah solat ini dengan cukup lengkap sempurna, sehingga tidak memerlukan sebarang kurangan atau tambahan walau sedikit pun.

Sujud sahwi adalah sujud dua kali yang dilakukan kerana lupa melakukan rukun sehingga meninggalkannya di dalam solat. Ia dikerjakan sebelum atau sesudah salam. Sepanjang pengetahuan dan sumber serba dhoif yang saya miliki, tidak ada satu pun riwayat khusus yang menjelaskan tentang bacaan sujud sahwi, malah tiada juga riwayat dengan lafadz seperti ditanyakan.

Bacaan sujud sahwi sebagaimana yang ditanyakan oleh Tuan sememangnya diajar secara meluas, tetapi tidak didasari dalil/nas sohihah ya’ni bukan berasal dari Rasulullah Saw. ia adalah pendapat atau pandangan semata-mata dan hendaklah ditinggalkan. Baik sekali orang-orang yang mengajarkannya sendiri memberikan butiran dalil/nas terhadap apa yang mereka bawakan kepada khalayak kerana semestinya mereka lebih tahu dasar apa yang mereka perkatakan. Sekiranya tidak boleh, dituntut berhentilah dari menyebarkan khabar tidak berdasar ini seraya memesongkan ummat Muslimin dari jalan kebenaran.

Lantaran, sujud sahwi ini merujuk kepada solat ya’ni sujud merupakan salah satu rukun solat, maka paling jauh pun ia tetap seumpama sujud yang telah disyari’atkan juga. Merujuk kepada soalan Tuan, yang dapat saya simpulkan, apakah yang boleh dibuat semasa sujud sahwi itu adalah :

  1. Hanya seqadar melakukan sujud itu tanpa bacaan apa-apa lantaran tiada suatu pun dalil/nas khusus yang sohih, soreh dan qot’ie memperihalkan bacaannya
  2. Lantaran, sujud sahwi ini merujuk kepada solat ya’ni sujud merupakan salah satu rukun solat, maka paling jauh pun ia tetap seumpama sujud yang telah disyari’atkan juga. Oleh kerana itu, banyak ulama muktabar yang menyatakan bahawa bacaan sujud sahwi sama sahaja dengan bacaan sujud dalam solat.


Imam Ibnu Qudamah Rhm. berkata : Dan hendaklah dia membaca di dalam sujud (sahwi)-nya apa yang dibaca di dalam sujud dalam solat, kerana sujud sahwi tersebut merupakan sujud yang disyari’atkan serupa dengan sujud di dalam solat”
Kitab Al-Mughni, jilid 2 halaman 432-433, Penerbit Hajar, Cetakan. 2, Tahun 1412 H/1992 M

Imam Abu Muhammad bin Hazm (Ibnu Hazm) Rhm. berkata : Orang yang bersujud sahwi harus membaca di dalam kedua sujudnya : Subhaana rabbiyal-A’laa [
سُبْحَانَ رَبِّيَ اْلأَعْلَى]; berdasarkan sabda Rasulullah Saw. (yang artinya) : Jadikanlah ia (bacaan itu) di dalam sujudmu”
Kitab Al-Muhalla, jilid 4 halaman 170, tahqiq oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Syakir Rhm.

Senada dengan pernyataan tersebut adalah fatwa para ulama dari Al-Lajnah Ad-Daaimah lil-Buhuts wal-Ifta’ (Komisi Tetap untuk Riset dan Fatwa) Saudi Arabia, 7/149 nombor fatwa 5519

Ada pun jawaban paling hampir khusus terhadap pertanyaan Tuan, maka mari kita rujuki kepada ahlinya, yaitu ulama besar hadits sepanjang zaman : Imam Al Hafidz Ibnu Hajar Al ‘Asqolani Asy-Syafi’I Rhm. (pensyarah kitab Sohih Al-Bukhari – Fathul-Bari), di mana beliau berkata : Aku telah mendengar sebahagian para imam (ulama’) menghikayatkan bahawa seseorang disukai membaca di dalamnya (sujud sahwi) : [
سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُوْ] Subhaana man-laa yanaamu walaa yashuu (“Maha Suci Allah yang Tidak Tidur dan Tidak Lupa)”. Kemudian beliau melanjutkan : “Aku tidak menemukan asalnya”. Kitab At-Talkhiishul-Habiir

Dan benarlah apa yang dikatakan oleh imam yang mulia Al-Hafidh Ibnu Hajar bahawa bacaan tersebut tidak bersumber pada kitab-kitab induk hadits. Atau dengan kata lain : Itu merupakan pendapat semata.

Sebagai seorang Muslimin : saya sendiri, Tuan dan ummat Muslimin seluruhnya telah mafhum apa yang sepatutnya dijadikan sebagai panutan seluruh amal kita, yang selaras dengan 2 kalimah syahadah.

Semoga solawat dan salaam senantiasa dilimpah-kan kepada Rasulullah Saw., keluarga dan para Sahabat Baginda, para Salafus Solih, para syuhada’ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah mereka dengan kebaikan hingga hari qiyamat.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام


0 ulasan: