Isnin, 21 Oktober 2013

Soal Jawab : Persoalan Mengenai Lafaz Niat Solat.

0 ulasan
Assalaam. sheikh.
 
Ada seorang kawan tanya sama ana soalan ni. Dia kata, dia mendengar satu hukum dari kuliah kat surau tempat dia tinggal. Dia mahukan kepastian.
Soalannya : Niat solat (apa-apa solat), semasa sebut “nawaitu ….. sahaja aku solat….” mesti bayangkan perbuatan solat (eg. takbir or rukuk or sujud). Kalau tak bayangkan perbuatan macam tu, solat itu tak sah. Betul ke?
 
Nak pohon apa pandangan tuan sheikh?
Salaam I’edul Adha
 
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
 
Syukron syeh kerana bertanya. Hal ini -berkaitan lafadz niyat dan yang berkaitan dengannya- sudah banyak kali dicakapkan dan dijelaskan, sama ada di dalam kuliyah atau pun secara sembang-sembang. Dan, ini adalah pertama kali saya menulisnya. InsyaAllah, penulisan pandangan ini akan disertakan rujukan dan dalil-dalil berkaitan sebaik mungkin supaya memberi makna, tidak ia jadi sekadar sebarangan atau picisan cuma.
 
Soalan ini mencerminkan perasaan orang awam yang ingin tahu, terutama sekali ke atas hal yang pelik-pelik. Tiada salah langsung hasrat ini, lantaran sebagai orang awam pastilah wajib atasnya mendapatkan penjelasan dan kepastian ke atas hukum amalan, dan pastilah yang ditanya itu kepada orang yang dianggapnya lebih tahu (alim) dan dia bergantung harap ilmu kepadanya. Pasti membingungkan, apabila hal hukum pelik-pelik ini hakikatnya keluar dari mulut golongan yang juga dianggap alim, yang disanjung dan dikelek orang ke hulu ke hilir. Yang begitu ramai orang percaya, bersandar dan bergantung harap ilmu kepandaian kepadanya. Barang tentu hukuman pelik ini memeningkan orang awam yang sememangnya tidak tahu dan serba ingin tahu kebenarannya sesuatu perkara. Lantas! Apa yang tidak kena?
 
Pasti yang tak kena itu adalah para alim-alim itu sendiri, yang berkata-kata dan berhukum-hakam secara kurang teliti dan sebarangan. Memperkatakan sesuatu hukum yang tidak bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie atas segala macam sebab yang direka-reka dihadapan orang awam, yang sekaligus menjadikan mereka itu pening. Ditambah pula dengan sifat khalayak awam yang segan malu nak bertanya. Kepada yang mahu mendapatkan penjelasan lanjut, insyaAllah dia akan mendapat kebenaran. Kepada yang menerima dan percaya bulat-bulat, berterusanlah dia dalam lautan ilmu sangka-sangkaan, yang berasal dari para alim yang disangkakan tahu, rupa-rupanya bersangka-sangkaan jua. Dan ilmu sangka-sangkaan itu jualah yang disampaikan ke sana sini.
 
Justeru itu, bertanya memang kunci kepada ilmu pengetahuan. Malu bertanya sesat jalan. Cuma pastikan prinsip asas dalam berilmu itu benar-benar dipegang ya’ni setiap hukum mestilah bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie, bukannya sangka-sangkaan, pendapat-pendapat atau pun mimpi-mimpi. Dan prinsip ini jugalah yang mesti dipegang oleh orang yang bertanya dan orang yang menjawab sekali pun. Namun apa yang dapat dikata, tetap jua ada orang yang suka berpegang kepada sesuatu yang tidak ada dasar dalam syari'at Islam. Malahan lebih menjengkelkan lagi, disebabkan fahaman pelik itu, mereka mencipta berbagai hukum yang langsung tidak masuk aqal dan memeningkan bersandaran kepadanya.
 
Lantaran yang dipohon adalah pandangan, maka saya nukilkan pandangan saya terhadap soalan ditanyakan, moga-moga ia memberi manfaat dan kebaikan. insyaAllah. Baik sekali dimulai dengan hal asas :
 
Setiap amal wajib disertakan niyat berdasarkan sabda Rasulullah Saw. :

اِنَّمَا اْلاَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَاِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى
“Bahawasanya segala amal itu disertakan dengan niyat dan setiap orang akan mendapat balasan sesuai dengan niyatnya …………………………”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. imam Muslim Rhm. dan lain-lain
 
Dalam menafsirkan hadis ini, Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi Rhm. menyebutkan : Jumhur ulama berkata, Menurut ahli bahasa, ahli ushul dan yang lain lafadz إِنَّمَا digunakan untuk membatasi, yaitu menetapkan sesuatu yang disebutkan dan menafikan selainnya. Jadi, makna niyat di atas adalah bahawa amalan seseorang akan dihisab (diperhitungkan) berdasarkan niyatnya; dan suatu amalan tidak akan dihisab bila tidak disertai niyat.”
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid XIII halaman 47.
 
Niyat menurut pengertian lughah (bahasa) adalah :

(اَلْقَـصْـدُ وَالْعَـزْمُ وَاْلاِرَادَةُ)
Qasad (maqsud), Azam ('azamul qalb/cita-cita) dan Iradah (al-iradatul jazimah, iaitu kehendak/keinginan hati dalam keadaan yang sedar) untuk melakkan sesuatu.

Adapun menurut istilah (syara’), adalah :

اَلْعَزَمُ عَلَى فِعْلِ الْعِبَادَةِ تَقَرُّبًا اِلَى اللهِ تَعَالَى
“Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala”.

Qasad, 'azam dan iradah tempatnya di hati, kerana ia adalah kerja yang luhur dari hati (عَمَلُ الْقَلْب) bukannya kerja lidah (lisan). Oleh itu, niyat tidak perlu dilafadz atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama dan fuqaha. Niyat juga diertikan sebagai : “kehendak, maqsud (tujuan) dan keazaman” bukan paksaan.
Syeikh Al Allamah Muhammad bin Soleh bin Muhammad Al Utsaimin Rhm. الشرح الممتع على زاد المستقنع , halaman 283 jilid 2.
 
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah Al Harrani Ad Dimasyqi Rhm. berkata : “Lafadz النِّيَّةُ dalam bahasa Arab sejenis dengan lafadz القَصْدُ (maqsud), الإِرَادَةُ (keinginan) dan semisalnya.” Niyat dapat mengungkapkan jenis keinginan, dan dapat pula mengungkapkan yang diinginkan itu sendiri.”
Kitab Majmu’ Al-Fatawa, Jilid XVIII halaman 251
 
Imam Ibnu Rajab Al Hanbali Rhm. berkata, “Niyat menurut para ulama mengandung dua maqsud, yaitu :
 
Pertama, sebagai pembeza antara satu ibadah dengan yang lain, seperti membezakan antara Solat Zuhur dengan Solat Asar, puasa Ramadhan dengan puasa lainnya; atau pembeza antara ibadah dengan adat kebiasaan, seperti membezakan antara mandi junub (mandi wajib) dengan mandi untuk sekedar mendinginkan atau membersihkan badan atau yang semisalnya.
 
Kedua, untuk membezakan tujuan dalam beramal, apakah yang dituju adalah Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, atau semata-mata hanya untuk selain-Nya, atau untuk Allah tapi juga untuk selain-Nya. Niat semacam ini dibicarakan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka ketika membicarakan masalah ikhlas dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Para ulama salaf juga banyak membicarakan masalah ini.”
Kitab Jami’ Al ‘Ulum Wa Al Hikam, jilid I halaman 28-29.
 
Syaikhul Islam imam Ibnul Qayyim Al Jauziyyah Ad Dimasyqi Rhm. dalam kitabnya Ighatsatu’l Lahfan, menyatakan : Niyat artinya menyenghaja dan bermaqsud sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut-pautnya sama sekali dengan lisan…
Dinukil daripada Kitab Fiqh Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq Al Misri Rhm. Jilid 1 halaman 286.
 
Dan Imam an-Nawawi Rhm. menjelaskan : “Makna niyat adalah kehendak (hasrat) untuk melakukan sesuatu. Seseorang yang hendak mengerjakan solat perlu menghadirkan niyat di dalam hatinya dan fikirannya berkenaan solat yang hendak dia kerjakan dan tata caranya, seperti niyat solat zuhur, atau solat fardhu dan solat-solat lainnya. Seterusnya ia memulakan ibadah ini (solat) dengan takbiratul ihram. “
Kitab Raudhatuth Tholibin, Jilid 1 halaman 224
 
Dan niyat itu tentu pula mempunyai arah tujuan atau ketentuan maqasidnya. Seseorang akan mendapat balasan sebanding dengan apa yang diniyatkan menurut ikhtiar dan pilihan hatinya sendiri. Amal ibadah dianggap sah dan diterima dan diberikan balasan sekiranya asal diperlakukan dengan penuh keikhlasan (murni) ya’ni melakukan sesuatu amal ibadah (perbuatan) itu hanyalah kepada Allah Swt. semata-mata. Inilah yamg dinamakan ikhlas yang menjadi jiwa sesuatu amal. Demikianlah yang dituntut Allah Azzawajalla :
 
 وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah kepada Allah dengan memurnikan (ikhlas) ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus.”
Surah Al Bayyinah (98) : ayat 5
 
Jelaslah bahawa suatu amal itu dianggap sah atau sempurna kalau diwujudkan dengan niyat atau qasad. Tetapi niyat itu terletak pada tujuan atau haluan. Jika semata-mata diperlakukan kepada Allah Swt. maka itulah ikhlas. Tegasnya, niyat yang terselit dihati ialah punca yang menentukan akibat amal. Malah niyat itu pula ada kalanya dapat merubah sesuatu perkara dan adat, menjadikan dia suatu jenis ketaatan dan jalan ke arah perdampingan kepada Allah Ta’ala.
Matan Arba’in An Nawawi, halaman 58
 
Dari keterangan ternyata di atas, dapatlah dirumuskan dari iltizam saya sendiri bahawa niyat adalah :
maqsud yang terbit dari kehendak, azam, keinginan, cita-cita dan gerak hati yang disedari (senghaja) tanpa dipaksa, untuk melakukan sesuatu amal kepada Allah Swt. semata-mata (ikhlas/murni) dan melakukannya.”

Syarat niyat ialah : “Diketahui atau disedari oleh hati” oleh kerana niyat hanya bertempat di hati bukannya pada lidah. Rasulullah Saw. bersabda :

اَلنِّيَّةُ هَاهُنَا ثُمَّ اَشَارَ اِلَى صَدْرِهِ
“Niat itu tempatnya ialah di sini, kemudian Baginda menunjukkan ke arah dadanya”.

Maka itu, sebelum memulakan apa pun jenis ibadah, tidak perlu menyusun atau mereka-reka ayat (jumlah) niyat untuk dibacakan pada setiap amal, sama ada dengan suara jahrah (kuat) atau perlahan. Penyusunan niyat sehingga menjadi sebuah ayat dan dilafadz-lafadz (disebut secara lisan) tidak pernah berlaku di zaman Rasulullah Saw. atau zaman para Salaf as-Soleh (generasi awal umat Islam). Baginda Saw. dan para sahabatnya tidak pernah mengucapkan niyat dengan lisan.
 
Tempat niyat adalah di dalam hati. Apabila seseorang teringat, terdetik, terlintas sesuatu maqsud di hati misalnya mahu melakukan solat, maka dia menghentikan aktiviti semasanya, bergerak ke musolla, membuka kasut, mengambil wudhu’, masuk ke musolla, berdiri (qiyam) menghala qiblat dan melakukan tatacara solat seterusnya, maka sah solatnya walaupun tidak dia melafadzkan niyat untuk melakukan solat tersebut. Niyat tidak pernah disyari’atkan supaya diucapkan dengan lisan, akan tetapi cukup dalam hati, kerana niyat adalah sebuah keikhlasan (murni) maka tempatnya adalah dalam hati, dan ikhlas itu bukannya perkara yang boleh ditunjuk-tunjuk atau disebut-sebut.
 
Lantaran hal yang ditanyakan itu berkenaan solat, maka baik sekali dijelaskan bagaimana Nabi Saw. melakukan solat dalam hal yang terkait dengan hal-ehwal niyat itu. Begini :
 
أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ:  رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ  فِي الصَّلاَةِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ.
Dari Abdullah ibn Umar Rhu., dia berkata : Aku melihat Rasulullah Saw. membuka (memulakan) solatnya dengan takbir (mengucapkan Allahu Akbar), lalu mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm., no. 738
 
Masih banyak lagi dalil-dalil (tidak saya tuliskan disini) yang membuktikan bahawa Nabi Saw. memulakan solat Baginda dengan lafaz takbir. Hadis-hadis ini kesemuanya menunjukkan Nabi Saw. tidak sama sekali pernah melafadzkan apa-apa perkataan pun sebelum membuat takbir, mahu pun serentak dengan takbir atau menunjukkan sedang membayang-bayangkan sesuatu. Demikian jualah perbuatan solat yang diamalkan oleh semua para sahabatnya.
 
Contoh satu lagi dalam melaksanakan ritual solat, Rasulullah Saw. bersabda kepada seorang lelaki yang rosak solatnya :
 
“Jika kamu bangkit hendak solat, maka baguskanlah wudhukmu, kemudian mengadaplah ke arah kiblat lalu bertakbirlah, selanjutnya bacalah yang termudah bagimu dari Al-Qur’an.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm.
 
Hadis ini sangat jelas menunjukkan bahawa Rasulullah Saw. memerintahkan untuk memulai solat dengan perintah “bertakbirlah”, bukan dengan “melafazkan niyat” terlebih dahulu, dan tidak juga “bertakbirlah dan sertakan niyat dalam takbirmu”. Menyertakan niyat ketika melafadzkan takbir itu sendiri tidak ada, maka hukum membayangkan tatacara solat semasa melafadzkan niyat, sebelum mahu pun serentak dengan takbir itu, memang sangat jauh daripada ada (tak wujud langsung malah tak patut ada pun).
 
Maka kerana itulah kita dapati ada banyak orang yang takbiratul ihram berulang kali atas alasan niyat tidak masuk sewaqtu takbir (yang hakikatnya perasaan was-was begitu menebal dalam dirinya). Malah tidak kurang juga yang melafadzkan dengan kuat berulang kali sehingga mengganggu solat orang lain. Bahkan ada yang sampaikan bacaan imam telah pun ke mana-mana, dia masih belum selesai lagi bertakbiratul ihram, Na’uzubillah, hakikatnya apa yang nak dimasukkan sedangkan hal itu memang tidak ada. Salah fahaman tentang lafadz niyat ini telah mengganggu solat sendiri malah lebih teruk telah mengganggu solat orang lain. Tidak ada suatu dalil pun juga daripada para sahabat yang mengatakan bahawa niyat itu berbentuk dilafadzkan. Ini kerana maksud frasa kalimat “Jika kamu bangkit hendak solat…” sudah jelas menunjukkan suatu maqsud keinginan untuk melakukan solat. Begitulah yang dimaqsudkan dengan niyat.
 
Kalaulah memang niyat adalah rukun sembahyang yang memerlukan lafadz khusus, nescaya Rasulullah Saw. telah pun mencontohkan dan mengajarkannya kepada para sahabat. Mari kita lihat salah satu hadis yang menjelaskan betapa rincinya Nabi Saw. menunjukkan ritual solat kepada ummatnya :
 
Dari Za`idah bin Qudamah dari ‘Ashim bin Kulaib bin Syihab dari ayahnya dari Wa`il bin Hujr. Rhu. bahawasanya dia mengkhabarkan kepadanya, dia berkata :
 
“Aku melihat cara solat Rasulullah Saw. Aku melihat Baginda berdiri untuk solat, kemudian takbir dengan mengangkat kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya. Lantas Baginda meletakkan tangan kanannya di atas telapak kirinya, juga di atas pergelangan tangannya, dan meletakkannya di atas lengannya. Ketika hendak ruku’ Baginda mengangkat kedua tangannya sama seperti tadi (sejajar dengan kedua telinganya).
 
Baginda meletakkan kedua tangannya di kedua lututnya, kemudian mengangkat kepalanya sambil mengangkat kedua tangannya, sejajar dengan kedua telinganya, kemudian sujud dan meletakkan kedua tangannya sejajar dengan kedua telinganya, kemudian duduk di atas kaki kiri. Beliau juga meletakkan telapak tangan kiri diantara paha dan lutut kiri. Lalu Baginda meletakkan hujung lengan kanan di atas paha kanan. Kemudian ia menggenggam dua jarinya serta membentuk lingkaran, lantas mengangkat jarinya. Aku melihat Baginda menggerak-gerakkannya dan berdoa dengannya."
 
Hadits sahih ini diriwayatkan oleh :
Imam Ahmad bin Hanbal Rhm. Kitab Al Musnad jilid 4 no. 318
Imam Ad-Darimy Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 362 dan no.1357
Imam An-Nasaie Rhm. Kitab Sunan jilid 2 halaman 126 no.889 dan jilid 3 halaman 37 no.1268 dan dalam Kitab Al-Kubro jilid 1 halaman 310 no.963 dan halaman 376 no.1191
Imam Ibnul Jarud Rhm. dalam Kitab Al-Muntaqa’ no.208
Imam Ibnu Hibban Rhm. dalam Kitab Al-Ihsan jilid 5 halaman 170 no.1860 dan Kitab Al-Mawarid no. 485,
Imam Ibnu Khuzaimah Rhm. Kitab Sahih jilid 1 halaman 354 no.714
Imam Ath-Thobarany Rhm. Jilid 22 halaman 35 no.82
Imam Al-Baihaqy Rhm. Kitab Sunan jilid 2 no. 131
Imam Khatib Al-Baghdady Rhm. dalam Kitab Al-Fashl Li Washil Mudraj jilid 1 no. 425-427.
Imam Ibnu Majah Rhm. Kitab Sunan jilid 1 no. 354
Imam Ibnu Hibban Rhm. jilid 5 no.170
Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albany di dalam Kitab Irwa al Ghalil, halaman 367
 
Baik sekali dinukilkan disini, munculnya pendapat yang mewajibkan melafadz niyat sebelum memulakan amal ibadah seperti solat dan lain-lainnya, adalah berpunca dari pandangan Abu Abdullah az-Zubairi Rhm. dari kalangan ulama Syafi’eyah. Beliau menyangka Imam Syafi’e Rhm.  mewajibkan untuk melafadzkan niyat di dalam setiap ibadah yang akan dikerjakan termasuk ibadah solat. Beliau terkeliru terhadap qaul Imam asy-Syafie yaitu :

قَالَ الشَّافِعِيُّ : اِذَا نَوَى حَجًّا وَعُمْرَةً اَجْزَاَ وَاِنْ يَتَلَفَّظَ وَلَيْسَ كَالصَّلاَةِ لاَتَصِحُّ اِلاَّ بِالنّطْقِ
“Jika berniat untuk haji dan umrah diharuskan sekalipun dilafadzkan. Dan tidak seperti solat ia tidak sah kecuali dengan dilafadzkan (maqsudnya - lafadz takbir).”

Salah fahaman ini telah diperjelaskan, menurut Imam an-Nawawi Rhm. tentang ibarah (perkataan imam asy-Syafi’e) di atas :

قَالَ اَصْحَابُنَا: غَلَطَ هَذَاالْقَائِلُ وَلَيْسَ مُرَادُ الشَّافِعِيُّ بِالنَّطْقِ فِىالصَّلاَةِ هَذَا بَلْ مُرَادُهُ التَّكْبِيْر
“Berkata para sahabat kami : Telah berlaku kesilapan oleh orang yang mengatakannya (Abu Abdullah az-Zubairi), kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh asy-Syafi’e tentang apa yang diucapkan pada solat, tetapi yang dimaksudkan ialah supaya diucapkan takbir (bukan mengucapkan niyat)”.
Kitab المجموعة. Jilid 2 halaman 234

Dan diperjelaskan lagi pula oleh imam Ibn Abi al-‘Izzi al-Hanafi Rhm. :

لَمْ يَقُلْ اَحَدٌ مِنَ الاَئِمَّةِ الاَرْبَعَةِ ، لاَ الشَّافِعِى وَلاَ غَيْرِهِ بِاِشْرَاطِ التَلَّفُظِّ بَالنِّيَّةِ وَاِنَّمَا النِّيَّةُ مَحَلُّهَا الْقَلْبِ بِاتِّفَاقِهِمْ
“Tidak seorang pun dari para imam yang empat walau pun asy-Syafi’e dan selainnya mengisyaratkan agar melafadzkan niyat. Ada pun niyat itu tempatnya di hati sebagaimana dipersetujui oleh semua ulama.”
Kitab الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع. Halaman 62
 
Maka dengan ini, hukum atau fatwa atau ketetapan bahawa “Niat solat (apa-apa solat), semasa sebut “nawaitu ….. sahaja aku solat….” mesti bayangkan perbuatan solat (eg. takbir or rukuk or sujud). Kalau tak bayangkan perbuatan macam tu, solat itu tak sah” adalah benar-benar pelik dan memang memeningkan. Hukum ini langsung tidak bersandarkan dalil soreh, sahih dan qot’ie malah tidak juga ia disebut dalam mana-mana kitab ulama’ atau pun fuqaha’  muktabar. Justeru itu ia memang terhasil dari hawa nafsu, sangka-sangkaan dan aqal-aqalan semata-mata.
 
Justeru itu, hukum ini tertolak disebabkan :
 
1.    Tidak pernah ada hukum yang niyat itu mesti dilafadz, dan lafadz niyat pula tidak pernah menjadi syarat sah atau batal sesuatu amal ibadah.
2.  Tidak pernah ada hukum kena membayangkan amalan sifat (tatacara) solat semasa berniyat yang ditetapkan menjadi syarat sah atau batal solat.
3.    Niyat bukanlah sesuatu yang dilafadz (sebut), tetapi ia hadir di hati.
4.    Tidak pernah disyari’atkan adanya niyat untuk solat itu dilafadzkan.
5.    Tidak pernah ada dicontohkan pula oleh Nabi Saw. bentuk niyat berlafadz sebegitu atau pun sebegini.
6.    Hukuman tidak sah solat itu amat berat lantaran langsung tidak berlandaskan dalil soreh, sahih dan qot’ie, maka wajib ia ditolak.
7.    Hukuman tidak sah itu tidak boleh pun diterima oleh aqal yang sihat lantaran solat Nabi Saw. dan para sahabatnya pun sudah tak sah kerana tidak mereka beramal sebegitu.
 
Maka itu, niyat secara dilafadzkan itu tak pernah disyari’atkan dan apa-apa jua yang timbul darinya ya’ni membayangkan ritual amalan solat juga tidak pernah ada. Perbicaraan ke atasnya hanyalah membuang masa dan tidak berfaedah. Begitulah yang selalu terjadi apabila perkara yang diada-adakan pula yang dianggap besar dalam syari’at sehingga menenggelamkan tuntutan syari’at yang sebenarnya. Baik sekali masa yang sebegitu banyak itu dimanfaatkan untuk mempelajari dan menyelidiki benar-benar sifat solat (tatacara) yang dicontohkan oleh Nabi Saw. sendiri sepertimana yang diwajibkan ke atas kita menerusi sabdanya :
 
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي   
Dari Malik bin Huwairits Rhu. dia menceritakan bahawasanya : ……………………. Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm., no. 631
 
Imam Abu Daud Rhm. pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal Rhm. : “Adakah orang yang mendirikan solat wajib melafzadkan sesuatu sebelum takbir? Beliau berkata : Tidak.”
(Lihat: مجموعة الفتاوى. (22/28). Lihat:مسائل الامام احمد. Hlm. 31)

Dan Imam asy-Syafi’e Rhm. telah berkata :

اَلْوَسْوَسَةُ فِى النِّيَّةِ الصَّلاَةِ وَالطَّهَارَةِ مَنْ جَهْلِ بِالشَّرْعِ اَوْ خَبْلٍ بِالعَقْلِ
“Was-was dalam berniyat semasa solat atau bersuci berpunca dari kejahilan atau kerosakan aqal.”
(Lihat: الامر بالاتباع والنهي عن الابتداع (لوحة/28ب))
 
Setakat inilah yang mampu saya berikan pandangan, seperti yang diminta. Semoga dapat membantu Tuan dan telah menjawab persoalan, insyaAllah.
 
والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: