Khamis, 28 Julai 2011

Wasiat Rasulullah : Ta'liq Berdasarkan Khutbah Haji Wadaa' (Kuliah 2)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabat, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari qiyamat. A'mma ba'du.

Moga semua para sahabat dalam sejahtera dan dirahmati Allah sentiasa. Bersama ini disertakan ringkasan nota kuliah di Masjid Karwa, Tanjong Tokong. Untuk manfaat ilmiah bersama, InsyaAllah.

Wasiyat Rasulullah : Ta’liq Berdasarkan Khutbah Haji Wadaa’
Kuliah No. 2

Kalimah-kalimah agung ini disampaikan pada hari wuquf, 9 Zulhijjah Tahun 10 selepas hijrah di Lembah Uranah, Padang Arafah. Dalam manasik haji dan umrah terakhir Rasulullah. Ini adalah Haji Akbar (besar). Juga dikenali Haji Wadaa’ (Haji Perpisahan). Inilah khutbah paling agung yang mendasari semua asas-asas ilmu dalam Islam dan terkandung wasiyat paling utama dari Rasulullah SAW kepada seluruh ummatnya.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji milik Allah, kami memujiNya, meminta pertolonganNya, memohon keampunanNya dan bertaubat kepadaNya. Kami juga berlindung kepada Allah daripada kejahatan diri kami sendiri dan keburukan amal perbuatan yang kami kerjakan.

Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada seorang pun yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawa sesungguhnya tiada ilah yang berhak diibadahi dengan sebenarnya melainkan Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagiNya, dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya Muhammad adalah hambaNya dan rasulNya.

Ya Allah, berilah solawat dan salaam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para Ahli Keluarganya, Sahabat, Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari qiyamat.

A’mma ba’du. Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah kalam Allah, dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (as Sunnah), dan seburuk-buruk perkara adalah perkara baru yang diada-adakan, dan setiap bid’ah itu adalah sesat, dan setiap kesesatan itu di dalam neraka. Aku berpesan wasiyat kepada kamu wahai sekelian hamba Allah, hendaklah kamu sentiasa bertaqwa kepada Allah dan taat kepadaNya.

Sekarang dengarlah baik-baik wahai sekalian manusia apa yang hendak aku katakan. Aku ingin menyampaikan kepada kamu, kerana aku tidak dapat memastikan tentang umurku, kemungkinan kita tidak dapat berjumpa lagi sesudah tahun ini ditempat aku berucap ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Ingatlah, bahawa darah kamu dan harta benda kamu adalah diharamkan bagi kamu (menumpahkannya dan menggunakannya dengan cara yang salah). Larangan yang demikian itu sama dengan kehormatan pada hari ini (hari wuquf) dan kehormatan yang ada pada bulan kamu ini (bulan haji) juga kehormatan yang ada di negeri kamu ini (tanah suci Makkah). Kerana kamu akan menghadap Tuhan kamu, pada saat itu Dia akan menanyakan tentang segala amal perbuatan yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Bukankah selama ini, aku telah menyampaikan kepada kamu apa yang diperintahkan oleh Allah?

Ya Allah, Engkaulah jua yang menjadi saksi. Sesiapa yang ada menyimpan atau memegang amanah orang hendaklah ia mengembalikannya kepada yang pemiliknya, dan bahawa riba dalam segala bentuknya adalah batal dan haram dilakukan”.

Baginda kemudian membacakan ayat suci Al Qur’an ul Qahaar :

“Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah, bahawa Allah dan rasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba) maka bagimu pokok hartamu ; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 279

Setelah itu Baginda menerangkan segala amalan yang bertentangan dengan Islam yang biasa dilakukan pada zaman jahiliyah, selanjutnya Baginda menjelaskan :

Sebenarnya syaitan telah berputus asa bahawa ia tidak akan disembah lagi di bumi kamu ini selama-lamanya, tetapi dia akan berpuashati dalam perkara-perkara yang lain sekiranya kamu terdorong mengikut hasutannya dengan melakukan maksiat kejahatan. Oleh itu, berhati-hatilah terhadap angkaranya supaya kamu tidak terpesong dari ajaran agama kamu (Islam)”.

Seterusnya baginda menjelaskan bilangan bulan pada sisi Allah yaitu 12 bulan, lalu Baginda meneruskan khutbahnya :

“Wahai ummat Islam, bertaqwalah kamu kepada Allah terhadap urusan kaum perempuan. Wahai kaum lelaki! ambillah perempuan sebagai isterimu dengan amanah Allah, dan berhubunganlah dengan isterimu secara halal dengan kalimah Allah.

Isteri mempunyai kewajiban terhadap suami, begitu pula sebaliknya suami mempunyai kewajiban terhadap isterinya. Diantara hak-hak seorang suami terhadap isterinya ialah, janganlah mereka membenarkan masuk ke rumah kamu seseorang yang tidak kamu sukai dan dilarang melakukan zina. Jika isteri kamu melanggar larangan ini maka bolehlah kamu memukulnya. Diantara hak-hak isteri kamu terhadap kamu pula ialah hendaklah kamu memberikan nafkahnya dan pakaian dengan cara yang baik.

Sebenarnya kaum perempuan itu, memerlukan perlindungan kamu, mereka tidak mampu membela diri mereka sendiri sebagaimana mestinya. Justeru itu, berlaku baiklah kamu terhadap kaum perempuan dan berpesan-pesanlah kamu tentang perintah ini, supaya perintah ini menjadi amalan hidup kamu masing-masing.

Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi nabi dan rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Aku telah meninggalkan kepada kamu wahai ummat Islam dua perkara, selagi kamu berpegang teguh kepadanya, maka kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, dua perkara itu ialah Kitab Allah (Al Qur’an) dan sunnah nabiNya.

Orang Islam dengan orang Islam adalah bersaudara. Tidak halal bagi seseorang mengambil hak milik atau harta benda orang lain kecuali yang diberikan dengan kerelaan hatinya. Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Oleh kerana itu awaslah! jangan berlaku zalim kepada diri kamu sendiri dan kepada orang lain.

Wahai manusia! Tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu yaitu Adam. Kamu semua adalah keturunan Adam dan Adam itu pula berasal dari tanah. Semulia-mulia kamu disisi Allah adalah orang yang bertaqwa. Tidak ada kelebihan seseorang keturunan Arab di atas seorang lain yang bukan Arab melainkan dengan taqwanya. Hendaklah kamu mendengar dan taat walaupun kamu diperintahkan oleh seorang hamba bangsa Habsyi yang memimpin kamu dengan Kitab Allah, dan dengan ini aku menyampaikan, dan Allah jualah yang menjadi saksi.

“Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah kepada orang-orang, karena aku adalah orang yang akan diambil (wafat), sedang ilmu itu akan diangkat dan fitnah akan tampak, sehingga dua orang yang bertengkar tentang pembagian warisan, mereka berdua tidak menemukan seorang pun yang sanggup meleraikan (menyelesaikan perselisihan pembahagian hak waris) mereka. Kerana sesungguhnya, ilmu faraid setengahnya ilmu; ia akan dilupakan, dan ia ilmu pertama yang akan diangkat dari umatku”.

Setelah menerangkan beberapa perkara lagi tentang hukum pembahagian harta pusaka, lalu Rasulullah SAW menghalakan jari telunjuknya ke arah langit sambil berkata :

“Ya Allah, Engkau jualah yang menjadi saksi.  Ya Allah, Engkau jualah yang menjadi saksi. Ya Allah, Engkau jualah yang menjadi saksi. Bahawasanya telah kusampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMu. Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku”.

Selepas khutbah terakhir Rasulullh SAW itu, turunlah ayat suci Al Qur’an yang terakhir lalu dibacakan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh ummat Muslimin. Firman Allah Subhaanahu Wa Taala :

Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini, telah Kusempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Kucukupkan kepada kamu nikmatKu, dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagi kamu. Maka barangsiapa yang terpaksa, kerana kelaparan tanpa senghaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah Al Maidah (5) : sebahagian ayat 3

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu.

Pengajaran Dari Haji Wadaa’
Seluruh peristiwa yang berlaku dalam manasik Haji Wadaa’ (Haji Perpisahan) yang dibuat oleh Rasulullah itu memberi berbagai pengajaran dan makna kepada seluruh ummatnya. Di dalamnya dipenuhi petunjuk, pedoman dan sunnah nabawi yang menjadi contoh ikutan sehingga kini. Antara pengajaran dan sunnah yang ditinggalkan oleh Baginda dalam Haji Wadaa’ adalah :

1.     Manasik ibadah haji yang paling lengkap, yang menjadi amalan sehingga kini.
2.     Sunnah perbuatan iaitu meninggalkan wasiyat sebelum wafat.
3.     Sunnah sikap sentiasa bersedia menghadapi saat kematian yang ghaib.

Penjelasan bahagian ini akan dibuat dalam bab berikutnya.

Intipati Khutbah Terakhir Rasulullah
Isi kandungan khutbah Arafah ini mengandungi wasiyat yang amat besar nilainya kepada ummat Islam. Khutbah terakhir ini terkandung beberapa perkara dan perintah juga larangan utama yang perlu diperhatikan dengan teliti dan diperlakukan. Antara perkara utama yang dapat dirumuskan daripada isi khutbah tersebut adalah :

1.     Perintah berpegang teguh kepada Kitbullah (Al Qur’an/ Kalam Allah)
2.     Perintah berpegang teguh kepada As Sunnah Nabi dan orang-orang yang Baginda perkenan
3.     Larangan menyakiti dan membunuh sesama manusia
4.     Seluruh amal perbuatan akan ditanya di hari akhirat
5.     Larangan mencari harta dan membelanjakan secara haram
6.     Perintah menjalankan amanah
7.     Larangan memakan riba dan menghidupkannya
8.     Larangan supaya menjauhi syaitan dan tidak mengikut hasutannya.
9.     Kewajiban suami terhadap isteri
10.  Kewajiban isteri terhadap suami
11.  Perintah melaksanakan Islam (5 Rukun Islam)
12.  Tiada lagi Nabi baru dan Islam agama terakhir
13.  Semua ummat Muslimin adalah bersaudara
14.  Jangan berbuat zalim terhadap manusia lain dan diri sendiri
15.  Allah Swt. adalah esa dan berpegang teguh kepada tauhid
16.  Seluruh manusia adalah keturunan Nabi Adam ahs.
17.  Perintah bertaqwa kepada Allah
18.  Perintah mentaati pemimpin yang mendokong sunnatullah
19.  Perintah menjalankan hukum faraid
20.  Agama Islam telah lengkap

Penjelasan bahagian ini akan dibuat dalam bab berikutnya.

Bersambung,

والله اعلم

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكين
والسلام

Tanah Liat, Bukkit Mertajam

0 ulasan: