بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, Sahabat, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh dan orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari qiyamat. A'mma ba'du.
Moga semua para sahabat dalam sejahtera dan dirahmati Allah sentiasa. Bersama ini disertakan ringkasan nota kuliah di Surau Taman Kijang. Ini adalah sebahagian daripada penjelasan Hadis 2. Untuk manfaat ilmiah bersama, InsyaAllah.
Matan Arba’in An Nawawi – Hadis 40 (Hadis No. 2)
Kuliah No. 2
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rodiallahu‘anhu, ia berkata :
Pada suatu hari sedang kami duduk disisi Rasulullah Saw, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga ia duduk berdekatan Nabi Saw. lalu dia menyandarkan kedua lututnya kepada 2 lutut Nabi Saw. dan meletakkan kedua telapak tangannnya ke atas 2 paha Nabi Saw.
Kemudian ia berkata : Hai Muhammad! khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah Saw. menjawab : Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat dan engkau puasa Ramadhan dan engkau mengerjakan haji di Baitullah, jika engkau sanggup pergi kepadanya. Ia berkata : benarlah engkau! Maka kami pun tercengang kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya.
Katanya lagi : maka khabarkan kepadaku darihal iman. Rasulullah menjawab : iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatnya dan segala kitabnya dan para rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan jahatNya. Ia berkata : benarlah engkau!.
Kemudian ia bertanya lagi : maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal ihsan. Rasulullah menjawab : ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatnya, tetapi jika engkau tidak melihatnya maka sesungguhnya ia melihat engkau. Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi) : maka khabarkan kepadaku darihal hari qiamat. Rasulullah menjawab : tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya.
Kalau begitu katanya, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab : tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu Rasulullah bertanya : hai Umar! adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku : Allah dan rasulNya yang lebih tahu. Rasulullah berkata : sesungguhnya itulah dia Jibril (malaikat) yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Lafaz di atas adalah riwayat imam Muslim (No. 8) dari Umar Al Khattab rhu. manakala imam Bukhari rh. meriwayatkan dari jalur Abu Hurairah rhu.
Kehadiran Malaikat Untuk Menyampaikan Ilmu
Hadis dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab rhu. ini menceritakan sifat kehadiran malaikat yang bertujuan untuk menyampaikan ilmu kepada manusia. Yang jelas, malaikat telah menjelmakan dirinya seperti manusia tetapi dalam keadaan amat menghairankan dan luar biasa berbanding manusia biasa. Hal yang paling menghairankan adalah malaikat ini yang bertanya kemudian dia pula yang membenarkan kata-kata Rasul Saw., melambangkan bahawa dia sudah tahu akan jawabannya. Antara perkara yang boleh dipelajari dari peristiwa kehadiran malaikat ini adalah :
1. Kaedah tanya jawab merupakan salah satu kaedah pengajaran dan pembelajaran, ia melibatkan komunikasi 2 hala dan berupaya meningkatkan pemahaman.
2. Kehadiran malaikat memberi pengajaran bahawa, tidak semestinya soalan ditanya kerana penanya tidak tahu, tetapi untuk memastikan bahawa penjawab yang benar-benar tahu.
3. Perkataan Rasul Saw. ‘tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya’ adalah contoh peribadi amat mulia, iaitu berkata benar bahawa tidak tahu dan tidak mereka-reka serta meneka jawaban.
4. Menerusi kaedah tanya jawab, ilmu disampaikan kepada semua orang.
Agama Islam/Ad Diin ul Islam
Islam adalah agama wahyu (samawi) yang diwahyukan kepada RasulNya bagi disebarkan kepada seluruh manusia. Yang menjaminkan keselamatan hidup pemeluknya, yang menegaskan janji balasan baik dan jahat kepada orang yang melakukan amal perbuatan dalam semua aspek kehidupan manusia, dari dunia sampai akhirat. Syeikh Abul A’la Al Maududi rohimahullah menyebutnya sebagai “the way of life”.
Islam : berasal dari masdar (kata dasar) Salima yang erti dari segi lughah (bahasa) membawa maksud Berserah diri, Damai, Suci, Patuh dan Taat (tidak membantah). Dijelaskan sepertimana sabda Nabi Ibrahim alaihissalam :
“Ketika Penciptanya berfirman kepadanya ‘tunduk patuhlah’. Ibrahim menjawab ‘aku tunduk patuh kepada Pencipta semesta alam”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 131
Erti dari segi istilah (syara’) adalah “Berserah diri kepada Allah dengan cara mentauhidkanNya, tunduk dan patuh kepadaNya dengan melaksanakan ketaatan (terhadap kehendak dan kemahuan Allah serta kepada hukum-hukumNya dan meninggalkan laranganNya), serta membebaskan diri dari perbuatan syirik dan dari orang-orang yang berbuat syirik”.
Hubungan antara erti menurut lughah dengan erti menurut syara’ amat erat dan nyata sekali yaitu : “Hanya dengan kepatuhan kepada kehendak Allah dan tunduk kepada hukum-hukumNya dan meninggalkan laranganNya, seseorang dapat mencapai kedamaian yang sesungguhnya dan memperolehi kesucian yang abadi”.
Islam adalah satu-satunya sahaja agama yang benar, satu-satunya agama yang diterima olehNya, sebagai nikmat tertinggi kepada manusia dan agama yang diredhainya. Agama dan kepercayaan lain tidak akan diterima Allah, sepertimana firmanNya :
“Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam”. Surah Ali Imran (3) : ayat 19
“Dan Aku telah redha Islam itu sebagai agama untuk kamu”. Surah Al Maidah (4) : ayat 3
Agama Islam yang diturunkan menerusi Nabi Muhammad Saw. hakikatnya adalah kesinambungan daripada agama Allah yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan ummat terdahulu, sepertimana firmanNya :
“Katakanlah (wahai Muhammad), kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’qub dan anak-anaknya, dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepada Nya lah kami menyerah diri”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 84
Agama Islam adalah pelengkap kepada semua agama samawi terdahulu, maka terpadamlah seluruh agama samawi lain sebelumnya dengan turunnya Islam. Islam merangkumi seluruh kemaslahatan yang terkandung di dalam agama samawi dan kitab-kitab terdahulu. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Dan Kami turunkan Al Kitab (Al Qur’an) kepadamu dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan sebagai batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain”.
Surah Al Maidah (5) : ayat 48
Islam adalah agama yang benar. Allah Swt. menjanjikan kemenangan kepada orang-orang yang berpegang teguh kepada Islam dengan baik, mentauhidkan Allah, menjauhi syirik, menuntut ilmu syara’ dan menyampaikannya serta memperbuat amal solih (ikhlas kepada Allah semata-mata dan diperbuat mengikut peraturanNya). Ini dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Dialah yang mengutus rasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang haq (benar), untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”.
Surah At Taubah (9) : ayat 33
Islam memiliki keistimewaan, yaitu sepadan dan sesuai untuk setiap masa, tempat mana pun dan apa jua keadaan ummat. Ruanglitup kekuasaannya meliputi seluruh alam, dari dunia sampai akhirat. Demikianlah yang dijelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Alif Laam Raa. (Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (iaitu) menuju jalan Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. Allah yang memiliki segala apa yang dilangit dan di bumi. Dan celakalah bagi orang-orang yang kafir kerana siksaan yang amat pedih”.
Surah Ibrahim (14) : ayat 1-2
Kepada manusia-manusia yang menolak Islam dan menentangnya, mereka tidak akan diterima dan akan ditimpai azab yang pedih akibat keingkaran mereka, sepertimana firmanNya :
“Barangsiapa mencari agama selain Agama Islam, maka tidaklah sekali-kali akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia diakhirat nanti termasuk orang-orang yang rugi”. “Bagaimana Allah akan menunjuki satu kaum yang kafir sesudah mereka beriman, serta mereka telah mengakui bahawa rasul itu (Muhammad) benar-benar rasul, dan keterangan-keterangan pun telah datang kepada mereka? Allah tidak menunjuki orang-orang yang zalim”. “Mereka itu, balasannya adalah, bahawasanya laknat Allah ditimpakan kepada mereka (demikian pula) laknat para malaikat dan manusia seluruhnya”. “mereka kekal didalamnya, tidak diringankan siksa dari mereka dan tidak (pula) mereka diberi tangguh”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 85, 86, 87 dan 88.
Yang demikian itu, tiadalah ada sebarang alasan untuk memilih agama lain sebagai ikutan, yang sudah terang tidak diredhai dan tidak dibenar oleh Allah Swt. Allah Swt. menuntut kepada semua ummat mukmin supaya berpegang teguh kepada Islam sepertimana firmanNya :
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutlah kamu akan dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepada kamu agar kamu bertaqwa”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 153
Seluruh alam dan sekelian makhluk, yang ada diantara 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi sebelum alam akhirat, adalah terjadi menurut kehendak dan qudrat Allah. Oleh kerana itu, tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluk yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkanNya, semuanya Islam dalam ertikata tunduk kepada kekuasaanNya dan patuh kepada peraturanNya, sama ada secara sukarela atau dengan paksa sepertimana firmanNya :
“Adakah mereka mahu yang lain daripada agama Allah, padahal apa-apa yang pada langit-langit dan bumi telah menyerah diri (tunduk dan patuh) kepadaNya dengan suka dan dengan paksa, dan kepadaNya lah mereka akan dikembalikan”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 83.
Demikianlah Islam yang diwahyu dan ditunjukkan oleh Allah Swt. (terkandung didalam Al Qur’an / Kitabullah) dan diperlakukan oleh rasulNya Muhammad Saw. (sebagai As Sunnah) untuk ikutan, contoh, teladan dan pegangan seluruh alam dan makhluk. Maka itu, marilah kita berdoa ke hadhrat Allah Swt. agar ditetapkan hati dan jiwa kita kepada Islam dan sentiasa kekal tergolong dalam manusia beriman sepertimana firmanNya :
“Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan rasulNya agar rasul mengadili (menghukum) diantara mereka ialah ucapan : Kami mendengar dan kami taat (patuh). Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.
Surah An Nuur (24) : ayat 51
Begitulah serba ringkas makna dan pengertian Islam, agama suci anutan kita.
Rukun Islam
Menerusi hadis ini, Rasulullah Saw. mengajar dan menetapkan kepada ummat manusia bahawa Rukun Islam terkandung 5 perkara dan ia dibenarkan oleh Jibril. Rukun yang disebutkan itu adalah :
1. Bermula dengan mengucapkan 2 kalimah syahadah atau disebut juga kalimah toyyibah yaitu : engkau mengakui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan engkau mengakui bahawa Muhammad itu pesuruh Allah.
2. Mendirikan solat (sembahyang) 5 waqtu setiap hari yang diwajibkan, termasuk mendirikan solat-solat sunnat lain yang dicontohkan oleh Rasulullah Saw.
3. Mengeluarkan zakat dari segala harta dan kekayaan yang ada, setelah dicukupi semua syarat pengeluaran dan ditolak dari keperluan diri.
4. Berpuasa Ramadhan yaitu meninggalkan makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkannya pada siang hari di bulan Ramadhan.
5. Akhir sekali, mengerjakan ibadah haji di Baitullah pada bulan-bulan haji, sekiranya engkau sanggup dan mempunyai kemampuan untuk pergi kepadanya.
Inilah Rukun Islam yang 5, yang dengannya menjadikan seseorang manusia itu sah beragama Islam. Yang apabila ditunaikan satu demi satu rukun itu dengan cara yang sebaik-baiknya, dilakukan dengan penuh taat tanpa ada sedikit pun keraguan padanya, dan dilaksanakan pula segala hukum yang bertalian dengan syariatnya, maka terpeliharalah seseorang itu dari kemurkaan dan siksaan Allah.
Bersambung,
Segala yang benar itu datang dari Allah Swt. dan segala tidak benar datangnya dari saya yang dhoif ini.
Wallahu a’lam...
سكين
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan