بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد , يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102
Sebelum kuliyah mingguan, sementara menunggu seorang demi seorang jamaah hadir sempat juga saya berbual dengan beberapa yang hadir dulu. Seperti biasa, setelah sedikit bersapa khabar kesempatan itu digunakan untuk bersoal jawab beberapa perkara. Malah sering juga masa-masa sebegitu dibincangkan hal-hal yang agak sulit melibatkan peribadi dan keluarga. Dari beberapa hal itu, saya berasa perlu untuk menulis 3 hal yang melibatkan banyak orang. Moga-moga dengan tertulis jawaban dari hasil perbincangan itu, akan memberi lebih pencerahan kepada rakan-rakan jamaah dan para pembaca. insyaAllah dan, catatan ini saya nukilkan seringkas mungkin.
Hal 1 : Ada seorang ustaz yang agak terkenal atau pun dia rasa dia terkenal dan hebat di Pulau ini, semasa tazkirah sebelum Solat Juma’at dok mengata orang yang bersedekah. Bahasa, kelakuan dan ayat-ayat yang dia guna sangat kasar, boleh sampai menghina sedekah yang sikit-sikit. Disebutnya mereka ini kedekut, berkira, tak berguna dan beberapa kata kesat lagi. Diulang-ulang yang duit biru, hijau dan merah tu kedekut sampai menjuih mulut. Angkuh sungguh. Apa dia tahu ka susah payah orang! Apa dia tok nujum senang-senang boleh tahu keikhlasan orang? Apa sedekah sikit nih tak maqbul dan berdosa. Lebih teruk lagi dok suruh orang sedekah ke pusat dia sendiri. Ramai yang merungut dan sebut, lagi sekali kalau ustaz ni la yang jadi imam, nak pi masjid lain.
Hal 2 : Patutkah dia buat perangai macam ni, layak kah perangai macam ni jadi ustaz? Kalau ustaz-ustaz pun yang alim-alim belaka pun perangai macam ni, berjuta-juta orang lagi pun layak jadi ustaz, apa yang susahnya.
Hal 3 : Adakah patut, letak balang jernih telus tengah-tengah laman, orang kaya tak kisahlah nak bubuh berapa pun dah tentu banyak, nih kita yang susah ni, serba macam malu segan dok ada, ribuan mata dok tengok, jeling-jeling dok intai kita bubuh apa
Saya tulis semula ayat-ayat yang dikeluarkan, dan rasanya orang-orang itu sedang marah dan sangat kesal dengan apa yang berlaku.
Susah benar nak komen hal melibatkan perangai orang. Cuma kurang seronok apabila cerita ini melibatkan seorang dipanggil ustaz. Jika benarlah apa yang dicakap cerita ini, memanglah tidak sepatutnya berkata-kata dan bersikap begitu. Dan tidak boleh ditolak jua bahawa dalam setandan pisang, ada sebuah pisang yang busuk, dan janganlah kerananya timbul pula kesimpulan mudah : ustaz-ustaz tak berguna. Sama juga, hakim adalah orang yang mensabitkan kesalahan dan menghukum pesalah, sebaliknya ada juga hakim yang ditangkap dan bersalah kerana makan rasuah, malah hakim syari’i lagi. Demikianlah perangai dia itu sendiri, salah dihukumkan semua orang sama macam dia. Jika benar mereka lakukan perbuatan itu, memang mereka tidak layak menjadi ustaz.
Justeru itu, persoalan tentang perangai seseorang itu, baiklah dijawab, ditahqiq, dita’liq dan dihakimi oleh orang lain. Apa yang saya mampu buat, hanyalah memberikan beberapa keterangan dan pedoman tentang maudhu’ cerita bukan perihal orangnya, supaya boleh memberikan kefahaman kepada sang penanya dan pemberi komen, lain dari itu hanya Yang Ma’bud Allah Swt. dan rasul-Nya yang tahu.
Sesungguhnya memberi sadaqah ini dituntut lantaran ia ibadah yang memberi banyak kebaikan kepada kedua-dua pemberi mahu pun penerima.
“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersadaqah dan orang-orang perempuan yang bersadaqah, dan mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”
Surah Al Hadiid (57) : ayat 18
Sadaqah adalah perbuatan tathawwu’ (sukarela untuk membuatnya), hukumya sunnat yang digalakkan (muakkad). Ia bukan sepertimana zakat wajib yang telah ditentukan masa, jenis barang dan jumlahnya. Ia benar-benar berasaskan kemahuan, kesediaan dan kerelaan seseorang untuk mengeluarkan sedikit hakmilik yang dia ada untuk diberikan kepada seseorang lain yang memerlukan. Apa yang diberikan itu pula adalah mengikut kemampuan dan kesanggupan penuh ikhlas untuk memberi, tanpa ada sedikit pun paksaan atau dengan ketetapan syarat begitu begini.
“Hendaklah orang yang mampu (ada lebihan rizqi) memberi nafqah mengikut kemampuannya. Dan orang yang terbatas rizqinya memberi nafqah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan (sesuai) dengan apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan setelah kesempitan.”
Surah Ath Thalaq (65) : ayat 7
Baik juga diterangkan terminology supaya sama-sama difahami :
Berkemampuan : bermaqsud mempunyai lebihan dari keperluan diri sendiri, juga bermaqsud lebihan yang ada setelah dikeluarkan zakat yang wajib
Kerelaan : bermaqsud kesediaan mengeluarkan sesuatu secara suci hati. Ini menjelaskan bahawa jumlah atau rupabenda tidak pernah menjadi ukurannya. Malah boleh terjadi ia dikeluarkan oleh seorang yang juga tidak mampu kepada satu otang lain yang lebih tidak mampu darinya.
Maka semestinya kita yaqini benar-benar, bahawa setiap orang yang telah pun memberikan sadaqahnya, walau dalam apa pun jumlah dan rupabentuk, dia telah memberikan yang terbaik dari apa yang dia mampu dan penuh ikhlas. Adalah benar, susah senang tiada siapa yang tahu dan tidak sama sekali boleh ditunjukkan menerusi tampak fisikal. Ramai yang suka bergaya, terlihat hebat begitu begini, tapi hutang keliling pinggang malah terkadang susu anak pun sukar dibeli. Tentu sekali, siapa lah yang tahu.
Perintah memberi sadaqah ini terjatuh kepada semua orang yang berkemampuan mengeluarkannya. Jika tidak mampu pada masa ini, boleh keluarkan di masa lain. Sekiranya benar-benar tidak mampu, maka layaklah dia pula terima sadaqah. Justeru itu, status social dan ekonomi seseorang tak pernah menjadi kayu ukur berapa nilai yang dia sadaqahkan. Jika terjadilah kes bersilang : miskin bagi banyak, kaya bagi sikit, tetap tak salah juga keadaan sebegitu. Cuma yang dituntut sangat-sangat dan amalan sebaik- baiknya adalah memberi juga kalau pun amat sedikit.
Dari Adi bin Hatim Rhu. dia berkata : Rasulullah Saw. menyebutkan tentang neraka kemudian Baginda berpaling dan menjauh sehingga kami mengira bahawa Baginda seakan-akan melihatnya, kemudian Baginda bersabda : Berlindunglah kamu semua dari neraka meski pun dengan separuh buah kurma. Barang siapa yang tidak memilikinya, maka dengan ucapan yang baik.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2346
Di dalamnya terdapat anjuran untuk bersadaqah, dan tidak boleh berhenti bersadaqah sekiranya yang dikeluarkan sedikit jumlahnya, dan sadaqah yang walau pun sedikit adalah salah satu hal yang dapat menyelamatkan seseorang dari api neraka.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 282
Atau pun, seseorang tak mahu bagi apa-apa pun, kalau pun dia tahu dia ada lebihan, namun ia tetap tak salah juga dan tak boleh dihamun sesuka hati. Cuma yang pasti dia adalah seorang bakhil (kedekut, kikir), suatu perangai yang membawa kepada kebinasaan. Kena diseru/diberi peringatan kepada mereka ini supaya membaiki perangai tak bagus ini.
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 195
Dan kena diperingatkan juga kepadanya bahawa Nabi Saw. pernah menyebutkan :
Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Tidak ada suatu pagi yang semua hamba berada padanya, melainkan ada 2 malaikat yang turun. Salah satunya berdo’a : Ya Allah, berikanlah pengganti kepada yang berinfaq. Sedangkan yang lain berdo’a : Ya Allah, berikanlah kerugian kepada yang tidak mahu berinfaq.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2333
Terdapat beberapa lagi ayat Allah dan hadis Nabi Saw. yang menceritakan banyak balasan tak baik terhadap orang yang bakhil, tidak saya catatkan disini.
Sekiranya ustaz itu menyampaikan kisah, keadaan dan kesan buruk disebabkan oleh perangai bakhil, serta khabar ancaman dari Allah Swt. dan rasul-Nya ke atas mereka itu, maka itu tidak sama sekali menjadi masalah lantaran memberi peringatan dan nasihat memang digalakkan di dalam Islam. Namun begitu, tetap jua tidak boleh dengan kasar bahasa, ucapan atau perlakuan yang tidak baik, kerana seruan ilmu dan sunnah Allah Swt. yang haq ini mesti disampaikan secara hikmah. Sepertimana perintah-Nya :
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
Surah Aali Imran (3) : ayat 159
Hal ini amat penting dalam uslubul da’wah kerana kita berhadapan dengan berbagai macam dan ragam manusia, tahap minda, status social, tahap pendidikan, tahap ekonomi dan berbagai lagi. Malah di alam maya terbentang luas ini, mungkin pendengar di depan kita itu jauh lebih alim dan faqih dari kita sendiri pun (jangan sesekali under estimate). Semua ini mempengaruhi fikrah dan sikap seterusnya mempengaruhi tahap penerimaan mereka. Amat malang sekali, jika segala khabar kebenaran akhirnya diabaikan dan terbiar saja, disebabkan oleh penolakan terhadap perangai tukang penyampainya. Maka ini merupakan suatu fitnah yang amat besar kepada Islam, sama sekali tidak patut berlaku.
Tidak boleh berkata kesat dan angkuh kepada orang yang telah memberi sadaqah walau pun kelihatan sedikit berbanding tampak upayanya , baik sekali dirujuki pesanan ini :
“Dari Abu Mas’ud Rhu. dia berkata : Kami diperintahkan untuk bersadaqah. Dia berkata lagi : Dahulu kami menjadi kuli pengangkut barang. Lalu Abu ‘Aqil bersadaqah dengan setengah sha’ sahaja. Setelah itu ada seseorang datang membawa sesuatu yang lebih banyak darinya. Maka orang-orang munafiq pun berkata : Sesungguhnya Allah tidak memerlukan sadaqah orang itu (Abu ‘Aqil), dan tidaklah yang dilakukan oleh yang lain itu melainkan kerana riya’. Maka turunlah ayat : Orang-orang (munafiq) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sadaqah-sadaqah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disadaqahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” Surah At Taubah (9) : ayat 79
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2352
Imam Muslim Rhm. meletakkan hadis ini dalam Bab (23) : Bersadaqah Dengan Upah Mengangkut Barang Dan Larangan Keras Meremehkan Orang Yang Bersadaqah Dengan Harta Yang Sedikit.
Suka atau tidak terimalah haqiqatnya bahawa berdasarkan Kalamullah dan hadis nabi-Nya di atas : yang mempertikaikan, meremehkan dan mengherdik orang bersadaqah ini adalah orang munafiq dan pengekor mereka. Sebagai orang dianggap berilmu, merasakan pula diri berilmu dan digelar hebat itu-ini oleh orang banyak, pelik benar jika ini tidak diketahui.
Mustahil juga tidak tahu bahawa Allah Swt. menyuruh supaya menerima pemberian sadaqah dari siapa pun dan apa jumlahnya pun, kerana ia membersihkan dan mensucikan kedua-dua pihak. Malah setelah itu, disuruh pula bersyukur dengan apa yang diterima dan berdo’a kepada mereka yang bersadaqah.
“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Surah At Taubah (9) : ayat 103
Janganlah pula, pengharapan terhadap bantuan orang itu menjadikan kita ke tahap meminta-minta, yang sangat jelas merupakan sifat dan sikap dilarang.
Dari Mu’awiyah bin Abu Sufyan Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kalian memaksa dalam meminta, Kerana demi Allah, tidaklah seseorang dari kalian yang meminta sesuatu apa pun kepadaku, lalu diqabulkan permintaannya, sedang aku tidak suka kepadanya, sehingga dia diberikan keberkahan pada apa yang aku berikan kepadanya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2387
Dan satu lagi, banyak kejadian telah berlaku sekarang ini, disebalik perbuatan menyeru orang bersadaqah itu ini, haqiqatnya ada udang sebalik mee ya’ni diri sendiri mahukan sadaqah yang banyak. Kepada mereka ini malah kepada semua orang, baik sekali disampaikan sedikit pesanan firman Allah Swt. untuk manfaat dan i’tibar :
“Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.”
Surah Al Mudatstsir (74) : ayat 6
Perbuatan nak membolot harta sadaqah ini amat tidak bagus, jika ini dilakukan oleh orang-orang alim maka fitnah yang terhasil darinya malah jauh lebih besar. Perintah dan anjuran bersadaqah adalah umum : berlandaskan tathawwu’, kepada yang memerlukan dan ia senantiasa selamanya begitu tanpa boleh ditambahi atau dikurangi satu pun dengan ketetapan baharu waima oleh sesiapa pun . Namun ada sedikit terma pengkhususan, baik sekali dimaklumkan kepada orang yang mahu bersadaqah, paling afdhal adalah mengeluarkan kepada qaum kerabat terhampir yang kurang kemampuan.
“Dari Salman bin 'Amir Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : "Sadaqah terhadap orang miskin adalah sadaqah dan terhadap keluarga sendiri mendapat dua pahala: sadaqah dan silaturrahmi".
Hadis riwayat imam Tarrmizi Rhm. dan beliau mensahihkannya.
Dari Zainab Ats Tsaqafiyah Rha. isteri Abdullah bin Mas'ud Rhu. ketika dia pergi dan bertanya kepada Nabi Saw. : Apakah boleh dia bersadaqah kepada suaminya dan anak-anak yatim yang ada dalam asuhannya? Maka Nabi Saw. bersabda : Ya, boleh dan dia akan mendapatkan pahala kerana menyambung kekerabatan (silaturrahmi) dan pahala sadaqah". Nota : ini adalah satu hadis panjang yang dicatat ringkas
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. dan imam Muslim Rhm.
Dan tidak boleh juga dengan mudah memperkata, mempertikai dan mempersoal sesuatu yang ghaib dan majhul ya’ni apa maqasid dan nilai keikhlasan yang bersadaqah. Ia tersimpul di dalam hati yang tidak boleh dihakimi melalui banyak atau sikit jumlah sadaqahnya. Haqiqatnya tiada siapa pun yang tahu niyat di dalam hati termasuklah Nabi Saw. melainkan Allah Swt. semata-mata.
“Dan rahsiakanlah perkataanmu atau nyatakanlah. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati.”
Surah Al Mulk (67) : ayat 13
Hadis riwayat Usamah bin Zaid Rhu., ia menceritakan : Rasulullah Saw. mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir (berlakulah pertarungan yang lama, dan Usamah berjaya mengalahkannya, ketika mngangkat pedang) Dia mengucapkan : Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi Saw. Baginda bertanya : Apakah dia mengucapkan Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab : Wahai Rasulullah, ia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Baginda bersabda : Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Baginda terus mengulangi perkataan itu kepadaku, sehingga aku berkhayal kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah, aku tidak membunuh seorang Muslim, sehingga dibunuh Dzul Buthain (perut kecil), Usamah. Seseorang lain berkata : Bukankah Allah telah berfirman “Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah”. Saad berkata : Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 140
Tiada manusia pun berhak meneka-neka isi hati orang, kemudian dengan tekaan (prasangka) itu ia melemparkan bermacam tuduhan buruk pula di khalayak banyak. Ini tuduhan melulu ke atas seorang Muslim lain dan hanya menyerlahkan kedangkalan ilmu dan pelahapnya nafsu pelakunya. Perbuatan dan perkataan berdasarkan sangka-sangkaan dan persepsi sendiri ini malah diungkapkan pula ditempat yang amat mulia (masjid), sungguh ia adalah suatu kejelekan dan amat terlarang. Allah Swt. melarang perbuatan ini,
“Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
Surah Sad (38) : ayat 26
Dan junjungan mulia Nabi Saw. turut berpesan :
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk ucapan yang paling dusta, dan janganlah kalian saling mendiamkan, saling mencari kejelekan, saling menipu dalam jual beli, saling mendengki, saling memusuhi dan janganlah saling membelakangi, dan jadilah kalian semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm. no. 5606
Saya sendiri mengalami situasi balang telus melus diletakkan di tengah laman untuk dimasukkan wang, ini kes yang saya alami semasa menziarahi janazah. Memang ramai yang berasa macam-macam semasa nak memasukkan wang ke dalamnya. Entah dari mana asalnya budaya ini dan bila bermula, saya tak tahu, sejak saya hidup terlihat ia sudah ada diamalkan. Yang pasti ia dilapikkan kepada : untuk memudahkan orang menyumbang. Tak pernah pula tercatat dimana-mana kitab (setakat saya ketahui) bahawa itu caranya para salafussolih menghulurkan sumbangan. Yang ada adalah, mereka memberikan terus kepada orang terlibat atau pun warisnya (dalam kes simati).
Dan kepada sesiapa yang terada dalam situasi sebegitu, janganlah segan malu, hulurkan sahaja apa yang termampu seikhlasnya. Hal ini pernah dijelaskan oleh Nabi Saw. :
Imam Muslim Rhm. (hadis no. 2376) meletakkan dalam Bab 31 : Anjuran Bersadaqah Meskipun Dengan Harta Yang Sedikit Dan Tidak Boleh Menahan Sadaqah Dari Harta Yang Sedikit Kerana Dianggap Malu
“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Wahai para wanita Muslimah, janganlah sekali-kali seseorang tetangga meremehkan (sadaqah untuk) tetangganya meski pun hanya kaki kambing.”
Larangan meremehkan itu bermaqsud, janganlah seseorang tetangga enggan bersadaqah dan memberi hadiah kepada tetangganya lantaran harta yang dimilikinya hanya sedikit dan sesuatu yang hina. Bahkan dia boleh mendermakan apa yang dia miliki meskipun sedikit, seperti kaki kambing. Itu lebih baik daripada tidak memberi sama sekali.
Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi, Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 5 halaman 326
Justeru itu, sumbanglah apa yang mampu diberikan seikhlasnya. Jangan pedulikan apa-apa maqasid yang tersirat disebalik balang telus melus itu dan mata-mata yang menjeling. Tunaikan apa yang diperintah supaya mendapat redho Allah Swt., dan jangan sesekali memberi atau pun tidak mahu memberi disebabkan untuk mendapat redho manusia, kerana itu sifat riya’. Malah boleh juga letak dalam sampul dan masukkan atau serahkan terus kepada tuan rumah. Tetap jua ada cara supaya sadaqah itu dapat dialirkan dengan berhemah dan matlamatnya tercapai.
Dan kepada yang meletakkan balang telus melus itu, hentikanlah perbuatan itu, justifikasi perbuatannya tidak munasabah dan jelas ada udang sebalik mee. Sesungguhnya sebaik-baik memberi sadaqah itu adalah secara tersembunyi sehingga tangan kiri tidak tahu apa yang dibuat oleh tangan kanan (hadis sahih imam Muslim Rhm, no. 2381). Tidak perlu diulas rasanya maqasid sebenar perbuatan itu, hanya mahu dikatakan : balang telus melus itu 100% bertentangan dengan perintah memberi secara tersembunyi, maka amalan meletakkan balang telus melus sebegitu amat patut dilupuskan.
Kalam-kalam ini saya serukatakan kepada semua tanpa berpilih, moga memberi manfaat dan pencerahan seterusnya menjawab persoalan. insyaAllah.
والله تعالى أعلم , وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan