Jumaat, 27 Januari 2012

Jumlah Umrah Rasulullah S.A.W

1 ulasan


Subject: Jumlah Umrah Rasulullah Saw.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga Ustaz Mad dalam suasana yang baik. Terima kasih atas maklumat yang terkandung dalam artikel tersebut (Kenapa I’edul Adha pada 10 Zulhijjah) telah memberikan banyak jawaban dan penjelasan. Saya telah kongsi dengan rakan-rakan, maaf kerana tidak mohon kebenaran terlebih dahulu.

Tadi ada perbincangan antara kami semasa solat Asar. Perbincangan melibatkan artikel ustaz bertajuk Kenapa Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah” yang mengandungi statement ini :

Nota tambahan : Rasulullah Saw. telah melakukan umrah sebanyak 4 kali dalam hidup Baginda berdasarkan  hadis berikut :

Ada salah seorang kawan bagitau yang seorang ustazah memaklumkan bahawa Nabi Saw. sebenarnya melakukan umrah lebih dari 4 kali. Ada tercatat dalam hadis sahih yang lain, dan memohon supaya fakta ini diperbetulkan.

Dipohon maklumat lanjut dari Ustaz. Moga tidak lagi mengganggu.

Sekian, wassalam.

From: 
Sent: Wednesday, November 9, 2011 5:48 PM





بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Terima kasih atas maklumbalas Puan. Berkenaan memanjangkan artikel ini kepada rakan-rakan lain, dengan segala hormat dipersilakan dan saya izinkan. Hakcipta memang tidak tepelihara. Sebarkan-sebarkanlah supaya ilmu ini berkembang dan difahami oleh semua orang, dan semua orang merasai nikmatnya, bukan sekumpulan kecil orang sahaja yang tahu, kemudian menyembunyikan dan mentertawakan dan membiarkan sekumpulan besar orang lain terkial-kial tak ketahuan apa satu pun, atas alasan orang awam (kena jadi bodoh tolol) tak perlu tahu melainkan kena jadi pak turut saja.

Baik sekali saya catatkan semula dengan penuh pernyataan saya dalam artikel “Kenapa Aidil Adha Pada 10 Zulhijjah” yaitu :

Nota tambahan : Rasulullah Saw. telah melakukan umrah sebanyak 4 kali dalam hidup Baginda berdasarkan hadis berikut :

Dari Anas bin Malik rhu. ia berkata : bahawa Rasulullah Saw. telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali, semuanya di bulan Zulqa’idah, kecuali umrah yang digabungkan dengan hajinya. (Pertama) Umrah dari Hudaibiyah atau pada waktu dilaksanakan Perjanjian Hudaibiyah pada bulan Zulqa’idah, umrah di tahun selanjutnya pada bulan Zulqa’idah, umrah dari Ji’ranah di mana Baginda membahagikan harta rampasan perang Hunain pada bulan Zulqa’idah, dan umrah yang digabungkan dengan hajinya”.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh. (Jilid 6, halaman 342, no. 3023)

Imam an Nawawi rh. dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 6 halaman 347-348 memberikan syarahnya bahawa umrah Rasulullah Saw. adalah seperti berikut :

  • Umrah 1 : dilaksanakan pada tahun 6 Hijrah. Pada masa itu para sahabat dihalangi dari  mengerjakan haji sehingga mereka bertahallul, sehingga ibadah mereka dikira sebagai        umrah.
  • Umrah 2 : dilaksanakan pada tahun 7 hijrah, yang merupakan umrah qadha
  • Umrah 3 : dilaksanakan pada tahun 8 hijrah, yaitu tahun Fathu (pembukaan) Makkah.
  • Umrah 4 : ihram dilakukan di Dzulhulaifah (sekarang disebut Bir Ali) dalam bulan Zulqa’idah dan perlaksanaan seluruh manasik umrahnya dalam bulan Zulhijjah bersamaan dengan perlaksanaan Haji Wada’.


Berkenaan soalan Puan, maklumbalas saya seperti berikut :

1.    Saya kurang pasti hadis mana yang dimaksudkan, sebaiknya dinyatakan lebih terperinci supaya dapat disemak. InsyaAllah, saya sendiri pun yang serba dhaif ini akan sama-sama dapat belajar darinya. Harap dapat Puan nyatakan perincian hadis yang dimaksudkan. Bantuan Puan amat saya hargai.
                                                         
2.    Hadis yang saya catatkan adalah berdarjat sahih yang diriwayatkan oleh imam Muslim rh. Sekiranya ada hadis sahih lain yang menyebut lebih dari 4 kali sekali pun, darjat hadis ini tetap sahih dan berhak dipegangi. Tidak sama sekali ia menjadi cacat dan berubah menjadi darjat dhaif kerana adanya satu hadis lain yang matannya berbeza. Demikianlah sefaham saya berkaitan ilmu Musthala ul Hadis.  

Sekadar makluman lanjut, terdapat beberapa lagi hadis sahih, yang membicarakan mengenai amalan umrah Rasulullah Saw., yang juga diriwayatkan oleh imam Muslim rh. sendiri, yang matannya memberi maksud junjungan mulia Rasulullah Saw. telah melaksanakan ibadah umrah melebihi 4 kali, berlainan dari apa yang telah saya sebutkan sebelum ini. Akan tetapi ada perbahasan padanya. Cukup rasanya saya pilih salah duanya sahaja untuk renungan dan pengajian kita bersama, supaya kita benar-benar faham, insyaAllah.

“Dari Qatadah rhu. ia berkata : Aku bertanya kepada Anas bin Malik, berapa kali Rasulullah Saw. melaksanakan haji? Dia menjawab : Baginda melaksanakan haji hanya satu kali dan melaksanakan umrah empat kali. Lalu dia menyebutkan hadis yang sama dengan riwayat Haddab (yaitu hadis no. 3023)”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (Jilid 6, halaman 343, no. 3024)

Sepintas lalu ada golongan yang menanggapi bahawa Rasulullah Saw. telah melakukan umrah 5 kali berdasarkan hadis ini yakni temasuk satu kali semasa mengerjakan haji. Sebetulnya, perbuatan umrah Baginda hanyalah 4 kali juga seluruhnya yang mana, salah satunya sudah termasuk semasa Baginda mengerjakan haji. Begitulah menurut lafaz riwayat Haddab (yaitu hadis no. 3023) yang turut disebutkan oleh Qatadah rhu.

Dalam satu riwayat lain,

“Dari Abu Ishaq rhu. ia berkata : Aku bertanya kepada Zaid bin Al Arqam, Berapa kali kamu berperang bersama Rasulullah Saw.? Dia menjawab, tujuh belas kali. Dia (Abu Ishaq) berkata : Zaid bin Al Arqam juga telah memberitahukan kepadaku, bahawa Rasulullah Saw. telah berperang sebanyak sembilan belas kali, dan Baginda melaksanakan haji setelah hijrah sebanyak satu kali yaitu haji wada’. Abu Ishaq berkata lagi : Dan di Makkah, Baginda melaksanakan haji yang lain”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (Jilid 6, halaman 344, no. 3025)

Berdasarkan hadis ini, ada golongan yang menanggapi bahawa Rasulullah Saw. telah melakukan umrah 5 kali yaitu termasuk umrah yang dilakukan semasa haji sebelum hijrah. Tanggapan ini tidak tepat dan dituntut pertanggungjawabannya kerana, hal melakukan haji sebelum hijrah diperakui diperbuat oleh Rasulullah Saw., akan tetapi perincian manasiknya tidak dinyatakan. Maka itu, amat tidak baik membuat tekaan dan prasangka sahaja ke atas amalan Rasulullah Saw. Tambahan pula, contoh manasik haji paling lengkap mengikut syari’at Nabi Muhamad Saw. adalah pada Haji Wada’ yaitu 10 tahun sesudah hijrah.

Imam An Nawawi rh. dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 6 halaman 347-348 memberikan syarahnya berkenaan hadis-hadis yang dinyatakan seperti berikut :

Jadi, jika digabungkan riwayat Anas bin Malik dan Abdullah Ibnu Umar radhiallahu’anhuma, maka dapat disimpulkan bahawa umrah yang dilakukan oleh Rasulullah Saw. sebanyak empat kali. Dengan demikian, pendapat yang benar adalah tiga kali dan satu kali bersama haji. Tidak diketahui bahawa Rasulullah Saw. melaksanakan umrah selain yang kami sebutkan tadi. Pendapat yang benar adalah Nabi Saw. telah melaksanakan umrah sebanyak empat kali, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik dan Abdullah Ibnu Umar radhiallahu’anhuma, dan mereka berdua meriwayatkan hal tersebut dengan pasti, sehingga tidak boleh menolak riwayat mereka tanpa ada riwayat yang pasti pula.

Setakat ini maklumbalas saya. Dan saya amat berharap agar ada maklumbalas lain memandangkan saya ini serba dhaif dan tidak lari dari melakukan salah dan silap.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Metajam

Sent: Thursday, November 10, 2011 3:10 AM


1 ulasan:

Ummi Jual Vitamin berkata...

Wah.. Perkongsian yang sangat menarik. Tq admin.. Trip menunaikan umrah secara percuma.