بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekalian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Catatan ini saya nukil pada 1 Muharram 1433 Hijriyah / 27 November
2011 Masihi. Saya berinisiatif mencatat ini setelah memenuhi satu jemputan kuliyah
Maal Hijrah yang mana, beberapa hal “pelik tapi benar” sama ada suka atau
tidak, harus saya sebutkan. Huraian berkenaan kaitan di antara Peristiwa Hijrah
dan Awal Muharram adalah catatan ringkas dari kuliyah tersebut.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu
Hijriyah ke 1433, juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa membimbing kita ke As
Siraatul Mustaqiim dan menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala
rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.
Dirgahayu : Kira-kira pukul 8.00 malam saya mendapat 6 panggilan
dari rakan sekolah lama di kampung. Saya pick up salah satunya dan dimaklumkan
bahawa rakan baik Saudara Abdul Halim bin Hassan @ Jalud telah “berhijrah” ke
alam barzah. Beliau jatuh di padang semasa perlawanan bolasepak persahabatan
veteran dan disahkan meninggal di Hospital Batu Gajah kira-kira pukul 7.40
malam. Saya termangu seketika. Banyak yang dihimbaukan dalam berbagai rasa.
Kami membesar dan menempuh banyak onak dan duri hidup bersama. Terlalu banyak
kenangan dulu, bersampan di Sungai Perak dan Sungai Kinta, memukat ikan dan
udang galah, berjalan berbatu-batu ke sekolah, menanam padi, jagung dan mengait
kelapa sawit. Bermain bola bersama di mana-mana sehingga di peringkat negeri
yang saya bermain di pertahanan tengah juga ketua pasukan dan beliau sebagai
pembantu dan bermain di tengah. Kami berpisah tempat setelah tamat persekolahan
tapi tidak pernah terputus hubungan. Saya menyambung belajar dan beliau terus
bermain bola, mewakili Perak, KL dan beberapa kelab dalam Liga M. Beliau memang
minat bola dan terus bermain bola, sehingga ke hari ini pun di saat saya kini,
boot pun tiada. Begitulah dia si Jalud, rakan dan sahabat, teman kala susah dan
senang, penglipur lara di saat suka dan duka (kerana itu digelar Jalud) yang
dikenangi. Saya catatkan setakat ini sahaja kerana ada sesuatu rasa di lubuk hati.
Moga hijrah beliau rahimahullah di hari mulia ini, dipelihara dan
diberkati Allah Swt. serta ditempatkan bersama para auliyaa’ di dalam syurgaNya.
Aamiin.
Telah menjadi tradisi dan budaya, setiap kali
menjelangnya dan pada 1 Muharram acap tahun, kita semua akan diingatkan dengan
peristiwa hijrah Rasul Saw. Sejak dahulu lagi, hari ini disambut dengan aneka macam
acara, dari perhimpuan hinggalah perarakan, ceramah, kuliyah, kenduri kendara, forum
bersaiz kecil hinggalah ke forum bersaiz perdana. Di media cetak dan elektronik
juga, berbagai cerita, kisah, iklan dan pesanan dimuatkan dari beberapa hari
sebelum sehingga beberapa hari sesudahnya. Tambah lagi dijadikan pula hari cuti
umum nasional. Demikianlah kita menyambut Maal Hijrah. Asalnya tarikh hari ini
disebut Awal Muharram, sekarang disebut Maal Hijrah.
Disebut ia Maal Hijrah (Bersama Hijrah) kerana merujuk
kepada peristiwa hijrah Rasul Saw. dari Makkah ke Yathrib, yang merupakan satu
perkara sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin,
bahkan juga alam keseluruhannya. Apa tidaknya, peristiwa inilah yang menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak
peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga ke hari
ini.
Perkataan hijrah berasal dari Bahasa Arab. Dari segi
lughah (bahasa) mufradatnya “hajara” yang bererti meninggalkan. Dari segi
istilah (syara’), ia bererti meninggalkan satu tempat dan berpindah ke satu
tempat yang lain. Dari contoh perbuatan Rasulullah Saw., meninggalkan Makkah dan
berpindah ke Yathrib (nama itu ditukar oleh Rasulullah Saw. kepada Madinah Al
Munawwarah setelah Baginda sampai dan menetap disana).
Amalan Hijrah
bukan sahaja berlaku ke atas diri Nabi Muhammad Saw. sahaja, malah telah dilakukan
terdahulu daripadanya oleh para Anbiya’ seperti Nabi Ibrahim, Musa, Isa, Yusuf
alaihimussalam dan lain-lain. Ia berlaku kerana penentangan yang amat keras di
kalangan masyarakatnya yang tidak dapat menerima da’wah yang dibawa oleh mereka,
dan mereka berpindah ke tempat yang penduduknya boleh menerima da’wah dan boleh
meneruskan da’wah Islamiyah dengan lebih aman.
Sesungguhnya
kewajiban melakukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat lain demi
kelangsungan Islam dan kemaslahatan ummatnya ini, adalah diperintahkan oleh
Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Barangsiapa
berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat
hijrah yang luas dan rizqi yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya
dengan maksud kepada Allah dan RasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum
sampai ke tempat dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan
adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 100
Hijrah ke
Madinah sebenarnya merupakan hijrah kali kedua ummat Islam setelah yang pertama
ke Habsyah. Dalam hijrah pertama inilah, Raja Habsyah bernama Najasyi rhu.
telah memeluk Islam dan kekal menjadi raja di sana. Rasulullah Saw. memutuskan
untuk berhijrah bagi mengurangkan tekanan yang dialami oleh Baginda akibat daripada
serangan bertubi-tubi puak musuh dari kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah yang
tidak senang dengan agama Tauhid yang diperkenalkan oleh Baginda.
Tekanan kuat dibuat oleh Arab Jahiliyyah selepas kewafatan
dua tokoh Quraisy yang mendokong kuat Baginda yaitu pakciknya Abu Talib Bin
Abdul Mutalib dan isteri, Khadijah Binti Khuwailid rha. Baginda telah pun cuba
mendapatkan pusat gerakan baru sekitar Makkah tetapi tidak berjaya dan ditolak
oleh suku Arab sekitarnya. Antaranya, Baginda berusaha ke Taif tetapi
penduduknya menghalau malah merejam batu ke arah Baginda dan umat Islam
sehingga Baginda luka-luka. Di masa itu juga, ummat Islam di Makkah menghadapi
kesulitan yang amat sangat kerana pemulauan dan telah berada pada tahap paling
kritikal yang mana, Arab Jahiliyah telah berpakat untuk membunuh Rasulullah
Saw. Situasi itu amat genting dan merbahaya, malah turut mengancam da’wah
Islamiyah yang tidak dapat berkembang lagi.
Atas dasar itu, Allah Swt. memerintahkan Baginda dan
seluruh umat Islam yang masih berada di Makkah supaya meninggalkan tempat itu
dan berhijrah ke Madinah. Bagi yang mengingkari arahan supaya berhijrah ke
Madinah, mereka dijanjikan dengan neraka dan ditimpakan dengan siksaan yang
amat pedih sepertimana yang ditegaskan Allah Swt. menerusi firmanNya :
“Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaaan
menzalimi diri mereka sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya : Dalam
keadaan bagaimana kamu ini? Mereka menjawab : Kami adalah orang-orang yang tertindas
di negeri kami sendiri (Makkah). Para malaikat berkata : Bukankah bumi Allah
itu luas hingga kamu dapat berhijrah di bumi itu? Orang-orang itu tempatnya
neraka Jahannam, dan ia seburuk-buruk tempat kembali”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 97
Madinah dipilih sebagai tempat hijrah kerana
masyarakat Arab di sana yang diketuai oleh dua suku terbesar iaitu Auz dan
Khazraj yang telah pun menerima agama Islam dan mengakui kerasulan Nabi Saw.
Penerimaan ini terbukti dengan Perjanjian Aqabah Pertama diantara Rasulullah
Saw. dengan sekumpulan penduduk Madinah (12 orang) dalam musim Haji tahun keduabelas
selepas kerasulan baginda. Selepas perjanjian ini, Rasulullah telah menghantar
utusan pertama ke Madinah untuk mengembangkan Islam dan memperoleh banyak
kejayaan. Pada musim haji tahun berikutnya, Perjanjian Aqabah Kedua pula
diperbuat dengan lebih ramai lagi penduduk Madinah (70 orang) menerima Islam. Setelah
itu, da’wah Islam berkembang pesat dan diterima ramai di Madinah. Beberapa
kumpulan ummat Islam Makkah telah pun diarahkan berhijrah oleh Rasulullah Saw.
terlebih dahulu ke Madinah selepas Perjanjian Aqabah Kedua.
Orang terakhir meninggalkan Makkah adalah Rasulullah
Saw. bersama Abu Bakar rhu. Mereka meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun
ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian,
baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu
dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M,
baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith,
yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal,
tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di
Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari
kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, Baginda sampai ke Madinah.
Tarikh dan perbuatan Hijrah yang dilakukan oleh
Baginda Saw. sendiri inilah yang diambilkira sebagai tonggak dan titik tolak
perbicaraan dalam berbagai perkara tanpa menafikan perbuatan hijrah telah pun
diperbuat oleh para sahabat sebelum itu lagi. Hijrah Rasulullah Saw. bersama Abu
Bakar rhu. sebagai individu terakhir tidaklah bermaksud bahawa tiada lagi ummat
Islam yang tersisa di Makkah. Hakikatnya masih ada golongan tidak berupaya,
orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak mampu untuk melakukan
perjalanan hijrah (termasuk Aisyah binti Abu Bakar rha, Asma binti Abu Bakar
rha., isteri Baginda Saudah rha. dan Ali bin Abu Talib Kmwj. ). Mereka ini
dikecualikan daripada perintah kewajiban hijrah dan dimaafkan oleh Allah Swt.
sepertimana firmanNya :
“Kecuali mereka yang
tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya
upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk berhijrah). Mereka itu, mudah mudahan
Allah memaafkannya. Dan Allah Maha Pemaaf dan Maha Pengampun”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 98-99
Hakikat dan hikmah dari perbuatan hijrah ini ialah, agama
Islam boleh berkembang secara aman dan leluasa, da’wah Islamiyah menjadi lebih
pesat, diterima dan diiktiraf di seluruh pelusuk jazirah Arab, terbentuknya
Sahifah (perlembagaan) Madinah dan sistem pemerintahan negara Islam Madinah,
penyatuan seluruh bangsa Arab dibawah panji Dua Kalimah Syahadah dan ketundukan
kepada rasulNya, peningkatan kekuatan ummat Islam dari segi ekonomi, keilmuan,
kemasyarakatan, ketenteraan dan pemerintahan. Berpusat di Madinah inilah, Islam
menjadi kukuh dan kuat sehingga mengalahkan empayar lebih besar dan kuat yaitu
Rom dan Farsi sehinggalah agama Islam tersebar luas ke seluruh dunia seterusnya
menjadi tonggak perubahan ke atas seluruh corak peradaban dunia. Demikianlah
peri pentingnya perbuatan hijrah ke Madinah di dalam agama Islam.
Rujukan :
1.
Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al
Thabari
rh. (224–310 Hijrah), Tarikh Al
Umam Wa Al Muluk At Thabari (Tarikh At Thabari), Jilid 2, halaman 98-100
2.
Imam Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam
rh. (218 Hijrah), Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, Jilid 2, halaman 88-92
3.
Imam Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh.
(700-774 Hijrah), Al Fusuul Fi Siiratir Rasul, halaman 57-60
4.
Syaikh
Abu Hashim Safiur Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar bin Muhammad Ali bin
Abdul Mu’min bin Faqirullah Al Mubarakpuri Al Adzami rh. (1360H/1942- 1427AH/2006), Raheeq al
Makhtum, halaman 232-252
5.
Syaikh
Prof. Dr. Ali Muhammad As Sallabi hafidzahullah, Biografi Rasulullah Saw.
(Jilid 1, halaman 470-482
Salah faham yang belaku sekarang ini adalah kerana ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah
Rasulullah Saw. itu berlaku pada 1 haribulan atau pun dalam bulan Muharram. Ini
disebabkan oleh : Pengetahuan tentang sejarah sebenar bagaimana kalendar tahun
Islam ditetapkan, kenapa kiraan tahun
baru bermula pada bulan Muharram, kenapa pula perkataan hijrah dan peristiwa
hijrah yang digunapakai sebagai nama tahun Islam. Perkara-perkara inilah yang
menjadi intipati kepada salahfahaman itu. Bahkan ramai yang hanya terikut-ikut
arus tradisi sahaja sementelahan tibanya 1 Muharram acap tahun, semua perkara
dihubungkait dengan hijrah malahan namanya pun maal hijrah. Dengan mudah mereka
menyimpulkan pada ketika inilah hijrah Rasulullah Saw. berlaku.
Sebenarnya
hijrah Rasulullah Saw. bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia bermula pada
malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian dan berakhir pada hari Jumaat, 12
Rabiul Awwal tahun yang sama.
Persoalannya, kenapakah perkataan dan peristiwa hijrah
digunakan pada bulan permulaan kalendar Islam yaitu Muharram, sedangkan hijrah
Rasulullah Saw. yang sebenar berlaku pada bulan Safar hingga Rabiul Awwal?
Sebenarnya, penggunaan tahun dalam Islam hanya dibuat pada
zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab rhu. yaitu pada tahun ke
17 Hijrah. Sebelum itu, bangsa Arab dan juga ummat Islam sudahpun mempunyai kiraan
hari dan bulan serta nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.
Terdapat banyak faktor yang mendorong Umar bin Al
Khattab rhu. menetapkan penggunaan tahun dalam kalendar Islam. Antaranya ialah
kerana : Umar bin Al Khattab rhu. telah menerima satu surat tentang pengumpulan
harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya : Sya'ban yang mana
satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Hal
ini memang menyulitkan beliau untuk menjalankan pemerintahan.
Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang
menulis tentang tarikh dengan tahun ialah Ya'la bin Umayyah rhu. Beliau telah
menulis surat dari Yaman, kepada Umar bin Al Khattab rhu. dengan menulis tarikh
dengan tahun, dan Umar bin Al Khattab rhu. menganggap baik perkara tersebut. Akhirnya
beliau ingin memulakan penentuan tarikh dengan tahun. Antara faktor
pendorongnya juga ialah Abu Musa Al Asy'ari telah menulis satu surat kepada Umar
bin Al Khattab rhu., menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak
surat-surat daripada Umar bin Al Khattab rhu. tanpa tarikh (dan ini boleh
menimbulkan kekeliruan). Lalu Umar bin Al Khattab rhu. mengumpulkan para
sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.
Setelah Umar bin Al Khattab rhu. mengumpulkan para
sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam
menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah : daripada
tarikh kelahiran Baginda, atau dari tarikh Baginda dibangkitkan menjadi rasul
atau dari tarikh Baginda hijrah atau dari tarikh kewafatan Baginda. Lalu
akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasulullah Saw. (12 Rabiul
Awwal tiba di Madinah) sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak
menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat
khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh
kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan
permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Kerana
itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan
asas permulaan tarikh.
Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat
tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Umar bin Al Khattab rhu.
menyatakan kata-katanya yang masyhur,
الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها
“Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia
asas permulaan tarikh ”.
Berkata Imam
As Suhaily rh., para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan
firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz :
“Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas
ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu
bersolat di dalamnya”.
Surah At Taubah
(9) : ayat 108.
Terangnya
lagi : Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang
sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada
sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan
Islam, dan zaman pertama Nabi Saw. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang
gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid. Kerana itulah sepakat para
sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi Saw.
dan para sahabat memasuki Madinah.
Setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas
permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah
akan dimulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan
supaya dimulakan dengan Rajab, dan ada pula dengan Ramadhan. Namun Usman bin
Affan rhu. mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan Muharram. Antara
alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat Arab,
kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para
jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga
mencadangkan bulan Muharram ialah Umar bin Al Khattab rhu. sendiri dan Ali bin
Abu Talib kmwj.
Akhirnya, para
sahabat telah sepakat memilih bulan Muharram sebagai permulaan tahun hijrah,
dan bukannya Rabiul awwal. Antara sebab yang mungkin paling tepat kerana
memilih bulan Muharram ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah
pada bulan Muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan Zulhijjah.
Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan
pertama yang muncul setelah Zulhijjah ialah Muharram, kerana itu sesuai
dijadikan Muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.
Inilah
sebahagian daripada fakta berkaitan yang menjelaskan persoalan ketidakfahaman
tentang sejarah sebenar bagaimana kalendar tahun Islam ditetapkan, kenapa
kiraan tahun baru bermula pada bulan Muharram serta kenapa pula perkataan
hijrah dan peristiwa hijrah digunapakai sebagai nama tahun Islam. Semoga dengan
fakta ini, sedikit sebanyak dapat membantu menghilangkan kekeliruan tentang
persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi Saw. serta kaitannya
dengan nama tahun dalam kalendar Islam.
Rujukan :
1. Imam Al Hafiz Ahmad Bin Ali Bin
Muhammad Bin Muhammad Bin Hajar Al Asqalani, Fathul Bari Syarah Sahih Bukhari.
Kitab Manaqib Al Ansar, Bab At Tarikh, Juz 7, halaman 341- 342
2. Imam Al Hafiz Jalaluddin Abdurrahman
Bin Abu Bakar Bin Muhammad Bin Sabiquddin Al Asiyuthi, Kitab Tarikh Al Khulafa’
3. Syeikh Prof. Dr. Muhammad Baltaji,
Ijtihad Umar Bin Al Khattab Dalam Penetapan Syariat Islam, halaman 439-445
Kesimpulan
ringkas, lebih tepat sebenarnya untuk mengadakan acara, majlis dan kuliyah
berkaitan hijrah pada 27 Safar sehingga 12 Rabiul Awwal kerana itulah tempoh
sebenar Rasulullah Saw. melakukan hijrah dari Makkah ke Madinah. Tempoh ini
jugalah yang lebih tepat untuk disebut Maal Hijrah. Perkataan hijrah yang
dinamakan kepada tahun Islam adalah kerana peristiwa hijrah Rasulullah Saw.
yang menjadi titik tolak kepada kejayaan dan kemenangan Islam. Penetapan 1
Muharram dan bulan Muharram sebagai tarikh permulaan tahun kalendar Islam adalah
atas sebab-sebab tersendiri yang tidak berkenaan dengan peristiwa hijrah.
Hijrah
sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat
Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa hendaklah kita sentiasa bergerak
menuju Allah Swt. Orang yang sedia berhijrah adalah orang yang berusaha
meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai
melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah
untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa
memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana
Allah adalah sia-sia, dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke
destinasinya.
Nota : Tahun lepas, apabila saya
menyatakan yang riwayat adanya doa akhir tahun dan doa awal tahun sebagai
palsu, saya mendapat banyak argument balas termasuk juga beberapa kutukan dan
cemuhan. Dari catatan sejarah muktabar seperti yang saya nyatakan di atas,
adalah jelas sekali penetapan tahun Islam adalah pada tahun ke 17 Hijrah yang
juga 6 tahun selepas wafat Rasulullah Saw. Fakta ini sendiri menjelaskan bahawa
riwayat itu memang batil dan palsu. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah
sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis
malah secara batil pula dikaitkan dengan junjungan mulia Nabi Saw., maka
seharusnya ditinggalkan.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang
tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Metajam
0 ulasan:
Catat Ulasan