Jumaat, 27 Januari 2012

Sembelihan (part 2)

0 ulasan


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani ibadah hari raya I’edul Adha kepada semua. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Dalam bab sembelihan, saya ambil huraian lengkapnya daripada artikel tulisan sahabat saya Abu Numair An Nawawi. Sebarang tambahan atau penjelasan lanjut dari saya sendiri, saya akan dicatatkan dibawah “Nota Tambahan”.

[Ketujuh] Teknik Sembelihan (at-Tadzkiyah)

At-Tadzkiyah menurut bahasa adalah mashdar dari dzakaitu al-hayawan (aku menyembelih haiwan). Dan isim (bentuk kata benda)nya adalah dzakah, iaitu adz-Dzabh dan an-Nahr. Menurut istilah, ia adalah faktor yang menyebabkan dihalalkan memakan haiwan darat.

Para ulama menjelaskan bahawa an-Nahr (menusuk pada bahagian leher) adalah teknik sembelihan khusus bagi unta, dan adz-Dzabh (sembelihan dengan cara memotong di leher) adalah bagi haiwan selain unta.

Mazhab Abu Hanifah mengatakan, “Penyembelihan adalah suatu kaedah yang syar’i untuk menjaga kesucian haiwan agar halal untuk dimakan sekiranya ia halal dimakan. Atau bagi tujuan memanfaatkan kulit dan bulunya jika haiwan tersebut tidak halal dimakan”.
Kitab Sahih Fiqhus Sunnah, Jilid 2 halaman 357 – Maktabah at-Taufiqiyah

Mazhab al-Hanabilah (pengikut Ahmad B. Hanbal) mendefinisikannya sebagai, “Dzabh (memotong) atau Nahr (menusuk) adalah kaedah penyembelihan untuk haiwan darat yang berada dalam kawalan (yang mampu ditangkap) selain belalang atau yang sejenisnya dengan memotong saluran halkum (trakea/salur pernafasan) dan mari’ (esofagus/salur makanan), atau dengan cara menusuk bagi haiwan yang kuat meronta atau terhalang dari menyembelihnya (sebagaimana membunuh haiwan buruan – Pen.)”.
Kitab Sahih Fiqhus Sunnah, Jilid 2 halaman 357 – Maktabah at-Taufiqiyah

Kaedah membunuh haiwan buruan yang liar yang tidak dapat ditangkap adalah dengan cara melemparkan (iaitu menusukkan) pada mana-mana bahagian tubuhnya dengan senjata tajam atau dengan menggunakan khidmat haiwan pemburu yang terlatih.

Adapun berkenaan syarat sembelihan atau bahagian yang perlu diputuskan atau dipotong, Imam an-Nawawi rohimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan :

الشافعى وأصحابه وموافقوهم لاتحصل الذكاة إلابقطع الحلقوم والمرئ بكمالهما ويستحب قطع الودجين ولايشترط وهذا أصح الروايتين عن أحمد وقال بن المنذر أجمع العلماء على أنه اذا قطع الحلقوم والمرئ والودجين وأسال الدم حصلت الذكاة قال واختلفوا فى قطع بعض هذا

“Imam asy-Syafi’i rh., para sahabatnya, dan orang-orang yang bersetuju dengannya mengatakan, “Tidak sah suatu sembelihan melainkan setelah terpotong pada halkum (salur pernafasan) dan mari’ (salur makanan/esofagus) secara sempurna. Dan disunnahkan memotong dua urat darahnya yang lain (yang terdapat di sekitar leher), tetapi ini tidaklah termasuk syarat. Dan ini juga adalah pendapat yang kuat dari Imam Ahmad rh. berdasarkan dua riwayat.

Ibnu Al Mundzir rh. berkata, “Para ulama telah sepakat (ijma’) bahawa apabila telah terpotong halkum (salur pernafasan), salur makanannya (esofafus), dan kedua urat darah pada leher haiwan sembelihan, serta mengalirkan darahnya, maka ini sudah dianggap sebagai sembelihan yang benar dan sah.” Al-Mundzir melanjutkan “Dan mereka (para ulama) berselisih apabila yang terpotong hanya sebahagian dari apa yang disebutkan ini”.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 13 halaman 24

Berkaitan haiwan liar atau haiwan yang yang asalnya jinak tetapi kemudian menjadi liar, Imam an-Nawawi rohimahullah menjelaskan :

وأما المتوحش كالصيد فجميع أجزائه يذبح مادام متوحشا فإذا رماه بسهم أو أرسل عليه جارحة فأصاب شيئا منه ومات به حل بالاجماع وأما اذا توحش انسى بأن ند بعير أو بقرة أو فرس أوشردت شاة أو غيرها فهو كالصيد فيحل بالرمى إلى غير مذبحه وبإرسال الكلب وغيره من الجوارح عليه

“Adapun bagi haiwan liar yang termasuk haiwan buruan, maka seluruh anggotanya boleh dijadikan sebagai sasaran sembelihan selagi mana ia liar dan tidak dapat ditangkap (untuk disembelih secara normal) sehingga apabila dilempar dengan tusukan panah atau ditangkap oleh anjing pemburu yang terlatih kemudian mengenai sebahagian dari anggota badannya dan mati, maka hukumnya adalah halal dengan ijma’ (kesepakatan ulama).

Adapun jika haiwan jinak yang bertukar liar (mengganas) seperti unta yang terlepas (atau mengamuk - pen.), atau lembu, atau kuda, atau mungkin kambing dan selainnya, maka ia dianggap sebagaimana haiwan buruan yang mana ia boleh dilempar dengan panah (objek tajam) di selain tempat sembelihannya yang asal dan boleh juga ditangkap menggunakan khidmat anjing pemburu yang terlatih”.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 13 halaman 126

Ini adalah sebagaimana dalil hadis daripada ‘Abayah bin Rifa’ah bin Rafi’ bin Khadij yang menjelaskan daripada datuknya :

كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِذِي الْحُلَيْفَةِ فَأَصَابَ النَّاسَ جُوعٌ فَأَصَابُوا إِبِلًا وَغَنَمًا قَالَ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أُخْرَيَاتِ الْقَوْمِ فَعَجِلُوا وَذَبَحُوا وَنَصَبُوا الْقُدُورَ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقُدُورِ فَأُكْفِئَتْ ثُمَّ قَسَمَ فَعَدَلَ عَشَرَةً مِنْ الْغَنَمِ بِبَعِيرٍ فَنَدَّ مِنْهَا بَعِيرٌ فَطَلَبُوهُ فَأَعْيَاهُمْ وَكَانَ فِي الْقَوْمِ خَيْلٌ يَسِيرَةٌ فَأَهْوَى رَجُلٌ مِنْهُمْ بِسَهْمٍ فَحَبَسَهُ اللَّهُ ثُمَّ قَالَ إِنَّ لِهَذِهِ الْبَهَائِمِ أَوَابِدَ كَأَوَابِدِ الْوَحْشِ فَمَا غَلَبَكُمْ مِنْهَا فَاصْنَعُوا بِهِ هَكَذَا فَقَالَ جَدِّي إِنَّا نَرْجُو أَوْ نَخَافُ الْعَدُوَّ غَدًا وَلَيْسَتْ مَعَنَا مُدًى أَفَنَذْبَحُ بِالْقَصَبِ قَالَ مَا أَنْهَرَ الدَّمَ وَذُكِرَ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ فَكُلُوهُ لَيْسَ السِّنَّ وَالظُّفُرَ وَسَأُحَدِّثُكُمْ عَنْ ذَلِكَ أَمَّا السِّنُّ فَعَظْمٌ وَأَمَّا الظُّفُرُ فَمُدَى الْحَبَشَةِ

“Kami bersama Nabi Saw. di Dzul Hulaifah ketika sebahagian orang mengalami kelaparan lalu mereka mengambil (harta rampasan perang berupa) unta dan kambing. Ketika itu Nabi Saw. berada di belakang bersama rombongan yang lain. Orang-orang yang kelaparan tersebut menyembelih lalu mengambil daging sebanyak satu kuali.

Maka Nabi Saw. memerintahkan agar kuali tersebut ditumpahkan isinya. Kemudian Baginda membahagi sama-rata di mana bahagian setiap sepuluh ekor kambing sama dengan satu ekor unta. Tetapi kemudian ada seekor unta yang lari lalu mereka mencarinya sampai kepenatan. Sementara itu di antara mereka ada yang memiliki seekor kuda yang lincah lalu ia pun mencari unta yang terlepas tadi dan memburunya dengan panah hingga akhirnya Allah mentakdirkannya dapat membunuh unta tersebut.

Baginda Saw. bersabda, “Sesungguhnya haiwan seperti ini hukumnya sama dengan haiwan liar (haiwan buruan). Maka apa sahaja yang terlepas dari kamu (dan gagal untuk ditangkap), lakukanlah seperti ini. Datukku berkata, “Kita berharap atau bimbang bertemu musuh pada esok hari sedangkan kita tidak memiliki pisau, adakah kita boleh menyembelih dengan kayu?”

Baginda bersabda, “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah kecuali yang ditumpahkan darahnya dengan gigi dan kuku, dan akan kusampaikan tentang itu. Adapun gigi, ia termasuk tulang. Manakala kuku, ia adalah pisaunya orang-orang Habsyah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari, Bab 8 halaman 391, no. 2308

Haiwan buruan yang mati hendaklah ia mati dengan sebab terkena tusukan pada bahagian alat yang tajam yang mengalirkan darah sama ada dengan mata lembing, panah, atau alat-alat yang seumpamanya yang tajam. Dan bukan pada bahagian yang tumpul seperti misalnya pada bahagian hulu lembing atau juga tidak boleh dibaling dengan bahan tumpul seperti batu yang seumpamanya. Melainkan sekiranya ia sempat disembelih sebelum mati, maka halal. Jika mati kerana dilempar dengan objek tumpul, maka haram dimakan.

Ini sebagaimana hadis dari ‘Adi Bin Hatim rhu. beliau berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah Saw. tentang berburu dengan lembing (tombak), maka Baginda bersabda :

إِذَا أَصَبْتَ بِحَدِّهِ فَكُلْ فَإِذَا أَصَابَ بِعَرْضِهِ فَقَتَلَ فَإِنَّهُ وَقِيذٌ

“Apabila ia terkena pada bahagian yang tajam, maka makanlah. Tetapi apabila terkena pada bahagian yang tumpul lalu haiwan buruan tersebut terbunuh, maka janganlah memakannya kerana ia termasuk haiwan yang terbunuh kerana dibaling dengan objek tumpul”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 17 halaman 131, no. 5054

[Kelapan] Menyebut Nama Allah Ketika Menyembelih

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman :

وَلا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ وَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَيُوحُونَ إِلَى أَوْلِيَائِهِمْ لِيُجَادِلُوكُمْ

“Dan janganlah kamu memakan haiwan-haiwan yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, sesungguhnya perbuatan tersebut adalah suatu kefasiqan”.
Surah Al An’am (6) : ayat 121

Telah bersabda Rasulullah Saw., “Setiap apa yang ditumpahkan darahnya dengan disebut nama Allah maka makanlah...”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 8 halaman 391, no. 2308

Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. (Wafat: 774H) menyatakan :

استدل بهذه الآية الكريمة من ذهب إلى أنه لا تحل الذبيحة التي لم يذكر اسم الله عليها، ولو كان الذابح مسلما

“Ayat ini adalah dalil bahawa sembelihan tidak halal sekiranya tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya walaupun yang menyembelihnya adalah seorang muslim”.
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 324

Telah berkata Abdullah Ibnu Abbas rhu., “……………………..(Tetapi sekiranya dia terlupa), maka tidak mengapa”.
Imam Ibnu Hajar Al Asqolani rh. Kitab Fathul Bari, Jilid 9 halaman 624

Manakala ketika menyembelih haiwan qurban, disunnahkan membaca basmallah dan takbir sambil berdoa memohon agar qurbannya diterima Allah Swt. Bagi haiwan buruan pula, nama Allah hendaklah disebut ketika melepaskan haiwan pemburu atau ketika melemparkan senjata tajam ke arah sasaran.

Ini adalah sebagaimana sabda Nabi Saw. :

وَمَا صِدْتَ بِقَوْسِكَ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ الْمُعَلَّمِ فَذَكَرْتَ اسْمَ اللَّهِ فَكُلْ وَمَا صِدْتَ بِكَلْبِكَ غَيْرِ مُعَلَّمٍ فَأَدْرَكْتَ ذَكَاتَهُ فَكُلْ

“Buruan yang kamu perolehi dengan tombakmu setelah menyebut nama Allah maka makanlah, buruan yang diperolehi oleh anjingmu yang terlatih setelah menyebut nama Allah di ketika melepaskannya maka makanlah, dan buruan yang diperolehi oleh anjingmu yang tidak terlatih jika kamu sempat menyembelihnya maka makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari, Bab 17 halaman 135, no. 5056

[Kesembilan] Memastikan Haiwan Benar-benar Mati

Haiwan yang disembelih hendaklah dipastikan telah benar-benar mati terlebih dahulu sebelum dilakukan proses seterusnya. Dan kematiannya hendaklah dilakukan dengan semata-mata sembelihan tanpa sebarang tekanan atau paksaan.

Ini berdasarkan firman Allah Swt. :

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا

“Dan telah Kami jadikan untuk kamu unta-unta itu sebahagian dari syi'ar Allah, kamu mendapat kebaikan yang banyak padanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah terikat). Kemudian apabila telah rebah (mati), maka makanlah darinya...”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

Rasulullah Saw. telah bersabda :

مَا قُطِعَ مِنَ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ، فَهُوَ مَيْتَةٌ

“Apa-apa bahagian yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, maka potongan tersebut adalah bangkai”.
Hadis riwayat imam Ahmad, 36/233, no. 21903. 36/235, no. 21904. Dinilai hasan oleh imam at Tirmidzi rh. dan Syu’aib Al Arnauth rh.

Imam Ibnu Katsir rh. menyatakan dalam Tafsirnya, “Janganlah kamu mengambil daging unta setelah disembelih melainkan setelah benar-benar mati dan tidak bergerak lagi.

Juga disebutkan dalam hadis marfu’ :

ولا تُعجِلُوا النفوسَ أن تَزْهَق

“Jangan dipaksa-paksa ruh haiwan sembelihan agar segera keluar.”
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 5 halaman 428

[Kesepuluh] Sembelihan Ahli Kitab

Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman :

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ

“Pada hari ini dihalalkan bagi kamu yang baik-baik. Makanan orang-orang yang diberi al-Kitab itu halal bagi kamu, dan makanan kamu juga halal bagi mereka”.
Surah Al Ma’idah (5) : ayat 5

Makanan ahli kitab yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sembelihan ahli kitab. Ini adalah suatu yang telah disepakati oleh para ulama bahawa sembelihan mereka halal bagi umat Islam. Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 40

Secara umumnya, apa jua makanan berupa hasil sembelihan ahli kitab, ia adalah halal bagi umat Islam melainkan padanya jelas tanpa terselindung adalah makanan yang diharamkan bagi umat Islam untuk memakannya, atau mengandungi unsur-unsur terlarang seperti bercampur dengan khamr (arak), babi, atau padanya disebut nama selain nama Allah ketika menyembelih. Adapun apa yang tidak diketahui di sebalik itu, maka cukuplah maklumat secara umum dan tidak dibebankan ke atas kita untuk menyemak atau mempersoalkannya secara mendalam terlebih dahulu sebelum memakannya.

Demikian juga dengan hasil sembelihan yang datang dari umat Islam, maka kita menerimanya tanpa terlebih dahulu mempertikai, mempersoal, atau menyemaknya secara terperinci. Melainkan padanya secara jelas memiliki unsur-unsur yang haram lagi meragukan.

Ahli Kitab di sini merujuk kepada Yahudi dan Nasara secara umum tanpa membezakan Ahli Kitab di zaman Nabi atau di zaman sekarang, ataupun yang akan datang. Sama ada yang kuat berpegang kepada ajarannya yang asal atau yang telah diubah-suai. Kerana Ahli Kitab di zaman Nabi sendiri memang turut dikenali sebagai termasuk orang-orang yang mengubah-suai Kitab yang diturunkan kepada mereka.

Apabila diberi daging hasil sembelihan, dari mana-mana kalangan umat Islam atau Ahli Kitab, maka makanlah tanpa ragu-ragu dan mulakannya dengan membaca basmallah.

Ini adalah sebagaimana keterangan yang dapat diambil dari hadis ‘Aisyah rha. ketika bertanya perkara berkaitan. ‘Aisyah bertanya :

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ هَا هُنَا أَقْوَامًا حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ بِشِرْكٍ يَأْتُونَا بِلُحْمَانٍ لَا نَدْرِي يَذْكُرُونَ اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا أَمْ لَا قَالَ اذْكُرُوا أَنْتُمْ اسْمَ اللَّهِ وَكُلُوا

“Wahai Rasulullah, di sini ada beberapa kaum yang baru saja meninggalkan kesyirikan (baru masuk Islam), mereka biasa membawakan daging untuk kami yang kami tidak tahu sama ada mereka menyembelihnya dengan menyebut nama Allah atau pun tidak?” Nabi menjawab, “Kamu sebutlah nama Allah, dan makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Al Bukhari rh., Bab 22 halaman 400, no. 6849

Dalam sebuah riwayat menyebutkan ketika Rasulullah Saw. bersama-sama para sahabatnya dihadiahkan seekor kambing bakar oleh seorang wanita Yahudi, Baginda pun memakannya tanpa was-was atau memperincikannya terlebih dahulu kedudukan daging tersebut walaupun pada daging tersebut rupa-rupanya mengandungi racun.
Rujuk Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 3 halaman 40

Riwayat atau kisah ini menjadi dalil bahawa tidak disunnahkan untuk terlalu memperincikan pemberian ahli kitab yang berupa hasil sembelihannya sebelum memakannya.

[Kesebelas] Haram Menyembelih Untuk Selain Allah

Sesungguhnya Allah Swt. telah berfirman :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

“Diharamkan bagi kamu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati terjatuh, yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya. Dan (diharamkan bagi kamu) haiwan yang disembelih untuk berhala………”.
Surah Al Ma’idah (5) : sebahagian ayat 3

Haiwan yang disembelih yang padanya disebut dengan nama selain nama Allah, atau bagi tujuan pemujaan dan penyembahan, maka hukumnya adalah haram dimakan secara ijma’.

[Kedua Belas] Penyembelihan Janin Dalam Perut Induk

Apabila seekor haiwan yang disembelih dan dalam kandungannya terdapat janin yang mati, maka janin tersebut halal dimakan berdasarkan pendapat ulama yang paling sahih. Kerana ia secara hakikinya telah tersembelih bersama-sama dengan penyembelihan ibunya. Ini adalah pendapat jumhur kecuali Abu Hanifah.

Adapun bagi janin yang keluar dalam keadaan hidup dengan hayat mustaqirah, maka tidak halal dimakan melainkan dengan disembelih terlebih dahulu.
Abu Malik Kamal, Shahih Fiqhus Sunnah, 2/365-366 – Maktabah at-Taufiqiyah

Pendapat ini didokong oleh hadis dari Abu Sa’id Al Khudri rhu, beliau berkata :

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْجَنِينِ فَقَالَ كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ وَقَالَ مُسَدَّدٌ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَنْحَرُ النَّاقَةَ وَنَذْبَحُ الْبَقَرَةَ وَالشَّاةَ فَنَجِدُ فِي بَطْنِهَا الْجَنِينَ أَنُلْقِيهِ أَمْ نَأْكُلُهُ قَالَ كُلُوهُ إِنْ شِئْتُمْ فَإِنَّ ذَكَاتَهُ ذَكَاةُ أُمِّهِ

“Aku bertanya kepada Rasulullah Saw. tentang janin. Maka Baginda bersabda, “Makanlah jika kamu suka.” Musaddad berkata, kami katakan, “Wahai Rasulullah, kami menyembelih unta, lembu, dan kambing, kemudian kami dapati janin di dalam perutnya. Adakah kami perlu membuangnya atau kami boleh memakannya?” Baginda berkata, “Makanlah jika kamu mahu, kerana penyembelihannya adalah dengan menyembelih ibunya”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh., Jilid 8 halaman 3, no. 2444. Dinilai sahih oleh Syaikh Al Albani rh.

[Ketiga Belas] Ringkasan Syarat-syarat Umum Penyembelihan

1. Haiwan yang disembelih hendaklah masih hidup ketika sembelihan dilaksanakan.
2. Matinya haiwan adalah dengan secara normal (natural) hasil sembelihan.
3. Haiwan tersebut bukan termasuk haiwan buruan di tanah haram.
4. Orang yang menyembelihnya hendaklah berakal (tidak gila atau mabuk) sama ada lelaki ataupun wanita, sama ada baligh atau pun belum, iaitu yang telah tamyiz (tahu membezakan di antara yang baik dengan yang buruk).
5. Menyebut nama Allah ketika menyembelih. Dan dimaafkan sekiranya terlupa.
6. Penyembelih hendaklah dari kalangan Muslim atau Ahli Kitab.
7. Bukan dalam keadaan ihram. Mereka yang menyembelih dalam keadaan sedang berihram, maka hasilnya adalah bangkai. Dan syarat ini adalah bagi sembelihan haiwan buruan. Adapun bagi haiwan yang jinak, tidak mengapa disembelih oleh orang-orang yang berihram.
8. Bukan disembelih untuk tujuan pemujaan, penyembahan, dan yang padanya disebut dan diniyatkan kepada selain dari nama Allah.

Nota Tambahan : Saya ada ditanya oleh beberapa rakan berkenaan sahkah sembelihan yang dibuat oleh wanita. Maklumbalas saya adalah begini :

Sembelihan yang diperbuat wanita muslimah adalah halal di makan oleh sesiapapun. Dalil kepada perkara ini dinyatakan oleh kalam Allah Swt. sendiri di dalam Al Qur’an ul Hamiid yang tidak membezakan antara wanita atau lelaki dalam melakukan penyembelihan.

“Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk dan yang diterkam oleh binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala………………….”.
Surah Al Maaidah (5) : sebahagian ayat 3

Dalil seterusnya adalah Rasulullah Saw. sendiri memberi perakuan bahawa sembelihan orang perempuan adalah sah dan boleh dimakan menerusi hadis berikut :

Dari Ubaidullah, bahawa Naafi' telah mendengar Ka'ab ibn Malik meriwayatkan dari bapanya bahawa mereka pernah mempunyai kambing dan binatang tersebut dilepaskan merayap di Bukit Sala', di kota Madinah. Salah seorang dari hamba wanita menyedari bahawa seekor kambingnya berada di dalam keadaan tertimpa musibah, lalu dia memecahkan batu dan menyembelihnya. Kata beliau : 'Jangan makan sehingga aku bertanyakan kepada Nabi Saw. atau aku menghantar seseorang untuk bertanya kepada Baginda.' Maka dia bertanya kepada Nabi Saw, atau menghantar seseorang untuk bertanya, dan Baginda memberitahunya : Makanlah”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 5505

Seterusnya berkenaan melafazkan takbir semasa menyembelih. Semua hadis yang menyebut hal ini adalah berkaitan bab semasa menyembelih udhiyah sahaja dan bukan pada sembelihan biasa yang lain. Merujuk kepada persoalan yang ditanya, yang menjadi isu adalah bagaimanakah takbir itu diperbuat. Baik sekali saya nukilkan hadis yang menjelaskan perkara ini, begini :

Dari Anas bin Malik rhu., ia berkata : “Nabi Saw. menyembelih binatang qurban dengan dua ekor kambing kibas yang besar sekali badannya. Aku melihat Baginda meletakkan kedua telapak kakinya pada leher kedua binatang tersebut. Setelah menyebut “Bismillah” dan “bertakbir”, Baginda kemudian menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri.
Catatan dari perawi menyebut, lafaz takbir itu أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh., no. 5558

Dari Anas bin Malik rhu., ia berkata : “Rasulullah Saw. pernah menyembelih dua ekor kambing kibas yang putih dan bertanduk bagus. Anas mengatakan : Aku melihat Baginda menyembelih keduanya dengan tangan Baginda sendiri dan aku juga melihat Baginda meletakkan kedua telapak kakinya pada samping leher kedua kibas tersebut. Anas menceritakan bahawa Baginda menyebut “Bismillah” dan “bertakbir”.
Hanya saja perawi menyatakan : dan Baginda mengucapkan itu أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh., no. 5063

Perkataannya “Baginda menyebut nama Allah” merupakan penjelasan tentang keharusan membaca اللهِ بِسْمَ ketika menyembelih haiwan qurban dan setiap sembelihan lainnya. Perkataannya “dan bertakbir” menerangkan tentang disunnahkannya bertakbir bersamaan dengan membaca  اللهِ  بِسْمَ  yaitu dengan mengucapkan  أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ . (Bismillahi wa Allahu Akbar)
Penjelasan oleh Imam Nawawi rh., Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 9 halaman 524

Maka itu, yang dimaksudkan dengan “menyebut Bismillah (dengan nama Allah) dan bertakbir” itu adalah mengucapkan أَكْبَر  وَاللهُ  اللهِ  بِسْمَ  semasa hendak menyembelih. Ia diperbuat / diucapkan oleh orang yang menyembelih qurban itu sahaja, bukannya oleh orang lain dan bukan juga lafaz takbir itu seperti mana lafaz takbir raya yang penuh dan dibuat secara beramai-ramai seperti amalan orang banyak.

Ada pun perkara melaungkan azan sepertimana azan masuknya waqtu solat sebelum membuat sembelihan, tidak pernah saya temui keterangannya di dalam mana-mana hadis pun sepanjang pengetahuan saya. Oleh itu, tidak boleh ia diperbuat kecuali didatangkan dalil yang sahih dan qati’e yang membenarkannya. Mungkin juga ada ilmuwan lain yang lebih arif dan faqih, yang boleh memberikan keterangan yang benar sahih tentang amalan ini berbanding saya yang serba dhaif ini.

Setakat ini dahulu yang dapat saya nukilkan. Mudah-mudahan ia telah membantu saudara dan rakan-rakan semua. Segala kekurangan saya pohon ribuan maaf.

والله اعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان
والسلام

Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: