بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي
أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat
menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua jamaah seraya mendoakan agar
sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam
keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang
teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Saya berlindung diri dengan
Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon
pimpinanNya sentiasa dalam menukilkan artikel ini.
Rentetan dari artikel Jagalah Aqidah Kita,
Jangan Gadai dan Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam 1, saya
mendapat banyak maklumbalas, soalan dan hujjahan. Agak teruk juga saya “dibelasah”.
Bersama ini saya sertakan sebahagian dari maklumbalas tersebut untuk pedoman
dan manfaat ilmiyah bersama. InsyaAllah.
Sent: Thursday, March 8, 2012
12:15 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Salam tuan, nampaknya Ustaz Mad masih
samar-samar dan takut-takut dalam memberi keterangan…...takutlah pada Allah Swt.,
ikutlah sunnah Rasul Allah, Muhammad Rasulullah. Tak perlu berpusing-pusing
Sent: Thursday, March 8, 2012
12:34 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Wa'alaika ya syeh, moga enta sihat
wal’afiat. menarik komen nih tuan, kat mana yang samar-samar tu. Untuk kita
kongsi bersama, insyaAllah
Sent: Thursday, March 8, 2012
3:54 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Samar-samar bab perayaan merdeka, hari ibu
dan lain-lain, semua tu hari-hari besar contoh tauladan nasrani, kristian, yahudi
dan majusi, jadi kenapa dok kata boleh pula…. Apa kurang sangatkah perayaan
dalam Islam sendiri sampai kena tiru perangai kafiruun ni. atau Nabi Saw. tak
cukup bagi pengajaran dan as sunnah tak lengkap.
Cakap saja tak boleh semua berasal
kafiruun tu…… dan perayaan depa pun tak boleh, tak kan tak ingat ayat “qulya
kafirun” …....ada lagi komen saya akan menyusul insyaAllah.
Sent: Thursday, March 8, 2012
4:11 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Salaam Ustaz, saya setuju dengan
komen-komen nih, nampaknya dah semua yang dibuat orang kafir nih kita dah boleh
buat, dah tu apa yang bezanya kita dengan orang kafir nih. Harap dapat Ustaz
bagi lebih detail, supaya ramai orang tak pening. 2 atikel ni nampak macam
tergantung saja. Dah tu yang mana satu nak diikut.
Bukankah jelas dalam Islam ini, jelas
antara yang haram dan yang halal, antara keduanya syubhat, meninggalkan yang
syubhat itu lebih baik. Kalau dah semua boleh, mana ada yang syubhat lagi. Mana
boleh borong halalkan semua sekali.
Wassalam
Sent: Thursday, March 8, 2012
5:27 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Salaam tuan-tuan yang dihormati. Ok, faham
dah. Syukran atas concerns yang dinyatakan. Saya akui, memang ada perbahasan
tentang hari-hari sambutan itu. Dan ini bukan hal baru pun, malah telah lama
berlanjutan.
Sedikit prinsip asas, yang mahu saya
katakan : Apa-apa jua amalan, ritual, adat dan budaya yang telah dijelaskan,
diperlakukan dan diakui oleh Nabi Saw. dan para sahabatnya, tidak menjadi titik
persoalan disini lantaran ianya telah pun diterima, khalas. Misalnya, telah
menjadi budaya bangsa Arab sebelum kelahiran Nabi Saw. lagi, memakai serban,
jubah, menunggang kuda, memanah, memakan dhab, tidak berperang dalam 4 asyhurul
hurum, puasa Asyura (10 Muharam) dan beberapa lagi. Namun apabila ianya
diperbuat dan diakui oleh Nabi Saw. sendiri, maka diterima ia sebagai
sebahagian daripada As Sunnah. Yang membezakan hanyalah status hukumnya di
dalam syara’ yaitu sama ada ia wajib, sunnat, harus atau makruh.
Mesti juga diingati, bukan semua pula adat
budaya pada masa itu diterima oleh Nabi Saw. seperti membunuh anak perempuan,
hanya lelaki mewarisi harta, pesta-pestaan, meminum arak, menjadikan anak
angkat sebagai anak sendiri dan berbagai lagi yang ditolak oleh baginda. Lalu
menjadikan ia berstatus haram mengikut syara’ dan melakukannya adalah berdosa.
Perkara yang dinyatakan di atas tadi
adalah sesuatu yang telah qati’e (putus/muktamad) dan bukanlah hal sebegitu yang
diperkatakan disini. Perbincangan ini menjurus kepada apa yang sedang berlaku di
zaman sekarang ini, yang tiada hukum ke atasnya dahulu untuk diikuti. Situasi
ini berlaku disebabkan oleh perubahan zaman dan evolusi pemodenan manusia serta
berkembangnya Islam ke serata pelusuk dunia, yang telah menerobos ke dalam
kepelbagaian adat resam, budaya, bangsa, negara dan bahasa yang jauh berbeza
berbanding kehidupan baginda disekeliling masyarakat Arab terdahulu.
Justeru itu, persoalan yang timbul adalah,
dalam semua bentuk kepelbagaian adat resam dan budaya itu, setakat mana ia
boleh diamalkan dan selaras dengan ketetapan syari’at lantaran kita sebagai
ummat Muslimin, terikat dengan perbatasan aqidah dan amalan Islam yang
diharamkan kita melepasinya. Kerana itulah ijtihad atau pun fatwa bersifat waqi’ (reality) dan mu’asir
(kontemporari) mestilah dibuat selaras dengan keperluan semasa sama ada
bersifat global atau pun setempat.
Ini bagi membolehkan ummat Muslimin hidup di mana pun
di seluruh pelosok muka bumi ini. Juga bagi membolehkan ummat Muslimin hidup
dalam persekitaran yang berbeza-beza, bermuammalah dengan segala macam manusia
tanpa melanggar ketetapan syara’ terutamanya kepada ummat Muslimin yang
berstatus minority dalam sesebuah tempat.
والله اعلم
Sent: Thursday, March 8, 2012
10:41 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
InsyaAllah saya boleh faham apa yang
dimaksudkan. Tapi bukankah ada antara upacara itu yang jelas bertentangan
dengan syara’ misalnya valentine day, halloween, hormat tugu, thaipusam, gawai dan banyak lagi lah. Malah
ada juga majlis dan upacara macam menurun, poco-poco, kuda kepang dan lain-lain
yang penuh tahyul. Ini semua bertentangan dengan Islam tapi orang buat juga,
tidak pun difatwakan sebagai haram.
Saya sendiri berpendapat yang fatwa Syeikh
Qardawi ini memang mengelirukan. Yang paling ditakuti adalah, akan ada golongan
yang menganbil kesempatan untuk bermudah-mudah dalam hal hukum hakam dan
akhirnya menghalalkan apa saja.
Harap boleh kasi komen sikit.
Sent: Friday, March 9, 2012 7:58
AM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Terima kasih atas pandangan. Saya amat
bersetuju dan tertarik dengan pandangan tuan. Cuma skop perbincangan dah jadi
meluas sampai tahap amalan ritual budaya masyarakat. Memang wajar hal ini
disebutkan dan memang ada asasnya perkara ritual sebegitu diperhalusi dakam konteks
syara’ supaya ummat Muslimin tidak terjebak dalam perbuatan yang khurafat dan
diharamkan. Cuma baik sekali kita juruskan skop perbincangan ini kepada hal
perayaan bukan Islam, takut nanti terlalu luas sampai kita tak ketahuan kepala
ekor. Mungkin boleh nanti kita perkembangkan pada masa yang lain. InsyaAllah.
Disebabkan berlakunya perkembangan zaman serta
perbezaan adat resam dan budaya di masa sekarang ini, dari segi syara’ telah
ditetapkan landasan / garispanduan sebagai petunjuk untuk membezakan antara
yang boleh dengan yang tidak, untuk diamalkan oleh ummat Islam. Saya ringkaskan
begini :
1. Apa-apa amalan, perayaan
dan sambutan (fizikal atau rohani) yang berteraskan kepada pengibadatan agama
lain adalah haram diperbuat oleh ummat Islam dalam apa jua bentuk pun. Yang ini
saya jelaskan dan itu pendirian saya ie. krismas, thaipusam, deepavali, chap go
mei, wesak dll.
2. Apa-apa jua amalan
ritual dan spiritual yang dilakukan bukan untuk ketaatan dan ta’bud kepada
Allah Swt. tetapi menjadi cara untuk tunduk patuh dan penyembahan kepada
selainNya juga adalah haram diperbuat. Ini termasuklah menurun dengan makhluk
ghaib, memakai tangkal dan azimat, menyemah pokok, puja pantai, meningkatkan
semangat padi, majlis tolak bala dan sebagainya.
Yang selalu jadi masalah adalah situasi begini
:
3. Perayaan peringkat
sesebuah negara sendiri seperti hari merdeka, hari kesatuan, hari peladang,
hari guru dan lain-lain. Saya berpendapat ia harus kerana merupakan penghargaan
kepada sekumpulan manusia orang yang menyumbang kepada masyarakat secara umum,
melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Tambahan lagi
ia tidak melibatkan apa-apa ritual yang bertentangan dengan amalan Islam.
4. Perayaan rasmi peringkat
antarabangsa seperti hari buruh, hari belia, hari pengakap, hari kanak-kanak,
hari wanita dan lain-lain lagi. Saya berpendapat ia juga harus atas sebab-sebab
yang dinyatakan seperti di atas.
Namun begitu, dalam semua hal ini, ijtihad
dan fatwa yang khusus peringkat negara atau tempat itu diperlukan, supaya
perkara ini diperhalusi dan hukumnya boleh ditetapkan. Tidaklah boleh ia
dilakukan sesuka hati sebelum dipastikan sama ada, ia diterima atau
bertentangan dengan syara’ dan ditolak.
Dalam pada itu, harus diingat juga, bukan
semua perkara boleh diharamkan atau diharus (halal)kan secara mutlaq. Misalnya
amalam mandi safar diharamkan secara mutlaq disebabkan seluruh prinsip asasnya
adalah penebusan dosa yang bertentangan dengan aqidah suci Islam, yaitu hak dan
sifat Qudrah (kekuasaan) Allah Swt. Terkadang berlaku haramnya sesuatu bukan
mutlak keadaannya misalnya sambutan hari peladang adalah diharuskan, tetapi
perbuatan sambutan secara pestaan dan melalaikan menjadikan ia diharamkan. Ini
adalah 2 perkara yang berbeza dan mesti ditanggapi dengan baik.
Yang saya nyatakan ini hanyalah sebahagian
daripada isu-isu yang diperbahaskan. Masih lagi berlaku perbahasan berterusan padanya,
dan perbahasan itu bermacam-macam hasilnya. Saya hanya memberi penjelasan
situasi yang berlaku bukan membuat ketetapan hukumnya. Pihak ulil amri, mufti
dan ulama’ adalah yang berkuasa membuat keputusan.
والله اعلم
Sent: Friday, March 9, 2012 11:36
AM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Saya sambung sedikit lagi, antara
perayaan/sambutan yang paling mendatangkan masalah,
1. Perayaan berasaskan
budaya atau agama lain - yoga, poco-poco, tarian-tarian, menurun, amalan ilmu
ghaib dan lain-lain
2. Hari-hari kebesaran
berasaskan agama atau ideology lain misalnya valentine, april fool, hari ibu,
hari bapa, hari persahabatan, hari kebebasan, hari kedamaian dan lain-lain.
Setakat ini, masih ada kekaburan tentang
status sebenarnya melainkan valentine day dan poco-poco (di Negeri Perak) yang
jelas hukumnya. Secara pinsipnya, ia boleh ditolak apabila dapat dibuktikan
dengan jelas ia bertentangan dengan dasar syari’at Islam dan penyerupaan kepada
ibadah agama lain. Dan yang paling baik, janganlah dibuat sehingga difatwakan keadaan
sebenarnya terlebih dahulu demi mengelakkan syubhat. Banyak orang tidak setuju
dengan pandangan ini kerana memahami secara terbalik, yaitu boleh dibuat selagi
tiada fatwa jelas mengharamkan. Macam tu pulak.
Kesimpulan, apa-apa yang tasyabbuh (penyerupaan)
dengan pengibadatan/ penyembahan agama lain serta apa jua yang bukan dibuat
untuk penyembahan kepada Allah Swt. semata-mata, adalah haram diperbuat.
Demikianlah intipati surah Al Kaafirun (109) ayat 1 hingga 6.
Yang Syeikh Yusuf Al Qaradhawy sebut itu,
saya tak berani komen lanjut. Pada saya, itu ijtihad beliau yang boleh kita
terima atau tidak terima. Saya naqal, tulis dan tunjukkan berikutan banyak yang
komen bermacam-macam tetapi tidak merujuk sendiri apa dia sebut, teksnya dalam
konteks apa. Ulasan saya telah dinyatakan dalam artikel tersebut dan ia hanyalah
panduan, kesimpulan mestilah dibuat sendiri oleh pembaca setelah melihat
teksnya yang asli.
والله اعلم
Sent: Friday, March 9, 2012 10:09
AM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Assalamu’alaikum
Wbt.
Terima kasih atas penjelasan panjang lebar
dan lengkap nih. Cuma saya nak bertanya sikit berkenaan satu fatwa : para pemimpin
negara boleh mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada masyarakat bukan
Islam. Yang bercakap macam ini Dr. Asri. Apa komen Ustaz.
Jazakallahu
khairan katsiira
Sent: Friday, March 9, 2012 4:17
PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Terima kasih tuan Atan kerana mahu turut
sama dalam thread ini. Saya berasa amat kurang senang sebenarnya untuk memberi
komen ke atas seseorang yang jauh lebih baik, alim dan faqih berbanding saya.
Namun, insyaAllah saya berikan sedikit, sekadar untuk memenuhi permintaan
sahaja, tidak lebih dari itu.
Apa yang beliau Al Fadhil Dr. Asri
sebutkan bukannya bersifat fatwa, beliau bukan lagi seorang mufti yang berkuasa
mengeluarkan fatwa. Maka ia tidak lebih dari pandangan peribadi. Harap dapat
dapat dibezakan antara 2 perkara itu.
Saya bersetuju dengan apa yang beliau
katakan bersama dengan hujjah-hujjahnya. Sedikit tambahan, peranan seorang
pemimpin Islam adalah memberikan hak keadilan kepada seluruh rakyatnya termasuk
juga yang bukan Islam. Dan mengucapkan selamat menyambut perayaan kepada
masyarakat bukan Islam merupakan salah satu hak rakyat bukan Islam yang harus
ditunaikan oleh seorang pemimpin.
Berdasarkan pendirian ini juga, saya
bersetuju bahawa fatwa boleh mengucapkan selamat kepada hari perayaan bukan
Islam oleh Syeikh Qardhawy hanya terpakai dan terhad kepada para pemimpin
sahaja lantaran rakyat tanggungan mereka termasuk juga masyarakat bukan islam,
dan ia tidak boleh sama sekali dilakukan oleh masyarakat umum.
والله اعلم
Sent: Friday, March 9, 2012 10:52 PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
As"salaam tuan, boleh tahan la
penjelasan yang macam itu tuan, cuma bagi pandangan peribadi saya sebagai
pejuang Islam, insyaAllah selagi hayat dikandung badan, di sini ingin saya
tegaskan, selagi mana Islam tidak di wujudkan di bumi Malaysia atau di
mana-mana seluruh dunia yang di anugerahi oleh Allah ini, saya tidak akan
setuju dengan perayaan-perayaan itu semua termasuk lah hari merdeka.. bagi saya
Islam sudah pun merdeka 1450 tahun dahulu. Cuma yang sekarang ini kita semua
masih gelap gulita tidak bercahaya pun.
Perjuangan masih jauh, jadi tak payah lah
dok pakai cerita Ibnu Qayyim tu..sebab masa zaman dia mungkin Islam masih kuat
dan undang-undang pada masa itu mungkin undang-undang Islam kot, manakan sama
dengan kita, yang kita ni apa dah jadi pula nak pakai fatwa apa pula! Islam masih dijajah jadi jangan dok
angan-angan nak olah semua tu sebab majlis fatwa pun batal selagi tidak
menjalankan kewajiban undang-undang Islam.
Bagi saya Islam la ni gelap segelap malam
yang kelam!! jadi kalau Ustaz Mad nak olah apa-apa pendapat biarlah direct to
the point, jangan dok was-waskan kami semua pulak, insyaAllah! Allah bersama
perjuangan Islam yang nak menegakkan undang-undang Allah di bumi dan negara yang
gelap gulita sekarang ni.
Wallahua’lam!
Sent: Saturday, March 10,
2012 8:07 PM
Subject: Jagalah Aqidah Kita, Jangan Gadai
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله
و بركاته
Moga ustaz dalam suasana sihat walafiat
dan bergembira dalam suasana cuti-cuti ni. Maaf kalau email ini mengganggu
suasana ketenangan.
Saya sudah pun membaca 2 artikel menerusi
email mahu pun menerusi laman blog www.salnboru.blogspot.com
juga maklumbalas panjang lebar dari jamaah, insyaAllah, saya faham maksudnya.
Sekadar nak bertanya, kenapa Ustaz tidak
mahu komen secara langsung atas perbuatan para pemimpin termasuk Perdana
Menteri yang meraikan perayaan bukan muslim. Ini hal aqidah yang ustaz
bertanggungjawab untuk menegakkan kebenaran itu, walau pun pahit dan tidak
disukai. Ustaz pun sangat arifkan! bercakap benar tentu sekali orang tak suka,
yang penipu dan pembodek pulak nanti akan dapat pangkat dan pingat.
Saya mohon sedikit penjelasan berkenaan
hal ini, dan saya yakin ramai juga yang mahukan begitu, maksud saya ketegasan
dari orang-orang yang berilmu. Kalau orang berilmu pun tak boleh nak tegas,
siapa lagi yang nak diharapkan. Takkan nak harapkan orang awam dan jahil pulak. Susahlah macam ni.
Wassalam
Sent: Saturday, March 10, 2012 11:08 PM
Subject: Jagalah Aqidah Kita, Jangan Gadai
Wa'alaika, Puan yang dihormati,
Terima kasih atas perhatian. Saya tidak
terganggu oleh ulasan ini. Sebenarnya ini adalah email ke 5 yang saya terima,
memberi ulasan yang hampir serupa saja maksudnya, nada marah-marah pun ada,
kurang puashati pun ada, tak syok pun ada, merajuk pun ada, dan bermacam rasa
lagi. Tapi 4 komen secara langsung dengan saya. Memandangkan email ini Puan jadikan umum, maka saya menjawabnya
juga kepada umum.
Saya memang tidak memberi ulasan secara
langsung kepada soalan ditanya. Sebabnya :
A. Ulasan sebegitu melibatkan batang tubuh
orang. Selalu dan biasanya, komen langsung ke atas batang tubuh pemimpin (tak
kisah parti mana pun) pasti akan mendapat rating tinggi dan populaf. Itu memang
pasti. Selalunya juga, orang yang seronok dengan komen itu menjajanya ke sana
sini, menjadikannya sebagai tambahan dalil baru untuk terus memomokkan pemimpin
itu, wadahnya, rakan-rakannya dan partinya atau pertubuhannya. Pihak yang satu
lagi pun, tunggu masa dapat peluang dan buat yang sama.
99% dari orang yang seronok ria itu pula,
bukan kerana tertegaknya kebenaran dan ilmunya, tetapi kerana dapat pekena dan
mengata orangnya, yang akhirnya menjadi saling kata mengata. Walhal kebenaran
yang dicari entah dimana, tiada kesudahannya. Saya tak mahu terlibat dalam hal
begini.
B. Dari dulu lagi, saya memang mengelak
untuk terlibat dalam kontroversi, itu pun sesekali tidak terelakkan juga. Saya
memilih jalan tenang ini bukan baru, malah sejak dulu lagi. Di Malaya ini,
memberi komen hal politik memang akan menimbulkan kontoversi, malah komen yang
tak kena mengena pun jadi sensasi, kerana dianggap politik. Ini hal sangat
memeningkan.
Malah saya nak beritahu, telah ada pun
pihak yang memetik dan menggunakan fakta dan hujjahan saya, sebagai dalil untuk
menghentam pihak-pihak tertentu atau pun saling menghentam. Tak mohon kebenaran
pun, malah berlawanan dengan niyat saya menulis.
C. Saya nak menyampaikan ilmu yang haq,
supaya mengajak, memberitahu dan membuatkan orang faham (ilmu aqidah dalam hal
diperkatakan) dengan ilmu sebenarnya, supaya ia masuk ke dalam diri menjadi
iman dan taqwa, bukan kerana seronok pastu gunakannya untuk membelasah orang
lain. Ia meliputi semua orang supaya insaf dan faham. Tidak saya sampaikan
sesuatu kerana sebab nak mengata ke satu pihak lain. Saya mahu sampaikan yang
haq, itu saja.
Begitulah hasrat saya. mohon maaf kerana
ini entah kali ke berapa, saya sangat naif berbanding Puan yang penuh semangat.
Realitinya, nak dapatkan komen yang langsung, keras, tajam, berdegar-degar dan
berapi, sampai kafir mengkafir, hina menghina, banyak pihak lain dah buat pun,
Puan boleh dapatkan dari mereka. Saya sendiri yang memilih untuk tidak berbuat secara
tindakan begitu tetapi mendzahirkan yang sama, dalam cara yang lain.
Sekiranya ada rasa marah yang
berkobar-kobar dan tak terpadam dalam diri, maka halakan kepada pihak yang
sepatutnya dengan cara-cara sendiri, jangan jadikan saya pula sebagai sasaran
melepas geram. Tak bagus tu.
Di kesempatan ini, saya nak menambah sikit
lagi. Jagalah aqidah kita, jangan sesekali tergelincir dengan mengikut apa-apa
jua bentuk amal perbuatan ritual dan spiritual orang bukan Islam (termasuk
perayaan), yang berupa penyembahan dan pengibadatan kepada selain Allah Swt.
dalam segala aspek hidup, kerana Allah Sw. telah menetapkan dalam firmanNya
:
"Dan orang-orang (yang diredhai Allah) yang tidak memberikan
persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang
mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tiada berfaedah (sia-sia), mereka lalui
(sahaja) dengan menjaga kehormatan dirinya (membersihkan diri darinya)."
Surah Al Furqan (25)
: ayat 72
Dalam ayat ini Allah Swt. menjelaskan
bahawa sifat orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu (ya’ni orang
yang diredhaiNya), tidak menghadiri majlis-majlis mereka (orang kafir) dan
apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan batil dan
tidak berfaedah, mereka lewati begitu sahaja dengan menentang kemungkaran
tersebut dan menjaga kehormatan dirinya dari perbuatan itu serta tidak merelakannya.
Rabitah Al Alam Al Islamy, Jeddah KSA,
Tafsir Al Muyassar, Jilid 3 halaman 729
Moga ayat Allah ini telah menjelaskan
secara terang lagi bersuluh di siang hari, segala maksud saya, yang tersurat mau
pun yang tersirat, sekalipun tidak saya tuliskan disini.
والله اعلم
Sent: Sunday, March 11, 2012 11:27
AM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Salaamun ‘alaik Ustaz Mad,
Kira ok dan boleh faham jugak la apa yang
ustaz terangkan, insyaAllah. Cuma saya ni masih blur dalam bab yang paling asas
– Bolehkah Bersama Meraikan Perayaan Agma Bukan Islam. Yang ni saya nak mintak
betul-betul ustaz bagi keputusan ringkas, tepat dan padat. Ustaz tulis panjang
dan detail, mungkin saya ni saja yang kurang faham lagi.
Satu lagi, rasanya semua orang dok tunggu
ustaz komen langsung fasal PM hadir merayakan Thaipusam, itu hal yang paling
utama yang nak dikatakan. Tapi dah ustaz tak mau komen langsung, tak pa lah.
Harap dapat beri statement kesimpulan yang
ringkas dan padat dalam hal ni, dalil-dalil semua dah ada kat atas dan dalam
artikel tak payah lah nak ulang lagi. Sekurang-kurangnya untuk pedoman dan
pengajaran saya yang serba kekurangan nih.
Wassalam.
Sent: Sunday, March 11, 2012 1059:44
PM
Subject: Benarkah Fatwa Boleh Meraikan Perayaan Bukan Islam
Terima kasih tuan Ibrahim atas ulasan.
Saya pun dah mula kabur apa lagi yang nak ditulis kerana seingat saya, semua
yang nak dikata, telah pun dituliskan. Bagaimana pun saya tertarik dengan –
membuat kesimpulan ingkas yang tepat dan padat. Saya bersetuju dengan
permintaan itu dan maklumbalas saya begini :
Prinsip asas - Tidak boleh memperlakukan
malahan hukumnya haram kepada ummat Islam meniru apa jua amal perbuatan secara
qalbi (niyat di hati), qauli (perkataan) dan fi’li (amal perbuatan) yang
menyerupai amal ibadah (penyembahan) suatu agama lain. Ia adalah berupa dan
berbentuk penyembahan kepada selain Allah Swt. Orang Islam yang melakukannya
menyebabkan dia syirik dan kufur kepada Allah Swt.
1. Bolehkah Bersama
Meraikan Perayaan Agama Bukan Islam
Tidak boleh dilakukan malahan hukumnya
haram kerana ia adalah berupa dan berbentuk penyembahan kepada selain Allah
Swt. Orang Islam yang melakukannya menyebabkan dia syirik dan kufur kepada
Allah Swt.
2. Bolehkah Mengucapkan
Selamat Kepada Bukan Islam Yang Menyambut Perayaan Agama Mereka
A. Tidak boleh dilakukan
malahan hukumnya haram kerana ia adalah berupa keredhaan ke atas penyembahan kepada
selain Allah Swt. Orang Islam yang melakukannya menyebabkan dia syirik dan
kufur kepada Allah Swt.
B. Namun saya berpendirian,
adalah dibenarkan kepada 2 golongan untuk sekadar mengucapkan sahaja ucapan
selamat itu, atas tujuan menjaga silaturrahim, keharmonian dan menonjolkan
ketinggian sahsiah Islam, yaitu :
B1.
Golongan ummat islam minority yang tinggal di negara-negara bukan Islam (darul
kuffar)
B2.
Golongan para pemimpin dari kalangan ummat Islam kepada rakyat yang bukan Islam.
3. Bolehkah menyertai,
menghadiri dan mengunjungi perayaan agama lain
Tidak boleh dilakukan malahan hukumnya
haram kerana ia adalah berupa keredhaan ke atas penyembahan kepada selain Allah
Swt. Orang Islam yang melakukannya menyebabkan dia syirik dan kufur kepada
Allah Swt.
4. Bagaimana hukum sambutan
perayaan-perayaan lain yang bukan berdasarkan agama yang diamalkan dalam negara
sekarang
Secara asas, apa-apa yang ada sekarang
yang tergolong dalam hal adat, kebiasaan dan keperluan semasa adalah harus
(halal dan boleh dilakukan). Namun begitu, sekiranya didapati asal muasalnya
dari ritual ibadah bukan Islam, maka ia adalah haram dilakukan. Begitu juga,
apabila ritual amalan sesuatu perayaan adat atau kebiasaan yang bercampur
dengan amalan yang haram, maka perayaan itu juga menjadi haram.
Semoga pernyataan kesimpulan yang ringkas
dan padat diatas, memberikan pemahaman kepada tuan.
Akhirul kalaam, saya ingin berpesan kepada
para jamaah yang dikasihi dan kepada diri saya sendiri bahawa dengan melakukan
amal perbuatan ibadah orang kafir, sesungguhnya menjadikan kita redha kepada
aqidah dan ibadah syirik mereka, seterusnya ia menjadikan kita sebagai
pendokong musuh Allah pula seraya menyenangkan mereka. Sebagai ummat Mukminin
yang bersyahadah tidak patut sama sekali kita berbuat begitu. Perkara ini telah
dipesankan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :
"Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu menjadikan musuh-musuh
Ku dan musuh-musuh mu sebagai teman-teman setia (wali), yang kamu sampaikan
kepada mereka (berita-berita Muhammad) kerana rasa kasih sayang (hubungan baik
dan kasih mesra), padahal sesunguhnya mereka telah ingkar (kufur) terhadap
kebenaran yang telah sampai kepada kamu.
Mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu (hanya) kerana kamu beriman kepada
Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalanKu dan
mencari keredhaanKu (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan
secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka kerana rasa kasih sayang.
Aku lebih mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan. Dan
barangsiapa diantara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya dia telah tersesat
dari jalan yang lurus."
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 1
Justeru itu, peliharalah diri dan aqidah
kita supaya sentiasa terpelihara dari segala macam noda syirik, juga sentiasa
berhati-hati dengan da’yah kaum kafir yang sentiasa menyeru kita memperbuat
segala macam amalan sia-sia seperti mereka. Perayaan agama mereka juga
merupakan suatu amalan sia-sia lantaran ia hanyalah membesarkan kesyirikan dan
kekufuran kepada Allah Yang Ma’bud. Tuntutan menjaga diri dari kekafiran ini
dengan tegas telah dinyatakan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :
"Jika kamu kafir maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu
(maksudnya manusia beriman atau tidak, ia tidak merugikan Allah biar sedikit
pun), dan Dia (Allah) tidak redha akan
kekufuran hamba-hambanya, dan jika kamu bersyukur nescaya Dia
meredhai kamu dengan kesyukuranmu itu, dan seorang yang berdosa tidak akan
memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kembalimu. Lalu Dia
memberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha
Mengetahui apa yang tersimpan dalam dadamu."
Surah Az Zumar
(39) : ayat 7
Setakat ini yang mampu saya nukilkan dan
diharapkan dapat membuat tuan faham maksud sebenarnya. Juga, semoga memberi
manfaat kepada semua.
والله تعالى أعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan
Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan