Jumaat, 13 Julai 2012

Bolehkah Meraikan Perayaan Agama Lain (bhg 1)

0 ulasan

Sent: Monday, February 20, 2012 12:08 PM
Subject: Jagalah Aqidah Kita, Jangan Gadai

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Semoga Ustaz Mad dalam situasi baik sekarang. Terima kasih atas huraian dan penjelasan tentang bab aqidah dan bagaimana sepatutnya kita orang Islam bertindak dalam merayakan hari kebesaran orang bukan Islam.

Bagaimana pun, saya ingin mendapatkan sedikit penjelasan.

1. Saya telah baca dan dapati artikel dengan bertajuk yang sama, dikeluarkan dalam blog www.salnboru.blogspot.com isinya sama, tetapi ada tambahan lebih panjang dan lengkap berbanding yang dihantar kepada saya dan jamaah lain pada 15 February. Adakah ini artikel sama yang dihasilkan oleh ustaz juga?

2. Ustaz ada memetik fatwa dari Dr. Yusuf Qardhawi yang mengatakan tidak boleh menyambut perayaan orang bukan Islam. Bukankah masyhur disebut orang sekarang ini yang beliau ada berfatwa sebaliknya. Dalam semakan saya, banyak bantahan dari ramai pihak ada yang mencela, menghina  dan malah mengkafirkan beliau pun ada atas sebab itu. Oleh kerana ustaz bercakap nada lain dari yang saya temui, harap dapat diberi penjelasan tentang hal itu. Memang saya ingin tahu hal yang sebenarnya berlaku supaya tidak tersilap.

Moga permintaan ini tidak mengganggu ketenangan.

Wassalam.


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan seharian kepada Puan. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan Dia menerima semua amalan kita. Saya berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menjawab pertanyaan ini.

Soalan 1 : Memang artikel dalam www.salnboru.blogspot.com itu adalah artikel saya dan agak berbeza isinya dengan yang saya 'post' sebelumnya. Selalu saya berbuat begitu, kerana akan ada beberapa perubahan dan penambahbaikan sebelum disiarkan. Sebahagian pembaikan itu berdasarkan ulasan daripada rakan-rakan juga. Dengan harapan apa yang disiar umum itu akan lebih baik, lengkap dan tersusun. Begitulah sebenarnya. Dan, penambahbaikan itu tidak mengubah maksud keseluruhan artikel.

Soalan 2 : Terima kasih kerana bertanya hal ini, menunjukkan yang Puan sensitif dengan suasana persekitaran. Dari soalan puan, saya fahami yang mahu ditanya adalah : Adakah Syeikh Prof. Dr. Yusuf bin Abdullah Al Qaradhawy hafidzahullah (SYQ) berfatwa membenarkan orang Islam mengucapkan ucap selamat menyambut perayaan dan boleh meraikan perayaan orang bukan Islam. Saya sendiri ada membaca berita ini dari bermacam sumber, dan turut menemui seperti apa yang Puan temui.

Saya bersyukur kepada Allah Swt. lantaran Puan berusaha untuk mendapatkan kebenaran. Sikap demikianlah yang sepatutnya diambil oleh semua ummat Islam kerana itulah yang dituntut oleh Allah Swt. dan, orang-orang yang mengaku beriman ini semestinya menginsafi diri bahawa Allah Swt. telah berpesan dalam Kitab suciNya :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut”.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 6

Ummat Islam masa kini benar-benar diuji dan berhadapan pelbagai fitnah maklumat yang besar. Berbagai lambakan berita dan maklumat tersebar kepada masyarakat  tanpa sebarang tapisan seiring dengan berkembangnya teknologi massa. Sumbernya datang dari pelbagai lapisan pemikiran, sama ada yang adil, amanah, berkepentingan peribadi, bertujuan politik dan kuasa, berbau hasad dengki, dari golongan yang fasiq, mahupun yang sesat dan kafir. Perkara ini menjadi lebih merbahaya apabila maklumat tersebut menyentuh isu agama sedangkan masyarakat kita tidak memiliki keupayaan yang cukup untuk menilai maklumat tersebut. Kepada semua golongan ini, ingin saya nyatakan satu sabda junjungan mulia Nabi Saw. :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata, Nabi Saw. bersabda : Cukuplah dianggap pendusta orang yang selalu menyampaikan (menyebarkan) setiap apa yang didengarnya”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab Sahih Muslim, Jilid 1 no. 5

Kesannya, masyarakat umum 'menghadam' maklumat ini bulat-bulat dan membantu pula dalam penyebarannya tanpa usul periksa, dengan mengambil satu pernyataan umum dan diolah mengikut tafsiran sendiri tanpa diteliti maksud teks dalam konteksnya yang sebenar. Budaya ini menjadi salah satu bentuk serangan terhadap aqidah umat Islam tanpa disedari, juga merosakkan saff, kekuatan dan ukkhuwwah sesama muslim. Natijahnya, dalam menentang segala da’yah dan serangan kafirun, jelas sekali ummat Islam terkial-kial, dan ada pula dikalangan ummat Islam lebih sibuk dengan mencari gaduh dan saling kafir-mengkafir seterusnya saling melemahkan sesama sendiri. Moga Allah Swt. melindungi kita ini dari mendengar dan terikut perilaku syaitan la’natullah ini.

Walau bagaimanapun, kita memerlukan kemajuan teknologi kerana ia adalah lambang kehebatan dan keunggulan tamadun manusia. Kemajuan teknologi tidak salah, yang bersalah adalah sebilangan manusia yang menyalahgunakan teknologi sekarang untuk menyebarkan fitnah. 

Kembali ke topik asal, hal pertanyaan ini amat sensitif kerana melibatkan peribadi seorang ulama yang mulia dan diiktiraf di seluruh dunia. Tidak ada seorang pun dari kalangan yang menghina dan membenci beliau mampu untuk menyamai ketokohan, pengorbanan dan jasa keilmuannya terhadap umat islam sejagat. Maka, ingin saya nyatakan disiplin saya dalam penulisan ini supaya tidak disalah anggap dan dilibatkan dalam keadaan yang terjadi itu. 

1.   Membentangkan data dan fakta berdasarkan sumber otentik (tulin) yaitu Kitab Fiqh Minoriti Muslim : Kehidupan Muslimin Di Tengah Masyarakat Bukan Islam oleh SYQ sendiri. (versi Arabiyah : terbitan Darul Syuruq, Qahirah 2001 dan versi terjemahan Bahasa Melayu : Pustaka Nasional, Singapura 2008).

2.   Tidak memihak sama ada kepada yang kena tuduh mahu pun yang menuduh, yang mahu dicari dan ditunjukkan akhirnya : adalah keadilan dan kebenaran

3.   Memasukkan serba sedikit komentar dan pandangan saya sendiri dalam beberapa hal

4.   Kesimpulan adalah pandangan peribadi berdasarkan penelitian, sekadar makluman kepada orang lain, yang boleh diterima atau ditolak, bukan ia satu fatwa baharu

5.   Saya berlepas diri dari sebarang kerumitan sekiranya ada satu pihak nanti menaqal apa yang saya nukilkan ini untuk ‘menyerang’ pihak lain, atau menjaja ke sana sini sebagai satu hukum baharu pula. 

InsyaAllah, semampu mungkin saya cuba untuk mentaati sabda Nabi Saw. ini :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw bersabda : Jauhilah olehmu prasangka negatif, kerana prasangka itu sedusta-dusta perkataan, dan janganlah kalian saling mencari informasi (kesalahan saudaranya), saling memata-matai (mencari-cari kesalahan orang), saling mendengki, saling mencederai saudaranya dari belakang layar, dan jangan pula saling membenci, melainkan sebagai hamba Allah Ta’ala jadilah saling bersaudara”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 6064) dan imam Muslim rh. (no. 2563)

Dalam penelitian saya, saya mendapati bahawa kekalutan ini (perkara yang ditanya) timbul apabila terdapat kenyataan yang dibuat oleh SYQ di dalam kitab Kitab Fiqh Minoriti Muslim : Kehidupan Muslimin Di Tengah Masyarakat Bukan Islam. Kenyataan beliau telah di petik, diulas, ditajrih dan dibahas di seluruh dunia. Lalu, kenyataan yang di buat telah bercampur aduk dengan kenyataan asal, tidak diketahui mana yang benar lantaran bercampur aduk dengan segala tanggapan, pandangan dan pendapat. Sekiranya ada lagi pernyataan beliau yang serupa tetapi di wadah lain, wAllahua’lam, ia di luar pengetahuan saya.

Cuba kita lihat isi-isi utama dari sebahagian apa yang beliau tuliskan :

Jawaban 1 : Adalah amat batil tuduhan yang mengatakan beliau berfatwa boleh meraikan hari perayaan agama orang bukan Islam, lantaran beliau telah menyebutkan dengan jelas :

“Saya sependapat dengannya (Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rh.) dalam menentang perbuatan orang-orang Muslim yang meraikan bersama hari-hari kebesaran orang-orang musyrik dan ahli kitab, sebagaimana yang kita lihat perbuatan sebahagian orang-orang Muslim yang meraikan Krismas (juga lain-lain perayaan dasar agama) sebagaimana mereka meraikan E’idul Fitr dan E’idul Adha. Ini tidak dibolehkan. Kita mempunyai hari kebesaran kita sendiri dan mereka mempunyai hari kebesaran mereka”. (halaman 449)

Maka, kes ini tertutup setakat ini dengan kata-kata beliau sendiri. Sekiranya  ditemui lagi dakwaan bahawa beliau mengatakan boleh berbuat begitu, itu adalah pernyataan batil dan jahat, selayaknya di tolak terus dan pembawanya berhak didoa kelaknatan.

Jawaban 2 : Beliau telah menyebutkan dengan jelas bahawa boleh merayakan hari kebesaran bukan agama :

“Adapun hari kebesaran negara seperti Hari Kemerdekaan atau Hari Kesatuan atau hari kebesaran sosial seperti Hari Kanak-Kanak, Hari Ibu, Hari Pekerja, Hari Belia dan seumpamanya, tiada halangan bagi seorang Muslim untuk mengucapkan tahniah dan menyertainya sebagai rakyat di negara-negara berkenaan. Namun hendaklah dia memelihara diri dengan meninggalkan perkara-perkara yang haram yang mungkin berlaku”. (halaman 450)

Pernyataan yang menjadi isu adalah begini :

“Saya berpendapat tidak mengapa untuk mengucapkan tahniah sempena hari kebesaran orang bukan Muslim kepada sesiapa yang mempunyai hubungan silaturrahim, kejiranan, persahabatan atau hubungan kemasyarakatan yang lain, yang menuntut sifat kasih dan hubungan baik, yang diakui oleh adat kebiasaan yang baik. (halaman 449)

Teks pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa beliau menyatakan boleh untuk  mengucapkan tahniah disertakan sebab-sebabnya. Pada sisi lain, beliau turut berkata :

“Tiada halangan bagi seorang Muslim atau mana-mana pusat Islam untuk mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim sempena hari kebesaran mereka, sama ada menerusi lisan atau kad yang tidak mengandung lambang atau kata-kata keagamaan yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam seumpama lambang salib dan sebagainya.

Kata-kata ucapan tahniah yang biasa dalam sempena yang seperti ini tidak mengandung apa jua pengakuan terhadap agama mereka atau meredhainya. Ia adalah hanya ucapan manis yang telah menjadi kebiasaan (‘urf) manusia. Tiada halangan pula untuk menerima hadiah dari mereka serta membalas perbuatan mereka itu. Nabi Saw. telah menerima hadiah dari orang bukan Muslim seperti Muqauqis, ketua orang Qibti di Mesir dan lain-lain, dengan syarat hadiah ini bukan dari sesuatu yang diharamkan oleh syara’. (halaman 448)

“Keharusan mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim kerana hari perayaan seperti ini menjadi semakin kuat jika mereka, sebagaimana yang disebutkan dalam soalan, bersegera menyampaikan ucapan tahniah kepada orang Muslim sempena hari kebesaran Islam. Sesungguhnya kita diperintahkan untuk membalas kebaikan dengan kebaikan dan membalas ucapan dengan sesuatu yang lebih baik atau paling kurang dengan sesuatu yang sama (merujuk kepada Al Qur’an Surah An Nisaa’ (4) : ayat 6). halaman 446

“Perbuatan seperti ini menjadi lebih penting jika mahu menyeru dan mendekatkan mereka kepada Islam dan menanamkan rasa kasih kepada ummat Islam. Ini pastinya tidak akan tercapai dengan sifat tidak peduli antara kita dengan mereka. Sesungguhnya Nabi Saw. adalah seorang yang baik akhlaknya dan elok pergaulannya dengan orang-orang musyrik Quraisy sepanjang hayatnya di Makkah, walaupun mereka sering menyakiti Baginda dan sahabat-sahabatnya. (halaman 447)

Dalam memberikan pernyataan ini, beliau merujuk kepada beberapa sumber, diantaranya :

1.   Suruhan berbuat baik dan berlaku adil kepada kafir zimmi, manakala berlaku keras terhadap kafir harbi (Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 8-9). Halaman 441-442
2.   Kehalalan mengahwini perempuan ahli kitab dan bermuammalah dengan mereka (Surah Al Maaidah (5) : ayat 5) Halaman 443-444
3.   Bolehnya berhubungan dan berbuat baik dengan ibubapa walaupun mereka masih musyrik (Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5979). Halaman 443
4.   Menjawab salam orang yahudi dengan baik kalaupun perkataan mereka tidak baik (Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 6258) dan imam Muslim rh. (no. 2163). Halaman 446

Pernyataan ini sebenarnya adalah jawaban kepada soalan yang begini :

“Saya seorang pelajar (bangsa Arab) di Jerman dan Alhamdulillah, tetap memelihara agama, menunaikan kewajiban terhadap Allah, sering membantu saudara Islam yang minoriti disini dalam menegakkan agama. Apakah yang dihalalkan dan yang diharamkan bagi kami dalam memberi layanan baik kepada sesuatu kaum pada hari bersempena kebangsaan contohnya Hari Merdeka dan hari sempena agama seperti Krismas, yang diraikan secara besaran dan menjadi acara utama negara.

Saya fahami adalah haram berbuat begitu bahkan ia adalah dosa besar disisi Allah kerana berbuat begitu terkandung pengakuan atas kebatilan dan persetujuan kepada mereka untuk terus tenggelam di dalamnya, menerusi penyertaan dalam perkara agama mereka.

Ketika memberi layan baik dengan mengucap tahniah dan memberi hadiah, tidak sama sekali dalam diri saya mengakui kebatilan atau bersetuju atas kekufuran mereka, tetapi ia hanya satu tatasusila pergaulan yang baik yang diperintahkan oleh Islam dan kehalusan budi dalam berurusan dengan manusia. Apatah lagi, mereka sentiasa bersegera dalam mengucapkan tahniah dan memberi hadiah pada hari kebesaran Muslim.

Saya merasakan dengan tidak membalas kebaikan mereka merupakan tatasusila yang kasar dan biadab, amat tidak sesuai kebaikan mereka dibalas dengan wajah yang masam, dahi berkerut dan sikap tidak ambil peduli terhadap hari kebesaran itu. Sikap demikian menampilkan Muslim yang menjauhkan masyarakat dan memberikan imej buruk kepada Islam terutama di ketika Islam sedang diserang hebat, disifatkan ganas dan teroris”. (Halaman 439-440)

Soalan ini, hakikatnya telah menyerlahkan betapa :

1.   Pernyataan ini merupakan tidak lebih hanya jawaban kepada persoalan yang dibangkitkan kepada beliau. Maka itu, menanggapi ia sebagai suatu fatwa syara’ yang dianuti dan diamalkan tanpa soal, seharusnya dikaji semula, lantaran membuat fatwa dan memberi jawaban adalah dua perkara berbeza.

2.   Beliau dengan jelas menyebut “pendapat dan pandangan” disertakan dengan hujjah-hujjah dokongan, yang menjadikan pernyataan itu sebenarnya ijtihad semata-mata ke atas masalah itu, yang bersifat boleh diterima atau tidak diterima. Maka itu, perbuatan mencela, mencaci dan mengkafirkan peribadi beliau disebabkan ijtihad ini, adalah suatu perbuatan melampau dan sangat biadab.

3.   Konteks persoalan dan pernyataan jawaban itu sendiri adalah bagi masyarakat Muslim minority di tengah negara dan masyarakat yang dikuasai oleh bukan Muslim (Darul Kuffar). Maka itu, diakui ummat Muslim di Darul Islam sememangnya pasti mempunyai pandangan berbeza yang setaraf dengan status mereka yang majority dan berkuasa.

Pada beberapa bahagian lain beliau mengatakan :

Kebanyakan masalah masyarakat Muslim berkait elemen fiqh. Timbul keinginan minority Muslim untuk terus berpegang dengan identiti Islam, aqidah, ibadah, hukum munakahat dan hal ehwal kekeluargaan. Mereka ingin mengetahui yang halal dan haram dalam persoalan makan minum, pakaian, urusan perniagaan dan khususnya perhubungan dengan bukan Muslim. Adakah hanya terus menjauhi atau berasimilasi dengan mereka? (Jika dibolehkan) pada kadar apa dibenarkan asimilasi itu? (halaman 261)

Banyak lagi soalan berkaitan pelbagai aspek kehidupan individu, keluarga, masyarakat, kebudayaan, ekonomi, politik dan kenegaraan yang ingin diketahui pendirian Islam terhadapnya, serta pendirian selayaknya seorang Muslim terhadapnya, sekiranya dia ingin beriltizam dengan agamanya. Persoalan ini tidak seharusnya mengganggu atau menggoyah, sebaliknya ia membuktikan bahawa Islam terus mempunyai kesan yang kuat ke atas perilaku individu Muslim dan pemikirannya biarpun dia berada di luar negara Islam. Keterasingannya tidak menyebabkan dia lupa Islam, Allah Swt. dan syari’atnya. Bahkan dia sentiasa prihatin agar Allah Swt. selalu meredhainya dan tidak terkeluar dari agamanya dan hukum-hukum syari’atnya. (halaman 267)

Inilah persoalan yang dikemukakan oleh kumpulan minoriti Muslim di negara barat. Ia menuntut jawaban dari para ulama’ yang faham bahawa syari’at sentiasa mencorak perbuatan orang-orang mukallaf di mana pun mereka berada, di dalam Darul Islam atau Darul Kuffar. Kebanyakan jawaban ulama’ adalah berbeza mengikut mazhab mereka atau mengikut kecenderungan mereka sama ada untuk meluaskan atau menyempitkan, memudahkan atau menyulitkan. Mereka kurang memahami reality minority Muslim dan kesulitan mereka di tengah-tengah masyarakat bukan Muslim. Sedangkan, tidak memadai bagi sesuatu fatwa dibuat hanya dengan membaca buku tanpa kefahaman terhadap realiti mereka dan kajian yang mendalam terhadap keperluan dharurat dan hajat mereka.

Oleh itu, perlulah bagi kita untuk mempunyai fiqh yang mendalam, waqi’ (reality) dan mu’asir (kontemporari), satu bentuk fiqh yang berasas dari nas-nas yang muhkamat dan qaedah-qaedah syara’ serta tujuannya, tetapi juga mengambilkira perubahan masa, tempat, persekitaran dan keadaan manusia. Inilah yang saya cuba dalam lembaran-lembaran ini untuk mengutarakan beberapa perspektif mengenainya. (Halaman 268)

Cukuplah naqalan saya bagi menunjukkan hasrat teks pernyataan dalam konteks sebenar yang beliau maksudkan. Walaubagaimanapun, terdapat lagi pernyataan beliau yang diyakini menimbulkan kontroversi, yang menjadikan pernyataan beliau dianggap sebagai satu fatwa umum, begini :

Saya tahu bahawa sebahagian fuqaha’ seperti Ibnu Taimiyah rh. sangat ketat dalam hal hari kebesaran orang musyrik dan ahli kitab. Sesungguhnya beliau telah memberi fatwa dalam masalah ini mengikut keadaan zamannya. Jika beliau hidup di zaman kita dan melihat corak hubungan antara sesama manusia, dunia yang mengecil seperti sebuah kampung yang kecil dan keperluan ummat Islam untuk berhubung dengan orang bukan Muslim, yang malangnya hari ini menjadi guru-guru bagi ummat Islam dalam pelbagai ilmu dan perindustrian.

Begitu juga jika beliau melihat akan keperluan da’wah untuk mendekati golongan bukan Muslim, penonjolan imej ummat Islam dalam bentuk yang lembut, bukan ganas, memberi berita baik, bukan menjauhkan orang lain dan melihat ucapan tahniah seorang Muslim kepada jiran, sahabat dan gurunya semasa hari kebesaran mereka, tidak mengandungi unsur redha terhadap aqidah kristian atau pengiktirafan terhadap kekufurannya sebagaimana yang diyakini oleh orang Muslim.

Bahkan jika beliau melihat bahawa seorang kristian itu sendiri tidak lagi merayakan hari kebesaran ini sebagai perayaan agama untuk mendekatkan diri kepada tuhan, perayaan berkenaan disisi umum telah menjadi satu tradisi atau kebiasaan negara dan sosial yang dilakukan oleh manusia untuk menikmati sempena hari kebesaran itu masa cuti, hidangan dan minuman serta saling bertukar hadiah antara keluarga dan sahabat handai.

Jika beliau hidup di zaman kita dan melihat kesemua ini, beliau akan mengubah pendapatnya atau meringankan pandangannya yang ketat. Sesungguhnya beliau sentiasa mengambil kira masa, tempat dan keadaan dalam memberi fatwa. (Halaman 449-450)

Secara peribadi, saya berpendapat tiga perenggan awal adalah hujjah munasabah untuk menguatkan pernyataan sebelumnya, akan tetapi perenggan keempat adalah tidak wajar kerana ia hanyalah andaian ke atas orang yang telah wafat.

Nota : Pernyataan yang bergaris bawah saya kurang bersetuju, kerana asal muasal perayaan itu tetap juga asasnya pengibadatan dalam agama kristian, tidak boleh dinilai mengikut perangai para penganut kristian semasa meraikannya. Begitulah juga, tidak boleh dinilai luhurnya Islam dengan melihat perangai ummatnya.
       
Akhirul Kalaam : Disini saya telah membentangkan fakta dan data mengikut penemuan berdasarkan kitab yang asal. Moga ia akan membantu Puan, jamaah dan para pembaca untuk memahami dengan sebenarnya isu ini. Puan boleh membuat analisa dan rujukan lebih baik lagi menerusi kitab-kitab lain atau mendapatkan maklumbalas lanjut daripada orang yang lebih faqih dan arif berbanding saya. Sebagai pedoman, saya memahami dan menerima teks pernyataan (atau pun fatwa) ini dalam konteks masyarakat Muslim minority di tengah-tengah majority masyarakat bukan Muslim, setelah memenuhi kriteria dan syarat yang dinyatakan. Pernyataan ini adalah bersifat khusus kepada golongan terlibat, dan bukanlah fatwa umum untuk semua orang.

Akhir sekali saya sudahi dengan peringatan dari Allah Swt. :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 8

Dan Allah Swt. berpesan supaya kembalilah kepada Allah Swt. dan rasulNya, untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam perbantahan sesuatu perkara, bukan meletakkan hukum mengikut hawa nafsu terlebih dahulu sebelum disemak kebenarannya.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah taatilah Rasul dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu. Maka jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 59

Demikianlah yang saya perolehi dari kitab Fiqh Minoriti Muslim : Kehidupan Muslimin Di Tengah Masyarakat Bukan Islam.

Nota : Dalam semakan saya, didapati SYQ telah pun mendzahirkan ijtihad/pendapat beliau secara umum yang menyatakan, boleh seseorang muslim menyampaikan tahniah kepada perayaan Ahli Kitab, tetapi tetap melarang untuk menyambutnya sekali. Mungkin ini sebabnya mendapat banyak perbahasan. Beliau menyebutkan :

"Ini adalah daripada hak-hak bersama, jika seseorang ahli kitab datang dan menyampaikan tahniah dengan perayaan kamu (muslim) dan bersama dalam kesedihan dan musibah yang menimpa kamu dan mengucapkan takziah kepada kamu. Maka apakah pula larangan untuk kamu mengucapkan tahniah dengan perayaan mereka dalam kegembiraan mereka dan mengucapkan takziah dalam musibah yang menimpa mereka ? Allah Swt. berfirman : "Apabila kamu dihormati dengan satu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa." (Surah An Nisaa’ (4) : ayat 86) Beliau menyambung dengan mengatakan : "Ini tidak bermakna kita menyambut perayaan itu bersama mereka, ada pun ianya hanyalah ucap tahniah semata-mata, ini termasuk dalam berbuat baik dan adil yang datang bersama agama ini (Islam)"


Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: