بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah
Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini. Bersama ini saya
sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang
dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya
maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya
siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah
bersama.
Assalamu’alaikum,
saya nak bertanya sikit tentang 2 situasi. Saya dan rakan-rakan ada
membincangkan hal ini. Berbagai pendapat dikeluarkan, tetapi kami pun tidaklah
pasti selaras dengan taraf kami-kami nih. InsyaAllah dapatlah kiranya Ustaz
berikan kepastian. Halnya begini :
1.
Abu
menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Selepas berpuasa 28 hari di Mekah ia
pulang ke Malaysia sedang orang Islam di Malaysia sudahpun menyambut hari raya.
Apakah yang perlu dilakukan oleh Abu?
2.
Ahmad
menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Selepas berpuasa 30 hari di Mekah
(termasuk hari dalam perjalanan) ia pulang ke Malaysia sedang orang Islam di
Malaysia hanya berpuasa 29 hari dan esok akan berpuasa lagi satu hari bagi
mencukupi 30 hari. Apakah yang perlu dilakukan oleh Ahmad?
Terima kasih
terlebih dahulu atas jawaban. Wassalam.
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Semoga Allah
merahmati tuan penanya. 2 situasi seperti ditanyakan memang boleh berlaku
disebabkan adanya perbezaan mathla’ (waqtu keluar dan tenggelam matahari) di
antara negara. Segala persoalan berbangkit berkaitan dengannya akan terjawab,
InsyaAllah. Saya ringkaskan jawabannya secara begini :
Sepanjang
pengetahuan saya, tiada pernah hal sebegini disebutkan dan difatwakan oleh para
ilmuwan generasi salaf. Yang ada setakat yang saya temui hanyalah di kalangan
ulama’ dan fuqaha’ muta’khirin sahaja. Perkara sebegini terjadi disebabkan
adanya kemajuan teknologi yang membolehkan manusia bergerak dengan cepat dari
satu tempat ke satu tempat kalau pun ribuan batu jaraknya, tidak seperti
dahulu. Justeru itu, saya sendiri hanya mampu berittiba’ kepada mereka (para
ulama’ dan fuqaha’) itu lantaran saya ini serba dhaif.
Prinsip
paling penting yang mesti difahami dalam hal memutuskan sebegini adalah :
A.
Puasa Ramadhan hendaklah diperbuat antara 29 hari
atau 30 hari sahaja mengikut jumlah hari dalam bulan-bulan Islam, tidak boleh
kurang atau lebih daripada itu. Dalil bagi ketetapan ini adalah
berdasarkan hadis berikut :
“Dari Said bin Amr Rhu. sesungguhnya dia
mendengarnya dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. dari Nabi Saw. bahawa baginda
bersabda : Sesungguhnya kita adalah ummat yang buta huruf, yang tidak pandai
menulis dan tidak pandai pula mengira. Satu bulan itu adalah begini dan begini
(ertinya satu bulan itu terkadang 29 hari dan terkadang 30 hari)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 1913
– Kitab puasa
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata
bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Puasalah kalian kerana melihat hilal
(anak bulan), dan berbukalah setelah melihatnya pula. Jika hilal itu tertutup
dari pandangan kalian (terhalangi awan), sempurnakanlah bulan Sya'ban tiga
puluh (hari)."
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
(1909) dan imam Muslim rh. (1081)
B.
Penetapan 1
Ramadhan dan/atau juga 1 Syawal adalah berdasarkan keputusan pemerintah (ulil
amri) tempatan itu sendiri, dimana seseorang itu berada yang mesti ditaati.
Bagi kes
sebegini, saya bersetuju dengan fatwa Syeikh Muhammad bin Solih bin Sulaiman Al
Utsaimin rh. yang menetapkan :
1.
Jika anda
memulakan puasa Ramadhan mengikut sebuah negara (kerana pada masa itu berada di
sana pada masa tersebut) dan berhari raya pula mengikut sebuah negara lain (pada
masa itu anda berada di sana), walaupun puasa anda sudah cukup 30 hari, anda
tidak dibenarkan berbuka puasa walaupun hari tersebut merupakan hari ke 31 anda
berpuasa. Ini disebabkan tempat (negara) tersebut belum melihat anak bulan baru
(1 Syawal – syarat untuk berbuka).
2.
Jika anda
telah pun berpuasa 28 hari, sedangkan pada waktu itu telah bermula 1 Syawal di
tempat yang anda sedang berada, adalah haram berpuasa pada hari tersebut
(kerana anak bulan 1 Syawal telah kelihatan dan wajib berbuka). Akan tetapi, hendaklah
anda mengqadha 1 hari yang tidak cukup tadi di hari yang lain, kerana orang
Islam mesti sekurang-kurangnya berpuasa selama 29 hari di dalam bulan Ramadhan.
Rujuk Majmu’
Fataawa Al Syeikh Ibn Utsaimin, Bab 19 soalan no. 24-25
Nota :
Pernyataan fatwa yang hampir sama juga dibuat oleh bekas mufti Arab Saudi,
Syeikh Abdullah bin Abdul Aziiz bin Baaz rh. Rujuk Majmu' Fataawa Ibn Baaz,
Jilid 15 halaman 155
Pada hemat
saya, inilah pandangan terbaik yang mana ia memberikan keputusan jalan tengah (seimbang)
paling benar diantara dalil-dalil syara’ seperti dinyatakan di awal tadi. Puasa
dan Hari Raya hendaklah menurut ketetapan negara mana kita berada. Akan kelam
kabut jadinya sekiranya penetapan itu dilakukan sesuka hati. Sekali pun puasa
tersebut melebihi 30 hari, tidaklah ia menjadi masalah. Akan tetapi, jika puasa
anda tidak mencukupi 29 hari, hendaklah mengqanti puasa tersebut di hari yang
lain, untuk mencukupkan 29 hari (bilangan minimum jumlah hari dalam bulan-bulan
Islam).
Mudah-mudahan
kedua-dua situasi yang tuan tanyakan itu sudah terjawab. Sebarang kekurangan
memang diluar kemampuan saya yang serba dhaif ini. Tuan boleh juga dapatkan
penjelasan dari ulama’ lain yang lebih faqih berbanding saya untuk keputusan
lebih baik.
Mudah-mudahan saya telah membantu.
والله اعلم
Assalamu’alaikum
Ustaz Mad, soalan saya ini ringkas saja,
1.
Apakah
hukumnya seorang yang berjima’ pada malam bulan puasa tetapi terlajak tidur
sehingga lepas waktu Subuh. Apakah yang boleh dia buat dan sah ke puasanya pada
hari itu
2.
Begitu
juga orang yang bermimpi sehingga keluar mani pada malamnya dan terlajak tidur
juga, dan
3.
Kalau
lah terjadi keluar mani seseorang pada siang hari disebabkan bermimpi atau
disebabkan melihat hal mengghairahkan, adakah batal puasanya?
Kami
dok bincang hal ini, tapi tiadalah kesimpulan yang tepat, sekadar bertukar
fikiran sahaja.
Setakat
itu sahaja.
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Waktu yang paling sesuai untuk mandi wajib ialah
sebelum terbit fajar Subuh. Waktu subuh tempohnya pendek dan solat yang afdhal
ialah solat yang dilakukan pada awal waktu. Melambat-lambatkan mandi wajib
adalah makruh. Ini kerana apabila seseorang itu berada dalam hadas besar maka
banyak perkara yang tidak boleh dilakukannya seperti solat dan sebagainya. Justeru itu, adalah
dituntut seseorang yang berhadas besar agar segera menyucikan dirinya dengan
mandi wajib. Selain itu, secara fitrah manusia, naluri insan seseorang itu
tidak suka dirinya berada dalam keadaan junub. Orang berhadas besar tidak
berapa selesa berbanding dengan waktu dia bersih daripada hadas besar.
Sekiranya
seseorang lelaki atau perempuan berjunub pada malam hari dalam bulan Ramadan
dan tidak sempat mengangkat hadas besar sehingga terbit fajar (masuk waktu
subuh), maka puasa kedua-dua mereka tetap juga sah. Hukum yang sama juga
keadaan ini bagi mereka yang bermimpi basah pada malam hari sehingga keluar air
mani.
Bagi
seseorang orang yang keluar air mani pada siang hari disebabkan bermimpi atau
disebabkan melihat hal mengghairahkan, hukumnya juga tidak batal puasa,
hendaklah ia mandi wajib kemudian solat dan meneruskan puasa.
Hukum
ini diperolehi berdasarkan kepada apa yang diberitakan oleh isteri-isteri
Rasulullah Saw. iaitu Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. dan Ummu
Salamah Rha. berikut :
“Sesungguhnya
Rasulullah dalam keadaan junub ketika saat waktu subuh telah tiba, kemudian
baginda mandi wajib dan berpuasa”.
Hadis
sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 1926 dari Abdurrahman bin Harits Rhu.) dan
imam Muslim rh.
Imam
Bukhari rh. mencatatkan dalam Kitab Sahihnya (Kitab puasa, Bab : Berciuman saat
berpuasa) perkataan dari Jarir bin Yazid rh. berkata : Apabila orang yang
berpuasa melihat sesuatu (yang mengghairahkan) lalu keluar air maninya,
hendaklah ia tetap meneruskan puasanya. (Jilid 2, halaman 304)
Disertakan
fatwa Syeikh Dr. Abdullah bin Abdurrahman Al Jibrin rh. : Disebutkan dalam sebuah hadis, bahawa pada suatu
Subuh Nabi Saw. pernah junub kerana menggauli isterinya, kemudian baginda mandi,
solat dan berpuasa. Mandi junub itu adalah syarat sahnya solat, sehingga tidak
boleh menundakannya, kerana melaksanakan solat Subuh itu harus pada waktunya.
Tapi jika ia tertidur dalam keadaan junub dan baru bangun waktu dhuha, maka
saat itu ia harus segera mandi dan menyempurnakan solat Subuh serta melanjutkan
puasanya. Demikian juga jika ia tertidur di siang hari dalam keadaan berpuasa,
lalu mimpi junub, maka ia harus mandi untuk solat Zuhur atau Asar dan tetap
melanjutkan puasanya.
Kitab Fatawa As Siyam, disusun oleh Syeikh
Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh. halaman 31
Mudah-mudahan saya telah membantu.
والله اعلم
Salaam
Abang Mad, saya nak tanya yang mudah saja. Bolehkah bernikah dalam bulan
Ramadhan. Adakah dilarang di dalam islam kerana itu tak pernah orang buat.
Wassalam
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima
kasih kepada tuan. Saya tak mahulah merepek panjang lantaran tuan yang bertanya
ini orang bujang yang dengar ceritanya bakal bernikah dalam tempoh
terdekat.
Tiada wujud hari/ bulan/ tahun tertentu yang dilarang dalam Islam
untuk diadakan aqad nikah. Di dalam syari’at Islam semua hari dan waktu adalah
baik untuk bernikah. Yang menjadi pertimbangan selalunya (namun diperingkat
peribadi pasangan dan keluarga sahaja yang tak sama dengan orang lain) hanyalah
dalam beberapa faktor antaranya kesesuaian masa dan tempoh cuti atau tidak,
supaya memudahkan.
Maka itu, boleh melakukan aqad nikah dalam bulan Ramadhan. Cuma
dalam masyarakat kita ini, jarang sekali dibuat orang bernikah dalam bulan
Ramadhan, malah hampir-hampir tak pernah berlaku pun. Itu hanyalah adat
kebiasaan masyarakat bukannya ketetapan syara’. Sekiranya tuan berminat
mengadakan aqad nikah dalam bulan Ramadhan, boleh saja.
Begitulah ceritanya.
والله اعلم
Assalamualaikum
Edd, ......
Ada sedikit kemusykilan yang nak ditanya. Baru-baru ni terjadi kat anak den,
dio pitam/pingsan kira-kira 30 minit. Adakah batal puasa kerana pitam/pengsan
tu? Pening den fasal macam-macam hukuman bagi dek orang sampai tak tahu mana
nak diikut. Selamat puasa dan raya, datanglah nanti rumah den.
Itu
je, wassalam.
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Menarik
soalan ni waghih. Cuma saya ni serba dhaif, tidak saya ketemui penjelasan yang
jelas dari sumber yang qat’ie dari dalil-dalil syara’ berkenaan hal ini.
Justeru itu, saya nukilkan jawaban yang diberikan oleh rakan-rakan dalam panel
fiqh Al Ahkam.net sebagai pedoman. Pasti sekali kerana setuju dengannya.
Menurut
Imam Syafie rh. dan Imam Ahmad rh, hukum berpuasa bagi seseorang yang pitam,
tidur berpanjangan, koma dan sebagainya mempunyai 2 senario :
1. Tidak sedar diri dari sebelum fajar sehinggalah terbenam matahari. Puasa
begini tidak sah. Ini disebabkan konsep puasa adalah menahan diri dari makan
dan minum di dalam keadaan sedar, dengan niat melakukannya, dan dilakukan
kerana Allah Swt. Sabda Nabi Saw. :
يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
"Meninggalkan
makanannya, minumannya dan syahwatnya keranaKu."
Hadis
sahih riwayat imam Bukhari rh. no. 1894 dan imam Muslim rh. no. 1151
2.
Dia terjaga/sedar di sebahagian waktu, samada pada awal, pertengahan atau
hujung waktu berpuasa, maka puasanya itu SAH. Menurut Al Hafiz Imam Yahya bin
Sharaf An Nawawi rh. setelah meneliti kesemua pandangan, beliau berkata bahawa
:-
وأصح الأقوال : يشترط الإفاقة في جزءٍ منه
"Pandangan
yang benar mengenai perkara ini adalah dengan syarat dia bangkit (sedar) pada
sebahagian dari hari". Alasannya adalah kerana seseorang yang bangkit pada
siang hari puasa dapat akan menahan diri dari makan, minum dan syahwat di dalam
keadaan sedar.
Kesimpulan yang dapat kita ambil adalah, jika sseorang itu tidak sedarkan diri
berpanjangan (dari sebelum fajar hingga terbenam matahari), maka puasanya batal
dan dikehendaki mengqadha puasanya. Bagi seseorang yang sedarkan diri
disebahagian harinya maka puasanya sah. Ini adalah pandangan imam Syafi’ie rh. dan
imam Ahmad rh., dan juga disukai oleh Syeikh Muhammad bin Solih Al Utsaimin rh.
Lihat
kitab Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab, Jilid 6 halaman 346, kitab Al Mughni, Jilid
4 halaman 344 dan kitab Al Syarh Al Mumti’, Jilid 6 halaman 365
Lantaran
itu, bagi kes yang disebutkan diatas, disebabkan pengsannya hanya kira-kira 30
minit, maka puasanya masih lagi sah. Setakat ini yang saya boleh membantu.
والله اعلم
Assalamu’alaikum
Wbt.
Saya
nak tanya sikit Abang Mad, ini berkenaan melakukan proses heamodialisis bagi
orang yang sakit buah pinggang kritikal 3 kali seminggu. Ini terjadi kepada
kaum keluarga saya. Adakah proses heamodialisis ini menyebabkan batal puasa.
Adakah boleh orang itu terus sahaja membayar fidyah sepanjang bulan Ramadhan
kerana dia sentiasa letih, lagi pun sakit ini adalah kekal yang tiada harapan
baik lagi kecuali ditukar buah pinggang. Setakat ini dia masih tetap mahu
berpuasa, tapi tak semua hari yang dapat dia buat. Lebih banyak yang dia tak
boleh kerana tidak mampu berbanding yang boleh. Adakah perlu di qadha atau
fidyah.
Sekian,
wassalam.
السلام
عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima
kasih kerana memberikan soalan mencabar ni syeh. Agak panjang sebenarnya dan
tak tersusun hingga saya tak tahu yang mana satu nak dijawab dulu. Bagaimana
pun, saya akan cuba memberikan maklumbalas sebaik mungkin, insyaAllah, begini :
Menjalani
proses heamodialisis tidak membatalkan puasa disebabkan yang membatalkan adalah masuknya
sesuatu ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut manakala heamodialisis
pula adalah satu proses ‘darah yang keluar untuk dibersihkan' dan ‘darah yang masuk
semula' ke dalam tubuh melalui salur darah. Selain itu proses heamodialisis itu
bukan menyebabkan berlakunya penggugatan (makan, minum dan perkara
mengenyangkan) ke atas puasa. Dalam kes ini, penyebab sebenar kepada dia mampu
menjalani puasa atau tidak, adalah sakit yang dihadapinya itu bukannya proses
heamodialisis.
Ada
hadis menarik bagi membicarakan hal ini ;
"Diriwayatkan
dari Mu'adz bin Jabal Rhu., dia berkata : Sesungguhnya Allah Swt. telah
mewajibkan atas nabi untuk puasa, maka DIA turunkan ayat (dalam surat Al
Baqarah (2) : ayat 183-184), maka pada saat itu barangsiapa mahu puasa dan
barangsiapa mahu memberi makan seorang miskin, keduanya diterima. Kemudian
Allah menurunkan ayat lain (Al Baqarah (2)
: ayat 185), maka ditetapkanlah kewajiban puasa bagi setiap orang yang
mukim dan sihat dan diberi rukhsah (keringanan) untuk orang yang sakit dan
bermusafir dan ditetapkan cukup memberi makan orang miskin bagi orang yang
sudah sangat tua dan tidak mampu puasa".
Hadis
riwayat imam Ahmad rh., imam Abu Daud
rh. dan imam Baihaqi rh. dengan sanad yang sahih
Fidyah
boleh dibayar sebagai sebagai ganti kewajiban puasa oleh orang yang mengidap
sakit kekal dan tiada harapan untuk sembuh lagi (juga tiada upaya untuk dia
membuat qadha puasa di masa depan). Dalam kes ini, dia memang telah mengidap
sakit kekal, tidak mampu lagi berpuasa dan layak untuk membayar fidyah sahaja
lantaran sekiranya dia terus berpuasa akan menggugat tahap kesihatannya dan
boleh menjadikan keadaan lebih teruk lagi. Hari-hari yang tidak dia dapat
berpuasa padanya sejak dia mengidap sakit ini, hendaklah dibayar fidyah. Huraian
lengkap berkenaan fidyah telah saya nyatakan dalam bab sebelum ini.
Sikap
dia untuk berusaha juga berpuasa seperti orang banyak memanglah amat terpuji. Baik
sekali didapatkan testimony daripada doktor Muslim berwibawa tentang adakah dia
masih boleh juga berpuasa atau terus membayar fidyah sahaja. Mudah-mudahan Allah
Swt. merahmati, memberikan kekuatan dan kesihatan kepadanya. Moga saya telah membantu
tuan yang bertanya dan orang yang terbabit.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan
Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan