Friday, August 10, 2012

Nuzul Al-Qur'an: Adakah Pada 17 Ramadhan?

11 comments

Soalan asal daripada : shukor@asemal.com.my

Assalamualaikum Tn Hj. Mad,

Apa benarkah hari nuzul Al Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan, seperti yang kita amalkan dan dipercayai sekarang? Saya ada mendengar disebut-sebut orang yang bukan itu tarikh sebenarnya. Jadi, apakah keadaan sebenarnya?

Harap mendapat penjelasan dari tuan, wassalam

Maklumbalas :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Semoga tuan berada dalam rahmat dan restu Allah Swt sentiasa. Terima kasih kerana masih bersama rakan-rakan dalam group email ini. Soalan ini amat bagus sebenarnya untuk pengetahuan kita bersama. Maklumbalas kepada soalan adalah seperti berikut.:

Saya mohon izin kepada semua rakan-rakan jamaah, untuk bercakap sedikit dalam hal Nuzul Al Qur’an ini seperti ditanyakan. Selain daripada tuan, ada 4 sahabat lain yang pernah bertanya di dalam kuliah, soalan yang hampir-hampir sama yaitu : Betulkah Nuzul Al-Qur’an itu berlaku pada 17 Ramadhan seperti yang dipercayai dan disambut sekarang, ada majlis-majlis sambutan, siap dengan cuti umum sekali.

Sebelum saya huraikan lebih panjang lebar, baik kita bersama ulangsorot serba sedikit sejarah penurunan Al Qur’an ini untuk refresh minda kita.

1.    Al Qur’an diturunkan sedikit demi sedikit (perlahan-lahan) oleh Jibril Ahs. kepada Nabi Muhammad Saw. selama 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah).

2.    Ia diturunkan pula pada setiap ketika, tanpa adanya batasan waqtu dan tempat dalam tempoh 23 tahun itu. Namun ada juga yang bersifat khusus seperti jawaban kepada persoalan, hukum kepada sesuatu keadaan dan penjelasan kepada sesuatu keadaan.

3.    Ayat pertama yang diturunkan adalah “iqra’………….” yaitu surah Al ‘Alaq atau Al Qalam (surah no. 96 mengikut susunan Rasm Utsmani). Disebutkan yang ayat 1 hingga 5 adalah ayat yang pertama sekali diturunkan.

4.    Ayat yang pertama sekali diturunkan adalah pada ketika Nabi Saw. sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hirak, dan peristiwa pertama kali ini terjadi pada waqtu malam.

5.    Ayat terakhir diturunkan adalah Surah Al Maaidah (5) sebahagian ayat 3, dikhabarkan oleh baginda Nabi Saw. dalam khutbah agung baginda di Padang Arafah, dalam peristiwa haji wida’ pada tahun 10 Hijrah. 

Harus difahami, skop perbincangan kepada persoalan yang ditanyakan adalah berkisar kepada tarikh bilakah ayat Al Qur’an (yaitu ayat : iqra’……) yang pertama kali diturunkan, bukannya tarikh lain-lain secara umum.

Jawapan secara ringkas, tepat, padat dan tetap dari saya ke atas soalan tuan adalah : Tanggapan dan fahaman bahawa nuzul Al Qur’an berlaku pada 17 Ramadhan itu tidaklah benar. Fahaman ini bertentangan dengan dalil dan riwayat-riwayat sohih berkenaan turunnya Al Qur’an.

Untuk kebaikan dan kefahaman semua, baik sekali saya huraikan susur galur jawaban ini secara tersusun supaya tuan dapat fahami dengan sejelas-jelasnya.

Adalah benar bahawa Nuzul Al Qur’an itu berlaku di Bulan Ramadhan, seperti yang telah difirmankan oleh Allah Swt. :

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan) Al Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang haq dengan yang batil) ....”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 185

Berdasarkan ayat ini, secara umumnya, Allah Swt. telah mengesahkan bahawa Al Qur’an itu diturunkan pada bulan Ramadhan, akan tetapi tidak disebutkan tarikhnya secara tepat.
Seterusnya Allah Swt. menjelaskan lagi bahawa sesungguhnya Al Qur’an ul Kabiir itu diturunkan pada malam-malam Al Qadr (Lailatul Qadr - malam yang mulia dan dilimpahi berkah), bukannya pada 17 Ramadhan seperti difirmankan oleh Allah Swt.

“Sesungguhnya telah kami turunkan Al Qur’an itu pada malam Al Qadr”.
Surah Al Qadr (97) : ayat 1

Seterusnya baik difahami pula bilakah yang dimaksudkan berlakunya Lailatul Qadr itu. Sebenarnya yang dimaksudkan dengan berlakunya Lailatul Qadr itu adalah dalam tempoh sepuloh (10) malam terakhir Ramadhan berdasarkan hadits daripada Ummul Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar Rha. :

“Rasulullah Saw. beri’tikaf di sepuloh hari terkahir bulan Ramadhan dan baginda bersabda : Carilah malam Lailatul Qadar (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan”.
Hadits sohih riwayat imam Bukhari rh. 4/225 dan imam Muslim rh. 1169

Berdasarkan lafaz sohih ini, telah jelas bahawa turunnya Al Qur’an telah dikhususkan oleh Allah Swt. berlaku pada malam Al Qadr yaitu sepuloh malam terakhir Ramadhan. Lantaran itu tarikh yang difahami dan dipercayai masyarakat umum sekarang yaitu 17 Ramadhan adalah tidak benar kerana ia bukan berada pada 10 hari terakhir Ramadhan yang tergolong dalam Lailatul Qadr itu.

Seterusnya, dalam hadis yang lain dijelaskan lagi secara lebih nyata bahawa yang dikatakan Lailatul Qadr itu adalah pada malam-malam yang ganjil (21, 23, 25, 27, 29), bukannya semua sekali sepuloh (10) malam hari yang akhir itu. Ini berdasarkan keterangan daripada hadis berikut :

“Dari Ubadah bin Samit Rhu. ia berkata : Rasulullah Saw. keluar pada malam Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat (sedang) berdebat. Baginda bersabda : Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadr, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui (terlupa) bilanya, mungkin ini lebih baik bagi kalian, (maka) carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain : 27, 29 dan 25)”.
Hadis sohih riwayat imam Bukhari rh. 4/232.

Banyak orang yang berpegang dan berfaham bahawa Nuzul Al Qur’an itu terjadi pada 17 Ramadhan menerusi riwayat yang mengatakan ianya terjadi pada 17 Ramadhan seperti yang disebut oleh riwayat Ibn Mas’ud Rhu., maka adalah sesungguhnya riwayat ini ialah dhoif (sila rujuk dalam Sunan Abi Daud rh. : hadis no. 1384).

Maka itu, setakat yang saya ketahui dan yakini, dalam hal Nuzul Al Qur’an kali pertama ini, ia bukanlah terjadi pada 17 Ramadhan, akan tetapi ia berlaku dalam tempoh malam-malam ganjil sepuloh (10) hari terakhir bulan Ramadhan al Mubarak itu. Itulah yang sebenarnya.

Bagaimana pun, seyogia diperingatkan kepada semua jamaah dan pembaca, hal mengetahui bila tarikh sebenar hari nuzul Al Qur’an ini bukanlah suatu perkara yang sangat penting dan dituntut ke atas untuk kita ketahui, tetapi yang sebenarnya dituntut oleh syara’ adalah menghayati, memahami, mentaati, mentadabbur dan mengamalkan Al Qur’an itu di dalam hidup kita. Hal ini pula yang sangat banyak orang gagal.

Namun begitu, adalah amat perlu pula kebenaran diserlahkan berikutan sejak berzaman dahulu lagi minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 Ramadhan adalah hari Nuzul Al Qur’an, bahkan turut dijadikan hari cuti umum, dianjurkan berbagai ritual dan upacara padanya, sedangkan hakikat sebenarnya bukanlah begitu. Tidak wajar sama sekali fakta yang salah itu dibiarkan berterusan menjadi kepercayaan masyarakat sedangkan fakta yang haq ditutup, Apa-apa jua penetapan semestinya didasari oleh dalil yang sahih. Begitulah yang dituntut oleh syara’ dan begitulah juga yang sepatutnya diajarkan kepada ummat Muslimin.

Justeru itu, bukanlah nuzul Al Qur’an yang pertama itu pada 17 Ramadhan. Maka itu, tidak perlulah menyambut sesuatu yang tidak kita pasti, dengan dianggap begitu begini pula, disulam pulak dengan segala macam amalan yang tak pernah dituntut syara' padanya, walhal, perintah Allah Swt. dan rasulNya amat jelas ; supaya mengamalkan isi Al Qur’an itu, mengikuti dan bertadabbur kepadanya kurang pula diberi penekanan, sebaliknya lebih seronok mengadakan kekarutan dari kejahilan. Sesungguhnya Allah Swt. telah pun memberikan peringatanNya :

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan (di hari akhirat)".
Surah Al Israa' / Bani Israail (17) : ayat 36

Seterusnya, baik sekali saya nukilkan penjelasan tentang tarikh dan peristiwa nuzul Al Qur’an ini oleh imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. yang memberikan huraian dan jawaban yang lebih jelas.

Allah Swt.memuliakan bulan puasa diantara bulan-bulan lainnya dengan memilihnya sebagai bulan mula diturunkanNya Al Qur’an ul Adzim. Dia memberikan keistimewaan ini sebagaimana telah dinyatakan dalam hadis bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan di mana kitab-kitab ilahiah diturunkan kepada para nabi. Imam Ahmad bin Hanbal rh. meriwayatkan dari Wasilah bin Al Asqa’ Rhu. bahawa Rasulullah Saw. bersabda :

“Suhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim Ahs. diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan. Taurat diturunkan pada tanggal 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tangal 13 Ramadhan, dan Al Qur’an diturunkan pada tanggal 24 Ramadhan”.

Suhuf Ibrahim, kitab Taurat, Zabur dan Injil diturunkan kepada Nabi Saw. penerimanya dalam satu kitab sekaligus. Sedangkan Al Qur’an diturunkan secara sekaligus (dari Lauh Mahfuz) ke Baitul Izzah di langit dunia, dan hal itu terjadi pada bulan Ramadhan pada malam Lailatul Qadr. Sebagaimana firmanNya :    

“Sesungguhnya telah kami turunkan Al Qur’an itu pada malam Al Qadr (kemuliaan)”. Surah Al Qadr (97) : ayat 1

Dia juga telah berfirman :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah”. Surah Ad Dukhaan (44) : ayat 3

Setelah itu, Al Qur’an diturunkan bahagian demi bahagian kepada Rasulullah Saw. sesuai dengan peristiwa yang terjadi. Demikian yang diriwayatkan menerusi Abdullah Ibnu Abbas Rhu. melalui beberapa jalur.
Tafsiir ul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 1, halaman 347

Berdasarkan keterangan ini, jelas sudah jawaban ke atas pertanyaan dan kemusykilan tuan. Mudah-mudahan saya telah membantu.

Aakhirul Kalaam :
Apapun esok cuti umum, untuk saya juga dan sebahagian kita, ni'matinya. Alhamdulillah.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

11 comments:

shamsuri@asemal.com.my said...

Assalamu’alaikum Ustaz Mad,

Terima kasih atas butiran penjelasan ini. Alhamdulillah segala kekaburan nampaknya telah terjawab.

Sekian.

shukor@asemal.com.my said...

Wassalam, moga Tn Hj ok.

Alhamdulillah, lega rasanya dengan penjelasan ini. Memang agak ringkas dan padat, tak terlalu panjang berjela-jela. Mudah memberi kefahaman. InsyaAllah nanti saya panjangkan email artikel ni kepada rakan-rakan lain. Mudahan Tn Hj beroleh lebih kesempatan dan ruang untuk menyampaikan ilmu yang benar.

Terima kasih

sabja114@yahoo.com said...

Assalamu’alaikum Hj Mad,

Terima kasih atas artikal ini. Saya pernah bersama dalam satu perbincangan dengan beberapa orang ahli majlis fatwa dalam hal ini. Terdapat satu kertas kerja lengkap membincangkan hal ini dalam simpanan fail lama saya, tetapi saya kena cari dulu kerana telah lama berlaku.

InsyaAllah, bila dapat nanti akan saya hantarkan untuk manfaat kita bersama. Memang menarik isu ini dan salah fahaman dalam masyarakat boleh diperbetulkan.

Sekian.

eddzahir said...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih Akhi Pyan atas maklumbalas. Semoga tuan berada dalam rahmat dan restu Allah Swt. sentiasa.

Saya sangat gembira mendengar yang tuan ada kertas kerja lengkap membincangkan hal ini. Itu perkhabaran amat penting untuk kita semua kongsikan. Tambahan pula saya sendiri mempunyai keupayaan yang amat terhad dan serba dhoif. InsyaAllah kertas kerja lengkap itu nanti akan membantu kita memahami hal ini dengan lebih baik.

Harap dapat tuan kongsikan dengan semua jamaah setelah diperolehi nanti.

Wassalam.

hadie_mus@yahoo.com said...

Assalamu’alaikum Abang Mad,

Terima kasih bebanyak sungguh. Sebelum ini saya memang tak tahu perkara sebenar nuzul Al Quran nih, main ikut-ikut saja dan percaya sungguh yang 17 Ramadhan adalah hari turun Al Qur’an. Rupanya bukan. Begitu la kan bila kita hanya percaya, beramal dan beriman tanpa ilmu. Moga Allah mengampuni salah fahaman saya dulu tuh.

Apa pun, terima kasih sungguh untuk Abang Mad

Wassalam.

tajdid_hadhari@yahoo.com said...

Assalamu’alaikum Pak lang,

Saya mohon izin untuk kopy dan masukkan ke dalam beberapa blog kawan-kawan dan lagi satu saya nak panjangkan kepada ramai kawan-kawan lagi.

Harap mendapat keizinan, wassalam

eddzahir said...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

1. Untuk akhie hadie_mus@yahoo.com Alhamdulillah artikel kecil tak seberapa dan serba kekurangan ini telah memberikan pengetahuan kepada tuan. Harap dapat tuan buat semakan lanjut dengan orang yang lebih baik lagi supaya tuan mendapat lebih ilmu. Memang begitulah pentingnya berilmu sebelum berkata-kata dan beramal. Yang menjadi masalahnya adalah, sangat ramai di kalangan kita yang percaya bahawa, beriman dan beramal tanpa ilmu pengetahuan tidak salah malah digalakkan pula kerana orang awam kena jadi bodoh tolol, maka tak mengaji pun tak apa. Ini fahaman dan kepercayaan amat batil sebenarnya, tak tahulah macam mana ia meresap masuk dalam diri ummat Islam. Jadi, jika ada masa lapang dan tidak mengganggu, marilah bersama ke kuliah. InsyaAllah akan mempertingkatkan ilmu.

2. Buat anakanda tajdid_hadhari@yahoo.com, keizinan diberikan, memang hakcipta tak terpelihara pun, sebar-sebarkanlah pengetahuan ini kepada mana-mana orang pun. Cuma satu saja syaratnya, jangan buat berniaga dan untuk mencari-cari keuntungan komersial. Hak tu memang tak boleh, saya tak izinkan. Jangan gunakan Islam untuk cari untung.

Wassalam.

m_nazir@yahoo.com said...

Assalamu’alaikum Abang Mad,

Terima kasih sungguh la atas penjelasan ni. Sebelum ni saya percaya sungguh yang nuzul Qu’an tu pada hari 17 Ramadhan setiap tahun, rupanya memang silap. Saya nak mohon izin untuk hantar kepada adik beradik dan beberapa kawan.

Mudah-mudahan mereka akan faham selepas membaca ulisan ni. Betul juga, dah jadi hari cuti umum bagi kita kat Penang, maka kita cuti saja lah. Ini pun nikmat juga di bulan puasa ni.

Wassalam

eddzahir said...

Boleh tuan, keizinan diberikan, memang hakcipta tak terpelihara pun, sebar-sebarkanlah pengetahuan ini kepada mana-mana orang pun. Cuma satu saja syaratnya, jangan buat berniaga dan untuk mencari-cari keuntungan komersial. Hak tu memang tak boleh, saya tak izinkan. Jangan gunakan Islam untuk cari untung.

Wassalam.

mohdpoziatan@yahoo.com said...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga segala usaha Syeikh Mad ni mendapat restu Allah Swt. sebanyak-banyaknya. Saya sendiri pun ada mendengar kuliah dan membaca beberapa artikel tentang hal ni lama dulu. Alhamdulillah ia sama dengan apa yang Syeikh Mad cakapkan nih. Terima kasih juga kerana sertakan dalil dan rujukan untuk semakan semula kita bersama nanti.

Saya ada cerita menarik yang nak dikongsikan dengan rakan-rakan semua tentang hal ni. Tapi memandangkan Sdr. Pyan Si Pitong akan kemukakan artikel lebih lengkap, baik saya hold dulu sehingga membaca apa yang dinyatakan oleh artikel tu dulu.

Apa pun terima kasih atas makluman. Moga Syeikh sejahtera selalu.

Wassalam.

pedu_00@yahoo.com said...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Selamat sejahtera untuk Ustaz Mad dan juga ke atas semua rakan.

Amat baik perbincangan dan info ni. Memang memberi pengetahuan baru. Nanti ada artikel tambahan lagi untuk penambah pengetahuan.

Alhamdulillah, selamat untuk semua.

Wassalam.