Assalamualaikum
Tn Hj. Mad,
Apa benarkah
hari nuzul Al Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan, seperti yang kita amalkan dan
dipercayai sekarang? Saya ada mendengar disebut-sebut orang yang bukan itu
tarikh sebenarnya. Jadi, apakah keadaan sebenarnya?
Harap
mendapat penjelasan dari tuan, wassalam
Maklumbalas
:
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Semoga tuan
berada dalam rahmat dan restu Allah Swt sentiasa. Terima kasih kerana masih
bersama rakan-rakan dalam group email ini. Soalan ini amat bagus sebenarnya
untuk pengetahuan kita bersama. Maklumbalas kepada soalan adalah seperti
berikut.:
Saya mohon izin kepada semua rakan-rakan jamaah, untuk bercakap sedikit dalam
hal Nuzul Al Qur’an ini seperti ditanyakan. Selain daripada tuan, ada 4 sahabat
lain yang pernah bertanya di dalam kuliah, soalan yang hampir-hampir sama yaitu
: Betulkah Nuzul Al-Qur’an itu berlaku pada 17 Ramadhan seperti yang dipercayai
dan disambut sekarang, ada majlis-majlis sambutan, siap dengan cuti umum sekali.
Sebelum saya
huraikan lebih panjang lebar, baik kita bersama ulangsorot serba sedikit
sejarah penurunan Al Qur’an ini untuk refresh minda kita.
1. Al Qur’an diturunkan sedikit demi
sedikit (perlahan-lahan) oleh Jibril Ahs. kepada Nabi Muhammad Saw. selama 23
tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah).
2. Ia diturunkan pula pada setiap
ketika, tanpa adanya batasan waqtu dan tempat dalam tempoh 23 tahun itu. Namun
ada juga yang bersifat khusus seperti jawaban kepada persoalan, hukum kepada
sesuatu keadaan dan penjelasan kepada sesuatu keadaan.
3. Ayat pertama yang diturunkan adalah
“iqra’………….” yaitu surah Al ‘Alaq atau Al Qalam (surah no. 96 mengikut susunan
Rasm Utsmani). Disebutkan yang ayat 1 hingga 5 adalah ayat yang pertama sekali
diturunkan.
4. Ayat yang pertama sekali diturunkan
adalah pada ketika Nabi Saw. sedang berkhalwat (bersendirian) di Gua Hirak, dan
peristiwa pertama kali ini terjadi pada waqtu malam.
5. Ayat terakhir diturunkan adalah
Surah Al Maaidah (5) sebahagian ayat 3, dikhabarkan oleh baginda Nabi Saw.
dalam khutbah agung baginda di Padang Arafah, dalam peristiwa haji wida’ pada
tahun 10 Hijrah.
Harus
difahami, skop perbincangan kepada persoalan yang ditanyakan adalah berkisar
kepada tarikh bilakah ayat Al Qur’an (yaitu ayat : iqra’……) yang pertama kali
diturunkan, bukannya tarikh lain-lain secara umum.
Jawapan secara
ringkas, tepat, padat dan tetap dari saya ke atas soalan tuan adalah :
Tanggapan dan fahaman bahawa nuzul Al Qur’an berlaku pada 17 Ramadhan itu tidaklah
benar. Fahaman ini bertentangan dengan dalil dan riwayat-riwayat sohih
berkenaan turunnya Al Qur’an.
Untuk
kebaikan dan kefahaman semua, baik sekali saya huraikan susur galur jawaban ini
secara tersusun supaya tuan dapat fahami dengan sejelas-jelasnya.
Adalah benar
bahawa Nuzul Al Qur’an itu berlaku di Bulan Ramadhan, seperti yang telah
difirmankan oleh Allah Swt. :
“(Masa yang
diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan (permulaan)
Al Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara
yang haq dengan yang batil) ....”.
Surah Al
Baqarah (2) : ayat 185
Berdasarkan
ayat ini, secara umumnya, Allah Swt. telah mengesahkan bahawa Al Qur’an itu
diturunkan pada bulan Ramadhan, akan tetapi tidak disebutkan tarikhnya secara
tepat.
Seterusnya Allah Swt. menjelaskan lagi bahawa sesungguhnya Al Qur’an ul Kabiir
itu diturunkan pada malam-malam Al Qadr (Lailatul Qadr - malam yang mulia dan
dilimpahi berkah), bukannya pada 17 Ramadhan seperti difirmankan oleh Allah Swt.
“Sesungguhnya telah kami turunkan Al Qur’an itu pada malam Al Qadr”.
Surah Al Qadr
(97) : ayat 1
Seterusnya
baik difahami pula bilakah yang dimaksudkan berlakunya Lailatul Qadr itu.
Sebenarnya yang dimaksudkan dengan berlakunya Lailatul Qadr itu adalah dalam tempoh
sepuloh (10) malam terakhir Ramadhan berdasarkan hadits daripada Ummul
Mukminin, Aisyah binti Abu Bakar Rha. :
“Rasulullah Saw. beri’tikaf di sepuloh hari terkahir bulan Ramadhan dan baginda
bersabda : Carilah malam Lailatul Qadar (malam ganjil) pada 10 hari terakhir
bulan Ramadhan”.
Hadits sohih
riwayat imam Bukhari rh. 4/225 dan imam Muslim rh. 1169
Berdasarkan
lafaz sohih ini, telah jelas bahawa turunnya Al Qur’an telah dikhususkan oleh
Allah Swt. berlaku pada malam Al Qadr yaitu sepuloh malam terakhir Ramadhan.
Lantaran itu tarikh yang difahami dan dipercayai masyarakat umum sekarang yaitu
17 Ramadhan adalah tidak benar kerana ia bukan berada pada 10 hari terakhir
Ramadhan yang tergolong dalam Lailatul Qadr itu.
Seterusnya, dalam
hadis yang lain dijelaskan lagi secara lebih nyata bahawa yang dikatakan
Lailatul Qadr itu adalah pada malam-malam yang ganjil (21, 23, 25, 27, 29),
bukannya semua sekali sepuloh (10) malam hari yang akhir itu. Ini berdasarkan
keterangan daripada hadis berikut :
“Dari Ubadah
bin Samit Rhu. ia berkata : Rasulullah Saw. keluar pada malam Lailatul Qadar,
ada dua orang sahabat (sedang) berdebat. Baginda bersabda : Aku keluar untuk
mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadr, tapi ada dua orang
berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui (terlupa) bilanya, mungkin ini lebih
baik bagi kalian, (maka) carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain : 27,
29 dan 25)”.
Hadis sohih
riwayat imam Bukhari rh. 4/232.
Banyak orang
yang berpegang dan berfaham bahawa Nuzul Al Qur’an itu terjadi pada 17 Ramadhan
menerusi riwayat yang mengatakan ianya terjadi pada 17 Ramadhan seperti yang disebut
oleh riwayat Ibn Mas’ud Rhu., maka adalah sesungguhnya riwayat ini ialah dhoif
(sila rujuk dalam Sunan Abi Daud rh. : hadis no. 1384).
Maka itu, setakat yang saya ketahui dan yakini, dalam hal Nuzul Al Qur’an kali
pertama ini, ia bukanlah terjadi pada 17 Ramadhan, akan tetapi ia berlaku dalam
tempoh malam-malam ganjil sepuloh (10) hari terakhir bulan Ramadhan al Mubarak
itu. Itulah yang sebenarnya.
Bagaimana
pun, seyogia diperingatkan kepada semua jamaah dan pembaca, hal mengetahui bila
tarikh sebenar hari nuzul Al Qur’an ini bukanlah suatu perkara yang sangat penting
dan dituntut ke atas untuk kita ketahui, tetapi yang sebenarnya dituntut oleh
syara’ adalah menghayati, memahami, mentaati, mentadabbur dan mengamalkan Al Qur’an
itu di dalam hidup kita. Hal ini pula yang sangat banyak orang gagal.
Namun
begitu, adalah amat perlu pula kebenaran diserlahkan berikutan sejak berzaman
dahulu lagi minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 Ramadhan adalah hari
Nuzul Al Qur’an, bahkan turut dijadikan hari cuti umum, dianjurkan berbagai
ritual dan upacara padanya, sedangkan hakikat sebenarnya bukanlah begitu. Tidak
wajar sama sekali fakta yang salah itu dibiarkan berterusan menjadi kepercayaan
masyarakat sedangkan fakta yang haq ditutup, Apa-apa jua penetapan semestinya
didasari oleh dalil yang sahih. Begitulah yang dituntut oleh syara’ dan
begitulah juga yang sepatutnya diajarkan kepada ummat Muslimin.
Justeru itu,
bukanlah nuzul Al Qur’an yang pertama itu pada 17 Ramadhan. Maka itu, tidak perlulah
menyambut sesuatu yang tidak kita pasti, dengan dianggap begitu begini pula, disulam
pulak dengan segala macam amalan yang tak pernah dituntut syara' padanya,
walhal, perintah Allah Swt. dan rasulNya amat jelas ; supaya mengamalkan isi Al
Qur’an itu, mengikuti dan bertadabbur kepadanya kurang pula diberi penekanan,
sebaliknya lebih seronok mengadakan kekarutan dari kejahilan. Sesungguhnya
Allah Swt. telah pun memberikan peringatanNya :
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana
Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan
ditanya dan dipersoalkan (di hari akhirat)".
Surah Al
Israa' / Bani Israail (17) : ayat 36
Seterusnya,
baik sekali saya nukilkan penjelasan tentang tarikh dan peristiwa nuzul Al
Qur’an ini oleh imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. yang memberikan
huraian dan jawaban yang lebih jelas.
Allah
Swt.memuliakan bulan puasa diantara bulan-bulan lainnya dengan memilihnya
sebagai bulan mula diturunkanNya Al Qur’an ul Adzim. Dia memberikan
keistimewaan ini sebagaimana telah dinyatakan dalam hadis bahawa bulan Ramadhan
merupakan bulan di mana kitab-kitab ilahiah diturunkan kepada para nabi. Imam
Ahmad bin Hanbal rh. meriwayatkan dari Wasilah bin Al Asqa’ Rhu. bahawa
Rasulullah Saw. bersabda :
“Suhuf
(lembaran-lembaran) Ibrahim Ahs. diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan.
Taurat diturunkan pada tanggal 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada tangal 13
Ramadhan, dan Al Qur’an diturunkan pada tanggal 24 Ramadhan”.
Suhuf
Ibrahim, kitab Taurat, Zabur dan Injil diturunkan kepada Nabi Saw. penerimanya
dalam satu kitab sekaligus. Sedangkan Al Qur’an diturunkan secara sekaligus
(dari Lauh Mahfuz) ke Baitul Izzah di langit dunia, dan hal itu terjadi pada
bulan Ramadhan pada malam Lailatul Qadr. Sebagaimana firmanNya :
“Sesungguhnya
telah kami turunkan Al Qur’an itu pada malam Al Qadr (kemuliaan)”. Surah Al Qadr
(97) : ayat 1
Dia juga
telah berfirman :
“Sesungguhnya
Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah”. Surah Ad Dukhaan (44) :
ayat 3
Setelah itu,
Al Qur’an diturunkan bahagian demi bahagian kepada Rasulullah Saw. sesuai
dengan peristiwa yang terjadi. Demikian yang diriwayatkan menerusi Abdullah
Ibnu Abbas Rhu. melalui beberapa jalur.
Tafsiir ul
Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir), Jilid 1, halaman 347
Berdasarkan
keterangan ini, jelas sudah jawaban ke atas pertanyaan dan kemusykilan tuan.
Mudah-mudahan saya telah membantu.
Aakhirul
Kalaam :
Apapun esok
cuti umum, untuk saya juga dan sebahagian kita, ni'matinya. Alhamdulillah.
والله تعالى أعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan
Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
11 ulasan:
Assalamu’alaikum Ustaz Mad,
Terima kasih atas butiran penjelasan ini. Alhamdulillah segala kekaburan nampaknya telah terjawab.
Sekian.
Wassalam, moga Tn Hj ok.
Alhamdulillah, lega rasanya dengan penjelasan ini. Memang agak ringkas dan padat, tak terlalu panjang berjela-jela. Mudah memberi kefahaman. InsyaAllah nanti saya panjangkan email artikel ni kepada rakan-rakan lain. Mudahan Tn Hj beroleh lebih kesempatan dan ruang untuk menyampaikan ilmu yang benar.
Terima kasih
Assalamu’alaikum Hj Mad,
Terima kasih atas artikal ini. Saya pernah bersama dalam satu perbincangan dengan beberapa orang ahli majlis fatwa dalam hal ini. Terdapat satu kertas kerja lengkap membincangkan hal ini dalam simpanan fail lama saya, tetapi saya kena cari dulu kerana telah lama berlaku.
InsyaAllah, bila dapat nanti akan saya hantarkan untuk manfaat kita bersama. Memang menarik isu ini dan salah fahaman dalam masyarakat boleh diperbetulkan.
Sekian.
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih Akhi Pyan atas maklumbalas. Semoga tuan berada dalam rahmat dan restu Allah Swt. sentiasa.
Saya sangat gembira mendengar yang tuan ada kertas kerja lengkap membincangkan hal ini. Itu perkhabaran amat penting untuk kita semua kongsikan. Tambahan pula saya sendiri mempunyai keupayaan yang amat terhad dan serba dhoif. InsyaAllah kertas kerja lengkap itu nanti akan membantu kita memahami hal ini dengan lebih baik.
Harap dapat tuan kongsikan dengan semua jamaah setelah diperolehi nanti.
Wassalam.
Assalamu’alaikum Abang Mad,
Terima kasih bebanyak sungguh. Sebelum ini saya memang tak tahu perkara sebenar nuzul Al Quran nih, main ikut-ikut saja dan percaya sungguh yang 17 Ramadhan adalah hari turun Al Qur’an. Rupanya bukan. Begitu la kan bila kita hanya percaya, beramal dan beriman tanpa ilmu. Moga Allah mengampuni salah fahaman saya dulu tuh.
Apa pun, terima kasih sungguh untuk Abang Mad
Wassalam.
Assalamu’alaikum Pak lang,
Saya mohon izin untuk kopy dan masukkan ke dalam beberapa blog kawan-kawan dan lagi satu saya nak panjangkan kepada ramai kawan-kawan lagi.
Harap mendapat keizinan, wassalam
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
1. Untuk akhie hadie_mus@yahoo.com Alhamdulillah artikel kecil tak seberapa dan serba kekurangan ini telah memberikan pengetahuan kepada tuan. Harap dapat tuan buat semakan lanjut dengan orang yang lebih baik lagi supaya tuan mendapat lebih ilmu. Memang begitulah pentingnya berilmu sebelum berkata-kata dan beramal. Yang menjadi masalahnya adalah, sangat ramai di kalangan kita yang percaya bahawa, beriman dan beramal tanpa ilmu pengetahuan tidak salah malah digalakkan pula kerana orang awam kena jadi bodoh tolol, maka tak mengaji pun tak apa. Ini fahaman dan kepercayaan amat batil sebenarnya, tak tahulah macam mana ia meresap masuk dalam diri ummat Islam. Jadi, jika ada masa lapang dan tidak mengganggu, marilah bersama ke kuliah. InsyaAllah akan mempertingkatkan ilmu.
2. Buat anakanda tajdid_hadhari@yahoo.com, keizinan diberikan, memang hakcipta tak terpelihara pun, sebar-sebarkanlah pengetahuan ini kepada mana-mana orang pun. Cuma satu saja syaratnya, jangan buat berniaga dan untuk mencari-cari keuntungan komersial. Hak tu memang tak boleh, saya tak izinkan. Jangan gunakan Islam untuk cari untung.
Wassalam.
Assalamu’alaikum Abang Mad,
Terima kasih sungguh la atas penjelasan ni. Sebelum ni saya percaya sungguh yang nuzul Qu’an tu pada hari 17 Ramadhan setiap tahun, rupanya memang silap. Saya nak mohon izin untuk hantar kepada adik beradik dan beberapa kawan.
Mudah-mudahan mereka akan faham selepas membaca ulisan ni. Betul juga, dah jadi hari cuti umum bagi kita kat Penang, maka kita cuti saja lah. Ini pun nikmat juga di bulan puasa ni.
Wassalam
Boleh tuan, keizinan diberikan, memang hakcipta tak terpelihara pun, sebar-sebarkanlah pengetahuan ini kepada mana-mana orang pun. Cuma satu saja syaratnya, jangan buat berniaga dan untuk mencari-cari keuntungan komersial. Hak tu memang tak boleh, saya tak izinkan. Jangan gunakan Islam untuk cari untung.
Wassalam.
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga segala usaha Syeikh Mad ni mendapat restu Allah Swt. sebanyak-banyaknya. Saya sendiri pun ada mendengar kuliah dan membaca beberapa artikel tentang hal ni lama dulu. Alhamdulillah ia sama dengan apa yang Syeikh Mad cakapkan nih. Terima kasih juga kerana sertakan dalil dan rujukan untuk semakan semula kita bersama nanti.
Saya ada cerita menarik yang nak dikongsikan dengan rakan-rakan semua tentang hal ni. Tapi memandangkan Sdr. Pyan Si Pitong akan kemukakan artikel lebih lengkap, baik saya hold dulu sehingga membaca apa yang dinyatakan oleh artikel tu dulu.
Apa pun terima kasih atas makluman. Moga Syeikh sejahtera selalu.
Wassalam.
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Selamat sejahtera untuk Ustaz Mad dan juga ke atas semua rakan.
Amat baik perbincangan dan info ni. Memang memberi pengetahuan baru. Nanti ada artikel tambahan lagi untuk penambah pengetahuan.
Alhamdulillah, selamat untuk semua.
Wassalam.
Catat Ulasan