Jumaat, 10 Ogos 2012

Nuzul Al-Quran: Adakah Pada 17 Ramadhan. (Siri 2)

9 ulasan

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga semua sahabat jamaah dalam restu Allah Swt. senantiasa.

Saya dah mencari dan terjumpa kertas kerja tersebut. Oleh kerana agak panjang, maka  saya telah buat ringkasan supaya lebih pendek dan padat, supaya memudahkan pemahaman kita. InsyaAllah. Selamat membaca. Moga memberi manfaat kepada kita semua untuk terus menghidupkan ilmu, iman dan amal berlandaskan Al Qur’an dan As Sunnah yang haq, insyaAllah.

Benarkah 17 Ramadhan Adalah Hari Nuzul Al Qur'an?

Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambutnya dengan tanggapan ia Hari Nuzul Al Qur’an, di mana pada tarikh inilah dikatakan tarikh diturunkan Al Qur’an buat pertama kalinya kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Saw. Persoalan yang timbul ialah, adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi ari Nuzul Al Qur’an seperti yang dipercayai masyarakat umum semasa?

Dalam menulis artikel ini, saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, yang ditulis dan disediakan oleh Al Fadhil Dr. Ahmad Najib bin Abdullah, seorang pensyarah dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 Ramadhan sebagai hari Nuzul Al-Qur’an” telah dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa Kerajaan Negeri Perlis.

Peringkat Penurunan Al Quran ul Kariim

Para ulamak membahagikan penurunan Al-Qur’an al-Karim kepada dua peringkat.

Peringkat Pertama : Diturunkan dari Lauh Al Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam Al Qadr iaitu malam yang mulia dan penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah swt. :

إنا أنزلناه في ليلة مباركة

Maksudnya : "Sesungguhnya telah Kami turunkannya (Al Qur’an) pada malam yang diberkati".
Surah Ad Dukhaan (44) : ayat 3

Dan fiman Allah Swt. lagi :

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya : "Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Qur’an) itu pada malam Al Qadr".
Surah Al Qadr (97) : ayat 1

Dan firman Allah Swt. lagi :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya : "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 185

Peringkat Kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah Saw. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.

Pendapat ini dipilih oleh Imam Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolani rh. katanya : Pendapat yang sohih dan muktamad (dalam Fath ul Bari, Jilid 8 halaman 620). Al Imam Al Qurthubi rh. menyatakan bahawa tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini (dalam Tafsir Al Qurthubi, Jilid 2 halaman 297).

Bilakah Tarikh Permulaan Turunnya Al Qur’an?

Kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya Al Qur’an itu ialah di dalam Bulan Ramadhan. Tetapi, mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.

Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui hal tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 Ramadhan adalah hari Nuzul Al Qur’an, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.

Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu Al Rahman Al Mubarakfuri rh. antaranya 7 Ramadhan, 17 Ramadhan dan 18 Ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 Ramadhan sebagai tarikh permulaan Nuzul Al Qur’an. Ini disokong oleh beberapa faktor dalil yaitu :

1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa Nabi Saw. diutuskan menjadi seorang Rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah Rhu.

“Bahawasanya Rasulullah Saw. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda : Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (Al Qur’an) ke atasku”.
Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.

2. Pada tahun Nabi Saw. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam Bulan Ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang sohih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadr berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam Bulan Ramadhan.

3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah Swt. di dalam surah Al Qadr dan riwayat Abu Qatadah Rhu. serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi Saw. diutuskan sebagai Rasul pada 21 Ramadhan sekaligus menjadi tarikh sebenar hari Nuzul Al Qur’an.
(rujukan – Al Raheeq Al Makhtum, halaman 75)

Bagaimana Pula Dengan Tarikh 17 Ramadhan

Tarikh ini dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq rh. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan :

Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal nuzul Al Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil Al Qur’an” (bermulanya nuzul Al Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam rh. ada membuat catatan berikut :

Ibn Ishaq rh. berkata : Bermulanya penurunan Al Qur’an kepada Rasulullah Saw. pada Bulan Ramadhan. Allah Swt. berfirman :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 185

Dan Allah Swt. berfirman :

إنا أنزلناه في ليلة القدر

Maksudnya : “Sesungguhnya Kami turunkannya (Al Quran) itu pada malam Al Qadr”.
Surah Al Qadr (97) : ayat 1

Dan Allah Swt. berfirman :

إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان

Maksudnya : “Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan”.
Surah Al Anfal (8) : ayat 41

Dan pada hari itu, pertembungan antara Rasulullah Saw. dengan orang-orang musyrikun di Badar.

Ibn Ishaq rh. berkata lagi : Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain rh. telah menceritakan kepadaku bahawasanya Rasulullah Saw. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 Ramadhan.
Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam, Jilid 1 halaman 239-240 – merujuk kepada kertas kerja Dr. Ahmad Najib)

Kata Dr. Ahmad Najib : Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ (salah satu nama Al Qur’an yang bermaksud Pembeza) yang terdapat dalam Al Qur’an dengan ‘Hari Al Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil Al Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa hari nuzul Al Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Di dalam kitab Al Bidayah Wa Al Nihayah, Imam Ibn Katsir rh. membawakan satu riwayat dari Al Waqidi Rhu. daripada Abu Ja’afar Al Baqir Rhu. bahawa dia berkata: Bermulanya wahyu kepada Rasulullah Saw. pada hari Isnin 17 Ramadhan dan dikatakan juga 24 Ramadhan.
(rujukan – Al Bidayah Wa Al Nihayah).

Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan hari nuzul Al Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan hari nuzul Al Qur’an disebabkan ianya bersandar kepada riwayat dari Al Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid Al Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut para ulamak bidang ilmu Al Jarh Wa Al Ta’dil.

24 Ramadhan Sebagai Tarikh Nuzul Al Qur’an

Sebahagian ulamak memilih 24 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul Al Qur'an berdasarkan hadis berikut :

عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.

“Daripada Wathilah bin Al Asqa’ Rhu. bahawa Rasulullah Saw. bersabda : Diturunkan suhuf Ibrahim Ahs. pada malam pertama bulan Ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan, dan Injil pada 13 Ramadhan, dan diturunkan Al Furqan (Al Qur’an) pada 24 Ramadhan”.

Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh, manakala Syeikh Ahmad Muhammad Syakir rh. menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.

Imam Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolany rh. menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah Swt. dalam surah Al Baqarah : ayat 185 dan surah Al Qadr : ayat 1. Kata beliau : Berkemungkinan Lailat ul Qadr berlaku pada tahun diutuskan Nabi Saw. pada malam 24 Ramadhan di mana al-Qur’an diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’.
(dalam Fath ul Bari, jilid 8 halaman 621)

Al Imam Al Thobari rh. ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair Rhu. daripada Abdullah Ibnu Abbas Rhu. Katanya : Al Qur’an diturunkan sekali gus dari Lauh Al Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah.
(rujukan - Jami’ ul Bayaan, Jilid 3, halaman 445)

Imam Al Qurthubi rh. menyebut bahawa hadis Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan Al Basri rh. yang menegaskan Lailatul ul Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.
(rujukan – Al Jami’ Li Ahkam ul Qur’an, jilid 2, halaman 198)

Imam Al Hafiz Ibn Katsir rh. juga membawakan hadis ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah Al Baqarah. Turut menyebut hadith ini ialah Syeikh Al Albani rh. di mana beliau mengambil hadis ini juga bagi menjelaskan bahawa Nuzul Al Qur’an berlaku pada tanggal 24 Ramadhan.

Kesimpulan

Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah, maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa Nuzul Al Quran jatuh pada 24 Ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut :

1.            Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadis. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al Qur’an dan Hadis. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya tarikh hari Nuzul Al Qur’an.

2.            Matan hadis dengan jelas menyebut bahawasanya Al Quran itu telah diturunkan pada 24 Ramadhan.

3. Maksud atau mafhum hadis tersebut telah diterima pakai oleh para ulamak Muktabar dan dijadikan hujjah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi hari Nuzul Al Qur’an. Dengan merujuk kepada kata-kata Imam Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqolany rh., Imam Al Qurthubi dan Imam Al Hafiz Ibnu Katsir rh.

Wallahu a’lam, setakat ini yang dapat saya nukilkan.

Wassalam


TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA SI PYAN KERANA MENYUMBANGKAN ARTIKEL INI.

9 ulasan:

eddzahir berkata...

Maklumbalas

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Akhi Pyan SiPitong atas kiriman kertas kerja ini. Ini memang memberi maklumat baru yang lengkap dengan pembahasan mendalam dalam perkara ini. Juga memberitahu pengetahuan baru kepada saya sendiri.

Saya bersetuju dengan kesimpulan yang dinyatakan. Lantaran tarikh 24 Ramadhan adalah berdasarkan hadis marfu’ dan sahih, maka itulah jawabannya. Moga-moga nukilan kertas kerja ini memberi manfaat kepada semua jamaah dan pembaca. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih.

Wassalam.

m_nazir@gmail.com berkata...

Assalamualaikum semua,

Terima kasih kepada Abang Mad dan Sdr. Pyan kerana memberikan artikel yang amat bermanfaat ini. Mudah-mudahan semua kita mendapat munafaat darinya.

Wassalam.

shukor@asemal.com.my berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Alhamdulillah, saya berasa lebih mendapat penjelasan dan lebih faham, insyaAllah. Mudahan lepas nih, akan lebih banyak lagi Akhi Pyan kirimkan info ilmiah yang dapat kita kongsi bersama.

Sekian, wassalam.

mohdpoziatan@yahoo.com berkata...

Assalamualaikum....

Moga semua rakan dalam rahmat dan restu Allah Azzawajallan sentiasa.

Terima kasih sekali lagi kepada Syeikh Mad dan Sdr. Pyan kerana memberikan artikel yang amat bermunafaat ini. Mudah-mudahan semua kita mendapat munafaat darinya. Akhir sekali dapat mengubah kita dari beriman kepada yang sama-samar kepada yang tepat, qot’iy dan pasti berbanding dulu. InsyaAllah.

Kisah yang mahu saya sebutkan begini :

Pada hari Jumaat yang juga 17 Ramadhan dan cuti umum, saya bersolat Jumaat di Masjid XXXXX, Batu Maung. Khatib hari itu seorang ustaz dan teksnya membicarakan berkenaan peristiwa dan sejarah Nuzul Qur’an. Setelah memulakan mukaddimah dan berkisah tentang Nuzul Qur’an ini, maka beliau membacakan dalil iaitu Surah Al Qadr.

Setelah itu beliau diam sejenak, memikirkan sesuatu lalu berkata lebih kurang begini :

“Hari ini (Jumaat, 17 Ramadhan) kita dah pun sambut Nuzul Qur’an, tetapi menurut dalil ayat Al Qur’an (yang dibacakan tadi) ini, nuzul berlaku pada malam lailatul qadr iaitu minggu depan bermulanya 10 malam terakhir, bukannya hari ini”.

Beliau diam sejenak lagi, lalu menyambung :

“takpa lah, saya bacakan saja teks (khutbah) ini”.

Ini peristiwa yang saya alami sendiri. Apa yang mahu saya sebutkan adalah, walau dalam apa keadaan pun, akhirnya kebenaran akan terserlah jua. Kebenaran itu datangnya dari Allah Swt. dan rasulNya. Tak dapat ia disembunyikan walau sekuat mana pun kita manusia yang serba lemah ini berusaha unuk menutupnya.

Saya rasa gembira juga kerana ustaz itu berani membangkitkan sedikit pemikiran baru dan kesedaran tentang fakta sebenar Nuzul Qur’an kepada jamaah hari itu. Kalau pun ia hanyalah sedikit sentuhan pemikiran, saya yakin ini menjadi asas kepada masyarakat umum mengetahui hal sebenar dan moga akan lebih berkembang lagi di masa depan.

Kerana itulah saya nak mengucapkan ribuan terima kasih kepada Syeikh Mad dan Akhi Pyan kerana memberikan penjelasan bersama butiran dalil dan rujukan. Moga ia benar-benar menjadi manfaat dalam usaha meningkatkan ilmu, iman dan amal kita.

Setakat tu je nak cakap.

Wassalam.

eddzahir berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya ucapkan ribuan terima kasih kembali kepada mohdpoziatan@yahoo.com. Saya solat Jumaat hari tu di luar kawasan liputan. Maklumlah hari cuti umum, dapatlah berkunjung ke sana sini.

Saya pun ada mendengar disebut orang hal ini berlaku di masjid disebutkan. Kandungan cerita pun hampir sama dengan tuan sebutkan. Cuma tidaklah pasti sangat kerana ada bermacam versi cerita walau pun maksudnya sama.

Apa pun terima kasih bebanyak kerana berkongsi kisah ini, dan moga semua rakan jamaah dapat mengambil iktibar darinya, insyaAllah.

Wassalam.

abumaisarah@yahoo.com berkata...

Salaamun’alaik semua,

Saya pun ada mendengar cerita yang berlaku nih dari beberapa orang. Maksud cerita hampir sama, tapi yang akhi Atan sebut nih yang fresh. Apa pun, saya doakan moga Allah Swt. akan sentiasa melimpahkan restu dan hidayahnya kepada kita dengan sentiasa membukakan dari masa ke masa semua kebenaran yang dulunya tertutup.

Wassalam.

pulut_kuning@yahoo.com berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya pun ada dengar cerita, tapi nampaknya yang ni lebih tepat. Terima kasih kerana membincangkan hal ini. Memang memberi manfaat.

Wassalam.

tkijang@gmail.com berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya pun ada dengar-dengar, banyak juga disebut orang sana sini. Kebenaran akan terserlah juga nanti, insyaAllah.

Wassalam

fkmaju@yahoo.com berkata...

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya pun ada dengar-dengar cerita ni, masa kat pasar Ramadhan. Noted, kebenaran akan terserlah juga nanti, insyaAllah.

Wassalam