Selasa, 22 April 2014

Soal Jawab: Safar Bukan Bulan Bala

0 ulasan
On 2014-02-01 21:48 GMT+08:00 prtdi.com wrote :

Salaamun’alaikum syeh,

Bagus sangat tulisan nih, banyak menafaat terutama kat saya yang tau apa nih. Kita nih seumur hidup duduk pekan, cuma ada la dengar orang dok buat kenduri tolak bala kat kampung-kampung. Lengkap dengan buat majlis lagi. Tu pun dulu la zaman kecik-kecik. Dari segi hukum pulak memang ada dok dengar yang perbuatan tu khurafat dan bidaah. La ni orang dah tak buat. Kalau ada pengalaman, syeh cerita la sikit bagi clear.

Lama dah tak dengar cerita hal ni. Kali ni lah baru dengar balik adanya orang percaya yang bulan Safar penuh bala, hari Rabu terakhir paling celaka dan ada amalan itu ini untuk tolak bala termasuklah amalan solat. Pelik sungguh ni. Spesis jahiliyah ni mai dari mana pulak, mengaji kat mana benda-benda mengarut ni! Macam mana depa nih masih ada lagi! Bukan ka dah pupus 1400 tahun dulu!

Dunia dah di akhir zaman, amat pelik! Yang jelas dan terang lagi bersuluh perkara tu Nabi Muhammad dah tolak dan larang, hak tu lah depa syok sangat nak buat, apa yang Baginda suruh dan contoh dah tak cukup nak dibuat amal ka?

Memang dunia dah akhir zaman, yang khurafat, tahyul dan bida’ah pun disangka Islam.

Wassalam

On 2014-02-02 17:25 GMT+08:00 mohdpoziatan wrote :

Assalamu’alaikum,

Setuju syeh, sangat setuju. Tiada lain melainkan setuju, hanya setuju. Yang komen Brahim nih pun ana setuju jugak. Merata-rata dok cari hak mana nak dibantah, tak jumpa pulak. Maka setuju ja lah.

Ana memang terkejut ada lagi orang percaya hal karut ni, Tiada sial pada bulan Safar ni dah diajar kat sekolah menengah lagi. Macam-macam pesan dah ustad ustazah dok syarah supaya faham. Apa boleh buat, ada juga yang tak mau ambil faham. Tentu la kann! buat bid’ah ni seronok, tambah pulak dicampur dengan tahayul dan hantu-hantuan sikit, memang la sangat laku sekarang nih.

Bab kenduri tolak bala dan amalan-amalannya saya tak pernah hadapi sendiri, paling bagus pun dengar cerita orang saja. Itu pun kisah dulu-dulu, sekarang tak pernah kedengaran. Cuma ada sekali TV3 tunjuk amalan di Indon. Memang pelik dan …… syirik la senangnya nak cakap. Apa lagi nak kata selain dari syirik kalau dah percaya ada pulak unsur lain yang boleh memberikan bala bencana.

Harap ada la jamaah yang senior kat sini bercerita sikit majlis tolak bala nih, sekadar perkongsian dan pengalaman. Supaya faham dan perasan satu masa nanti kalau terjumpa amalan macam nih, dah tau dah apa pendirian nak dibuat.

Wassalam

On 2014-02-04 22:49 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Wa’alaikumus Salaam,

InsyaAllah, bolehlah saya berkongsi sedikit pengalaman yang dialami zaman kecil dulu dalam tahun 70-an. Sebahagian penduduk di kampong saya akan berkumpul di kepala parit (permulaan jalan masuk ke kampong bersamaan dengan kunci air utama saliran ke sawah). Majlis ini dibuat setiap kali sebelum menanam padi bermula. Ia seakan suatu majlis kenduri, ada doa selamat, ada tahlil seterusnya doa menyeru itu ini.

Akhir sekali, sepinggan pulut kuning dan ayam golek dalam bakul anyaman mengkuang yang dibuat seperti perahu, dilepaskan hanyut mengikut arus tali air. Difahamkan ini bertujuan menyerus semangat supaya tak membuat kerosakan kepada tanaman dan seterusnya diberi jamuan supaya duduk diam-diam tak mengganggu. Kepada kami anak-anak kecil diberitahu yang majis ini bertujuan menolak bala-bala yang akan datang. Banyak kali saya melihat hal ini dikampong saya dan juga kampong bersebelahan. Amalan mereka juga serupa. 

Selepas itu, semua orang makan-makan jamuan disediakan. Ia memang seperti kenduri dan agak meriah. Majlis pada masa itu diketuai oleh seorang yang mengajar agama, dianggap pandai oleh masyarakat, menjadi imam dan juga menjadi bomoh sekaligus penasihat macam-macam hal kepada orang kampong (orangnya sudah lama meninggal). Alhamdulillah, saya dan beberapa rakan rapat tak pernah menyertai majlis ini, hanya melihat dari jauh walau pun sebagai kanak-kanak, rasa nak makan jamuan yang dianggap mewah pada masa itu sentiasa berkobar-kobar. Selain itu, Allahyarham Ayahanda telah berpesan dengan garang berkali-kali, haram menyertai amalan itu dan haram makan jamuannya.

Itu pengalaman di tempat saya. Ada bermacam bentuk lagi amalan yang berlainan mengikut tempat. Antaranya pesta puja pantai oleh orang pergi ke laut. Mungkin rakan-rakan boleh merujuk kepada mana-mana catatan kajian berkenaan hal ini supaya boleh mendapat penjelasan tepat bentuk amalan dan kepercayaan asas kepada berlakunya amalan itu.

Selain itu, di tempat saya aada satu tempat untuk mandi Safar, yaitu di satu empangan kecil dipanggil Headwork (Kunci Air 12). Sebenarnya empangan JPS untuk mengalirkan air ke kawasan pertanian Sungai Manik. Pesta mandi ini pun meriah juga, pagi-pagi lagi orang banyak dah berkumpul, kemudian turun mandi ke sungai dengan bermacam-macam niyat. Ada yang menuliskan dosa-dosa di atas kertas, diletakkan di atas kepala dan menyelam lalu kertas itu di bawa arus. I’tiqadnya adalah dosa-dosa itu telah hilang dan tubuh badan menjadi suci bersih selepasnya. Antara I’tiqad lain adalah dengan mandi itu, maka habis segala bala dapat ditolak kerana badan dibersihkan dari noda dan dosa. Jelas sekali ini memang berasaskan ritual agama Hindu yang mandi buang dosa di Sungai Gangga (upacara Sangam), setahun sekali.

Tetapi, ini versi kisah cakap dengar sahaja dari beberapa orang saksi yang masih hidup. Saya tidak pernah melihat sendiri. Amalan ini telah diharamkan oleh Majlis Agama Islam Perak dalam tahun 1960-an ya’ni sebelum saya lahir lagi. Ciri-ciri amalan ini adalah sama dengan amalan semasa mandi safar yang masih diamalkan beberapa tempat di Sabah dan di Indonesia.

Setakat ini sahaja yang dapat saya nukilkan, untuk renungan bersama.

Wassalam.

On 2014-02-05 10:29 GMT+08:00 prtdi.com wrote :

Syeikh, ana ada masukkan dalam fb dan dapat balasan macam nih, baca balasan dibawah. Harap dapat buat balasan. Nanti ana masukkan balik jawaban tuh. Kalau ada lagi nanti ana suruh hantar terus ke email syeikh. Boleh la dialog terus dengan nta.

On 2014-02-05 23:17 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Terima kasih banyak-banyak atas maklumbalas

Pesanan supaya saya lebih belajar agama lagi amat dihargai. InsyaAllah, sehingga mati pun saya tetap juga seorang pelajar dan ini telah saya tegaskan berkali-kali. Berkenaan teguran dengan bahasa celaan supaya saya tidak bercakap dan menulis hukum-hakam melainkan diserahkan kepada orang alim-ulama’ sahaja, saya mohon maaf kerana kurang bersetuju dengannya lantaran “ta’muruna bil ma’ruf wa tanhauna ‘anil munkar” ini tugas semua ummat Muslimin bukan golongan tertentu sahaja dan Nabi Saw. telah berpesan kepada seluruh ummatnya (bukan sebahagian) : “balighu ‘anni walau aayah”.

Saya petik semula sebahagian kalam :

“Solat Lidaf’il Bala’ (tolak bala) : adalah tradisi Islam di Bulan Safar diwarisi dari para sufiyah, solihin dan arifinbillah ... bukan bermaksud untuk mengubah-ubah syari’at .”

Saya katakan : Ibadah Solat ini terlalu mulia sehinggakan Allah Swt. datangkan Nabi Saw. dari dunia fana menghadap-Nya untuk dianugerahkan. Bukan seperti ibadah lain yang diutuskan menerusi wahyu secara langsung atau perantaraan Jibril Ahs. sahaja. Dan so called solat lidaf’il bala’ itu memang tak pernah ada dalam senarai yang Allah Swt. anugerahkan itu. Jika ada, Nabi Saw. takkan sembunyikan malah menunjukkan segala kaifiyat kepada ummatnya. Justeru itu, ini adalah suatu bentuk tambahan kepada ibadah Solat, tambahan dalam syari’at yang dholalah. Sama ada secara maqsud atau tidak bermaqsud, haqiqatnya tambahan ini memang jelas suatu perubahan ke atas syari’at yang telah tetap, putus dan sempurna, sekali pun didakwa tradisi Islam di Bulan Safar diwarisi dari para sufiyah, solihin dan arifinbillah .... Sungguh pun benar tradisi ini ada, tapi ia adalah tradisi mardud dan bathil, ia hanya amalan dari satu agama lain bukan Islam.

“apabila kita kaji sejarah, banyak peristiwa melibatkan bulan Safar yang ada kaitannya dengan bala'. Oleh itu, kalam para sufiyah, solihin dan arifinbillah yang pada hari Rabu akhir bulan Safar bahawa Allah menurunkan 324,000 bala' itu ditinjau dari segi perbandingan berbagai-bagai sejarah yang terjadi dalam Islam adalah mempunyai asas. Terlebih afdhal pada petang atau siang hari Rabu terakhir bulan Safar tidak digalakkan keluar daripada tempat tinggal atau rumah (kecuali atas sebab mencari nafkah dan hal yang benar2 mustahak)”

Saya katakan : SubhanAllah dan na’uzubillahi min zaalik, apakah Nabi Saw. sedang meracau meraban pabila mengatakan “tiada bala pada bulan Safar”, ataukah imam yang mulia Bukhari dan Muslim Rhm. telah meriwayatkan khabar palsu (maudhu’) dan bathil? Pelik sungguh cara pemahaman syari’at sebegini, sehinggakan kalam-kalam pendapat/pandangan/pemikiran oleh so called sufiyah, solihin dan arifinbillah itu pula yang lebih dipegangi dan dipercayai berbanding kalam Nabi Saw. Apakah tahap mereka ini hingga layak menetapkan hari dan bulan mana penuh celaka? Sedangkan hal ini tidak pun ditentukan oleh Allah Swt. dan rasul-Nya. Mereka ada terima wahyu ke!

Saya amat faham dengan perangai dan kerja rasmi para munafiqun dan kafirun yang sedaya upaya mengumpul segala data dan bukti untuk membuktikan betapa salahnya kalamullah dan sunnah rasul-Nya. Dakwaan merapu apa yang sedang diperbuat ini dengan mengatakan bahawa para sufiyah, solihin dan arifinbillah telah mengumpul dari berbagai sejarah Islam dan darinya telah terbukti bahawa tanggapan Safar bulan sial adalah berasas? Inikah kerja dan perangai so called sufiyah, solihin dan arifinbillah ya’ni mencari-cari segala sumber bagi membuktikan bahawa kalam Nabi Saw. itu tidak berasas, tidak betul’! tidal layak dipegangi, na’uzubillah.

Sebelum lebih hanyut dalam lautan ilmu sangka-sangkaan ciptaan syaithan ini, baiklah duduk sejenak dan semak dalam-dalam : kalam siapa yang berasas dan wajib diikuti, kalam Nabi Saw. atau mereka ini? Dengan perangai sebegini, benarkah mereka ini layak pula dipanggil dengan penuh kehormatan ya’ni sufiyah, solihin dan arifinbillah? Jika terketar-ketar nak menjawab, baiknya juga difikir-fikirkan apa maqsud “aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah”. Apa beginikah perangai manusia yang telah mengucapkan 2 kalimah syahadah?

Di dalam artikel telah dinyatakan sejelas-jelasnya yang termampu disertai seberapa banyak bukti, bahawa penetapan baik buruk pada setiap hari atau bulan malah pada apa jua makhluq adalah hak Yang Maha Pencipta Yang Khaliq semata-mata. Diterangkan jua bahawa Nabi Saw. telah melafazkan kalam sahih “tiada bala pada bulan Safar”. Dan diterangkan jua bahawa “Safar puncak segala celaka” adalah jelas sekali fahaman jahiliyah yang tertolak. Setelah semua ini sahih, soreh dan qot’ie, sekarang disebutkan disini bahawa “Safar bulan bala” adalah berasas dan bersesuaian dengan syari’at. Ini syari’at apa pula! Baiklah saya sebutkan dengan jelas disini, itu adalah syari’at ajaran sesat jahiliyah manakala syari’at Islam tetap kepada “tiada bala pada bulan Safar”.

Dari segi aqal sihat pun, kerja mengumpul segala kejadian sejarah ribuan tahun semata-mata untuk membuktikan yang “Safar bulan bala” adalah kerja bahalol dan kerja buat kafirin sahaja kerana mahu menentang “tiada bala pada bulan Safar”. Sekiranya bukan dengan niyat itu, apa perlunya kerja itu dibuat. Malah jika dikumpul kejadian setiap hari, didapati semuanya akan penuh dengan baik dan buruk dalam segala macam hingga tak terkira. Maka kesimpulan “Safar bulan bala” yang terhasil dari segala macam peristiwa suka duka bercampur baur adalah langsung tak berguna, tidak credible, amat dangkal, tidak boleh dipercayai dan benar-benar bathil.

Sekiranya mereka semua berminat sangat dengan ilmu tahayul untung nasib hari dan bulan ini, baiklah saya tolong beritahukan bahawa hanya ada satu bulan yang jelas terang lagi bersuluh memang amat malang dan menyedihkan sekali dari segala macam kesedihan, dengan dalil satu sebab sahaja, sehingga tak perlu pun membuang masa mengumpul banyak-banyak : ya’ni bulan Rabi’ul Awwal yang padanya wafat Nabi Saw. Salah satu bentuk paling malang dan bala’ selepas wafat Baginda adalah wujudnya semula spesis macam mereka ini, yang pada zaman hayat Baginda, spesis ini telah pun dihapuskan sepenuhnya dan fahaman mereka diharamkan dari kalangan ummat Muslimin.

Jika masih mahu percaya juga yang Safar ini bulan bala, maka celaka jugakah peristiwa yang tercatat dalam sejarah bulan Safar ini, antaranya :
1.    Berlangsungnya perkahwinan Nabi Muhammad Saw. dengan Ummul Mukminin Khadijah binti Khuwalid Rha.
2.    Peperangan Khaibar, Islam memerangi pemberontak yahudi dan berjaty menghalau mereka keluar terus dari bumi Madinah Al Munawwarah
3.    Permulaan perjalanan hijrah Nabi Saw. ke Madinah, yang merupakan detik perubahan amat agung dalam sejarah kejayaan Islam

Lebih afdhal bersangka baik, lagi pun solat lidaf’il bala’ ini adalah ijtihad oleh para sufiyah, solihin dan arifinbillah, yang kalau salah mereka tidak berdosa dan jika benar mendapat pahala. Kalau tidak mahu buat, baiklah diam sahaja dan jangan pula katakan para auliya’ ini membuat bid’ah.

Saya katakan : Tiada pun dalam artikel yang menyebut bid’ah kerana saya sedar banyak sangat orang fobia dan trauma dengan perkataan ini. Yang saya sebut adalah “tambahan dalam syari’at yang dholalah”. Mengikut cara fahaman ini, menambah satu bentuk solat lagi dalam syari’at tak salah kerana ia adalah ijtihad, maka tak salah jugalah nampaknya manusia dok menambah itu ini dalam syahadah, puasa, zakat dan haji kerana itu adalah ijtihad. Demikianlah maqsudnya. Maka pasti sekali seronok sungguh para pengekor syaithan dan hawa nafsu dengan fahaman hukum ini. Dan selepas ini, akan banyak lagi urusan syari’at ini ditambah-tambah. Rupa-rupanya syari’at Muhammadur Rasulullah ini tak lengkap, setaraf millah kristian sahaja yang sentiasa kena ditokok tambah supaya menjadi lebih bagus, lebih baik dan sesuai dengan zaman, tempat.

Terus terang saja saya sebutkan, jika benar mereka itu sufiyah, solihin dan arifinbillah dan Penanya ini pula pengikut tegar mereka, mustahil sekali tak faham bahasa mudah bahawa Nabi Saw. telah menyebutkan : tiap-tiap bid’ah itu sesat. Hanya manusia setaraf nabi lain sahaja yang berhak mengubah atau memansuhkan kalam ini dengan sebutkan : bukan semua bid’ah sesat, selepas nabi yang mula menyebutnya wafat. Malah, kenapalah mereka yang serba alim ini tak faham bahasa juga bahawa ijtihad itu dibenarkan bagi memberi keputusan ke atas hal yang berlaku sekarang disebabkan tiada ketetapan dari Allah dan rasul-Nya terdahulu, sedangkan Solat adalah suatu ibadah yang cukup lengkap diwariskan oleh Allah dan rasul-Nya tanpa perlu ditambahi lagi. 

Sesungguhnya Allah Swt. dan rasul-Nya tak pernah tertinggal satu pun dalam syari’at ini sehingga ia perlu ditambah lagi. Termasuk juga telah ditetapkan dan ditunjukkan bermacam cara untuk menghindari bala dan bencana. Antara paling ringkas yang saya mahu tolong beritahukan adalah : Jika kamu ditimpa musibah, maka katakanlah “innaa lillahi wa inaa ilaihi raaji’uun. Selaku pengikut setia para sufiyah, solihin dan arifinbillah, dapatkan dari mereka apa yang telah diajar oleh Allah dan rasul-Nya dalam syari’at Islam ini, itulah kerja haqiqi mereka, bukannya sampaikan syari’at yang mereka cipta sendiri.

Akhirul kalam, saya juga nak menyerukan : supaya lebih belajar agama, tidak bercakap dan menulis hukum-hakam melainkan diserahkan kepada orang alim-ulama’.

Wassalam

On 2014-02-07 21:33 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Terima kasih atas soalan dan insyaAllah, saya berikan sedikit maklumbalas yang termampu. Cuma saya catatkan secara ringkas sahaja.

Kenapa Islam melarang keras ummatnya percaya kepada perkara khurafat dan tahayul?

Allah Swt. telah berfirman :

"Sesungguhnya Kami menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan taqdir (Ku)".
Surah Al Qamar (54), ayat 49

Perkara ini asas yang wajib difahami oleh ummat Islam. Apabila mempercayai adanya  kuasa lain selain daripada Allah, bermakna sudah hilang kepercayaan kepada qada’ dan qadar yang Allah tentukan ke atas manusia dan seluruh makhluq-Nya, sedangkan I’tiqad suci Islam adalah segala benda baik dan buruk hanya akan berlaku sekiranya Allah mengizinkannya berlaku. Natijahnya manusia juga akan hilang sikap berusaha, mudah berputus asa dan tidak bertawakkal kepada Allah lantaran percaya adanya sesuatu yang lain boleh memberikan kesan. Ini suatu kerosakan dan pembathalan kepada 2 syahadah.

Allah Swt. telah berfirman :

”Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain dari Allah yang tidak mendatangkan manafaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku dzalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)”.
Surah Yunus (10) : ayat 106

Apakah bahayanya kepada ummat Islam jika fahaman ini berterusan?

Bahaya yang paling besar jika mempercayai perkara sebegini ialah terjerumus ke lembah kekufuran dan kesyirikan. Mensyirikkan Allah samalah seperti kita mengiktiraf ada makhluk lain yang sama dengan Allah, sedangkan Allah tidak menyerupai mana-mana makhluk pun. Dia bersifat Maha dan Lebih dari apa jua pun.

Allah Swt. telah berfirman :

"(Dia – ya’ni Allah Swt.) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu berpasang-pasangan dan dari jenis haiwan ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan-Nya kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada suatu pun yang menyerupai Dia, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Surah Asy Syura (42), ayat 11

Kita boleh mengelak daripada mempercayai perkara karut itu dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam dengan kembali kepada rujukan utama yaitu Al Quran, As Sunnah dan keputusan/amalan para Salafus Solih. Jika perkara adat/budaya yang dilakukan itu tidak bertentangan dengan syari’at, serta mempercayai segala-galanya berlaku dengan kehendak Allah, maka ia boleh diamalkan.

Sial majal pada bulan Safar ini memang tidak ada, malah terlarang keras di dalam Islam. Sebaliknya apa yang terlarang dalam Islam melibatkan bulan-bulan tertentu wajiblah diikuti. Antaranya adalah bulan-bulan yang diharamkan berperang (asyhurul hurum) jika melanggarnya adalah kekafiran. Malah ada segologan yamg membuat hukum sendiri dengan mengharamkannya berselang bulan, ini juga suatu kesesatan. Dan begitulah perangai jahiliyah dan penentang ketentuan Allah ini.

"Sesungguhnya perbuatan mengundur-ngundurkan bulan haram itu (melanggar kehormatan bulan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain untuk berperang) adalah menambahkan kekufuran, disesatkan orang yang kafir dengan perbuatan mengundur-ngundurkan itu. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan (bulan-bulan yang 4) Allah mengharamkannya (berperang di dalamnya); maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaithan) menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka yang buruk itu. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang kafir. "
Surah At Taubah (9) : ayat 37

Amat perlu kita memantapkan aqidah yang dipegang selama ini dengan mematuhi segala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Ini kerana hukum halal dan haram termasuk perkara bulan ini memang sudah jelas dinyatakan dalam Al Quran dan As Sunnah. Apabila aqidah mantap, fikiran kita juga tidak akan mudah terpengaruh dengan unsur khurafat dan tahayul seperti ini lagi. Sebagai ummat Islam, kepada Allah-lah kita menyerahkan keberhasilan (tawakkal) selepas berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai segala yang dihajati.

Allah Swt. telah berfirman :

"Katakanlah : Wahai hamba-hamba-Ku yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan membuat dosa), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya, dan Dia Maha Pengampun dan Maha Penyayang."
Surah Az Zumar (39), ayat 53

Wallahu a’lam

On 2014-02-02 17:25 GMT+08:00 poison ivy wrote :

Assalaamu’alaikum Wr Wbt,

Alhamdulillah, walau pun nak baca panjang berjela, akhirnya dapat pencerahan juga. Hairan sungguh, ada lagi yang percaya perkara tahayul dan khurafat malah bid’ah dholalah nih, siap dianggap pula hal ini amalan Islam. Dulu-dulu ada la dengar-dengar cerita orang mandi Safar untuk buang dosa dan tolak bala. Rupanya sekarang nih pun ada lagi, tapi tolak bala dengan amalan solat pulak, MasyaAllah.

Saya setuju sangat, yang paling batil adalah i’tiqad yang percaya adanya bulan Safar yang penuh bala bencana dan celaka. Dah jelas sungguh-sungguh yang aqidah ini dah pun ditolak oleh ayat-ayat Allah dan as sunnah Nabi Saw. Dah 1400 dulu lagi pun dah ditolak dan diharamkan dengan jelas. Macam mana lah boleh ada lagi aqidah sesat ni. Sepaham saya, apabila sesat aqidah, maka sesatlah semua sekali, kerana asas/dasar kepada Islam adalah aqidah yang benar.

Memang ini kesan dan bahana iman terketar-ketar dan jahil ilmu. Memang ramai antara kita nih dok jadi pak turut saja tanpa mengkaji, malah setakat jadi pak turut saja itulah dihajar kepada kita pun selama nih sehingga nak bertanya lanjut pun tak boleh. Bertanya saja pun dah jadi wahabi, dah jadi orang jahat dicop itu ini. Nak bertanya supaya lebih jelas dan faham pun salah. Jadilah yang tak faham dan ilmu sangkaan tu pulak yang betul semua.

Ada pepatah Melayu yang kena kat orang buat maksiat nih : pencacai angkat najis nih, kalau tak angkat, dia akan cium bau pun tak apa.

Kepada pelaku maksiat ni juga, imam Ibnul Qayyim Al Jauziyyah Rhm. berkata :

"Sesungguhnya yang mendapatkan kesulitan dalam meninggalkan maksiat yang disukainya dan yang sering dilakukannya adalah seseorang yang meninggalkannya bukan kerana Allah.
Ada pun seseorang yang meninggalkan hal tersebut dengan jujur, ikhlas dari hatinya kerana Allah, ia hanya merasakan kesulitan di awal kali ia meninggalkannya. Ini semua untuk mengujinya, apakah ia jujur dalam meninggalkannya ataukah hanya berdusta, jika ia sabar dalam menghadapi kesulitan ini sebentar saja, ia akan memperoleh kelazatannya".
Kitab Al Fawaid, halaman 99

Moga Ustaz dan kita semua sentiasa dalam barokah Allah Swt.

Wassalam

On 2014-02-03 15:04 GMT+08:00 msukri66 wrote :

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih atas tulisan bermenafaat ni. Tak sangka sungguh, ada lagi fahaman jahiliah ni diamalkan orang. MasyaAllah. Apa la nak jadi, yang jelas dan terang Nabi Saw. dah larang dan haramkan pun dok buat lagi.

Agaknya dia orang ni rasa yang Nabi Saw. macam kawan-kawan dia orang yang boleh tak diambil pusing, dibuat main-main saja, sebab tu ketetapan yang Baginda buat tak payah dok ikut, dan boleh la buat apa pun sesuka hati. Baginda tak diperlukan pun, dia orang boleh buat syari'at sendiri.

Pada pandangan saya, orang yang percaya ada bala pada bulan Safar nih :

1. Tak beriman yang benar kepada Islam : sebab tu yang jelas Islam dah haramkan masih tergamak dia orang buat.
2. Penipu dan pendusta agama : dok jaja dan cucuk orang buat amal yang terang-terang Islam dah larang, tapi kata pulak yang amal tu baik mengikut syari'at.
3. Berasa lebih hebat dari Nabi Saw. : kalau tidak takkan dia orang nak lawan ketetapan yang dah dibuat oleh Baginda.
4. Ini jenis manusia bodoh tolol : kerana buat amal ikut hawa nafsu bukannya ikut ketetapan syari'at, dan rasa amal itu pulak lebih bagus.
5. Ini jenis manusia sombong, bongkak dan takbur terhadap Allah dan Rasul-Nya : tergamak buat hal yang dilarang kerana merasakan Allah dan Rasul ni bodoh, tak cukup bagi pengajaran, Maka dia boleh buat pengajaran sendiri sebab lebih pandai.
6. Macam-macam lagilah, lebih banyak ditulis nanti, lebih banyak pula menyakitkan hati

Inilah perangai tak beriman dengan Allah dan rasul yang akhirnya menjadi pengikut syaitan dan hawa nafsu. Harap-harapnya Allah memberikan hidayah dan keampunan kepada mereka ini supaya tak terus terjerumus ke dalam ajaran sesat. Aaaamiiiin......

سكيان , والسلام

0 ulasan: