Selasa, 25 Februari 2014

Soal Jawab : Perjalanan Hijrah Nabi Muhammad SAW.

0 ulasan
On 2014-02-08 22:11 GMT+08:00 mshukri wrote :

Assalamu’alaikum,

Saya lepas baca baru tahu yang hijrah tak berlaku dalam bulan Muharram. Saya silap faham sungguh selama ni. Saya sangka bulan Muharram bulan berlaku hijrah sebelum ni. Lagi pun tiap kali bulan Muharram di tempat kita semua dok bercakap dan dicerita tentang hijrah. Ramai lagi saya rasa masih silap faham. InsyaAllah pelan-pelan dibetulkan.

Cerita sejarah Nabi Saw. ni menarik sungguh. Yang tak pernah dengar pun ada. Saya tengok ada buku-buku rujukan yang disenaraikan. Hampir semua saya tak pernah dengar pun. Mungkin juga saya ni tak minat membaca. Selalunya dok dengar orang bercerita saja. InsyaAllah saya cuba cari dan baca sendiri nanti.

Terima kasih kerana tulisan ini memberi pengetahuan baru.

Wassalam

On 2014-01-04 11:39 GMT+08:00 izanahani wrote :

Assalamu’alaikum Ustad,

Syukran Ustad atas kiriman artikel yang amat baik nih. Agaknya bila siri 2 nak dikirimkan. Saya dan ramai jama'ah lagi dok tertunggu-tunggu cerita kisah selanjutnya.

Saya ada sedikit naklumbalas :

Ada typo error rasanya bersebelahan dengan Surah Al Anfaal (8) ayat 30. Ayat itu sepatutnya ada di paragraph seterusnya.

Bukankah Raja Najasyi telah pun memeluk Islam. Harap dapat Ustad masukkan sedikit butiran mengenai hal itu dalam ruangan nota, supaya menjadi peringatan. Menarik sebenarnya membicarakan tentang Raja yang mulia ini. Antaranya :
1.    Dia amat baik hati dengan ummat Muslimin.
2.    Dia sendiri akhirnya memeluk Islam dalam keadaan seluruh kerajaannya tetap Kristian.
3.    Bagaimanakah dia menjalankan tugas dan kehidupan dalam situasi begitu.

Selalunya Ustad masukkan sekali sumber rujukan, kali ini tidak pula. Adakah ada apa2 perubahan dalam skema/cara penulisan. Baik sekali rujukan dimasukkan supaya pihak pembaca dapat membuat rujukan lanjut dan membaca sendiri kisah yang lengkap, tambahan pula Ustad pun hanya memasukkan catatan kisah secara ringkasan sahaja.

Memang menarik kisah hijrah Nabi Saw. ini, dan memang peristiwa hijrah memberi kesan amat besar kepada kejayaan Islam. Saya mohon kebenaran untuk masukkan artikel ini dalam fb dan dipanjangkan kepada ramai sahabat lagi. Mudahan usaha da'wah Ustad yang tak pernah berhenti ini diganjari kebaikan oleh Allah Swt.

Wassalam

On 2014-01-07 5:49 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Wa’alaikumus salaam,

1. Senarai kitab rujukan akan saya masukkan dalam artikel no.2

2. Saya setuju dengan pandangan Puan mengenai Raja Najasyi. InsyaAllah bila ada kesempatan akan saya catatkan sesuatu. Namun ia pasti mengambil masa kerana memerlukan banyak rujukan.

3. Saya setuju juga yang perbicaraan tentang Raja Najasyi ini amat menarik untuk ditelusuri dan memangnya situasi yang dialami oleh baginda akan banyak memberi pengajaran kepada kita. Diharap ada ahli  jamaah lain yang memulakan sedikit study ke atas hal ini. Saya pada masa ini kurang upaya untuk membuat kajian lanjut dalam hal ini. InsyaAllah dimasa akan datang.

Dibenarkan menyebar artikel ini kemana-mana lantaran hak cipta memang tak terpelihara, dengan pesanan jangan dibuat berniaga dan dimasukkan sumbernya. Itu sahaja.

Wassalam.

On 2014-01-10 15:18 GMT+08:00 mshukri wrote :

Salaamun a'laik syeikh,

Menarik cerita yang syeikh bagi nih, ada kelainan dari yang lain. Bagus sekali kerana ada dinyatakan ayat-yat Al Qur'an yang mendokong kisah sirah Nabi Saw. nih.

Hari ni Jumaat dah 8 Rabi'ul Awwal bersamaan tarikh Nabi Saw. sampai di Quba'. Lagi 4 hari 12 Rabi’ul Awwal sampai memasuki Madinah. Sekarang ni banyak sangat kempen fasal Maulid Nabi Saw.saja tapi tak cakap langsung tentang hijrah yang dengan tepatnya sedang berlaku dalam tempoh sekarang. Saya setuju ini adalah tempoh masa paling benar untuk bercerita dan berbicara tentang hijrah, bukannya pada 1 Muharram. Itu tarikh sambutan tahun baru dalam kalendar Islam.

Jadi, saya yang serba kurang nih masih dok tunggu lagi, manalah kisah selanjutnya. Lama dok tunggu nih syeikh.

Wassalam

On 2014-02-01 21:44 GMT+08:00 Pyan SiPitong wrote :

Salaamun ‘alaikum syaikh,

Ada konflik bab Sayyidina Ali Rhu. ganti tempat tidur Nabi Saw. Imam Bukhari Rhm. ada bawa hadis hijrah Nabi Saw. pada waktu siang. Ini juga yang diketengahkan oleh aliran hadis Deoband, India. Kisah Ali ganti tempat tidur dan balingan pasir ketika kepungan dinilai oleh ulama hadis dalam penilaian yang besar. Syeikh Al Albani Rhm. ada komentar menarik dan penting.

SyukronSent from my iPhone

On 2014-02-02 5:57 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Wa'alaikum kembali syeikh,

Syukron kerana membangkitkan hal ini. Diakui yang catatan sejarah sebegini telah mempunyai beberapa perbahasan. Antaranya :

1. Isu kesahihan fakta - didapati banyak kisah/catatan dalam Tarikh Ath Thabari dan Sirah Ibnu Hisyam adalah dhaif atau tidak dapat dibuktikan kesahihannya. Ini didorong oleh pendekatan mereka sendiri yang hanya mencatatkan apa yang didengar/diperolehi tanpa membuat takhrij dan tahqeeq ke atas sumbernya. Walhal pergantungan kita terhadap 2 kitab ini agak tinggi kerana ia adalah yang terawal. Kerana itu juga ana ada temui perbezaan jelas dalam beberapa perkara dalam Raheeq ul Makhtum dan Qisasul Anbiyaa' yang lebih mutaakhirin.

2. Banyak riwayat Syi'ah dan direka/ditokok tambah - banyak sarjana mendapati terdapat banyak tambahan dalam kisah-kisah yang dicatatkan, dan ada juga hanyalah berupa pendapat semula dan komentar ke atas kisah sebenar, bukannya kisah itu sendiri yang dicatatkan. Hal begini sering ditemui dalam Tarikh Ath Thabari dan Sirah Ibnu Hisyam yang banyak mencatatkan kalam sebegini oleh Ibnu Ishaaq ya'ni dituduh sebagai pemuka syi'ah pada zaman itu.

Beliau adalah Abu Bakar bin Ishaaq bin Yassaar Al Mathlaby Rhm. (wafat 151H). Para ulama’ hadis berbelah bahagi tentang ‘adalah (credibility) beliau dalam bidang hadis dan periwayatan. Antaranya imam Malik bin Anas Rhm. mensifatkan beliau sebagai seorang dajjal (perosak) dalam hadis. Hisyam bin Urwah bin Az Zubair menuduh beliau sebagai pendusta hadis disebabkan beliau ada meriwayatkan hadis dari isteri Hisyam, sedangkan Hisyam menegaskan yang mereka tidak pernah pun berjumpa.
Kitab Siyaar Alam An Nubala, Jilid 7 halaman 33

4.            Kes yang nta sebutkan memang ada perbahasan dan ana mengetahuinya - ana ikuti pembahasan oleh Al Fadhil Maulana Asri @ Darul Kautsar dalam kuliah syarah Sahih Bukhari. Ana sendiri lebih cenderung bahawa bahawa kisah ini dhaif dan tercatat hasil dengar cakap berbanding riwayat Al Bukhari. Dan ana akui juga ia jelas unsur syi’ah sedangkan dalam riwayat Al Bukhari penglibatan Ali Rhu. langsung tidak dicatatkan.

Molek sekali para jama'ah ikuti sendiri pembahasan oleh Al Fadhil Maulana Asri untuk kefahaman lanjut. Ana sendiri belum membuat kajian lanjut dalam hal ini. Mungkin beliau merupakan antara ilmuan terbaik untuk didapatkan keterangan lebih lanjut.

Cuma telah menjadi trend, ramai ahli tarikh Islam menerima pakai sahaja catatan itu lantaran ia hanyalah bersifat pengkisahan (bukan i'tiqad atau dasar ibadah), selain ia penceritaan tentang kebesaran dan kehebatan Rasulullah Saw. dan para sahabat Baginda. Tetapi tanpa pernah sesekali menutup pintu perbahasan supaya akhirnya yang benar terserlah dan yang palsu ditolak. Oleh itu, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang sirah ini, boleh saja memperbahaskan fakta-faktanya.

Alhamdulillah, senario ini agak sudah baik berbanding dulu orang-orang kita bergantung ilmu sirah Islam dan nabawi kepada orientalis r.o. winstedt dan snouqe hongrounje sahaja. Sebab itu, kisah lebih pelik dan mengelirukan sering diceritakan sehinggakan masyarakat tak ketahuan yang mana satu boleh dpegangi. Termasuk juga banyak keadaan mereka ini memberi ulasan tidak munasabah, ada unsur niyat tidak baik dan senghaja memesongkan fakta.  

Ana sendiri (dalam artikel ini) hanya membuat ikhtisar dari beberapa catatan dan memilih sebahagian tanpa membuat takhrij dan tahqeeq ke atas dasarnya. Ini berorientasikan hasrat ana untuk menghasilkan artikel membuktikan hal tarikh peristiwa hijrah. Selain itu kekurangan masa dan kesempatan untuk membuat penelitian rinci ke atas kebenaran sumber sekali pun secara muqorran.

Sementelahan juga ana masih belum miliki naskhah 2 kitab yang dima'lumi lebih tegas dan tepat dalam sirah nabawiyyah ini untuk dirujuki :

1, Sahihus Siratin Nabawiyyah, Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm.
2. As Siratun Nabawiyyah Fî Dhau-il Masâdiril Asliyyah, Syaikh Dr. Mahdi Rizqullah Ahmad.

Moga penjelasan ini difahami dan tidak disalah ertikan.

Wallahua'lam

On 2014-02-02 11:37 GMT+08:00 Sbadlishah wrote :

Assalamu ‘alaikum Wr. Wbt. Ustad Mad,

Ana ikuti apa yang enta tulis dan perjelaskan. Takutlah kepada Allah Swt. dan Nabi Saw. telah bersabda : barang siapa berdusta atas namaku, telah siap tempat duduknya di neraka. Enta dah tahu dan yakin yang riwayat Ali Rhu. tidur di tempat Nabi Saw. itu dhaif, kenapa dok tuliskan juga. Macam mana enta boleh buat macam ni kepada khalayak pembaca. Berapa ramai orang sekarang dah percaya cerita tipu ni!

Ana tak berapa kisah kalau enta kata tak tahu, yang memang pastinya bukan semua perkara sebagai manusia boleh tahu, tapi sekarang lain, hal ini enta sebut sendiri yang memang tahu status cerita itu. Maka untuk apa lagi ditulis cerita yang enta sendiri tahu dhaif dan periwayatnya juga dianggap pendusta oleh ulama’ muktabar.

Takutlah kepada Allah Swt. dan jangan jadi ejen syi’ah secara sedar.

Wassalam

On 2014-02-02 14:13 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Wa’alaikumus Salaam Abang Syd,

Hebat teguran dan juga kemarahan enta nih. Ana sendiri tak boleh nak buat macam ni. Rasanya penjelasan ana terdahulu dalam jawaban kepada persoalan Akhi Pyan secara rinci telah memaklumkan situasi sebenarnya. Apa pun terima kasih atas peringatan yang diberikan.

Ana menulis kisah Nabi Saw. ini berdasarkan ikhtisar dari beberapa rujukan (telah dinyatakan). Dan prinsip utama ana adalah : menerima pakai sahaja catatan itu lantaran ia hanyalah bersifat pengkisahan (bukan i'tiqad atau dasar ibadah), selain ia penceritaan tentang kebesaran dan kehebatan Rasulullah Saw. dan para sahabat Baginda. Tetapi tidaklah pernah ana katakan ia qot’ie dan tepat belaka tanpa boleh dihujjahkan.

Ana tak menipu pun, hanya menyalin cerita yang telah termaktub dalam kitab tanpa prasangka, tanpa niyat menipu sesiapa pun. Sekiranya cerita itu tipu, maka sudah ribuan tahun manusia ditipu olehnya, bukan oleh ana.

Setakat itu yang dapat ana jelaskan dan, ana memang rasa kurang senang dengan ayat-ayat terakhir dalam perenggan terakhir.

Wassalam

On 2014-02-02 16:43 GMT+08:00 abuhadhari wrote :

Assalamu’alaikum,

Rasanya tak perlu la kita berbalah fasal catatan sejarah ni. Penjelasan Syaikh Mad ni dah jelas tentang niat dan metod penulisan beliau seterusnya apa yang mahu dicapai akhirnya. Kadang-kadang kita perlu tahu adab dalam mengkritik nih, supaya kritikan itu boleh membina. Kritikan paling baik adalah menghujjahkan faktanya supaya dibuktikan salah atau benar. Yang pada akhirnya khalayak akan mendapat manfaat : yang mana salah atau benarnya sesuatu perkara.

Tapi jika sekadar bercakap itu ini dan diikuti satu tuduhan pula kepada pembuatnya, itu bukan kritikan tetapi tuduhan berdasarkan kebencian dan ini sifat bathil. Apakah yang difahami sebagai kritikan itu adalah membantah/bangkang sahaja apa yang orang lain buat, sedangkan kita sendiri tiada apa pun kajian malah dah orang sebut baru tahu, seterusnya berlebih-lebih pula kita bercakap seolah-olah pandai belaka. Sedangkan apa yang benarnya tidak juga kita tahu melainkan bercakap saja. Ini sebenarnya sikap tidak berguna dan tak berfaedah apa-apa.

Apa sudah tak boleh nak dibezakan kah antara 2 hal berbeza : kritik dan tidak bersetuju ke atas sesuatu perkara? Sebagai seorang yang terpelajar, mustahil benar hal asas dan adab-adab sebegini pun tidak diketahui.

Wassalam

On 2014-02-02 20:08 GMT+08:00 prtdi.com wrote :

Salaamun’alaikum semua,

Baik la kita tumpu pada content yang dah termaktub nih. Kalau ada rasa nak perbahaskan kesahihan dan periwayatan faktanya, baik sekali bukak bab baru. Tak payah la dok memeningkan kepala kat sini. Amacam kita panggil Al Fadhil Maulana Asri membuka cerita. Itu lebih bagus daripada kita terus bercakap tapi datanya kelam kabut. Takut nanti yang pasti tak dapat yang kelam pulak dirumuskan. Bukannya nak mengata dan menyebelahi sapa-sapa, tapi itulah cerita sepatutnya jadi pendirian kita.

Satu lagi, kisah nasyid Thola’al Badru ‘Alaina semasa menyambut kehadiran Nabi Saw. sampai ke Madinah pun ada perbahasannya. Dan seingat saya ia adalah khabar dhaif. Lama dah hal ini dibicarakan. Cuma saya tak berapa detail dan tahu sangat dalam hal ini. Dulu tak buat catatan. Baik sekali Syaikh Mad atau sesiapa rakan dalam group yang boleh tolong bagi pencerahan sikit.

Dalam hal sebegini saya setuju dengan Akhi Syd, lebih baik yang dhaif tu tak diceritakan, nanti orang ramai dok semakin percaya pulak pada hal yang tak betul. Memang bukan senang nak bercakap hal betul, tentu sekali orang tak suka. Tambah pulak perkara yang dah tersohor dan popular, mahu dihukum sesat pulak dek orang nanti. Maklum sajalah. beramal benda tak betul dan bid’ah ni seronok dan menyeronokkan, ramai orang suka.

InsyaAllah, moga mendapat pencerahan.

Wassalam

On 2014-02-05 16:32 GMT+08:00 eddzahir wrote :

Assalamu’alaikum Wr Wbt.

InsyaAllah saya cuba membantu seqadar yang termampu. Begini :

Para ulama menegaskan bahawa riwayat nyanyian syai’r tersebut adalah dha’if (lemah). Maka sebarang penyandaran sya’ir tersebut kepada kisah hijrah Nabi Saw. sebagaimana yang banyak dilakukan oleh para tukang cerita, para asatizah, filem-filem rekaan, sebahagian kitab-kitab sirah, dan orang-orang terkemudian sebenarnya perlu ditinjau semula dengan baik dan adil.

Keterangan mengenai sya’ir ini dicatatkan dari Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad dari (‘Ubaidillah) Ibn ‘Aisyah. Katanya : Ketika Rasulullah Saw. tiba di Madinah, para wanita dan anak-anak mengucapkan: (Sya’ir dengan lafaz sebagaimana di atas).”. Kitab Dala’ilun Nubuwwah, m/s. 506.
Syaikh Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 87 – Daar Thoyyibah

Imam al-Baihaqi juga meriwayatkannya dalam Dala’ilun Nubuwwah pada bab yang lain, iaitu bab orang-orang menyambut Rasulullah Saw. ketika pulang dari Perang Tabuk dengan menyebutkan :
“Ini disebutkan oleh para ulama kami ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah, dan kami telah menyebutkan pada tempatnya. Bukan ketika beliau tiba di Madinah melalui bukit Tsaniyatul Wada’ ketika beliau datang dari Tabuk, wallahu a’lam. Tetapi kami tetap menyebutkannya di sini (dalam bab ini).”
Syaikh Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah, m/s. 87 – Daar Thoyyibah)

Riwayat-riwayat ini dijelaskan sebagai dha’if oleh para ulama’ antaranya  :

Imam Al-Hafiz al-‘Iraqi Rhm. (wafat 806H) mengatakan :
“Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Dala’ilun Nubuwwah dari hadis ‘Aisyah, ianya mu’dhal dan tidak dinyatakan padanya disertakan dengan duff (kompang) atau irama lagu (sebagaimana diutarakan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya’ ‘Ulumuddin – pent.).” (Takhrij al-‘Iraqi dalam Ihya’ ‘Ulumuddin, 3/252 – Maktabah Syamilah)

* Mu’dhal bermakna pada sanadnya gugur dua atau lebih perawinya secara berurutan.

Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqolani Rhm. (wafat  852H) juga mengulas kisah (atau sya’ir) ini dalam kitab Fathul Bari. Beliau mengatakan:

“Abu Sa’id mengeluarkan dalam Syaraful Mushthafa dan kami meriwayatkannya dalam Fawaid al-Khal’i dari jalan ‘Ubaidillah B. ‘Aisyah secara munqathi’ (terputus sanadnya), ketika Nabi memasuki Madinah, kanak-kanak perempuan serentak mengucapkan :

“Purnama telah terbit di atas kami, dari Tsaniyatil Wada’…”
“Dan kami wajib bersyukur, selama yang berdoa mendoakan kepada Allah...”

Ini adalah sanad yang mu’dhal. Kemungkinan peristiwa ini terjadi ketika beliau kembali dari perang Tabuk.” (Fathul Bari, 7/261-262)

Al-Hafiz Ibnu Hajar juga menyatakan, “ad-Dawudi mengingkari riwayat ini.” (Fathul Bari, 8/128)

Imam Ibnul Qayyim Al Jauziyyah Rhm. (wafat 751H) mengatakan :
“Sebahagian perawi telah melakukan kesilapan berkaitan bait sya’ir ini dan mengatakan perkataan tersebut diucapkan ketika beliau tiba di Madinah dari Makkah. Dan ini adalah kekeliruan yang jelas. Kerana Tsaniyatil Wada’ adalah tempat yang letaknya dari arah Syam. Manakala orang yang datang dari Makkah menunju Madinah tidak akan melihatnya, juga tidak akan menemui tempat tersebut melainkan jika dia hendak menuju Syam.”
Kitab Zaadul Ma’ad, Jilid 3 halaman 480

Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani Rhm. mengatakan :
“Hadis ini dha’if (lemah). Diriwayatkan oleh Abu al-Hasan al-Khal’i di dalam al-Fawa’id, 59/2. Begitu juga al-Baihaqi dalam Dala’ilun Nubuwwah daripada al-Fadhl B. al-Habbab. Beliau berkata, “Aku pernah mendengar ‘Abdullah B. Muhammad daripada Ibn ‘Aisyah mengatakan, “(riwayat tersebut).”

Sanad ini lemah, para perawinya tsiqah tetapi mu’dhal kerana gugur dari sanadnya tiga orang perawi atau lebih. Ibn ‘Aisyah adalah salah seorang syaikh (guru) Ahmad, tetapi ia menyebutkan secara mursal. Al-Hafiz al’Iraqi juga melemahkannya.”

“Sebagai peringatan: al-Ghazali mengutarakan kisah ini (dalam Ihya’ ‘Ulumuddin) dengan memberi tambahan “disertakan padanya pukulan duff (kompang) dan irama lagu.” Tetapi sebenarnya tambahan tersebut tidak ada asalnya sama sekali sebagaimana diisyaratkan oleh al-Hafiz al-‘Iraqi.”

“Secara keseluruhannya, kisah ini tidak tsabit.”
Kitab Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal Maudhu’ah, Jilid 2 halaman 63

Huraian lengkap boleh diperolehi dalam kitab Ma Sya’a wa lam Yatsbutu fii as-Sirah an-Nabawiyah (Masyhur Tapi Tidak Sahih Dalam Sirah Nabawi) oleh Syaikh Muhammad B. ‘Abdullah al-‘Usyan, terbitan Daar Thoyyibah. Naskhah milik saya telah dipinjam oleh seseorang dan belum dikembalikan lagi sehingga kini. Saya tak dapat rujukan untuk menulis lebih lanjut disini.

Wassalam

On 2014-02-05 22:41 GMT+08:00 mohdpoziatan wrote :

Assalamu’alaikum Warohmatullahi Wabarokatuhu,

Alhamdulillah dapat juga penjelasan dalam hal-hal berkenaan sirah nabawi ni. Ini dah dikira jauh lebih baik dari yang dulu kita dengar dari cerita-cerita orang sahaja. Dan sama-sama lah kta mentelaah dan membaca lagi supaya lebih mendalam. Sikap kita selama ini yang dok asyik dengar cerita orang sahaja tanpa mengkaji lanjut menyebabkan mudah terpedaya. Memang banyak kisah yang menyeronokkan dan mengasyikkan, tetapi dasarnya adalah dhaif. Dan cerita seperti itulah yang di cucuk-cucuk ke dalam otak kita. Lama kelamaan sampai tak tau nak beza mana yang benar atau salah, main terima saja dan anggap semua betul.

Bab pinjam kitab nih, ana mohon maaf kat syaikh, ada beberapa kitab yang ana belum pulangkan. Ada juga yang dibaca tak habis lagi pun. Sedikit masa lagi lah yer. Tapi kitab yang enta sebutkan tu bukan ana yang pinjam. Ada lah tu sahabat yang mana-mana.

Wassalam.

0 ulasan: