Selasa, 25 Februari 2014

Adakah Safar Bulan Bala?

0 ulasan
Assalamu’alaikum ustaz,

Surau dekat tempat rumah sewa saya akan melakukan satu aktiviti amal pada pada hari Rabu 1 Januari 2014. Saya pelik dan rasa was-was sungguh setelah membaca flyers, saya syakki ini adalah kenduri tolak bala kalau dilihat pada aturcaranya. Disertakan flyers tersebut dalam bentuk pdf.

Harapnya ustaz dapat memberi panduan apa yang saya boleh buat dalam hal ini.

Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Juga saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas kesudian Tuan bertanyakan hal ini kepada saya, kalau pun kita tidak saling mengenal, insyaAllah saya akan cuba memberikan panduan sebaiknya seperti yang diharapkan. Bagus sangat ada rasa curiga ke atas sesuatu supaya tidak menjadi pengikut buta tuli, dan lebih bagus lagi apabila kemusykilan itu dicari jawabannya, bukan setakat bersok-sek dibelakang, yang hasilnya kebenaran tidak pun didapati, dosa pula menggunung-gunung. Sebagai permulaan saya memetik antara beberapa perkara yang tertera di dalam flyers itu :

Kepercayaan bagi mengelakkan bala menimpa adalah benar. Tiada yang bercanggah dengan hukum Islam, malahan perkara itu betul-betul terjadi dan digalakkan untuk mempercayainya. Kesalahannya adalah pada perbuatan mandi.

Tuan Guru ……………….. berkata : Pada Hari Rabu terakhir bulan Safar, Allah Swt. akan menurunkan bala ke atas dunia sebanyak 325,000 bala untuk sepanjang tahun itu. Disaran untuk melakukan Solat Sunat Bulan Safar bagi menghindari bala yang menimpa ke atas diri dan tempat tinggal kita. Praktikal yang sebetul ialah Solat bukannya mandi. Kepercayaan mandi ini direka kerana tidak mengetahui perkara yang sepatutnya dilakukan.

Majlis solawat, zikr dan ratib dipimpin oleh Tuan Guru ……………

Solat sunat empat rakaat selepas solat Zohor, setiap Rakaat baca Al Fatihah 1 kali, Surah al Kautsar 17 kali, Surah al Ikhlas 5 kali, Surah al Falaq 1 kali dan Surah an Nass 1 kali
Setelah salam baca Surah Yaasin 1 kali apabila sampai ayat "Salamun Kaulan min rabbirrahim" ulang sebanyak 313 kali. setelah itu teruskan sehingga habis Yaasin.
Bacaan doa khusus tolak bala' dipimpin oleh Tuan Guru….

Tuan yang dihormati,

Setelah disemak di dapati hari Rabu 1 Januari 2014 bersamaan dengan 30 Safar 1435, juga hari Rabu terakhir dalam bulan Safar. Berdasarkan pernyataan tertulis itu adalah difahami : mengakui adanya bala pada bulan Safar, dan pada hari Rabu terakhir banyak sekali bala yang diturunkan dan kerana itu kena lakukan beberapa ritual amalan untuk menolaknya. Itulah kesimpulan yang sejelas-jelasnya, tanpa dapat disembunyikan lagi.

Secara ringkas di para muqaddimah ini, saya ingin tegaskan bahawa asalnya perbuatan mandi itu tidak pernah salah pun, secara literal/zahiriyah jika mandi itu yang salah maka habis seluruh manusia sudah berubah menjadi setaraf kambing. Baik sekali dijelaskan, yang menjadikan mandi itu salah adalah kerana :

1.    Kepercayaan asas (aqidah) yang menghasilkan ritual mandi itu, yang menjadi                  asbab  mandi itu dipraktikkan kerananya
2.    Mandi itu juga diperbuat berdasarkan contoh amalan dan kepercayaan upacara             sangam dalam agama hindu bagi membuang sial majal dari tubuh badan dan                   membuang dosa. Ini perbuatan khurafat dan syririk.

Sekiranya tidak bergantungan kepada 2 kepercayaan ini atau apa jua kepercayaan yang seumpama dengannya, mandi pada waqtu bila pun tidak pernah salah. Berdasarkan dalil-dalil sahih, mandi adalah digalakkan dalam Islam untuk tujuan kebersihan dan kesucian diri, malah ada juga mandi yang wajib (mandi janabah).

Contoh mudah untuk memahami apa yang dikatakan kepercayaan asas (aqidah) yang membentuk sesuatu ritual diperlakukan (disini saya tidak berbicara rinci tentang ilmu aqidah Islam disini), begini :

Apabila ada keyaqinan teguh di dalam hati bahawa Solat adalah perintah kewajiban dari Allah Swt., maka ia pun diperbuat, diikuti mengikut kaifiyat amalan dari Nabi Saw. (tauqifiyah) dengan ikhlas kepada Allah Swt. semata-mata, maka benarlah aqidah dasar perbuatan itu dan benar jualah Solat itu. InsyaAllah.

Jika ibadat Solat dijadikan syarat untuk menuntut dan pandai ilmu silat, maka apabila diperbuat, jadilah ia Solat bagi tujuan pandai bersilat, bukannya atas dasar kewajiban, ketaatan dan ikhlas kepada Allah Swt., Maka salahlah aqidah dasar perbuatan itu dan bathillah Solat itu. Biar pun dari tampak fisikal perbuatan, kedua-duanya sama serupa sahaja ya’ni Solat.

Nukilan ini hanya menyentuh mengenai kepercayaan asas (aqidah) yang darinya menjadi asbab terbentuknya ritual amal. Jika benar kepercayaan asas ini, insyaAllah benarlah jua ritual amal yang terbit darinya. Apabila salah kepercayaan asasnya, maka segala amal yang terhasil darinya biar pun diambil dari amal ibadah Islam yang cantik molek dan hebat sekali pun, sudah tentu salah dan rosak binasa juga lantaran niyat mahu pun matlamat tidak pernah sesekali menghalalkan cara.

Malahan, sekiranya kepercayaan asas (aqidah) itu salah, ada atau tiada ritual amal yang terhasil darinya sudah tak penting lagi, kerana ia tetap salah. Misalnya, seseorang yang percaya adanya sial pada hari Rabu, tetapi dia tidur sahaja sepanjang hari tanpa melakukan secebis pun amalan penolak bala, dia tetap jua salah. Malah lebih salah dan teruk lagi, apabila ritual amal ibadah dalam Islam dipergunakan pula sebagai tempelan/topengan bagi menutup kepercayaan asas (aqidah) yang salah itu, supaya ia kelihatan halaalan thoyyiban di mata manusia. Jadi kesalahan paling fatal dalam hal ini adalah kepercayaan asas (aqidah) yang mendasari perbuatan itu, bukannya sekadar antara mandi dengan Solat.

Justeru itu, artikel ini tidak menyentuh secara langsung tentang bentuk dan kaifiyat ritual amal seperti yang dinyatakan, kerana hal kepercayaan asas ini yang mesti dijelaskan terlebih dahulu lantaran inilah perkara penentu/parameter sama ada sesuatu kepercayaan diikuti ritual amalan  itu haq atau bathil. Selain itu, jika dilihat dari kaifiyat amalan seperti yang tertulis, semuanya amat pelik malah sangat bersamaan dengan ciri-ciri khabar maudhu’, berasal dari pengekor hawa nafsu dan rekaan. Kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar seperti yang tertulis, tidak pernah diperintah oleh Rasulullah Saw, dan tiada seorang pun Sahabat juga Salafus Solih yang mengamalkannya.

Maka, jawaban permulaan adalah : dalam kes ini, ritual mandi telah dijadikan kambing hitam/bahan dipersalahkan, maka digantikanlah dengan bentuk ritual lain (Solat misalnya, yang tentunya lebih sedap digunakan untuk menarik perhatian orang banyak) sedangkan kepercayaan asasnya (aqidah) yang mendasari kepada terjadinya perlakuan/ritual itu masih tetap sama.

Justeru itu, jadilah ritual Solat ini pula sebagai satu lagi kambing hitam untuk menutup kepercayaan asas (aqidah) mengarut yang tersembunyi di belakangnya. Ini sekadar satu ulang tayang episode surat khabar lama : judi disepakati haram tapi pabila ditukar nama kepada loteri kebajikan masyarakat, maka ramai yang berbelah bagi : halal ke haram?. Demikianlah warna-warni dan variasi hukum-hakam di bumi bertuah Malaya : The Serbaboleh Land ini.

Sungguh pelik, setiap kali ketibaan bulan Safar, budaya jahiliyah yang diperangi dan telah dilupuskira sejak 1400 tahun dahulu oleh Islam ini seakan-akan muncul semula. Kali ini dalam berbagai rupa bentuk ritual yang baru diada-adakan, cuma mandi saja yang tiada lagi. Kepercayaan diikuti ritual amalan tertentu Ini sebenarnya terhasil berteraskan kepercayaan kebanyakan orang Arab jahiliyah, yang beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliyah ini masih lagi diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam pada zaman ini. Tiada lain, ini berpunca dari akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid (aqidah).

Mereka mempercayai bahawa bulan Safar merupakan bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Lantaran itu dipercayai, banyak musibah dan bencana yang terjadi pada bulan Safar khususnya pada hari Rabu terakhir yang dianggap sebagai hari puncak turunnya segala bencana. Antara kepercayaan itu : sesetengah ummat Islam menghindarkan diri dari melakukan perjalanan pada bulan Safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak, tidak akan keluar rumah dikhuatiri akan ditimpa kecelakaan dan sebagainya.

Berikutan fahaman itu, diadakan/dicipta pula segala macam ritual dalam pelbagai bentuk, ada yang bersadur adat setempat, kepercayaan lain atau yang dikutip dari ritual agama Islam sebagai tempelan/topengan khususnya pada hari Rabu terakhir bulan Safar, atas sebab : nak menolak bala sebenarnya. Sukar nak berkata-kata hal ini sebenarnya, lantaran perkara kepercayaan asas, niyat dan qasad di hati ini perkara yang ghaib (tidak boleh dilihat, disentuh, dirasa dan majhul). Malah sekiranya ditanya, mereka takkan sesekali mengakui mengikut kepercayaan karut ini, kalau pun bentuk ritual, tempoh masa dan lafadz-lafadznya memang jelas menunjukkan niyat sebegitu (seperti pernyataan di atas).

Walhal, bulan Safar adalah senantiasa sama sahaja seperti kondisi bulan-bulan lainnya di dalam syari’at Islam. Padanya ada kebaikan, ada juga kejelekan. Pada semua itu, aqidah yang mesti dipegang kukuh adalah setiap kebaikan yang ada datangnya dari Allah Swt. sedangkan setiap kejelekan yang ada terjadi dengan taqdir-Nya jua. Dan semua yang terjadi itu tertakluk di bawah Kekuasaan-Nya dan Iradah-Nya. Maka ingatlah perintah Allah Swt, lewat Kalam-Nya :

"Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang itu dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan-Nya) bagi orang-orang yang bertaqwa."
Surah Yunus (10) : ayat 6

Ummat Muslimin dituntut mengimani konsep tawakkal kepada Allah Swt. dalam semua keadaan. Dia Yang Menentukan segala-galanya, Yang Berkuasa ke atas segalanya dan tiada apa jua boleh mempengaruhinya membuat ketetapan itu, malah kepadaNya pula seluruh makhluk bergantung. Ini dijelaskan menerusi firman-Nya :

“Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu : Siapakah yang mencipta langit dan bumi?. Sudah tentu mereka akan menjawab : Allah. Katakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) : Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu? Katakanlah lagi : Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku dan segala-galanya); kepadaNyalah hendaknya bertawakkal orang-orang yang mahu bertawakkal.”
Surah Az Zumar (39) : ayat 38

Jika benar datangnya dari Islam kepercayaan bahawa bulan Safar ini bulan bala dan kejelekan, pasti sekali ia sudah diterangkan oleh Yang Ma’bud Allah Azzawajalla seperti mana Dia menerangkan tentang puasa di bulan Ramadhan, bulan-bulan haji dan bulan-bulan terlarang berperang. Malah setelah adanya ayatullah berkaitan, maka Nabi Saw. pula akan menunjukkan contoh menerusi sunnahnya bagaimana kaifiyat pengamalan dan pengibadatan terhadap ayat-ayat itu. Jelasnya semua ini tidak ada.

Sebenarnya kepercayaan dan amalan jahiliyah bahawa Bulan Safar (bulan kedua dalam calendar Islam) satu bulan yang penuh kecelakaan ini bersumber dari khabar yang diterima dari kahin (tukang tilik, tukang tenung, paranormal, dukun-dukun, pemuja hantu) dan tukang sihir. Pada zaman itu mereka ini merupakan manusia sanjungan dan terhormat, yang cakapnya laku serta ditaati. Tidak hairanlah hidup masyarakat jahiliyah penuh dengan kesesatan. kebathilan, kebahlolan dan porak peranda. 

Apatah lagi pada masa itu (disebut pun zaman jahiliyah) cara hidup mereka memang begitu jauh dari agama, di mana sesembahan hanyalah kepada patung-patung, dewa-dewa, api dan semangat alam (animisme) sahaja, yang tepatnya hanya mengikut aqal dan hawa nafsu. Berdasarkan hukuman hawa nafsu ini, maka bulan Safar dimasukkan ke dalam bulan yang penuh dengan malapetaka dan dianggap sebagai bulan puncak segala macam kecelakaan.

Beberapa jenis keyakinan tahayul, khurafat dan syirik dipercaya terjadi termasuk pada bulan Safar amalan Arab jahiliyah telah direkodkan, antaranya adalah :

1. Masyarakat Arab jahiliyah menganggap bulan Safar sebagai bulan penuh kesialan.
(Sahih Bukhari no. 2380 dan Abu Dawud no. 3915).
2. Masyarakat Arab jahiliyah meyaqini adanya penyakit cacing atau ular dalam perut yang disebut safar, yang akan memberontak pada saat lapar dan bahkan dapat membunuh orangnya, dan yang diyaqini lebih menular daripada jarab (penyakit kulit / gatal).
(Sahih Muslim no. 1742, Ibnu Majah no. 3539)
3. Keyaqinan masyarakat Arab jahiliyah bahawa pada bulan Safar tahun sekarang diharamkan untuk berperang dan pada Safar tahun berikutnya boleh berperang (berselang tahun).
(Abu Dawud no. 3913 dan 3914)
4. Keyaqinan sebahagian mereka yang menganggap bahawa membuat umrah pada bulan-bulan haji termasuk bulan Muharam adalah sebuah kejahatan paling buruk di dunia.
(Sahih Bukhari no. 1489, Sahih Muslim no. 1240 dan 1679)

Hadis-hadis sahih ini menceritakan kepercayaan orang Arab jahiliyah terdahulu tentang betapa sialnya bulan Safar dan bentuk ritual-ritual mereka untuk menghindar dari segala macam kesialan itu banyak dicatatkan. Bagaimana timbulnya kepercayaan ini dalam masyarakat Melayu, entah dari sumber mana kerpercayaan ini mula menyerap masuk dan menjadi kepercayaan dan amalan sebegitu lama sehingga kini, wa-Allahua’lam! Saya tidak ketahui malah saya tidak berminat pun untuk ambil tahu asal usulnya. Lantaran tiada apa faedah biar sedikit pun, untuk memperuntukkan masa kepadanya.

Para penyambung fahaman dan kepercayaan jahiliyah itu kini, terdiri dari golongan orang yang faham agama Islam ini sekadar pak turut taqlid buta sahaja tanpa ketahui apa yang dimaqsudkan dengan dalil yang sahih, soreh dan qot’ie sebagai syarat wajib untuk dipegangi sesuatu hukum dan amal. Maka fahamlah dia yang Islam itu seperti apa yang orang lain cakap sahaja, dan dia ikut tanpa soal. Oleh sebab itu, segala macam kata dhaif, palsu dan mengarut pun ditelan bulat-buat dan dihadam belaka, tanpa ditanya, ditaati tanpa rasa bersalah kepada Allah Swt. dan rasul-Nya biar secebis rasa pun. Sekiranya ada walau sedikit pun, rasa mahu mencari kebenaran berdasarkan sumber Al Huda dan Ad Diin ul Haq, pasti sesekali takkan terjadi hal sebegini.

Dari satu sisi lain, tiada apa pun yang perlu di semak teliti lagi dalam hal karut marut ini, lantaran kalau ditemui segala macam sumbernya biar dari mana atau dari siapa sekali pun, ia langsung tidak berguna. Tiada apa pun yang betul melainkan tidak betul belaka. Tarafnya tidak lebih dari sekadar khabar tekaan, sangka-sangkaan, yang direkacipta, yang diubahsuai sana sini, khabar dengar cakap, penuh dengan kisah-kisah dhaif dan palsu. Dalam keadaan apa pun, ia tidak akan lebih dari itu.

Ini disebabkan setelah datangnya Islam ke bumi Makkah mulanya dan tersebar ke seluruh alam selepas itu, seluruh fahaman, kepercayaan, ritual dan spiritual jahiliyah ini telah dibantah dan dibanteras habis-habisan. Aqidah suci dan murni Islam menolak sepenuhnya fahaman jahiliyah ini. Kerana itulah tiada pernah tercatat walau satu pun khabar sahih akan adanya apa-apa bentuk ritual yang khusus dalam bulan Safar yang diperbuat oleh Nabi Saw. dan para Salafus Solih untuk : menolak bala.

Malah segala macam fahaman spiritual dan ritual tahayul, khurafat dan syirik itu disangkal , ditolak dan diperangi habis-habisan. Ini disebut oleh Allah Swt. menerusi Kalam-Nya :

“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Surah At Taghaabun (64) : ayat 11

Menyandarkan sesuatu musibah bakal menimpa terhadap sesuatu perkara seperti gerakan binatang, kedudukan bintang, waqtu atau masa yang tertentu dan lain-lain adalah perbuatan yang tercela kerana segala sesuatu di alam ini telah ditetapkan oleh Allah Swt.  tanpa ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan-Nya. Ini dijelaskan menerusi firman-firman-Nya :

“Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 131

“Katakanlah (wahai Muhammad), Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung (yang menyelamatkan) kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal".
Surah At Taubah (9) : ayat 51

“Utusan-utusan (para Rasul) itu berkata : Kemalangan kamu adalah kerana kamu sendiri. Apakah jika kamu diberi peringatan (kamu bernasib malang)? Sebenarnya kamu adalah qaum yang melampui batas".

Surah Yaasin (36) : ayat 19

Menganggap sial majal pada bulan Safar termasuk salah satu jenis tathayyur/thiyarah (buruk sangka kepada sesuatu kejadian) yang terlarang. Itu termasuk amalan jahiliyah yang telah dibatalkan (dihapuskan) oleh Islam. Islam menyelar budaya tathayyur ini dan menganggap ianya satu perbuatan merosak kemurniaan tauhid kerana adanya ketergantungan hati seseorang kepada sesuatu perkara selain daripada Allah Swt.  dengan menyaqini perkara tersebut boleh membawa mudharat atau manfaat. Baginda Saw. sudah menegaskan kepercayaan itu tidak benar seterusnya menolak dan memerangi fahaman ini berkali-kali :

Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada thiyarah, tidak ada kesialan kerana burung hantu, tidak ada kesialan pada bulan Safar.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari no. 5757, Muslim no. 2220, Abu Daud no. 3911 dan Ahmad, jilid 2 no. 327

Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya), tidak ada pula bulan Safar yang mendatangkan kesialan, dan tiada pula serangga yang dapat mendatangkan kerugian. Lalu ada seorang Arab Badwi bertanya : bagiamana dengan cerita seekor yang berada di tanah berpasir seolah-olah bagaikan biawak. Kemudian sesudah dia bercampur dengan unta yang diserang kurap, maka dia pun berkurap? Rasulullah Saw. bersabda : Siapakah yang mula pertama menularkan?”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari no. 5770

Saya ulangi sekali lagi, sungguh pelik, setelah Allah Swt. dan rasul-Nya menolak semua kepercayaan dan ritual jahiliyah ini sejak lebih 1450 tahun dahulu lagi, di zaman serba moden dan canggih Tahun 1435 Hijriyah kini, ia masih tetap menjadi kepercayaan dan amalan oleh sebahagian masyarakat Muslimin bukan sahaja di Malaya malahan banyak tempat lagi. Apakah segala khabar keputusan Allah Swt. dan rasul-Nya ini tidak sampai kepada mereka di zaman ilmu serba canggih ini? Mungkinkah disembunyikan, atau ditafsir cara lain untuk menyembunyikan faktanya, atau dipesong maknanya, atau bermacam atau atau atau lagi.

Lebih pelik lagi, kenapakah yang dilarang itu pula yang diamalkan! Apakah tidak cukup segala khabar, amalan dan perbuatan yang sahih untuk dibuat amal. Dan paling pelik sekali, bagaimana sekumpulan orang yang mahu alim dan kelihatan pun alim, yang dipuja sanjung dan dikelek orang sana sini, dianggap mulia dan bertaraf kasyaf, diberi berbagai gelaran hebat-hebat, menjadi tekong pula dalam membuat amalan jahiliyah ini, sekaligus menjadi pendorong dan menyebarkannya kepada khalayak  awam. Ini benar-benar kes sudahlah sendiri sesat. Ada hati nak membawa orang lain sesat sekali.

Mari bersama kita perhati dan ambil i’tibar dari sabda Nabi Saw. semasa khutbah haji wada’ : Allah Swt. berfirman : Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu (Surah Al Maaidah (5) : sebahagian ayat 5). Jelaslah, segala  apa-apa yang telah ditetapkan pada hari itu sebagai Islam, sehingga kini dan selamanya tetap ia adalah Islam. Dan apa-apa yang telah ditetapkan pada hari itu sebagai bukan Islam, maka sampai qiyamat pun tetaplah ia bukan Islam. Apakah tidak jelas lagi, yang kepercayaan bulan Safar  bulan malapetaka dan penuh sial majal itu bathil dan syirik, sudah tertolak dan terkeluar dari landasan syari’at Islam sejak 1450 tahun dahulu lagi?

Berikutan persoalan Tuan apa yang boleh dibuat dalam hal ini, maka saya jawab dengan jelas : Hindari kepercayaan dan ritual amalan agama jahiliyah ini, buang ia jauh-jauh, di dalamnya cukup lengkap semua yang diharamkan yaitu tahayul, khurafat, bid’ah dan syirik (all in one), biar pun tampak fisikal amalan ritualnya cantik molek belaka tetapi semua itu hanyalah topengan yang menutup kepercayaan asasnya (aqidah) ya’ni fahaman jahiliyah. Moga-moga Tuan benar memahami maqsud perkataan ini dan terhindar dari mengikut ajaran sesat.

Semoga saya telah menjawab persoalan dan telah membantu Tuan membuat kepastian terhadap perkara yang ditanyakan. Dan bersama kita ingat pesan Allah Swt.  ini :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, ………………………... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (ma’siyat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab siksaan-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
Surah Al Maaidah (5) : ayat 2

Sebaik yang termampu saya telah menyempurnakan hak Tuan dan hak saya sendiri : hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (ma’siyat) dan pencerobohan. insyaAllah.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: