Selasa, 25 Februari 2014

Bertudung: Antara Tuntutan Agama Dan Fesyen.

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Aku bersaksi bahawasa sesungguhnya tidak ada ilah yang berhak diibadahi dengan benar kecuali Allah semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawasanya Nabi Muhammad Saw. adalah hamba dan Rasul-Nya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah (kamu) kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan muslim.”
Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 102

Artikel ini saya saya nukilkan lama dulu, bagi menjawab keresahan, luahan perasaan dan juga persoalan oleh  Izanahani Awangku Hassan.

Pertama sekali harap Puan bersabar dan buangkanlah kesedihan hati, lantaran memang sukar pun nak menyampaikan hal yang baik. Pasti sedih dan terasa hati apabila sanak saudara sendiri melakukan perkara kurang baik, dan apabila diberi peringatan yang benar, kita dimarahi pula dengan segala macam kata nista. Ia berlaku kepada Puan, juga kepada saya malah kepada banyak orang lagi. Sesukar mana pun, kena terimalah bahawa begitulah haqiqatnya, setelah disampaikan khabar kebenaran itu maka telah terlaksanalah sudah tanggugjawab kita. Dan hal menerimanya atau tidak, kembalikan kepada Allah Swt.

“Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Surah Al Qasas (28) : ayat 56

Catatan kenangan : Sekitar permulaan hidup saya di 1970-an, pemakaian tudung (jilbab) hampir-hampir tidak ada. Amat sukar melihat orang bertudung kecuali memakai selendang panjang yang sangat jarang (telus segalanya) itu pun di majlis kematian (tak tahulah sama ada kerana teringatkan mati atau budaya sahaja) atau ketika hadiri majlis di surau masjid. Ustazah-ustazah yang mengajar di sekolah mahu pun di kampung juga tak pakai. Malah di tempat saya ada ustazah yang jadi penyanyi, beronggeng pula bersama kugiran kampong dan ghazal pati. Jelasnya, sukar sungguh menemui muslimah memakai tudung, bahkan yang bertudung itu dipandang pelik dan menjadi bahan sok-sek orang.

Senario ini berubah pada awal 1980-an. Seingatnya, saya adalah generasi terakhir yang memakai seluar pendek di sekolah rendah. Mulai 1983, semua pelajar sekolah rendah dan menengah sudah memakai seluar panjang dan perempuan memakai baju kurung. Saya adalah generasi tingkatan 1 pertama yang berseluar panjang sepenuhnya. Pada peringkat awal ini, kelam kabut juga keadaannya. Sehinggakan pada masa itu, perempuan yang memakai tudung labuh berwarna gelap, di panggil hantu kom-kom. Disuruh anak-anak kecil lari sekiranya terserempak dengan orang-orang sebegini, dikatakan hantu-hantu ini sukakan anak-anak dan membawa lari, dipotong kepala untuk dibuat pasak jambatan. Demikianlah senario permulaan pada masa itu. Ada beberapa kisah lagi yang tidak saya sebutkan di sini.

Pada hari ini, didapati ramai muslimah sedar akan kewajiban memakai tudung. Sering kita dengar dan lihat bagaimana seorang muslimah yang sebelumnya tidak bertudung, kemudian berubah hidup, fikrah dan berhijrah, mula memakai tudung. Alhamdulillah. Sebab rincinya hanya mereka sendiri yang tahu. Para ibu bapa serta isi masyarakat pun sudah mula mendidik generasi muda memakai tudung sejak mereka anak-anak lagi dalam hampir semua keadaan. Malah di peringkat nasional, sekolah atau jabatan-jabatan, hal ini dititikberatkan dan sering diperingatkan. Secara umum, memakai tudung ini sudah sangat banyak, boleh terlihat dimana-mana pun. Dan pastinya. di sesetengah tempat, di sekolah atau jabatan awam misalnya, yang tidak memakai itu pula menjadi pelik.

Mari kita ulangsorot asasnya. Perintah memakai tudung/hijab/jilbab sudah jelas terdapat dalam Surah.An Nuur (24) : ayat 31,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka Menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung”

Dari ayat tersebut, jelas bahawa setiap wanita muslimah ya’ni semua wanita yang mengimani agama Islam, diwajibkan mengenakan jilbab. Konteks jilbab disini tidak hanya menutup rambutnya saja, melainkan menjulurkan jilbab hingga ke bahagian dadanya. Sudah pasti, jilbab yang dikenakan haruslah lebar, tidak mini dan boleh menutupi seluruh bahagian-bahagian tubuh yang harus dijaga.

Pakaian yang dikenakan pun harus lapang, tidak menonjolkan bahagian tubuhnya. Sebagaimana halnya firman Allah dalam Surah Al Ahzab (33) : ayat 59,

“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Arti ‘jilbab’ dalam ayat tersebut ialah jilbab yang sejenis kain kurung yang lapang dan dapat menutup kepala hingga dada. Ayat tersebut juga semakin memperjelas bahawa jilbab tak hanya digunakan untuk menutupi kepala saja (dalam artian rambut) namun juga digunakan untuk menutupi seluruh bahagian tubuhnya, termasuk dada. Jika mengenakan jilbab mini dimana umumnya diikatkan ke leher, ini berarti tidak sesuai dengan apa yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Menurut jumhur ulama’ dan fuqaha’, aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan. Sebagaimana ulama ahli tafsir Imam Muhammad bin Ahmad Al Ansori Al Qurthubi Rhm. berkata : pengecualian itu adalah pada wajah dan telapak tangan. Yang membuktikan hal itu adalah matan hadis yang diriwayatkan oleh imam Abu Daud Rhm. dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. :

“Asma binti Abu Bakar menemui Rasulullah Saw. sedangkan ia memakai pakaian tipis. Maka Rasulullah Saw. berpaling darinya dan berkata kepadanya : Wahai Asma! Sesungguhnya jika seorang wanita itu telah mencapai masa haid, tidak baik jika ada bahagian tubuhnya yang terlihat, kecuali ini.” Kemudian Baginda menunjuk wajah dan telapak tangannya. Allah Pemberi Taufiq dan tidak ada Rabb selain-Nya”.

Maka, selain muka dan telapak tangan, tidak boleh terlihat sedikit pun kepada ajnabi.

Rasulullah Saw. melarang para wanita muslimah berpakaian ketat. Dan batasan ketat itu adalah tergambarnya bentuk salah satu anggota tubuh yang termasuk aurat. Usamah bin Zaid bin Haritsah Rhu. menceritakan bahawasanya :

“Rasulullah Saw. pernah memberiku baju Quthbiyah yang tebal yang merupakan baju yang dihadiahkan oleh Dihyah Al-Kalbi kepada Baginda. Baju itu pun aku pakaikan pada isteriku. Nabi Saw. bertanya kepadaku : Mengapa kamu tidak mengenakan baju Quthbiyah?” Aku menjawab : Aku pakaikan baju itu pada isteriku. Nabi Saw. lalu bersabda : “Perintahkan ia agar mengenakan baju dalam di balik Quthbiyah itu, kerana aku khawatir baju itu masih boleh menggambarkan bentuk tulangnya.”
Petikan dari Ad-Dhiya Al-Maqdisi dalam Al-Hadits Al-Mukhtarah I/441; dari Ahmad dan Al-Baihaqi dengan sanad yang hasan.

Dan secara umum, konsep berpakaian menurut Islam adalah menepati syarat berikut :

1.    Menutup aurat dan sopan
2.    Suci dan bersih
3.    Tidak ketat sehingga menampakkan susuk tubuh
4.    Sederhana dan tidak terlalu mahal
5.    Merperlihatkan perbezaan jantina
6.    Tidak nipis hingga menampakkan warna kulit dan bentuk badan
7.    Tidak menimbulkan riyak dan syak
8.    Tidak menyerupai (tasyabbuh) dengan pakaian agama lain

Muslimah yang menyedari petunjuk dan mentaati agamanya, akan selalu memelihara diri dan bersederhana dalam segala hal, termasuk berpakaian dan berpenampilan. Dia senantiasa berusaha untuk berpenampilan baik, mematuhi syari’at, tidak berlebih-lebihan, dan tidak menunjukkan kesombongan. Dia tidak akan terpengaruh dengan gaya berpakaian dan berpenampilan seperti orang-orang kafir, sebaliknya senantiasa berpakaian dalam batas-batas kesederhanaan yang telah diterangkan Al-Qur’an, sebagai salah satu sifat hamba-Nya yang beriman.

Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian (sederhana).”
Surah Al Furqan (25) : ayat 67

Muslimah yang hayat dalam petunjuk agama, akan melindunginya dari ketergelinciran ke jurang kesombongan, kebanggaan, dan kekaguman pada penampilan dan hal-hal lain yang menjadi sumber kerosakan. Dia memahami dengan memakai pakaian indah atas landasan kesombongan, kemewahan serta kebongkakan, sesungguhnya itu merupakan suatu perbuatan dosa. Sedang, yang mengenakan pakaian kerana mensyukuri nikmat Allah, menutup aurat demi ketaatannya, maka dia akan mendapatkan pahala dan kesejahteraan. Hal demikian seperti dijelaskan di dalam sabda Rasulullah Saw. :

“Ketika ada orang yang melenggang dengan penuh kesombongan dan berjalan dengan penuh kebongkakan, yang kagum pada dirinya sendiri, maka Allah akan menancapkannya ke bumi, dan dia masih terus tenggelam di dalamnya sampai Hari Qiyamat kelak.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari Rhm., Kitab Al-Libas wa Az-Zinah

Oleh kerana itu, muslimah akan menghiasi diri dengan perhiasan yang dihalalkan dan keindahan yang disyariatkan agamanya, mengenakan pakaian yang bagus dan bersih, dengan tidak menyimpang dan berlebih-lebihan. Semuanya itu adalah kebaikan yang dihalalkan Allah Swt. dan kesederhanaan yang diserukan Islam. Muslimah yang tunduk patuh memahami bahawa berpakaian ini adalah urusan iman dan taqwa bukan sekadar urusan rupa paras dunia sahaja. Disinilah letaknya perbezaan nyata antara muslimah bersederhana lagi bijak berbanding dengan wanita cintakan berlebih-lebihan dan sinting aqalnya.

Dalam 10 tahun terakhir senario banyak berubah. Walaupun yang bertudung banyak jumlahnya, namun banyak yang tidak mengenakan tudung menepati syari’at. Boleh dikatakan pemakaiannya lebih mengikut trend kebiasaan, mengikut adat semasa atau hanya ingin dilihat lebih Islamik. Bukan atas pemahaman bahawa ia adalah tuntutan dan kewajiban syari’at. Lantaran itu, aspek keanggunan, kecantikan, penampilan, ketrampilan atau pun hanya sekadar ada sahaja yang lebih diberatkan.

Hal dinyatakan itu jelas terlihat dalam situasi begini :

  1. Memakai tudung apabila hanya di sekolah atau institusi, justeru itulah yang diterapkan di institusi tersebut. Mahu tidak mahu mereka harus memakainya. Di luar itu, mereka dengan mudahnya tanpa segan silu tidak memakainya.
  2. Keluar rumah bertudung, dalam rumah tak kenal mana mahram mana ajnabi, tetamu atau sahabat handai yang bertamu pun dianggap serupa saja
  3. Berpakaian kelihatan lengkap tetapi amat ketat menyerlahkan seluruh rongga dan bentuk badan tanpa selindung, selalunya di kolam, pantai, taman tema. Ada yang masih bertudung, tetapi terserlah semua aurat apabila basah.
  4. Trend paling baru : bertudung kecil, baju T singkat dan ketat, serta seluar jeans nampak ponggong dan anggota badan
  5. Ada juga yang secara rasminya : sekejap pakai sekejap tidak pakai, dan yang dipakai itu pun bukannya menutup aurat tapi menutup rambut.saja
  6. Pakaian ibu mengandung : kes paling biasa – rambut ditutup sejemput, leher terbuka, baju paras lutut berlengan pendek. Kain jenis ketat sehingga perut bulat memboyot kelihatan dari semua arah.
  7. Bertudung, tetapi mulut lidah lebih berbisa dari ular, perkataan dan tingkahlaku langsung tidak berjaga.
  8. Bertudung tetapi penuh ma’siyat : ada dilihat kes tangkap basah dengan perempuannya tergesa-gesa berbaju dan memakai tudung  


Secara umum, masyarakat awam menganggap muslimah yang mengenakan jilbab sebagai orang yang kuat imannya dan bagus peribadinya. Namun disebabkan oleh sebahagian yang memakai jilbab hanya sebagai adat dan aksesori ini, maka timbulllah serba macam tanggapan buruk. Maka terjadilah fitnah yang amat besar ke atas hukum Islam sedangkan yang merapu itu adalah orangnya, bukannya hukum dan agamanya.

Dan kesempatan ini pun diambil oleh segala manusia yang tunggang-langgang imannya untuk tidak memakai jilbab dengan alasan dangkal : asalkan hati baik, tak buat jahat, tak kacau orang. Mereka inilah gerombolan yang merasakan Islam ini tiada hukum-hakam yang wajib diikuti, melainkan sesedap rasa sahaja. Dan apa yang dirasakan sedap itulah yang betul, dan yang dirasakan betul itulah iman yang benar. Rosak sungguh pemahaman agama mereka ini. Disebabkan dogma sesat inilah, sering ditemui golongan separa bogel tergedik-gedik di jalanan, tanpa silu menyebutkan : kami orang beriman. Seolah-olah ada lagi cabang iman yang baharu yaitu : separa bogel.

Dan pastinya juga kesempatan ini diambil oleh para peniaga yang mengwar-warkan segala macam “busana muslimah” kalau pun rupa parasnya saling tidak tumpah bikini yang menampakkan setiap inci lurah tubuh. Ada juga yang sama dengan tudung rahib dan pendeta. Ada juga yang bersimpul-simpul, berwarna warni yang jelas menepati sifat ‘ujub yang amat terlarang. Segala macam fesyen karut ini haqiqatnya di“Islam’kan bagi tujuan pemasaran yang matlamat asasnya hanyalah mencari untung atas nama agama. Paling menjengkelkan gerakan bathil ini didokong pula oleh orang besar-besar. Apa nak di kata, pasarannya bagus, penyokongnya pun banyak.

Justeru jilbab hanyalah adat dan aksesori, maka banyak kelihatan juga muslimah berjilbab tetapi melakukan hal-hal yang melanggar perintah agama, termasuk berzina (nau’dzubillah). Fakta yang banyak terjadi di masa ini, banyak muslimah yang berjilbab, namun akhlaqnya tidak jauh berbeza dengan mereka yang belum mengenakan jilbab, bahkan lebih parah. Berjilbab, tapi masih seronok berpacaran, berdua-duaan dengan di tempat yang sepi atau ramai. Bahkan, sudah bukan hal yang tabu lagi jika dilihat mereka saling berciuman atau bercengkerama sekali pun di tempat umum, tanpa mengira usia.

Pemandangan yang membuat kita tersayat hati, ketika mendapati muslimah berjilbab, dengan tanpa kesalnya membonceng motorsikal yang ditunggangi oleh laki-laki yang bukan mahram. Jarak mereka begitu dekat, bahkan melekat dan terlekat. Padahal, ia sudah mengenakan jilbab. Paling banyak adalah adalah yang mengenakan jilbab sangkut-sangkutan dengan segala singkat dan ketat, maka kelihatanlah ponggongnya untuk tayangan percuma.

Catatan pengalaman : suatu malam saya berkunjung di kawasan Al ‘Adel, berhampiran Jabal Nur tempatnya Gua Hira’, masih dalam Tanah Haraam, terletak kira-kira 6 km daripada Baitullah. Kawasan ini ramai didiami para jamaah negara jiran. Dirasakan seperti tidak berada di Makkah Al Mukarromah, tapi hanya di pasar malam dipenuhi lagu dangdut dan rokok gudang garam dijual terbuka, ada mee goreng dan teh tarik lagi. Kelihatan wanita berbaju tidur jarang berjambul sejemput, juga ada berbaju T shirt kecil, pendek ketat, jeans nampak ponggong dan selendang rambut terjojol berjalan sana sini. Hilai tawa terkikik-kikik tanpa silu. Memandangkan saya ini “orang luar”, saya di approach oleh “outsourcers” dengan banyak tawaran menarik. Alhamdulillah, tidak tergoda, semua dijawab dengan baik “semuanya dah ada, isteri pun dah ada”.

Lihatlah, dalam Tanah Haraam yang mulia pun manusia tidak lagi segan silu memperbuat ma’siyat. Keadaan sebegini menjelaskan tanpa selindung lagi bahawa apa yang disabdakan oleh junjungan mulia Nabi Saw. 1450 tahun dahulu telah benar terjadi. Baginda menyebutkan tentang para wanita yang berpakaian tapi telanjang :

Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda :Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat,  [1] Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan [2]para wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggang-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walau pun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim Rhm. no. 2128

Imam Yahya bin Sharaf An Nawawi Rhm. ketika menjelaskan hadits di atas mengatakan ada beberapa makna para wanita yang berpakaian tapi telanjang(kasiyatun ‘ariyatun) :

Makna pertama : wanita yang mendapat nikmat Allah Ta’ala, namun enggan bersyukur kepada-Nya.
Makna kedua : wanita yang mengenakan pakaian, namun kosong dari amalan kebaikan dan tidak mau mengutamakan akhiratnya serta enggan melakukan ketaatan kepada Allah Ta’ala.
Makna ketiga : wanita yang menyingkap sebahagian anggota tubuhnya, senghaja menampakkan keindahan tubuhnya. Inilah yang dimaqsudkan wanita yang berpakaian tetapi telanjang.
Makna keempat : wanita yang memakai pakaian tipis sehingga nampak bahagian dalam tubuhnya. Wanita tersebut berpakaian, namun sebenarnya telanjang.

Dan dalam menjelaskan ‘wanita tersebut tidak akan masuk syurga beliau menyatakan : Jika wanita tersebut menghalalkan perbuatan ini yang sebenarnya haram dan dia pun sudah mengetahui keharaman hal ini, namun masih menganggap halal untuk membuka anggota tubuhnya yang wajib ditutup (atau menghalalkan memakai pakaian yang tipis), maka wanita seperti ini kafir, kekal dalam neraka dan dia tidak akan masuk syurga selamanya. Dapat kita maknakan juga bahawa wanita seperti ini tidak akan masuk syurga untuk pertama kalinya. Jika memang dia ahli tauhid, dia nantinya juga akan masuk syurga. Wallahu Ta’ala a’lam.
Kitab Syarh Sahih Muslim, Jilid 9 halaman 240

Perihalan hampir sama juga disebutkan oleh imam Jamalludin Abdurrahman bin Ali Ibnul Jauziy Rhm., bahawa “kasiyatun ‘ariyatun” terkandung 3 makna :

Pertama : wanita yang memakai pakaian tipis, sehingga nampak bahagian dalam tubuhnya. Wanita seperti ini memang memakai jilbab, namun sebenarnya dia telanjang.
Kedua : wanita yang membuka sebahagian anggota tubuhnya (yang wajib ditutup). Wanita ini sebenarnya telanjang.
Ketiga : wanita yang mendapatkan nikmat Allah, namun kosong dari syukur kepada-Nya.
Kitab Kasyful Musykil min Haditsi Ash Sohihain, Jilid 1 halaman 1031

Dan Syaikh Muhammad Bin Solih Al Utsaimin Rhm. menjelaskan dalam fatwanya : Ada pun makna sabda Nabi Saw. “Berpakaian tapi telanjang” ya’ni wanita-wanita tersebut memakai pakaian, akan tetapi pakaian mereka tidak tertutup rapat (menutup seluruh tubuhnya atau auratnya).

Para ulama berpendapat bahawa di antara yang termasuk berpakaian tapi telanjang, yaitu pakian tipis, sehingga terlihat kulit yang terbungkus di belakangnya, sehingga secara lahiriyah pemakainya terlihat berpakaian, tetapi pada hakikatnya telanjang. Juga termasuk pakaian telus (jarang), yaitu pakaian yang tebal, tetapi pendek (mini), pakaian yang ketat sehingga menempel pada kulit dan memperlihatkan lekuk tubuh pemakainya, sehingga seakan-akan tidak berpakaian. Semua pakaian tersebut termasuk jenis pakaian telanjang. Makna tersebut bermaqsud adalah pakaian telus dalam pengertian inderawi.

Sedangkan jika yang dimaqsud adalah pakaian telus dalam pengertian maknawi, maka yang dimaqsud dengan pakai-an adalah memelihara kesucian diri dan rasa malu. Kemudian yang dimaqsud dengan telanjang adalah menganggap mudah perbuatan dosa dan memperlihatkan aib kepada orang lain. Dengan demikian dilihat dari satu sisi, wanita-wanita tersebut berpakaian, tetapi dilihat dari sisi lain mereka sebenarnya telanjang.
Majmu’ Durus Fatawa al-Haram al-Makki, Juz 3, halaman 219

Antara sebab utama muslimah masih memakai pakaian yang tidak menutup aurat atau menutup aurat tetapi tidak sempurna adalah faktor kejahilan dalam tuntunan agama. Hal ini terjadi begitu meluas. Mungkin ada juga yang tahu hukum menutup aurat, tetapi mereka ini sombong seperti yang disebut oleh Rasulullah Saw. yaitu menolak kebenaran. Faktor kejahilan dan kesombongan inilah faktor terbesar bermula dan berakarnya segala macam kema’siatan yang diperbuat manusia. Sifat jahil ini menyebabkan mereka tiada rasa takut sedikit pun akan khabar ancaman dan tiada juga rasa mahu melaksanakan kebaikan, malah tiada rasa malu apabila aurat dilihat orang malah seronok pula menayangkannya.

Kerana itulah, mereka-mereka ini hanya bertudung disebabkan ia dianggap hanyalah adat kebiasaan atau hanya apabila perlu atau mengikut keadaan. Dan sekiranya bertudung pun, ia hanya sekadar ada dengan hal ketetapan syari’at tidak diambil kira. Malah lebih menjengkelkan tudung itu sendiri pun sekarang ini direkacipta untuk melebihkan fesyen, penampilan dan gaya. Maka jadilah tudung itu bahan aksesori dagangan untuk menunjuk-nunjuk kepada khalayak akan kemegahan dan kecantikan, yang dengannya terserlah setiap lurah batang tubuh pemakainya.

Lantas apa yang boleh diperbuat oleh kita yang serba dhaif ini!, insyaAllah terus sampaikan kepada mereka-mereka yang mahu mendengar, memahami dan mematuhinya akan sabdaan Nabi Saw. tercinta : “wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.”
Sungguh kalam ini bukanlah khabar ancaman biasa. Perkara ini bukan perkara enteng. Dosanya bukan hanya dosa kecil. Lihatlah ancaman Nabi Saw. di atas. Wanita seperti ini tidak akan masuk syurga malah bau syurga pun tidak akan dicium. Tidakkah takut dengan ancaman seperti ini?

Menjadi tanggungjawab semua Muslimin termasuk kita juga, untuk terus menyampaikan al haq dan peringatan kepada sesama Muslimin, menyerukan mereka kepada kebenaran. Dan kita yang biasa-biasa ini, yang serba kekurangan dan bukan alim ulama’, tetaplah jua memberikan peringatan sekadar yang termampu ya’ni pada diri kita sendiri dan kepada ahli keluarga kita terutamanya, insyaAllah. Dan kepada mereka yang alim ulama’, tunjukkan juga contoh tauladan supaya gejala kejahilan dan kesombongan itu dapat ditolak.

Sesungguhnya jilbab adalah cerminan muslimah, ia bermula dari hati nurani yang suci, ditunjukkan dengan kata-kata, perilaku dan perbuatan. Ia bukan hanya pakaian dunia tetapi manifestasi kepada iman dan taqwa yang bakal menentukan balasan syurga atau neraka. Maka, kita berharap semoga kaum muslimah kita yang dimuliakan Allah, sentiasa memperbaiki diri dan menjaga kehormatan dirinya dengan taat kepada perintah-Nya dan mereka berjilbablah mengikut syarat dan sunnah-Nya, bukan seqadar adat dan aksesori semata.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: