السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh.
“Assalamualaikum” merupakan ucapan salam dalam bahasa Arab, dan digunakan oleh seluruh umat Islam. Ucapan ini adalah sunnah Nabi Muhammad s.a.w., bagi mendekatkan ukhuwwah dan silaturrahmi Islamiyyah umat Muslim di seluruh dunia. Status hukum memberi salam ini adalah sunnat mua’kkadah, sedangkan menjawabnya adalah wajib. Sedikit pencerahan asas :
Lafaz salam membawa maksud ‘sejahtera’ atau ‘’kesejahteraan’. Memberi salam membawa maksud mendoakan kesejahteraan dari segala bencana ke atas seseorang. Dari segi bahasa Arab, sekiranya digunakan ungkapan al salam (sebutan as salam), ia merujuk kepada asma (nama) dan sifat Allah swt yaitu Yang Maha Sejahtera. Memandangkan lafaz as salam itu adalah sebahagian nama Allah swt., sebar-sebarkanlah ia diseluruh muka bumi ini. Namun, haruslah berhati-hati agar tidak diungkapkan perkataan as salam itu secara silap.
Sesungguhnya memberi salam ini memberikan hikmah amat banyak kepada ummat Islam. Perkara hikmah, adab-adabnya (suruhan serta larangan) dan persoalan salam dengan bukan Muslim tidak saya nyatakan dalam artikel ini. Mungkin dalam ketika yang lain. InsyaAllah.
Asas kepada as sunnah (perkataan, perbuatan dan persetujuan) baginda Rasulullah saw. dalam hal salam ini, adalah perintah Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim berikut :
“Apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami (Al-Qur’an) itu datang kepadamu, maka katakanlah “Salaamun’alaikum (A)”, Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih-sayang (B). (yaitu) Bahawasanya barangsiapa yang berbuat kejahatan diantara lantaran karena kejahilannya (C) kemudian dia bertaubat setelah mengerjakannya dan mengadakan perbaikan, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 54
A : bermaksud – mudah-mudahan Allah swt. melimpahkan kesejahteraan ke atas kamu
B : bermaksud – Allah swt. Telah berjanji sebagai kemurahan daripadaNya akan melimpahkan rahmat kepada makhlukNya
C : bermaksud – orang yang melakukan kejahatan kerana kurang kesedaran lantaran sangat marah atau terlalu mengikut hawa nafsu.
"…….. Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang beerti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan disisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatNya bagimu, agar kamu mengerti”.
Surah An Nur (24) : ayat 61
Baginda Nabi saw. memerintahkan ummatNya untuk memberi salam ini menerusi sabdanya dibawah :
Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw. telah bersabda: “Kamu tidak dapat memasuki Syurga kecuali bila kamu beriman. Imanmu belumlah lengkap sehingga kamu berkasih-sayang satu sama lain. Mahukah kuberitahukan kepadamu sesuatu yang jika kamu kerjakan, kamu akan menanamkan dan memperkuat kasih-sayang diantara kamu sekalian? Sebarkanlah ucapan salam satu sama lain, baik kepada yang kamu kenal mahupun yang belum kamu kenal.”
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.
Dari Abdullah bin Mas’ud ra. beliau mendengar bahawa Rasulullah saw. bersabda, “Salam adalah salah satu Asma Allah swt. yang telah Allah turunkan ke bumi, maka tebarkanlah salam. Ketika seseorang memberi salam kepada yang lain, darjatnya ditinggikan dihadapan Allah. Jika jama’ah suatu majlis tidak menjawab ucapan salamnya itu, maka makhluk yang lebih baik dari merekalah (yakni para malaikat) yang menjawab ucapan salam.”
Hadis diriwayatkan oleh imam Al Bazaar rh. dalam kitabnya al Musnad dan dishohihkan oleh imam at Thabarani h. dalam kitabnya Al Mu’jam Al Kabir.
Dari Abu Umammah ra. meriwayatkan bahwa beliau mendengar baginda Rasulullah saw. Bersabda :”Orang yang lebih dekat kepada Allah adalah yang lebih dahulu memberi Salam.”
Hadis riwayat imam Ahmad rh. imam Abu Dawud rh. dan imam At Tirmidzi rh.
Menjawab salam yang diterima adalah wajib berdasarkan hadis ini :
Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : aku mendengar Rasulullah saw. Bersabda : “Kewajiban sesorang Muslim terhadap sesama Muslim ada lima : Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantar janazah, mendatangi undangan dan mendoakan orang bersin jika ia membacakan alhamdulillah (segala puji bagi Allah)”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Terdapat perintah Allah swt. yang menuntut orang mukmin membalas penghormatan dan kebaikan yang diberikan kepada hambaNya, sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Hakiim :
“Apabila kamu dihormati dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah memperhitungkan segala sesuatu (yang kamu kerjakan)”.
Surah An Nisa’ (4) : ayat 86.
Allah swt. menceritakan juga bahawa perbuatan memberi salam ini adalah amalan perbuatan para ahli syurga sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Kabiir :
"Doa (A) mereka di dalamnya (syurga), 'SubhanakAllahumma (B) ', dan salam penghormatan mereka : 'Salam (C)', dan penutup doa mereka adalah : akhir seruan mereka : 'Alhamdulillahi rabbil a’alamin (D)".
Surah Yunus (10) : ayat 10.
A : bermaksud – puja dan puji mereka kepada Allah wt.
B : bermaksud – Maha Suci Engkau, wahai tuhan kami.
C : bermaksud – sejahtera dari segala bencana.
D : bermaksud - segala puji bagi Allah, Pencipta semesta alam
Ayat Allah swt. yang disebutkan di atas, sering digunakan dalam pengakhiran doa sekarang ini.
"dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal solih ke dalam syurga yang dibawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dengan seizin Tuhan mereka. Ucapan penghormatan mereka di dalam syurga itu ialah Salaam (A)".
Surah Ibrahim (14) : ayat 23.
A : bermaksud – sejahtera dari segala bencana
Di hari akhirat nanti, golongan mukmin dan ahli syurga yang bertemu Allah swt. akan mengucapkan salam, sepertimana firman Allah swt. di bawah :
“Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemuiNya ialah Salaam, dan Dia menyediakan pahala yang mulia kepada mereka”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 44.
Perbuatan mengucapkan salam ini adalah juga amalan para Nabi as. terdahulu sepertimana keterangan berikut :
Dari Abu Hurairah ra. adalah beliau mendengar bahawasanya Nabi saw. bersabda : “Dahulu Allah swt. telah menciptakan Adam as. yang tingginya 60 hasta (tangan kalian) kemudian berfirman: Pergilah kamu dan serilah salam kepada mereka para malaikat dan dengarkanlah bagaimana mereka menjawab salam penghormatan kepadamu dan juga salam penghormatan daripada anak keturunanmu. Maka Adam menyampaikan salam ‘As salaamu a’laikum’. Mereka menjawab ‘As salaamu a’laika warahmatullah’. Mereka menambahklan kalimat ‘warahmatullah’. Nanti setiap orang yang masuk syurga bentuknya sama seperti Adam as. dan manusia terus sahaja berkurang (tingginya) hingga sekarang”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh.
Terdapat firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Aziiz yang menunjukkan perilaku memberi salam oleh para Nabi terdahulu, sepertimana berikut :-
"Dan sesungguhnya utusan-utusan kami (malaikat-malaikat) telah datang kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, mereka mengucapkan Salaaman (selamat). Ibrahim menjawab, Salaamun (Selamatlah), maka tidak lama kemudian Ibrahim menyuguhkan daging anak sapi yang dipanggang”.
Surah Hud (11) : ayat 69.
"Berkata Ibrahim : 'Salaamun alaika (semoga kesejahteraan dilimpahkan kepadamu)', Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Penciptaku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku”.
Surah Maryam (19) : ayat 47. Ini adalah ayat dialog Nabi Ibrahim as. dengan ayahnya.
Di dalam Surah Al An’aam (6) : ayat 54 di atas, adalah jelas bahawa Allah swt. telah menetapkan penggunaan perkataan “Salaamun’alaikum” sebagai lafaz atau seruan salam. Oleh itu, lafaz ini boleh digunakan untuk memberikan salam. Namun, terdapat lafaz lain yang digunakan oleh para sahabat ra. dan diperakui oleh baginda Rasulullah saw. sepertimana hadis di bawah :
Dari Ibnu Jarir ra. dan Ibnu Abi Hathim ra. mereka menceritakan : Suatu hari ketika Rasulullah saw. sedang duduk bersama para sahabatnya, seseorang datang dan mengucapkan, “Assalaamu’alaikum.” Maka Rasulullah saw. pun membalas dengan ucapan “Wa’alaikum salaam wa rahmah”. Orang kedua datang dengan mengucapkan “Assalaamu’alikum wa rahmatullah” Maka Rasulullah membalas dengan, “Wa’alaikum salaam wa rahmatullah wabarakatuh”. Ketika orang ketiga datang dan mengucapkan “Assalaamu’alikum wa rahmatullah wabarakatuhu.” Rasulullah SAW menjawab: ”Wa’alaika”.
Orang yang ketiga pun terperanjat dan bertanya, namun tetap dengan kerendah-hatian, “Wahai Rasulullah, ketika mereka mengucapkan Salam yang ringkas kepadamu, Engkau membalas dengan Salam yang lebih baik kalimatnya. Sedangkan aku memberi Salam yang lengkap kepadamu, aku terkejut, Engkau membalasku dengan sangat singkat hanya dengan wa’alaika.” Rasulullah SAW menjawab, “Engkau sama sekali tidak menyisakan ruang bagiku untuk yang lebih baik. Kerana itulah aku membalasmu dengan ucapan yang sama sebagaimana yang di khabarkan Allah didalam Al-Qur’an (Surah An Nisa’ (4) : ayat 86)”.
Mengikut keterangan yang dinyatakan di atas, sebutan lafaz memberi salam mempunyai 4 frasa manakala jawabnya mempunyai 3 frasa sepertimana yang diamalkan oleh Nabi saw. dan para sahabatnya. Maka boleh mengguna pakai mana-mana satu frasa yang dinyatakan itu.
Bagaimanapun, ingin saya peringatkan bahawa, tambahan lafaz “ta’ala” dalam memberi dan menjawab salam, langsung tiada keterangannya. Sepanjang pengajian dan rujukan saya, tidak pernah ditemui keterangan adanya lafaz “ta’ala” itu dalam ucapan salam. Perkara yang tiada contoh syara’ ini, mestilah ditinggalkan. Oleh itu, janganlah diamalkan.
Berdasarkan keterangan yang dinyatakan diatas, telah jelas dan terang lafaz bagi memberi dan menjawab salam telah ditunjukkan oleh Allah swt. dan Rasul-Nya. Maka itu, jangan sekali-kali disebut lafaz yang lain seperti semekom, akum, askum, salam dan berbagai lagi yang lafaz yang tidak pernah diajar dan dicontohkan. Sesungguhnya, lafaz salaam ini kalaupun dihukumkan sunnat muakkadah sahaja, mestilah diucapkan mengikut ketetapan Allah swt dan Rasul-Nya. Tidaklah boleh ia dibuat sesuka hati dan dijadikan bahan senda gurau.
Sekarang ini, timbul persoalan berkenaan sikap banyak orang yang suka meringkaskan penulisan lafaz salam itu. Dan ia kini menjadi polemic. Isu yang paling sering dibangkitkan adalah ia membawa makna yang lain, bukan maksud salam, malah ada yang membawa maksud yang buruk-buruk dan hina. Beberapa kali juga saya ditanya berkenaan hal ini. Dalam beberapa kuliah juga saya ditanya dan maklumbalas saya adalah begini.
1. Tiada kompromi bahawa lafaz memberi salam dan menjawab itu, apabila disebutkan, mestilah ia dengan jelas sepertimana ditetapkan oleh ayat Al Qur’an dan hadis-hadis shohih dari Rasul-Nya.
Saya tiada halangan ke atas meringkaskan tulisan kerana,
2. Secara penulisan, adalah biasa dilakukan ringkasan sepertimana dilakukan ke atas ra. (Rodhiallahu anhu), swt. (Subhnahu Wa Ta’ala), saw. (Solallahu alaihi wassalam), rh. (Rohimahullah), as. (A’laihissalam) dan beberapa lagi. Dalam berbahasa, harus difahami bahawa, terdapat perbezaan amat jelas antara sebutan (makhraj), makna (maqasid) dan tulisan (harf). Kerana itu wujudnya disiplin ilmu Translation & Interpretation yang bergerak sekaligus.
3. Kalaupun ia diringkaskan, maqasidnya adalah juga tetap sama dan difahami. Sama juga dengan niat dan maksud, bagi ringkasan yang dibuat ke atas perkara-perkara lain. Saya bersangka baik bahawa, niat penulis ringkasan itu bermaksud memberi salam, tiada niat selainnya. Ia difahami oleh pemberi dan penerima.
4. Pernah berlaku perbalahan tentang ringkasan ‘saw’ yang dikata sebahagian orang bermaksud ‘gergaji’ (English). Padahal dalam kitab-kitab dan penulisan English pun, mereka gunakan ringkasan ‘pbuh’ dari asal ‘peace be upon him’. Adalah menjengkelkan sekiranya, perkataan ringkas diberimaknakan mengikut bahasa dan budaya lain. Ini kerana ta’rif dan maqasidnya tentu sekali berbeza. Ayat ringkas saya, fahami teks (tersurat) betul-betul dan fahami konteks (tersirat) juga betul-betul. Ia dua perkara tidak sama.
5. Namun begitu, sekiranya jelas diketahui bahawa ringkasan itu membawa maksud lain seumpama menyerupai maksud perkataan lain yang tidak baik, mesti ia ditinggalkan. Sebagai contoh AKUM yang bermaksud binatang hina dalam Bahasa Ibrani. Namun begitu, sekiranya mahu diambil makna secara penuh perkataan itu, bukan maqasid ringkasan asalnya, baiklah dilanjutkan juga hasrat itu ke perkataan lain yang memberi maksud berbeza (dalam bahasa dan budaya lain). Itu lebih adil.
Kecelaruan juga timbul akibat tiada tarjih dan ijma’ ke atas kata ringkas yang boleh digunakan. Kerana itu wujud inconsistency dalam penggunaannya dan timbul bermacam perkataan dan kelihatan lucu. Untuk itu, saya cadangkan supaya menggunakan perkataan ‘Salaam’ sebagai ringkasan, kerana lafaz ini adalah digunakan oleh Allah swt. sendiri didalam KitabNya (seperti petikan di atas) dan disepakati oleh semua fuqaha dan mufassirin sama ada salaf atau khalaf yang ia bermaksud “mudah-mudahan Allah swt. melimpahkan kesejahteraan ke atas kamu”.
Ataupun, sekiranya masih dok bergaduh dan menghukum itu ini disebabkan perkataan ringkasan itu, tak buat pun tak apa (ia sunnat sahaja), itu lebih baik daripada buat dan menjadi masalah pula. Yang jelas, rupa-rupanya dalam perkara kecil dan semudah ini pun, kita tak boleh nak berpakat, apatah pula dengan hal lebih besar?
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan