Khamis, 4 November 2010

MY SIDE OF MERDEKA (2010)

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته 
 
Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.


Muqaddimah Kata, Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut Merdeka dalam kemuliaaan syahri Ramadhan. Seingat saya, ini adalah kali ke3 dalam tempoh 40 tahun hidup saya.
 
Merdeka yang kita sambut ini adalah bebasnya negara kita dari penjajahan totalitarian British yang mana, pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, telah bertukarnya teraju pemerintahan daripada Pesuruhjaya Tinggi Kerajaan British kepada Perdana Menteri, mewakili kerajaan yang digerakkan oleh anak-anak watan sendiri. Hari dimana Union Jack diturunkan dan ditukarganti bendera Persekutuan Tanah Melayu (kini Jalur Gemilang) dikibarkan. Perlembagaan negara yang digunapakai sekarang adalah hasil jawatankuasa yang diketuai Lord Reid (bermula 1955). Seterusnya pewujudan negara Malaysia pada 16 September 1963 dengan penyertaan Sabah dan Sarawak, setelah usainya referendum Suruhanjaya Cobbold (bermula 1961).
 
Manifestasi Merdeka, ekoran kemerdekaan itu telah tertonjollah beberapa perkara asas yang diamalkan sebagai menifestasi kepada hasil merdeka itu,
 
1.      Pemerintahan dijalankan dan digerakkan oleh rakyat sendiri. Tetap jua, secara tanpa sedar atau memang dirancang, pemerintah itu diterajui oleh sekumpulan aristokrat dari dahulu hingga sekarang. Malah trend semasa, aristokrat itu telah berubah menjadi feudal pula, yaitu mengikut keturunan.

2.      Hakikat yang terpaksa diterima oleh orang Melayu Islam dari kemerdekaan ini adalah, hilangnya hegemoni hak ke atas Tanah Melayu yang mana, golongan pendatang diterima sebagai rakyat biasa dengan kad pengenalan biru. Dalam kata lain, golongan pendatang mendapat hak yang sama.
 
3.      Yang berubah adalah orang yang menerajuinya, bukan semangat, jiwa atau paradigmnya yang hakikatnya tetap sama. Kerana itu tidak hairanlah, kalau kiblat kita dalam terlalu banyak perkara, tetap kepada UK biarpun dalam hal-hal pentadbiran negara sehingga kini.
 
4.     Menerimapakai, menghayati dan mempercayai doktrin atau falsafah ciptaan manusia iaitu ideologi kesamarataan (Liberalisme) yang diterjemahkan sebagai Demokrasi (sistem politik) dan Kapitalisme (ekonomi Laissez Faire), dalam erti kata lain menjadi sebuah negara Sekular (memisahkan hal agama dengan pentadbiran) sebagai tonggak dasar dan amalan negara.
 
5.     Meneruskan tradisi penjajah menjadikan Raja-Raja sebagai lambang boneka tanpa kuasa dan hanya “bertindak mengikut nasihat”, juga menjadikan hal Ehwal Agama Islam sebagai undang-undang kelas 2.
 
6.     Yang paling dahsyat hebatnya, adalah kejayaan seiring Kerajaan Penjajah dan Kerajaan anak watan ini sendiri, dalam hal mengekalkan kecemerlangan manusia Melayu Islam, sebagai juara dalam hal papa kedana berbanding bangsa lain dari dulu, kini dan selamanya.
 
Intipati Merdeka, adalah suatu kebebasan menyeluruh (holistic)
1.  Jasmaniyah : bebas untuk bersuara, memilih atau menolak, bertindak dan berperilaku tanpa sebarang sekatan, paksaan dan kawalan oleh individu/sekumpulan individu lain. Bebas untuk menggerak dan menjalankan apa jua hasrat dan amalan hidup sendiri tanpa belenggu larangan atau pengaruh orang lain. Dalam konteks negara, bebas untuk mengurustadbir negara dan menjaga kedaulatannya, mengikut acuan, keupayaan dan kemahuan kita sendiri, tanpa sebarang pengaruh/tunjukan secara langsung atau tidak langsung oleh kuasa/negara lain.
 
2.  Rohaniyah : bebas melaksanakan dan mengamalkan fahaman, ideologi, isme dan sistem kepercayaan sendiri (ritual dan spiritual) tanpa disekat dan dihalang. Kerana itu, manifestasi dari merdeka itu adalah minda dan jiwa yang luhur dan lurus kepada kebenaran bersandarkan kepada fakta dan hujjah, berteraskan kepada fahaman yang benar. Bukannya fakta dan jiwa yang dicedok dari fahaman asing diiringi rasa ria’, hasad dan hasrat menguasai, seterusnya sarat dengan pengaruh kesesatan.
 
Persoalan, sudah merdekakah kita atau, setahap mana telah kita merdeka? Mudah-mudahan masa akan memberi ruang kepada kita menjawabnya.
 
Di bulan mulia ini, ingin saya terangkan sedikit, secara ringkas tentang manifestasi merdeka pada diri seorang Muslim, untuk panduan kita bersama. Merdeka yang saya maqsudkan adalah hak penuh untuk melaksanakan peranan kita sebagai seorang Muslim tanpa pedulikan apa pun halangan. Ringkasannya begini,
 
Memasuki dan Menerima Islam dengan yaqin sebagai sesatunya Ad-Din, yang menjamin kebahagiaan, kemuliaan dan kemenangan dan menerapkannya dalam kehidupan, baik secara individu mahupun masyarakat. Akan menolak apa-apa jua yang lain dari Islam.
  
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Kabiir,
 
“dan Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman diantaramu dan mengerjakan amal-amal sholih bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dibumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan merubah (keadaan) mereka, setelah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka (tetap) beribadah kepadaKu dengan tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir setelah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq”.
Surah An Nur (24) : ayat 55.
 
Mendahulukan dan Meninggikan al Islam (yaitu Alllah swt dan RasulNya) dalam semua urusan melepasi semua bentuk peraturan, fahaman, isme, sistem dan ideologi ciptaan manusia.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbar,
“sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab, kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitunganNya”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 19.
 
“Dia-lah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang benar untuk diunggulkan atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.
Surah At Taubah (9) : ayat 33.

Tunduk dan Patuh sepenuhnya kepada Allah swt. dan RasulNya, bukan kepada selainNya, selaras dengan apa yang dituntut oleh Kalimah Toyyibah (2 kalimat syahadat), hanya beribadah kepada Allah swt. mengamalkan syariat-syariatNya, beriman denganNya, dan yaqin bahawa hal itu adalah sebenar-benarnya.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim,
 
“dan barangsiapa berserah diri kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada tali yang kukuh. Hanya kepada Allah-lah kesudahan segala urusan”.
Surah Luqman (31) : ayat 22.
 
Sabda Rasulullah saw.
“dari Muadz bin Jabal ra., ia berkata, telah berkata Nabi saw. : Tidaklah seseorang bersaksi bahawa tidak ada ilah (sesembahan) yang berhak diibadahi dengan benar selain Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, dengan jujur dari hatinya, melainkan Allah mengharamkannya masuk neraka”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. Dan imam Muslim rh.
 
Meninggalkan Larangan, yang ditetapkan oleh Allah swt. dan RasulNya sekalipun perbuatan-perbuatan itu tidak dikatakan salah dalam peraturan manusia. Dan berusaha sebaik mungkin dari melakukan perkara yang dilarang dan dosa.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hamiid,
 
“dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul kepada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), `Beribadalah kepada Allah sahaja dan jauhilah taghut`. Kemudian diantara mereka ada yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula dikalangan  mereka yang tetap dalam kesesatan. Maka berjalanlah kamu dimuka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan oarang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).
Surah An Nahl (16) : ayat 36.

Melaksanakan Sepenuhnya, peraturan dan hukum hakam Islam. Pada hemat saya, merdeka sebagai Muslim itu adalah kita boleh melaksanakan sepenuhnya syariat Islam dalam kehidupan kita. Bukan mengambil sebahagian sahaja dan meninggalkan sebahagian yang lain.
 
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Majiid,
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam keseluruhan (dengan mematuhi segala hukum-hukumnya); dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 208

Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk insan lebih baik sempena ramadhan yang Barokah ini.
Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


0 ulasan: