Jumaat, 26 Oktober 2012

Soal Jawab Ibadah Korban ( Siri 5 )

0 ulasan

Soal Jawab Ibadah Korban (siri 5)

From: mohdpoziatan@yahoo.com
Sent: Thursday, October 4, 2012 22:37 PM
Subject: Larangan Potong Kuku Apabila Membuat Korban

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Tuan syeikh, moga anta dalam sihat-sihat sentiasa dan tenang selalu. Hasratnya kali ni nak tanya satu hal berkenaan ibadah korban juga.

Ana dan beberapa rakan ditempat kerja ada berbincang dan bertukar fikiran mengenai ibadah koban. Antara yang disebutkan adalah tidak boleh bercukur dan memotong kuku selama 3 hari apabila mahu membuat korban. Pantang itu hanya boleh clear setelah lembu disembelih. Tapi ada yang kata hanya tukang sembelih sahaja yang disuruh buat begitu.

Harap dapat anta berikan mafhum sebenarnya.

Terlebih dahulu syukran.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan artikel jawaban ini.

Saya dapati ceritera yang tuan kisahkan itu berasas dari hadis ini :

“Dari Sa’id bin Al Musayyab Rhu. dari Ummu Salamah Rha. bahawasanya Nabi Saw. bersabda :  Apabila telah masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah) dan seseorang itu memiliki haiwan sembelihan yang hendak (telah berniyat) dijadikan ibadah qurban, maka janganlah sesekali dia mengambil  (memotong) bulu dan kukunya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 5090. Juga diriwayatkan oleh imam Abu Daud rh. imam Tarmidzi rh. imam Nasa’ie rh. dan imam Ibnu Majah rh.

Nota : Imam Muslim rh. meriwayatkan 6 hadis sahih dari beberapa jalur rawi dalam bab ini, dengan matan yang sama maqsudnya.  

Imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. menjelaskan : Para ulama' berbeza pendapat tentang hukum hadis ini, Imam Ahmad rh. dan sebahagian ulama' Syafi’e mengatakan haram perbuatan menghilangkan bulu dan kuku tadi, tetapi Imam Syafi’e rh. dan ulama'nya yang lain mengatakan ia adalah makruh tanzih (iaitu makruh yang sangat besar dan hampir sangat kepada haram). Imam Malik rh. dalam suatu riwayat menyatakan makruh dan dalam suatu riwayat yang lain menyatakan : diharamkan pada sembelihan sunnat dan bukan pada sembelihan wajib.
Syarah Sahih Muslim, Jilid 9, halaman 572-573.

Matan hadis sahih ini jelas menyebut perintah hukum ke atas orang yang membuat qurban, bukannya orang yang menyembelih dan ia melibatkan larangan dalam tempoh 10 hari awal Zulhijjah, bukannya 3 hari sahaja. Adalah benar pantang larang itu terlepas selepas mengerjakan Solat I’ed dan binatang qurban itu telah disembelih.

Sekalipun tiada kesepakatan di kalangan ulama’ dan fuqaha’ dalam menetapkan status hukum larangan sebenar sama ada ia haram atau makruh sahaja ke atas hadis sahih ini, namun matannya yang bersifat perintah adalah jelas, dan tiada satu pun ulama’ muktabar yang memutuskan bahawa hadis ini tidak perlu dipatuhi. Maka sebaik-baiknya adalah melakukan sepertimana yang ditetapkan oleh Rasulullah tersebut lantaran itulah lafaz perintah yang soreh dan qoti’e. Kepada sesiapa yang mahu membuat qurban, lakukan persediaan pada awal lagi untuk menghadapi larangan ini.

Seharusnya kita sedar dan insaf, terlalu banyak perkara suruhan dan larangan langsung dari Nabi Saw. yang diabaikan pun selama ini, maka hal sekelumit ini sewajibnya dipatuhi. Tidak sepatutnya sama sekali perkara perbahasan tentang status sebenar hukumnya menjadi alasan untuk tidak mahu mematuhinya. Lantaran itu, saya ingin berpesan kepada tuan malah terutamanya kepada diri saya sendiri mengenai perintah Allah Swt. :

“Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (darinya).”
Surah Al A’raf (7) : ayat 3

“Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”
Surah Al Hasyr (59) : ayat 7

Apa jua perintah Nabi Saw. (sama ada suruhan atau pun larangan) adalah untuk diikuti dan dipatuhi bukannya untuk dihujjah dan dipertikaikan. Bersama-samalah kita berdoa semoga kita dipilih oleh Allah Swt. untuk termasuk ke dalam golongan mereka yang berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Wassalam.

From: prtdi@yahoo.com
Sent: Saturday, October 6, 2012 11:02 AM
Subject: Larangan Potong Kuku Apabila Membuat Korban

بسم الله الرحمن الرحيم

Syukran syeikh atas jawapan tu. InsyaAllah saya dapat faham maksudnya. Sekadar nak tanya lebih sikit lagi supaya jelas dan faham. Selalunya sekarang ni, orang tercari-cari 7 orang nak kongsi lembu ka, kerbau ka, sampai last minit baru dapat, kadang-kadang lagi 3 atau 4 hari baru dapat cukup geng. Maklum lah, nak confirm awal pun rezeki tak menentu, hujung-hujung baru ada dan boleh buat lah.

Jadi macam mana dengan pantang larang ni, dah tak cukup 10 hari. Maka nak kena buat juga ka atau dah tak payah ikut tapi boleh buat korban. Hal ini pernah terjadi kepada saya sendiri tapi masa tu tak tau pun ada pantang larang macam ni. Terus terang saja, saya tak ikut pun pantang larang ni fasal tak tahu. Selalunya bayar saja dan yang lain-lain hal tak ambil tahu lagi dah.

Harap dapatlah jawapan yang meyakinkan, insyaAllah.

Wassalam  

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Terima kasih lah Tuan Ibrahim atas kebiasaan memberikan soalan yang pelik-pelik tapi munasabah. Bagus juga ada soalan sebegini yang sesuai dengan situasi semasa (waqi’ dan mu’asirah) biar pun memang membuatkan saya pening dan terkial-kial nak menjawabnya. Nak memberikan jawaban “yang meyaqinkan” sepertimana Tuan minta pun sudah amat meletihkan. Paling saya suka adalah sifat tuan yang berterus terang.

Saya telah sedaya mampu menyemak bagi mendapatkan ta’liq dalam hal sebegini dari para ulama’ dan fuqaha’ muktabar terdahulu, tetapi tidak saya temui perbahasannya. Maka benarlah saya memang terkial-kial nak memberi jawaban “yang meyaqinkan”. Demikianlah saya yang serba dhaif dan kekurangan ini. Apa yang diputuskan nanti sekadar panduan sahaja dan baik sekali tuan merujuk kepada ilmuwan lain yang lebih faqih dan hebat bagi mendapatkan jawaban “yang lebih meyaqinkan”.

Hadis tersebut di atas dengan jelas memberikan syarat :
1.            Apabila telah masuk sepuluh hari (awal bulan Zulhijjah)
2.            Memiliki haiwan sembelihan
3.            Yang hendak (telah berniyat) dijadikan ibadah qurban

Hal-hal selain dari 3 syarat yang dinyatakan atau kekurangan salah satunya, tiada perlu diambilkira. Bagi kes tuan, kalau pun kurang dari 10 hari, tetap jua ia termasuk di dalam tempoh 10 hari itu dan 2 syarat lain telah dilengkapkan. Maka, perintah Nabi Saw. itu tetap jua berkuatkuasa bermula dari masa 3 syarat itu dilengkapi, dan lakukan persediaan pada awal lagi untuk menghadapi larangan ini.

Sedikit ulasan berkenaan : Selalunya bayar saja dan yang lain-lain hal tak ambil tahu lagi dah. Adalah benar sifat begini sudah pun menjadi waqi’ dan mu’asirah juga. Sudah semakin banyak yang menganggap selepas membayar selesailah ibadah qurbannya. Walhal ibadah qurban bukanlah terhenti setakat itu sahaja. Sepatutnya difahami benar segala dalil dan nas pensyari’atannya, dipenuhi segala hikmah perlaksanaannya, dilaksana segala syia’r-syi’arnya (menyembelih, terlibat bersama mengurusi, mengagihkan daging, berkenduri dsb.). Cubalah sedaya upaya untuk terlibat sama sekali pun dengan sekecil-kecil peranan dalam perlaksanaan ibadah qurban itu, kerana dengan cara itu akan terpancarlah segala hikmah dan terlaksanalah segala syi’arnya, bukan hanya sekadar membayar kosnya.

Mudah-mudahan jawaban ini “yang meyaqinkan”.

Wassalam.

From: Abdul Razak b. Muhamed
To:
Sent: Friday, October 19, 2012 7:05 AM
Subject: Amalan Zulhijjah dan Solat Semoga Roh Senang Keluar Bila Sakaratul Maut

Assalam tuan sheikh...

Nak tanya pasal puasa sunat Zulhijjah ni. Mesti kena buat ka dalam 1-9 Zulhijjah?
Aku buat 1 Zulhijjah, Rabu. Tapi semalam demam. Tak larat nak buat. Hari ni cadang nak puasa. Tapi esok tak tau dapat buat ke dak... Macamana tu?

Boleh tolong cek sohih ka solat ni? Memang ada ka nabi or para sahabat amalkan ka? Didapati dari satu sumber hukum hakam solat nih.

Allah Swt berfirman : “Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat pada saat orang-orang zhalim berada dalam tekanan sakaratul maut” ( Al-an’am 93 )

Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya semua manusia pasti mengalami sakaratul maut. Dan sesungguhnya sendi-sendi tulangnya, masing-masing mengucapkan salam perpisahan kepada yang lain seraya berkata, “Semoga kamu sejahtera. Kamu berpisah dariku, dan aku pun berpisah darimu sampai hari kiamat.”(dikeluarkan oleh Said bin Mansur ).

Sesungguhnya sakaratul maut adalah perkara yang sangat menyakitkan. Lebih sakit daripada dipenggal dengan pedang, atau digergaji dengan gergaji atau digunting dengan gunting. Subahanallah, walhamdulillah wa lailahaillallah wawllahuakbar walahaula walaquwata illabillahil ngaliyil ngadzim.

Cara melaksanakan solat:

Dilaksanakan solat ini selepas Fardu Maghrib pada malam jumaat, disunatkan mendirikan solat sunat dua rakaat meminta Allah SWT agar dipermudahkan roh keluar sewaktu sakaratul maut. 

Tq sheikh...Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Wa’alaika syeh, terima kasih atas soalan. Lama kita tak jumpa dan hanya berterusan silaturrahim menerusi email saja.

Pensyari’atan Kelebihan 10 hari Awal Zulhijjah

Di antara kelebihan dan kurniaan Allah Swt. untuk hamba-Nya ialah dijadikan bagi mereka beberapa musim untuk memperbanyakkan amal ibadah dengan dijanjikan pahala yang berganda banyaknya.

Salah satunya ialah : Sepuluh (10) hari yang terawal pada setiap bulan Zulhijjah.

Beberapa dalil dari Al-Quran dan Hadis telah menyebut tentang kelebihannya :

1. Firman Allah Swt.
] وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْر[  [سورة الفجر: 1-2]
“Demi fajar dan malam yang sepuluh”. (Surah Al-Fajr : ayat 1-2)

Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. menyatakan : Yang dimaksudkan di sini ialah sepuluh malam yang pertama pada bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. [HR: Imam Bukhari].

2. Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu.,bahawasanya  Rasulullah Saw. telah bersabda :

((مَا مِنْ أَيَّامٍ، الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ  -يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ- قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟ قَالَ: وَلا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، إِلا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ)).
[رواه اأحمد 1968، والترمذي 757، واللفظ له].
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini.” Para sahabat bertanya: Walaupun berjihad di jalan Allah? Rasulullah bersabda: “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar (berjihad) membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. dan imam  At Tarmidzi rh.

Adalah Said bin Jubir rh. (perawi yang meriwayatkan Hadis Ibnu Abbas di atas) apabila tiba hari yang tersebut beliau beribadat bersungguh-sungguh sedaya-upayanya.

3. Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :

((مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللهِ، وَلا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ الْعَشْرِ،
فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ)) [رواه أحمد 5446-صحيح]
“Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah Swt.  dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
Hadis hasan riwayat imam Ad-Darimy rh.

Amalan Yang Baik Dilakukan Pada Hari-Hari Tersebut

1.            Solat Sunnat
Disunatkan keluar cepat menuju ke tempat solat fardhu (berjamaah) dan memperbanyakkan solat sunnat dalam tempoh ini kerana ianya sebaik-baik amalan.

“Dari Tsauban Rhu. ia berkata : Aku mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana setiap kali kamu sujud kepada-Nya, Allah akan angkatkan darjatmu kepada-Nya dan dihapuskan kesalahanmu.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Hadis ini menjelaskan keutamaan melakukan solat sunnat, secara umum untuk semua waqtu termasuklah ketika 10 hari awwal Zulhijjah.

2.            Puasa Sunnat
Berpuasa ini sangat digalakkan lantaran ia juga termasuk di dalam amalan soleh.

“Dari Hunaidah bin Khalid Rhu., dari isterinya, dari setengah isteri-isteri Rasulullah berkata : Rasulullah Saw. berpuasa pada hari sembilan Zulhijjah, pada hari Asyura (10 Muharram) dan tiga hari pada setiap bulan.”
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh., imam Abu Daud rh. dan imam Nasa’ie rh.

Hadis ini menjelaskan dengan khusus amalan berpuasa pada hari 9 Zulhijjah dan pada mana-mana 3 hari yang awalnya.  Malah boleh juga dilakukan puasa sunnat pada setiap hari Isnin dan Khamis dalam tempoh itu, ini berdasarkan satu hadis yang lain.

Telah berkata imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. dalam Syarah Sahih Muslim, Jilid 5, halaman 773-777 : Dari Ummul Mukminin Aisyah Rha. bahawa Nabi Saw. biasa berpuasa 3 hari pada setiap bulannya dan Baginda tidak pernah memperdulikan hari apa pun di setiap bulan untuk berpuasa. Juga menyebutkan : Berpuasa pada hari-hari sepuluh adalah sunnat yang sangat digalakkan.

3.    Puasa pada Hari Arafah
Secara spesifik puasa ini mempunyai kelebihannya. Hendaklah berpuasa bagi sesiapa yang mampu pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana amalan ini telah sabit dari Rasulullah Saw. sendiri. Baginda telah bersabda mengenai kelebihannya.

((صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ)) [رواه مسلم]
“Aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Peringatan : Amalan puasa Arafah ini hanyalah disunnatkan untuk orang  yang tidak mengerjakan haji sahaja. Tetapi bagi jamaah haji yang sedang berwuquf di Arafah, tidak disunnatkan berpuasa kerana baginda Rasulullah Saw. tidak berpuasa sewaktu Baginda wuquf di Arafah, yaitu pada tahun Baginda mengerjakan haji.

Oleh yang demikian, bolehlah tuan berpuasa sunnat pada hari-hari yang dinyatakan dan sentiasa melakukan amalan soleh yang lain dalam tempoh 10 hari awal Zulhijjah, dan seterusnya berterusan pada waqtu-waqtu yang lain, lantaran amalan soleh ini tidak terhad dalam tempoh itu sahaja..  

Solat Sunnat Memudahkan Sakaratul Maut

Pernyataan ini : Dilaksanakan solat ini selepas Fardu Maghrib pada malam Jumaat, disunatkan mendirikan solat sunat dua rakaat meminta Allah SWT agar dipermudahkan roh keluar sewaktu sakaratul maut. 

Ini adalah satu pernyataan penetapan hukum dalam ibadah solat yang jelas menyatakan bila masa ia diperlakukan, kaifiyatnya dan maqasidnya. Orang yang membuat da’waan ini diwajibkan atasnya memberikan keterangan ke atas pernyataannya, lantaran hukum dan kaifiyat solat ini datangnya dari Allah Swt. dan ditunjuki oleh rasulNya, bukannya boleh dibuat sendiri.

Saya tidak pernah sama sekali menemui dalil dan nas kepada hukum ini, mahu pun mendengar tentangnya malah tidak juga pernah diajar sebarang bentuk amalan solat sebegini. Sepanjang rujukan saya dalam banyak kitab fiqh solat, hukum solat sebegini memang tidak ada.  Lantaran itu, saya menyeru sewajibnya amalan ini ditinggalkan sehinggalah didatangkan dalil dan nas yang sahih, soreh dan qot’ie ke atasnya.

Bersamalah diingati : Asas paling dasar adalah melakukan sesuatu amal ibadah mesti dengan ilmu. Ini berdasarkan kalamullah di dalam Al Qur’an ul Hakiim :

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab”.
Surah Al Isra’ (17) : ayat 36

Adalah penting bagi kita untuk benar-benar memahami kaedah asas ini agar kita tidak melakukan amalan yang sia-sia kerana ia tidak diterima Allah, malah melakukan dosa pula kerana merekacipta/menambah sesuatu yang baru pula kepada Agama Allah Swt. seolah-olah Islam ini tidak lengkap dan boleh diubah-ubah lagi.

Tambahan pula, Rasulullah Saw. ialah pemberi contoh amalan solat terbaik kepada seluruh umat Islam. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah Swt. :

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 21

Dan Baginda Saw. sendiri menyebutkan :

“Dari Malik bin Al Huwairits Rhu., dia menceritakan : …(sebuah hadis panjang)……. dan bersolatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Bab Solat, no. 82

Oleh itu, sewajarnyanya difahami benar-benar oleh setiap Muslimin bahawa dalam rangka melaksanakan ibadah solat, tiadalah lain sewajibnya kita berusaha sedaya upaya mencontohi sunnah Baginda Saw. Lantaran ibadah solat itu adalah perintah langsung dari Allah Azzawajalla dan ditunjukkan tatacara amalannya oleh Nabi Saw. sendiri, yang cukup lengkap dan sempurna, sehingga tidak melayakkan waima sesiapa pun untuk menambah atau menguranginya biar sedikit pun.

Sekiranya ada dalilnya yang sahih, soreh dan qat’ie, saya pun akan turut membuatnya. Boleh saja tuan dapatkan keterangan dari pihak ilmuwan dan ulama’ lain, yang lebih faqih berbanding saya, lantaran mungkin sahaja saya yang serba dhaif dan kekurangan ini terlepas pandang dan tidak mengetahui adanya hukum solat sebegini. Semoga saya telah menjawab persoalan tuan.

Wassalam.

والله تعالى أعلم  ,  وصلى الله وسلم على نبينا محمد، وعلى آله وأصحابه أجمعين.

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: