Jumaat, 12 Oktober 2012

Soal Jawab Faraaid ( Bhg 3)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya.InsyaAllah. Saya memohon  perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Bersama ini saya sertakan soal jawab berkenaan hal faraaid yang diajukan kepada saya menerusi email oleh beberapa orang yang tidak saya kenali pun sebenarnya. Namun atas dasar persaudaraan dan tanggungjawab sesama Muslimin, saya memberikan maklumbalas dengan harapan moga-moga akan dapat membantu mereka, insyaAllah. Saya siarkan disini untuk manfaat ilmiyah bersama. Butiran penanya saya tutupi kerana melibatkan hal peribadi.

----- Forwarded Message -----
From: Nurul Asyikin
To: edd_zahir@yahoo.com
Sent: Tuesday, August 28, 2012 4:55 PM
Subject: Warisan Tanah Pusaka

Segala puji bagi Allah Swt. Solawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, sahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh. 

Saya juga ingin bertanya, Arwah Datuk saya ada tanah kampung. Datuk saya berkongsi sama 2/3 dengan kakak atuk di atas tanah itu. Datuk saya dengan Kakaknya tidak pernah menukar tanah itu ke nama anak-anak mereka sehinggalah Datuk & Kakak Atuk meninggal dunia sekarang.

Datuk meninggalkan balu, 5 anak lelaki (seorang dh meninggal dunia) dan 5 anak perempuan. Kakak datuk pula meninggalkan 2 balu, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Sekarang nenek saya sedang usaha untuk buat pecah kuasa atas tanah itu, kerana dia pun sudah sakit-sakit, tapi DO mintak pecah kuasa dengan melibatkan semua waris-waris dulu dan kos kami tak boleh nak tanggung sendiri serta semua waris kena setuju pula.

Bagaimana Nenek saya perlu lakukan untuk menukar nama geran tanah tersebut. 1/3 dari tanah tersebut nenek saya sudah dirikan rumah. Nenek saya buntu sebab nama geran tanah tersebut masih atas nama suaminya serta kakak iparnya. Kerana takut terjadi apa2 Nenek saya ingin letakkan nama anak-anaknya pada geran tersebut bagaimana dengan anak-anak kakak datuk saya?

Nak minta nasihat tentang pembahagian ikut hukum syara' serta macam mana dengan proses pecah kuasa itu mengikut undang-undang tanah. Jasa baik ustaz sangat dihargai dan diperlukan. Moga Allah merahmati.

Wassalam

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kerana hubungi saya kalau pun saya memang tidak kenali Puan penanya, namun InsyaAllah, saya akan membantu setakat yang mampu.

Berdasarkan penceritaan Puan, tanah tersebut adalah milikan bersama arwah Datuk (2/3 bahagian) dengan arwah Kakak beliau (1/3 bahagian). Ini menepati dasar pembahagian Lelaki 2 bahagian dan Wanita 1 bahagian. Lantaran itu, nama keduanya tertera di atas suratan hakmilik tanah (geran) lengkap dengan bahagian masing-masing.

Pembahagian harta peninggalan (pusaka) Datuk mengikut hukum Faraaid Islam kepada para warisnya yang sah adalah seperti berikut :

Isteri (Nenek) :          1 / 8 bahagian                                  15

Seterusnya, 7 / 8 bahagian lagi dikongsi dan dibahagi sesama anak-anak (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian)

Lelaki 1 :                                14 / 105                                  14
Lelaki 2 :                                14 / 105                                  14
Lelaki 3 :                                14 / 105                                  14
Lelaki 4 :                                14 / 105                                  14
Lelaki 5 :                                14 / 105                                  14
Perempuan 1 :                        7 / 105                                    7
Perempuan 2 :                        7 / 105                                    7
Perempuan 3 :                        7 / 105                                    7
Perempuan 4 :                        7 / 105                                    7
Perempuan 5 :                        7 / 105                                    7
----------------------
Jumlah Bahagian :  120

Bagi kes salah seorang anak Lelaki yang telah meninggal dunia, hak beliau sebanyak 14 / 120 bahagian itu hendaklah pula dibahagikan mengikut cara berikut :

A.   Sekiranya beliau meninggal semasa bujang (tanpa waris), tiada beliau mendapat hak apa-apa dan kiraan diatas perlu dibuat semula dengan beliau dikeluarkan dari senarai waris.

B.   Sekiranya beliau meninggal terlebih dahulu sebelum Datuk, maka beliau dan waris beliau tiada hak ke atas pusaka Datuk, dan kiraan diatas perlu dibuat semula.

C.   Hak isteri simati (tiada anak, bahagiannya 1 / 4. Ada anak adalah 1 / 8).

D.   Hak ibu (jika simati tiada anak, bahagiannya 1 / 3. Ada anak adalah 1 / 6).

E.   Sekiranya meninggalkan  1 anak perempuan, bahagiannya 1 / 2. Jika 2 dan lebih anak perempuan, berkongsi sama banyak bahagian 2 / 3.

F.    Sekiranya meninggalkan 1 anak lelaki atau anak-anak lelaki, dia/mereka mewarisi semua/sama banyak bahagian dari baki bahagian Isteri dan Ibu.

G.   Sekiranya meninggalkan anak lelaki dan perempuan, semua bahagian dari baki bahagian Isteri dan Ibu mesti dibahagikan sesama mereka dengan Lelaki mendapat 2 dan Perempuan mendapat 1.

Apa yang saya nyatakan ini hanyalah pedoman sahaja lantaran Puan tidak menyatakan dengan tepat kondisi pewarisan beliau. Sekiranya Puan berikan yang tepat, akan berbezalah penghuraian ini.

Hasrat Nenek dan keluarga Puan untuk membuat pecah bahagi harta pusaka adalah amat baik dan patut dilakukan dengan segera. Namun sebagai peringatan supaya dilakukan dengan cara yang benar, 3 perkara ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu (sekiranya ada).

1.    Segala hutang piutang simati
2.    Segala wasiyat simati
3.    Segala perakuan hibah simati

Untuk pembahagian pusaka arwah Kakak kepada Datuk pula, saya tidak dapat membantu kerana adanya butiran yang mengelirukan dari pernyataan Puan yang berbunyi begini : Kakak datuk pula meninggalkan 2 balu, 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan. Jika Puan dapat memberi butiran lebih tepat, InsyaAllah saya akan dapat membantu.

Nota : Bagi memahami bagaimana pembahagian mengikut hak masing-masing, siapa waris yang terlibat serta kaedah pembahagian dan pengiraannya, sila rujuk weblog : www.salnboru.blogspot.com Bahagian asas faraaid 1 hingga 4. Telah dinyatakan dalil, nas dan keterangan tentang sistem dan kaedah pembahagian faraaid itu.

Berkenaan proses pecah bahagian tanah mengikut bahagian semua waris (biasa disebut orang banyak - pecah kuasa), prinsip asas yang mesti Puan fahami adalah, harta itu adalah satu bidang tanah (kerana itu hanya satu suratan hakmilik) yang dimiliki bersama, bukan perseorangan. Justeru itu, apa-apa jua perubahan ke atas keadaan tanah itu berbanding status sedia adanya mesti dengan persetujuan semua pemiliknya. Sekiranya pemilik yang asal telah meninggal dunia, maka peranan itu mesti diambil oleh semua warisnya mengikut turutan, malah mungkin boleh mencapai ke turutan cucu dan cicit apabila berlaku waris asal meninggal dunia.

Proses ini memang panjang, berliku-liku, melibatkan beberapa hal merumitkan serta memakan masa dan kos. Namun mesti diingat, disebalik semua proses merumitkan ini, akhirnya yang mahu dicapai adalah kebenaran dan keadilan ke atas semua pihak, bagi menolak sebarang bentuk ketidakadilan, penipuan dan kezaliman ke atas mana-mana jua waris yang berhak disisi syara’.

Antara langkah awal yang boleh saya cadangkan adalah, meletakkan sempadan yang jelas di atas tanah diantara bahagian 2/3 dan 1/3 itu dengan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.. Ini amat perlu bagi mengelakkan salah faham dan masing-masing hanya berpegang kepada sangka-sangkaan. Puan boleh melantik Jurukur Tanah Berlesen untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

Sepanjang pengetahuan saya, waris bagi salah seorang pemilik yang telah meninggal dunia, memang boleh membuat poses pecah bahagian sesama mereka sendiri tanpa perlu satu pihak yang lain melakukan proses yang sama secara serentak. Tetapi proses itu mesti dipersetujui oleh para waris pihak yang lagi satu. Ini disebabkan keseluruhan proses itu hanya melibatkan bahagian mereka sendiri sahaja tanpa menjejaskan bahagian pihak lain. Namun pasti sekali ia akan melibatkan masa yang lama, banyak pihak dan kos yang agak tinggi. Ini berbeza sekali sekiranya dilakukan secara serentak, yang pasti akan lebih menjimatkan.  

Puan buatlah pilihan sebaiknya yang paling bersesuaian dengan keadaan dan kemampuan. Setelah itu hubungi semula Pejabat Tanah (DO) untuk meneruskan cara yang terbaik seterusnya patuhi semua prosedur yang ditetapkan. InsyaAllah akan berjaya membuat proses pecah bahagian itu. Memang seluruh proses ini memerlukan masa, kesabaran dan kos. Semoga Puan berjaya.

Setakat ini yang dapat saya nukilkan.

سكيان , والسلام

From: sherie 1965
To: edd_zahir@yahoo.com
Sent: Friday, August 3, 2012 12:23 PM
Subject: Pengurusan Tanah Pusaka

Assalamualaikum Ustaz Mad,

Nama saya Sharifah XXXX & ingin memohon bantuan dari Ustaz untuk menguruskan harta pusaka Almarhum bapa saya.  Sekiranya perlu saya boleh berjumpa dengan Ustaz dan harap dapat ustaz beritahu dokumen yang perlu dibawa.  Saya sangat-sangat berharap dapat menyelesaikan pindahan harta pusaka ini kerana ianya telah lama dalam simpanan saya & saya bersalah dan berdosa kerana tidak menyelesaikan lagi. 

Perincian harta peninggalan Almarhum ayah saya adalah:

1.    Tanah di Kuantan, Pahang sebanyak 4.5 ekar
2.    Rumah Flat Kos rendah di Taman Keramat, Kuala Lumpur
3.    Wang simpanan di bank & tabung haji.

Waris adalah isteri, 3 orang anak perempuan & seorang anak lelaki.

Masaalah saya adalah :-

1.  Tidak tahu mengisi Borang A & pejabat tanah mana harus saya pergi.
2.  Tanah di Kuantan, adik perempuan saya tidak berminat jadi tanah tersebut dibahagikan kepada 1 ekar setiap seorang untuk ibu, kakak & saya. 1.5 ekar untuk adik lelaki.
3.  Rumah flat ditukar kepada ibu & adik lelaki sahaja.
3.  Wang simpanan untuk ibu sahaja.

Saya tinggal di KL jadi bolehkah ustaz beri panduan bagaimana saya perlu lakukan. Jika saya terus ke pejabat tanah, adakah petugas yang boleh membantu saya? Terima kasih.

Harap Ustaz dapat membantu. Wassalam.

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kerana hubungi saya kalau pun saya memang tidak kenali Puan. Mula-mula sekali saya pohon maaf aas kelewatan memberikan maklumbalas atas beberapa sebab kekangan peribadi. InsyaAllah saya akan membantu setakat yang mampu.

Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Swt. kerana Puan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pecah bahagian harta pusaka almarhum ayahanda. Moga Allah Swt. menunjukkan jalan yang benar dan memudahkan semua urusan. Berdasarkan penceritaan Puan, pembahagian harta tersebut kepada para waris yang sah mengikut syara’ adalah seperti berikut :

Isteri                :           1 / 8 bahagian          =          5

Seterusnya, 7 / 8 bahagian lagi dikongsi dan dibahagi sesama anak-anak (lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian)

Lelaki 1 :                                14 / 35                        14
Perempuan 1 :                        7 / 35                          7
Perempuan 2 :                        7 / 35                          7
Perempuan 3 :                        7 / 35                          7
----------------------
Jumlah Bahagian :  40

Pembahagian ini berkuatkuasa ke atas semua harta boleh alih (simpanan) dan harta tak alih (harta tanah) yang ditinggalkan oleh almarhum ayahanda. Walau bagaimanapun, memandangkan pihak Puan dan seluruh waris telah memutuskan cara pecah bahagi yang dipersetujui bersama, ia boleh diterima pakai dan sah disisi syara’. Namun sebagai peringatan supaya dilakukan dengan cara yang benar, 3 perkara ini hendaklah diselesaikan terlebih dahulu (sekiranya ada).

a.    Segala hutang piutang simati
b.    Segala wasiyat simati
c.    Segala perakuan hibah simati

Bagi kes ini, memandangkan ada melibatkan harta tanah, penyelesaian boleh dibuat di :

A.   Pejabat Tanah berkenaan (lebih digalakkan) atau
B.   Mendapatkan pengisytiharan Mahkamah Syari’ah

Memandangkan Puan dan keluarga sekarang berpusat di Kuala Lumpur dan ada melibatkan harta di tempat lain, penyelesaian boleh dibuat di Kuala Lumpur dan keputusan itu nanti akan turut meliputi harta yang berada diluar sekaligus.

Proses boleh dimulakan dengan mengisi Borang A di Pejabat Tanah yang melibatkan salah satu harta tanah berkenaan (dalam kes ini di Kuala Lumpur) dengan disertakan semua butiran harta yang dimiliki oleh simati. Selain itu, Puan mesti mengikut beberapa prosedur dan memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan. Setiap Pejabat Tanah memang menyediakan kaunter khidmat penerangan untuk orang ramai melakukan proses pecah bahagi pusaka. Puan boleh dapatkan khidmat penjelasan secara langsung dari mereka.   

InsyaAllah, Puan akan berjaya membuat proses pecah bahagian itu. Memang seluruh proses ini memerlukan masa, kesabaran dan kos. Semoga Puan berjaya.

Setakat ini yang dapat saya nukilkan. Semoga membantu.

سكيان , والسلام

----- Forwarded Message -----
From: radhi_sarman
To: edd_zahir@yahoo.com
Sent: Saturday, June 2, 2012 9:27 AM
Subject: Urusan Tanah Pusaka

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga ustaz dalam keadaan sihat dan dirahmati Allah sentiasa. Saya mohon maaf kiranya email ini mengganggu suasana. Hasrat saya hanya mahu dapatkan sedikit bantuan dalam hal feraid yang melibatkan keluarga saya.

Ayah saya adalah anak ke 4 dan juga anak lelaki pertama dalam keluarga. Jadi banyak hal urusan keluarga yang ayah saya menjadi pusat pengurusannya. Baru-baru ini adik beradik ayah ada membuat pecah kuasa beberapa keping tanah milik aruah datuk. Itupun setelah I7 tahun datuk sudah meninggal dunia. Dalam mesyuarat keluarga, semua adik beradik (7 orang, hanya 2 lelaki) setuju yang pembahagian adalah sama banyak untuk semua orang.

Tetapi penyelesaian tidak dapat dibuat kerana Makngah mahukan satu bahagian seluas setengah ekar diberikan kepada anaknya (sepupu saya) yang telah menduduki tanah itu. Tanah itu asalnya disetujui untuk diberi kepada Maksu. Makngah berpendapat yang anaknya juga berhak kerana telah lama duduk di situ, lagi pun anaknya ramai berbanding Maksu yang ada anak tunggal. Setelah mereka mati nanti tentulah anak Maksu beruntung kerana dapat tanah lebih besar yang berasalnya dari datuk juga.

Sekarang jadi bertambah kecoh kerana Maklong juga meminta sebahagian tanah itu kerana anak dia pun ramai. Maksu dah merajuk dan jauhkan diri dari keluarga kami. Maklong dan Makngah selalu mendesak ayah supaya membuat pecah kuasa seperti mereka mahu. Maksu pula marahkan ayah kerana tak tegas dan tidak adil pada dia. Pakcik juga tak membantu tetapi asyik bertanya bila boleh dapatkan geran tanah sendiri. Dengar cerita orang, dia nak jual.

Ayah saya yang jadi serba tak kena dalam situasi ini. Harap dapat ustaz membantu kami untuk menyelesaikan perkara ini. Hubungan kekeluargaan pun dah jadi kurang bagus.

Maklumbalas ustaz saya dahului dengan terima kasih.

Wassalam.

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terima kasih kerana hubungi saya kalau pun saya memang tidak kenali Tuan penanya, InsyaAllah saya akan cuba membantu setakat yang mampu.

Perkara seperti Tuan ceriterakan inilah yang sebenarnya wajib dielakkan dalam hal harta pusaka. Pusaka sepatutnya memberikan kemakmuran dan kebahagiaan kepada para waris, bukannya pergaduhan sesama sendiri. Pernah saya lihat adik beradik bertarik rambut dan pukul memukul kerana harta pusaka. Justeru itu, hasrat Tuan mencari penyelesaian secepat mungkin bagi hal ini, sememangnya amat baik sekali. Ada benarnya, tidak meninggalkan harta boleh menyebabkan waris susah, malah meninggalkan harta pun kadang-kadang menyebabkan waris jadi lebih susah lagi, cuma dalam konteks yang berbeza.

Prinsip paling asas yang mesti difahami dalam kes sebegini adalah, harta pusaka arwah datuk ini hanya boleh dipecah bahagi kepada waris-warisnya yang sah sahaja mengikut syara’, yaitu anak-anaknya. Justeru itu, sepupu Tuan bukanlah tergolong waris yang sah dan tidak berhak sama sekali ke atas harta itu selagi mana ibu/bapa mereka masih hidup. Sekiranya ada tuntutan oleh bukan waris atau dalam kes ini mohon diberi kepada bukan waris, ia boleh dilayani secara begini :

A.   Boleh dilayani sekiranya para waris yang sah bersetuju.
B.   Sekiranya waris yang sah tidak bersetuju, tuntutan itu tidak perlu dilayan dan patut dikesampingkan sahaja.

Tuntutan pelik sebegini datangnya dari perasaan dan prasangka yang natijahnya pasti kurang baik dalam muammalah sesama keluarga, malahan tidak sepatutnya dibuat pun dan ia mendatangkan dosa kerana mengambil harta yang bukan hak.. Membangkitkan isu jumlah anak dan asal usul harta ini bukanlah sikap yang baik. Saya akui tahap kesukaran yang dialami oleh ayah Tuan berhadapan dalam situasi begini, dengan orang yang buat-buat tak faham atau pun senghaja tak mahu faham, tambahan pula melibatkan adik-beradik sendiri.

Amat pelik sebenarnya dengan sikap orang-orang kita ini, harta milikan/bahagian sendiri tidak pula mahu dibahagikan kepada anak-anak tetapi harta milikan/bahagian orang lain pula yang sibuk diminta. Ini bukanlah sikap yang baik dan tidak sepatutnya diperlakukan. Sesungguhnya sikap dan amalan sebegini telah pun dilarang keras oleh Allah Swt. dan para pelakunya disifatkan telah melakukan dosa besar. 

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama-suka di antara kamu. dan janganlah kamu membunuh dirimu; Sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.
Dan barangsiapa berbuat demikian dengan melanggar hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka. yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa- dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 29-31

Persetujuan asas keluarga yaitu memecah bahagi harta pusaka secara sama banyak tanpa mengira lelaki atau perempuan adalah dibenarkan lantaran mengikut syara’, boleh saja mengikut pembahagian secara ketetapan faraaid atau pun mengikut kesepakatan/persetujuan bersama para waris yang sah.

Bagi kes ini, saya mencadangkan supaya ayah Tuan secepat mungkin membuat permohonan pecah bahagi harta pusaka di :

C.   Pejabat Tanah berkenaan (lebih digalakkan) atau
D.   Mendapatkan pengisytiharan Mahkamah Syari’ah

bagi mendapatkan pengesahan rasmi ke atas pembahagian mengikut kaedah yang telah pun dipersetujui bersama itu. Menerusi cara ini, setiap orang akan akan mendapat hak masing-masing secara individu. Setelah itu, setiap waris berkuasa penuh untuk menguruskan harta mereka sendiri, dan ayah Tuan tak perlu lagi memeningkan kepala melayani apa jua tuntutan yang tak munasabah dan bertentangan dengan syara’ malah kena marah pula dari berbagai sudut.

Justeru itu, bahagian yang dituntut itu terletak di atas harta milikan/bahagian Maksu, hanya beliau sendiri yang berhak memberikan jawabannya, dan segala keputusan yang dibuat olehnya adalah muktamad dan mesti dihormati oleh seluruh keluarga.

Saya mendoakan supaya hal ini dapat diselesaikan secepat mungkin dengan cara sebaiknya, dan segala yang keruh dalam ikatan kekeluargaan Tuan itu dapat diperbaiki. Setakat ini yang mampu saya balasi, moga saya telah membantu.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: