Ahad, 30 September 2012

Soal Jawab: Salam Kepada Orang Kafir (Bhg 3)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Bersama ini saya sertakan sambungan artikel jawaban yang dikumpulkan berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh para jamaah dan pembaca. Asalnya ia merupakan maklumbalas secara individu sahaja, lanjutan daripada artikel : Disebalik Ucapan Salaam yang disiarkan dalam www.salnboru.blogspot.com pada hari Isnin, 1 November 2010. Saya siar umumkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama. InsyaAllah.

Soalan 7 : Apa yang boleh kita lakukan apabila ada orang bukan Islam yang memberi salaam secara penuh “Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh”, kadangkala lafaz sebahagian, mungkin ia disebut oleh rakan-rakan kita atau pun seperti di negeri Arab yang mana orang bukan Islam pun bercakap Arab juga. Kita ketahui juga yang lafaz itu adalah adat kebiasaan tanpa ada niyat mencela dan menghina pun. Bagaimana nak menjawabnya?

Jawaban : Saya tidak menemui sebarang keterangan bagi masalah sebegini daripada hadis Nabi Saw. atau pun daripada atsar para sahabat untuk dijadikan sebagai rujukan yang qati’e. Situasi sebegini lebih merujuk kepada fenomena di zaman sekarang. Yang ditemui adalah ijtihad atau pendapat/pandangan banyak pihak yang lebih berkisar kepada apa yang sedang berlaku pada zaman ini. Berbagai macam jawaban beserta hujjahnya sekaligus yang saya temui dalam masalah ini. Pendirian yang boleh diambil hanyalah sama ada menerima atau tidak menerima segala macam ijtihad atau pandangan/pendapat itu.

Ada sebahagian membolehkan menjawab penuh atau sebahagian sepertimana disalami, atas dasar menghormati, mengelakkan fitnah dan untuk kepentingan da’wah. Ada juga yang menganjurkan supaya menjawab tetapi dengan lafaz ciptaan sendiri, ada yang panjang dan ada yang pendek. Ada juga yang mencadangkan balasan begitu dan begini tetapi hakikatnya lebih cenderung kepada kepentingan tersendiri (politik misalnya), suasana setempat dan keperluan semasa. Ia berbagai macam sebenarnya.

Malah ada juga yang saya temui, pandangan dan penulisan berjela-jela, tetapi tidak pula memberikan satu apa pun cadangan penyelesaian, setelah disemak rupa-rupanya sekadar protes tak bersetuju, ada rasa hasad dan nak komen pandangan orang lain sahaja sebenarnya. Perangai merapu sebegini bukanlah penyelesaian kepada masalah yang dibicarakan, akan tetapi hanya menokok tambah kepadanya.

Oleh kerana tiada dasar yang soreh dan qati’e untuk ikutan, maka saya mencadangkan supaya lafaz jawaban yang diberikan adalah seperti berikut : salah satu dari 3 yaitu,

A.   Ucapan (lafaz) : ‘Wa’alaikum’ yang bermaksud ‘dan demikian juga atas kalian
B.   Ucapan (lafaz) : ’Alaikum’ bermaksud ‘demikian juga atas kalian
C.   Ucapan (lafaz) : ‘Alaika’ yang bermaksud ‘demikian juga atas kamu

Ini kerana lafaz-lafaz ini adalah perintah dan contoh dari Nabi Saw. sendiri, lantaran inilah yang pasti benar berbanding apa juga ijtihad, pandangan dan lafaz ciptaan sendiri. Selain itu, ia adalah lafaz bersifat umum yang molek digunakan dalam apa jua keadaan pun yang mana, sekiranya berniyat celaan pun boleh dibalas dengan maqasid yang sama, malah sekiranya kebaikan pun boleh dibalas dengan maqasid yang sama. Ini juga adalah seruan supaya kita ummat Muslimin mengambil langkah berhati-hati dengan tindak-tanduk orang kafir. Harus diingat bahawa, ikhlas itu adalah qasad di dalam hati yang ghaib bukannya apa yang terlafaz dengan kata-kata.

Memang terdapat perbahasan dikalangan ulama’ dan fuqahaa’ berkenaan lafaz jawaban yang patut diguna, lebih-lebih lagi apabila para kafiirun menggunakan kata-kata dan bahasa yang membawa maksud kebaikan seperti mendoakan kesejahteraan dan keselamatan ke atas ummat Muslimin, apakah patut dibalas dengan bahasa yang kurang baik? Bagi menjawab persoalan ini, saya mencadangkan supaya dijawab juga menggunakan 3 lafaz di atas dan perihal mereka mendoakan kebaikan itu janganlah dihiraukan sangat, kerana Allah Swt. telah berfirman :

“Hanya Allah-lah (hak mengabulkan) doa yang benar. Dan berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat memperkenankan sesuatu pun bagi mereka, melainkan seperti orang yang membukakan kedua telapak tangannya ke dalam air supaya sampai air ke mulutnya, padahal air itu tidak dapat sampai ke mulutnya. Dan doa (ibadah) orang-orang kafir itu hanyalah sia-sia”.
Surah Ar Ra’ad (13) : ayat 14

Soalan 8 : Seringkali terjadi dalam suasana sekarang, kita dijemput menghadiri majlis-majlis yang ada bercampur antara Muslim dengan bukan Islam. Bagaimana sepatutnya memberikan ucapan Salaam atau pun menyapa para hadirin dalam suasana begitu.

Jawaban : Ini satu lagi soalan amat baik kerana ia menepati situasi semasa. Situasi ini pernah dialami oleh Nabi Saw. sendiri dan baginda memberikan ucapan salaam secara terbuka kepada semua para hadirin. Dalam sebuah hadis hal ini dibicarakan :

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Jika seorang diantara kalian mendatangi majlis (sebuah perkumpulan), maka ucapkanlah salaam dan apabila hendak pulang ucapkanlah salaam lagi. Ucapan salaam yang terakhir (ketika pulang), tidaklah lebih layak dari yang pertama (ketika datang)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 999), imam Abu Ya’la rh. (Jilid 11 no. 440), imam Ahmad rh. (Jilid 2 no. 71) dan imam Ibnu Hibban rh. (Jilid 2 no. 246). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Silsilatul Ahaadis As Sahiihah (no. 183)

Boleh memulai mengucapkan salaam kepada sebuah perkumpulan yang di dalamnya ada orang-orang Islam dan orang kafir, atau hanya ada seorang Muslim dan lainnya orang kafir, sambil berniyat untuk mengucapkan salaam itu kepada orang-orang Islam sahaja berdasarkan hadis yang lalu disebutkan, bahawa Nabi Saw. mengucapkan salaam kepada sebuah majlis yang didalamnya terdapat orang-orang Islam dan orang kafir.
Imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10 halaman 334

Di dalam satu hadis lain, Nabi Saw. turut memberikan pengajaran yang serupa :

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Apabila seseorang datang kepada sebuah majlis (sebuah perkumpulan), maka hendaklah memberi salaam. Apabila dia duduk kemudian mahu berdiri (untuk berlalu) sebelum majlis bubar, maka hendaklah dia memberi salaam. Salaam yang pertama tidaklah lebih pantas dari yang terakhir”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1000) dan imam Ahmad rh. (Jilid 2 no. 287), Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Sahiihul Adaab ul Mufrad (no. 1008)

Jika yang memberi salaam adalah sekelompok orang, maka hukumnya sunnah kifayah bagi mereka. Apabila sebahagian mereka telah mengucapkan salaam, maka sunnah salaam telah tercapai pada keseluruhan mereka. Jika yang diberi salaam adalah satu orang, maka wajib baginya untuk menjawab salam. Namun jika yang diberi salaam adalah orang yang berkelompok, maka menjawab salaam hukumnya fardhu kifayah bagi mereka. Apabila salah satu dari mereka telah menjawab salaam, maka dosa telah gugur dari yang lainnya. Yang paling utama adalah setiap orang dari kelompok itu mengucapkan salaam dan kelompok yang lain menjawab salaam.
Imam Yahya bin Syaraf An Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10 halaman 313

Justeru itu, adalah dibolehkan memulai mengucapkan salaam kepada sebuah perkumpulan yang di dalamnya ada orang-orang Islam dan orang kafir, atau hanya ada seorang Muslim dan lainnya orang kafir, sambil berniyat untuk mengucapkan salaam itu kepada orang-orang Islam sahaja.

Berkenaan amalan memberi Salaam kepada hadirin Muslim kemudian diikuti ucapan Selamat Sejahtera kepada bukan Muslim, sepertimana amalan biasa dalam majlis-majlis di tempat kita, saya berpendirian itu adalah cara yang benar dan selaras dengan kehendak syari’at. 

Soalan 9 : Bagaimana untuk memberikan salaam sedangkan dalam keadaan terkandung orang yang dikenal dan tidak dkenal, bolehkah dipilih-pilih rakan yang dikenal sahaja untuk disalaami. Perkara sebegitu sering diamalkan orang banyak sekarang ini.

Jawaban : Saya akui, memang menjadi amalan sekarang ini kita sering hanya memberi salaam kepada orang yang dikenali sahaja. Orang yang tidak dikenali, dibuat tidak tahu sahaja. Perlakuan sebegini sebenarnya adalah terbalik daripada anjuran syara’. Sebenarnya Rasulullah Saw. telah menjawab dan memberikan contoh tauladan dalam perkara ini, sepertimana dalam sabda baginda :

“Dari Abdullah bin Amr Rhu. dia berkata bahawa seseorang berkata : Wahai Rasulullah! bagaimana amalan islam yang baik. Lalu baginda menjawab : Engkau memberikan makan dan mengucapkan salaam pada orang yang engkau kenal dan pada orang yang tidak engkau kenal”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1005), imam Abu Daud rh. (no. 5194) dan imam Ibnu Majah rh. (no. 3253). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Sahiihu Abi Daud dan Sahiihu Ibnu Majah

Selayaknya dijadikan amalan dalam hidup ummat Muslimin supaya sentiasa memberi salaam sesama mereka. Contohnya sahabat Abdullah Ibnu Umar Rhu., beliau sanggup pergi ke pasar semata-mata untuk mengucapkan salaam kepada orang-orang yang dikenal mahu pun tidak dikenal.

“Dari Thufail bin Ubay bin Ka’ab Rhu. mengkhabarkan bahawa ia datang kepada Abdullah bin Umar Rhu. lalu pergi bersamanya ke pasar. Dia (Thufail) berkata : ketika kami berangkat ke pasar, tidak seorang pun yang dijumpai Abdullah baik orang biasa, pedagang atau orang miskin kecuali dia memberinya salaam. Thufail berkata : suatu hari aku mendatangi (lagi) Ibnu Umar dan dia mengajakku ke pasar. Aku berkata kepadanya : Apa yang kamu lakukan di pasar? Sedangkan kamu tidak boleh berdagang, tidak boleh membeli atau tawar menawar barang dan tidak biasa duduk-duduk di pasar. Kenapa tidak duduk disini sahaja, kita berbincang-bincang?. Lalu Ibnu Umar menjawab : Wahai Thufail, kita pergi ke pasar untuk memberi salaam kepada siapa sahaja yang kita temui.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 998), imam Abdurrazaaq rh. (Jilid 1 no. 130) dan imam Ibnu Abdil Barr rh. (Jilid 18 no. 251). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Al Misykat (no. 4664).

Justeru itu, apabila masuk ke dalam majlis yang terkandung orang yang dikenal mahu pun tidak dikenal, ucapkanlah salaam secara terbuka sepertimana dimaksudkan oleh hadis-hadis sebelum ini. Demikianlah tuntunan syara’. Malah imam Al Hafiz Muhammad bin Ismail bin Ibrahim Al Bukhari rh. dalam kitabnya Adaab ul Mufrad telah meletakkan satu bab khas : Jangan Memberi Salaam Secara Khusus Kepada Seseorang Ketika Bersama Orang Banyak. Beliau meriwayatkan kisah berikut :

“Dari Thariq Rhu. ia mengkhabarkan : ……………………. Thariq berkata : Aku yang bertanya. Dia bertanya kepada Abdurrahman, lalu dia (Abdurahman) menyampaikan sabda Rasul Saw. : Akan tiba masa dimana ada salaam khusus, tersebarnya perniagaan sehingga wanita bersibuk-sibuk dalam perniagaan suaminya, pemutusan silaturrahim, maraknya pena (tulisan-tulisan), fenomena kesaksian palsu dan tersembunyinya kesaksian yang benar.”
Hadis sahih no. 1041. Turut diriwayatkan oleh imam Ahmad bin Hanbal rh. (Jilid 1 no. 407) dan imam Hakim rh. (Jilid 4 no. 110). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Silsilatul Ahaadis As Sahiihah (no. 2767)

Soalan 10 : Adakah benar sebahagian orang menyebutkan bahawa orang-orang Muslim yang fasiq (yaitu tidak henti-henti melakukan dosa besar) tidak perlu diucapkan salaam kepada mereka. Harap dapat diberikan penjelasan.

Jawaban : Memang saya juga ada mendengar perkhabaran sebegitu yang tersebar di dalam kalangan masyarakat. Mungkin ada beberapa sebab tersendiri kenapa perkara ini disebutkan di dalam masyarakat. Namun, tetap jua yang baik sekali adalah mengikut anjuran Nabi Saw. sendiri memandangkan sekiranya dibiarkan sahaja tanggapan sebegitu berleluasa tanpa dipastikan hal sebenarnya, ia boleh mendatangkan kerosakan ehwal muammalah dalam kalangan masyarakat Muslim.

Memang ada perkhabaran sahih yang menyebutkan bahawa orang fasiq tidak berhak mendapatkan penghormatan sepertimana hadis berikut :

“Dari Qatadah Rhu dari Hassan Rhu bahawa ia berkata : Antara kamu dan orang fasiq tidak ada kehormatan”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1010) dan imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rh. dalam kitab Al Bidayah wa An Nihayah (Jilid 9  no. 271). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Sahiihul Adaab ul Mufrad (no. 1018)

Hadis ini menyatakan tiadanya penghormatan itu secara umum sahaja dan tidak ia mengkhusus kepada memberi ucapan salaam. Namun begitu memang ada perkhabaran yang bersifat khusus melibatkan ucapan salaam seperti hadis-hadis berikut :

“Dari Abdullah bin Amru bin Al ‘As Rhu. dia berkata : Jangan memberi salam kepada pemabuk”.
Hadis disebutkan oleh imam Al Hafiz Ahmad bin Ali Ibnu Hajar Al Asqolany rh. dalam kitab Fathul Bari (Jilid 11 no. 41) dan imam Al Mizzi rh. dalam kitab Tahdzibul Kamal (Jilid 5 no. 333). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai dhaif dalam kitab Dha’iful Adaab ul Mufrad (no. 1017)

“Dari Man’im bin Isa rh. ia berkata : Telah mengkhabarkan kepadaku oleh Abu Zuraiq rh. bahawa dia mendengar Ali bin Abdullah rh. benci pada permainan catur. Dia berkata : Jangan ucapkan salaam pada orang yang main catur kerana itu termasuk judi”.
Hadis disebutkan oleh imam Al Mizzi rh. dalam kitab Tahdzibul Kamal (Jilid 5 no. 312) lantaran dalam rantaian sanadnya terdapat Abu Zuraiq rh. seorang rawi yang tidak dikenal (majhul). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai dhaif dalam kitab Dha’iful Adaab ul Mufrad (no. 1019)

Kalau pun adanya lafaz yang soreh menerusi hadis-hadis ini, ia merupakan perkhabaran dhoif (lemah) yang tertolak untuk dijadikan hujjah dan dalil bagi membuat ketetapan hukum menolak mengucapkan salaam kepada pelaku fasiq. Lantaran itu, mungkin juga juga hadis-hadis ini yang menjadi dasar kepada pihak-pihak yang melarang memberikan salaam kepada orang fasiq. 

Soalan 11 : Adakah benar sebahagian orang menyebutkan bahawa tidak boleh mengucapkan salaam kepada orang Islam yang melakukan maksiyat. Adakah benar perkara ini. Harap dapat diberikan penjelasan.

Jawaban : Ini juga ada ditanyakan kepada saya beberapa kali dan memerlukan saya membuat penelitian lanjut lantaran agak janggal maksudnya dalam amalan biasa. Setelah menyemak beberapa kitab, yang ditemui adalah beberapa hadis yang menyatakan begini :

“Dari Abu Said Al Khudri Rhu. dia berkata : Telah datang seorang dari Bahrain kepada Nabi Saw. lalu dia mengucapkan salaam tetapi baginda tidak membalasnya sedangkan di tangannya memakai cincin emas dan dia memakai jubah sutera. Dia pulang lalu mngadukan kepada isterinya, lalu isterinya berkata : Barangkali Rasulullah tidak senang pada cincin dan jubah yang kamu pakai, letakkan itu dan kembali lagi kepadanya. Dia pun datang lagi kepada Rasulullah dan mengucapkan salaam. Nabi pun membalasnya. Dia pun berkata : Tadi aku mendatangi kamu tapi kamu menghindar dariku?. Nabi berkata : Ditanganmu tadi ada bara api. Dia berkata lagi : Apakah tadi membawa bara api yang banyak?. Nabi berkata : Engkau membawa sesuatu yang tidak lebih bermanfaat daripada batu-batu wanita, tetapi itu hanya kesenangan dunia. Lalu dia bertanya lagi : Lalu kalau begitu, aku pakai cincin apa. Nabi menjawab : Pakailah cincin perak, kuningan (tembaga) atau besi.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1014) dan imam Ahmad rh. (Jilid 3 no. 14) dan imam Ibnu Hibban rh. (Jilid 12 no. 301). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Sahiihul Adaab ul Mufrad (no. 1022)

“Dari Ali bin Abi Thalib Kmwj. dia berkata : Nabi Saw. mendatangi satu kaum yang ada di antara mereka orang yang berakhlak buruk. Baginda memandang mereka dan memberi salaam tetapi menghindar dari orang yang berakhlak buruk tadi. Lalu orang itu berkata : Kenapa engkau menghindar dariku?. Baginda menjawab : Diantara kedua matamu ada bara api.”
Hadis hasan riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1012) dan imam Thabrani rh. dalam kitab Al Ausath (Jilid 3 no. 343). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai hasan dalam kitab Sahiihul Adaab ul Mufrad (no. 1020)

Pemahaman dari hadis ini adalah, Rasulullah Saw. tidak mahu menjawab salaam orang orang yang memakai barangan dan pakaian yang dilarang kepada orang lelaki memakainya dan berakhlak buruk. Perbuatan melanggar larangan syara’ ini adalah perbuatan maksiyat dan kerana itulah imam Muhammad bin Ismail Al Bukhari rh. meletakkkannya dalam bab Tidak Memberi Salaam Pada Ahli Maksiyat, salah satu bab dalam kitabnya Adaab ul Mufrad. Apa yang dicontohkan oleh baginda sebenarnya adalah tidak menjawab salaam dan menghindari orang yang berakhlak buruk. Dijelaskan oleh imam Bukhari rh. bahawa ia termasuk juga tidak memulai memberi salaam kepada mereka. Berdasarkan hadis di atas, hukumnya adalah boleh tidak memberi salaam kepada ahli maksiyat.

Dalam satu hadis lain disebutkan yang Nabi Saw. hanya diam (tiada halangan) kepada orang lelaki yang memakai cincin perak.

Dari ‘As bin Wa’il As Suhmi rh. dari ayahnya dari datuknya mengatakan bahawa : Seseorang telah datang kepada Nabi Saw. sedangkan di tangannya memakai cincin emas, baginda lalu menolak orang itu. Ketika ia melihat perasaan tidak senang pada diri Nabi, dia pulang meletakkkan cincin emasnya dan mengantinya dengan cincin besi lalu datang lagi kepada Nabi. Baginda berkata : Ini buruk kerana ini perhiasan penghuni neraka. Dia pun pulang lagi lalu memakai cincin perak. Lalu Nabi mendiaminya”.
Hadis dha’if riwayat imam Ahmad rh. (Jilid 2 no. 165) dan Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai dha’if dalam kitab Dho’iful Adaab ul Mufrad (no. 1021)

Sungguh pun hadis ini dha’if dan tidak boleh menjadi landasan hukum, kebenaran memakai cincin perak telah dinyatakan dalam hadis sahih yang sebelumnya.

Akhirul kalam,

Setakat ini yang dapat saya nukilkan. Saya sertakan 2 buah hadis mauquf (terhenti setakat sahabat Nabi Saw.) :

“Dari Abu Hurairah Rhu. dia berkata : Paling kedekutnya manusia adalah yang kedekut memberi salaam, dan paling lemahnya orang adalah orang yang lemah kerana doa.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1034), imam Abu Ya’la rh. (Jilid 12 no. 5), imam Thabarani rh. dalam Al Ausat (Jilid 3 no. 371) dan imam Ibnu Adi rh. dalam kiab Al Kaamil (Jilid 4 no. 118. Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Silsilatul Ahaadis As Sahiihah (no. 601)

Dari Abdullah bin Amru bin Al As Rhu. dia berkata : Orang yang sangat pembohong adalah orang yang berbohong pada kedua matanya (dirinya sendiri), orang yang kedekut adalah orang yang kedekut memberi salaam dan seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri solatnya.”
Hadis dhaif riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1033) dan imam Thabarani rh. dalam Al Ausat (Jilid 3 no. 371). Imam Mundziri rh. menyebutnya dalam kitab Targhib (Jilid 1 no. 198). Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai dhaif dalam kitab Dhaifa Targhib.

Mudahan nukilan ini telah menjawab semua persoalan dalam hal memberi dan menjawab salaam orang kafir dan membantu memperjelaskan perbuatan yang sepatutnya kita ummat Muslimin lakukan. Semoga memberi manfaat.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: