Ahad, 30 September 2012

Soal Jawab : Salam Kepada Orang Kafir (bhg 2)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.

Bersama ini saya sertakan sambungan artikel jawaban yang dikumpulkan berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh para jamaah dan pembaca. Asalnya ia merupakan maklumbalas secara individu sahaja, lanjutan daripada artikel : Disebalik Ucapan Salaam yang disiarkan dalam www.salnboru.blogspot.com pada hari Isnin, 1 November 2010. Saya siar umumkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama. InsyaAllah.

Soalan 6 : Dalam suasana kita di negara masyarakat majmuk ini, adalah kebiasaan kita berkawan dengan mereka, ada yang sama bekerja, berjiran dalam satu tempat, bermasyarakat, bertolong menolong, bekerjasama dalam persatuan dan sebagainya. Telah menjadi budaya setempat kita untuk menegur orang yang kita kenali itu walau pun bukan Islam. Tidak nanti kita akan dikata bongkak, sombong, selfish, sesat, gila, kaum muda, wahabi, teroris, tak tahu bermasyarakat malah bermacam tuduhan lagi. Yang paling dikhuatiri nanti akan memberikan imej buruk kepada Islam itu sendiri dan menyukarkan untuk berda’wah kepada mereka. Maka saya nak bertanya :
1.    Apakah yang boleh dibuat sedangkan ummat Muslimin diharamkan memulai salaam kepada mereka.
2.    Apa yang akan berlaku kepada masyarakat orang Muslim minority di negara bukan Islam yang pasti akan lebih sukar dengan hukum sebegini kerana reality persekitaran hidup mereka yang tak sama dengan negara majority Islam.
3.    Dan bagaimana pula para muallaf mahu bermu’ammalah dan berda’wah dengan rata-rata keluarganya yang masih bukan islam.

Jawaban : Terima kasih, inilah soalan yang paling menepati waqi’ (reality) dan mu’asirah (kontemporari) dengan alam kehidupan kita sekarang ini, dan menyebabkan saya menyelidik panjang untuk menjawabnya. Diakui bahawa nilai dan sistem kehidupan di zaman sekarang tidak sama lagi dengan dahulu, yang memerlukan serba sedikit perubahan dilakukan bagi disesuaikan dengannya lantaran kita tidak dapat lari darinya disebalik mengekalkan aqidah dan amalan kita sebagai ummat Muslimin. Justeru itu, baik sekali difahami maksud dan skop yang sebenarnya perbicaraan kita dalam perkara Salaam ini.

Salaam yang dimaksudkan dilarang ini adalah memberikan lafaz ucapan “Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh” atau lafaz yang lebih pendek sebagaimana yang terkandung di dalam hadis-hadis sahih. Ini adalah lafaz yang diperintah oleh Syara’ ke atas sesama ummat Muslimin. Demikianlah maksud saya.

Dalam kes ini saya mahu menjelaskan awal-awal lagi, bahawa tiada ketetapan soreh dan qati’e dari syara’ dalam hal ini, para fuqaha’ dan ulama’ pun berselisih tentang hukumnya, maka itu apa yang bakal saya bentangkan nanti merupakan kesimpulan ijtihad/pandangan dari sekumpulan yang mungkin tidak selaras dengan sekumpulan yang lain. Paling jelas, ia bersilang dengan ketetapan dalam artikel siri 1 dahulu. Maka itu, kebijaksanaan dari para jamaah dan pembaca untuk membuat penilaian yang benar amat diperlukan supaya tidak berlaku salah fahaman dan perbalahan di akhirnya. Boleh sahaja para jamaah memilih ijtihad/pandangan yang lain sekiranya tidak bersetuju dengannya.

Nabi Saw. telah memberi contoh terbaik dalam hal mu’ammalah. Baginda bergaul dengan semua penduduk Mekah dan Madinah, tidak kira yang miskin atau kaya, berpangkat atau tidak termasuk juga yang bukan Islam. Baginda melihat setiap manusia sebagai aset agama, sebagai anak Adam yang perlukan bimbingan dan tunjuk ajar ke arah agama Islam. Sebelum diutus menjadi Rasul lagi pun, baginda telah dinobatkan dengan gelaran As Siddiq dan Al Amin (orang sangat benar dan dipercayai) oleh kafir Quraisy di Makkah, tidak pernah berdusta dan tiada sesiapa pun yang berkecil hati dengan baginda, sekali pun orang bukan Islam.

Baginda tidak pernah meninggikan suara, menghina, mengherdik dan memalukan sesiapa di hadapan mad’u (golongan sasaran). Tidak ada dalam lipatan sejarah bahawa Nabi Saw. menyakiti hati orang bukan Islam, melainkan dalam urusan mempertahankan maruah agama, aqidah dan kedaulatan Islam. Kerana itulah Allah Swt. berpesan kepada Nabi Saw. agar tidak bersikap keras atau sangat keras ke atas golongan bukan Islam.

“Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. Surah Ali Imran (3) : ayat 159

Menelusuri cara Rasulullah SAW melayan orang bukan Islam, kita akan terpegun dan percaya bahawa sikap ini yang menjadikan ramai manusia yang jatuh hati kepada agama Islam, antaranya ;

“Daripada Anas bin Malik Rhu. ia menceritakan bahawasanya  seorang budak lelaki yahudi menjadi pembantu (khadam) Nabi Saw. Suatu ketika dia sakit. Nabi Saw. datang menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu baginda bersabda : Islamlah (masuklah kamu ke dalam Islam), lalu budak itu menoleh kepada bapanya, yang juga berada di sisi kepalanya. Lalu ayahnya berkata kepada anaknya : taatlah engkau kepada Abu Al Qasim (Nabi Saw.) Lalu dia masuk Islam. Kemudian baginda keluar dari rumah budak itu dan bersabda : Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkannya dari siksa api neraka.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 1290) dan dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 524), imam Abu Daud rh. (no. 3095) dan imam Baihaqi rh. (Jilid 6 no. 206)

“Daripada Abi Hurairah Rhu. dia telah berkata : Pernah dikatakan kepada Rasulullah Saw. : Wahai Rasulullah! berdoalah kepada Allah supaya orang-orang musyrikin itu dilaknati. Baginda menjawab : Sesungguhnya aku tidak diutus untuk menjadi tukang melaknat (meminta suatu yang buruk), akan tetapi aku diutus menjadi rahmat (kepada seluruh alam).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5709) dan dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 321), imam Muslim rh. (no. 170) dan imam Ahmad rh. (Jilid 5 no. 382)

Justeru itu, apabila berada dalam situasi yang ditanyakan, yang dahulunya tiada hukum qati’e ke atasnya, ada segolongan fuqaha’ dan ulama’ berpendirian adalah dibolehkan memulai memberikan ucapan selamat kepada orang kafir atas dasar keperluan dan sebab-sebab tertentu. Berpendirian ini berdasarkan turutan hujjah seperti yang berikut :

1.    Dalil umum dari Firman Allah Swt. :

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu sebelum meminta izin dan memberi salaam kepada penghuninya.  Yang demikian itu lebih baik bagimu, agar kamu (selalu) ingat.”
Surah An Nuur (24) : ayat 27

Dalam surah yang sama, pada ayat 61 Allah Swt. berfirman lagi yang bermaksud :

“………………… Apabila kamu memasuki satu rumah, maka berilah salam kepada (penghuninya yang bererti memberi salam) kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatnya mudah-mudahan kamu memahaminya.”

Sila perhatikan : Perintah memberi salaam ini ini adalah umum yaitu meliputi rumah ummat Islam atau pun bukan Islam pada masa itu di Makkah dan Madinah. Ayat ini merupakan nas yang am akan kewajiban memberi salaam apabila hendak memasuki rumah, sama ada kepada orang muslim atau bukan muslim. Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir Ath Thobari rh. di dalam tafsirnya menyebut dari Ibrahim al-Nakha’ie rh. yang berkata :

“Apabila kamu memasuki rumah, di dalamnya ada orang Yahudi, maka ucapkanlah Assalamu’alaikum, jika kamu tidak mendapati seseorangpun di dalamnya, ucapkanlah As Salaamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillah is Solihin.”
Tafsir Jami’ ul Bayaan An Ta’wili Al Qur’an (Tafsir Ath Thobari), Jilid 17 halaman 239-246

2.    Memberi ucap selamat kepada orang kafir tidak semestinya menjadikan kita berkasih sayang dengan mereka sehingga meninggalkan Islam

Sememangnya wujud 2 golongan kafir yaitu, yang baik dan bersetia dengan ummat Islam (ya’ni kafir dzimmi – dijelaskan di dalam surah Al Mumtahanah (60) : ayat 8) dan satu golongan lagi yang memerangi dan jahat kepada ummat Islam (ya’ni kafir harbi – dijelaskan di dalam surah Al Mumtahanah (60) : ayat 9). Sememangnya peri layanan Nabi Saw. terhadap 2 golongan ini adalah berbeza menurut firman Allah Swt. :

“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya…”
Surah Al Mujaadilah (58) : ayat 22), demikian juga Kalamullah,

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang, padahal sesungguhnya mereka telah engkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan kamu kerana kamu beriman kepada Allah…”
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 1

Jawapan kepada kenyatan ini ialah, tidak semestinya ucapan salaam itu sebagai menzahirkan rasa kasih sayang, kadang-kadang ianya adalah tidak lebih sebagai ucapan selamat untuk saling berkenalan dan melaksanakan mu’ammalah, apatah lagi seorang Muslim yang bertindak sebagai pendakwah, bukankah seorang pendakwah itu disuruh untuk berlembut dan berhikmah di dalam usaha dakwahnya.  Selain itu, berkasih sayang yang dilarang di dalam Al Quran adalah berkasih sayang bersama orang-orang kafir yang memerangi Islam (kafir harbi) yang merosakkan Islam sendiri, bukannya terhadap kesemua orang kafir secara pukal.

Bukti lain dalam perkara ini, dimana berkasih sayang yang dilarang itu bukanlah semata-mata kerana orang itu kafir, tetapi kasih sayang yang dilarang itu ialah kepada orang kafir yang memerangi Islam (kafir harbi), perkara ini amat jelas apabila Al Quran membenarkan lelaki Islam berkahwin dengan perempuan-perempuan Kitabiyah (ahli kitab) sebagaimana Allah berfirman yang jelas maksudnya :

“Hari ini dihalalkan (diharuskan) perkara-perkara yang baik dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu (ummat Islam) dan makanan kamu dihalalkan bagi mereka, (Dan dihalalkan mengahwini) …………………. wanita-wanita yang menjaga kehormatan diantara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, apabila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya …………… .”
Surah Al Maidah (5) : ayat 5

Justeru itu, menetapkan pukal borong untuk memencilkan dan melaknati mereka adalah suatu kezaliman yang tidak sepatutnya diperbuat. Maka itu, berbaik sangka terlebih dahulu terhadap mereka secara berhati-hati adalah lebih baik dilakukan, selagi mana sikap permusuhan dan penentangan mereka tidak jelas, yang sehingga memerlukan ummat Islam membuat tindakbalas kekerasan.

3.    Terdapat perbuatan Nabi Saw. memulakan ucapan selamat kepada kafiriin untuk menyeru mereka kepada Islam

Selain itu, terdapat banyak petunjuk dari Nabi Saw. yang baginda memulakan salaam kepada bukan Islam melalui surat-surat baginda yang diutuskan kepada raja-raja yang tidak Islam dalam usaha dakwah baginda, antaranya :

a.    Surat baginda yang dihantar kepada Najasyi (Raja Habsyah) sebelum Islamnya, baginda memulakan surat baginda dengan menyebut : “Salamun Anta” kemudian baginda menyerunya kepada Allah yang satu yang tidak ada sekutu bagiNya, kemudian baginda mengakhiri surat baginda dengan menyebut: “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”
b.    Surat baginda kepada أسقف إيلة , yang baginda memulakan surat baginda dengan menyebut : “Salamun Antum.” kemudian baginda menyerunya kepada Islam.
c.    Surat baginda kepada العباد الاسبذبين , baginda telah memulakan juga surat dengan menyebut : “Salamun Antum”, dan baginda mengakhiri surat dengan menyebut : “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”.
d.    Surat baginda kepada al-Hilal, pemilik al-Bahrain, dimana baginda memulakan surat dengan menyebut: Salamun Alaikum, dan diakhiri dengan ucapan “wa al-Salam ‘ala manit taba’a al-Huda”.
Rujukan : Syeikh Faisal Mawlawi, Majlis Fatwa Eropah, Kitab As Salam ‘ala Ahlul Kitab

4.    Terdapat keterangan bahawa ada sahabat, tabiin dan tabiut tabiin yang bersetuju mula memberikan ucapan salaam kepada orang kafir, tetapi atas sebab tertentu

Perkara ini turut dicatatkan oleh imam An Nawawi rh. dalam kitab beliau, kalau pun beliau tidak bersetuju dengannya.

Sekelompok ulama’ berpendapat bahawa kita boleh memulai mengucapkan salaam kepada orang kafir. Hal itu diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Rhu, Abu Umamah rh.dan Ibnu Abu Muhairiz rh.. Ini juga pendapat sebahagian sahabat kami, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Mawardi rh. Para ulama’ tersebut berdalil dengan keumuman hadis-hadis yang menjelaskan tentang keumuman menyebarkan salaam. Sebahagian sahabat kami mengatakan : Dimakruhkan memulai salaam kepada orang-orang kafir dan tidak diharamkan.

Al Qadhi rh. meriwayatkan daripada sekelompok ulama’ bahawasanya boleh memulai mengucapkan salaam kepada orang kafir kerana terpaksa, diperlukan atau kerana sebuah sebab tertentu. Diriwayatkan oleh Alqamah rh. dan Ibrahim An Nakhai’e rh. dari Al Auza’ie rh. bahawa dia berkata : Jika kamu mengucapkan salaam kepada mereka, maka orang-orang solih sebelummu telah melakukannya. Dan jika kamu tidak mengucapkan salaam kepada mereka, maka orang-orang solih sebelummu juga demikian (juga diriwayatkan oleh imam Ibnu Qayyim Al Jauziyyah rh. kitab Zaad ul Ma’ad, Jilid 3 halaman 175)..Pendapat ini juga diriwayatkan oleh Al Mawardi rh.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh. Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 333-334

Meneliti semua data di atas, didapati bahawa diperbolehkan memulakan ucapan selamat kepada orang kafir adalah disebabkan oleh sesuatu hasrat tertentu bukannya bersifat umum sahaja, dan yang paling utamanya adalah atas dasar da’wah yaitu menyeru mereka kepada Islam sepertimana yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Saw.

Imam Al Hafiz Syamsuddin Muhammad Bin Abu Bakar Az Zuri Ad Dimasyqi (Ibnu Qayyim Al Jauziyyah) menyebutkan :

Para ulama salaf dan khalaf berbeza pendapat tentang hal ini. Majoriti mereka berpendapat bahawa tidak bolehnya memulai mengucapkan salaam kepada ahli kitab. Sebahagian lagi berpendapat boleh memulai salaam sebagaimana bolehnya menjawab salaam mereka. Pandangan ini dinukil dan Ibnu Abbas Rhu., Abu Umamah dan Ibnu Muhairiz. Akan tetapi pendokong pendapat ini mengatakan : (Hanya) dikatakan kepada mereka “assalamu ’alaika” sahaja, tanpa menyebutkan kata rahmat atau keselamatan, dan juga mengunakan lafaz tunggal.

Kelompok lainnya mengatakan bolehnya memulai memberi salaam kepada mereka untuk suatu masalah yang nyata berupa keperluan yang hendak didapati, takut kerana gangguannya atau kerana sebab-sebab yang mengharuskan berbuat demikian. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibrahim An Nakhai’e rh. Alqamah rh. dan Al Auza’ie rh. yang mereka berkata : Apabila engkau memberi salaam, sesungguhnya orang-orang salih telah memberi salaam. Dan jika tidak engkau memberi salaam, sesungguhnya orang-orang salih pun telah melakukannya.
Rujukan : kitab Zaad ul Ma’ad, Jilid 3 halaman 175

Imam Al Hafiz Ahmad Bin Ali Ibnu Hajar Al Asqalani rh. juga turut menyentuh dalam hal ini dengan menyebutkan :

“Daripada Ibn Abi Syaibah, daripada jalan ‘Aun bin Abdillah daripada Muhammad bin Kaab, bahawasanya dia (Muhammad bin Kaab) bertanya kepada Umar bin Abdul Aziz tentang memulakan salaam kepada ahli dzimmah, jawab Umar bin Abdul Aziz : Kita menjawab salaam mereka dan kita tidak memulakan kepada mereka salaam. Kata ‘Aun : Bagaimana pandangan anda (Muhammad bin Kaab)?, Jawab beliau : Aku tidak melihatnya apa-apa untuk kita memulakan salaam kepada mereka. Aku (‘Aun) berkata : Bagaimana itu?, beliau menjawab : kerana firman Allah Swt. : Maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah Salaamun (selamat tinggal). Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk (Surah Al Zukhruf (43) : ayat 89).”
Rujukan : kitab Fath ul Bari (Syarah Sahih Bukhari), Jilid 11 halaman 33

Contoh lain yang jelas, bahawa bolehnya mengucapkan salaam kepada orang kafir merupakan perbuatan dengan sebab tertentu adalah menerusi perkataan Nabi Ibrahim Ahs. kepada bapanya, yang memohon doa supaya Allah Swt. melimpahkan keselamatan dan diberikan hidayah (Islam). Ini dinyatakan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :  

“Berkata Ibrahim (kepada bapanya) : Semoga keselamatan dilimpahkan kepadamu, aku akan meminta ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.
Dan aku akan menjauhkan diri daripadamu dan dari apa yang kamu seru selain Allah, dan aku akan berdo'a kepada Rabbku, mudah-mudahan aku tidak akan kecewa dengan berdo'a kepada Rabbku".
Surah Maryam (19) : ayat 47-48

Pada satu sisi lain, imam An Nawawi rh. turut menyatakan pandangan sedikit berbeza dalam perkara ini berbanding dengan ketegasannya terdahulu (sila rujuk artikel 1), namun beliau tegaskan bahawa hanya boleh diperbuat atas dasar adanya sebab-sebab tertentu. Beliau mengatakan :

Tidak diperbolehkan mendoakan orang kafir agar mendapat keampunan atau doa lain yang tidak pantas dipanjatkan untuk orang-orang kafir. Akan tetapi diperbolehkan mendoakan mereka agar mendapat hidayah, kesihatan badan, keselamatan sebagainya. Di dalam kitab Ibnus Sunni rh. terdapat riwayat daripada Anas bin Malik Rhu. yang mengisahkan :

“Suatu ketika Nabi Saw. sedang meminta minum, lalu orang yahudi memberinya minum, lantas Nabi Saw. mendoakannya : Semoga Allah Swt. menjadikanmu tampan. Maka orang yahudi tersebut tidak pernah beruban sehingga dia meninggal dunia.”
Rujukan : kitab Al Adzkar, halaman 725

Berdasarkan hujjah-hujjah di atas, adalah jelas para fuqaha’ dan ulama’ yang membolehkan memulai mengucap salaam kepada orang kafir telah menegaskan bahawa kebolehan itu berlaku dengan adanya sebab tertentu yang majoritinya adalah atas sebab da’wah kepada orang kafir. Ini adalah hasrat yang munasabah kerana mengucapkan salaam dapat mencerminkan sikap toleransi dan menjadi wadah untuk menyampaikan dakwah Islam. Selain dari ajaran Ad Diin ul Islam yang suci dan terpelihara, perilaku ummat Muslimin sendiri dalam bermu’ammalah juga merupakan salah satu daya penarik untuk mendekatkan orang kafir kepada Islam.
  
Da’wah Islam perlu disampaikan kepada orang bukan Islam, ini adalah tanggungjawab kita semua. Sesungguhnya Allah Swt. telah mengurniakan tahap penghormatan tinggi kepada ummat Muslimin sepertimana firmanNya dalam di dalam surah Ali Imran (3) : ayat 110 ; “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”. Namun begitu, haruslah benar-benar diingati bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggung-jawab. Lagi besar dan tinggi sesuatu penghormatan, maka lagi beratlah tanggung-jawab yang harus dipikul. Tanggung-jawab yang diamanahkan oleh Allah Swt. kepada kita ummat Muslimin yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama ; “(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik (ma’ruf) dan melarang daripada segala perkara yang salah (munkar - buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah”. Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ yaitu melakukan da’wah kepada orang-orang kafir sambil melakukan Islah dan ikram sesama ummat Muslimin secara serentak. Dan memulai memberi salaam merupakan salah satu dari caranya.

Sepanjang pengetahuan dan semakan saya, lafaz memulai salaam ini tidak mempunyai lafaz ucapan yang soreh dan qati’e yang ditetapkan oleh Nabi Saw. mahu pun para sahabat baginda. Bentuk-bentuk lafaz yang ada hanyalah berdasarkan pandangan/ijtihad para fuqaha’ dan ulama’, yang mereka berbahagi pendapat tentang bentuk lafaznya. Maka tidaklah salah untuk menggunakan mana-mana lafaz yang diijtihadkan itu selagi mana ia sesuai dan selaras dengan matlamat da’wah.

Selain itu, boleh memulai memberi salaam berdasarkan adat dan ‘urf (kebiasaan) setempat yang bukan sepertimana ucapan Salaam yang khusus untuk sesama ummat Muslimin. Ungkapan itu mestilah yang berhasrat baik-baik, seperti selamat pagi, selamat petang, selamat malam, selamat sejahtera dan lain-lain lagi ungkapan yang baik-baik dalam berbahasa dan berbudaya, untuk menjaga silaturrahim dan membuktikan kebesaran toleransi Islam, juga pastinya dengan hasrat da’wah bagi menyeru mereka kepada Islam.

Sedikit pesanan : kurang perlu sebenarnya untuk berbantah-bantah berlebihan dalam hal memulai salaam kepada orang kafir ini, lantaran di masa ini, banyak sekali berlaku dikalangan sesama ummat islam sendiri pun, perintah menyebar dan mengucapkan salaam itu tidak pun ditunaikan. Ini perkara yang jauh lebih patut dititik beratkan dan diperbahaskan serta diperbaiki, demi kebaikan seluruh ummat Muslimin.

Setakat ini yang dapat saya nukilkan. Mudahan ia telah menjawab persoalan. Semoga memberi manfaat.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

0 ulasan: