Rabu, 12 September 2012
Ucapan Salam Kepada Kafir (bhg 1)
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح
لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan
salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para
Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus
Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita
seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang
mulia ini, InsyaAllah. Saya memohon perlindungan, rahmat dan bimbingan dari
Allah Swt. dari sebarang kesilapan dalam menuliskan nukilan ini.
Bersama ini saya sertakan artikel jawaban yang dikumpulkan
berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh para jamaah dan pembaca. Asalnya ia merupakan
maklumbalas secara individu sahaja, lanjutan daripada artikel : Disebalik
Ucapan Salaam yang disiarkan dalam www.salnboru.blogspot.com
pada hari Isnin, 1 November 2010. Saya siar umumkan atas permintaan jamaah
sebagai pedoman, panduan dan manfaat ilmiyah bersama. InsyaAllah.
Peringatan : Ungkapan Salaam yang dimaksudkan dalam artikel ini
adalah lafaz “assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh” dan ucapan lain
yang lebih ringkas yang diperintahkan serta dicontohkan oleh baginda Nabi Saw.
kepada sesama ummat Muslimin. Keterangan lanjut berkenaan lafaz ini telah
dinyatakan dalam artikel Disebalik Ucapan Salaam. Justeru itu, ungkapan Salaam
adalah merujuk kepada lafaz-lafaz itu sahaja dan bukan ungkapan selainnya.
Pernyataan ini diulangi bagi mengelakkan salah fahaman dikalangan para jamaah
yang membaca artikel ini.
Sebaik mungkin, semua perbahasan dan penjelasan
dinyatakan menerusi dalil-dalil yang soreh (jelas) dan qati’e (putus/muktamad).
Apa yang telah dalilnya sahih mahu pun hasan, maka itulah yang dipegang. Bagi
perkara yang tiada dalil soreh dan qati’e, memang wujud perselisihan
ijtihad/pendapat di kalangan para ulama’. Bagi perkara sebegini, akan saya
nyatakan ijtihad/pendapat para ulama’ sebagai panduan dan ianya boleh diterima
atau pun tidak diterima. Para jamaah juga boleh mendapatkan ta’liq (penjelasan)
yang lebih baik dari ilmuwan lain.
Soalan 1 : Bolehkah ummat Muslimin memulai memberi
salaam kepada orang kafir. Soalan ini ditanyakan kerana terdapat bermacam
pendapat yang menyatakan boleh, ada yang tidak boleh (haram) dan ada yang
katakan makruh sahaja. Harap diberikan penjelasan.
Jawaban : Tidak
boleh malahan haram. Ini dijelaskan oleh nas-nas berikut,
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata
bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Janganlah kalian memulai mengucapkan
salaam kepada orang-orang yahudi dan orang nasrani. Apabila kalian menjumpai
salah seorang mereka di jalan, maka desaklah dia ke jalan yang paling sempit”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
(no. 5626) dan imam Tarmidzi rh. (no. 1602)
Para ulama’ berbeza pendapat
menjawab salaam orang-orang kafir dan mengucapkan salaam kepada mereka. Adalah
haram memulai mengucapkan salaam kepada mereka. Pendapat yang kami sebutkan ini
adalah mazhab yang dianut oleh majoriti ulama’ dan kebanyakan kaum Salafus
Solih. Pendapat yang benar adalah haram memulai salaam kepada orang kafir.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 333
Dan dalam satu hadis lain :
“Dari Abu Basrah Al Ghifari Rhu. ia
berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Aku besok akan pergi kepada
orang-orang yahudi, maka jangan memulai ucapan salaam kepada mereka, Jika
mereka memberi salaam kepada kalian, maka jawablah dengan ‘Wa’alaikum’.”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
(kitab Adaab ul Mufrad, no. 1094), imam Ibnu Majah rh. (no. 3699), imam Ahmad
rh. (Jilid 4 no 143), imam Thabrani rh. (Jilid 22 no. 290) dan imam Thahawy rh.
dalam Kitab Syarah Ma’anil Atsar (Jilid 4 no. 341)
Nota : Lafaz “apabila kalian
menjumpai salah seorang mereka di jalan, maka desaklah dia ke jalan yang paling
sempit” bermaksud : orang kafir dzimmi (dan harbi) tidak boleh dibiarkan
mengguna bahagian tengah jalan, melainkan dia harus didesak ke jalan yang
paling sempit apabila kaum Muslimin sedang berjalan. Namun jika jalan itu tidak
ramai, maka tidak apa-apa. Hendaknya mendesak mereka ke pinggir jalan tidak
sampai memasukkan mereka ke dalam lembah dan tidak melanggarkan mereka ke
tembok dan lain sebagainya.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 335-336
Terdapat ramai ulama’ dan fuqahaa’
dahulu dan sekarang yang berijtihad (berpendapat) bahawa boleh malah digalakkan
ummat Muslimin memberikan salaam terlebih dahulu kepada kafiriin dengan hujjah
masing-masing antaranya untuk da’wah dan menunjukkan kebesaran Islam serta bagi
mengelakkan tanggapan buruk bahawa Islam ini agama yang kasar dan dzalim. Sesungguhnya
hal ini telah pun disyarahkan oleh imam An Nawawi rh. :
Sekelompok ulama’ berpendapat bahawa
kita boleh memulai mengucapkan salaam kepada orang kafir. Hal itu diriwayatkan
daripada Ibnu Abbas Rhu, Abu Umamah rh.dan Ibnu Abu Muhairiz rh.. Ini juga
pendapat sebahagian sahabat kami, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al Mawardi
rh. Para ulama’ tersebut berdalil dengan keumuman hadis-hadis yang menjelaskan
tentang keumuman menyebarkan salaam. Namun itu adalah pendapat yang salah,
kerana hadis yang dimaksudkan bersifat umum dan telah dikhususkan (kepada
sesama Muslim sahaja) oleh hadis (sahih) yang melarang memberi salaam kepada
orang kafir.
Al Qadhi rh. meriwayatkan daripada
sekelompok ulama’ bahawasanya boleh memulai mengucapkan salaam kepada orang
kafir kerana terpaksa, diperlukan atau kerana sebuah sebab tertentu. Diriwayatkan
oleh Alqamah rh. dan Ibrahim An Nakhai’e rh. dari Al Auza’ie rh. bahawa dia
berkata : Jika kamu mengucapkan salaam kepada mereka, maka orang-orang solih
sebelummu telah melakukannya. Dan jika kamu tidak mengucapkan salaam kepada
mereka, maka orang-orang solih sebelummu juga demikian (Juga diriwayatkan
oleh imam Ibnu Qayyim Al Jauziyah rh. kitab Zaad ul Ma’ad, Jilid 2 halaman 425-426)..Pendapat ini juga diriwayatkan oleh
Al Mawardi rh. dan itu pun pendapat lemah lagi menyelisihi hadis-hadis sahih
yang ada.
Sebahagian sahabat kami mengatakan :
Dimakruhkan memulai salaam kepada orang-orang kafir dan tidak diharamkan.
Pendapat itu juga lemah, kerana larangan itu adalah untuk pengharaman. Sehingga
pendapat yang benar adalah pengharaman memulai mengucapkan salaam kepada orang
kafir.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 333-334
Soalan 2 : Bolehkah
menjawab salaam yang diberikan oleh orang kafir. Dalam hal ini pun terdapat
berbagai pandangan. Harap dapat memberikan penjelasan.
Jawaban : Boleh
malahan wajib. Ini dijelaskan oleh nas-nas berikut, telah berfirman Allah
Tabaaraka Wata’ala :
"Dan apabila kamu dihormati
dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih
baik, atau balaslah (dengan yang serupa). Sesungguhnya Allah memperhitungkan
segala sesuatu."
Surah An Nisaa'(4) : ayat 86
Apabila seseorang Muslim mengucapkan
salaam kepada kalian, maka balaslah salaam yang lebih baik, atau balaslah
dengan salaam yang sama. Sebab lebih dari itu amat dianjurkan, sedangkan
membalasnya dengan serupa adalah diwajibkan. Wallahu a’lam.
Maksudnya adalah, membalasnya dengan
ucapan salaam yang lebih baik. Jika seseorang Muslim telah mengerti tujuan
syari’at salaam, maka paling tidak dia akan membalasnya dengan yang sama.
Sedangkan ahlul dzimmah (kafir) tidak boleh diberi salaam terlebih dahulu,
tetapi dijawab dengan berdasarkan pada apa yang terdapat dalam kitab Sahihain
(sahih Bukhari dan Muslim).
Imam Sufyan Ats Tsauri rh.
menyatakan daripada seseorang, dari imam Hassan Al Basri rh.dia mengatakan :
Mengucapkan salaam adalah Sunnah, sedang menjawabnya adalah wajib”. Apa yang
diucapkannya ini adalah pendapat ulama’ secara ijma’. Sesungguhnya menjawab
salaam itu adalah wajib bagi orang yang disalami. Berdosa jika ia tidak
melakukannya, kerana ia melanggar perintah Allah Swt. dalam ayat ini.
Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu
Katsir rh. Tafsiir ul Qur’anil Adziim, Jilid 2 halaman 368
Dan didalam satu ayat lain, Allah
memerintahkan secara umum untuk memberikan kebaikan kepada golongan kafiriin
yang tidak memerangi ummat Muslimin (kafir dzimmi),
“Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberi sumbangan harta kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil.”
Surah Al Mumtahanah (60) : ayat 8
Terdapat juga di dalam hadis-hadis yang sahabat baginda Rasulullah Saw.
menyuruh supaya membalas ucapan salaam oleh orang kafir :
Dari
Abdullah Ibnu Abbas Rhu. dia berkata : Jawablah
salaam pada orang yahudi, nasrani atau majusi dengan yang serupa kerana Allah
telah berfirman : (maksudnya : surah An Nisaa’ (4) : ayat 86 – telah dinukil di
atas).”
Hadis hasan
riwayat imam Bukhari rh. dalam kitab
Adaab ul Mufrad (no. 1099). Imam
Abdurrahman bin Abu Bakar As Suyuthi rh. menyebutnya sebagai hasan dalam kitab
Addurul Mantsur (Jilid 2 no. 606) dan Syaikh Muhammad Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya
sebagai hasan dalam kitab Silsilatul Ahaadis As Sahiihah (Jilid 2 no. 329)
Begitu
juga tersebut dalam suatu kisah, apabila kafir dzimmi menulis surat dengan memberi
salaam, maka dijawab salaamnya.
“Dari Abu Utsman An Nahdi rh. dia berkata : Abu Musa Al Asy’ari Rhu. menulis surat kepada seorang pendeta dan
ditulisnya ucapan salaam di dalamnya. Maka dia ditanya : Apakah kamu memberi
salaam kepadanya, sedangkan dia seorang kafir? Dia pun menjawab : Dia telah
menulis surat kepadaku dan dia juga memberi salaam, maka aku membalasnya dengan
yang serupa.”
Hadis sahih riwayat
imam Bukhari rh. dalam kitab Adaab ul Mufrad (no. 1093). Syaikh Muhammad
Nasiruddin Al Albani rh. menyebutnya sebagai sahih dalam kitab Silsilatul
Ahaadis As Sahiihah (Jilid 2 no. 326)
Terdapat juga di dalam hadis-hadis yang baginda Rasulullah Saw. sendiri
menyuruh supaya membalas ucapan salaam oleh orang kafir :
“Dari Anas bin Malik Rhu. ia berkata bahawasanya Rasululllah Saw.
bersabda : Apabila ahli kitab mengucapkan salaam kepada kalian, maka ucapkanlah
(jawablah), ‘Wa’alaikum’ (dan demikian juga atas kalian)”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 6258) dan imam Muslim rh.
(no. 5617)
Para ulama’ bersepakat tentang bolehnya menjawab salaam ahli kitab,
namun tidak boleh mengucapkan kepada mereka “Wa’alai kumus salaam” melainkan
hanya “Alaikum” atau “Wa’alaikum”. Adalah haram memulai mengucapkan salaam kepada mereka
dan wajib menjawab salaam mereka. Pendapat yang kami sebutkan ini
adalah mazhab yang dianut oleh majoriti ulama’dan kebanyakan kaum Salafus
Solih.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 332-333
Soalan 3 : Jika boleh
menjawab salaam orang kafir, bagaimana untuk melakukannya, apakah bentuk ucapan
balas sebenarnya.
Jawaban : Telah
diterangkan dengan keterangan di atas bahawa boleh malahan wajib menjawab
salaam yang dimulai oleh orang kafir. Untuk melakukannya mestilah mengikut cara
dan ucapan (lafaz) yang dibuat (dicontohi) oleh junjungan Nabi Saw. sendiri.
Ini adalah ketetapan yang soreh (jelas) dan qati’e (putus/muktamad). Tidak
boleh sama sekali diperbuat cara dan lafaz balasan itu dibuat-buat sendiri sesuka
hati.
Saya tegaskan hal ini kerana dalam
penelitian saya, terdapat beberapa pihak yang mencadangkan (berijtihad)
beberapa bentuk ungkapan balasan yang bermaksud baik dan sangat berhemah. Ramai
daripadanya beralasankan ia sebagai satu kaedah da’wah dan untuk merapati bukan
Islam, malahan ada dengan alasan untuk kesesuaian dengan zaman semasa. Saya berlapang
dada atas hasrat murni dan hasil usaha ini, dan mudahan Allah Swt. memberikan
petunjuk terbaik kepada mereka.
Yang mahu saya tekankan adalah,
apabila baginda Rasulullah Saw. telah menetapkan sesuatu dengan soreh dan qati’e, itulah yang wajib dipatuhi,
dan sama sekali tidak akan ada yang lebih baik dari itu. Kalau pun kita kurang
senang atau berasa tidak logik dengannya, tetap jua ia yang terbaik dan tiada
apa pun ijtihad yang boleh melepasinya. Pasti sekali ada rahmah dan hikmat
Allah Swt. disebaliknya yang tidak kita ketahui. Seruan kepada seluruh ummat
Muslimin : aqidah kita mesilah jelas dalam perkara ini lantaran Allah Swt.
telah berpesan :
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang
mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya
telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain)
tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan rasul-Nya,
maka sungguhlah dia telah sesat, (dengan) sesat yang nyata”.
Surah Al Ahzab (33) : ayat 36
Soalan 4 :
Bagaimanakah ucapan (lafaz) yang diajarkan oleh Rasulullah Saw. sendiri sebagai
ikutan ummat Muslimin. Ini kerana terdapat beberapa pihak yang menganjurkan
beberapa cara ucapan yang tidak sama. Jadi, ucapan bagaimana yang sebenarnya.
Jawaban : Ucapan
(lafaz) yang dibuat oleh Rasulullah Saw. adalah seperti berikut,
A. Ucapan (lafaz) : ‘Wa’alaikum’ yang bermaksud ‘dan demikian juga atas kalian’, Ini
berdasarkan hadis berikut,
“Dari Aisyah binti Abu Bakar Rha. ia
berkata : Sekelompok orang dari kalangan orang-orang yahudi meminta izin kepada
Rasulullah Saw. lalu mereka mengucapkan Assaamu ‘Alaikum (kematian atas
kalian). Maka Aisyah Rhu. berkata : Bal ‘alaikumussaam wal la’nah (bahkan atas
kalian kematian dan la’nat). Maka Rasulullah Saw. bersabda : Wahai Aisyah,
sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam segala hal. Aisyah berkata :
Tidakkah kamu mendengar apa yang mereka ucapkan?. Baginda menjawab : Aku telah
mengucapkan : ‘Wa’alaikum’ (dan demikian juga atas
kalian).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 6927), imam Muslim rh. (no. 5621) dan
imam Tarmidzi rh. (no. 2701)
Hadis di atas juga menunjukkan betapa berhemah dan tenangnya Rasulullah
Saw. dalam menghadapi situasi penghinaan oleh golongan yahudi. Ini sebahagian
daripada keagungan akhlak dan kesempurnaan sifat sabar Nabi Saw. Didalamnya ada
anjuran untuk bersikap lembut, sabar, santun dan berbuat baik kepada
orang-orang kafir selama mana tidak memerlukan berbuat kasar. Maka, tidak
hairanlah da’wah Islamiyyah telah berkembang begitu pesat lantaran anjuran
sikap terpuji Nabi Saw. ini.
Lafaz yang sama diungkapkan Nabi Saw. dalam,
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
(kitab Adaab ul Mufrad, no. 1094) dan hadis sahih riwayat
imam Bukhari rh. (no. 6258) dan imam Muslim rh. (no. 5617, 5618 dan 5625)
B. Ucapan (lafaz) : ’Alaikum’ bermaksud ‘demikian juga atas kalian’ Ini
berdasarkan hadis berikut,
“Dari Aisyah binti Abu Bakar Rha. ia
berkata : Sekelompok orang dari kalangan orang-orang yahudi meminta izin kepada
Rasulullah Saw. lalu mereka mengucapkan Assaamu ‘Alaikum (kematian atas
kalian). Maka Aisyah Rhu. berkata : Bal ‘alaikumussaam wal la’nah (bahkan atas
kalian kematian dan la’nat). Maka Rasulullah Saw. bersabda : Wahai Aisyah,
sesungguhnya Allah menyukai kelembutan dalam segala hal. Aisyah berkata :
Tidakkah kamu mendengar apa yang mereka ucapkan?. Baginda menjawab : Aku telah
mengucapkan : ‘Alaikum’ (demikian juga atas kalian).”
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 6024 dan 6395) dan imam Muslim rh. (no.
5622)
Catatan imam Muslim rh. menyebutkan : Hadis ini dari jalur sanad Hasan
bin Ali Al Hulwani rh. dan Abd bin Humaid rh. dan mereka tidak menyebutkan
huruf Waw (dan)
C. Ucapan (lafaz) : ‘Alaika’ yang bermaksud ‘demikian juga atas kamu’ Ini
berdasarkan hadis berikut,
“Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. ia
berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesunguhnya jika orang yahudi
mengucapkan salaam kepada kalian maka salah seorang daripada mereka mengucapkan
Assaamu ‘Alaikum (kematian atas kalian), maka ucapkanlah ‘Alaika (demikian juga atas kamu).”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
(no. 5619) dan imam Tarmidzi rh. (no. 1603)
Lafaz yang sama juga diucapkan oleh
baginda Nabi Saw. dalam sebuah hadis sahih riwayat imam
Bukhari rh. (no. 6928) dan imam Muslim rh. (no. 5620)
Demikainlah 3 cara menjawab salaam orang kafir yang dicontohkan baginda
Nabi Saw. sendiri. Justeru itu, lafaz “Wa’alaikumussaam”,
“alaikumussaam” (atau yang hampir
seumpamanya) yang bermaksud (atas kalian kematian)
seperti yang diajar, di sebut-sebut dan tersebar di dalam masyarakat kita sejak
dahulu lagi, bukanlah lafaz yang benar, malahan jelas ia telah dilarang oleh
Nabi Saw. Saya tidak tahu asal muasal bagaimana lafaz yang dilarang Rasulullah
Saw. ini pula yang tersebar luas diajar dalam masyarakat, sebaliknya lafaz dan
cara yang disuruh oleh baginda tidak pula diajarkan.
Nota : Ramai ulama’ dan fuqaha’
memilih 2 lafaz sahaja yaitu “Alaikum” atau “Wa’alaikum”
sebagai ucapan untuk membalas salaam dari orang kafir termasuk imam Nawawi rh.
Ini disebabkan lafaz ’ka’ dan ‘kum’ itu hanya dibezakan dari segi lughah Arab
yang mana, ‘ka’ merujuk kepada dhomier mufrad (ganti nama bagi satu
orang/singular) manakala lafaz ‘kum’ merujuk kepada dhomier jama’ (ganti nama bagi
ramai/plural). Yang lebih diterima umum dan digunakan secara meluas adalah
lafaz ‘kum’.
Soalan 5 : Apakah hikmah Rasulullah Saw. melayani dengan baik kepada golongan
kafiruun ini sekali pun baginda dilayan dengan sebegitu kasar, dicela dan
dihina.
Jawaban : Tindakan Rasulullah Saw. ini mencerminkan betapa tingginya budi pekerti
Baginda dalam menjalankan da’wah Islamiyyah kepada seluruh manusia. Akan rosak
binasalah ummat Islam sekiranya turut sama berbuat seumpama perangai kafirin la’natullah
ini. Tiada lain, mereka ini akan melakukan apa saja cara supaya ummat Muslimin
mengikut perlakuan mereka. Ummat Muslimin mestilah tegar dan istiqomah dengan
cara kita sendiri seperti mana sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Saw. Tambahan pula, sumpah kela’natan para kafirin
ini tidak berguna langsung pun dan selayaknya tidak dihiraukan. Ini ditegaskan
dalam hadis berikut,
“Dari Jabir bin Abdullah Rhu. ia
berkata : Sekelompok orang dari kalangan orang-orang yahudi mengucapkan salaam
kepada Rasulullah Saw. di mana mereka mengucapkan : Assaamu ‘Alaika (kematian
atas kamu) wahai Abu Al Qasim. Maka baginda menjawab : : Wa‘alaikum’ (dan demikian juga atas kalian). Lalu Aisyah Rha. berkata sambil emosi : Tidakkah kamu
mendengar apa yang mereka ucapkan?. Baginda menjawab : Ya. aku telah mendengarnya
dan aku telah membalas ucapan mereka. Sesungguhnya doa keburukan kita ke atas
mereka akan dikabulkan, sedangkan doa keburukan mereka ke atas kita tidak akan
dikabulkan.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 5625)
Berkenaan dengan celaan Aisyah Rha. terhadap orang-orang kafir,
terdapat sikap pembelaan terhadap baginda Nabi Saw., seorang yang mulia apabila
baginda dizalimi dan disakiti dan ia adalah tindak balas ke atas perbuatan
orang kafir itu yang duluan mencela Nabi Saw. Dalam kisah ini terdapat anjuran
bagi seseorang yang mempunyai keutamaan untuk tidak mempedulikan perbuatan
bodoh yang dilakukan orang-orang kafir yang menentang selama tidak menimbulkan
mudharat. Imam Asy Syafi’re rh. berkata : Orang cerdik yang berakal adalah
orang cerdas yang tidak peduli pada sesuatu yang tidak berguna.
Imam Yahya Bin Syaraf An Nawawi rh.
Kitab Syarah Sahih Muslim, Jilid 10, halaman 332-333
Setakat ini dahulu.
bersambung
والله تعالى أعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan
Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان , والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan