Jumaat, 12 Oktober 2012

Soal Jawab Ibadah Qurban (siri 4)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Seraya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya. Saya mohon berlindung diri dengan Allah Tabaraka Wata’ala dari sebarang kesilapan dan kekhilafan, serta memohon pimpinanNya sentiasa dalam menghasilkan artikel ini.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih terhadap semua jamaah dan para pembaca atas segala maklumbalas ke atas artikel siri 1, 2 dan 3. Ada juga maklumbalas yang lebih berbentuk ‘serangan tak langsung’ dan ‘ujian’. Walau apapun, ia memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kerana :

1.    Apabila mendapat maklumbalas, ia bermaksud apa yang dipersembahkan itu memberi kesan, jikalau tidak! mungkin penulisan ini syok sendiri sahaja dan tidak bermakna.
2.    Ada beberapa orang yang lama tidak hadir kuliah atas sebab-sebab yang mafhum, namun memberi respons kepada artikel penulisan, bermakna manfaat ilmu dan ukhuwwah silaturahim tetap berlanjutan. 

Saya mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah. Alhamdulillah, setakat saya masih sihat dan mampu untuk meneruskan nukilan saya. Bersama ini saya sertakan sebahagian jawaban terhadap beberapa persoalan lanjut yang dikemukakan. Ini adalah sekumpulan dari beberapa siri maklumbalas. Selalunya maklumbalas begini saya berurusan secara individu sahaja, namun kali ini saya siarkan atas permintaan jamaah sebagai pedoman dan panduan ilmiyah, bukan sebagai ketetapan hukum. Saya tidak layak, amat dhaif dan tidak faqih untuk mengistinbatkan hukum.

Semoga kita bersama-sama mendapat manfaat darinya. InsyaAllah.

---- Forwarded Message -----
From: abu_hadhari@yahoo.com
Sent: Monday, November 21, 2011 2:17 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Saya juga ucapkan ribuan terima kasih atas huraian lengkap berkenaan ibadah korban. Saya ingin memohon kepastian bagi hal ini :

Syarikat saya bekerja ada menyumbangkan 2 ekor lembu untuk korban di 2 buah masjid. Kami turut sama hadir menguruskan dan membahagikan kepada orang ramai. Tapi ramai dikalangan kami tertanya, betulkah perbuatan begini.

Harap mendapat penjelasan.

Maklumbalas - Perintah melaksanakan ibadah qurban diturunkan oleh Allah Swt. kepada junjungan mulia Nabi Muhammad Saw. dan seluruh ummatnya menerusi firman Allah Swt. berikut :

"Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu (wahai Muhammad ) nikmat yang banyak (sebuah sungai di syurga). Maka, dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah (nahr). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu, dialah yang terputus”.
Surah Al Kausar (108) : ayat 1-3

Bagaimana mahu melakukannya, dijelaskan oleh sifat amalan Nabi Saw. sendiri serta para sahabatnya, yang salah satunya dinyatakan di dalam hadis berikut :

“Dari Abu Ayyub Al Ansori rhu. ia berkata : Di masa Rasulullah Saw., setiap seseorang lelaki berqurban dengan seekor kambing untuknya dan untuk keluarganya”.
Hadis riwayat imam Tarmidzi rh., kitab Al Adhahi, Jilid 2 no. 1216 (hadis ini disahihkan oleh beliau). Diriwayatkan juga oleh imam Ibnu Majah rh. Jilid 2 no. 2546 (dengan sanad yang sahih)

Keterangan di atas menjelaskan maksud perintah membuat qurban itu kepada individu mukmin yang berkemampuan dan hukumnya adalah sunnat muakkad (yang dituntut). Dalam kes yang tuan sebutkan di atas, qurban itu dibuat oleh syarikat bukannya individu, maka itu :

1.    Perbuatan itu tidak salah dan sembelihan itu sah, cuma ia sembelihan biasa, bukan ibadah qurban kerana tidak mematuhi syaratnya.
2.    Perbuatan baik tuan menguruskan ibadat sembelihan itu, yakinlah ia amalan yang diberi ganjaran oleh Allah Swt.

---- Forwarded Message -----
From: nurziehaznil@gmail.com
Sent: Sunday, November 20, 2011 4:21 PM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 2

Assalamualaikum ustaz,

Kami pelajar di sebuah IPTA ada buat kutipan ramai-ramai untuk membuat korban, memandangkan kami kurang kemampuan. Tujuannya bagi membuat latihan tentang korban dan daging itu kami agihkan kepada yang hadir di masjid dan sebahagian kami berikan untuk kenduri masjid. Apa status hukum sebenar korban kami itu.

Satu lagi, kawan saya suruh saya bayar dulu memandangkan dia tak mampu pada masa itu, tapi sehingga sekarang dia belum bayar balik. Saya pun susah juga. Bagaimana keadaan korban yang dia buat.

Sekian.

Maklumbalas – Telah saya nyatakan di atas dan sebelum ini bahawa, ibadah qurban diperintahkan kepada individu mukmin yang mampu. Seekor kambing hanya bagi 1 orang, seekor lembu pula boleh dikongsi oleh 7 orang maksima dan seekor unta oleh 10 orang maksima. Ini adalah kali pertama saya mendapat khabar yang ibadah qurban dibuat perkongsian beramai-ramai (saya yakin - sehingga melepasi syarat yang telah dinyatakan). Maka itu :

1.    Hasrat untuk berlatih itu bagus dan baik sekali
2.    Tidaklah sembelihan itu menjadi ibadah qurban sekiranya tidak menepati syarat yang dinyatakan, tetapi jadilah ia sah sebagai sembelihan biasa sahaja.
3.    InsyaAllah, niyat dan perbuatan mulia itu tetap diberikan Allah Swt. ganjaran selayaknya.

Berkenaan hutang seorang sahabat itu, ini kali pertama juga saya mendengar khabar orang berhutang untuk membuat qurban. Amat pelik alkisah ini. Perintah ibadah qurban diturunkan kepada orang yang mampu, yang tidak mampu tidak dikehendaki membuatnya. Justeru itu, tidak perlu sehingga berhutang kerana berada dalam keadaan tidak mampu. Lantaran sembelihan itu bukan qurban (sebab telah dinyatakan di atas), namun ia tetap sah sebagai sembelihan biasa, kalau pun sebahagian pembeliannya menerusi cara berhutang.

Kes hutang ini adalah satu kes lain yang tidak menjadi syarat kepada sah atau tidak sembelihan. Disebabkan hutang kepada tuan dia belum dibayar, mintalah baik-baik kepada dia dan sampaikan pesan Nabi Saw. kepadanya :

“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata : Seseorang pernah meminjamkan hutang kepada Rasulullah lalu ia bertindak (ditagihnya) secara kasar kepada Baginda, hingga para sahabat berasa geram kepadanya (orang itu). Maka Nabi Saw. bersabda : Sesungguhnya bagi orang yang memiliki (memberi hutang) berhak untuk berkata apa saja (menagih). Belikanlah oleh kamu seekor unta muda kemudian berikan kepadanya! Mereka (sahabat) berkata : Kami tidak mendapat unta, melainkan yang paling bagus. Lalu Baginda bersabda : Belilah kemudian berikan kepadanya. Sesungguhnya sebaik-baik kamu ialah yang paling baik membayar hutangnya.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Jilid 4, no. 1601

Moga saya telah membantu, dan semoga tuan boleh mendapat wang kembali.

---- Forwarded Message -----
From: amziehajati@yahoo.com
Sent: Monday, November 21, 2011 11:44 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 1

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Moga kau sihat Edd, ado sikit den nak tanyo hal korban, sogan sikitlah melibatkan kaum keluargo den nih.

Apa hukumnya bagi seseorang yang sangat berkemampuan, selalu melaksanakan ibadah korban sedangkan dalam hal amalan wajib seperti solat dan puasa dia culas bonarlah. Selalu kito kenen-kenen pun dia buat tak faham je. Boleh diterima kah korban yang dia buat, macam mana dengan amalan wajib yang dia tinggalkan

Harap dapat sikit penjelasan

Maklumbalas – Ada prinsip asas yang mesti difahami dalam menangani perkara ini. Perintah melaksanakan Ibadah/syari’ah Islam terkandung di dalam Al Qur’an dan As Sunnah rasulNya. Ia terbahagi kepada 2 yaitu wajib (mesti dibuat - fardhu ain dan kifayah) dan sunnat. Setiap satunya mempunyai dalil dan nas suruhan tersendiri dan ia berdiri sendiri tanpa bergantung kepada selainnya.

Sebagai contoh : tidak boleh sama sekali diputuskan bahawa tidak perlu (hilang kewajiban) membayar zakat (harta dan fitrah) kerana solat dan puasa belum buat.

Status hukumnya juga berbeza yang mana perkara wajib itu mesti dibuat dan meninggalkannya berdosa, malah meningglkan perkara rukun (solat, puasa, zakat dan haji) adalah dosa besar. Ibadah qurban adalah salah satu ibadah sunnat hukumnya, dan perkara yang sunnat itu kalau dibuat akan mendapat pahala dan jika tidak dibuat, ia tidak mendatangkan dosa.

Perintah melakukan ibadah/syariah sama ada wajib (fardhu) atau sunnat (mandhub) ini terjatuh kepada setiap individu ummat muslimin selagimana seseorang itu masih mukallaf (baligh, sihat tubuh badan, waras akal fikiran, beriman dan tidak terkeluar dari Islam). Pengecualian, keringanan atau pengkhususan dari tanggungjawab melaksanakan ibadah/syariah ini secara seluruhnya atau sebahagiannya, hanya boleh diperbuat sekiranya berlaku sesuatu sebab (ilat) yang dbenarkan syara’ sahaja, misalnya bencana alam (tahap umum) atau sakit dan uzur (tahap individu). Dan seluruh ibadah ini terputus langsung apabila manusia itu mati.

Maka itu, ibadah qurban yang dibuat oleh seseorang adalah tidak salah dan tetap sah diperlakukan selagi mana dia masih mukallaf, dan insyaAllah, dia boleh mendapat ganjaran pahala atas perbuatannya yang itu, sekalipun seseorang itu senghaja tidak melakukan lain-lain perintah Allah Swt. dan rasulNya yang wajib. Harus diingat benar-benar, meninggalkan yang wajib itu adalah dosa besar dan balasannya neraka (hal ini boleh dirincikan dalam bab yang lain).

Seruan saya, berdasarkan penceritaan tuan, memang ada yang tidak kena pada individu itu. maka pihak keluarga teruskan usaha sedaya upaya agar seseorang itu dapat melakukan perkara wajib sepenuhnya dahulu dengan cara yang benar, sebelum melakukan perkara sunnat lantaran begitulah turutan melakukan ibadah yang dituntut oleh Allah Swt. dan dicontohi rasulNya. Namun dalam tempoh itu, tetap jua apa-apa ibadah sunnat yang dia lakukan adalah diterima dan sah.

---- Forwarded Message -----
From: pedu_00@yahoo.com
Sent: Tuesday, November 22, 2011 17:55 PM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 2

Assalamu’alaikum Wr. Wbt.

Terima kasih atas huraian lengkap ibadah korban. Moga hasil usaha Tn. Hj. mendapat restu Allah dan dilimpahi rizqi dan kelapangan masa untuk meneruskan usaha da’wah yang murni ini. InsyaAllah.

Saya ingin mendapat penjelasan lanjut, setiap perintah amalan ibadah oleh Allah Swt. tentu sekali mempunyai hikmah dan kelebihannya. Hal ini rasanya belum lagi Tn. Hj.nyatakan dalam artikel-artikel yang lepas. Saya berpendapat amat perlu hal ini diketengahkan kerana ini juga salah satu cara da’wah kepada orang Islam tentang kepentingan dan kelebihan ibadah korban malah mungkin juga kepada bukan Islam.

Sekian, terima kasih.

Maklumbalas – Saya ada menyatakannya dalam artikel terdahulu, namun secara ringkas sahaja. Berdasarkan permintaan ini, baik sekali dinyatakan lebih lanjut.

1.            Orang yang membuat qurban akan mendapat manfaatnya yaitu diampuniNya dosa-dosa mereka, diganjari pahala diatas ibadah dan ketaatan yang dilakukan dan mendapat untung dalam perdagangan. Mereka menyebut nama Allah dan membesarkanNya (bertakbir) semasa menyembelih sebagai tanda syukur kepada Allah atas nikmat dan rizqi yang dikurniakanNya. Demikianlah maksud firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hamiid :

“Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan, atas rizqi yang telah Allah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

2.            Melaksanakan ibadah qurban merupakan satu manifestasi kepada ketundukan, ketaatan, pematuhan seterusnya ketaqwaan kita sebagai makhluk kepada Khalik, menerusi kepatuhan kepada semua perintah dan segala suruhanNya, bagi mendekatkan diri kepadaNya. Dilakukan hanya untuk Dia semata-mata tanpa ada sedikit pun untuk yang selainNya. Sekiranya diperbuat sebegitu, maka itulah sifat taqwa, yang diterima oleh Allah Swt. Demikianlah maksud firman Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Haliim :

 “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 37

“…………. Berkata Habil : Sesunguhnya Allah hanya menerima (qurban) dari orang-orang yang bertaqwa”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 27.

3.            Di hari akhirat nanti, binatang qurban itu akan didatangkan oleh Allah dari tempat yang tinggi (mulia) dan ia menambahi pahala juga akan memberatkan timbangan (al mizan) dan membantu orang yang membuat qurban itu mendapat syurga. Demikianlah yang dinyatakan di dalam hadis berikut : 

“Dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha. ia berkata, bahawasanya Rasulullah Saw. telah bersabda : Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya qurban yang lebih disukai Allah (selain) dari mengalirkan darah (yakni menyembelih qurban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya (dan diletakkan di atas timbangan). Dan sesungguhnya darah binatang qurban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi. Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berqurban itu”.
Hadis riwayat Imam Tirmizi h., imam Ibnu Majah rh. dan imam Hakim rh. Imam As Suyuthi rh. menyatakan ia hasan. Kitab Al Jami’ us Saghier, no. 7949

4.            Membuat qurban melatih diri ummat Muslimin supaya bersifat qana’ah (murah hati) dengan mengeluarkan sebahagian rizqi anugerah Allah Swt. kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, ia meningkatkan rasa ukhuwwah, merapatkan silaturrahmi, kasih sayang dan rasa kebersamaan di kalangan ummat Islam. Demikianlah yang dijelaskan dalam dalil-dalil berikut :

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara lagi fakir”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 28

“…….Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (orang yang berharap tetapi tidak meminta-minta) dan orang yang meminta”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 36

“Dari Salamah bin Akwa rhu. ia berkata : bahawasanya Nabi Saw. bersabda : Barangsiapa diantara kalian yang menyembelih binatang qurban, maka janganlah ia menyimpan sedikitpun darinya di rumahnya setelah 3 hari. Pada tahun berikutnya para sahabat bertanya : Ya Rasulullah! kami melakukan sebagaimana yang kami lakukan pada tahun yang lalu. Baginda bersabda : (Sekarang) makanlah, berikanlah pada yang lain dan simpanlah. Kerana pada tahun lalu itu banyak sahabat yang ditimpa kesusahan. Jadi aku bermaksud agar kamu semua membantu mengatasinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 5569)

Mudah-mudahan saya telah membantu, insyaAllah.

---- Forwarded Message -----
From: prtdi@yahoo.com
Sent: Tuesday, November 22, 2011 9:37 AM
Subject: Ibadah Qurban : Siri 2

Assalamua’alaikum tuan ustaz,

Terima kasihlah atas jawaban panjang lebar kepada soalan saya tu dulu, Saya baca bersambung-sambung baru boleh habis. Kurang clear, saya baca lagi. InsyaAllah, boleh difahami, sekiranya ada yang musykil nanti saya tanya lagi. Harap tak jemu.

Dan sekarang saya nak tanya, berlaku dalam satu keadaan, seseorang itu mampu keluarkan duit 1 kali sahaja sama ada untuk buat korban atau buat akikah, maksudnya dia hanya boleh pilih salah satu sahaja. Terjadi keadaan anak dia yang baru lahir, akan tamat 7 hari yang dituntut buat akikah bersamaan pada hari raya haji ke 4. Jadi, mana yang lebih utama untuk dia buat dulu, akikah atau korban?

Soalan saya ni fiksyen saja, tapi tak mustahil keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa pun. Baik juga tuan bagi jawaban in advance supaya jika terjadilah cerita seperti itu tak kelam kabut nanti.

Segala jawapan macam mana pun, terlebih dahulu saya ucapkan ribuan terima kasih.

Segala jasa baik sangat dihargai. Sekian.

Maklumbalas – Terima kasih tuan prtdi@yahoo.com yang berjaya mengekalkan tradisi memberi idea dan soalan memeningkan kepada saya. Memang kelam kabut saya kerana hal qurban ini belum habis lagi, tapi tuan dah masukkan hal aqiqah. Ayat-ayat soalan terakhir seakan perli saya pun ada. Tapi tak apa, memandangkan ia turut melibatkan qurban, saya cuba jawab juga sebaiknya, insyaAllah. Jawaban awal begini :

1.    Paling baik adalah buat kedua-duanya sekali, itu pun sekiranya dia itu mampu.
2.    Pilih saja salah satu darinya untuk diperbuat, juga tidak salah, kerana kedua-duanya adalah hukum sunnat muakkad (yang dituntut membuatnya).
 
Yang memeningkan saya ini, adalah tuan minta saya buat suatu ketetapan yang mana satu lebih afdhal di antara bentuk 2 ibadah, yang hukumnya sama, untuk diperbuat dalam situasi sebegitu. Ini bukan hal mudah. Kerana itu, saya berpesan awal-awal lagi, apa yang saya putuskan nanti adalah pedoman sahaja yang terhasil dari keupayaan saya sendiri, bukan suatu penetapan hukum, malah validitynya pula hanya untuk keadaan seperti itu sahaja. Pasti sekali akan ada perbezaannya sekiranya ditanya kepada ilmuwan lain yang lebih faqih.

Sedikit tentang aqiqah (rinci dalam bab aqiqah sendiri) :

“Dari Muhammad bin Sirin rh. dari Salman bin Amir Adh Dhabi Rhu. ia berkata, aku pernah mendengar Rasulullah Saw. bersabda : Bersama bayi ada aqiqah. Maka hendaklah kalian menyembelih (kambing) untuknya dan bersihkanlah kotoran darinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Jilid 4 no. 5471

Dari Salman bin Amir Adh Dhabi Rhu., dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : “Aqiqah dilaksanakan kerana kelahiran bayi, maka sembelihlah haiwan (kambing) dan hilangkanlah semua gangguan darinya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. Jilid 4 no. 5472

Secara lughah, aqiqah berarti ‘memotong’. Asasnya ia merujuk pada rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan aqiqah kerana ianya harus dipotong (dicukur). Dalam takrifan istilah, aqiqah berarti binatang yang disembelih untuk bayi itu pada hari ke 7 (daripada hari kelahirannya), dia dicukur dan diberi nama. Hukumnya sunnat muakkad.

Apabila terjadi situasi seperti ini, adalah lebih afdhal membuat aqiqah bagi anak yang baru lahir disebabkan tempoh yang disebut sebagai sunnat muakkad itu adalah terhad yaitu pada hari ke 7 daripada hari kelahirannya. Bermaksud, kesempatan untuk membuat aqiqah yang dituntut itu hanya satu kali sahaja dalam tempoh 7 hari itu. Namun, boleh aqiqah diperbuat selepas tempoh 7 hari itu, tetapi ia bukan sunnat dituntut lagi. Demikianlah sefaham saya menerusi hadis berikut :

“Dari Samurah bin Jundab Rhu. dia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Semua anak bayi tergadaikan dengan aqiqahnya yang pada hari ketujuhnya disembelih haiwan (kambing), diberi nama dan dicukur rambutnya”.
Hadis sahih riwayat imam Tarmidzi rh. (no. 1552), imam Nasa’ie rh. (Jilid 7 no. 166), imam Abu Daud rh. (no. 2838), imam Ibnu Majah rh. (no. 3165) dan imam Ahmad rh. (Jilid 5 no. 7, 8 dan 22) dan imam Darimy rh. (Jilid 2 no. 81)

Ini berbeza jika dibandingkan dengan ibadah qurban yang mana, ia juga di tuntut dalam tempoh 4 hari (hari nahr dan 3 hari tasyriq), tetapi sekiranya tidak boleh diperbuat pada tahun ini, ia boleh dibuat lagi pada tahun-tahun berikutnya dengan hukumnya tetap sama, selagi seseorang masih hidup dan berkemampuan sehinggalah ia wafat.

Mudah-mudahan saya telah membantu tuan.

Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, moga memberi manfaat.

والله تعالى أعلم

Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.

سكيان , والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: