Khamis, 24 Februari 2011

Maulid Rasul SAW - Bahagian 2

0 ulasan
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.

Terima kasih kepada rakan-rakan yang memberi maklumbalas ke atas artikel no. 1 terdahulu. Ada soalan menarik, kenapa saya menulis panjang. Jawaban mudah saya, prinsip dan dasar ilmu adalah ketepatan fakta dan hujjah seterusnya menghasilkan kesimpulan berdasarkan dalil qati'e. Perayaan maulid ini, hal amaliyah yang disandar dan ditujukan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Tidaklah layak sama sekali, apa jua ketetapan datangnya dari ilmu sangka-sangkaan, teka meneka, hearsay dan percaya membuta tuli sahaja. Kerana itu, tiada lain melainkan susur galur data dan hujjah itu mesti diterangkan dan difahami. Hakikatnya apa yang ditulis disini, adalah mukhtasor amat pendek sebenarnya. Atas satu-satunya sebab, supaya tidak kita menipu atas nama mulia Nabi SAW..
Saya sambung sedikit lagi perihal masyarakat Mesir sepanjang pemerintahan kelompok Ubaidiyun Batiniyah ini. Imam Ahmad bin Muhammad Ibnu Khallikan rohimahullah (608H - 681H) dalam kitab Tarikh Ad Daulah Al Fathimiyah (ms 202-218), menghuraikan 'sebahagian khalifah kelompok Ubaidiyun ini misalnya Al Hafiz (467H-544H) gemar mengunjungi gereja kristian, Al Amir (490H-524H) suka memberikan kepada pendeta di gereja sepuluh ribu darham setiap kali keluar berburu sehingga menyebabkan gereja sangat kaya dalam era pemerintahan Ubaidiyun. Ubaidiyun memperlakukan orang-orang yahudi dan nasrani dengan penuh ramah, melindungi, diberi pangkat dan harta.

Namun sikap mereka terhadap Ahli Sunnah amat berbeza. Ubaidiyun telah melaknat 3 Khalifah ar Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar dan Usman rha dan sahabat-sahabat lainnya dan menganggap mereka sebagai musuh Ali KMWJ. Keutamaan Ali KMWJ dan keturunannya di tulis di dinding masjid manakala seluruh khatib Jumaat melaknat, mencerca dan mencela amat hina 3 khulafa ar Rasyidin dan sahabat lain.

Ubaidiyun telah mewajibkan kepada seluruh pegawai Mesir untuk menganut mazhab Ubaidiyun Batiniyah, serta semua qadhi mesti menetapkan hukum mereka sesuai dengan fahaman undang-undang mazhab itu. Bahkan, untuk boleh menjadi pegawai pemerintah disyaratkan mesti masuk ke mazhab syiah itu sehingga mendorong sebahagian besar kafir dzimmi memeluk Islam, menganut mazhab itu dan diberikan kedudukan.

Diantara bukti jelas kebencian dan permusuhan Ubaidiyun batiniyah terhadap Ahlus Sunnah adalah perintah Al Aziz untuk menghentikan solat tarawih di seluruh Mesir pada tahun 372 Hijrah. Pada tahun 393 Hijrah, beliau menangkap 13 orang lalu dipukul, diseret dengan unta dan dipenjara kerana mereka solat dhuha. Pada tahun 381 Hijrah, seorang lelaki dipukul dan diarak keliling kota hanya kerana dia memiliki kitab Al Muwattha karya imam Malik bin Anas rohimahullah.

Butiran yang dinyatakan diatas dan sebelumnya adalah bukti jelas yang perayaan maulid nabi yang dimulakan oleh golongan ini seterusnya diikuti banyak manusia sehingga ke hari ini, adalah perlakuan satu mazhab sesat yang asasnya satu ritual yang diada-adakan bukan atas dasar taqwa dan penghormatan ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW sendiri.
Perayaan itu mereka lakukan bagi meyakinkan masyarakat pada masa itu bahawa mereka adalah keturunan Ahlul Baits seperti yang mereka dakwa. Selain itu, mereka menggunakan pelbagai bentuk perayaan ini bagi menjarakkan diri mereka daripada Khilafah Islamiyyah Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad. Imam Ibnul Muqrizi dalam kitabnya al Khuthathul Muqriziyah menceritakan mengenai bentuk dan perlaksanaan setiap perayaan tersebut. Ia dipenuhi ritual perbuatan, amalan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam. Tidak saya naqal disini kerana pengkisahannya amat panjang.

Ingin juga saya sebutkan, adat sebagai manusia, tidak semuanya berkelakuan buruk.
Pada tahun 488H di zaman pemerintahan Khalifah Al-Musta’li Billah, perayaan ini telah dihentikan serta semua bentuk cercaan, hinaan dan cacian ke atas para sahabat Rasulullah turut dihentikan. Ini adalah jasa amat besar yang dibuat oleh seorang penglima perang  bernama Badrul Jamali rohimahullah. Namun begitu, keadaan ini tidak bertahan lama apabila ia diamalkan semula pada tahun 495H.

Para ilmuwan, fuqaha dan mufasirin terdahulu telah pun memberikan pandangan mereka berkenaan sambutan maulid nabi ini. Harus diingat baik-baik, hal maulid nabi ini tidak pernah disebut dan diperakui oleh imam mazhab yang empat, hanya ia dilakukan oleh orang-orang yang ratusan tahun selepas mereka. Ini terbukti oleh perakuan dan catatan oleh para ilmuwan dan fuqaha' yang antaranya :-
1. Imam Al Hafiz Ismail bin Umar Ibnu Katsir rohimahullah (700H-774H) mencatatkan dalam kitabnya al Bidayah wan Nihaayah (XI/ms 306) menyebutkan 'kolompok Ubaidiyun batiniyyah mengaku Fathimiyyin ini telah mula memerintah Mesir pada Ramadhan 362H. .... . Tidak pernah ada sesiapapun yang pernah mendahului mereka dalam melakukannya'.2. Imam Abdurrahman bin Ismail Abu Syamah rohimahullah (599H-665H) dalam kitab al Baits Ala Inkaril Bidah wal Hawadis menyebut 'maulid nabi merupakan bidah terbaik dilakukan pada masanya'.
3. Imam Al Hafiz Jalaluddin Abdurrahman As Suyuthi rohimahullah (849H-911H) dalam kitabnya Husnul Maqsud Fi Amali Maulid yang menyebut 'orang yang pertama melakukan maulid nabi adalah penguasa Irbil yaitu raja Abi Said Kaukaburi bin Zainudin Ali, salah seorang raja yang mulia'.
4. Syeikh Muhammad bin Ibrahim Alu Syeikh rohimahullah (1311H-1398H) dalam kitabnya Majmuu Fatawa war Rasaail (III/ms 59) menyebutkan 'bidah maulid nabi ini pertama kali diadakan oleh Abu Said Kaukaburi pada abad keenam hijrah'.

5. Lebih jelas lagi bahawa perayaan maulid nabi ini tidak pernah dilakukan oleh para salafus soleh menerusi kata-kata Imam Al Hafiz Ahmad bin Ali Ibnu Hajar Al Asqalani rohimahullah (773H-852H) 'pada dasarnya peringatan maulid nabi adalah bidah kerana tidak seorang pun dari kalangan salafus soleh tiga abad pertama yang melakukannya'. Catatan ini dipetik oleh imam As Suyuthi rohimahullah dalam kitabnya Husnul Maqsud Fi Amali Maulid.

Hal amat menjengkelkan yang berlaku dikalangan kita sekarang ini adalah, para pelaku perayaan maulid nabi ini membuat dakwaan bahawa perbuatan mereka adalah bersumberkan perbuatan Nabi SAW sendiri dan para salafus soleh. Walhal, amat jelas bahawa para imam muktabar dan ahli tarikh telah pun membuktikan bahawa faktanya bukanlah begitu. Salah satu punca perbuatan ini adalah didasarkan kepada hadis maudhu' dan munkar yang tidak pernah dihafaz, dikenal dan direkodkan oleh para muhadditsin seperti
'Barangsiapa yang menginfaqkan satu dirham pada hari kelahiranku, seakan-akan ia menginfaqkan emas seberat gunung Uhud' dan 'Barangsiapa yang mengagungkan hari kelahiranku, maka wajib baginya (mendapat) syafaatku pada hari qiamat'. Moga Allah SWT menganugerahkan siksaan, kecelakaan dan laknat tertinggi kepada manusia-manusia yang sebegitu berani menipu atas nama junjungan mulia Muhammad SAW dan menyesatkan jutaan ummat Islam.
Ada juga juga yang beralasankan hadis ini,
dari Abu Qatadah rodhiallahu anhu, beliau menceritakan 'Rasulullah ditanya tentang puasa hari Isnin? Baginda menjawab 'Itu adalah hari kelahiranku dan hari aku diutus menjadi nabi'.
Hadis sahih diriwayatkan oleh imam Muslim (II, no. 1162), imam Ahmad (V, no. 297) dan imam Ibnu Khuzaimah (III, no. 2117)
 
Secara begitu rambang mentakwil hadis ini, menggunakan secara salah perkataan Rasulullah ini untuk menghalalkan perayaan maulid nabi yang mereka buat, walhal apa yang Rasulullah buat hanyalah berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis sebagai cara Baginda mengingati hari kelahiran dan hari diutus menjadi nabi. Tidak lebih dari itu perbuatan Rasulullah, bahkan tidak sama sekali baginda menyambutnya pada tanggal 12 Rabiul Awwal setiap tahun dengan segala macam pesta-pestaan, upacara begitu begini dan pembaziran seperti sekarang ini. Jika benar mahu menyambut maulid seperti yang diperintahkan Rasul, maka berpuasalah (sunnat) setiap hari Isnin dan Khamis. Itulah contoh amalan Rasulullah dan tiada yang lebih dari itu. Sekadar bertanya, kenapa tidak dibuat apa yang dicontohkan Rasul ini?
 
Nota : Rasulullah SAW menganjurkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis secara serentak. Ini adalah hadis hasan diriwayatkan oleh imam Ahmad (VI, no. 80), imam Abu Daud (II, no. 814), imam Tarmizi (II, no. 744), imam Nasaie (IV, no. 152-153) dan imam Ibnu Majah (I, no. 1739). Rasulullah juga ada mengatakan bahawa Baginda suka amal perbuatannya dilaporkan pada hari Isnin dan Khamis dalam keadaan berpuasa. Ini adalah hadis hasan diriwayatkan oleh Ahmad (V, no. 20), imam Abu Daud (II, no. 814), imam Tarmizi (II, no. 214), imam Nasaie (IV, no. 201-202).     
Disebuah negara jiran (saya berada di sana satu minggu sebelum 12 Rabiul Awwal 1432H) terdapat gerakan besar-besaran untuk mengumpulkan orang untuk bersalawat beramai-ramai sempena maulid nabi bagi membuat rekod dunia manusia paling ramai bersalawat serentak. Saya ikuti juga perbahasan di sana tentang hal ini dan para pendokong gerakan ini menjelaskan perbuatan itu adalah untuk memakmurkan Islam dan Rasul sendiri merayakan maulid baginda. Saya nak beritahu, mungkin ada perintah nabi yang menyuruh berbuat seperti itu, tapi bukan nabi Muhammad SAW. Rekod perkumpulan manusia itu telah pun ada setiap 10 Zulhijjah, setiap tahun di Baitullah dan tanah haram dan semakin bertambah pun setiap tahun. 
 
Persoalan paling besar disini adalah mengkaitkan nama junjungan mulia nabi Muhammad SAW ke atas suatu amalan yang tidak Baginda buat dan tidak Baginda perintahkan. Ini adalah adalah satu penipuan dan kepalsuan jelas yang di'parking' ke atas peribadi suci Baginda. Tidak sepatutnya sama sekali perkara ini diperlakukan. Sesungguhnya Allah SWT telah berpesan kepada seluruh ummat Islam di dalam Al Qur'an ul Hakiim :
 
'Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui'.
Surah Al Hujurat (49) : ayat 1
 
Dan, Rasulullah SAW juga berpesan dalam sebuah hadis dari Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar :
 
'Barangsiapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak kami perintahkan (bid'ah), amalnya itu tertolak'
Hadis sahih riwayat imam Bukhari dan Imam Muslim rohimahullah.
 Wallahu a’lam...bersambung
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: