Subject: Amalan Semasa Sakaratul Maut
Salaam Tuan Haji,
Macam mana pendapat Tuan Haji tentang artikel yang saya dapat ni.
Assalammualaikum,
Menurut Ustaz, masyarakat Melayu telah lama buat salah dalam 'membantu' seseorang menghadapi sakaratul maut. Menjadi kebiasaan, kita akan mengelilingi orang yang tengah nazak dengan masing2 membaca surah Yasin, dengan bacaan yang tersendiri dan bermacam2 ragam (setengah dengan tartil, setengah bacaan laju). Perbuatan sebegini akan menjadikan orang yang tengah nazak merasa lebih kelam kabut (kerana menurut ustaz sebelum datangnya kematian, kita 'disibukkan' dengan segala gambaran perbuatan kita di dunia).
Kaedah yang sepatutnya diamalkan ialah:-
i) Lantik seorang yang bacaan Alquran nya baik (dari segi tajwid) untuk membaca surah Yasin - yang lain2 boleh bersama2 semak.
ii) Sebaik2 orang yang dilantik itu adalah anak ataupun saudara terdekat yang mempunyai perasaan kasih pada orang yang tengah nazak.
iii) Merenung wajah orang tengah nazak sebelum surah Yasin dibaca untuk menimbulkan rasa belas kasihan dan mudah2an surah yang dibaca boleh membantu pencabutan nyawa beliau.
iv) Membaca 3 hingga 4 kalimah Surah Yasin, berhenti, dan menolong (menuntun) beliau untuk melafaz "Laa ila ha illallah".
v) Kemudian menyambung semula bacaan, baca 3 hingga 4 kalimah, berhenti lagi, dan menolong beliau mengucap "Laa ila haillallah" lagi.
vi) Diteruskan sehingga lah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
Semoga ini dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan kita dalam 'membantu' saudara mara atau mak ayah kita dalam menghadapi sakaratul maut. Dan semoga kita mendapat segala rahmat serta hidayah NYA dlm membuat amal kebajikan dengan cara yang betul bukan semata2 melalui ikutan adat. Amiin.
Wassalam.
وعليكم السلام
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu, saya amat berterima kasih kepada Abang Z kerana sudi bersama-sama dalam group ini. Juga atas beberapa kali memberikan sumbangan idea dan dorongan. Sebenarnya, saya cuba untuk mengelak dari memberikan maklumbalas secara langsung dalam hal hukum dan amalan syari'at (Fiqh). Ini disebabkan beberapa hal yang antaranya, sikap suka menghukum membuta tuli tanpa melihat dan meneliti kepada kesahan hujjah dan dalil. Apa-apa butiran yang bertentangan dengan amalan semasa tidak dinilai kepada fakta dan buktinya tetapi dibenci dan ditohmah dengan nista. Keadaan ini begitu berleluasa. Lebih teruk lagi, sikap begini bukan sahaja lahir dikalangan orang awam yang pastinya kita maklum bahawa mereka kurang mengerti, tetapi didokong pula oleh golongan asatizah, yang sepatutnya lebih tenang dan terbuka dengan ilmu, bukannya sebagai penutup ruang ilmu dan pembuka ruang kepalsuan malah menjadi peniup bara fitnah dan kebencian.
Kerana itu, banyak sekali soalan Fiqh yang tertangguh dalam stok soalan, banyak juga yang agak sensitif sebenarnya, kalaupun saya amat berhasrat memberikan maklumbalas. Pengalaman terdahulu dalam hal tohmahan, penghinaan dan cercaan masyarakat, saya akui sedikit sebanyak telah menyentap semangat saya. Biarpun, tidaklah pernah ia mematikan semangat saya untuk terus menyampaikan da'wah ilmu ini. InsyaAllah, akan saya balasi yang lain-lain itu, apabila tiba masanya. Kepada rakan-rakan pemilik soalan-soalan itu, bersabarlah.
Bagi memenuhi permintaan Abang, maklumbalas saya adalah begini :- Sesungguhnya, amalan semasa sakaratul maut seseorang ummat Muslim itu telah pun ditunjukkan secara amaliyah oleh Nabi Muhammad saw.dan para sahabat Baginda. Itulah sebaik-baik contoh tauladan yang wajib diikuti oleh setiap ummat yang bersyahadah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw. berbanding menggunakan akal-akalan, suka-sukaan dan adat resam yang tidak pun diketahui mana asal usulnya.
Antara perkara yang bermanfaat dan dituntut dikala berada dengan seseorang di sakaratul maut adalah mengajarinya dan membimbingnya menyebut Kalimah Tauhid (Tahlil). Ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw:-
"Ajarilah (laqinu,talqin) orang-orang yang hampir mati dikalanganmu (mautaakum) akan ucapan (La ilaaha illallah) : Tiada Tuhan Melainkan Allah"
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.
Menurut imam Zakaria Yahya bin Sharaf An Nawawi rh., lafaz 'mautaakum' di dalam hadis imam Muslim rh. ini bermaksud 'orang yang hampir mati dikalanganmu'. Orang-orang yang hadir disuruh mengingatkan pesakit agar mengucapkan Kalimah Tauhid (Tahlil) supaya ia menjadi ucapannya yang terakhir sepertimana kehendak Nabi saw. menerusi sabdanya :-
'Siapa yang akhir ucapannya : La ilaaha illallah, dikala hampir mati, maka dia akan dapat memasuki syurga pada suatu hari nanti, disuatu tempoh masa, sekalipun sebelum itu ia ditimpai sebarang halangan yang menimpainya'
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh.
Maksud mengajar (talqin) orang yang hampir mati itu, bukanlah dengan seseorang menyebut-nyebutnya (Kalimah Tauhid) dan memperdengarkan sahaja, malah beliau hendaklah menyuruh sisakit itu sendiri mengucapkannya dikala berasa ringan lidah (mudah) untuk menyebutkannya. Apabila sisakit telah mengucapkannya sendiri, maka tiadalah lagi perlu diulangi, melainkan setelah ia menuturkan kata-kata yang lain selepasnya, maka barulah diulangi kata-kata bimbingan Kalimah Tauhid (Tahlil) itu, supaya sentiasa tetap ia mengucapkannya sehingga akhir hayat. Inilah contoh amaliyah yang diperkenan oleh Nabi saw. menerusi sabda Baginda :-
'Bahawa seorang lelaki menziarahi seorang lelaki Ansaar, maka beliau berkata : Wahai pakcik, ucapkanlah La ilaaha illallah. Maka ada orang bertanya kepada Nabi saw. : Adakah orang itu pakcik sebelah ibu atau pakcik sebelah bapa? Maka Nabi saw. menjawab : Malah pakcik sebelah ibu. Sisakit itu bertanya kepada Nabi saw. : Adakah lebih baik saya yang mengucapkan La ilaaha illallah? Maka Nabi saw. menjawab : Ya'.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. Sanadnya adalah sahih mengikut kriteria imam Muslim rh. menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin Albani rh.
Pengajaran dari hadis ini, peranan orang sekitar sisakit adalah mengajarnya Kalimat Tauhid (Tahlil) itu sebagai usaha membimbing dan memperingatinya, supaya dia sentiasa menyebutnya sehingga ia menghembuskan nafas yang terakhir.
Didalam satu hadis lain, Nabi saw. bersabda :
'Siapa meninggal dunia sedangkan dia mengetahui bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah (Kalimah Tauhid), maka dapatlah (juga) dia memasuki syurga'
Hadis sohih riwayat imam Muslim rh. Manakala yang terakhir ini adalah tambahan dalam riwayat imam Ibnu Hibban rh.
Perintah mengajar mengucap Kalimah Tauhid (Tahlil) ini merupakan satu perintah sunnat muakkadah (digalakkan), manakala ucapan yang pendek ini (tanpa Muhammad arRasulullah) adalah mencukupi sepertimana yang diperkenankan oleh Nabi saw. sendiri sepertimana haids-hadis di atas. Ini supaya sisakit itu tidak kelam kabut dengan kesempitan menghadapi maut dan kepedihan bala'nya, yang boleh menyebabkan hatinya tidak terbuka, dan boleh menyebabkan ia menuturkan kata-kata yang tidak menentu.
Amat perlu sekali, kepada kita yang hidup sihat ini, berpesan dan memperingati Kalimah Tauhid (Tahlil) kepada seseorang yang sedang menghadapi ketika genting sakaratul maut, sedang bersiap dan tengah mengalami kesengsaraan mati (yang tiada sunyi) dari hasutan syaitan la'natullah yang sentiasa mencari peluang (memesongkan aqidah), maka dengan cara sentiasa mengajar dan memperingatkan ia, maka dapatlah ia mengawasinya dan tetaplah tauhidnya kepada Allah swt. InsyaAllah. Sesungguhnya Allah swt. menyeru ummat mukminin agar selalu saling memperingati sepertimana firmanNya di dalam Al Qur'an ul Hakiim :
'Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman'.
Surah Adz Dzaariyat (52 ) : ayat 55.
Junjungan besar Nabi Muhammad saw. menyuruh orang-orang yang hadir mengajar bagi memperingatkan orang yang hampir mati (Kalimah Tauhid), dan menenangkannya (untuk menemui Allah swt.), memejamkan matanya selepas dia menghembuskan nafas yang terakhir dan menyempurnakan segala hak-haknya (menguruskan jenazah sehingga selesai).
Begitulah cara amaliyah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. ke atas mukmin yang sedang menghadapi sakaratul maut. Dan, inilah tatacara yang sepatutnya diamalkan oleh kita. Berkenaan amalan membaca Surah Yaasin yang popular dilakukan oleh masyarakat kita di saat seseorang hamba Allah menghadapi ketika sakaratul maut, tiadalah lain ia merupakan adat budaya yang menjadi amalan sejak zaman berzaman. Amalan ini dikatakan bersumberkan kepada beberapa hadis, begini :
'Bacakanlah surat Yaasin kepada orang yang akan mati di antara kamu".
Diantara yang meriwayatkan hadits ini adalah imam Ibnu Abi Syaibah rh. (4:74) dan imam Abu Daud rh. (No. 3121).
Hadits ini lemah karena terdapat salah satu rawinya bernama Abu Utsman, beliau adalah seorang yang majhul (tidak diketahui), demikian juga dengan ayahnya yang juga majhul. Hadits ini juga mudtharib (goncang sanadnya/tidak jelas).
'Tidak seorang pun akan mati, lalu dibacakan Yasin di sisinya (maksudnya sedang naza') melainkan Allah akan memudahkan (kematian itu) atasnya'.
Hadits ini diriwayatkan oleh imam Abu Nu'aim rh. dalam kitab Akhbaru Asbahan (1:188).
Hadis ini adalah hadis palsu (maudhu') kerana di dalam sanad hadits ini terdapat seorang rawi bernama Marwan bin Salim Al Jazari. Berkenaan beliau ini, imam Ahmad rh. dan imam An Nasa'i rh. berkata, dia tidak bisa dipercaya. Imam Bukhari rh, imam Muslim rh. dan imam Abu Hatim rh. berkata, ia munkarul hadits. Kata imam Abu 'Arubah Al Harrani rh., dia sering memalsukan hadits.
Dan ada juga yang diqiaskan daripada hadis ini,
'Barangsiapa yang menziarahi kuburan kedua orang tuanya, lalu membacakan Surah Yaasin kepadanya, maka akan diampuni dosanya sebanyak jumlah kalimat atau hurufnya...'.
Hadis diriwayatkan oleh imam Ibnu Adi rh. (1/286), imam Abu Nua'im rh. dalam Akhbar Asbahan (2/344) dan Abdul Ghoni Al Maqdisi rh. dalam As Sunan (2/91).
Hadis ini berstatus dhaif kerana terdapat rawinya bernama Amr bin Ziyad, yang dikatakan oleh imam Daruquthni rh. sebagai 'Tukang Pemalsu Hadis'. Imam Ibnu Adi rh. sendiri mencatatkan : 'Amr bin Ziyad mempunyai hadis lain selain ini, sebahagiannya adalah hasil curian daripada orang-orang tsiqah (terpercaya), namun diantaranya ada yang palsu, dan dia itu tertuduh sebagai orang yang memalsukannya'.
Maka itu, tidak boleh sama sekali, sesuatu amalan itu diperbuat tanpa sumber yang sahih dan qati'e (putus). Melakukan amalan bersumberkan sebuah keterangan dhaif dan palsu, adalah terlarang dan merupakan suatu fitnah amat besar ke atas kesucian Islam. Maha suci Addin ul Allah ini dari segala macam kepalsuan. Imam Muhammad bin Idris asy Syafi'i rh. dengan tegas menyatakan : apabila sah sesuatu hadis, itulah mazhabku.
Sesungguhnya. apa yang telah ditunjukkan dan apa yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw., dalam amalan menghadapi sakaratul maut, itu lebih dari cukup sebagai amalan kepada kita. Apabila hal ini difahami betul-betul, maka tidaklah berlaku kepeningan dan kerumitan seperti yang Abang Z tanyakan. Hakikatnya, apabila suka mengadakan sesuatu yang tak ada, maka bersusah-susahlah pula dengan begitu-begini untuk mengadakannya, maka amat baik sekali, tiadakannya. Selalunya, bersibuklah sangat kita-kita ini dengan hal tak disuruh malah hal terlarang, sedangkan begitu banyak suruhan yang sahih dan qati'e, kita tak buat pun. Begitulah.
Wallahu a'lam
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
2 ulasan:
Minta maaf banyak2..abaikan soalan saya di atas ini..padam lebih baik..maaf di atas kecuaian membaca..
Catat Ulasan