Assalamualaikum En Mad Zahir.
Isu makanan halal tidak pernah selesai dari dulu lagi. Baru-baru ini, saya ada mendapat e-mail serta risalah mengenai hidangan buffet(menu ramadhan) yang disediakan pihak hotel terkenal di Malaysia. Siap ada hidangan wine lagi. Bolehkah En Mad kupas sedikit isu makanan halal ini.
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Entah berapa kali, saya juga menerima email begini, juga sudah tidak terbilang kali saya membaca dan mendengar berita begini. Sekadar untuk menyatakan betapa hairan dan sedih kerana :
1. Para peniaga ini jelas sekali memang tidak ambil kisah Halal Haram, kalaupun memang menipu ummat Islam secara sedar (dengan niat).
2. Ummat Islam sendiri pun kurang ambil kisah, masih mengunjungi kedai yang tidak tentu status, tanpa banyak soal.
3. Penguatkuasaan pun lembab juga (tak mahu komen panjang, sensitif). Sepatutnya dicadangkan begini, diinstitusikan saja apa-apa yang tidak mendapat sijil halal, ia adalah haram. Maka, tiada sijil Halal, tampal saja Sijil Haram. Rasanya dengan kaedah itu lebih mudah untuk ummat Islam memilih. Biar mereka menilai sendiri nak masuk atau tidak ke premis tersebut
.
Sempena bulan mulia ini, ingin saya berpesan sedikit kepada rakan-rakan tentang makanan halal ini. Permulaannya, apa yang penting sangat hal ehwal makanan halal ni!
Harap difahami, Halal Haram mempunyai kaitan penuh dengan hidup manusia di dunia hingga akhirat, bukan setakat hal kenyang buncit perut sahaja. Ia adalah hal ketetapan dan perintah Allah swt. dan Rasul-Nya yang jelas dan qati’e, bahawa mesti tinggalkan yang Haram dan boleh mengambil yang Halal. Ini adalah hal ibadah dan syaria’h, penentu syurga atau neraka, neraca taqwa atau ingkar, dacing haaq atau batil, yang tidak boleh kita ambil mudah akan ia. Ini bukan perkara kecil.
Apa itu Halal : Secara bahasa ia bermakna dibenarkan (lawful). Secara syara’, makanan dan minuman yang diizinkan mengambilnya mengikut peraturan Islam dan tidak berdosa.
Apa itu Haram : Secara bahasa ia bermakna tidak dibenarkan (unlawful). Secara syara’, makanan dan minuman yang tidak diizinkan mengambilnya oleh peraturan Islam dan berdosa jika mengambilnya.
Yang tengah-tengah, Tak pasti, Shak atau Syubhah : Secara bahasa bermaksud meragukan. Secara syara’ bermaksud sesuatu pemakanan yang tidak jelas status hukumnya apakah ia Halal atau Haram. Perkara ragu-ragu ini boleh terjadi ke atas sesuatu yang jelas Halal atau Haram dulunya, kini tak pasti pula.
Mungkin sekali, di negara kita yang hebat ini, semua tempat makan berstatus Halal atau Ragu saja, tiada yang Haram, kerana itu orang kita berani masuk dan bedal saja, tanpa berkira-kira, tak ambil pusing. Bak kata Aiman, Aiman tak kisah.
Saya pun bukannya pakar pemakanan untuk cakap lebih-lebih, sekadar berpesan apa-apa yang tahu, untuk kebaikan kita bersama.
Begini,
Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Jabbar,
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 168.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 87.
“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 88
Allah swt. Yang maha Memiliki apa-apa yang ada di langit dan di bumi, telah menciptakan makanan-makanan bagi manusia dan telah memisahkan yang Halal dan Haram daripada makanan-makanan tersebut. Dia-lah yang telah menentukan apa yang baik dan yang buruk bagi manusia.
Dalam sebuah hadits, Rasulullah saw. pernah bersabda,
“Yang halal itu sudah jelas dan yang haram pun sudah jelas; dan di antara keduanya ada hal-hal yang musytabihat (syubhat, samar-samar, tidak jelas halal haramnya), kebanyakan manusia tidak mengetahui hukumnya. Barangsiapa hati-hati dari perkara syubhat, sungguh ia telah menyelamatkan agama dan harga dirinya”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh. Ini dari lafaz Muslim.
Mengambil sesuatu makanan, selama tidak ada dalil shohih, baik dalam Al Qur’an maupun Al Hadits yang menggolongkannya sebagai Haram, maka sebaiknya kita kembali kepada hukum yang asal, yakni halal atau mubah. Namun harus diingat, mengelakkan hal syubhat atau meragukan, adalah tindakan yang sebaik-baiknya.
Walaubagaimanapun, kedai mana, di mana, makanan apa, minuman apa, jelas sekali adalah hak kita untuk memilih, tiada siapa pun boleh memaksa sekiranya kita tak mahu. Sesungguhnya Halal, Haram dan Syubhat itu adalah jelas terpampang di depan kita. Tanyalah diri sendiri, apa yang kita mahu. Maka, pilihlah yang betul.
Wassalam. bersambung
0 ulasan:
Catat Ulasan