Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.
Takbir Hari Raya : adalah merupakan perintah Allah swt. seperti dinyatakan di dalam ayat Al Qur'an ul Qahaar diatas tadi. Dan, Rasulullah saw. dan para sahabatNya, bertakbir di Hari Raya,
“Baginda keluar pada Hari Raya Idul Fitri, maka baginda bertakbir (dalam perjalanan) hingga sampai di musholla, dan hingga ditunaikannya solat. Apabila Baginda telah selesai menunaikan solat, maka Baginda menghentikan takbir”.
Hadis dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam al-Musannaf 2/165. al-Faryabi dalam Ahkamul Ideian no. 59. Al-Baihaqi dalam As-Sunan al-Kubra 3/279. Lihat: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah 170. Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani.
Disyariatkan bertakbir dengan jahar (mengeluarkan suara) ketika pergi ke musholla, melaungkan sendiri-sendiri, bukan berjamaah dan bukan dipimpin oleh seorang tekong. Dimulakan sejak terbit fajar di hari Arafah. Berakhir di hari Tasyriq setelah solat Asar.
Cara ini disepakati oleh Malik, Abu Hanifah, Syafie, Ahmad dan Ibnu Taimiyah. ((1). Lihat: Majmu Fatawa 24/220 Ibnu Taimiyah. (2). Subulus Salam, imam as Shon'ani rh. 2/71-72) berdasarkan,
“Ibnu Umar bertakbir dengan menyaringkan (menguatkan) suaranya. Pada Hari Idul Fitri dan Hari Korban setelah solat Subuh sehingga duduk di musholla. Beliau terus bertakbir sehinggalah Imam sampai (untuk solat)”.
Hadis riwayat imam Ibnu Abi Syaibah rh. dan imam Daruqutni rh. dengan sanad yang sahih.
Tentang jangka masa untuk bertakbir Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rh. berkata : Takbir pada hari `Ied al-Fithri dimulai ketika terlihatnya hilal (anak bulan), dan berakhir dengan selesainya `Ied iaitu ketika imam selesai dari khutbah, (demikian) menurut pandangan yang benar.
Majmu' Fatawa, jilid 24 ms. 220 dan 221.
Perihal lafaz takbir raya ini, terdapat beberapa riwayat dari para sahabat Nabi ra. yang di antaranya adalah:
Daripada Ibnu Mas'ud ra., beliau mengucapkan:
اَللهُ أَكْبَر،اَللهُ أَكْبَر، لاَ اِلَهَ اِلاَّ اَللهُ، واَللهُ أَكْبَر،اَللهُ أَكْبَرولِلهِ الْحَمْدُ
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tiada Tuhan yang berhak diibadahi kmelainkan Allah semata, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, dan segala puji hanya bagi Allah.
Hadis shohih riwayat Imam Ibnu Abu Syaibah rh. di dalam Mushannaf, hadis no: 5649.
Perhatikan betul-betul, lafazh اَللهُ أَكْبَر itu, 2 kali sahaja, bukan 3 kali seperti yang disebut-sebut oleh sebahagian daripada masyarakat kita.
Ucapan Selamat Hari Raya : apabila bertemu dan bertegur sesama Muslim daripada hadis-hadis shohih ialah :
تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ
“Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kamu”. Lihat: Fathul Bari, Jilid 2 : 446.
Imam al Hafiz Ibnu Hajar Ashqalani rh. berkata: Dari Jubair bin Nufair ra. ia berkata:
“Para sahabat Rasulullah saw. apabila bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain : Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu”.
Lihat : Fathul Bari 2/446) dan menurut beliau isnad hadis ini hasan.
Solat Hari Raya di Tanah Lapang (Musholla) : Berkata Ibn Taimiyah rh. hukumnya fardu ‘ain bagi setiap individu sebagaimana ucapan Abu Hanifah (Lihat: Hasyiyah Ibnu Abidin. 2/166) dan selain beliau. Ia juga pendapat Imam Syafie dan salah satu dari pendapat mazhab Ahmad. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Pendapat yang menyatakan fardu kifayah tidak berasas. (Lihat: Majmu Fatawa. 23/161) Nabi saw. tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, sehingga para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita haid dianjurkan ke musholla.
“dari Ummi Atiyah rha. berkata : Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya I’edul Fitri dan Adha. (dilafaz lain) Keluar ke mussala (tanah lapang). Mereka menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum muslimin. Aku berkata: Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak mempunyai jilbab? Baginda berkata: (suruh) agar saudaranya meminjamkan jilbabnya”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. no. 324, 351, 971, 974, 980, 981 dan 1652. Imam Muslim rh. no. 980. Imam Ahmad rh. no. 5/84-85. Imam An-Nasaii rh. no. 3/180. Imam Ibnu Majah rh. no. 1307 dan imam at-Turmizi rh. no. 539.
Perintah di hadis ini menunjukkan perintah yang wajib, kerana diwajibkan ke musholla bermaksud diwajibkan bersolat Hari Raya. Maka dengan demikian solat Hari Raya hukumnya wajib ‘ain, atau yang lebih rajih hukumnya adalah wajib dan bukan sekadar sunnah.
Lihat: Tamamul Minnah. Hlm. 344. Syaikh Muhammad Nasruddin al-Albani rh.
Mengerjakan solat `Ied al-Fithri di musholla merupakan satu amalan yang hampir tidak dilakukan langsung di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil jamaah manusia yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi saw. tersebut.
Dalil yang menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat `Ied di musholla adalah,
“dari Abu Sa'id al-Khudri ra. dia berkata: Pada hari `Ied al-Fithri dan `Ied al-Adha, Rasulullah saw. keluar menuju musholla. Ketika itu yang pertama Baginda lakukan adalah solat `Ied”.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari rh. Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no. 956.
Ketahuilah bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah 1000 kali lebih baik dari bersolat di masjid-masjid lain. Namun ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah saw. tetap memerintahkan para sahabat ra. untuk mendirikan solat I’edul Fitri di musholla. Ibnu Qudamah rh. di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:
“Mengerjakan solat `Ied di musholla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi saw. keluar ke tanah lapang dan meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula para khulafa' al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah sepakat di setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat `Ied”.
Solat Hari Raya Menggantikan Solat Jumaat : Dalil yang menunjukkan wajibnya ialah solat Hari Raya dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat apabila Hari Raya jatuh pada Jumaat. Nabi saw. bersabda:
“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari Raya. Sesiapa telah (Bersolat Hari Raya), dia telah menyempurnakan dari solat Jumaat dan sesungguhnya kita telah dikumpulkan”.
(H/R Abu Daud 1073. Ibnu Majah 1311. Al-Hakim 1/228. Al-Baihaqi 3/318. Ibnul Abdil Barr (dalam At-Tauhid) 10/272. Al-Khatib (dalam Tarikh Bahgdad) 3/129. Ibnul Qaiyyim (dalam al-Wahiyat). 1/473. Al-Faryabi (dalam Ahkamul Iedain) 150. Ibnul Jarud (dalam Al-Muntaqa) 302. Hadis shohih ini banyak syahidnya.
(lihat: Sawathi’ al-Qamarain fi Takhrij Ahadis Ahkamail Iedain), Musaid bin Sulaiman bin Rasyid. Hlm. 211)
Dalil lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya serentak dengan hari `Ied adalah:
"dari Iyas bin Abi Ramlah al-Syami rh., dia berkata: "Aku pernah menyaksikan Mu'awiyah bin Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: "Apakah engkau menyaksikan Rasulullah saw. menghadiri dua Hari Raya (hari `Ied dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari?" Dia menjawab: "Ya." Mu'awiyah bertanya: "Lalu apa yang baginda kerjakan?" Dia menjawab: "Baginda mengerjakan solat `Ied, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal (mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: "Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat) maka hendaklah dia solat".
Hadis riwayat Imam Abu Dawud rh. di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 904.
Sesuatu yang tidak wajib tidak menggugurkan sesuatu yang wajib. Nabi saw. berterusan mengerjakan solat Hari Raya secara berjamaah sejak disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. (Lihat: Nailul Autar 3/382-383)
Baginda menggandingkan perintahnya kepada manusia dengan terus menerus ini agar mereka keluar ke tanah lapang (musholla) untuk solat Hari Raya. (Lihat: (1). Nailul Autar. 3/282-283. (2). Majmu Ftawa. 24/212. dan 23/161. (3). Ar-Raudah an-Nadiyah 1/142. (4). Tamamul Minnah, hlm. 344)
Berpakaian Bersih, Kemas dan Indah : Sunnah berpenampilan bersih, kemas dan indah serta rapi pada Hari Raya, namun tidak dibolehkan berlebih-lebihan. Berdasarkan hadis,
“dari Ibnu Umar ra. ia berkata: Umar ra. mengambil sehelai jubah sutera tebal yang dijual di pasar, ia membawanya kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah! Belilah jubah ini agar dapat berhias pada hari raya. Dipakai untuk menerima utusan. Rasulullah bersabda : Ini pakaiannya orang yang tidak mendapat bahagian di akhirat. Maka Umar tinggal sepanjang waktu yang Allah kehendaki. Kemudian Rasulullah mengirimkan kepadanya jubah dari sutera. Umar menerimanya lalu mendatangi Rasulullah dan ia berkata: Wahai Rasulullah, engkau pernah mengatakan: Ini adalah pakaian orang yang tidak mendapat bahagian di akhirat! Dan engkau mengirimkan kepadaku jubah ini? Baginda bersabda: Juallah atau penuhi keperluanmu dengannya”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. no. 2104, 2169, imam Muslim rh. no. 2068. Imam Abu Daud rh. no. 1076.
Menurut imam al Hafiz Ibnu Hajar Ashqalani rh. : Ibnu Abi Dunya dan Baihaqi meriwayatkan dengan sanad yang shohih, sampai kepada Umar bahawa Ibnu Umar pakaiannya paling cantik di I'edul Adha. Ini adalah hadis/sunnah berbentuk taqrir. Penerimaan Nabi saw. atas perbuatan Umar. Asal memakai pakaian indah adalah untuk hari Jumaat. Namun, Baginda tidak menegah berhias di Hari Raya, manakala yang ditegah adalah berhias dengan pakaian yang terbuat dari sutera.
Dalam Fathul Bari, jilid 2 : 439.
Ibnul Qaiyim menjelaskan: Nabi memakai pakaian paling cantik untuk solat Idul Fitri dan Idul Adha. Baginda memiliki perhiasan yang dipakai di Hari Raya dan di hari Jumaat. Ada kalanya Baginda memakai dua burdah (baju luar) berwarna hijau atau merah, bukan merah keseluruhannya, bukan merah garang sebagaimana disangka sebahagian manusia, kerana jika demikian bukan dinamakan burdah. Tetapi yang baginda pakai kain yang ada garis-garis merah seperti kain bergaris dari negeri Yaman. (Lihat: Zadul Maad. 1/441)
Bagi muslimah, tidak dihalalkan oleh syarak bertabarruj, mendedahkan aurat, memakai minyak wangi semasa keluar rumah, tidak boleh berjabat tangan dengan lelaki ajnabi (asing), tidak boleh bergaul bebas dengan lelaki yang bukan mahramnya dan dilarang keluar rumah tanpa mahram atau walinya jika tidak ada keperluan.
Mengikut Jalan Pergi Balik Berbeza : Disunnahkan bagi kita mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat I’ed.
“Jabir bin `Abdullah ra. berkata: Nabi saw. melalui jalan yang berbeza pada hari `Ied”.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari rh. Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 986.
Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rh. berkata:
Baginda (shallallahu 'alaihi wasallam) selalu menempuh jalan yang berbeza ketika berangkat dan ketika pulang dari tempat solat `Ied. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui dua jalan tersebut. Ada pula yang berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka. Ada yang berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua jalan tersebut. Ada yang berpendapat untuk menampakkan syi'ar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih menepati kebenaran adalah agar perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, maka salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjatnya, sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.
Dalam Za'adul Maad, ms. 49.
Menurut imam al-Hafiz Ibnu Hajar Ashqalani rh. :
Imam al-Syafi'i rh. di dalam kitabnya al-Umm mengatakan bahawa seorang imam dan makmum disunnahkan untuk mengikuti jalan yang berbeza dengan jalan waktu pergi ketika pulang dari solat `Ied. Demikian juga pendapat majoriti pengikut mazhab Syafi'i.
Dalam Fathul Baari, jilid 5, ms. 341.
Haram Berlebih-Lebihan dan Membazir : ketika menyambut Hari Raya, sama ada Hari Puasa atau Hari Raya Haji sepertimana Allah Azza wa-Jalla berfirman di dalam Al Qur’a ul Kabiir :
وَكُلُوْا وَاشْرَبُوْا وَلاَ تُسْرِفُوْا اِنَّهُ لاَ يُحَبُّ الْمُسْرِفِيْنَ
“Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan”.
Surah al-A’raf (7) : ayat 31.
وَلاَ تُبَذِّرْ تَبْذِيْرًا اِنَّ الْمُبَذِّرِيْنَ كَانُوْا اِخْوَانَ الشَّيَاطِيْنِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَافُوْرًا.
“Dan janganlah menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya”.
Surah al-Israa’ (17) : ayat 26-27.
Aakhirul Kalaam
Setakat ini sahaja yang dapat saya nukilkan, lantaran masa yang amat terbatas. Moga artikel ini dapat memberikan pengajaran, pedoman dan panduan untuk manfaat kita bersama. Itulah harapan saya, dan moga artikel kecil dan ringkas ini boleh membantu kita bersama menuju ke redho Allah swt. dan berpandukan as Sunnah Rasul-Nya dalam melayari I'edul Fitri. InsyaAllah.
SELAMAT HARI RAYA I'EDUL FITRI, kepada semua rakan-rakan, dari saya dan seisi keluarga. Dengan segala ta'zim dijemput berkunjung ke teratak kecil saya. Cuma, saya akan mulai berada di dirumah pada Ahad, 19 September 2010.
Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan dari kamu.
Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan