Khamis, 2 September 2010

Soalan tentang Solat Hajat

0 ulasan

SOALAN 1


Soalan dari Boruhan Hassan ( Pahang)

Saya ingin bertanya kepada anda mengenai orang yang melakukan solat hajat dengan niat yang tidak baik kepada pihak lain terutama kepada sesama muslim. Apakah hukumnya? Adakah dibolehkan?



السلام عليكم ورحمت الله و بركاته
بسـم الله الرّحمـن الرّحيـم


Sabda Nabi saw :

لا تدعواعلى انفسكم ولا تدعوا على اولادكم ولا تدعوا على خدمكم ولاتدعوا على اموالكم...رواه مسـلم
Ertinya : Janganlah kamu mendoakan kecelakaan atas diri-diri kamu dan jangan mendoakan kecelakaan atas anak-anak kamu dan jangan mendoakan kecelakaan atas orang-orang kerja kamu (Khadam) dan jangan mendoakan kecelakaan atas harta-harta kamu …. (Hadis Shohih riwayat Imam Muslim ).

dan Sabdanya lagi :

لا يزال يستجاب للعبد ما لم يدع باثم او قطيعة . رواه مسـلم

Ertinya : Tetap akan diperkenankan doa seseorang selama ia tidak berdoa lantaran kedosaan atau lantaran mahu memutuskan hubungan keluarga. (Hadis Shohih riwayat Imam Muslim)

Dari dua hadits ini dan lain-lainnya, nyata bahwa sejumlah dalil-dalil Agama itu, tidak membenarkan kita mendoakan kejahatan atas sesama Islam. Jadi, jika ada diantara kita bersifat pemfitnah, penipu dan berbagai kejahatan serta sebagainya, hendaklah kita mengikhtiarkan jalan merubahnya atau mengenakan hukuman setimpal atas kesalahan (untuk memberi pengajaran dan i'tibar kepada orang lain) atau kita berdoa kepada Allah swt. supaya dirubahnya sifat yang tidak baik dan jahat itu .

Ada suatu tauladan dari Nabi saw : begini :

عن عائشة قالت: دخل رهط من اليهود على رسول الله صلّى الله عليه وسلّم فقالوا:
السام عليك . ففهمتها فقلت : عليكم السّام و اللّعنة , فقال رسول الله ( ص ) مهـلا
ياعائشة فان الله يحب الرفق فى الامر كلّه... رواه البخاري

Ertinya : Dari Aisyah ra, ia telah berkata : Pernah segolongan orang Yahudi datang kepada Rasulullah saw. lalu mereka itu berkata : Mudahan-mudahan kematian (kecelakaan) menimpa keatas engkau” kata Aisyah : Aku faham percakapan itu, lalu aku menjawab “Mudahan-mudahan atas kamulah tertimpa kematian (kecelakaan), (begitu juga) la’nat”. Maka Nabi saw. bersabda : “Perlahan-lahan hai Aisyah, kerana sesungguhnya Allah suka kehalusan dalam urusan”. (Hadis Shohih riwayat Imam Bukhari)

Cubalah kita lihat, bagaimana Nabi saw. mengajar kesopanan terhadap kepada orang yang bukan Islam. Sudah nyata lagi terang bahawa mereka itu mendo’akan kematian keatas Nabi saw., tetapi Nabi saw. tetap mencela “Aisyah membalasnya dan mendo’akan la’nat atas mereka”.

Terhadap orang yang tidak seagama dengan kita pun, Rasulullah saw. mengajar begitu. Bukanlah terhadap orang-orang seagama dengan kita adalah lebih patut kita bersopan, berlemah lembut, tidak mendo’akan kejahatan atas mereka, tidak mela’nat mereka dan tidak memaki hamun mereka. Sekiranya perlu berbuat sesuatu untuk merubah perilaku mereka yang tidak baik itu, gunakanlah pendekatan yang berhemah (bukan atas dasar benci, hasad atau dendam) dan tidak menambah kerosakan.

Firman Allah swt:

لقـد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة ....سورة الاحزاب اية 22

Ertinya : Demi sesungguhnya telah adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw. itu satu contoh tauladan yang baik.

Oleh itu, melaksanakan sholat hajat atas tujuan mencela atau mendoakan la'nat ke atas sesama Muslim atau atas sesuatu niat tidak baik, adalah perbuatan yang dilarang.

Wassalam, الله اعلم

dari Al Mizan, Perlis
pada 19 Rabi'ul Akhir 1432H



SOALAN KEDUA:

Soalan dari pedu_00@yahoo.com

Assalamua'laikum Wr. Wbt.

sebenarnya, macam mana yg dikatakan Sholat Hajat tu, sekarang ni macam-macam orang buat, majlis besar-besar lagi. sentiasa ada kenduri Sholat Hajat. harap tuan haji dapat memberi sedikit pedoman.

Wassalam.

Jawapan


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Terdapat 3 hadis yang dikatakan sebagai dalil kepada amalan Sholat Hajat :

1. Hadis daripada Abdillah bin Abi Aufaa Al Aslamiy ra. yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Turmudzi, At Thabarani dan Dailamy. Mereka sendiri mengatakan hadis ini dhaif kerana terdapat sanad yang sangat lemah dan ada yang dhaif padanya.

2. Hadis daripada Utsman bin Hunaif ra. yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Turmudzi, Ahmad dan Khuzaimah. Hadis ini dhaif mengikut disiplin pengajian ilmu hadis kerana terdapat salah seorang rawinya bernama Abu Ja'far yang lemah dan majhul.

3. Hadis dari Abu Darda' ra : "aku mendengar Rasul saw. bersabda, barangsiapa berwudhu' dengan membereskan wudhu'nya, kemudian ia sholat 2 rakaat dengan menyempurnakannya, Allah swt akan beri kepadanya apa yang ia minta, dilekaskan atau dilambatkan".

Hadis shohih riwayat Imam Ahmad bin Hanbal dengan 2 sanad, rujukan Al Musnad jilid 6:443 dan 450. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhary dalam kitab tarikh dan Al Thabarani dalam dalam Al La aaliu. Imam Jalaluddin As Suyuthi dalam kitabnya Al La aaliul Mashnu'ah jilid 1:47 menegaskan inilah satu-satunya hadis yang shohih dalam hal mengerjakan Sholat Hajat. Tiada lagi lain hadis.

Hadis ini membawa maksud, sesiapa atau individu yang berhajat kepada sesuatu maka berbuatlah seperti dinyatakan. Oleh itu, sekiranya kita mahu mengerjakan Sholat Hajat, berpeganglah kepada hadis shohih riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhary dan At Thabarani ini. Lantaran tiada cara khusus yang ditunjukkan oleh Rasul saw., maka berdasarkan hadis tersebut caranya begini :
1. Berwudhu' dengan sempurna.
2. Sholat 2 rakaa't.
3. Berdoa di dalam sholat itu.
4. Oleh kerana Rasul saw. tidak menetapkan tempat berdoa, maka bolehlah berdoa dalam sujud ataupun sesudah attahiyat sebelum salam.
5. Doanya tidak dtetapkan oleh Rasul saw., maka sebutkanlah segala hajat kita sendiri secara perlahan.

Berkenaan amalan semasa yang bermajlis, berkenduri kendara, berimam makmum dengan syarat dan peraturan begitu-begini, tiadalah pula disebutkan dalam mana-mana hadis pun amalan sebegitu. Janganlah sesekali dibuat apa-apa a'malan ibadah khusussiah ini tanpa dalil atau kerana seronok mengikut ramai orang. Moleklah bertanya kepada orang yang membuat sebegitu tentang dalil syara'nya, mungkin mereka ada memperolehi lain-lain ayat Al Qur'an dan hadis shohih yang tidak ditemui oleh saya dan imam-imam yang lain. Sekiranya benar ada, maka sahlah a'malan sebegitu, jika tiada, berhenti buat dan jangan buat lagi. Ibadah khusussiah ini adalah milik Rasul saw. dan tiada manusia lain berhak untuk menambah atau mengurang walaupun satu perkara.

Wassalam.
Daripada : edd zahir.

MAKLUM BALAS DARI USTAZ ZAINOL
Disertakan artikel dari ustaz Zainol yang telah saya edit untuk ilmiah kita bersama.
بسـم الله الرحـمن الرحـيم
Maklumbalas sambungan kepada soalan mrboru84@yahoo.com (Pahang)

Tajuk Sholat Hajat.

Bab nama Sholat Hajat ini sudah lama kita mendengar cuma dari mulut nenek moyang pertengahan kita dulu bukan dari nenek moyang kita pertama ya’ni dari Nabi Muhammad saw. dan para sahabatnya, begitu juga tidak pernah dengar dari mulut para Shalafus Sholih dan jama’ah As Sunnah wal Jama’ah seluruh Malaysia malahan dunia, dari mana datangnya sumber dan keterangan, dalil yang membolehkan sholat hajat itu pun tidak tahu. Setahu kita, jika ada keterangan dan dalil yang membolehkan Sholat Hajat itu tentulah ada keterangannya didalam bab semua SHOLAT SUNNAT itu di dalam kitab Ulama’-Ulama’ Hadith seperti Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmizi , Nasa-i, Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan lain-lain lagi.

Cuma yang ada keterangan dan dalil yang membolehkan bermacam–macam nama Sholat Sunnat itu seperti sebahagian keterangan dibawah ini : (Tidak ada menerangkan nama Sholat Hajat itu)

عن ابن عمر قال: حفظت من النّبي ( ص ) عشرركعات: ركعتين قبل الظّهروركعتين
بعدها و ركعتين بعد المغرب في بيته وركعتين بعد العشاء في بيته و ركعتين قبل
الصبح .( متّـفق عليه ) وفي رواية لهما : و ركعتين بعد الجمعة في بيته .
Ertinya :

Dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Saya hafaz (Ya’ni saya hafaz riwayat atau perbuatan dari Nabi saw.) dari Nabi saw. sepuluh raka’at (sunnat) : Dua raka’at sebelum (sholat) Zhuhur dan dua raka’at sesudahnya, dan dua raka’at sesudah maghrib di rumahnya dan dua raka’at sesudah Isya’ di rumahnya dan dua raka’at sebelum subuh. Muttafaq a’laihi. Dan di satu riwayat bagi keduanya : …. dan dua raka’at sesudah sholat Juma’t di rumahnya.

و لمسـلم : كان اذا طلع الفجر لا يصلّي الا ركعتين خفيفتين .
Ertinya :

Dan bagi Muslim : Adalah Rasulullah saw. apabila terbit fajar tidak ia sholat melainkan dua raka’at yang ringan.

و لمسـلم ( ركعـتا الفجر خيرمن الدّنيا وما فيـها ) .
Ertinya :

Dan bagi Muslim : Dua raka’at Sholat Fajar itu lebih baik daripada dunia dan apa-apa yang ada di dalamnya.

عن ابي هريرة قال: قال رسول الله ( ص ) افضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل
اخرجه مسـلم.
Ertinya :

Dari Abi Hurairah ra. ia berkata :Telah bersabda Rasulullah saw: yang lebih utama sholat selain sholat fardu ialah sholat malam.

عن علي قال: قال رسول الله (ص) اوتروا يااهل القرأن فانّ الله وتر يحـب الوتر . رواه الخمسة و صحّـحه ابن خزيمة
Ertinya :

Dari ‘Ali karamallahu wajhah telah berkata ia : telah bersabda Rasulullah saw. Berwitirlah oleh mu, hai ahli Quran kerana sesungguhnya Allah itu witir (ganjil dan tunggal), Ia suka kepada sholat witir .

Diriwayatkan oleh “Lima” dan dishohihkan oleh Ibnu Khuzaimah .

عن عائشة قالت: كان رسول الله ( ص) يصلّي الضـحى اربعا, و يزيد ما شاء الله.
رواه مسـلم .
Ertinya :

Dari Aisyah ra. Ia berkata : Adalah Rasulullah saw. Sholat Duha empat raka’at dan ia tambah sebanyak yang di kehendaki oleh Allah. (Maksudnya seberapa yang seseorang suka kerjakan).

عن حذيفة:ان النبيّ (ص) صلي صلاة الخوف بهؤلاء ركعة وبهؤلاء ركعة ولم يقضوا.
رواه احمد و ابوداود و النسائيّ و صححه ابن حبّان .
Ertinya :

Dari Huzaifah ra. bahwasanya Nabi saw. sholat khauf dengan mereka itu satu raka’at dan dengan mereka ini satu raka’at dan mereka tidak qada’.

Diriwayatkan dia oleh Ahmad dan Abu Daud dan Nasa-i dan dishahkan oleh Ibnu Hibban.

عن عائشة قالت: قال رسول الله ( ص ) الفطريوم يفطر الناس والاضحى يوم يضحّي
النّاس . رواه الترمذيّ
Ertinya :

Dari Aisyah ra. Ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw. (Hariraya) Fitri itu hari yang orang-orang berbuka dan (Hariraya) Adha itu hari orang-orang berqurban .

Diriwayatkan dia oleh Tirmizi

عن عائشة ان النبيّ ( ص ) جهر في الصلاة الكسوف بقراءته ...... متفق عليه
Ertinya :

Dari Aisyah bahwasanya Nabi saw. nyaringkan bacaan pada sholat Kusuf…… (Kusuf : Gerhana ) (Diriwayatkan dia oleh Muttafaq a'laih)

عن ابن عـباّس قال : ما هـبّت الرّيح قطّ الاّ جثا النبىّ ( ص )على ركبتيه و قال
( اللهمّ اجعلها رحمة ولاتجعلها عذابا ) . رواه الشافعيّ و الطبرانيّ
Ertinya :

Dari Ibnu Abbas ra. ia berkata : Tidak bertiup angin melainkan berlututlah Nabi saw. atas dua lututnya dan berkata : Hai tuhan jadikanlah dia (angin) rahmat dan janganlah jadikan dia azab. (Diriwayatkan dia oleh Syafi’i dan Thabarani).

وعنه:انه صـلّي في زلزلة سـتّ ركعات واربع سجدات وقال:هـكذا صلاة الايات.
رواه البيهقيّ .
Ertinya :

Dan darinya (Ibnu Abbas ra.) bahwasanya ia yakni Ibnu Abbas sendiri sholat pada waktu ada satu gempa enam ruku’ dan empat sujud dan ia berkata : Beginilah sholat bagi keadaan luar biasa. (Diriwayatkan dia oleh Baihaqi)

وعنه انّ عمر كان اذا قحطوا اسـتسقى بالعبّاس بن عبد المطّلب..... رواه البخاريّ

Ertinya :

Dan daripadanya (Anas ra.) bahwasanya adalah Umar ra. apabila kemarau ia minta hujan bersama Abbas bin Abdul Muthalib ….. (Diriwayatkan dia oleh Bukhari)

عن ابن عبّاس قال: سمعت النبيّ (ص) يقول ما من رجل مسـلم يموت فيـقوم على
جـنازته اربعون رجلا لا يشركون بالله شـياء الاّ شـفّعهم الله فيه . رواه مسلم

Ertinya :

Dari Ibnu Abbas ra. Ia berkata : Saya dengar Nabi saw . bersabda : Tidak daripada seseorang Muslim yang mati lalu di sholatkan jenazahnya oleh empat puluh orang yang tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah melainkan Allah terima permintaan syafa'at mereka padanya (simati). (Diriwayatkan akan dia oleh Muslim).

Keterangan :

Maqshudnya, semua Hadits yang tersebut diatas bahwa Rasulullah saw. dan para shahabatnya cuma mengerjakan sholat sunnat hanya sebelum dan sesudah sholat yang wajib (sunnat rawatib), sholat khauf, sholat dua hari raya, sholat malam, sholat witr, sholat kusuf, sholat istisqa dan sholat janazah.

Tiada sesuatu hadis pun yang menyebut mengenai Sholat Hajat sunnat seperti yang menjadi amalan sebahagian ummat Islam masa kini. Maka janganlah sesekali dia’malkan sesuatu amalan i’badah khusussiah seperti ini tanpa mendapatkan dalil yang shohih terlebih dahulu. Janganlah sesekali kita mendahului Nabi saw. dengan mengada-adakan sesuatu yang tidak Baginda saw. lakukan.

قال الله تعالى: ولا تقف ما ليس لك به علم ان السّمع و البصرو الفؤاد كلّ أولئك كان
عنه مسـؤلا . سورة الاسراء 36
Ertinya :

Allah berfirman : Dan janganlah engkau turut apa yang engkau tidak mempunyai ilmu padanya kerana sesunguhnya pendengaran dan penglihatan dan hati tiap-tiap satu daripadanya akan di tanya (di akhirat).

Wassalam.

Al Mizan, Perlis.
10 April 2010

0 ulasan: