Selasa, 7 September 2010

TATACARA AIDILFITRI (PART 1)

0 ulasan

Tatacara I'edul Fitri 1
...
From: edd zahir

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Firman Allah swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim,

“Hendaklah kamu menyempurnakan bilangannya (puasa Ramadhan) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah (bertakbir) di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu mahu bersyukur”.
Surah al-Baqarah (2) : ayat 185.

Hari Raya, Hari Perayaan, Hari Lebaran, Hari Kebesaran atau Hari Ulang Tahun, disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘Id (عيد). ‘Id (عيد) bererti: “Mana-mana hari yang di dalamnya manusia berkumpul”. ‘Id dari kata dasar يعود- عاد “Kembali atau berulang” kerana manusia sentiasa kembali mengulang-ulangi hari tersebut”. Disebut ‘Id kerana hari tersebut sentiasa diulang setiap tahun. ‘Id juga dari kata al-‘adah (العادة) “Adat atau Kebiasaan” Jamaknya a’yad .(اعياد) (عيد المسلمون) bermaksud: Orang-orang Islam yang merayakan Hari Raya mereka.
Lihat : Ahkamul Idaini fis-Sunnah al-Mutahharah. Ali Hasan bin Ali Abdul.

Fitri atau Fitrah pula bermaksud sediakala atau sifat asal. Justeru itu Hari Raya `Ied al-Fithri adalah salah satu dari hari kebesaran umat Islam yang disambut pada tanggal 1 Syawal setiap tahun bagi menyambut kejayaan umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak dan kembali kepada fitrah iaitu sifat asal manusia yang dibenarkan makan dan minum sepanjang hari. Menurut al-`Allamah Ibnu `Abidin rh. :

Disebut `Ied, kerana pada hari itu Allah Ta'ala memiliki berbagai macam kebaikan yang akan kembali kepada hamba-hambaNya setiap hari, yang di antaranya (tidak berpuasa) setelah adanya larangan makan dan minum (pada bulan Ramadan), zakat fitrah, … Dan kerana kebiasaan yang berlaku pada hari tersebut adalah kegembiraan, kebahagiaan, keceriaan dan hubur (kenikmatan).
Dinukil dari kitab Meneladani Rasulullah Saw. Dalam Berhari Raya ditulis oleh Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 11.

Dalil disyari'atkan I'edul Fitri sebagai hari kebesaran bagi umat Islam adalah sebagaimana dikhabarkan,
“dari Anas bin Malik ra. dia berkata: Nabi saw. pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua Hari Raya yang pada keduanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliyyah, maka baginda bersabda: "Aku datang kepada kalian sedangkan kalian memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Dan sesungguhnya Allah telah menggantikan keduanya dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Korban (I’edul Adha) dan Hari Raya Puasa (I’edul Fitri)”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. Jilid3/103,178 dan 235. imam Abu Daud rh. no. 1134. Imam Baghawi rh. no. 1098) dan imam al-Nasa'i rh., Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Sholah, no: 959.

Semua jenis Hari Raya telah ditetapkan oleh Allah A’zza wa-Jalla. Maka tiada sesiapa yang diizinkan menambah atau merubahnya. Ia disambut setelah melaksanakan rukun Islam seperti selepas puasa Ramadhan atau setelah selesai ibadah haji. Di Hari Raya kaum muslimin diperintah agar turun ke musholla untuk solat Hari Raya dan membesarkan syi’ar Islam secara berjamaah, iaitu bersolat dan mendengar khutbah. Antara tujuan Hari Raya ialah untuk berehat dari keletihan ibadah, membesarkan syi’ar, bergembira, bersuka ria dan berhibur dengan tidak melanggar batas-batas syara’.

Kini, datang lagi “Kembali Suci” atau Iedul Fitri, Hari Kemenangan, Hari Kejayaan dan Hari Kegembiraan kepada Muslimin yang telah sebulan Ramadhan menghambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah swt dan Rasul-Nya. Sebulan berlapar dahaga disiang harinya, meninggalkan segala yang dilarangNya, dengan malam dipenuhi dengan amal sholih dan ketaqwaan, membanyakkan sadaqah jariah dan mengawal nafsu. Di hari ini, muslimin ini “kembali suci” iaitu kembali dirinya ke fitrah iaitu semulia bayi baru zahir, putih bersih tanpa sebarang dosa.

Namun tidak lari jua kita-kita ini dari berbudaya dalam I’edul Fitri ;

1. Kenapa di hari mulia ini, mesti sibuk pula kita memohon maaf, sampai orang yang tak diketahui hujung pangkal pun kita “memohon maaf zahir & batin”? Kenapa tidak di hari atau bulan yang lain? Di waktu yang lain? Kenapa pula di hari mulia ini.

2. Berebut-rebut orang pergi menziarahi kuburan? Ingin saya tahu dari mana dalilnya yang “meng-sunnahkan” amalan tersebut daripada seruan Nabi kita saw. Kenapa tidak hari lain? Sunnah dan kemestiankah ke untuk berhari raya di kuburan? Sekadar menyampaikan pesan Rasulullah saw.

“Dari Abu Hurairah ra. ia berkata : Telah bersabda Rasulullah saw. : “Janganlah kamu jadikan kuburku tempat berhari raya”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Abu Daud rh.

3. Banyak lagi kekalutan demi kekarutan lainnya amalan marhaban, rombongan/berarak bertakbir dari rumah ke rumah di malam raya dipandu oleh seorang tekong, amalan memberikan duit raya, amalan memasang lampu raya untuk malam tujuh likur dan menerangi kehadiran syawal, amalan bernyanyian lagu-lagu, ditambah pula dengan aktiviti berjogetan dan maksiat di antara kaum wanita dengan lelaki melalui acara tayangan filem, pesta tarian, lakonan, pembaziran makanan dan seumpamanya.

Ya! Itulah budaya, yang pastinya bukan datang dari ajaran Nabi saw. dan para sahabatNya dalam menyambut Iedul Fitr yang mulia. Dan seruan saya, tinggalkanlah. Semua ini melalaikan kita dari maksud dan tujuan sebenarnya kita untuk berhari raya, untuk membesarkan dan mengagungkan Allah swt. Disebabkan kecelaruan, tokok-tambah dan kejahilan tersebut, lantas menjadikan suasana hari raya berubah kepada hari menyekutukan Allah dan merobekkan as-Sunnah yang mulia.

Bagi kita di Malaysia, lazimnya kegembiraan sambutan Hari Raya I’edul Fitri dapat dilihat dengan berkumpul seluruh ahli keluarga dan ziarah-menziarah sesama umat Islam. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum Hari Raya dipergunakan untuk membawa ahli keluarga bersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut I'edul Fitri selagi mana ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syara'.

“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, begitupun pelbagai macam nyanyian yang baik, semua itu menjadi syi'ar agama yang disyari'atkan Allah swt. pada Hari Raya, untuk melatih tubuh jasmani dan untuk kepuasan serta kesenangan hati”.
Nukilan kata dari Syaikh Sayyid Sabiq rh. Fikih Sunnah, Jilid 2 : 290

Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan suasana kegirangan di Hari Raya pada zaman Rasulullah saw. di mana Baginda membenarkan acara-acara permainan untuk tontonan umum dan nyanyian yang tidak bercanggah dengan syara’.

“dari Sayyidatina Aishah rha. dia berkata : Hari itu adalah Hari Raya, di mana orang-orang Sudan bermain pedang dan perisai. Aku tidak ingat apakah aku yang meminta untuk melihatnya ataukah Rasulullah saw. yang berkata : "Apakah kamu ingin melihatnya". Aku pun menjawab: "Ya". Aku disuruhnya berdiri di belakangnya, di mana pipiku dekat dengan pipi baginda. Baginda berkata: "Biar yang lain, wahai Bani Arfidah!" Ketika aku merasa bosan, baginda bertanya kepadaku: "Sudah cukup?" Aku menjawab: "Ya". Baginda pun bersabda: "Pergilah."
Hadis riwayat imam al-Bukhari rh. Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no. 950.

“dari Sayyidatina Aisyah rha. dia berkata : "Rasulullah saw. masuk ke rumahku (pada Hari Raya), dan ketika itu aku bersama dua budak perempuan yang sedang menyanyikan lagu peperangan Bu'ats. Baginda langsung berbaring di atas tempat tidur sambil memalingkan wajahnya. Ketika Abu Bakar rh. masuk ke rumahku, dia memarahiku dan berkata: "Pada pandangan Rasulullah saw. (nyanyian) itu adalah seruling setan." Mendengar itu maka Rasulullah saw. menemui Abu Bakar dan berkata kepadanya: "Biarkanlah mereka". Ketika Rasulullah saw. lengah, aku memberikan isyarat dengan mata kepada kedua budak perempuan itu hingga mereka keluar”.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari rh. Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no. 949.

Dari kedua-dua hadis ini, al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rh. telah berkata: “Pada Hari Raya dibolehkan mengadakan kegiatan yang dapat menghiburkan keluarga untuk melepas kelelahan setelah melakukan ibadah. Menampakkan kegembiraan pada Hari Raya merupakan sebahagian dari syi'ar Islam”.
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Ashqalani, Fathul Baari, Jilid 5: 262.

Membayar Zakat Fitrah : yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam yang merdeka, kanak-kanak mahupun dewasa, lelaki dan wanita. Zakat fitrah ini boleh dilaksanakan sepanjang bulan Ramadhan namun melewatkannya pada akhir Ramadhan adalah lebih baik. Waktu yang paling afdhal untuk membayar zakat fitrah adalah sebelum dilaksanakan sholat I’edul Fitri.

“dari Ibnu `Umar ra. dia berkata: Rasulullah saw. mewajibkan zakat fitrah satu sha' kurma, atau satu sha' syair atas budak, orang yang merdeka, laki-laki, wanita, anak-anak dan orang tua di antara kaum muslimin, dan baginda memerintahkan agar (zakat tersebut) dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk solat (`Ied al-Fithri).
Hadis shohih riwayat Imam al-Bukhari rh. Shahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, hadis no. 1503.

Sunnah Mandi : dipagi Hari Raya. Ibnu Umar rh. sentiasa mandi di pagi Idul Fitri sebagaimana riwayat dari Ali bin Abi Talib kmj. Inilah pendapat Al-qamah, Urwah, ‘Atha’, An-Nakha’i, Asy-Sya’bi, Qatadah, Abu Zinad, Malik, Asy-Syafie dan Ibnul Munzir. (Lihat: Al-Mughni, 2/370) Nafi’ berkata:

“Abdullah bin Umar sentiasa mandi pada Hari Raya I'edul Fitri sebelum ke musholla. Ibnul Musayyib pula berkata : Sunnah I'edul Fitri tiga: Berjalan menuju ke musholla, makan sebelum keluar (ke Musholla) dan mandi”.
Dalam Irwaul Ghalil 2/104. Hadis riwayat Al-Firyabi rh. no. 127/1-2 dengan isnad yang sahih.

Adalah disunnahkan untuk mandi di pagi Hari Raya iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat I'edul Fitri. Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rh. : Baginda saw. mandi sebelum berangkat mengerjakan solat I'ed”.
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zadul Ma'ad, ms. 48.

“Ali bin Abi Thalib kmj. pernah ditanya tentang mandi; apakah perlu mandi setiap hari? Maka beliau menjawab: Tidak perlu. Namun, yang perlu mandi ialah pada hari Jumaat, hari `Arafah, hari I’edul Adha dan I’edul Fitri”.
Hadis riwayat Imam al-Syafi'i di dalam Musnad al-Syafi'i, Jilid I : 118-119.

Tatacara mandi sunat di pagi Hari Raya ini adalah sama dengan tatacara mandi wajib (janabah).

Menjamah sedikit makanan : sebelum keluar ke Musholla :

“dari Anas ra. beliau berkata : “Rasulullah saw. tidak pergi ke musalla di Hari Raya I’edul Fitri sehinggalah makan beberapa tamar”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. no. 953. Imam Turmizi rh. no. 543. Imam Ibnu Majah rh no. 1754. Imam Ahmad rh. no. 3/126,164, 232.

“dari Buraidah ra. ia berkata: Nabi saw. tidak keluar di I’edul Fitri sehinggalah makan, dan pada Hari Raya korban baginda tidak makan sehingga kembali dari solat, baginda makan dari sembelihannya”.
Hadis hasan riwayat imam Turmizi rh no. 542. Imam Ibnu Majah rh. no. 1756. Imam Ad Darimi rh. no. 1/375. Imam Ahmad rh. no. 5/352.

Imam al Hafiz Ibnu Hajar Ashqalani rh. menjelaskan “dengan makan terlebih dahulu Baginda ingin menutup peluang berpuasa (di Hari Raya)”. Dalam Fathul Bari. Jilid 2 : 44. “Hikmah Disunnahkan Makan Tamar”.

Bersambung

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

eddzahir@38
tanahliat,bukitmertajam

0 ulasan: