Jumaat, 3 September 2010

ZAKAT FITRAH

0 ulasan

SOALAN 1

Assalamualaikum.

Selamat berpuasa ramadan kepada ustaz mat dan rakan-rakan jamaah. Moga rahmat Allah mengiringi hidup kita sentiasa.

Dah kena pada masanya untuk saya tanyakan sedikit menganai zakat fitrah. biarpun selalu bayar dan dengar-dengar, harap dapat ustaz beri detail lagi dari mula sampai habis. Supaya tak buat ikut-ikut saja.

wassalam

Warmest Regards
" Knight Malaysia "


JAWAPAN
Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Terima kasih Sdr Ibrahim kerana bertanya hal ini, Banyak kali saya mendapat pertanyaan seperti ini, malah hampir setiap tahun juga, berulang setiap kali Ramadhan. Penjelasan saya nanti adalah satu ringkasan dan kesimpulan dari hal yang yang amat panjang lebar dan menarik sebenarnya, supaya memberi kemudahan, cepat dan tepat untuk memahami perihal zakat (secara umum) dan zakat fitrah ini. Sementelahan pula, kesempatan amat terhad untuk bercerita panjang..

A. ZAKAT SECARA UMUM

Taa'rif Zakat
Zakat dari segi bahasa Arab mempunyai beberapa maqsud iaitu Kesuburan, Kesucian, Keberkatan dan Mensucikan. Ada juga sarjana menegaskan yang makna zakah itu adalah nama' (iaitu kesuburan dan penambahan). Abu Hassan Al Wahidi mengatakan taa'rif menarik dalam konteks bahasa : zakat adalah mensucikan harta dan memperbaikinya serta menyuburkannya. Asal maknanya adalah penambah kebajikan kepada harta yang ada.

Dari segi syara' pula ia dita'rifkan : "Memberi satu bahagian dari harta yang telah sampai nisab kepada orang fakir dan sebagainya, yang tidak bersifat dengan sesuatu halangan syara' yang tidak membolehkan kita memberikan kepadanya". Taa'rifan ini dijelaskan oleh imam Asy Syaukani rh. dalam kitab agungya, Nail al Authar, Jilid 4 : ms. 170.

Jenis Zakat
Zakat yang disyaria'tkan (wajib) itu terbahagi kepada 2 iaitu
1. Zakat maal (harta) yang meliputi emas, perak, binatang peliharaan, tumbuhan dan tanaman, perniagaan dan perdagangan.
2. Zakat nafs (jiwa), yang disebut juga zakat fitrah iaitu zakat yang dikeluarkan bersamaan dengan selesainya mengerjakan puasa di bulan Ramadhan al Mubarak.

Dalil Wajib Zakat
Mengeluarkan zakat (harta dan fitrah) adalah wajib ke atas semua ummat Islam. Ketetapan WAJIB itu adalah berdasarkan Kitabullah dan as Sunnah rasulNya. Firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Aziiz,
"tidak diperintahkan mereka melainkan menyembah Allah, sambil mengikhlaskan ibadah dan taat kepadaNya serta berlaku condong kepada ibadah itu, dan mendirikan sholat dan memberikan zakat, itulah agama yang lurus".
Surah Al Bayyinah (98): ayat 5.

Diantara hadis dan kalam Rasulullah saw. yang menjelaskan perihal zakat ini adalah,
"dari Abu Hurairah ra. telah berkata ia, Pada suatu hari Rasulullah saw. duduk beserta para sahabatnya, lalu datanglah kepadanya seorang laki-laki dan bertanya ; Wahai Rasulullah! apakah Islam itu? Nabi saw. menjawab : Islam adalah engkau menyembah Allah sendirinya dengan tidak engkau persekutukan sesuatu denganNya, dan engkau mendirikan sholat yang difardhukan, dan engkau memberikan zakat yang difardhukan dan engkau mengerjakan puasa di bulan Ramadhan".
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Zakat Sunnat
Selain itu terdapat juga zakat sunnat lain (memberikan sara hidup, membantu anak yatim, memberi makanan dan pakaian, menanggung pelajaran, bantuan membina kediaman, bantuan perubatan, bantuan bencana dll.) seperti :-

1. Sadaqah
Firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Haniif,
"apakah mereka tidak mengetahui bahawasanyaAllah menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan mengambil sadaqah-sadaqah dan bahawasanya Allah sangat menerima taubat hambaNya lagi sentiasa kekal rahmatNya".
Surah At Taubah (9) : ayat 104.

2. Nafaqah (infaq)
"segala mereka yang membendaharakan emas dan perak dan mereka tidak menafkahkannya ke jalan Allah, maka gembirakanlah mereka dengan azab yang memedihkan".
Surah At Taubah (9) : ayat 34.

3. A'fuw
"ambillah a'fuw (zakat) dan suruhlah yang ma'ruf dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil (tidak beradab)".
Surah Al A'raff (7) : ayat 199.

4. Haq
"Dialah Allah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan yang dibuat panggungnya dan yang tidak dibuat, menciptakan kurma dan tumbuh-tumbuhan yang beraneka rasanya, zaitun dan buah delima yang hampir-hampir bersamaan bentuknya dan yang tidak bersamaan. Makanlah sebahagian daripada buahnya apabila dia berbuah dan berikan haqnya (zakatnya) dihari dia dituai dan janganlah kamu berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan".
Surah Al An'am (6) : ayat 141.

Terdapat juga beberapa istilah lain yang perbuatannya menyamai memberi zakat sunnat itu seperti Bantuan dan Hadiah, kepada orang yang memerlukan. Berkenaan mengeluarkan zakat sunnat ini, Allah swt. memberi peringatan supaya berlaku ma'aruf (baik), tidak mengungkit, memberikan barang yang baik serta mengikhlaskan diri benar-benar kepada Allah swt.

Firman Allah swt. di dalam Al Quran ul Kabiir,
"(berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah, mereka tidak dapat (berusaha) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari meminta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafqahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 273.

dan, firmanNya lagi,
"hai orang-orang yang beriman, nafqahkanlah (di jalan Allah) sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu pilih yang buruk-buruk lalu kamu nafqahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan memicingkan mata terhadapnya. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 267.

dan, firmanNya lagi,
"hai orang-orang beriman, janganlah kamu hilangkan (pahala) sadaqahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan sipenerima), seperti orang yang menafqahkan hartanya karena riya' (menunjuk-nunjuk) kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. ...........".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 264.

Kenapa Keluarkan Zakat
Hakikatnya 2 pokok Islam yaitu sholat dan zakat adalah amat berdampingan. Tidak kurang dari 28 kali di dalam Al Qur'an ul Kabiir, Allah swt. menyebut sholat secara beriringan dengan zakat. Zakat adalah yang paling utama dalam hal harta manakala sholat adalah yang paling utama dalam hal badaniyah. Oleh itu WAJIBnya zakat ini adalah seiring sholat dan tiada kelonggaran sama sekali dalam melaksanakannya.

Hukum Orang Senghaja Tidak Keluarkan Zakat
Adalah disepakati oleh para ulama' salaf dan khalaf bahawa "sesiapa mengingkari hukum mengeluarkan zakat, ya'ni mengingkari wajibnya ia, maka dia dihukumi kufur dan terkeluar dari Islam'. Wajib dia diperangi sehingga dia kembali bertaubat, kembali menerima peraturan Allah swt. dan rasulNya saw.

Kebaikan Keluarkan Zakat
Zakat diharapkan akan mendatangkan kesuburan pahala, karena itulah ia memberi maksud kepada "harta yang dikeluarkan". Zakat merupakan satu penyerahan jiwa yang tulus suci kepada Allah swt. yang mahu bebas dari rasa kedekut dan dosa. Kesediaan mengeluar zakat adalah lambang ketaatan, kekuatan iman dan taqwa kepada perintah Allah swt. dan tuntutan sunnah RasulNya.

Menginsafi diri ke atas kesusahan ummat Islam lain yang di dalam kemudharatan atau ditimpa musibah atau bencana. Menyalurkan sebahagian harta yang ada dan yang termampu, diberikan untuk menyambung hidup mereka, tanpa niat lain selain atas dasar ikhlas, tulus hati dan taqwa kepada Allah swt. jua.

Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat
1. Sesiapa sahaja yang memiliki atau mempunyai apa-apa jua Maal (harta) dari jenis yang kena dizakatkan apabila cukup haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya.
2. Bagi zakat nafs (fitrah), semua orang Islam yang hidup sepanjang bulan Ramadhan sehingga menempuhi 1 Syawal (bermula dari maghrib sehingga selesai Solat I'edul Fitri). Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu - hal ini adalah sunnat sahaja mengikut imam Ahmad bin Hanbal rh. (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 171) dan saya amat menggalakkan perkara ini dipatuhi, kerana kebaikannya.

Dasar Pengiraan Pengeluaran Zakat
1. Zakat Maal tertakluk kepada haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya. Imam Al Abdari rh. dalam menghuraikan perkara ini serta menghuraikan ayat 141, Surah Al An'am mengatakan:

"Harta-harta zakat ada 2 macam : pertama yang berwatak subur seperti biji-bijian dan buah-buahan, Maka bahagian ini wajib dikenakan zakat semasa dia telah berwujud (semasa perolehan). Kedua, yang diharap atau ditunggu-tunggu kesuburannya, seperti wang dirham, wang dinar dan barang dagangan. harta bahagian ini haruslah cukuplah setahun kita miliki (juga setelah jumlah yang cukup), demikianlah pendapat seluruh ahli fiqh".

2. Zakat Fitrah dikenakan mengikut kadar 1 gantang makanan ruji (asas) sesuatu tempat bagi setiap orang yang dikenakan zakat tersebut. Atau, kadar 1 gantang makanan ruji ini boleh ditukarkan kepada bentuk matawang yang sama nilai dengan harga satu gantang tersebut pada masa itu.

Orang yang Layak Menerima Zakat (Asnaf)
Orang-orang yang layak menerima zakat ini adalah sama bagi Zakat Harta dan Zakat Fitrah. Mereka terdiri daripada 8 golongan yang difirmankan oleh Allah swt. di dalam Al Quran ul Haaq,

"sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan oleh Allah. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".
Surah At Taubah (9) : ayat 60.

Al imam Al hafiz Ibnu Katsir rh. dalam kitabnya Tafsiirul Qur aanil A'zhiim, Jilid 4 : 150-151, Beliau menegaskan bahwa: Orang fakir adalah orang memerlukan tetapi sakit tidak bekerja dan tak mampu memenuhi keperluannya, Orang miskin adalah orang yang memerlukan, sihat dan bekerja tetapi masih tak mampu memenuhi keperluannya.

Orang-orang fakir adalah didahulukan untuk menerima zakat berbanding kelompok-kelompok lain kerana mereka lebih memerlukan. Dan, zakat itu tidak dihalalkan bagi orang kaya dan orang yang memiliki kekuatan (mampu mencari penghasilan).

Orang yang berhutang yang boleh diberi bahagian zakat adalah Orang yang mempunyai tanggungan denda atau hutang yang harus dipenuhi, sedangkan untuk memenuhinya ia harus mengguna habis hartanya atau, ia harus berhutang kepada orang lain, atau berhutang dan melakukan kema'siatan lalu ia bertaubat.

Seterusnya Beliau menegaskan, sesungguhnya meminta-minta (zakat) itu tidak diperbolehkan kecuali satu dari 3 macam orang; seseorang yang memiliki tanggungan, maka ia diperbolehkan meminta-minta hinga ia dapat hidup dengan normal, lalu ia menghentikan pekerjaan meminta-mintanya itu. Seseorang yang terkena musibah besar yang memusnahkan kekayaannya, maka diperbolehkan kepadanya meminta-minta sehingga ia dapat hidup dengan normal (memperolehi tempat bergantung hidup). Dan seseorang yang ditimpa kefakiran hingga ada 3 orang beraqal dari kaumnya yang menjadi saksi atas kefakirannya, maka ia diperbolehkan meminta-minta hingga ia boleh hidup normal. Hasil meminta-minta yang bukan dari ketiga macam orang ini adalah harta haram dimakan oleh orang tersebut. - Moga restu dan rahmat Allah swt. sentiasa bersama Beliau.

Akhiirul Kalaam
Demikianlah penerangan ringkas mengenai zakat (maal dan nafs) secara umum. Amat sedikit sebenarnya perbincangan ini berbanding ilmu Allah swt, yang Maha Luas. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan, untuk menjadi Muslim yang sejati.

B. ZAKAT FITRAH (bersambung)

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

Edd zahir
Tanahliat, bukit mertajam.



SOALAN 2

Orang Yang Wajib Mengeluarkan Zakat
1. Sesiapa sahaja yang memiliki atau mempunyai apa-apa jua Maal (harta) dari jenis yang kena dizakatkan apabila cukup haul (tahun), qaul (jumlah) dan semasa perolehannya.
2. Bagi zakat nafs (fitrah), semua orang Islam yang hidup sehingga melepasi waqtu Solat I'edul Fitri. Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu.

Tuan Haji....! saya ingin bertanya sedikit kepada anta tentang tajuk diatas ini pada jawapan no 2.
Soalan saya begini, bukan kah bayaran (fitrah) yang dibayar setelah selesai solat I'edul Fitri, ianya dikira sedekah biasa,bukan lagi dikira zakat fitrah.
Mohon maaf jika saya yang tersalah.

سكين
والسلام

Jawapan 1.


Betul, zakat fitrah yang dibayar selepas solat i'ed adalah menjadi sedekah biasa. ada hadisnya. saya nyatakan nanti dalam sambungan artikel ini.

wassalam.

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


Jawapan 2.

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Sebelum ini telah saya terangkan secara ringkas perihal zakat, berikutan banyak prinsip asas Zakat dan Zakat Fitrah adalah sama. Saya berasa khuatir sekiranya penerangan menjurus kepada Zakat Fitrah sahaja seperti yang diminta, ia akan menimbulkan salah fahaman dan kekeliruan antara keduanya. Mudahan Allah swt. terus memberikan taufik dan hidayahNya kepada kita,agar kita terlepas dari salah fahaman.

B. ZAKAT FITRAH

Istilah Fitrah
Kata Fitrah adalah merujuk kepada : keadaan manusia saat baru diciptakan, yaitu suci bersih zahir dan batin serta bebas dari segala dosa. Kerana itu, zakat fitrah disyaria'tkan yang mana dengan mengeluarkan zakat ini, manusia dengan izin Allah swt. akan kembali kepada keadaan fitrah, InsyaALLAH.

Taa'rif Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah mengeluarkan sebahagian daripada harta yang dimiliki untuk diri kepada golongan orang-orang layak menerimanya mengikut syarat-syarat syara'.

Dalil Wajib Zakat Fitrah
Berkenaan zakat fitrah, Allah swt. telah berfirman di dalam Al Qur'an ul Hakiim :-
"sungguh telah menang orang yang mengeluarkan zakat (fitrahnya) menyebut nama Tuhanmu (mengucapkan takbir, membesarkan Allah swt.) lalu ia mengerjakan sholat (hari raya i'edul fitri)".
Surah al A'la (87): ayat 14-15.

Diantara hadis dan kalam Rasulullah saw. yang menjelaskan perihal zakat fitrah ini adalah berikut :-
"dari Ibnu Abbas ra., telah berkata ia : Rasulullah saw. telah mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang-orang yang berpuasa dari segala perkataan keji dan sia-sia dan untuk menjadi makanan bagi orang-orang miskin. Barangsiapa menunaikan sebelum sholat, maka jadilah ia zakat yang diterima dan barangsiapa menunaikannya selepas sholat, jadilah ia suatu sadaqah sahaja". Hadis riwayat al imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ad Daraquthni rh. Hadis ini dishohihkan oleh imam al Hakim rh., rujukan kitab Fiqhus Sunnah, Jilid 3 : 148.

Hukum Zakat Fitrah
Mengeluarkan Zakat Fitrah ini adalah WAJIB ke atas semua ummat Islam (meliputi semua jenis dan kategori orang termasuk 8 golongan asnaf itu sendiri). Dalilnya telah dinyatakan di atas dan tambahan lagi dari sabdaan Rasulullah saw. di bawah,

"dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah dari bulan Ramadhan satu sha' dari kurma, atau satu sha' dari sya'iir. ke atas seorang hamba, seorang merdeka, laki-laki, wanita, anak kecil dan orang dewasa dari kaum muslimin".
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

"dari Umar bin Nafi' ra. dari ayahnya dari Ibnu Umar ra. ia berkata ; Rasulullah telah mewajibkan zakat fithrah satu sha' dari kurma atau satu sha' dari sya'iir atas seorang hamba, merdeka, laki-laki, wanita, anak kecil dan orang dewasa dari kaum muslimin dan beliau memerintahkan agar di tunaikan / dikeluarkan sebelum manusia keluar untuk shalat i'ed.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh, imam Abu Daud rh. dan imam Nasa'i rh.

Hukum wajib ini jatuh kepada ummat Islam yang mempunyai kelebihan (makanan atau nilai wang) untuk keperluannya sendiri pada malam hari raya I'edul Fitri. Sesiapa yang tidak mencukupi pada dirinya maka dianggap tidak berkemampuan. Dalam hal orang yang tidak berkemampuan ini, Rasulullah saw. telah memberikan pedoman berdasarkan sabdaanNya,

"......mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada kelebihan maka berilah untuk ahlimu (orang dibawah tanggunganmu)". Hadis riwayat imam An Nasai'e rh. : kitab Jami'ush Shaghir.

"apabila aku menyuruh kamu membuat sesuatu pekerjaan, maka kerjakanlah seberapa sanggupmu". Hadis riwayat imam Bukhari rh. : kitab Al Mughni, Jilid 1 : 682.

Kelebihan Zakat Fitrah
Melalui zakat fitrah, ummat Islam boleh membersihkan dan memperbaiki dirinya dari sebarang salah dan silap sepanjang melakukan puasa Ramadhan. Membantu dan memberikan kegembiraan kepada ummat Islam yang miskin supaya dapat menyambut I'edul Fitri sama seperti orang lain. Boleh melatih diri sendiri untuk biasa berbakti dan membantu orang yang dalam kesusahan dengan niat semata-mata kerana Allah. Kesediaan mengeluar zakat adalah lambang ketaatan, kekuatan iman dan taqwa kepada perintah Allah swt. dan tuntutan sunnah RasulNya.

Siapa Yang Wajib Keluarkan Zakat Fitrah?
Secara umum, semua dalil shohih dan qati'e menetapkan wajib ini jatuh kepada semua orang Islam yang hidup sepanjang bulan Ramadhan sehingga menempuhi 1 Syawal (bermula dari maghrib sehingga selesai Solat I'edul Fitri). Ini termasuk juga bayi-bayi yang belum dizahirkan yaitu masih dalam kandungan ibu - hal ini adalah sunnat sahaja mengikut imam Ahmad bin Hanbal rh. (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 171) dan saya amat menggalakkan perkara ini dipatuhi, kerana kebaikannya.

Perintah Allah swt. dan Rasul saw. yang tegas dalam hal zakat ini adalah sama dengan perintah Sholat yang mana ia adalah meliputi setiap individu, semua kategori ummat Islam kecuali yang gila/tak siuman. Tiada kelonggaran kecuali yang ditetapkan syara'.

Wujud pertikaian dalam hal ini berikutan, disebabkan umumnya perintah itu, bagaimana pula orang yang dalam tanggungan (seperti orang cacat, kanak-kanak, isteri tidak bekerja, orang tua, perempuan belum berkahwin, orang sedang belajar) boleh mengeluarkan zakat fitrah sedangkan hidup seharian mereka pun ditanggung orang? adakah tidak wajib zakat fitrah ke atas mereka?

Maka, adalah tetap jua hukum wajib ke atas semua orang Islam berdasarkan perintah Allah swt. dan RasulNya. Tiada kelonggaran padanya. Cuma, dalam hal siapa yang keluarkan zakat itu dan tatacara melaksanakan perintah itu, para fuqaha telah mempersetujui begini,
1. Kewajiban keluarkan zakat fitrah ke atas orang yang Ditanggung, telah jatuh kepada Penanggungnya (Penanggung - boleh juga penjaga, wali, waris, bapa).
2. Orang yang mempunyai kemampuan sendiri (kes ini dirujuk kepada lelaki yang telah cukup umur dan bekerja), hendaklah mengeluarkan zakat fitrah untuk dirinya sendiri.
3. Orang yang Ditanggung itu, hendaklah membayar untuk dirinya sendiri apabila Penanggungnya enggan membayar atau, boleh juga dia membayar sendiri apabila mampu sekalipun Penanggung berkemampuan untuk membayar.

Ketetapan tentang tanggungjawab Penanggung ini adalah berdasarkan perintah hadis berikut :-

"......mulailah dengan dirimu, kemudian jika ada kelebihan maka berilah untuk ahlimu (orang dibawah tanggunganmu)". Hadis riwayat imam An Nasai'e rh. : kitab Jami'ush Shaghir.

"dari Ibnu Umar ra. ia berkata, telah bersabda Rasulullah saw : Berilah sedekah fitrah atas nama mereka-mereka yang menjadi tanggungan engkau". Hadis ini status dhoif, diriwayatkan oleh imam Baihaqi rh. dan imam Daraquthni rh.

Kesimpulan dari bab ini, zakat fitrah ini tetap wajib dikeluarkan oleh semua ummat Islam. Boleh dibuat oleh Penanggung bagi orang Ditanggungnya atau individu sendiri. Nota : empat imam mazhab meletakkan kewajiban membayar zakat fitrah ini ke atas Penanggung mengikut kaedah warisan dan keturunan (rujukan Mazahib ul Arba'ah oleh Syeikh Abdurrahman Al Jaziri, Jilid 4 : 169).

Siapa Penerima Zakat Fitrah
Orang yang layak menerima zakat fitrah itu adalah 8 golongan asnaf yang ditetapkan menerusi firman Allah swt. dalam Al Qur'an ul Salaam, Surah At Taubah (9) : ayat 60. Nota : imam Malik bin Anas rh. memberi ijtihad menarik dalam kes Ibnus Sabil yaitu jika orang ibnu sabil itu bukanlah fakir miskin, tiada boleh ia menerima zakat fitrah (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 175).

Dalam hal ini, saya menggalakkan supaya zakat fitrah itu lebih utama diberi kepada asnaf Orang Fakir dan Orang Miskin, ini disebabkan I'edul Fitri adalah hari kebesaran dan disambut oleh ummat Islam dengan gembira dan meriah. Golongan fakir dan miskin ini lebih memerlukan bantuan agar dapat sama meraikan hari besar ini, selain memerlukan rezqi untuk meneruskan hidup. Hal utamakan Orang Fakir dan Orang Miskin ini bukanlah pelik kerana Rasulullah saw. bersabda,

"telah berkata Ibnu Abbas ra. : Rasulullah saw. telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa dari segala perkataan yang keji dan buruk yang mereka lakukan dalam mereka berpuasa dan untuk menjadi makanan untuk orang yang miskin. .......".
Hadis riwayat imam Abu Dawud rh. dan imam Ibnu Majah rh. Hadis ini dishohihkan oleh imam al Hakim rh.

Dikalangan Orang Fakir dan Orang Miskin itu pula, berilah keutamaan kepada kaum keluarga terhampir terlebih dahulu kerana hal ini telah dianjurkan oleh Rasulullah saw. dalam hadis berikut,

"dari Jabir ra., bahawasanya Rasulullah saw. telah bersabda : Apabila kamu seseorang yang fakir maka mulailah dengan dirimu sendiri. Jika ada kelebihan, berilah kepada keluargamu. Jika masih juga ada yang lebih, berilah kepada kerabat (kepada rahim). Jika masih ada lebih, maka berilah kepada sesiapa yang dikehendaki". Hadis riwayat imam Ahmad rh. dan imam Muslim rh.

Bila Boleh Keluar Zakat Fitrah
Adalah putus bahawa mengeluarkan zakat fitrah selepas Sholat I'edul Fitri tidak dikira sebagai zakat lagi tetapi sekadar menjadi sadaqah biasa. Ini berdasarkan hadis dan kalam Rasulullah saw. yang menjelaskan berikut :-
"dari Ibnu Abbas ra., telah berkata ia : .... Barangsiapa menunaikan sebelum sholat, maka jadilah ia zakat yang diterima dan barangsiapa menunaikannya selepas sholat, jadilah ia suatu sadaqah sahaja".
Hadis riwayat al imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Ad Daraquthni rh. Hadis ini dishohihkan oleh imam al Hakim rh., rujukan kitab Fiqhus Sunnah, Jilid 3 : 148.

Secara contoh a'maliyah, para Sahabat Nabi saw. telah keluarkan zakat fitrah 2 hari sebelum hari raya. Tiada keterangan lain yang menunjukkan adanya a'malan para sahabat ra. mengeluarkan zakat fitrah lebih awal dari itu, inilah a'mal perbuatan sunnah yang harus dicontohi. Ini berdasarkan hadis,
"dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Para sahabat Nabi saw. mengeluarkan zakat fitrah (zakatul badani) satu hari atau dua hari sebelum hari raya".
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh.

Imam Muhammad bin Idris Asy Syafi'e rh. telah menerangkan bahawa zakat fitrah ini boleh diberikan bermula dari awal Ramadhan lagi (Mazahib ul Arba'ah, Jilid 4 : 173). Berikutan kesulitan hidup, kekangan masa, urusan pentadbiran serta memberi kemudahan kepada masyarakat, ijtihad beliau ini amat tepat dan boleh dipraktikkan dalam konteks zaman semasa. Termasuk juga pertimbangan ke atas kes pengumpulan dan pengagihan ke kawasan yang luas dan jauh. Namun para fuqaha menjelaskan bahawa, apa-apa bayaran zakat fitrah yang dibuat sebelum maghrib 1 Syawal tidaklah dapat dikatakan fitrah, melainkan setelah ia melalui 1 Syawal itu.

Serahan Kepada A'mil atau Secara Langsung
Model keluaran zakat oleh para sahabat memang dalam dua bentuk iaitu secara langsung ataupun melalui a'malah. A'mil (a'malah) adalah orang yang dilantik oleh Ulil Amri (pemerintah) untuk menguruskan zakat (mengutip, mengumpul dan mengagihkannya).

Contoh perbuatan Rasulullah saw. dan para sahabatNya, pengumpulan dibuat 2 hari lebih awal, dikumpul pada satu tempat dan agihan dibuat selepas Sholat I'ed. Riwayat ini menunjukkan bahawa perbuatan mengumpul ini diperbuat oleh badan zakat menerusi a'malah. Pandangan ini berdasarkan kepada perbuatan Ibnu Umar ra. yang diberitakan oleh imam Malik bin Anas rh. berdasarkan hadis dibawah,
"dari Ibnu Umar ra. ia berkata : Rasulullah saw. menyuruh mengeluarkan zakat fitrah lalu membagi-baginya pada hari Fitri itu serta Baginda bersabda : cukupkanlah keperluan mereka atau perkayakanlah mereka dari berkeliling untuk meminta-minta pada hari ini".
Hadis riwayat imam Al Jaujazani dalam kitab al Mughni, Jilid 2 : 669.

Diperbolehkan juga memberi secara langsung kepada fakir miskin dengan sebaiknya diserahkan pada hari Fitri sebelum sholat I'ed. Tujuannya supaya para fakir miskin ini dapat menggunakannya pada hari mulia ini, menggembirakan dan mencukupkan keperluan mereka. Selain itu amat molek juga kita memberi langsung kepada fakir miskin yang ada dikeliling kita, yang kita tahu dengan pasti kedhaifannya, dikalangan kaum keluarga dan orang terhampir dengan kita, agar pasti mereka mendapat bantuan zakat itu.

Aakhirul Kalaam
Demikianlah penerangan ringkas mengenai zakat (maal dan nafs) secara umum. Amat sedikit sebenarnya perbincangan ini berbanding ilmu Allah swt, yang Maha Luas. Moga hasil usaha amat sedikit ini boleh jua memberi manfaat, meningkatkan ilmiah serta iltizam rakan-rakan.

"Orang yang membelanjakan hartanya ke jalan Allah, adalah seumpama satu bibit yang menumbuhkan 7 tongkol, pada tiap-tiap tongkol 100 biji, dan Allah melipatgandakan bagi orang yang dikehendaki, dan Allah Maha Luas dan Maha Mengetahui".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 261.

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

@38
, 


SOALAN 3.

Assalamua'laikum semua,

Buat semua trakan-rakan, saya doakan moga Ramadon kita tahun ini akan lebih baik dari tempoh yang dulu. Begitu juga untuk Ust Mad yang banyak memberi bimbingan dan panduan.

Terima kasih banyak-banyak atas penjelasan yang lengkap mengenai zakat fitrah ini. Banyak perkara yang dulu tak pernah tahu ataupun tak diambil tahu kini dah faham. InsyaAllah. Mudahan lepas ni dapatlah kita sama beramal dgn ilmu, bukan pak turut saja.

Saya yang serba doif ini sekadar nak bertanya lebih sedikit, banyak sekali orang menyatakan bahawa anak dalam kandungan wajib dibayar fitrah. Kat sekolah dulu pun diberitahu macam tu. Ada juga orang yang sama macam keterangan Ust Mad, bahawa sunnat yg dituntut. Apa cerita yang sebenarnya dalam hal ini. Banyak beza antara wajib dengan sunnat tu.

Harap dapat beri penjelasan sedikit lagi. Mungkin nanti ada rakan-rakan yang perlu membayar dalam tempoh terdekat jadi keliru.

Sekian. Selamat berpuasa.

Warmest Regards
" Knight Malaysia "
Jawapan.

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.
Terima kasih kepada Sdr. Ibrahim kerana mengutarakan hal yang berat nak dijawab ini. Saya akui antara Sunnat dan Wajib itu, Ma’nawi dan A’malinya amat berbeza. Kerana itu, saya gagahi juga membuat rujukan dan bertalaaqi lanjut, biarpun memang mengambil masa yang sedia tak mencukupi ini. InsyaAllah, saya cuba yang termampu.

Sepanjang pengajian dan fahaman saya juga, dikalangan para guru, rakan dan semua jamaah juga bertentangan pendapat mengenai hal ini. Ia bukan hal baru, malah sudah ribuan tahun. Baik sekali saya nyatakan asas dan pendirian setiap qaul itu, secara ringkas dan tepat, sebagai pedoman kita bersama.

Persoalan bermula dari pemahaman ke atas satu hadis ini,
“dari sayyidina Abdullah Ibnu Umar ra. ia berkata : Nabi saw. mewajibkan zakat fitri atau kataNya zakat Ramadhan bagi tiap-tiap lelaki mahupun perempuan, orang merdeka mahupun budak satu sha’ (gantang) dari kurma atau satu sha’ dari gandum. Kemudian orang-orang menyamakannya dengan setengah sha’ bagi biji gandum. Adalah Ibnu Umar ra. bila berzakat memberikannya dengan kurma. Kemudian penduduk Madinah kesulitan mendapat kurma akhirnya mereka mengeluarkan gandum. Ibnu Umar ra. memberikan zakatnya atas nama anak kecil mahupun dewasa hingga atas nama bayi sekalipun dan Ibnu Umar ra. memberikannya kepada orang-orang yang berhak menerimanya dan Dia mengeluarkan zakatnya itu sehari atau 2 hari sebelum (Hari Raya) I’edul Fitr”.
Hadis shohih dari riwayat imam Bukhari rh. No. 1415

Kedua-dua qaul mensepakati hadis shohih ini. Dalam hadis ini, disebutkan antara yang diwajibkan zakat fitrah adalah anak kecil hingga bayi sekalipun. Takrifan kepada anak kecil itu telah diperhalusi oleh para fuqaha meliputi :
1. Sudah zahir (alam nyata/dunia/fana) 2. Masih kandungan ibu (alam rahim)

Manakala, yang masih dalam kandungan ibu itu terbahagi kepada 2 macam yaitu,
3. Sudah ber Roh 4. Belum ber Roh

Disepakati kedua-dua qaul bahawa wajibnya zakat fitrah itu ke atas semua manusia Muslim yang hidup pada I Syawal (I’edul Fitr). Yang dikatakan manusia itu pula, adalah yang mempunyai jisim/jasad (badani) dan roh. Tanpa jisim dan roh atau hanya ada salah satu darinya, maka bukanlah ia manusia, dan tidaklah tertakluk dalam wajibnya zakat fitrah itu.

Ketetapan berkenaan Sudah ber Roh atau Belum ber Roh itu didasarkan kepada sabda Rasulullah saw.
“Sesungguhnya kejadian salah seorang kamu dikumpulkan dalam perut ibunya 40 hari, kemudian ia menjadi darah beku seperti itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi sekeping daging seperti itu juga (40 hari), kemudian Allah mengutus kepadanya seorang malaikat, lalu diperintah kepadanya 4 perkara : Rizqinya dan Amalnya dan Ajalnya, kemudian kemudian dicatat dia sebagai orang yang celaka atau yang bahagia, kemudian ditiup roh padanya”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh.

Berdasarkan hadis ini, telah ditetapkan yang pada usia 120 hari, telah ia mempunyai roh, lengkaplah ia sebagai manusia, cuma masih di alam rahim. Dari hadis inilah, diistinbatkan hukum Wajib atau Sunnat itu apabila kandungan mencapai 120 hari atau lebih pada I Syawal (I’edul Fitr). Sebelum 120 hari itu, adalah ia sadaqah jua sekiranya dikeluarkan.

Kedua-dua qaul juga mensepakati bahawa perbuatan mengeluar zakat ke atas anak kecil masih dalam kandungan (alam rahim) ini pernah diperbuat oleh para sahabat Nabi saw. berdasarkan riwayat begini,
“dari Abi Qatadah ra., ia berkata, Bahawa Utsman bin Affan ra. biasa mengeluarkan zakat fitrah untuk anak kecil, besar dan (anak dalam) kandungan”.
Hadis mauquf riwayat imam Ahmad bin Hanbal rh.

Dan ada lagi riwayat,
“dari Abi Qatadah ra., ia berkata, Adalah mereka (Sahabat-Sahabat Nabi saw.) suka mengeluarkan zakat fitrah untuk anak kecil, besar, hingga untuk anak dalam kandungan ibunya juga”.
Hadis mauquf riwayat imam Abdurrazaq rh, dalam kitab Al Muhalla, Jilid 6 : 132.

Intipati perbezaan pendapat dan hukum adalah begini,
Qaul 1 : Manusia yang tertakluk dalam hukum wajib itu adalah yang di alam nyata sahaja, maka sekiranya mahu dibayar zakat untuk yang di alam rahim, ia adalah sunnat. Kerana, perintah wajib zakat fitrah oleh Allah swt. dan Rasulullah saw. (dalil telah dinyatakan terdahulu) adalah kepada manusia yang hidup di alam nyata. Kiranya melibatkan manusia dalam kandungan ibu (alam rahim) pasti tentu telah dinyatakan dan dicontohkan oleh Rasulullah saw, sendiri. Perbuatan para sahabat Nabi saw. adalah perbuatan amat mulia dan wajar dicontohi, tetap juga ia adalah perbuatan sebahagian sahabat dan bukannya ijma’ seluruh sahabat. Maka, dari segi hukum tidak ia menjadi Wajib tanpa perintah qati’e (putus) dari Allah swt. dan RasulNya sendiri.

Qaul 2 : Manusia adalah yang berjisim dan roh, lantas ia meliputi di alam nyata mahupun di alam rahim, maka tertakluklah kepada wajib zakat fitrah itu. Wajib itu amat baik kerana hikmah zakat fitrah itu dan kemuliaannya. Perbuatan para sahabat Rasul saw. membuktikan ia adalah Wajib kerana, tanpa adanya hukum Wajib itu, tentu sekali para sahabat yang barang tentu sangat alim dan wara’, tidak akan berbuat demikian.

Ada dikalangan qaul ini menyebut bahawa mungkin ada perintah dari Rasul saw. tetapi tidak diriwayatkan oleh para sahabat sebagai hadis, kerana itulah ada sahabat yang berbuat zakat fitrah untuk anak dalam kandungan. Pendapat sebegini saya tolak sepenuhnya kerana ia adalah bercanggah dengan sifat kerasulan Nabi Muhammad saw. yang diutuskan kepada semua ummat manusia, bukan untuk sebahagian malah segala pengajaran Baginda adalah secara nyata, bukan tersembunyi. Dan lagi, hukum hakam dalam Islam didasarkan kepada dalil yang shohih dan qati’e, bukan sangka-sangkaan atau berasaskan mungkin saja. Jika benar hukum Wajib itu ada, pasti ia ada diriwayatkan dan diamalkan oleh Rasul saw. sendiri dan para sahabatNya sebelum Utsman bin Affan ra. lagi.

Begitulah pendirian kedua-dua qaul itu yang saya cuba ringkaskan dari perbicaraan yang amat panjang lebar sebenarnya, disertakan sedikit komentar saya sendiri. Saya bentangkan untuk pengetahuan dan perkongsian ilmiah dengan rakan-rakan.

Dari segi pendirian saya sendiri, ia adalah sunnat yang dituntut (muakkadah) kerana itulah yang lebih kuat dan qati’e seperti yang dinyatakan oleh Qaul 1. Paling utama, tidak ia menjadi hukum Wajib tanpa perintah qati’e (putus) dari Allah swt. dan RasulNya sendiri. Dan itulah juga pendirian imam Ahmad bin Hanbal rh. Manakala, 3 imam mazhab lain tidak menyebut tentang hal ini.

Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

edd zahir
Tanahliat, bukit mertajam.

0 ulasan: