Khamis, 2 September 2010

PERSOALAN MENGENAI SIFAT 20

2 ulasan

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته


Apa khabar tuan? Harapan saya agar tuan dan ahli jemaah kita sekelian berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya.


Saya ingin bertanya mengenai sifat 20 ?
Yang agak mengelirukan saya,adakah kita tidak islam jika tidak menghafal sifat 20. Dari mana asasnya dan usulnya sifat 20 ini? Saya agak keliru kerana masyarakat hari ini mewajibkan kita mengenal dan menghafal sifat 20. Adakah ianya satu tuntutan dalam syariah? Minta tuan tolong perjelaskan pada sekelian jemaah termasuk saya.

Soalan daripada saudara Marzuki


وعليكم السلام

Saya agak keberatan untuk menjawab ni kerana hal ini agak sensitif. Namun begitu, ada sedikit ulasan yang ringkas untuk panduan dan ilimiah kita bersama. Memandangkan perkara ini berkaitan asas Islam iaitu Aqidah, biarlah saya ulas sedikit.


Aqidah(Bahasa Arab: اَلْعَقِيْدَةُ) dalam istilah Islam yang bererti iman(percaya). Semua sistem kepercayaan atau keyakinan dianggap sebagai salah satu aqidah.


Dalam bahasa Arab aqidah berasal dari kata al-‘aqdu (الْعَقْدُ) yang berarti ikatan atau simpulan tali, at-tautsiiqu (التَّوْثِيْقُ) yang berarti kepercayaan atau keyakinan yang kuat, al-ihkaamu (اْلإِحْكَامُ) yang artinya mengukuhkan (menetapkan), dan ar-rabthu biquw-wah (الرَّبْطُ بِقُوَّةٍ) yang bererti mengikat dengan kuat.


Sedangkan menurut istilah (terminologi): ‘aqidah adalah iman (kepercayaan) yang teguh dan pasti, yang tidak ada keraguan sedikit pun bagi orang yang meyakininya.


Jadi, ‘Aqidah Islamiyyah adalah keimanan yang teguh dan bersifat pasti dalam diri setiap ummat Islam kepada Allah dengan segala pelaksanaan kewajiban, bertauhid (Esa kan) dan taat kepada-Nya, beriman kepada Malaikat-malaikat-Nya, Rasul-rasul-Nya, Kitab-kitab-Nya, hari Akhir, takdir baik dan buruk dan mengimani seluruh apa-apa yang telah sahih tentang prinsip-prinsip Agama (Ushuluddin), perkara-perkara yang ghaib, beriman kepada apa yang menjadi ijma’ (konsensus) dari Salafush Shalih, serta seluruh berita-berita qati'e (pasti), baik secara ilmiah maupun secara amaliyah yang telah ditetapkan menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah yang shahih serta ijma’ Salaf as-Shalih.


Aqidah adalah ilmu tertinggi dalam Islam seperti sabda Rasulullah saw "sesungguhnya Allah swt tidak memfardhukan sesuatu yang terlebih afdhal daripada meng Esa kan Allah swt dan adanya sesuatu terlebih afdhal daripadanya, niscaya tetaplah telah difardhukan kepada malaikatnya padahal ada setengah daripada malaikat-malaikat itu ada yang rukuk selama-lamanya dan setengahnya ada yang sujud selama-lamanya' Hadis sohih riwayat Al Hakim. Aqidah adalah asas penentu kepada ke Islaman atau tidak.


Matlamat aqidah adalah penyembahan tertinggi tanpa syirik kepada Allah swt seperti firman Allah dalam Surah Al An'aam (S6) ayat 82, yang mana Adanya dan sifatnya untuk ditaati itu dinyatakan seperti firman Allah dalam Surah Al-Ikhlas (S112) dan barangsiapa melanggarnya adalah musyrik (kufur) seperti firman Allah dalam Surah Yusuf (S12) ayat 106. Sila buat rujukan dan, ini adalah ringkasan kepada perbicaraan ilmiah yang panjang lebar sebenarnya.


Berikutan begitu pentingnya hal aqidah ini, maka telah timbul bermacam-macam perkara antaranya seperti yang tuan sebutkan itu. Bagi menjurus kepada soalan tuan, saya ringkaskan begini.


Secara sejarahnya, penekanan awal Islam oleh Rasulullah saw selama 13 tahun di Makkah adalah pemurnian aqidah. Selepas hijrah ke Yathrib (Madinah) Islam lebih berkembang lagi dengan perincian Fiqh, Mua'mmalah, Munakahat, Jinayat, Baitul Maal, Pentadbiran, Kenegaraan dll. Selepas wafatnya Rasulullah saw, empayar kerajaan Islam telah berkembang pesat ke seluruh dunia Arab, Afrika, Asia dan Eropa dan mengalahkan 2 empayar terkuat sebelumnya iaitu Rom dan Farsi.


Ratusan tahun selepas Baginda wafat, perkembangan pesat Islam itu melampaui jarak, masa dan pelbagai ketamadunan yang menyebabkan :-


a. Wujudnya asimilasi (percampuran) sosial - bangsa, keturunan


b. Wujudnya asimilasi budaya


c. Asimilasi kepercayaan


yang menggabungkan kepercayaan (spiritual) dan amalan (ritual) Islam dengan budaya setempat. Sebagai contoh, ratusan tahun orang Islam di Malaysia mengamalkan mandi safar untuk membuang sial dan dosa padahal ia adalah amalan agama Hindu yang bertentangan sama sekali dengan ajaran Islam. Banyak lagi contoh lain melibatkan kes asimilasi ini.


Salah satu perkara yang menjadi asimilasi hebat pada masa itu (sekitar kurun ke 3 dan 4 hijrah) adalah masuknya dogma dan falsafah Roman/Yunani/Farsi ke dalam spritual dan ritual ummat Islam. Hakikatnya Roman/Yunani/Farsi telah mempunyai akar budaya, tamadun, ilmu dan falsafah yang establish ribuan tahun sebelum Rasulullah saw. Kemuncaknya pada zaman Khalifatul Bani Abbasiyah (Harun Ar Rasyid, Al Makmun) yang berpusat di Kota Baghdad - yang pada masa itu menjadi kota ilmu terunggul di dunia.


Salah satu perkara yang hebat asimilasi adalah tentang aspek-aspek ketuhanan sehingga masyarakat pada masa itu mencampuradukkan semua dogma/falsafah kuno ke dalam ruang litup Islam sehingga mewujudkan golongan Muktazilah dan Zindiq, yang mentakwil guna akal fikiran hal-hal ghaib dan ayat mutasyaabahat, menghurai sifat dan ciri Allah sehingga ke tahap melanggar firman Allah serta menyamakan Allah dengan makhluk.


Disebabkan kerosakan masyarakat dan fahaman Islam pada masa itu, maka timbullah pemuka Islam bernama Abu Hassan Al Asha'ari (gagasan sifat 13) dan disambung perjuangan oleh anak muridnya Abu Mansur Al Maturidy (tambahan 7 menjadi 20). Harus difahami bahawa gagasan sifat 20 itu adalah satu argumentasi bersifat ijtihad yang dihasilkan oleh 2 tokoh ini bagi menghadapi, menjawab dan memerangi golongan perosak agama Islam serta, menggunakannya pula untuk memurnikan dan membersihkan semula aqidah Islam yang telah tercemar pada masa itu.



INGATLAH, SIFAT 13 + 7 INI BUKAN PERINTAH YANG DATANG DARI ALLAH, RASULNYA, SAHABAT, TABIIN ATAU TABIUT-TABIIN.


Seterusnya Islam terus berkembang lagi sehingga lebih jauh sampai ke India dsbgnya. Sekitar kurun 7 Hijrah, akibat dari asimilasi berterusan, telah timbul kerosakan pada faham Islam berikutan campuran filosofi, spritual dan ritual budaya Hindu-Buddha serta kerosakan sedia ada. Masyarakat pada masa itu terpengaruh dan leka dengan keramat-keramat, wali-wali, sembah kuburan, meng'kultus'kan manusia mati atau hidup, wujudnya tarekat sesat dan fahaman sesat seperti wahdatul wujud dsbnya. Kerana itu, timbullah pemuka lain yang yang berjuang untuk membuat kerja yang sama iaitu menentang kebatilan dan memurnikan aqidah Islam (seperti dibuat oleh orang yang terdahulu) iaitu Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, anak muridnya Ibnu Qayyim Al Jauziyah dan lain-lain. Mereka berhujjah dan berijtihad sebaik mungkin, secara ilmiah dikenali menerusi kaedah pembahagian aqidah kepada 3 bentuk yang digunapakai sehingga kini,


Tauhid Al-Uluhiyyah - mengesakan Allah dalam ibadah, yakni beribadah hanya kepada Allah dan karenanya semata.

Tauhid Ar-Rububiyyah - mengesakan Allah dalam perbuatan-Nya, yakni mengimani dan meyakini bahwa hanya Allah yang mencipta, menguasai dan mengatur alam semesta ini.

Tauhid Al-Asma' was-Sifat -mengesakan Allah dalam asma dan sifat-Nya, artinya mengimani bahwa tidak ada makhluk yang serupa dengan Allah, dalam dzat, asma maupun sifat.


Walaupun masalah qadha' dan qadar menjadi punca perselisihan di kalangan umat Islam, tetapi Allah telah membukakan hati para hambanya yang beriman, yaitu para Salaf Shalih yang mereka itu senantiasa menempuh jalan kebenaran dalam pemahaman dan pendapat. Menurut mereka qadha' dan qadar adalah termasuk rububiyah Allah atas makhluknya.


Iman kepada qadar adalah termasuk tauhid ar-rububiyah. Oleh karena itu Imam Ahmad berkata: "Qadar adalah kekuasaan Allah". Karena, tak syak lagi, qadar (takdir) termasuk qudrat dan kekuasaannya yang menyeluruh. Di samping itu, qadar adalah rahasia Allah yang- tersembunyi, tak ada seorangpun yang dapat mengetahui kecuali Dia, tertulis pada Lauh Mahfuzh dan tak ada seorangpun yang dapat melihatnya. Kita tidak tahu takdir baik atau buruk yang telah ditentukan untuk kita maupun untuk makhluk lainnya, kecuali setelah terjadi atau berdasarkan nash yang benar.


INGATLAH, PEMBAHAGIAN TAUHID KEPADA 3 JENIS INI JUGA BUKAN PERINTAH YANG DATANG DARI ALLAH, RASULNYA, SAHABAT, TABIIN ATAU TABIUT-TABIIN.


Kemudian Islam terus berkembang dan menghadapi pelbagai cabaran lagi. Sekitar kurun ke 10/11 Hijrah, hampir keseluruhan negara Islam didunia (kecuali dibawah Turki Uthmaniah yang semakin mengecil) telah dijajah oleh kuasa barat (termasuk tanah melayu dan nusantara). Makkah dan Madinah pun hampir ditakluki British. Maka bermulalah satu era modernis bawaan penjajah barat iaitu ekonomi kapitalis dan pemerintahan/pentadbiran sekular yang dipaksakan ke atas orang Islam. Dan, bukan sedikit orang Islam yang murtad dan terpesong dari ajaran Islam sebenar. Penjajahan barat telah menjadikan ummat Islam terpesong dari hukum-hakam dan pemerintahan Islam. Maka timbullah lagi pemuka/pejuang Islam, yang diketuai oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, bermula di jazirah Arab, menentang proses sekularisme dan pembaratan ini. Beliau menyambung perjuangan terdahulu membanteras segala macam kebatilan, kemaksiatan serta perbuatan kemusyrikan dalam agama Islam demi menjaga kesucian Islam dan daulah Islamiyyah. Beliau secara ijtihad telah menggagaskan :-


Tauhid Mulkiyah atau Tauhid Hakimiyah - mengesakan Allah menerusi menjalankan pemerintahan negara dan menjatuhkan hukum-hakam berdasarkan perintah Allah atau dalam kata lain mengembalikan semua itu kepada kekuasaan Allah, bukan peraturan buatan manusia.

Tauhid Mulkiyah atau Tauhid Hakimiyah ini adalah cara baru yang digunapakai bagi menghadapi masalah kerosakan ummat Islam pada masa itu. Sebenarnya yang dimaksud Hakimiyah itu adalah kekuasaan Allah, maka hal ini sudah masuk ke dalam kandungan Tauhid Rububiyah. Apabila yang dikehendaki dengan hal ini adalah pelaksanaan hukum Allah di muka bumi, maka hal ini sudah masuk ke dalam Tauhid Uluhiyah, karena hukum itu milik Allah dan tidak boleh kita beribadah melainkan hanya kepada Allah semata. Lihatlah firman Allah dalam Surah Yusuf (S12) ayat 40.



INGATLAH, TAUHID MULKIYAH ATAU HAKIMIYAH INI JUGA BUKAN PERINTAH YANG DATANG DARI ALLAH, RASULNYA, SAHABAT, TABIIN ATAU TABIUT-TABIIN.


Maka, semua bentuk pembahagian atau pengajaran aqidah yang dinyatakan tidak lebih daripada kaedah atau cara yang digunapakai oleh para pemuka Islam dan mujtahidin dari satu zaman ke satu zaman demi untuk mengembalikan ummat Islam kepada matlamat yang satu iaitu Tauhid (esa) kepada Allah, menentang segala bentuk kemusyrikan dan kebatilan demi mempertahankan kesucian dan kemurnian Islam. Pengajaran mereka itu relevan sehingga kini bagi menghadapi segala macam pancaroba dan perubahan zaman serta akan terus kekal hingga ke akhir zaman.


Kerana itu, belajar atau tidak, hafal atau tidak sifat 20, ia tidak pernah menjadi syarat sah iman atau kufur seseorang. Malah, ingin saya ingatkan kepada mereka yang berik'tiqad seperti itu supaya memohon ampun kepada Allah kerana ik'tiqad sebegitu hakikatnya telah mengkufurkan Nabi saw, sahabat, tabiin, tabiut-tabiin, salafus shalih dan ribuan juta ummat Islam yang hidup sekarang mahupun yang telah meninggal dunia.


Amat malang, kita yang serba dhaif hari ini, bukannya mengguna pakai segala khazanah ilmu yang mereka tinggalkan: yang dihasilkan dengan penuh taqwa dan iman disebalik umpat cerca, fitnah dan nista masyarakat, malah sebahagian besarnya dipenjara, dicacatkan, disiksa dan dibunuh: untuk meningkatkan ilmu dan taqwa, meng-esa dan mentaqarrubkan diri kepada Allah tetapi sebagai senjata untuk berpecah-belah, kafir mengkafir dan menyesatkan sesama sendiri. Lantas, saya menyeru kepada semua untuk terus belajar dan memperdalamkan ilmu dari sumber yang qati'e dan sahih, supaya kita tidak jadi manusia yang tangkap borong dan bertaqlid buta sahaja.



Setakat ini sahaja kerana masa amat terhad. Moga membantu.



Wassalam.


edd zahir

2 ulasan:

Do4 aQ kpd Mu R@Bb berkata...

assalamu'alaikum..
boley saya tahu apa nama kitab yang dikarang oleh imam al-asha'ari yang dalammya terdapat maklumat mengenai sifat Allah 6 atau 13 (sifat 20) yang diasaskan oleh imam tersebut ..

eddzahir berkata...

salam tuan...
saya mintak maaf kerana lambat respond kepada soalan tuan...

jawapan:

Ajaran Sifat 20 atau sifat 50 di susun pertama kali oleh Syaikh Abu Abdullah Muhammad bin Yusuf As Sanusi (lahir tahun 1427M di Tilimsan, Aljazair (Algeria) dan wafat pada tahun 1490M/895H). Kitab bernama Umm Al Barahin (disebut juga Ad Durrah). Syarah yang lebih mendalam, yang dikenal sebagai Kitab As Sanusi, juga ditulis oleh beliau sendiri.

Karya paling awal di nusantara berkenaan ilmu sifat 20 ini adalah mengikut syarah Kitab As Sanusi dihasilkan oleh Syaikh Muhammad bin Muhammadal Fadhdhali Al Indunisi (wafat 1236H/1821M) bernama Kifayah Al Awwam. Seterusnya ia berkembang diikuti oleh ramai ulama’ nusantara lain berasaskan dari kitab karya beliau ini.

Seharusnya difahami, ajaran sifat 20 seperti yang difahami sekarang ini, bukanlah susunan imam Al Fadhil Abu Hasan Al Asy’ari Rhm. (Basrah dan Baghdad, Iraq) dan Imam Asy Syaikhul Islam Abu Mansur Al Maturidy Rhm. (Maturid, Samarqand, Uzbeskistan). Dan tiada pun mereka menghasilkan kitab mengenai sifat 20 itu. Apa yang difahami sekarang adalah mengikut syarah oleh imam As Sanusi sebenarnya

Seharusnya difahami bahawa, sifat 13 dan 7 itu adalah argument (hujjah) balas yang dipelopori oleh 2 imam muktabar ini untuk menentang golongan Mu’tazilah, Zindiq, Mulhid, Bid’ah dan segala macam ajaran sesat pada zaman mereka. Yang dengannya kemurniaan aqidah Islam terpelihara dan menyelamatkan ramai yang sesat pada masa itu.

Kitab karangan imam Abu Hasan Al Asy’ari Rhm. adalah :
Al Ibanah ‘An Usulid Diyaanah, Al Maqaalaat Al Islamiyyin, Al Luma’, Tafsir Al Mukhtazin dan Al Fusul Fir Radd Al Mulhidin Wa Al Khaarijin Minal Millah. Penjelasan aqidah paling jelas banyak dinyatakan dalam kitab Al Ibanah ‘An Usulid Diyaanah dan Al Maqaalaat Al Islamiyyin,