Soalan 1.
Apa benarkah nuzul quran jatuh pada 17 ramadhan?
Jawapan.
Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.
Saya mohon izin untuk bercakap dalam hal Nuzul Al Qur’an ini sedikit. Ada rakan yang bertanya : Betulkah Nuzul Al-Qur’an itu berlaku pada 17 Ramadhan seperti yang dipercayai dan disambut sekarang, ada majlis-majlis sambutan, siap dengan cuti umum sekali.
Jawapan ringkas, tepat, padat dan tetap dari saya : Tanggapan dan fahaman itu tidak benar, kerana :
Adalah benar bahawa Nuzul Al Qur’an itu di Bulan Ramadhan, seperti yang telah difirmankan oleh Allah swt.
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah....”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 185.
Akan tetapi, sesungguhnya Al Qur’an ul Kabiir itu diturunkan pada malam Al Qadr (Lailatul Qadr), bukannya pada 17 Ramadhan seperti difirmankan oleh Allah swt.
“Sesungguhnya telah kami turunkan Al-Qur’an itu pada malam Al-Qadar”.
Surah Al-Qadr (97) : ayat 1.
Manakala, yang dimaksudkan dengan Lailatul Qadr itu adalah sepuloh (10) malam terakhir Ramadhan berdasarkan hadits daripada Ummul Mukminin, Sayyidatina Aisyah binti Abu Bakar ra.
“Rasulullah saw. beri’tikaf di sepuluh hari terkahir bulan Ramadhan dan beliau bersabda : Carilah malam Lailatul Qadar (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan”.
Hadits shohih riwayat imam Bukhari rh. 4/225 dan imam Muslim rh. 1169.
Seterusnya, yang dikatakan Lailatul Qadr itu adalah malam-malam yang ganjil (21, 23, 25, 27, 29), bukannya semua sekali sepuloh (10) malam yang akhir itu. Ini berdasarkan,
“dari Ubadah bin Shamit ra. ia berkata : Rasulullah saw. keluar pada malam Lailatul Qadar, ada dua orang sahabat berdebat. Baginda bersabda : Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kalian tentang malam Lailatul Qadar, tapi ada dua orang berdebat hingga tidak bisa lagi diketahui bilanya, mungkin ini lebih baik bagi kalian, carilah di malam 29. 27. 25 (dan dalam riwayat lain : tujuh, sembilan dan lima)”.
Hadis shohih riwayat imam Bukhari rh. 4/232.
Banyak orang yang berpegang dan berfaham bahawa Nuzul Al Qur’an itu pada 17 Ramadhan menerusi riwayat yang mengatakan ianya terjadi pada 17 Ramadhan seperti yang disebut oleh riwayat Ibn Mas’ud ra., maka adalah sesungguhnya riwayat ini ialah dhoif (sila rujuk dalam Sunan Abi Daud rh. :no. 1384).
Dalam hal Nuzul Al-Qur’an ini, tidak dapat dipastikan bilakah diturunkan Al-Qur’an itu secara tarikh dan masa tepat, sama ada hari ke berapa, malam ke berapa dan bilakah masanya dalam tempoh malam-malam ganjil sepuloh (10) hari terakhir Ramadhan al Mubarak itu. Itulah yang sebenarnya.
Aakhirul Kalaam : Tidak payahlah menyambut sesuatu yang tidak kita pasti, dengan dianggap begitu begini pulak, disulam pulak dengan segala macam amalan yang tak pernah dituntut syara', walhal, perintah Allah swt. dan rasulNya amat jelas supaya mengamalkan isi Al-Qur’an itu, bukannya mengadakan kekarutan dari kejahilan. Janganlah membubuh garam sesedap rasa sahaja, nanti tak sedap lauknya, kerana Allah swt. telah pun memberikan peringatanNya,
“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan".
Surah Al Israa' / Bani Israail (17) : ayat 36.
Apapun esok cuti umum, untuk saya dan sebahagian kita, ni'matinya. Alhamdulillah.
Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام
MAKLUM BALAS DARIPADA SAUDARA PYAN.
Benarkah 17 Ramadhan Adalah Nuzul Al-Qur'an
Tanggal 17 Ramadhan tiba lagi dan setiap kalinya masyarakat kita akan menyambut Nuzul Al-Qur’an, di mana pada tarikh ini dikatakan tarikh diturunkan Al-Qur’an buat pertama kalinya kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Persoalan yang timbul ialah, adakah benar 17 Ramadhan ini merupakan tarikh yang tepat bagi Nuzul Al-Qur’an seperti yang diketahui umum?
Dalam menulis artikel ini, saya juga mengambil manfaat dari kertas kerja yang ringkas dan padat, ditulis oleh Al-Fadhil Dr Ahmad Najib bin Abdullah dari KIAS Kelantan. Kertas kerja ini bertajuk “Penetapan 17 Ramadhan sebagai hari Nuzul Al-Qur’an” dibentangkan di dalam mesyuarat fatwa Kerajaan Negeri Perlis.
Peringkat Penurunan Al-Quran ul Kariim
Para ulamak membahagikan penurunan Al-Qur’an al-Karim kepada dua peringkat.
Peringkat Pertama: Diturunkan dari Lauh al-Mahfuz di langit yang ketujuh ke Baitul Izzah di langit dunia secara sekali gus pada malam al-Qadr iaitu malam yang penuh barakah di dalam bulan Ramadhan. Inilah yang difahami dari firman Allah swt.
إنا أنزلناه في ليلة مباركة
Maksudnya : "Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Qur’an) pada malam yang diberkati". Surah ad-Dukhaan (44) : ayat 3.
Firman Allah swt. lagi,
إنا أنزلناه في ليلة القدر
Maksudnya : "Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Qur’an) pada malam al-Qadr". Surah al-Qadr (97) : ayat 1.
Firman Allah swt lagi,
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Maksudnya : "Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)". Surah al-Baqarah (2) : ayat 185.
Peringkat Kedua: Diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah saw. selama 23 tahun mengikut keadaan dan peristiwa.
Pendapat ini dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-Ashqalani rh. katanya : Pendapat yang shohih dan muktamad (dalam Fath al-Bari, Jilid 8 : 620). Al-Imam Al-Qurtubi rh. menyatakan tiada perselisihan antara para ulamak tentang pendapat ini (dalam Tafsir al-Qurtubi, Jilid 2 : 297).
Bilakah Tarikh Permulaan Turunnya Al-Qur’an?
Kita mengetahui bahawa tiada perselisihan di kalangan para ulamak bahawa permulaan turunnya al-Qur’an itu ialah di dalam Bulan Ramadhan. Tetapi, mereka berselisih pendapat di dalam penentuan tarikh permulaannya.
Bukanlah suatu perkara yang penting untuk kita mengetahui hal tarikh ini, ianya tidak lebih hanya untuk membuka minda kita untuk berfikir kerana saban tahun minda kita ditanam untuk mempercayai bahawa 17 Ramadhan adalah hari Nuzul al-Qur’an, bahkan pada hari tersebut merupakan hari cuti untuk kita sama-sama meraikannya.
Berbagai-bagai pendapat diutarakan oleh para ulamak seperti yang disebut oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri antaranya 7 Ramadhan, 17 Ramadhan dan 18 Ramadhan. Setelah beliau mengkaji tentang perkara ini, maka beliau memilih tarikh 21 Ramadhan sebagai tarikh permulaan Nuzul al-Qur’an. Ini disebabkan oleh beberapa faktor yaitu :
1. Semua ulamak dan ahli sejarah atau kebanyakkan dari mereka bersetuju bahawa Nabi saw. diutuskan menjadi seorang Rasul ialah pada hari Isnin seperti yang diriwayatkan oleh para ulamak hadis daripada Abu Qatadah rh.
“bahawasanya Rasulullah saw. ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Nabi bersabda : Pada hari itu aku dilahirkan dan diutuskan atau diturunkan (al-Qur’an) ke atasku”. Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim, Ahmad, Al-Baihaqi dan al-Hakim.
2. Pada tahun Nabi saw. diutuskan, hari Isnin yang berada di dalam Bulan Ramadhan ialah jatuh pada 7, 14, 21 dan 28. Terdapat di dalam riwayat-riwayat yang shohih yang menyatakan bahawa Lailatul Qadr berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir dalam Bulan Ramadhan.
3. Setelah diteliti dan dibuat perbandingan antara firman Allah swt. di dalam surah Al-Qadr dan riwayat Abu Qatadah rh. serta kajian perhitungan taqwim, maka kesimpulannya Nabi saw. diutuskan sebagai Rasul pada 21 Ramadhan sekaligus menjadi tarikh Nuzul Al-Qur’an. (rujuk Al-Rahiq al-Makhtum, hlm.75)
Tarikh 17 Ramadhan
Tarikh ini dipilih oleh sebahagian para ulamak, termasuk yang memilih pendapat ini ialah Ibn Ishaq rh. Merujuk kepada kertas kerja yang ditulis oleh Dr Ahmad Najib, beliau menyatakan :
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 ramadhan sebagai tanggal nuzul al-Quran. Setelah saya (Dr Najib) meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Qur’an” (bermulanya nuzul al-Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat catatan berikut :
Ibn Ishaq berkata : Bermulanya penurunan al-Qur’an kepada Rasulullah saw. pada Bulan Ramadhan. Allah berfirman :
شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان
Maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil)”. Surah al-Baqarah (2) : ayat 185.
Dan Allah swt. berfirman :
إنا أنزلناه في ليلة القدر
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr”. Surah al-Qadr (97) : ayat 1.
Dan Allah swt. berfirman:
إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان
Maksudnya : “Jika kamu semua beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada hamba kami pada hari al-Furqan, hari bertemunya dua kumpulan”. Surah al-Anfal (8) : ayat 41.
Dan pada hari itu, pertembungan antara Rasulullah saw. dengan orang-orang musyrikun di Badar.
Ibn Ishaq berkata lagi : Abu Ja’afar Muhammad bin Ali bin Hussain rh. telah menceritakan kepadaku bahawasanya Rasulullah saw. bertemu dengan musyrikun di Badar pada hari Jumaat, pagi 17 Ramadhan. (Sirah Ibn Hisyam 1/239-240 – merujuk kepada kertas kerja Dr Ahmad Najib).
Kata Dr Ahmad Najib : Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘Al-Furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an dengan ‘Hari al-Furqan’ yang membezakan antara haq dan batil yang merujuk kepada peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa nuzul al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.
Di dalam Al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Ibn Kathir rh. membawakan satu riwayat dari Al-Waqidi rh. daripada Abu Ja’afar al-Baqir rh. dia berkata: Bermulanya wahyu kepada Rasulullah saw. pada hari Isnin 17 Ramadhan dan dikatakan juga 24 Ramadhan. (rujuk Al-Bidayah wa al-Nihayah).
Kesimpulannya, inilah sumber kepada pendapat yang mengatakan nuzul al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan. Pendapat ini tidak boleh menjadi hujah dalam penetapan nuzul al-Qur’an disebabkan ianya bersandar kepada riwayat al-Waqidi. Nama penuhnya ialah Muhammad bin Umar bin Waqid al-Aslami, beliau merupakan seorang perawi yang lemah dan tidak diterima periwayatannya menurut ulamak al-Jarh wa al-Ta’dil.
24 Ramadhan Sebagai Tarikh Nuzul al-Quran
Sebahagian ulamak memilih 24 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul al-Qur'an berdasarkan hadis berikut:
عَنْ وَاثِلَةَ بْنِ الأَسْقَعِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلاَم فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتْ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالإِنْجِيلُ لِثَلاَثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْفُرْقَانُ لأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ.
“Daripada Wathilah bin al-Asqa’ ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda : Diturunkan suhuf Ibrahim as. pada malam pertama bulan Ramadhan, dan diturunkan Taurat pada 6 Ramadhan, dan Injil pada 13 Ramadhan, dan diturunkan al-Furqan (al-Qur’an) pada 24 Ramadhan”.
Hadith ini dihukumkan hasan oleh Syeikh Al-Albani rh, manakala Syeikh Ahmad Syakir rh. menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.
Al-Hafiz Ibn Hajar Ashqalany rh. menyatakan hadis ini bertepatan dengan firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah : 185 dan Al-Qadr : 1. Kata beliau: Berkemungkinan Lailatu al-Qadr berlaku pada tahun diutuskan Nabi saw. pada malam 24 Ramadhan di mana al-Qur’an diturunkan secara sekali gus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan) wahyu pertama diturunkan iaitu Iqra’. (dalam Fath al-Bari, jilid 8 : 621)
Al-Imam al-Tobari rh. ada menyebutkan satu riwayat menerusi Sa’id bin Jubair rh. daripada Ibn Abbas ra. Katanya : Al-Qur’an diturunkan sekali gus dari Lauh al-Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ditempatkan di Baitul Izzah. (Jami’ al-Bayan, Jilid 3, hlm. 445)
Imam al-Qurtubi rh. menyebut hadith Wathilah merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hassan al-Basri rh. yang menegaskan Lailatul al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, jilid 2, hlm 198)
Al-Hafiz Ibn Kathir rh. juga membawakan hadith ini dalam menafsirkan maksud ayat 185 surah al-Baqarah. Turut menyebut hadith ini Syeikh Al-Albani rh. di mana beliau mengambil hadith ini bagi menjelaskan Nuzul al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 Ramadhan.
Kesimpulan
Dalam memilih pendapat yang kuat dan rajah, maka saya mengambil apa yang dinyatakan oleh Dr Ahmad Najib bahawa Nuzul al-Quran jatuh pada 24 Ramadhan berdasarkan kepada perkara-perkara yang berikut:
1. Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas al-Qur’an dan Hadith. Dalam hal ini hadith Wathilah bin Al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya Nuzul al-Qur’an.
2. Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
3. Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulamak Muktabar dan dijadikan hujjah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul al-Qur’an. Rujuk kepada kata-kata Al-Hafiz Ibn Hajar Ashqalani, Imam Al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.
Wallahu a’lam
0 ulasan:
Catat Ulasan