Jumaat, 3 September 2010

FIDYAH PUASA

0 ulasan

SOALAN 1.

Soalan daripada : izanahani@yahoo.com

en. mad,

Bagaimana yang dikatakan secupak, bolehkah kita mencari-cari sendiri orang yang miskin itu,

Al Quran menyebut orang miskin tidak fakir, bagaimana dengan orang fakir.

Wassalam.

السلام عليكم

Jawapan.

puan yang dihormati,

Satu cupak adalah 1/4 (0.675 kg atau 675 gram) dari 1 gantang (2.7 kilogram). Timbangan ini untuk beras sebagai makanan ruji di Malaysia. Ini adalah sukatan di Pulau Pinang (lain-lain negeri mungkin sama atau berbeza).

Ta'rif kepada miskin adalah - jumlah perolehan seseorang pada satu hari sekadar cukup untuk hari itu.
Ta'rif kepada fakir adalah - jumlah perolehan seseorang pada satu hari tidak cukup untuk hari itu pun. Popular disebut miskin tegar.

Ini adalah ta'rif secara umum. Terdapat lain-lain ta'rif dalam amalan politik/ekonomi semasa spt pendapatan per kapita, pendapatan bawah RM 550 (tegar), bawah 900 (miskin), purata pendapatan isirumah dll. Memang di dalam Al Qur'an tidak menyebut fakir, namun janganlah khawatir, fakir itu salah satu kategori dalam miskin bermaksud, orang miskin juga.

Sekadar sedikit pesanan, sekarang ini popular pula orang beri zakat/fitrah/sadaqah kepada janda dan ibu tunggal, berhati-hatilah kerana dikhuatiri nanti mereka itu tidak menepati syara' kerana ada yang tidak layak menerima. Paling baik adalah patuhi arahan Allah swt di dalam Al Qur'an iaitu status sosioekonomi seseorang yang miskin atau mengikut asnaf, bukan status peribadi seseorang yang tak termasuk dalam kategori asnaf pun. Pernah terjadi kecoh satu ketika dulu kerana ibu tunggal berkemampuan mendapat imbuhan, berbanding kelamin yang memang miskin.

Boleh diberi terus fidyah 1 cupak beras bagi satu hari tidak berpuasa itu kepada mana-mana orang fakir miskin. Ramai lagi fakir miskin dikelilingan kita.

Wassalam.


SOALAN 2.

Salam,

Saya ingin bertanya apakah yang dimaksudkan dengan fidyah puasa dan cara pembayarannya dalam keadaan yang sebenarnya.

Sekian.

Jawapan.

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Fidyah puasa maksudnya adalah memberi makan kepada orang miskin atau fakir untuk 1 hari, sebagai ganti kepada 1 hari atau berbilang hari (dalam bulan Ramadhan) yang tidak dapat berpuasa padanya, mengikut landasan syara'.

Dalil perbuatan fidyah adalah menerusi firman Allah swt. di dalam Al Qur'an ul Aziiz :
"Dan terhadap orang-orang yang boleh berpuasa tetapi dengan susah payah (kalau tidak puasa) wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan orang miskin". Surah Al Baqarah (2) : ayat 184.

Ayat ini menegaskan bahawa orang yang "susah payah" boleh meninggalkan puasa diganti fidyah. Penjelasan shohih mengenai makna "susah payah" ini dijelaskan oleh Saiyidina Ibnu Abbas ra. menerusi hadis berikut,

"dari Sa'id bin Jubair ra. dari Ibnu Abbas ra. bahawasanya ia berkata : Ayat ini adalah satu kelonggaran bagi orang laki-laki yang tua dan perempuan yang tua sedang kedua-duanya boleh puasa tetapi dengan susah payah supaya mereka berbuka, tetapi wajib memberi makan sebagai ganti tiap-tiap hari seorang miskin, dan (juga bagi) perempuan yang hamil dan menyusui, apabila dia takut (bahaya bagi anak-anak mereka), hendaklah mereka berbuka dan memberi makan". Hadis shohih riwayat Abu Dawud ra.

Selain itu, terdapat 2 lagi keterangan shohih dari Ibnu Umar ra. dan Ibnu Abbas ra. juga yang tidak saya sebutkan disini. Dalil shohih di atas menjelaskan bahawa, orang-orang yang dibenarkan oleh syara' untuk meninggalkan puasa dan digantikan dengan fidyah adalah :

1. Perempuan bunting sarat, dikhuatiri memberikan keburukan kepada kandungan sekiranya terus berpuasa.
2. Perempuan menyusui anak, dikhuatiri memberikan keburukan kepada anak sekiranya terus berpuasa.
3. a. Orang tua yang tiada keupayaan lagi untuk melakukan puasa.
b. Orang tua yang sakit, tiada peluang lagi untuk sembuh.
4. Orang yang sakit kuat dan kekal, tiada peluang lagi untuk sembuh, kalaupun masih usia muda.

Kadar asas bagi fidyah ini yang ditetapkan oleh syara' adalah Satu (1) Cupak daripada makanan ruji (asas) tempat itu. Timbangan untuk beras sebagai makanan ruji di Malaysia adalah 1/4 (0.675 kg atau 675 gram) dari 1 gantang (2.7 kilogram). Perhatian - Ini adalah sukatan di Pulau Pinang (lain-lain negeri mungkin sama atau berbeza). Purata harga beras di Malaysia sekarang ini adalah kira-kira RM3 bagi satu kilogram. Berdasarkan kiraan di atas, satu gantang adalah RM8.10 manakala satu cupak adalah kira-kira RM2.05.

Pertukaran secara lateral di antara jumlah sukatan beras (1 Cupak) kepada kadaran matawang (RM2.05) sebegini, saya akui, adalah agak pelik kerana jumlahnya amat rendah, tidak mewakili kadar sebenar di masa ini bagi "makan orang miskin atau fakir untuk 1 hari", yang mana pasti sekali jumlah kos untuk makan minum satu hari itu jauh lebih tinggi berbanding RM2.05.

Para ulama' berselisih pandangan dalam hal "Kadaran Pertukaran" ini sebenarnya. Sememangnya juga "Kadaran Pertukaran" ini tidaklah bersifat sama dan serupa, tetapi begitu dinamik yang mana sentiasa berubah-ubah mengikut tempat, keadaan, status ekonomi, kualiti dan jenis bahan.

Hakikatnya, RM2.05 itu adalah kos bagi bahan mentah butiran beras itu sahaja, manakala kos makan bagi 1 hari (sekiranya mahu ditukar kepada matawang), tidaklah boleh mengambil kira kos bahan mentah lagi, kerana apa yang dibeli untuk makan adalah barang siap proses. Pastinya ukuran harga mesti diletakkan kepada barang siap itu sendiri, bukan kepada bahan mentahnya.

Maka itu, saya cadangkan begini,

1. Boleh diberi 1 cupak beras kepada orang orang miskin atau fakir kerana ia adalah perintah Allah swt dan RasulNya saw. secara lansung. Terpulanglah kepada penerima untuk menggunanya dengan cara paling berhemah.

atau,

2. Boleh diberi wang makan untuk 1 hari kepada 1 orang miskin atau fakir, sekitar minima RM12 sehari. Pertimbangan saya adalah begini, makan 3 kali sehari x RM4 setiap kali = RM12. Adalah memadai RM4 bagi satu kali makan itu untuk penggunaan secara sederhana. Untuk lebih mewah, pasti sekali jumlahnya lebih tinggi.

Bolehlah beras atau wang itu diberi langsung kepada orang miskin atau fakir yang ada di keliling kita, boleh kita cari, banyak lagi miskin fakir ini di kelilingan kita.
Setakat ini yang mampu saya beri bimbingan. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام

SOALAN 3

Salam
Tambahan soalan dari saya.
Bagaimanakah cara pemberian fidyah. Adakah dimestikan beri setiap hari yg dikenakan kan fidyah ataupun boleh dikumpulkan . Contohnya utk 5 hari sekaligus atau sebagainya. .mohon penjelasan dr tuan.

Thanks.

Best Regards,

Shamsuri bin Muat,

Jawapan.

Segala puji bagi Allah swt. Shalawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw, Sejahtera ke atas para ahlul bait, sahabatNya, tabi'in, tabi'ut tabi'in, para syuhada dan shalafus sholeh.

Terima kasih atas maklumbalas.

Tiada ditetapkan bagaimanakah cara untuk memberi fidyah itu. Maka :-

1. Boleh diberi terus sahaja beras atau wang itu kepada orang miskin atau fakir tanpa apa-apa doa, jampi serampah atau majlis-majlis. Tak perlu juga diletakkan ditempat-tempat pengumpulan seperti ada sekarang ini dibuat di sesetengah masjid.

2. Boleh diberi secara harian atau berkumpulan beberapa hari.

Sedikit pesanan saya.

3. Sebaik-baiknya utamakan memberi fidyah ini kepada kaum keluarga sendiri yang miskin atau fakir dan memerlukan.

4. Sebaiknya juga fidyah diberi dalam Bulan Ramadhan juga, supaya para penerima akan dapat bergembira dan bersukahati, sama seperti orang lain menyambut Ramadhan dan Syawal.
Setakat ini yang mampu saya beri bimbingan. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu datang dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

0 ulasan: