Sabtu, 18 Februari 2012

2012 Dan Hari Qiamat (Bahagian 1)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut Tahun 2012 Masehi. Dan saya mendoakan supaya tempoh 2012 ini menjadi lebih baik dari tahun-tahun yang terdahulu. Juga mendoakan agar Allah Swt. sentiasa menerima semua amalan kita seterusnya melimpahkan segala rahmat dan keampunanNya di hari dan bulan yang mulia ini, InsyaAllah.
 
Artikel ini adalah maklumbalas kepada hal yang ditanyai oleh Akhi Ibrahim. Saya memohon maaf kepada beliau kerana sangat lambat memberikan maklumbalas. Sebenarnya memang saya berhasrat untuk memberikan jawaban dalam tahun 2012 sendiri. Alhamdulillah, Allah Swt. telah memberikan ruang dan kesempatan untuk saya menulis di saat ini. Juga saya memohon kepada Allah. Swt. agar terus membimbing saya bagi berkata benar seterusnya memberikan manfaat kepada orang lain dengan restuNya. Amiin.
 
----- Forwarded Message -----
From: “Knight Malaysia” “prtdi@yahoo.com
To:
Cc:
Sent: Sunday,  August 19, 2011 12:26 AM
Subject: Pertanyaan Hari Kiamat

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Semoga Ustaz Mad dalam baik-baik saja dalam menjalankan puasa di bulan mubarak ini. Ada hal yang saya keliru dan ingin pohon penjelasan. Tadi saya pergi solat terawih di surau XXXX dan ada tazkirah yang dibuat oleh ustaz XXXX. Beliau berpesan tentang kiamat. Ada beberapa kisah tauladan diceritakan.
 
Beliau ada memberitahu banyak disebut-sebut orang yang kiamat boleh terjadi dalam tahun 2012. Biarpun ia bersumber ramalan dan tidak pasti, beliau menyeru supaya mengambil iktibar dan menguatkan iman dan amal supaya menjadi muslim yang baik.
 
Soalan saya, apakah hakikat sebenar hari kiamat itu dan kenapa dikaitkan dengan 2012. Adakah petanda sebenar yang kiamat boleh berlaku dalam 2012.Saya dapati banyak cerita-cerita dan artikel yang menyentuh kiamat pada 2012. Apa cerita sebenarnya dan benarkah kiamat pada 2012.
 
Semoga mendapat penjelasan sewajarnya dari ustaz.
 
Wassalam
 
To:
Cc:
Sent: Monday, August 20 2011 9:27 AM
Subject: Pertanyaan Hari Kiamat
 
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 
Semoga tuan juga dalam restu dan rahmah Allah Swt. Buat masa ini, maklumbalas saya setakat ini hanyalah :
 
1.    Saya sanjungi sikap tuan suka bertanya dan memohon penjelasan lanjut. Memang begitulah yang patut dibuat apabila ada kemusykilan ke atas sesuatu, dengan tidak membuat kesimpulan sendiri tanpa mendapat penjelasan lengkap dan bimbingan terlebih dahulu.
2.    Persoalan ini amat penting kerana melibatkan hal ghaib dan aqidah Islam, maka sememangnya akan saya memberikan ulasan. Akan saya usahakan jawaban terbaik sekadar yang saya mampu.
3.    Apabila saya siarkan jawaban nanti untuk tatapan umum, akan saya padamkan nama tempat dan nama individu terbabit. Cukuplah saya dan tuan sahaja yang tahu. Ia bagi mengelakkan fitnah atau sekurang-kurangnya menyebabkan beberapa pihak terganggu. Siaran umum hanyalah bagi tujuan perkongsian ilmiyah dan manfaat bersama.
4.    Saya tidak dapat menjawab sekarang berikutan beberapa kekangan tugas dan komitmen sendiri terutama di bulan Ramadhan ini. InsyaAllah, akan saya usahakan apabila ada kelapangan. Mudah-mudahan Allah Swt. akan memberi petunjuk serta ruang kesempatan kepada saya nanti.
 
Demikian dulu setakat ini.  Moga tuan beroleh puasa Ramadhan yang benar dan menyambut I’edul Ftri nanti dalam penuh kemenangan dan kesucian.
 
Sekian, wassalam.
 
Maklumbalas :
 
Saya menyeru dengan sesungguhnya kepada semua orang terutamanya terhadap diri saya sendiri, apabila membicarakan hari qiyamat ini, kita berkatalah dengan segala macam tafsiran ilmu, iman dan amal yang sebenar-benarnya. Janganlah sesekali persoalan hari qiyamat ini dibicarakan dengan sesedap rasa, sekadar akal-akalan, bertaqlid buta dan mengikut keseronokan hawa nafsu semata-mata. Pesanan ini saya sebutkan, bukanlah kerana saya ini terlalu pandai dan orang lain bahalol belaka, akan tetapi, perbincangan tentang hari qiyamat di masa ini saya dapati sangat berleluasa, bercampur aduk segala macam akal-akalan, ramalan dan rekaan, sehingga tidak ketahuan lagi kebenaran faktanya. Dalam beberapa kali kuliyah pun saya ada ditanya, bermacam hal pelik-pelik tentang qiyamat yang tak pernah ada dalam nas-nas sahihah, yang hakikatnya menyerlahkan betapa mengarutnya fakta itu dan sumbernya jua, malah menjelaskan juga betapa rapuhnya jiwa dan dangkalnya iman manusia, yang percaya atau sekurang-kurangnya terpengaruh kepadanya.
 
Saya berbahasa keras begini, lantaran sebagai mukmin dan muslimin, yang mendahului 2 kalimah syahadah sebagai yang tertinggi dan terutama sekali dalam segala aspek hidup kita, melepasi segala yang selainnya, dari dunia sampai akhirat, mestinya kita faham dan yakini benar-benar hari qiyamat tanpa sedikitpun keraguan padanya menerusi ilmu yang haq bukan batil. Justeru itu, sebelum penulisan saya bertambah panjang lebar dalam membicarakan hal ini, sewajibnya kita faham benar-benar 2 prinsip paling dasar, ya’ni bahawasanya :
 
1.            Mempercayai hari qiyamat adalah Rukun Iman yang seluruh ummat mukminin tiada pilihan, yang tidak boleh tidak, mesti beriman kepadanya. Ketentuan ini djelaskan oleh junjungan mulia Rasulullah Saw. :    
 
“Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu, ia berkata : …………… Katanya lagi : maka khabarkan kepadaku darihal iman. Rasulullah menjawab : iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikatnya dan segala kitabnya dan para rasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan jahatNya. Ia berkata : benarlah engkau..........”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 50) dan imam Muslim rh. (no. 9 dan 10).
 
Dasar rukun iman ini juga dinyatakan oleh Allah Swt. di dalam firmanNya :
 
“Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan ……………”.
Surah Al Baqarah (2) : sebahagian ayat 177
 
Iman adalah suatu kepercayaan amat teguh dan tersimpul mati yang tersemat di dalam hati terhadap Allah Swt.. Lantaran itu, membicarakan hari qiyamat mestilah berdasarkan fakta qat’ie dan sahih sahaja seraya menafikan apa jua rekaan, pendapat dan ramalan yang pastinya batil. Iman yang suci tidak sesekali tertegak di atas ilmu yang batil. Mempercayai sesuatu yang batil tentang qiyamat atau sekurang-kurang terpengaruh kepadanya, telah menggoncangkan tahap iman seseorang, malah boleh merosakkannya sehingga terjerumus menjadi kufur (ya’ni terkeluar dari Islam). Moga Allah Swt. melindungi kita dari terjadi begini. Demikianlah peri pentingnya hal iman itu, dan berhati-hatilah dengannya. Saya yang serba serbi dhaif ini, sekadar memberi pesanan.
 
2.            Hari qiyamat adalah sesuatu yang ghaib, tidak dapat dilihat dan tidak dapat dirasa, tetapi wajib kita iman kepadanya. Sesungguhya sifat mukmin itu adalah mempercayai segala yang ghaib sebagai satu rangka dari pokok keimanannya sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Aziiz :
 
“Alif Laam Miim. Kitab ini (Al Qur’an) tiada keraguan padanya, petunjuk bagi orang yang bertaqwa. (Yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan Solat dan menafkahkan sebahagian rizqi yang kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan kitab-kitab yang diturunkan sebelummu, serta mereka yaqin akan adanya (kehidupan) akhirat”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 1-4
 
Seterusnya lagi, Allah Swt. telah berfirman :
 
“Katakanlah (wahai Muhammad) : Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib kecuali Allah, dan mereka tidak mengetahui (pun) bila mereka akan dibangkitkan. Sebenarnya pengetahuan mereka tentang akhirat tidak sampai (kesana) malahan mereka ragu-ragu tentang akhirat itu, lebih-lebih lagi mereka buta daripadanya”.
Surah An Naml (27) : ayat 65-66
 
Ayat ini tegas menunjukkan tidak ada satu apa pun makhluk yang mengetahui perkara ghaib, termasuklah bila waktu terjadinya hari qiyamat. Lantaran itu, dalam membicarakan perihal qiyamat, berpeganglah kepada dalil-dalil dari Al Qur’an dan hadis sahih semata-mata. Seraya menolak hadis-hadis dan segala perkhabaran dhaif, mungkar dan maudhuk demi kerana mengambil jalan paling benar dan selamat, demi sesungguhnya berurusan dengan alam ghaib, alam yang lain dari alam fana yang kita duduki sekarang, yang hanyalah Allah Swt. dan rasulNya sahaja yang lebih mengetahui. Oleh kerana itu, akal-akalan, pendapat dan sangka-sangkaan tidak boleh dipakai sama sekali kerana Allah Swt. telah menghadkan akal pemikiran manusia setakat mana Dia ingini yang tertakluk dibawah KuasaNya. Memandangkan dunia ghaib ini tidak dapat kita lihat mahupun rasai, maka kita mesti kembali kepada Allah Swt.Yang Ma’bud di samping Nabi Muhammad Saw. untuk menjelaskannya dan menetapkan segala hukumnya.
 
Maka itu jawaban saya yang pertama, segala perkhabaran tentang qiyamat selaku rukun Islam ke 3 dan perkara ghaib yang wajib diimani, sekiranya bukan berdasarkan Kalamullah dan as sunnah sahihah, semua itu adalah batil dan dengan mempercayainya menjadikan kita terkeluar dari Islam.
 
Qiyamat secara lughah (bahasa) berasal dari masdar “qayama” yang beerti berdiri atau bangkit. Perkataan bangkit yang dimaksudkan disini adalah merujuk kepada seluruh ummat manusia yang dibangkitkan nanti oleh Allah Swt. di Padang Mahsyar setelah qiyamat berlaku.
 
Secara istilah (syara’) ia beerti satu hari yang berlakunya kehancuran seluruh alam dan isi makhlukNya termasuk malaikat dan manusia : hancurnya semua diantara 7 lapisan langit dan 7 lapisan bumi, serta segala sesuatu selain Allah Swt. kecuali makhluk-makhluk yang Allah Swt. kecualikan dari hancur.  Seterusnya semua yang yang hancur mati itu dibangkitkan semula untuk menerima penghisaban. Makna ini dinyatakan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya :
 
“Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yang semestinya, padahal bumi seluruhnya dalam genggamanNya pada hari qiyamat dan langit digulung dengan tangan kanannya. Maha Suci Dia dan Maha Tinggi Dia dari apa yang mereka persekutukan. Dan ditiuplah sangkakala, maka matilah siapa yang di langit dan di bumi kecuali siapa yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiup sangkakala itu sekali lagi maka tiba-tiba mereka berdiri menunggu (keputusannya masing-masing)”.
Surah Az Zumar (39) : ayat 67-68
 
Sesungguhnya Allah Swt. telah menegaskan bahawa adalah hari qiyamat ini hal yang pasti berlaku dan sama sekali tidak ada keraguan padanya. Disini jelas sekali terbukti bahawa, sesiapa yang ada dalam dirinya biarpun sebesar zarah keraguan akan adanya hari qiyamat, sesungguhnya dia memang seorang yang terbatal keIslamannya seterusnya menjadi orang yang rugi dan merosakkan diri sendiri serta menjadi golongan manusia yang amat sesal di akhirat nanti. Menerusi firmanNya Allah Swt. menjelaskan:
 
“Dan sesungguhnya hari qiyamat itu pastilah datang, tak ada keraguan padanya ; dan bahawasanya Allah membangkitkan semua orang di dalam kubur”.
Surah Al Hajj (22) : ayat 7
 
Dan firmanNya lagi :
 
“Dan tidaklah kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada diantara kedua-duanya, melainkan dengan benar. Dan sesungguhnya saat (qiyamat) itu pasti akan datang, maka maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik”.
Surah Al Hijr (15) : ayat 85
 
Sesudah menjelaskan bahawa hari qiyamat yang ghaib itu merupakan rukun iman yang wajib diimani dan ia pasti berlaku, Allah Swt. menjelaskan bahawa berlakunya qiyamat itu begitu hampir di dalam firmanNya :
 
“Telah dekat (datangnya) saat (qiyamat) itu dan telah terbelah bulan”.
Surah Al Qamar (54) : ayat 1
 
Dan firmanNya lagi :
 
“Telah dekat kepada manusia hari menghisab (qiyamat) segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya)”.
Surah Al Anbiyaa’ (21) : ayat 1
 
Mungkin ada yang terfikir bahawa Kalamullah ini telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu, dan ini merupakan satu tempoh masa yang sangat lama bagi hayat manusia. Dengan akal ceteknya, terasalah bahawa dunia telah terlalu tua lalu mereka meneka-neka bila tamatnya. Hakikat yang mereka lupa, bahawa dunia ini dicipta Allah Swt. dari sebelum adanya Adam Ahs. lagi yang tiada siapa tahu berapa usianya terdahulu dan berapa lagi ke depannya. Justeru itu, 1400 tahun disebalik jumlah tahun yang tak terbilang, hakikatnya amat pendek.
 
Sekiranya setelah lebih 1400 tahun telah berlalu tetapi qiyamat tetap juga tidak terjadi, ketetapan tegas ayat-ayat Allah Swt. dan kalam sahih rasulNya sedikitpun tidak tergugat malah lebih menjelaskan lagi maksud waktu yang menunjukkan kehampirannya. Mula wujudnya dunia ditetapkan oleh Allah Swt. dan begitu jua bila berakhirnya dunia telah ditentukan oleh Allah Swt. Bermakna semakin lama, dunia semakin hampir ke penamatnya. Begitulah jua dengan kita, apabila tua, semakin lama semakin kita hampir ke tarikh kematian, sekaligus memberi makna paling tepat bahawasanya, umur bukan semakin bertambah, akan tetapi semakin berkurang.
 
Begitulah, apabila Allah Swt. menetapkan qiyamat itu hampir, ia ditetapkan dengan penuh hikmah dan kebenaran olah Yang Maha Kuasa yang tak terjangkau oleh akal cetek manusia, maka imanilah bahawa ia hampir tanpa perlu dibuat pengiraan matematik sendiri. Demikianlah kita dituntut supaya hanya mengimani dan ta’bud (tunduk patuh), bukan mempertikai dengan menunjuk-nunjuk lebih pandai.
 
Demikianlah sedikit catatan ringkas perkara paling asas tentang hari qiyamat Al Kubra (Besar). Perbahasan bab ini sebenarnya amat luas. Masih banyak lagi hal yang dikisahkan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an dan menerusi sabdaan rasulNya yaitu hadis-hadis sahih, namun tidak saya perincikan lantaran ia bukan hasrat utama artikel ini. Para jamaah dan pembaca sangat digalakkan mendapatkan maklumat lanjut menerusi kuliyah dan pembacaan. Mudah-mudahan akan meningkatkan ilmu, iman dan amal terhadap hari qiyamat dengan cara yang haq. InsyaAllah.
 
Hal hari qiyamat ini sering disebut-sebut bukanlah senghaja untuk menakutkan orang atau pun mendesak-desak orang sehingga bingung dan terketar-ketar, akan tetapi sebagai seruan dan peringatan supaya mereka kekal dalam mentaati Allah Swt. dan berpegang teguh selamanya dengan Islam. Lantaran itu, mestilah ia diceritakan dengan kisah-kisah yang benar bukan cerita karut marut. Allah Swt. menjelaskan menerusi firmanNya :
 
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman”.
Surah Adz Dzaariyat (51)  : ayat 55
 
Diulang-ulang peringatan itu supaya tidak lupa, bahawa semua amal perbuatan manusia wajib berkait diantara 2 skema hubungan amal perbuatan dengan balasan yaitu : amal soleh di dunia dengan pahala di akhirat atau amal dosa di dunia dengan siksa neraka di akhirat. Ertinya, setiap amal soleh di dunia pasti akan mendapatkan pahala di akhirat yaitu berupa syurga yang penuh kenikmatan manakala setiap perbuatan dosa pasti akan mendapat balasan siksa yaitu di neraka yang hangat membakar. Tidak ada suatu amal perbuatan pun yang tidak dipertanggung jawabkan dan boleh terlepas dari 2 skema ini. Perhatikan firman Allah Swt. :
 
“Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam, supaya diperlihatkan kepada mereka (balasan) pekerjaan mereka. Siapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarah (biji sawi) sekalipun, pasti ia akan melihat balasannya dan siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah sekalipun, niscaya ia akan melihat balasannya pula.”
Surah Al Zalzalah (99) : ayat 6-8
 
Dan firmanNya lagi :
 
“Maka adapun orang-orang yang berat timbangan (kebajikannya). Maka ia berada dalam kehidupan yang memuaskan (diredhai). Dan adapun orang-orang yang ringan timbangan (kebajikannya). Maka tempat kembalinya adalah Neraka Hawiyah. Dan tahukah kamu apa NerakaHawiyahitu?. Yaitu api yang sangat panas”.
Surah Al Qari’ah (101) : ayat 6-11
 
Ayat-ayat tersebut diatas memberikan peringatan kepada kita, agar selama hidup di dunia fana ini kita selalu berupaya memilih amal kebajikan (amal soleh), agar kelak di akhirat amal kebajikan kita timbangannya lebih berat dan menjauhi segala perbuatan dosa (amal yang sia-sia dan merugikan) kerana yang demikian itu pasti akan mendapat balasan berupa siksa di Neraka.
 
Peringatan-pringatan sebegini mestilah selalu diperbuat, lantaran manusia ini bersifat lemah dan sering leka, asyik dibuai mimpi indah dunia malah sering terbabas dari landasan murni Islam. Sehinggalah Allah Swt. bersumpah sebagaimana firmanNya :
 
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”.
Surah Al Asr (103) : ayat 1-3
 
Antara kelekaan paling ketara dilakukan manusia adalah melupakan Qiyamat Sughra (Kecil) yaitu mati. Sesungguhnya setiap diri (jiwa) pasti akan merasai mati dan kematian itu boleh berlaku pada bila-bila pun. Hanya Allah Swt. yang tahu dan menetapkannya. Kematian ialah perpisahan antara ruh dan jasad, yang jasad akan hancur sementara ruh akan kekal untuk hidup di alam barzah. Di hari akhirat, kemudian jasad dibangkitkan, digabungkan dengan ruh untuk menerima penghisaban di Padang Mahsyar, yang akhirnya sama ada akan hidup dalam penuh kenikmatan di syurga atau kesiksaan dalan neraka mengikut amalan yang dikerjakan oleh anggota jasad semasa hidup di dunia. Demikianlah aqidah ummat Islam. Lantaran itulah peringatan berulang-ulang dibuat supaya manusia tidak lupa dan leka dengan dunia.
 
Sebagai renungan dan peringatan, mari  kita memerhatikan satu sabdaan Rasulullah Saw. :
 
“Dari Abu Hurairah Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Segeralah kamu sekalian melakukan amalan-amalan (yang baik) sebelum datangnya tujuh perkara. Apakah yang engkau sekelian menantikan (enggan melakukannya dulu). Melainkan setelah tibanya kefakiran yang melalaikan, atau tibanya kekayaan yang menyebabkan kecurangan, aau tibanya kesakitan yang merosakkan, atau tibanya usia tua yang menyebabkan ucapan-ucapan yang tidak keruan lagi, atau tibanya kematian yang mempercepatkan (lenyapnya segala hal), atau tibanya Dajjal, maka ia adalah seburuk-buruk makhluk ghaib yang ditunggu, atau tibanya hati qiyamat, maka hari qiyamat itu adalah lebih besar bencananya serta lebih pahit penanggungannya”.
Hadis riwayat imam Tarmidzi rh. dan beliau mengatakan ia hasan. Dinukil dan di syarah oleh imam Nawawi h. dalam kitab Riyadhhus Solihiin, Jilid 1 no. 93
 
Seterusnya, mari kita tumpukan kepada maudhuk persoalan yang ditanyai yaitu “bilakah qiyamat, adakah 2012”. Tiada apa pun yang glamer dan boleh dihairankan dengan persoalan ini sebenarnya. Cuma yang paling pelik adalah, bagaimanakah soalan ini tergamak ditanya oleh orang Islam yang telah pun hafal rukun iman dan mengaku mengimaninya. Apalah yang tak kenanya dengan tahap iman kita-kita ini sehingga sebegitu mudah tergugat. Tak sepatutnya ia ditanya lagi malah oleh orang Islam pula, melainkan menggambarkan betapa sedang tergugat imannya atau, sekadar menyerlahkan betapa jahilnya iman pak turut yang diwarisinya. Mana mungkin malah hampir mustahil sekali dia tidak tahu, bahawa sudah lebih 1400 tahun dahulu lagi, Rasulullah Saw. telah pun menjawab soalan itu malahan, Allah Swt. telah pun menjawabnya di dalam Al Qur’an yang suci.
 
Ia soalan yang sama malah ditanya pula makhluk yang mulia malaikat Jibril ahs. Mari kita ikuti dialog itu dan jawaban Rasulullah Saw. :
 
Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. ia berkata : …………… Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaannya lagi) : maka khabarkan kepadaku darihal hari qiyamat. Rasulullah menjawab : tidaklah yang datang daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya………”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 50) dan imam Muslim rh. (no. 9 dan 10).
 
Sifat peribadi mulia yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah berkata benar bahawa Baginda tidak tahu. Tidak Baginda merekacipta, meramal atau meneka-neka sahaja atas sesuatu yang tiada pengetahuan padanya. Pelajaran jelas dari perkataan Rasulullah Saw. adalah bahawa Baginda dan malaikat sendiri pun tidak tahu bilakah qiyamat akan terjadi. Demikianlah jawaban tulus ikhlas sebenar-benarnya dari junjungan mulia Rasulullah Saw.
 
Kalaupun Allah Swt. memberitahukan waktu tepat hari qiyamat kepada makhlukNya, nescaya yang paling pertama-tama sekali layak mendapatkan pengkhabarannya adalah dua makhlukNya yang paling mulia secara mutlak, satu dari jenis manusia yaitu Nabi Muhammad Saw. dan satu dari jenis makhluk ghaib (malaikat) yaitu Jibril ahs. Lantaran itu, amat menghairankan, ramai pula manusia sekarang ini, entah dari jenis mana pula yang terlebih kemuliaan berbanding Nabi Saw. sehingga tahu dan berhak menetapkan bila hari qiyamat akan berlaku.
 
Setakat ini dahulu nukilan saya buat masa ini.
 
والله اعلم bersambung
 
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام
 
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: