Sabtu, 18 Februari 2012

2012 Dan Hari Qiamat (Bahagian 2)

0 ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعديسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Alhamdulillah, artikel siri 1 mendapat maklumbalas baik (sebenarnya ada bermacam pengucapan, memanaskan hati pun ada). Ada juga beberapa email yang tak pernah saya kenali. Kepada jamaah dan pembaca yang memanjangkan artikel kepada mereka, saya ucapkan terima kasih. Teruskan aktiviti sihat itu sementelahan hakcipta tidak terpelihara, cuma jangan buat berniaga sahaja. Maklumbalas ringkas, terhadap semua ulasan itu, hanyalah begini :
“Dari Abdullah Ibnu Mas’ud rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan menyampaikan ke syurga, dan sesungguhnya seorang yang berbuat kejujuran pada akhirnya akan ditulis sebagai orang yang jujur dan benar di sisi Allah. Dan sesungguhnya kedustaan akan menghantarkan kepada dosa dan dosa akan menjerumuskan ke neraka. Dan sesungguhnya seorang yang berdusta akan ditulis sebagai seorang pendusta di sisi Allah".
Hadis sahih riwayat Imam Bukhari rh. dan Imam Muslim rh.
Memang susah untuk berkata benar, kerana pasti sekali akan ada orang tak suka.
Sambungan
Persoalan oleh orang-orang bebal ini juga turut diungkapkan oleh Allah Swt. dalam beberapa ayat, bahawa orang selalu bertanya kepada Rasulullah Saw. mengenai bila bakal terjadinya hari qiyamat sepertimana firmanNya :
“Mereka bertanya kepada engkau tentang sa’ah (hari qiyamat) ; Bilakah datangnya?”. Surah Al A’raaf (7) : ayat 187
Dan firmanNya lagi :
“Mereka menanyakan kepada engkau tentang sa’ah (hari qiyamat) ; Bilakah waktu terjadinya?”. Surah An Naazi’at (79) : ayat 42
Untuk semua soalan itu, Allah Swt. memerintahkan junjungan mulia Rasulullah Saw. menjawab secara begini :
“Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya pengetahuan tentang sa’ah (hari qiyamat) hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari qiyamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk  yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah : sesungguhnya pengetahuan mengenai hari qiyamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Surah Al A’raaf (7) : ayat 187
Dan firmanNya lagi :
“Siapakah kamu (sehingga) dapat menyebutkan (waqtunya)?. Kepada Tuhanmu lah dikembalikan kesudahannya (ketentuan waqtunya). Kamu hanyalah pemberi peingatan kepada sesiapa yang takut kepadanya (hari qiyamat)”.
Surah An Naazi’at (79) : ayat 43-45
Sesungguhnya bilakah qiyamat itu akan berlaku adalah hak mutlak Allah Swt. semata-mata dan tiada siapa pun pun mengetahuinya. Sayugia diingatkan, orang yang bertanya tentang bilakah hari qiyamat dalam dua ayat Allah di atas, adalah orang-orang kafir yang hasratnya untuk memperolok-olokkan, mempermainkan, mengejek dan mentertawakan Nabi Saw. dan ummat Islam, bukanlah pertanyaan itu kerana mereka berhasrat untuk memahami Islam. Lantaran itu, sehingga saat kini pun, pihak yang sering membangkitkan hal sebegini adalah golongan kafir atas niyat memperolok-olokkan aqidah ummat Islam, menafikan terjadinya peristiwa itu dan mendustakan kejadiannya. Para jamaah dan pembaca boleh merujuk kepada 2 tafsir muktabar berikut untuk memahami secara rinci penjelasan 2 ayat ini tentang perlakuan hasad para kaafirin dan niyat buruk mereka :
1.    Imam Al Hafiz Abul Fida’ Ismail bin Umar ibnu Katsir rh. Tafsiirul Qur’an ul Adziim (Tafsir Ibnu Katsir). Jilid 3 halaman 499-500 & Jilid 10 halaman 201-202
2.    Imam Abu Ja'far Muhammad ibnu Jarir ibnu Yazid Al Thabari rh. Al Musammá Jami' ul Bayan Fi Ta'wil Al Qur'an (Tafsir At Thabari), Jilid 10, halaman  604-611 & Jilid 24, halaman 98-100
Keterangan hanyalah Allah Swt. yang mengetahui tentang qiyamat dijelaskan lagi oleh Allah Swt. dalam firmanNya :
“Sesungguhnya Allah hanya pada sisiNya sajalah pengetahuan tentang hari qiyamat dan Dialah yang mengeringkan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
Surah Luqman (31) : ayat 34
Sudah menjadi kesepakatan kaum muslimin dan termasuk dari rahmat Allah Swt., bahawa qiyamat tidak datang dengan tiba-tiba, akan tetapi setelah berlakunya tanda-tanda (sebagai peringatan bagi manusia) yang akan terjadi sebelumnya. Al Qur’an sendiri tidak menyatakan dengan tepat bilakah akan berlakunya qiyamat, akan tetapi dengan jelas menyebutkan ada tanda-tandanya. Allah Swt. menjelaskan dalam firmanNya berikut :
“Maka tidaklah mereka tunggu-tunggu melainkan sa’ah (hari qiyamat), yaitu kedatangannya kepada mereka dengan tiba-tiba, kerana sesungguhnya telah datang tanda-tandanya. Maka apakah faedahnya bagi mereka kesedaran mereka itu apabila sa’ah (hari qiyamat) telah datang”.
Surah Muhammad (47) : ayat 18.
Diantara tanda-tanda kecilnya telah dinyatakan oleh Rasulullah Saw. menerusi sabdanya :
Dari Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab Rhu. ia berkata : ....... Kalau begitu katanya, khabarkan kepadaku dari tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab : tanda-tandanya itu ialah bila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, penggembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggi-ninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi ……”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 50) dan imam Muslim rh. (no. 9 dan 10)
Terdapat banyak lagi hadis-hadis sahih yang mengkisahkan tanda-tanda kecil qiyamat ini. Sepanjang pengetahuan dan pengajian saya, tidak kurang 42 hadis kesemuanya yang menyatakan tanda-tanda itu merangkumi berbagai bab, antaranya :
1. Al Qur'an diangkat daripada dada (tiada lagi orang menghafaz), Al Qur’an dilagu-lagukan dan dipertandingkan tetapi tidak dilaksanakan pengajarannya. Al Qur’an ditulis cantik dan dijadikan hiasan dinding
2. Banyak berlaku perzinaan, homoseks dan lesbian
3. Masjid dibina indah, hebat dan mahal-mahal tetapi tidak banyak ahli jama'ah dan tidak dijadikan sebagai pusat gerakan Islam
4. Orang yang tak amanah diberi tanggungjawab, orang yang amanah disingkirkan
5. Lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki secara terbuka tanpa segan silu
6. Pembunuhan secara aniaya berlaku secara terang-terangan tanpa pembelaan
7. Ucapan salaam cuma diucapkan kepada orang yang dikenali sahaja
8. Ibadah solat dan ibadah lain tidak dihormati dan ditinggalkan
9. Orang jahat dan perosak diangkat menjadi pemimpin dan ditaati
10. Ulama' menjual agama kerana kepentingan dunia yang ditaati, ulama’ yang benar dikesampingkan
Rasulullah Saw. juga menyatakan tanda-tanda besar menerusi sabdanya :
“Dari Hudzaifah bin Usaid Al Ghiffari Rhu. ia berkata : Rasulullah Saw. pernah muncul di hadapan kami ketika kami sedang berbincang-bincang. Lalu Baginda bertanya : Apakah yang sedang kamu bincangkan?, Para sahabat menjawab : Kami sedang membincangkan as sa’ah (hati qiyamat). Baginda kemudian bersabda : Sesungguhnya qiyamat itu tidak akan datang (berlaku) sehingga kamu melihat sepuluh ayat (tanda) sebelumnya. Lalu Baginda menyebutkan: Dukhan (kabut/asap), Dajjal, Daabbah (binatang yang boleh berbicara yang akan keluar dari perut bumi), terbitnya matahari dari tempat terbenamnya, turunnya Isa bin Maryam Ahs., keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terjadinya tiga gempa bumi di timur, barat dan jazirah Arab, dan yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menggiring manusia ke tempat berkumpulnya mereka”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 2901)
Satu lagi tanda besar berlakunya qiyamat adalah munculnya Al Mahdi yang terpuji, muncul pada akhir zaman, kemunculannya dari wilayah timur Madinah (disebut Khurasan). Pada waktu itu beliau akan memimpin manusia, memenuhi bumi dengan keadilan sedangkan sebelumnya dipenuhi dengan kekejaman dan kezaliman. Rasulullah Saw. ada menyebut tentang munculnya Al Mahdi pada akhir zaman yang merupakan salah satu tanda dekatnya hari qiyamat.
“Dari Abu Said Al Khudri Rhu. ia berkata, bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Pada masa akhir ummatku akan muncul Al Mahdi. Pada waktu itu Allah menurunkan banyak hujan, bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan, memberikan banyak harta (penghasilan), banyak ternak, ummat menjadi mulia dan dia hidup selama tujuh atau lapan tahun”.
Hadis riwayat imam Hakim rh. dalam Al Mustadrak, Jilid 4 no. 557-558. Beliau mengatakan sanadnya sahih, dan dipersetujui oleh imam Adz Dzahabi rh.
Sekiranya qiyamat berlaku pada 2012, ia bermaksud di masa ini Al Mahdi itu, seorang yang dari keturunan Rasulullah Saw., namanya sama dengan Baginda, yang di bai’ah (ikat janji setia) di Baitullah oleh seluruh Muslimin telah pun ada sekarang dan ummat muslimin sedang dalam kemenangan dan tiada lagi kezaliman. Lalu,dimanakah Al Mahdi itu? Adakah ummat muslimin di masa ini sedang dalam kemenangan dan tiada lagi kezaliman sekarang ini?.
Begitu juga, turunnya Nabi Isa Ahs. yang diceritakan dengan sifat-sifat berikut :
“Dari Nawwas bin Sam’an Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda :  Ketika Allah mengutus Al Masih Ibnu Maryam, maka turunlah ia di menara putih di sebelah timur Damsyiq dengan mengenakan dua helai pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran dan kedua telapak tangannya diletakkan di sayap dua malaikat. Jika dia menundukkan kepala, maka menurunlah rambutnya dan jika diangkatnya kelihatan landai seperti mutiara. Maka tidak ada orang kafir pun yang mencium nafasnya kecuali pasti meninggal dunia, padahal nafasnya itu seluas mata memandang. Lalu Isa mencari Dajjal sehingga menjumpainya di Pintu Lodd, lantas dibunuhnya Dajjal. Kemudia Isa datang kepada satu kaum yang dilindungi oleh Allah dari Dajjal, lalu Isa mengusap wajah mereka dan memberitahu mereka tentang darjat mereka di syurga”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab al Fitan wa Asyrithis Sa’ah. Bab Dzikir al Dajjal, Jilid 18 no. 67 dan 68
Dalam satu hadis lain :
“Dari Abdullah bin Umar Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Lalu Allah mengutus Isa bin Maryam yang wajahnya mirip Urwah bin Mas’ud, lalu dia mencarinya (Dajjal) dan membunuhnya. Kemudian dia tinggal bersama orang ramai selama tujuh tahun. Yang pada waktu itu tidak ada permusuhan sama sekali sesama manusia. Kemudian Allah mengirimkan angin yang sangat dingin dari arah Syam, maka tidak ada seorang pun di muka bumi yang pada waktu itu yang masih mempunyai kebaikan atau keimanan dalam hati walaupun seberat atom melainkan akan dihembusnya dan mati kerananya”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. Kitab al Fitan wa Asyrithis Sa’ah. Bab Dzikir al Dajjal, Jilid 18 no. 75 dan 76
Sekiranya qiyamat berlaku pada 2012, ia bermaksud di masa ini Isa Al Masih itu telah pun ada, telah pun menjadi makmum solat berimamkan Al Mahdi dan Baginda telah pun membunuh Dajjal laknatullah. Lalu, dimanakah Isa Al Masih itu, dimanakah menara putih di sebelah timur Damsyiq, dimanakah pintu Lodd, dimanakah keamanan, adakah ummat muslimin sedang dalam kemenangan dan menguasai seluruh dunia, dan tiada lagikah kekafiran sekarang ini?.
Ini semua persoalan yang tidak terjawab sedangkan ia berdasarkan nas-nas sahihah yang wajib atas semua ummat mukminin mengimaninya. Justeru itu, menetapkan qiyamat pada 2012 dikala tiadanya tanda-tanda besar qiyamat, sama ada telah atau sedang berlaku merupakan satu aqidah yang benar-benar sesat lagi menyesatkan. Ia bertentangan sama sekali dengan nas-nas sahih dari Allah Swt. dan rasulNya yang menjadi aqidah ummat Islam.
Membuat ramalan, meneka tarikh itu ini dan menceritakan kisah begitu begini tentang qiyamat kalau pun cerita yang amat menarik hati, tetapi bukan bersumber nas sahih dan qati’e, sesungguhnya ia suatu perbuatan batil dan berhasrat menggugat iman orang. Di antara hujjah berdasarkan dalil syara’ yang menunjukkan betapa batilnya perbuatan sebegini adalah: Tanda-tanda besar hari qiyamat yang tersebut dalam hadis belum pun ternampak sampai sekarang, akan tetapi berbagai cerita tentang bila akan qiyamat waima tarikhnya pun sudah tersebar ke sana sini. Na’uzubillahi min zalik.
Sebenarnya, segala macam cerita dan kisah-kisah tarikh qiyamat pada tahun 2012 ini dihasilkan sebahagian besarnya oleh golongan kaafirun. Ia memang tidak lebih dari bentuk ramalan, teka-tekaan, falsafah, luahan perasaan, hipotesis, teori, kisah fiksyen (kisah rekaan), khayalan dan analisis palsu, yang ditaburkan ke merata-rata dunia, dalam berbagai media dengan berbagai maksud.
Sejak zaman dulu-dulu lagi telah ada ramai peramal, tok nujum dan ahli sihir. Antaranya oleh Michael Notradamus dari Perancis yang mendakwa qiyamat akan berlaku pada tahun 2012. Sebilangan pengkaji menyatakan beliau sebagai seorang ahli falsafah, namun yang benar beliau ialah seorang ahli sihir dan pengamal ilmu hitam yang dikehendaki oleh pemerintah pada ketika itu. Beliau meramal sendiri hari matinya pada tahun 1566, dan dengan takdir Allah Swt. ramalan itu berlaku dan menjadikan beliau popular. Banyak pihak yang merujuk kembali kepada ramalan beliau sekarang ini.
Di era saintifik moden ini pula, dikatakan telah ditemui planet asing dalam system cakrawala ya’ni Planet X – Nibiru yang pada 2012 akan menghampiri dan membadai bumi sehingga mewujudkan hari qiyamat. Ada logika atas dakwaan itu. Penemuan yang dikatakan amat saintifik itu pun sehingga kini tak terbuktikan malah tanda-tandanya pun tak kelihatan menjadikan, ia tidak lebih dari mitos dan khayalan palsu. Inspirasi dari ramalan ini telah menghasilkan filem-filem tentang qiyamat antaranya the judgement day dan armageddon. Juga ia menjadi inspirasi kepada macam-macam lagi kisah dan plot yang bertaburan menerusi pawagam, internet, youtube dan media lain di masa ini.
Yang paling heboh adalah satu lagi ramalan, pada 2012 akan berakhirnya riwayat bumi. Ini dikuatkan dengan tarikh tepat dalam kalendar suku Maya yang dijumpai di bawah runtuhan kubu lama di Mexico iaitu qiyamat bakal berlaku pada 21 Disember 2012. Suku Maya terkenal dengan kebolehan mereka dalam ilmu matematik dan astronomi. Kalendar itu secara misteri berakhir dengan satu tarikh pengakhiran hari iaitu 21122012. Fakta menarik itu telah dijadikan jalan cerita sebuah filem box office yaitu 2012.
Saya tak ambil kisah tentang penghasilan seni filemnya. Yang dibahaskan adalah fakta ramalan yang mengatakan tarikh itu sebagai hari qiyamat yang memesongkan aqidah orang. Adapun masalah filemnya, adalah hukumnya sudah jelas, plotnya terhasil dari khayalan dan imaginasi yang tidak ada manfaatnya, berisi aksi manusia, dipenuhi visual impact dan computer graphic, menampakkan aurat dan separa bogel, membuang wang dan waktu, dan berbagai lagi aksi dan amalan yang sudah jelas hukumnya. Pastinya, mengkayakan pengeluarnya dek sumbangan khalayak dari seluruh dunia.
Selalunya, filem sebegini bersembunyi disebalik istilah “hanyalah karya seni”, sedangkan ia sarat dengan da’yah fahaman yahudi dan nasrani untuk mengawal cara fikir, minda dan seluruh saraf manusia supaya sentiasa mengikut cara dan telunjuk mereka. Demikianlah trend penjajahan baru neo imperialisme di era new world order. Setelah berakhirnya zaman penjajahan total, kini zaman penjajahan minda dan urat saraf. Memang filem, internet dan berbagai media lain menjadi wasilah paling ampuh untuk mencapai matlamat neo imperialisme ini.
Berikutan filem ini terhasil dari yahudi dan nasrani, tidak hairanlah babak, plot dan detik peristiwa kejadian qiyamat kelihatan persis menyamai fahaman ummat Islam. Sememangnya asas qiyamat diantara Islam, yahudi dan nasrani adalah sama sahaja lantaran ketiga-tiganya adalah agama samawi dan nabi-nabi mereka pun diiktiraf dan diterima oleh Islam dan ummatnya. Namun apabila mereka menetapkan satu tarikh tertentu, ia memang satu kebatilan yang wajib ditolak bukan sahaja di dalam Islam malah ia merupakan kemungkaran terhadap agama  mereka sendiri. Disebabkan banyak persamaan itu, ramai juga ummat Islam yang terpesona seterusnya terpengaruh sehingga menyebabkan aqidah mereka tergugat.
Adalah pelik tapi benar, sebegitu banyak perintah, amanah dan larangan Allah Swt. serta rasulNya, yang sahih dan qat’ie, tetapi ramai tak diambil tahu, namun datang saja ramalan oleh para pengarah dan penulis skrip Hollywood ini, ia menjadi perhatian pula. Lebih pelik lagi, ramai yang terpengaruh dan percaya sedangkan karyawan Hollywood itu sendiri pun tak percaya apa yang mereka perbuat. Kalaulah mereka percaya, pasti sekali sekarang ini, dah pun 2012, Hollywood itu sendiri sudah bertukar menjadi pusat ibadat berbanding pusat maksiat.
Begitu juga boleh kita ulang sorot, ramalan tahayul hal qiyamat ini turut diperbuat dalam kalangan ummat Islam sendiri yang sesat dari kebenaran Islam. Di Malaya ini pun, sudah wujud entah berapa kali kisah hal qiyamat yang tarikhnya dah beberapa kali di’extend’kan. Antara yang saya ingat adalah tahun 1999 pada tarikh 9-9-99. Persis nombor ekor 4 Digit pula. Seterusnya ada pula yang menyebut pada tahun 2004. Paling banyak adalah timbulnya imam Mahadi versi Malaya, Rasul Melayu dan Nabi Perempuan yang sudah beberapa kali. Ramai juga yang mengaku menjadi pembantu imam Mahadi.
Semua mereka ini sama sahaja yaitu mengaitkan akhir zaman dan hari qiyamat untuk menjustifikasikan kebenaran dakwaan mereka. Ciri utama mereka ini adalah mewujudkan sekelompok manusia yang ta’asub, membenarkan apa saja dan menyembah mereka. Selanjutnya dicucuk-cucuk dalam otak masyarakat pula bahawa semua hal ini adalah perkara furu’ (cabang) yang bukan aqidah, boleh percaya atau tidak percaya. Hakikat tersembunyi dari penyataan ini yang sebenarnya mahu disampaikan adalah, mempercayai dan mengikut mereka adalah betul. Walhal jelas sekali segala yang berkaitan qiyamat ini, berdasarkan nas sahihah dan qat’ie, adalah perkara aqidah yang wajib diimani oleh ummat manusia yang telah mengucapkan 2 kalimah syahadah, mana mungkin adanya hukum baru : boleh percaya atau tidak percaya, dalam apa jua hal berkaitan hari qiyamat ini.
Justeru itu, sekiranya ada apa jua cerita atau kisah yang berkaitan dengan qiyamat serta perkara ghaib waima dari sesiapa pun, tanpa didasari nas sahihah, perkhabaran itu adalah batil dan dia adalah penipu. Hanya Allah Swt. yang Maha Tahu akan hal yang ghaib atau perkara belum pernah terjadi sepertimana fimanNya :
”Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya (pula), dan tidak jatuh sebutir biji pun dalam kegelapan bumi, dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering, melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”.
Surah Al An’aam (6) : ayat 59
Setelah begitu panjang nukilan ini, saya simpulkan :
1.    Bilakah qiyamat : Segala nas sahihah menyatakan hanya Allah Swt. yang tahu, manusia hanya diberitahu tanda-tandanya.
2.    Adakah 2012 : Segala nas sahihah mengatakan tidak sehingga berlakunya tanda-tanda besar terlebih dahulu.
Saya berpesan kepada para jamaah dan para pembaca, terutamanya terhadap diri saya sendiri, bahawa segala perkhabaran tentang hari qiyamat yang bukan sahih, yang sedang berlegar disekeliling kita ini tidak lebih daripada ramalan, khabar angin dan fiksyen palsu semata-mata.
Kewajiban setiap hamba mukmin adalah untuk mengimani dengan sebenar-benarnya bahawa Allah Swt. sahajalah yang mengetahui perkara ghaib termasuk qiyamat.. Maka itu, barangsiapa yang mempercayai ramalan dukun, tok nujum, paranormal, tukang ramal ataupun ramalan bintang tentang masa depan, bererti dia telah menyekutukan Allah Tabaraka wa Ta’ala dengan sesuatu. Asasnya, mempercayai ramalan adalah diharamkan sepertimana firman Allah Swt. berikut :
“Wahai orang-orang yang beriman! sesungguhnya (meminum) arak, (bermain) judi, (berkorban untuk) berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan”.
Surah Al Maaidah (5) : ayat 90
Ini ditegaskan lagi oleh sabdaan Nabi Saw. berikut :
“Barangsiapa yang mendatangi peramal lalu membenarkan ucapannya, maka ia telah kafir dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad (Saw)”.
Hadis riwayat imam Abu Daud rh. (no. 3904), imam Ibnu Majah rh. (no. 639), imam Ahmad rh. (no. 9252) dan imam Tarmidzi rh. (No. 135) dan beliau mengatakan ia sahih. Turut disahihkan oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani dalam Sohihut Targhib no. 3047.
Malahan, jika sekadar bertanya untuk ambil tahu tanpa membenarkan atau mempercayai pun ucapan paranormal tersebut, ia suatu dosa besar yang akan mengakibatkan tertolaknya solat seseorang selama 40 hari, tanpa menggugurkan kewajiban solat dari dirinya. Inilah maksud sabdaan Nabi Saw. berikut :
“Barangsiapa yang mendatangi peramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama 40 malam”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. no. 2230
Dan termasuk dalam hal ini apabila seorang membaca ramalan-ramalan bintang (zodiak), horoskop, feng shui, untung nasib mengikut tarikh lahir, pengiraan tanah air api angin, primbon dan apa jua semisalnya yang biasa tersebar di media massa dan ia mempercayainya maka itu adalah kesyirikan kepada Allah Yang Ma’bud. Jika sekadar membacanya tanpa meyakininya, maka termasuk dosa besar yang akan mengakibatkan tertolaknya solat seseorang selama 40 hari.
Maka itu, berpeganglah benar-benar segala apa perkhabaran tentang hai qiyamat ini berdasarkan sumber otentik dan qat’ie yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya yang sahihah. Inilah jalan yang lurus, yang tidak akan kita sesat selama-lamanya selagi kita berpegang teguh akan keduanya. Kepada para kafirun dan orang yang rosak aqidahnya tentang hari qiyamat ini, Allah Swt. menyatakan dalan firmanNya :
“Allah-lah yang menurunkan Kitab dengan (membawa) kebenaran dan (menurunkan) neraca (keadilan). Dan tahukah kamu, boleh jadi hari qiyamat itu (sudah) dekat. Orang-orang yang tidak beriman kepada hari qiyamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman merasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa qiyamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya qiyamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh”.
Surah Asy Syuura (42) : ayat 17-18
Setakat ini sahaja yang mampu saya nukilkan, moga memberi manfaat.
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: