بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Saya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. InsyaAllah.
Saya mengambil inisiatif membuat nukilan ini atas sebab :
1. Mendapat banyak pertanyaan dalam berbagai hal dari rakan-rakan berkenaan trend amalan semasa dalam bulan Ramadhan dan di hujung tahun : orang suka memberi sedekah.
2. Sekarang ini kuliyah tafsir telah memasuki ayat 261–274 Surah Al Baqarah (2) yang khusus membicarakan kaifiyat penggunaan harta di jalan Allah Swt. dan hukum-hukumnya.
Moga penulisan yang tak seberapa ini, memberi manfaat kepada semua, insyaAllah. Para jamaah dan pembaca boleh merujuk sendiri kitab tafsir muktabar berkenaan ayat-ayat yang saya nukilkan. Catatan saya ini amat ringkas, cukup sekadar pedoman sahaja berbanding penghuraian amat luas oleh para mufassir Rahimahullah.
Islam merupakan agama suci yang diturunkan oleh Yang Ma’bud, Allah Azzawajalla, Dzat Yang Maha Agung lagi Maha Dermawan yang tidak hanya Dia menurunkan perintah syariat tetapi juga limpahan rizqi dan nikmat untuk seluruh ummat manusia. Yang dengan rizqi dan nikmat itu, para hamba dan makhlukNya, mempersembahkan pengibadahan mutlak kepadaNya dengan penuh syukur dan ketaqwaan. Sesungguhnya kurniaan rizqi dan nikmat itu memperjelaskan betapa agung dan kemuliaan ummat manusia, sebagai semulia-mulia ciptaanNya, khalifahNya di muka bumi dunia, juga memperjelaskan betapa cinta kasihNya terhadap makhlukNya.
Sebagai tanda mensyukuri kurniaan Yang Ma’bud itu, Islam menyeru seluruh ummat manusia bersifat ikram (kasih sayang) dan suka memberi. Lantaran kita dituntut untuk meninggikan dasar kebajikan sesama ummah, yang melambangkan ketaatan terhadap syiar Islam, pengabdian kepadaNya menerusi kaifiyat (perlakuan) yang diperintahkanNya. Demikianlah anjuran Allah Yang Ma’bud yang terkandung di dalam Al Kitab suciNya :
“Kamu sekAli-kali tidak akan memperolehi kebajikan sehingga kamu membelanjakan sebahagian dari harta yang kamu cintai, dan apa saja yang kamu belanjakan, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.
Surah Aali Imran (3) : ayat 92
Kaifiyat anjuran Allah Yang Ma’bud itu, adalah mengalirkan sebahagian harta dan rizqi secara zakat wajib dan menerusi zakat tathawu’ (sunnat) kepada golongan yang dhaif dan memerlukan. Mengeluarkan zakat adalah wajib ke atas semua ummat Islam. Ketetapan WAJIB itu adalah berdasarkan Kitabullah dan as Sunnah rasulNya. Firman Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Aziiz,
"Tidak diperintahkan mereka melainkan menyembah Allah, sambil mengikhlaskan ibadah dan taat kepadaNya serta berlaku condong kepada ibadah itu, dan mendirikan solat dan memberikan zakat, itulah agama yang lurus".
Surah Al Bayyinah (98): ayat 5.
Diantara hadis dan kalam Rasulullah Saw. yang menjelaskan perihal zakat ini adalah,
"dari Abu Hurairah ra. telah berkata ia, Pada suatu hari Rasulullah Saw. duduk beserta para sahabatnya, lalu datanglah kepadanya seorang laki-laki dan bertanya ; Wahai Rasulullah! apakah Islam itu? Nabi Saw. menjawab : Islam adalah engkau menyembah Allah sendirinya dengan tidak engkau persekutukan sesuatu denganNya, dan engkau mendirikan solat yang difardhukan, dan engkau memberikan zakat yang difardhukan dan engkau mengerjakan puasa di bulan Ramadhan".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Di dalam hadis ini, junjungan muliya Nabi Saw. menjelaskan bahawa Islam terdiri di atas 5 rukun, dan zakat adalah rukun yang ke 3 sesudah mengucapkan 2 kalimah toyyibah (syahadah) dan perintah mendirikan solat. Hakikatnya rukun solat dan zakat adalah amat berdampingan. Tidak kurang dari 28 kali di dalam Al Qur'an ul Kabiir, Allah Swt. menyebut solat secara beriringan dengan zakat. Zakat adalah yang paling utama dalam hal harta manakala solat adalah yang paling utama dalam hal badaniyah. Oleh itu WAJIBnya zakat ini adalah seiring solat dan tiada kelonggaran sama sekali dalam melaksanakannya. Disini, Allah Swt. menyerlahkan kepentingan dan keutamaan zakat lantaran itu ia menjadi rukun kepada Islam.
Zakat yang diwajibkan terbahagi kepada 2 iaitu :
1. Zakat maal (harta) yang meliputi emas, perak, binatang peliharaan, tumbuhan dan tanaman, perniagaan dan perdagangan.
2. Zakat nafs (jiwa), yang disebut juga zakat fitrah iaitu zakat yang dikeluarkan bersamaan dengan selesainya mengerjakan puasa di bulan Ramadhan al Mubarak. Nota : zakat nafs ini mempunyai penghuraian berasingan.
Orang yang layak menerima hal 1 dan 2 di atas adalah golongan asnaf yang ditetapkan. Tidak sah zakat tersebut dikeluarkan kepada selain golongan asnaf.
Manakala, zakat tathawwu’ adalah meliputi semua jenis harta yang dimiliki termasuk hal 1 (di atas) yang dikeluarkan apabila ada lebihan dari kecukupan diri sendiri. Orang yang layak menerimanya tidak ditetapkan. Cuma, keutamaan untuk diberi kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan kerabat terlebih dahulu. Dalam konteks amalan kebiasaan masyarakat kita, zakat wajib itu disebut sebagai zakat dan zakat tathawwu’ itu pula disebut sedekah.
Zakat dari segi bahasa Arab mempunyai beber’apa maqsud iaitu Kesuburan, Kesucian, Keberkatan dan Mensucikan. Ada juga sarjana menegaskan yang makna zakah itu adalah nama' (iaitu kesuburan dan penambahan). Syeikh Abu Hassan Al Wahidi mengatakan taa'rif menarik dalam konteks bahasa : zakat adalah mensucikan harta dan memperbaikinya serta menyuburkannya. Asal maknanya adalah penambah kebajikan kepada harta yang ada. Dari segi perbuatan, zakat bermakna, mengeluarkan sebahagian harta untuk diberikan kepada orang yang berhak mengikut turutan asnafnya, kerana zakat itu menyuburkan harta, mensucikannya, menambahkannya dan melindunginya dari bencana, ia diperbuat atas dasar ketaatan kepada Allah Swt. dan mengharap redhoNya dan taqwa.
Dari segi syara' pula ia dita'rifkan : "Memberi satu bahagian dari harta yang telah sampai nisab (cukup haul dan qaul) kepada orang fakir dan sebagainya, yang tidak bersifat dengan sesuatu halangan syara' yang tidak membolehkan kita memberikan kepadanya".
Taa'rifan ini dijelaskan oleh imam Muhammad Ali bin Amir Asy Syaukani rh. dalam kitab agungya, Nail al Authar, Jilid 4 : ms. 170.
Prinsip paling asas yang mesti difahami adalah, zakat dikeluarkan apabila ada lebihan dari kecukupan diri sendiri. Mesti dari harta milikan mutlak sama ada sendiri atau bahagian mengikut kadar perkongsian. Tidak boleh mengeluarkan zakat dari harta milik orang lain, kecuali orang atau organisasi yang diberi amanah secara bertulis atau urf (kebiasaan) oleh pemiliknya. Sekiranya tiada amanah itu, maklumkan kepada pemiliknya dengan pesanan supaya dia membuat keputusan. Tidak boleh memandai-mandai terhadap harta meredak orang lain. Zakat ditetapkan terhadap orang-orang yang tertentu, dan dia mengandung ketetapan hukum, terlepas seseorang dari kewajiban dunia setelah melakukannya dan mendapat ganjaran pahala di akhirat, serta menghasilkan kesucian dari kekotoran dan dosa.
Orang yang telah mengeluarkan zakat wajib, boleh mengeluarkan lagi hartanya secara zakat tathawwu’ pula. Orang yang harta milikannya tidak sampai nisab, boleh juga mengeluarkan zakat tathawwu’ apabila disedari ada lebihan. Dan, orang yang tiada kecukupan untuk diri sendiri tidak dituntut untuk mengeluarkan zakat malah, dituntut oleh syara’ untuk berusaha serta memberi keutamaan bagi mencukupkan diri sendiri terlebih dahulu.
Selain daripada istilah zakat, Allah Yang Ma’bud menyebutnya dengan berbagai nama seperti :-
1. Sadaqah : Surah At Taubah (9) : ayat 104.
2. Nafaqah (infaq) : Surah At Taubah (9) : ayat 34.
3. A'fuw : Surah Al A'raaf (7) : ayat 199.
4. Haq : Surah Al An'am (6) : ayat 141.
Saya menyeru, berhati-hatilah menggunakan istilah dan berqasad di dalam hati semasa memberikan sesuatu kepada orang lain. Ini disebabkan kebiasaan orang kita, apabila memberikan sesuatu kepada orang lain semuanya disebut sedekah secara umum tanpa pasti maksud sebenar. Walhal sedekah itu sebenarnya adalah zakat yang disyari’atkan apabila adanya lebihan dari kecukupan diri sendiri. Yang membezakannya hanyalah sama ada wajib atau tathawwu’ (sunnat).
Pesanan ini saya sebutkan, supaya sekiranya ia zakat wajib hanya golongan asnaf sahajalah yang layak menerima dan menjadikan pengeluaran itu sah. Baiknya, jika benar ia dalam kategori zakat tathawwu’, sebutlah sedekah sunnat dengan jelas supaya tidak mengelirukan. Kalau pun mungkin hal ini dipandang remeh temeh dan hanya untaian masalah istilah, namun hakikat yang mesti diperakui adalah ia melibatkan hal hukum yang bukan kecil natijahnya.
Sikap murah hati dengan memberi sedekah ini memang sifat mulia. Allah Swt. mengurniakan rizqi dan nikmat untuk dibelanjakan secara sah dan halal. Dan Allah Azzawajalla juga menuntut dan memerintahkan supaya dibelanjakan ke jalanNya, yang dengan melakukannya Allah Swt. member ganjaran kebaikan sepertimana firmanNya di dalam Al Qur’an ul Haaq :
“Orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, adalah seumpama satu bibit yang menumbuhkan tujuh tongkol, pada tiap-tiap tongkol seratus biji, dan Allah melipat gandakan bagi orang yang dikehendaki ; dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 261
Sesungguhnya Allah Swt. menetapkan tuntutan mengeluar zakat wajib dan zakat tathawwu’ kepada ummat manusia justeru ia mengandung berbagai hikmah yang antaranya :
1. Mengeluarkan zakat dan sedekah jariyah diharapkan akan mendatangkan kesuburan pahala, karena itulah ia memberi maksud kepada "harta yang dikeluarkan". Zakat merupakan satu penyerahan jiwa yang tulus suci kepada Allah Swt. yang mahu bebas dari rasa bakhil dan dosa. Kesediaan mengeluar zakat adalah lambang ketaatan, kekuatan iman dan taqwa kepada perintah Allah Swt. dan tuntutan sunnah RasulNya.
2. Mengeluarkan zakat dan sedekah jariyah akan menginsafi diri ke atas kesusahan ummat Islam lain yang di dalam kemudharatan atau ditimpa musibah atau bencana. Menyalurkan sebahagian harta yang ada dan yang termampu, diberikan untuk menyambung hidup mereka, tanpa niyat lain selain atas dasar ikhlas, tulus hati dan taqwa kepada Allah Swt. jua.
3. Mengeluarkan zakat dan sedekah jariyah adalah cara pengurniaan rizqi dan nikmat yang disinggahkan oleh Allah Swt. ke atas seseorang, yang mesti diagihkannya pula kepada seorang yang lain. Demikianlah kebijaksanaan Allah Swt. yang mana, tidaklah hanya rizqi dan nikmat itu menjadi harta kesenangan dan kemewahan tetapi jua batu ujian yang beratnya dipikul oleh ummat manusia. Lantaran itu, manusia yang kikir dan sombong bongkak dengan rizqi kurniaan Allah Swt., tiada lain mereka hanya menambah dosa dan menelan api neraka. Maka dengan mengeluarkannya, mereka beroleh kebaikan dan kesejahteraan.
4. Mendidik diri manusia untuk saling membantu, prihatin dan berkasih sayang seterusnya mewujudkan keseimbangan dan keharmonian dalam stuktur sosial masyarakat, meletakkan keadilan pengagihan nilai dalam ekonomi, merapatkan jurang kaya miskin menerusi sikap saling membantu dan kasih mengasihani. Lantas melambangkan betapa agungnya Islam menjaga ummat manusia, dengan menetapkan pengagihan rizqi dan nikmat yang saksama tanpa menafikan hak sesiapa pun, malah semuanya diberikan keadilan.
Dalam melaksanakan amalan bersedekah itu, Allah Swt. telah menceritakan keadaan dan cara-caranya di dalam Al Qur’an ul Qadiim dan mengikut As Sunnah rasulNya :
Pertama : Memahami dengan sesungguhnya bahawa dengan membuat sedekah, menghilangkan sifat bakhil dalam diri. Sifat kedekut ini adalah sifat tercela yang tidak menguntungkan di dunia mahu pun di akhirat. Sebenarnya bersifat kedekut dan takut mengeluarkan harta akan menyempitkan lagi ruang menambahkan harta. Demikianlah yang dimaksudkan oleh Allah Swt. dan rasulNya :
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.
Surah Al Baqarah (2) : Ayat 195
Dan didalam satu hadis :
“Dari Asma` binti Abu Bakar As Siddiq Rha. ia menceritakan : Aku berkata, Wahai Rasulullah! Aku tidak memiliki harta kecuali yang dimasukkan oleh Az Zubair kepadaku. Apakah boleh aku menyedekahkannya? Baginda menjawab : Bersedekahlah, jangan engkau kumpul-kumpulkan hartamu dalam wadah dan enggan memberikan infaq. Nescaya Allah akan menyempitkan rizqimu”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Kedua : Pemberian mesti dibuat secara benar-benar ikhlas kepadaNya semata-mata. Perbuatan mengungkit pemberian dan riya’ (menunjuk-nunjuk) dalam memberi, melambangkan sifat tidak ikhlas. Perbuatan sebegini akan menghilangkan pahala sedekah dan mencirikan sifat orang tidak beriman kepada Allah Swt. dan Hari Kemudian (Akhirat). Pemberian dengan tidak ikhlas adalah suatu kerugian yang nyata. Demikianlah yang dimaksudkan Allah swt. di dalam firmanNya :
"Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu hilangkan (pahala) sadaqahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafqahkan hartanya karena riya' (menunjuk-nunjuk) kepada manusia dan tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang kafir dan riya’ itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
Surah Al Baqarah (2) : ayat 264
Ketiga : Meyakini bahawa sedekah membersihkan harta serta menyuburkannya dan menyucikan jiwa kita. Kerana itu, sedekah tidaklah boleh dibuat semata-mata disebabkan malu pada orang, mengikut-ngikut orang atau setelah disuruh-suruh. Ia mesti lahir dari kesedaran diri yang amat dalam berdasarkan taqwa. Demikianlah yang dimaksudkan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :
“Ambillah sedekah (zakat) dari sebahagian harta mereka, ia membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenangan jiwa bagi mereka. Dan bahawasanya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.
Surah At Taubah (9) : ayat 103
Dalam ayat ini juga Allah Swt. telah menjelaskan bahawa, sedekah juga tidak tertakluk kepada pemberian harta benda semata-mata, malah doa yang benar kepada Allah juga adalah satu sedekah. Lantaran itu, pada yang tiada berharta dan tiada memiliki apa-apa yang boleh diberikan, berdoalah kepada seluruh ummat muslimin. Disini terjelaslah bahawa ketinggian Islam kepada seluruh ummatnya yang tidak menghadkan sedekah itu hanya kepada faktor harta benda semata-mata malah meliputi semua segi keupayaan dan kemampuan ummatnya. Ini dinyatakan oleh Allah Swt. dalam firmanNya :
“(Orang-orang munafiq) yaitu orang-orang yang mencela orang-orang mukmin yang memberi sedekah dengan sukarela dan mencela orang-orang tidak memperoleh (untuk disedekahkan) selain dari kesanggupannya, maka orang-orang munafiq itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu, dan untuk mereka azab yang pedih”.
Surah At Taubah (9) : ayat 79
Keempat : Kerana keutamaannya bersedekah, syariat Islam yang mulia ini sangat mendorong kita untuk mengeluarkan sedekah tanpa membatasinya yaitu meliputi kepada lelaki juga kepada kaum wanita. Allah Swt. telah menyatakan dalam Kitab-Nya yang agung :
“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang jujur, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu’, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah (berdzikir), Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar”.
Surah Al Ahzaab (33) : ayat 35
Dalam satu ayat lain, Allah Swt. berfirman :
“Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahu pun perempuan, setiap mereka meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka, dan mereka akan beroleh pahala yang banyak”.
Surah Al Hadid (57) : ayat 18
Dalam satu kisah sahih, para sahabat wanita telah pun memberikan sedekah mereka :
Dari Abdullah Ibnu Abbas Rhu. ia menceritakan : Adalah Nabi Saw. solat pada hari I’edul Fitr 2 rakaat dan tidak solat sebelum mahu pun sesudahnya. Kemudian (selepas menyampaikan khutbah I’ed kepada hadirin) Baginda mendatangi tempat para wanita. Sementara Bilal bin Rabah menyertai Baginda. Baginda memerintahkan mereka (hadirin wanita) untuk bersedekah, maka mulailah mereka melemparkan perhiasan mereka (ke kain yang dibentangkan oleh Bilal untuk menampung sedekah). Ada wanita yang melemparkan anting-anting dan kalungnya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.
Malah, Rasulullah Saw. menyebutkan bahawa kaum wanita adalah paling banyak menjadi penghuni neraka, lalu Baginda Saw. memerintahkan mereka untuk banyak-banyak bersedekah. Begitulah maksud perkhabaran ini :
“Dari Abu Sa’id Al-Khudri Rhu. ia menceritakan : Dalam satu hari raya, I’edul Adha atau I’edul Fitr, Rasulullah Saw. keluar menuju musolla (tanah lapang). Baginda melewati para wanita, maka Baginda bersabda : Wahai sekalian kaum wanita, bersedekahlah. Kerana diperlihatkan kepadaku banyak penduduk neraka adalah kalian”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh.
Kaum wanita diperintah bersedekah kerana banyaknya mereka penghuni neraka. Dengan demikian, sedekah yang mereka keluarkan dapat menolak azab api neraka dari mereka dengan izin Allah Swt., juga dengan banyak beristighfar, sebagaimana tambahan dalam sabda Baginda berikut :
Dari Abdullah Ibnu Umar Rhu. ia berkata : Aku mendengar Nabi Saw. bersabda : Wahai sekelian kaum wanita, bersedekahlah dan perbanyakkan istighfar (memohon ampun), kerana aku melihat banyak penduduk neraka adalah kalian”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
Setakat ini dahulu nukilan saya buat masa ini.
والله اعلم , bersambung
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan