بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani rutin kehidupan sehari-hari kepada semua rakan jamaah serta para pembaca. Saya mendoakan agar sentiasa Allah Swt. membimbing dan melindungi diri kita dari segala macam keburukan dan kejahatan, seterusnya memelihara diri kita supaya tetap berpegang teguh kepadaNya dan menerima semua amalan kita. Moga Allah Swt. Yang Maha Esa Yang Maha Dermawan, meredhainya.
Muqaddimah – Nukilan kali ini menyentuh sedikit hal paling asas tentang ilmu untuk manfaat kita bersama. Lantaran didapati, banyak di antara manusia yang tidak menggunakan waktu sihat dan waktu lapangnya dengan sebaik-baiknya untuk mendampingi ilmu, sedangkan majlis ilmu itu sentiasa ada, terbuka dan percuma pula dalam berbagai bentuk dan cara. Tidak dia gunakan untuk belajar mengenai Islam yang sebenarnya dan tersialah ruang untuk menimba ilmu syari’e sedalam-dalamnya. Padahal dengan menghadiri majlis ilmu, yang perbicaraannya berdasarkan Al Qur’an dan As Sunnah yang sebenar, pasti akan bertambah ilmu, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Swt. Juga dapat menambah amal kebaikannya.
Secara lughah (bahasa) al ilmu bererti tahu atau pengetahuan yaitu lawan dari al jahl (kebodohan), ya’ni mengetahui sesuatu sesuai dengan keadaan yang sebenarnya dengan pengetahuan yang pasti. Secara istilah (syara’) dijelaskan oleh sebahagian ulama’ bahawa ilmu adalah ma’rifah (pengetahuan) sebagai lawan dari al jahl (ketidaktahuan). Menurut ulama’ lainnya, ilmu itu lebih jelas dari apa yang diketahui.
Syeikh Muhammad bin Solih bin Sulaiman Al Utsaimin rh. Kitaab ul Ilmi, halaman 7
Seseorang muslim tidak akan boleh melaksanakan Islam dengan benar kecuali dengan ilmu. Yang dimaksudkan dengan ilmu disini adalah pengetahuan yang berdasarkan Al Qur’an dan As Sunnah mengikut pemahaman dan amalan para Salafus Solih. Islam adalah agama ilmu dan amal kerana Nabi Saw. diutus dengan membawa ilmu dan amal solih. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. dalam fimanNya :
“Dia-lah yang mengutus rasulNya dengan (membawa) petunjuk (Al Qur’an) dan agama yang haq (benar) agar dimenangkan-Nya terhadap semua agama. Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”.
Surah At Taubah (9) : ayat 33
Yang dimaksud dengan Al Hudaa/Petunjuk disini adalah Kalam Suci Al Qur’an yang menjadi induk segala ilmu yang bermanfaat. Dan yang dimaksud dengan Diinul Haaq (agama yang benar) adalah amal solih berdasarkan syari’at Nabi Saw. Sesungguhnya Allah Swt. mengutus Nabi Saw. untuk menjelaskan Al Qur’an dan memberi contoh ikutan amalan syari’at Islam, supaya ummat muslimin boleh mengetahui diantara yang haq dengan yang batil, menjelaskan ketauhidan Nama-Nama-Nya, Sifat-Sifat-Nya, perintah dan larangan-Nya, hukum-hukum dan dan perkhabaran yang datang dari-Nya, serta memerintahkan segala apa yang bermanfaat bagi iman dan amalan oleh hati, ruh dan jasad.
Syeikh Abdurrahman bin Nasir As Sa’di rh. (wafat 1376H), Taisiir Kariimir Rahmaan Fi Tafsiir Kalamil Manaan (Tafsir As Sa’di), Jilid 3 halaman 295-296
Hal yang mahu ditekankan disini adalah, Al Qur’an adalah ibu segala ilmu yang benar dan amal solih sebenar adalah terhasil dari As Sunnah Nabi Saw. Semua ini hanya dapat diketahui, difahami, diimani, diamalkan dan disampaikan dengan ilmu. Demikianlah peri pentingnya ilmu sebelum seseorang beriman, beramal dan menyampaikan (tabligh). Sesungguhnya antara kejahatan dan kezaliman terbesar adalah seseorang mengatakan sesuatu bahawa ini halal sedangkan dia tidak mengetahui hukum Allah Swt. tentang hal itu. Atau pun seseorang mengatakan sesuatu bahawa ini haram sedangkan dia tidak juga mengetahui hukum Allah Swt. tentang hal itu. Inilah yang disebutkan oleh Allah Swt. dalam fimanNya :
“Dan janganlah kamu mengatakan apa yang disebut-sebut oleh lidah secara dusta bahawa ini halal dan ini haram untuk mengadakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Nama Allah tidak akan beruntung”.
Surah An Nahl (16) : ayat 116
Baginda Nabi Saw. juga telah memberikan peringatan amat tegas dalam sabdanya :
“Dari Abdullah bin Amru bin Al Ash Rhu. ia berkata bahawasanya Rasulullah Saw. bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak akan mencabut ilmu dari para hamba sekaligus, akan tetapi Dia mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama’. Sehingga, apabila tiada lagi seorang yang alim, manusia akan mengangkat para pemimpin yang bodoh, mereka ditanya lalu berfatwa tanpa ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 100) dan imam Muslim rh. (no. 2673)
Dalam satu riwayat Baginda Saw. bersabda lagi :
Dari Urwah Rhu. ia berkata bahawasanya Nabi Saw. bersabda : ………….. Mereka berfatwa dengan ra’yu (akal/pendapat) nya, maka mereka menyesatkan dan sesat”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. (no. 7307)
Para sahabat yang mulia sering ditanya oleh orang banyak, dalam berbagai macam perkara terutama selepas wafat Nabi Saw. Ada pun peribadi mereka, pada tiap-tiap masalah yang tidak mereka mengetahui hukum Allah Swt. dan rasulNya tentang masalah itu, maka mereka amat takut untuk menjawab dan mereka hanya diam. Sekalipun mereka sedar dengan pasti, dengan status diri mereka bersama Rasulullah Saw. tentu sekali segala kalam dan amalan mereka akan dipercayai serta tak akan diragui oleh sesiapa pun.
Demikianlah muqaddimah ringkas dan umum dari saya. Berbalik kepada tajuk artikel ini, saya sertakan nukilan sahabat Akhi Abu Numair An Nawawi untuk renungan kita bersama dan lebih menjelaskan lagi intipati artikel ini.
Berilmu Sebelum Berkata dan Beramal
Oleh : Abu Numair An Nawawi
http://an-nawawi.blogspot.com
Imam Al Bukhari rh. (Wafat 256H) membuat bab dalam kitab Sahihnya, “Bab al-‘Ilmu Qablal Qaul wal ‘Amal.” Iaitu bab: berilmu sebelum berkata-kata dan beramal.
Maksudnya, “Ilmu adalah syarat sahnya suatu ucapan dan perbuatan. Ucapan dan perbuatan tidak akan bermakna melainkan dengan ilmu. Ilmu lebih didahulukan dari keduanya (ucapan dan amal). Kerana ilmu akan meluruskan niat dan membenarkan amal.” Imam Ibnu Hajar Al Atsqolani rh., Kitab Fathul Bari, Jilid 1 halaman 160
Untuk melakukan sesuatu kebaikan, kita perlukan ilmu. Untuk mendapat dunia, kita perlukan ilmu. Untuk mendapatkan akhirat, tidak dapat tidak mestilah dengan ilmu.
Ilmu yang wajib dan fardhu bagi kita semua adalah ilmu tentang agama ini. Iaitu ilmu tentang iman kita, tentang tauhid, dan yang dapat membuahkan jalan petunjuk kehidupan dunia dan akhirat. Dengan ilmu jugalah kita dapat mengenali Rabb kita.
Kata Imam Adz Dzahabi rh. (Wafat 748H), “Ilmu itu bukanlah dengan banyaknya riwayat, tetapi ia adalah cahaya yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati, dan syaratnya adalah al-ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi Saw.), dan melarikan diri dari hawa nafsu serta menjauhi al-ibtida’ (bid’ah)”.
Kitab Siyar A’lam An Nubala’, Jilid 13 halaman 323
Ilmu tentang agama, tidak dapat tidak mesti diambil dari sumber yang benar. Diambil dan ditela‘ah dari kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab hadis. Iaitu kitab-kitab yang memuatkan penjelasan tentang wahyu Allah Swt. berupa tafsir-tafsir Al Qur’an ul Kariim dan syarah hadis-hadis Nabi Saw. Di antara kitab tafsir terbaik adalah seperti Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir At Thabari manakala rangkaian kitab-kitab hadis menurut keutamaan adalah seperti Sahih Al Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan seterusnya berserta syarah dan penjelasannya.
Dari kitab-kitab ini kita dapat mendulang mutiara petunjuk yang tidak ternilai harganya. Di sinilah letak perkhabaran penting. Iaitu khabar wahyu tentang apa yang telah berlaku, yang sedang terjadi, dan apa yang bakal datang di masa hadapan. Kandungannya bukan jenaka, bukan khayalan. Bukan untuk satu atau dua hari seperti kisah surat khabar. Tetapi merupakan khabar kebahagiaan dan bekal selamanya, dari dunia sampai akhirat.
Di dalamnya adalah khabar ilmu yang amat bermanfaat. Sebagaimana kata Adz Dzahabi rh. : “Tahukah kamu apa ilmu yang bermanfaat tersebut? Iaitu ilmu yang turun bersama Al Qur’an dan ditafsirkan oleh Rasulullah Saw. dengan ucapan, perbuatan, dan yang tiada larangan darinya. Dan Rasulullah Saw. bersabda : “Sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia tidak termasuk golonganku”.
Kitab Siyar A’lam An Nubala’, Jilid 19 halaman 339-340
Ilmu Sebelum Beramal
Aqidah dan tauhid yang benar akan menyelamatkan kita dari syirik. Untuk membezakan di antara tauhid dan syirik, tidak dapat tidak, mestilah dengan ilmu. Apabila ilmu yang benar dikuasai, tauhid yang murni pun diimani. Apabila tauhid telah murni, maka amal-amal soleh tidak akan disia-siakan. Kerana di antara syarat diterimanya amal adalah dengan murninya aqidah.
Keutamaan Orang Berilmu
Allah Swt. berfirman (maksudnya) :
“Katakanlah ; Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”.
Surah az-Zumar (39) : ayat 9
Dari ayat ini, Abdullah Ibnu ‘Abbas Rhu. menyatakan :
“Syarat bagi seseorang untuk dikatakan sebagai ‘aalim tentang Allah yang Maha Pengasih di antara hamba-hamba-Nya adalah tidak mensyirikkan Allah, menghalalkan dan mengharamkan sebagaimana yang ditetapkan Allah, menjaga dan memelihara tuntutan dan kehendak Allah, meyakini bahawa Allah akan menemuinya dan menghisap amal perbuatannya”.
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 6 halaman 544
Maka itu, dari mana lagi untuk kita meraih ilmu-ilmu pengetahuan tentang agama ini melainkan dari kitab Allah (Al Qur’an) dan hadis-hadis Rasul-Nya. Inilah apa yang telah dihadam dan difahami oleh generasi terbaik dari umat manusia setelah para Nabi dan Rasul. Generasi manusia pilihan yang telah dijanjikan Syurga oleh Allah Ta’ala kerana menerima dan beriman dengan apa yang datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya.
Allah Ta’ala berfirman (maksudnya) :
“Dan apabila dikatakan : Berdirilah kamu. Maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat”.
Surah Al Mujadilah (58) : ayat 11
Kata Imam Qotadah rh., “Apabila kamu diajak kepada kebaikan (ilmu), maka ikutlah. Kerana dengan mengikuti ilmu, darjat seseorang akan diangkat di sisi Allah”.
Tidak Berkata Tanpa Ilmu
Allah Swt. berfirman (maksudnya) :
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan diminta bertanggungjawab”.
Surah Al Isra’ (17) : ayat 36
Tetapi kita berasa kecewa pada hari ini, apabila mendengar banyaknya orang-orang yang bercakap dan mengambil agama tanpa membawakan dalil dan nas dari Al Qur’an mahupun As Sunnah. Mengucapkan hukum hakam sesedap rasa berdasarkan persangkaan, pendapat-pendapat dan pandangan-pandangan semata-mata. Tidak kurang juga, apabila diteliti, didapati segala penghukuman itu langsung tiada dasarnya malah tidak kurang juga yang bertentangan sama sekali dengan nas-nas sahihah. Sedangkan, agama suci Islam ini, agama samawi yang datang dari Allah Swt., bukanlah agama yang layak diolah oleh manusia dengan hawa nafsu dan perasaan. Tidak juga boleh digoreng sesuka hati dan sesedap rasa. Tapi sayangnya, ramai orang hari ini perkataan dan perbuataannya mendahului ilmu di dalam dadanya. Lebih menjengkelkan perilaku ini diperbuat tanpa ada rasa dosa, takut atau malu kepada Allah Swt. pemilik Islam suci ini.
Lebih-lebih lagi dengan kepesatan teknologi internet seperti youtube, blog, dan media sosial hari ini. Orang jahil berlumba-lumba mahu berbicara dan menonjolkan diri. Pantang ditanya, pasti menjawab. Jarang sekali hari ini kita menemui orang-orang agama yang sanggup mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya. Sedangkan jawaban “Allahu A’lam” tersebut termasuk sebahagian dari tanda dalamnya ilmu seseorang dan betapa kukuh imannya.
Ini sebagaimana kata sahabat nabi, ‘Abdullah bin Mas’oud Rhu. : “Wahai manusia, sesiapa yang mengetahui sesuatu hendaklah dia mengatakannya, dan sesiapa yang tidak mengetahui hendaklah dia mengatakan, “Allahu A’lam (Allah lebih mengetahui).”
Kerana termasuk sebahagian dari ilmu adalah mengatakan “Allahu A’lam” bagi sesuatu yang tidak diketahuinya.” Kemudian beliau menyebutkan firman Allah Swt. dalam Surah Saad (38) : ayat 86 : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak meminta upah sedikitpun padamu atas dakwahku dan bukanlah aku dari kalangan orang yang mengada-adakan (dari apa yang tidak diketahui)”.
Hadis sahih riwayat imam al-Bukhari rh. (no. 4435)
Jangan Berdusta
Apa jua ilmu mestilah dipastikan kesahihannya dan tidak diambil dari yang bukan sumbernya. Kerana setiap ilmu (atau maklumat) yang diambil tanpa dapat dipastikan sumber dan kesahihannya, hakikatnya ia bukanlah ilmu. Malah Banyak dalil-dalil yang mengancam dari menyebarkan sesuatu tentang agama yang tidak dapat ditentukan benar atau tidaknya.
Bercakap agama tanpa dalil yang benar, ia akan menjerumuskan pelaku ke dalam perbuatan mendakwa-dakwi tentang Allah dan agama ini dengan sesuatu yang tidak pasti. Perbuatan seperti ini termasuk kedustaan dan kezaliman. Malah termasuk ajaran syaitan.
Allah Swt. berfirman (maksudnya) :
“Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”.
Surah Al An’am (6) : ayat 144
Dalam ayat yang lain, Allah Swt. menyebut lagi :
“Sesungguhnya syaitan itu hanya menyuruh kamu berbuat jahat dan keji, dan mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 169
Dan orang-orang yang bercakap agama tanpa bukti dalil yang benar serta tergesa-gesa dalam menyebarkannya, ia dianggap pendusta. Demikianlah sabda junjungan mulia Rasulullah Saw. dalam sebuah hadis :
“Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan setiap apa yang dia dengar”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh. (no. 6)
Oleh itu, berilmulah sebelum berkata-kata dan beramal!
Nota Tambahan : adapun ilmu yang dimaksudkan disini adalah ilmu syara’ (Al Qur’an dan As Sunnah), ertinya ilmu yang diturunkan oleh Allah Swt. kepada rasulNya berupa keterangan, petunjuk dan contoh perbuatan. Maka ilmu yang didalamnya terkandung pujian dan sanjungan itu adalah ilmu wahyu, yaitu ilmu yang diturunkan oleh Allah Swt. sahaja. Nabi Saw. bersabda :
“Barangsiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan menjadikannya faham tentang agamanya”.
Hadis sahih riwayat imam Bukhari h. dan imam Muslim rh.
Dalam hadis lainnya, Baginda bersabda :
“Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau darham, yang mereka wariskan hanyalah ilmu, maka barangsiapa yang telah mengambilnya, maka ia mengambil bahagian yang banyak”.
Hadis iwayat imam Abu Daud rh. dan imam Tarmidzi h. Beliau mengatakan ia sahih.
Allah Swt. telah memuji ilmu dan pemiliknya serta mendorong hamba-hambaNya untuk berilmu dan membekali diri dengannya. Demikian juga Sunnah Nabi yang suci. Ilmu adalah amal solih yang paling utama serta ibadah yang paling mulia dan paling utama di antara ibadah-ibadah sunnah, kerana ilmu termasuk jenis jihad di jalan Allah Swt. 2 jihad yang utama di dalam Islam adalah 1. Menuntut dan mengajarkan ilmu dan penjelasan 2. Dengan perang dan senjata. Dengan 2 jihad inilah Islam berkembang dan bertakhta di dunia. Sejarah Rasulullah Saw. membuktikan bahawa Baginda tidak menyerang sesuatu kaum sebelum sampainya da’wah Islam kepada mereka. Ini membuktikan kedudukan ilmu lebih tinggi martabatnya dan didahulukan dari perang. Malah perang juga mesti dengan ilmu.
Tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang jahil, sebagaimana tidak samanya orang yang hidup dengan orang yang mati, orang mendengar dengan orang pekak, orang yang melihat dengan orang yang buta dan orang yang waras dengan orang yang gila. Ilmu adalah cahaya yang dijadikan petunjuk oleh manusia sehingga membolehkan mereka keluar dari kegelapan kepada cahaya, berpindah dari batil kepada haq. Lantaran itu, manakan sama di antara orang yang berilmu dengan orang yang jahil. Demikianlah intipati firman Allah Swt. :
“Apakah sama orang-orang yang berilmu dengan orang-orang yang tidak berilmu? Hanyalah orang yang berakal yang boleh mengambil pelajaran”.
Surah Az Zumaar (39) : ayat 9
Akhirul Kalaam : Sesungguhnya Islam ini agama milik Allah Swt. yang diturunkan kepada manusia dengan penuh suci murni. Maka, untuk memahami, mendalami dan mentaatinya hanyalah dengan ilmu. Lantaran itu tidaklah layak sama sekali manusia memperkatakan segala apa jua mengenai Islam tanpa ilmu. Dan ilmu jualah yang menunjuk jalan kebenaran yang tanpa ilmu, tidak lain semuanya adalah kebatilan.
Lantaran itu, marilah kita benar-benar berpegang kepada ilmu dengan berilmu sebelum berkata-kata dan beramal. Para salafus solih telah pun meninggalkan contoh tauladan kepada kita :
Abdurrahman bin Abi Laila rh. (wafat 82H) berkata : Aku pernah bertemu dengan 120 oang daripada Sahabat Rasulullah Saw. – Aku melihatnya berbicara di masjid (Nabawi) ini – tidaklah seseorang dari mereka diminta untuk berbicara, melainkan ia berharap temannya lah yang berbicara. Dan tidaklah seseorang dari mereka diminta untuk berfatwa, melainkan ia berharap temannya lah yang berfatwa.
Atsar sahih riwayat imam Ibnul Mubarak rh. (kitab Az Zuhd, no. 49) dan imam Ibnu Abdil Barr rh. (kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi, Jilid 2 no. 2199)
Ini menunjukkan bahawa para Sahabat Rodhiyallahu’anhuma, sangat berhati-hati dalam membicarakan hal Islam. Mereka meninggalkan fatwa dari apa-apa yang tidak ada nas (dalil)nya kerana takut dosa. Dan tujuan mereka agar selamat disisi Allah Swt.
Abdullah Ibnu Mas’ud Rhu. mengatakan : Barangsiapa berfatwa kepada manusia pada setiap permasalahan yang ditanyakan kepadanya, maka ia adalah orang gila.
Atsar sahih riwayat imam Ibnu Abdil Barr rh. (kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi, Jilid 2 no. 2208)
Pernah Said bin Jubair rh. (wafat 95H) ditanya tentang sesuatu, lalu ia berkata : Saya tidak tahu. Kemudian beliau berkata : Celakalah bagi orang yang tidak mengetahui, lalu ia berkata : Saya tahu.
Atsar sahih riwayat imam Ibnu Abdil Barr rh. (kitab Jaami’ Bayaanil Ilmi wa Fadhlihi, Jilid 2 no. 1568)
والله اعلم
Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan