Sabtu, 4 Disember 2010

DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN

0 ulasan

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.
  









Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.
  
Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.
  
Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.

 
Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.
  
Syeikh Bakr Abu Zaid -rahimahullah- menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.
 
Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)
 
Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.  Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.
  
Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.
 
Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapa farsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).
 
Oleh itu,  janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. Wallahu A’lam.

dipetik dari : 

http://weblog.sabja.com


MAKLUM BALAS 1


السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم


Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.

Terima kasih daun keladi kepada akhi Pyan SiPitong atas kiriman artikel dibawah, tepat pada masa dan ketikanya. Saya tidak dapat membuat maklumbalas lanjut berikutan berada di "luar kawasan liputan" pada masa ini. Saya ada membuat sedikit penulisan, tetapi kekangan masa dan sumber rujukan sangat membataskan keupayaan. InsyaAllah akan saya postkan apabila siap penuh nanti. Namun, untuk pedoman dan ilmiah kita bersama, saya sertakan artikel dari seorang sahabat lama dalam kes yang sama. Biarpun sudah 'lewat tarikh', amat bermakna untuk pedoman kita di hari mendatang. 

Amalan Berdoa Awal dan Akhir Tahun


Semalam, 17 Januari 2007, dalam satu kuliah untuk muslimat tentang Ma`al Hijrah, seorang muslimat menimbulkan persoalan : amalan-amalan yang sudah biasa dilakukan oleh orang Melayu sejak beberapa lama tentulah ada sandarannya daripada al-Quran dan As Sunnah. Contohnya amalan berhimpun malam Nisfu Sya`ban. Amat mustahil para alim ulama' dahulu dan sekarang malah yang amat terkenal pun membuatnya sekiranya ia bukan daripada sumber yang benar. Persoalan ini beliau timbulkan apabila saya membangkitkan persoalan amalan baca doa awal dan akhir tahun. Menarik juga soalan dan hujahan ini.

Ia menggambarkan cara berfikir masyarakat awam. Mereka meletakkan keyakinan penuh kepada ahli-ahli agama. Mempercayai bahawa amalan yang telah dilakukan oleh ahli-ahli agama yang dikeliling mereka itu sejak berzaman tentu ada sandarannya. Ahli-ahli agama yang dimaksudkan oleh saya di sini ialah para imam di masjid dan surau dan mereka yang bergelar “asatizah”; guru-guru agama yang berada dikeliling mereka.

Keyakinan tinggi mereka kepada perlakuan ahli agama ini memang tepat. Tiada apa yang peliknya. Orang yang jahil tentulah bergantung ilmu kepada yang lebih alim. Dalam konteks masyarakat awam tentu mereka menggantungkan kepercayaan ilmu sepenuhnya kepada ahli agama yang hampir dengan mereka. Mereka penuh yakin dan percaya, ahli agama tentu sekali merujuk segala amal perbuatannya kepada al-Qur’an dan hadis. Tentu sekali juga, sebagai orang awam, itulah keyakinan yang boleh mereka pegang pun.

Tinggal lagi, yang menjadi persoalan seterusnya ialah bagi pihak ahli agama itu sendiri. Adakah amalan yang dilakukan adalah berasaskan ilmu dan pengkajian? Dengan merujuk kepada al-Qur’an dan al hadis? Merujuk kepada tulisan ulama muktabar? Atau berdasarkan ikut-ikutan kepada perlakuan orang sebelumnya sahaja? Begitukah layaknya seorang bergelar 'ahli agama' yang diikut-ikut dan dikendong kehulu kehilir oleh masyarakat? Ahli agama perlu sentiasa menambahkan ilmu. Perlakuan mdan amalan mereka mesti berasaskan ilmu. Maksud ilmu ialah dengan merujuk kepada Al Qur’an, Al Hadis dan perbahasan tokoh-tokoh ulama' muktabar.

Persoalan yang penting di sini; adakah amalan membaca doa awal dan akhir tahun dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama? Adakah ia sememangnya disebut oleh ulama-ulama besar hatta dalam mazhab Shafi`e? Saya melihat amalan membaca doa ini hanya dinukilkan dalam buku-buku amalan yang ditulis dan disebarkan secara meluas di alam Melayu. Buku-buku ini pula tidak menyebut sumber rujukan amalan tersebut. Apa hadisnya? Siapakah kalangan ulama silam yang memperakuinya? Justeru itu, masalah sebenarnya ialah pada penulis-penulis buku-buku amalan ini. Mereka sebenarnya hanya mencatatkan amalan itu berasaskan amalan yang telah diterima turun temurun diamalkan di masjid-masjid dan surau-surau. Bukannya berasaskan rujukan kepada kitab-kitab hadis dan tulisan ulama muktabar. Di sinilah masalahnya.

Hari ini rujukan para guru agama lebih meluas. Mereka merujuk kepada tulisan-tulisan ulama-ulama terkenal di zaman silam dan ulama terkenal kontemporari. Mereka mendapati amalan membaca doa awal dan akhir tahun ini tidak disebut oleh para ulama terkenal. Amalan ini tidak pernah berlaku dizaman Rasulullah saw. malah pada zaman sahabat. Ia juga tidak diamalkan oleh tokoh-tokoh ulama. Bagimana ia menyerap masuk dan diamalkan di alam Melau? Saya tak ada jawapan bagi persoalan ini.

Apa pun, tinggalkan hakikat ini dulu. Kita berpindah pada hakikat yang lebih penting, yang boleh menentukan sama ada amalan yang dibuat itu tepat atau tidak. Cukup untuk memahami persoalan ini dengan merujuk sejarah penentuan tahun Islam. Ia hanya berlaku pada zaman Khulafa ar Rasyidin Umar bin Al Khattab rhu. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Hal ini dinukilkan oleh Abu Nu`aim dalam karya tarikh beliau. Sebelumnya, ummat Islam hanya menggunakan hari dan bulan tanpa tahun. Umar yang berijtihad mencipta tahun berdasarkan peristiwa hijrah Rasulullah saw. Justeru ia dikenali sebagai Tahun Hijri. Umar juga yang berijtihad menentukan bulan Muharram sebagai bulan pertama bagi kalendar hijri ini.

Ceritanya panjang akan saya bicarakan kemudian. Jadi, kalau penentuan tahun Hijri berlaku di zaman Umar, tentunya penentuan awal tahun juga berlaku zaman Umar. Jika berlaku zaman Umar, amat mustahil amalan membaca doa awal tahun dan akhir tahun berlaku zaman Nabi. Juga amat mustahil sekali doa itu dibaca oleh Nabi saw.

Justeru, jangan sama sekali menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi saw. Jangan menyandarkan doa tersebut kepada Nabi! Inilah keyakinan yang salah! Begitu juga dengan amalan membaca Surah Yasin dan diniatkan tiga perkara; panjang umur, murah rezeki dan mati dalam iman. Tak ada satu pun tulisan daripada ulama muktabar yang menggesa umat melakukan amalan ini. Apatah lagi sumber asli Islam iaitu al-Qur’an dan As Sunnah.

Amalan berdoa awal tahun dan akhir tahun ini, serta membaca Surah Yasin dengan tiga niat tadi tidak pernah dilakukan oleh Nabi saw., para sahabat dan para Salafus Solih. Bahkan juga, para ulama yang muktabar. Justeru, kenapa begitu bersemangat untuk melakukan amalan yang tidak dilakukan oleh generasi awal Islam dan tokoh ulama Islam? Ingatlah, Baginda Nabi saw. bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِيْنَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya: “sesiapa yang mengada-adakan di kalangan kami sesuatu yang bukan daripadanya (agama) maka ia tertolak”.

Namun, untuk berhimpun di awal tahun, bagi saya tidak ada kesalahannya. Sememangnya kita sepatutnya berhimpun setiap malam di rumah-rumah Allah. Tapi jadikan malam itu sebagai malam ilmu dengan disampaikan kuliah tentang Islam dan sejarah hijrah Rasulillah saw. Alangkah baiknya.

Tapi, macamana kalau mereka nak lakukan juga? Kata Imam Ahmad rohimahullah : Jelaskan kepada ummat apa itu Sunnah, dan jangan bertekak bertegang leher! Jadi, sampaikan kepada mereka apa yang benar. Jika mereka berdegil, biarkan….mudah-mudahan di kesempatan lain boleh kita betulkan. Janga
n pula lari meninggalkan masjid. Jangan jadikan dia sebagai medan perpecahan ummat.

Perlakuan membaca doa dan membaca Al Quran bukannya haram, malah dituntut oleh Islam, malah pada setiap masa, setiap saat dan ketika tanpa dibatasi oleh apa-apa keraian pun. Isunya adalah amalan serta ketetapan khusus membaca doa akhir dan awal tahun Hijrah serta diikuti bacaan Surah Yasin dengan tiga niyat itu, dilakukan dengan keyakinan bahawa amalan itu sunnat dan dituntut di dalam Islam tanpa bersandarkan kepada Kitabullah dan as Sunnah Rasul saw. Maka, kaedah amalan dan keyakinan mereka itu yang mesti diperbetulkan

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

سكين
والسلام

eddzahir
@38

Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: