السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
بسم الله الرحمن الرحيم
Segala puji bagi Allah swt., Pencipta Sekelian Alam. Shalawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.
Untuk pedoman dan ilmiah kita bersama, saya sertakan artikel dari seorang rakan lama yang amat aktif dalam penulisan dan da'wah. Artikel ini amat baik dan memberi pengajaran kepada kita.
Hati-Hati Menghadam Berita
Salah satu sikap yang wajib ada pada diri seseorang muslim adalah sentiasa memastikan dan menyemak apa jua maklumat dan berita yang sampai kepadanya. Ini adalah bagi mengelakkan pelbagai bentuk fitnah dan tindakan yang salah setelah itu akibat maklumat yang bermasalah.
Allah swt. berfirman “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti supaya kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang sebenar sehingga menyebabkan kamu menyesal dengan tindakan tersebut.”
Surah al Hujurat (49) : ayat 6.
Para ulama mengambil ayat tersebut bersama beberapa dalil lainnya yang semakna sebagai panduan dalam menerima khabar berkaitan agama. Bahkan dari ayat tersebut telah lahir kaedah-kaedah (ilmu) bagi memastikan kesahihan sesuatu hadis (merujuk: ilmu rijal dan jarh wat ta’dil). Dengan ilmu tersebut (ilmu rijal dan Jarh wat ta’dil), Allah menjaga agama-Nya dan sunnah Nabi-Nya dari pelbagai penyelewengan dan pendustaan. Sehingga kriteria pembawa khabar (perawi) kepada hadis Nabi yang boleh diterima adalah sangat ketat. Iaitu antaranya, ia bukan seorang pendusta, tidak berbohong bila menyampaikan, bukan seorang pelupa, bukan fasiq, seorang yang adil (al-‘adalah) dan terpercaya, seorang yang amanah, dan beberapa kriteria yang lainnya yang menepati syarat-syarat hadis sahih. Sehingga ulama hadis seperti Imam asy-Syafi’i dan al-Bukhari menolak persaksian seseorang perawi (pembawa khabar) yang diketahui mendengar muzik, yang pada anggapan kita pada hari ini muzik adalah isu remeh dan hiburan semata-mata. Tapi sebenarnya, agama tidak memandang enteng perkara tersebut.
Perkara ini menjadi bukti betapa pentingnya manhaj dalam menerima sesuatu khabar berita daripada seseorang yang lain dalam siri kesarjanaan Islam. Begitu jauh berbeza dengan apa yang berlaku pada hari ini, di mana masyarakat secara umum begitu mudah menerima, takjub, dan terpengaruh dengan pelbagai jenis khabar dan berita, walapun sumber berita tersebut datangnya dari musuh-musuh Islam sendiri. Sehingga khabar-khabar tersebut akhirnya merosakkan pemikiran mereka tanpa sedar. Tidak cukup dengan itu, mereka membantu menyebarkan pula maklumat dari berita-berita yang mereka terima sedangkan mereka sendiri tidak dapat memastikan kesahihan dan mengkaji kesannya kepada umum.
Allah swt. berfirman : “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, mereka terus menyebarkannya. Dan sekiranya mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri di antara mereka, tentulah orang-orang yang ingin mengetahui keabsahannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Jika tidak kerana kurnia dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, melainkan sebahagian kecil sahaja (di antara kamu).”
Surah an Nisaa’ (4) : ayat 83.
Ayat ini menunjukkan pengingkaran terhadap sikap tergesa-gesa dalam menghadam dan menyebarkan berita-berita yang diterima sedangkan mereka sendiri belum dapat memastikan kesahihan, tafsiran, dan kesan dari maklumat tersebut. Dalam ayat tersebut juga memberitahu suatu kaedah dalam menyikapi berita-berita yang diterima, iaitu dengan menyerahkannya kepada pihak yang berautoriti dari kalangan ilmuan (dalam bidangnya), para ulama (yang memahami agama), dan pihak berkuasa (pemerintah), iaitu bukan diserahkan dan disebarkan ke khalayak umum begitu sahaja. Dalam hal ini, terdapat hadis yang berbentuk tegahan keras daripada Rasulullah saw. melalui sabdanya,
“Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan (menyebarkan) setiap apa yang dia dengar.”
Hadis sahih riwayat imam Muslim : Mukaqaddimah Shahih Muslim, 1/15, no. 6.
Namun apa yang dapat kita lihat, pada hari ini umat Islam benar-benar sedang diuji dan berhadapan fitnah maklumat yang besar. Pelbagai lambakan berita dan maklumat tersebar kepada masyarakat umum tanpa sebarang tapisan seiring dengan berkembangnya teknologi massa. Sebaran berita berlaku dari pelbagai lapisan pemikiran, sama ada yang adil, amanah, berkepentingan peribadi, bertujuan politik dan kuasa, berbau hasad dan dengki, dari golongan yang fasiq, mahupun yang sesat dan kafir. Perkara ini menjadi lebih bahaya apabila maklumat tersebut menyentuh isu agama sama ada secara langsung atau sampingan sedangkan masyarakat kita tidak memiliki kapasiti yang cukup untuk menilai. Lalu mereka menghadamnya bulat-bulat dan membantu pula dalam penyebarannya. Sebenarnya budaya ini mampu menjadi suatu bentuk serangan terhadap aqidah umat Islam tanpa disedari.
Sehingga apa yang dapat kita lihat hari ini, budaya berita yang bukan-bukan telah menjadi fenomena yang biasa dan sebati dalam masyarakat. Ini adalah seperti berita berbentuk hasutan membenci pemimpin dan ulama, berita artis paling seksi, kisah pecintaan dan krisis rumahtangga artis, sentimen perkauman, kisah ustazah terlampau, kisah-kisah skandal, isu-isu dalam mahkamah, kisah-kisah tahyul dan khurafat, serta lambakan siaran drama dan hiburan. Jika diteliti dari aspek positif, di manakah nilai-nilai berita seperti ini berkemampuan untuk mendidik masyarakat, membina generasi yang cemerlang aqidah dan agama, membangunkan rohani dan jatidiri yang murni, membentuk ketamadunan bangsa, menerapkan keharmonian dan perpaduan, melahirkan akhlak dan minda yang bersih, mencorak sakhsiah diri, melentur pemikiran kritis, menyuburkan nilai-nilai amanah, serta melakar kemajuan dari sudut teknologi duniawi?
Oleh sebab itulah, para ulama yang benar-benar memahami agama ini telah menggariskan beberapa prinsip dalam mengambil berita. Iaitu mengambilnya daripada orang-orang yang dipercayai, benar prinsip agamanya, serta dipastikan keabsahannya. Apabila berita datang dari selain mereka, maka berita tersebut terlebih dahulu diserahkan kepada para ilmuan dalam bidangnya (ulil amri) bagi tujuan semakkan, perbincangan, dan penilaian sebelum sebarang respon dan tindakan dibuat.
Betapa ramai pada hari ini, orang awam yang mengambil dan menelan bulat-bulat setiap berita atau maklumat yang tersebar sama ada melalui akhbar, televisyen, internet, sms, surat layang dan selainnya tanpa diketahui sumbernya, bahkan datang pula dari golongan yang tidak memiliki prinsip-prinsip agama yang benar. Padahal boleh jadi, golongan yang menyebar berita tersebut memiliki tujuan negatif di sebalik aktiviti sebarannya seperti mengadu domba, melaga-lagakan pihak tertentu, menyebarkan prasangka, membakar emosi, menanamkan syubhat terhadap agama, atau mungkin bertujuan menyebarkan perasaan takut dan cemas terhadap masyarakat awam terutamanya umat Islam. Akhirnya, masyarakat menjadi mangsa maklumat yang boleh mengakibatkan krisis keharmonian.
Manhaj dalam mengambil dan penyebaran berita ini menjadi lebih kritikal apabila melibatkan sandaran kepada sumber-sumber Islam. Dalam soal menyandarkan sesuatu kepada agama, ia mesti memiliki syarat yang ketat seperti aspek ketepatan sumber rujukan, nilai kesahihan dalil, dan aspek kefahaman. Ini kerana kesilapan yang sedikit sahaja dalam soal sumber, ia mampu mengakibatkan kesan kerosakan dan fitnah yang teruk kepada imej agama, aqidah, dan pemikiran masyarakat. Sehingga Rasulullah saw. mengancam melalui ucapannya,
“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.”
Hadis sahih riwayat imam al-Bukhari, 5/37, no. 1209.
Dari itu, apa jua maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya janganlah kita tergesa-gesa menghadamnya, apatah lagi untuk menyandarkan dan menggunakannya dalam soal agama. Kerana ia termasuk dalam perbuatan berdusta atas nama agama. Jika prinsip ini tidak diambil penting, maka tidak hairanlah apabila fakta-fakta yang tidak masuk akal dan merosakkan imej Islam serta umatnya bertebaran di sana sini. Rasulullah saw. mengingatkan dengan sabdanya,
“Akan datang nanti kepada manusia, masa-masa yang penuh tipu daya. Para pendusta dianggap sebagai orang yang jujur, manakala orang yang jujur dianggap pendusta. Orang khianat dianggap amanah dan orang yang amanah dilabel sebagai pengkhianat. Dan para Ruwaibidhah mula berkata-kata (bersuara).” Ada yang bertanya, “Siapa Ruwaibidhah?” Rasulullah menjawab, “Orang yang bodoh sibuk berbicara (mengulas) tentang masalah masyarakat.”
Hadis riwayat imam Ibnu Majah, Kitab al-Fitan, 12/44, no. 4026. Dinilai sahih oleh al-Albani.
Dengan itu, sebagai seorang muslim yang sentiasa memelihara prinsip-prinsip dalam beragama seharusnya bersabar, teliti, dan mengambil nasihat para ulama dalam menganalisa sesuatu berita dan maklumat. Iaitu tidak bersikap tergesa-gesa dalam menghadam, mengulas, dan menyebarkannya.
Bagi masyarakat awam, apa yang lebih utama adalah sentiasa mendahulukan usaha-usaha mendalami ilmu-ilmu yang syar’i terutamanya ilmu aqidah dan fardhu dari sumber-sumber dan kefahaman yang benar. Sebaliknya tidak menyibukkan diri dengan mengulas isu-isu diluar bidang dan kemampuannya. Bersamaan dengan itu, jika kita tidak mampu berkata baik, ambillah sikap diam sebagai langkah terbaik. Kerana takut-takut, kitalah yang dimaksudkan hadis Nabi tersebut sebagai ruwaibidhah kerana berbicara tanpa ilmu, kefahaman, dan sumber maklumat yang tepat.
Wallahu a’lam...
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
سكين
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan