Satu fenomena yang amat membimbangkan di kalangan umat Islam hari ini adalah kerapuhan aqidah yang meruncing. Ini antaranya dapat dilihat melalui suburnya amalan-amalan khurafat, tahayyul, bid’ah dan syirik. Di antara contoh mudah yang dapat kita perhatikan adalah suburnya amalan tangkal dan pelaris. Kunjungi dan singgahlah di mana-mana kedai makan orang Melayu atau Mamak, sebahagian besar dari mereka pasti ada menggantung sesuatu di bahagian dinding berdekatan kaunter bayaran.
Kalau kita perhatikan baik-baik biasanya pada bahagian dinding tersebut mereka gantung dengan sesuatu mungkin sama ada berupa bingkai (frame) berisi kertas kuning atau kilat berwarna perak, gantungan kain hitam atau kuning yang diikat, gambar “wali keramat”, ayat bismillah 7, lambang khatamun nubuwwah, al-Qur’an kecil, cebisan kain kelambu ka’abah, tulisan-tulisan jawi berbentuk formasi aneh, “ayat 1000 dinar”, atau rajah-rajah dan simbol-simbol pelik yang hanya boleh difahami oleh pembuat tangkal.
Kalau di rumah-rumah pula, masih ramai yang menyimpan dan menggantungkan tulisan ayat al-Kursi di pintu-pintu rumah, botol-botol berisi “bahan pendinding”, keris penjaga rumah, cincin azimat, batu geliga, dan apa-apa jua yang sewaktu dengannya. Masih ramai masyarakat Islam di negara kita hari ini meyakini tangkal-tangkal dan azimat-azimat tersebut mampu menarik kebaikan dan menolak mudharat.
Seiring berleluasanya amalan khurafat ini, sebahagian media dan industri perfileman pun turut tidak melepaskan peluang mengambil kesempatan memainkan isu tersebut bagi tujuan mengaut keuntungan. Akhirnya apa yang telah sedia buruk menjadi bertambah-tambah buruk. Terutamanya terhadap pembinaan aqidah kanak-kanak dan remaja hari ini.
Tangkal Tiada Manfaatnya
Apabila budaya khurafat dan kepercayaan tahayyul seperti ini berleluasa, selagi itulah umat Islam akan terus dilanda kehinaan, kebodohan, kelemahan, dan kerugian. Kerana kebergantungan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala telah bertukar kepada tangkal dan azimat yang tidak mampu berbuat apa-apa tersebut. Disebabkan kejahilan, wang dibelanjakan untuk membeli syirik.
Kata Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).” (Hadis Riwayat Ahmad, 31/78, no. 18781. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Sesiapa yang menggantungkan tangkal, jiwa dan hidupnya akan mudah terganggu dan tidak tenteram. Malah ia telah melakukan pula kesyirikan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Sesiapa yang menggantung tamimah maka semoga Allah tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah, semoga Allah tidak membiarkannya dalam ketenangan.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175. Kata al-Haitsami, “Hadis Riwayat Ahmad, Abu Ya’la, dan ath-Thabrani, para perawinya tsiqah.”. Dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arnauth)
Dalam riwayat yang lain:
“Sesiapa menggantungkan tamimah maka dia telah melakukan syirik.” (Majma’ az-Zawa’id, 5/175, no. 8399. Kata al-Haitsami para perawinya tsiqah. Dinilai sahih oleh al-Albani)
Tamimah adalah seperti tali (atau kalung) yang digantungkan pada tubuh sebagai azimat atau tangkal bertujuan mendapatkan kebaikan dan mencegah perkara-perkara berbahaya sama ada sihir, gangguan, penyakit, atau lain-lain. Biasanya diikat pada tangan atau dikalungkan pada leher anak-anak kecil.
Wada’ah adalah bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang yang diambil dari laut kemudian dijadikan sebagai kalung bertujuan menjaga diri dari gangguan dan bahaya.
Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah meriwayatkan dalam Tafsirnya:
“Hudzaifah pernah menjenguk seseorang yang sedang terlantar sakit. Lalu beliau terlihat seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka beliau pun memotongnya (atau mencabutnya) dan berkata (menyebutkan firman Allah, Surah Yusuf, 12: 106): “Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.”.” (Tafsir Ibnu Katsir, 4/419)
Membuang Tangkal
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pernah mengatakan:
“Jangan kamu tinggalkan satu kalung pun pada leher unta melainkan ianya harus dipotong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/190, no. 2783)
Para ulama menjelaskan berkaitan hadis ini bahawa apa jua bentuk tali yang diikatkan pada leher unta (atau haiwan) yang padanya mengandungi kepercayaan atau i’tiqad tertentu (sebagai tangkal) maka ia wajib ditanggalkan (dihapuskan). Demikian juga pada selain itu.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Jika engkau memohon (berdoa), mohonlah kepada Allah. Dan jika engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, 9/56, no. 2440. Hasan sahih)
Berkaitan dengan ini, ada satu kisah riwayat daripada Zainab isteri ‘Abdullah B. Mas’oud. Katanya:
Apabila ‘Abdullah (Ibnu Mas’oud) selesai dari suatu keperluan, beliau berhenti pada pintu, ia berdehem dan membuang ludah kerana khuwatir menemukan sesuatu yang tidak berkenan dari kami.
Suatu hari beliau datang dan berdehem, beliau berkata dan ketika itu di sisiku ada seorang nenek sedang menjampiku dari humrah (sejenis radang kulit), lalu aku menyembunyikannya di bawah tempat tidur. Beliau pun masuk dan duduk di sisiku, beliau melihat jahitan di leherku lalu bertanya, “Benang apa ini?” Aku jawab, “Benang untuk menjampiku.” Lalu beliau pun mengambil dan memotongnya sambil berkata, “Sesungguhnya keluarga ‘Abdullah tidak memerlukan syirik, aku mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:
“Sesungguhnya jampi serapah, tangkal-tangkal, dan tiwalah adalah syirik.”
Zainab berkata, “Aku katakan kepadanya, “Kenapa engkau mengatakan seperti itu padahal mataku pernah sakit. Aku selalu datang kepada fulan, seorang yahudi untuk menjampinya, dan sebaik ia menjampi, sakit itu pun reda.”
Beliau (Ibnu Mas’ud) berkata, “Itu adalah perbuatan syaitan yang menggerakkan dengan tangannya, apabila engkau dijampi dengannya, maka halanglah. Sesungguhnya cukup bagimu dengan mengucapkan sebagaimana yang diucapkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:
“Hilangkanlah sakit ini wahai Tuhan seluruh manusia, sembuhkanlah, Engkau Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan kesakitan.”.” (Hadis Riwayat Ahmad, 6/110, no. 3615. Abu Daud, 10/386, no. 3385. Dinilai sahih oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Tiwalah adalah sesuatu yang dibuat bagi menjadikan seorang seorang lelaki tertentu rasa jatuh cinta kepada seorang wanita, atau seorang wanita akan tertarik kepada seorang lelaki.
Dalam kalangan masyarakat Melayu hari ini mungkin ia lebih dikenali antaranya sebagai minyak dagu, minyak pengasih, minyak penunduk raja, dan ilmu pengasih asap rokok.
Termasuk di dalam bentuk-bentuk alat penangkal lainnya yang popular dalam kalangan masyarakat hari ini adalah seperti susuk, gelang-gelang kesihatan, tuah batu keramat, ibu serai, khadam ayat, batu serai, ibu duit, wafaq, kayu kokka, dan batu petir.
Adapun jampi (atau ruqyah), maka ia terbahagi kepada beberapa keadaan. Dan jampi (ruqyah) yang dibenarkan adalah apa yang diambil dari al-Qur’an atau al-hadis berdasarkan tunjuk-ajar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan para sahabatnya. Termasuk ruqyah yang dibenarkan adalah apa jua doa secara umum yang boleh difahami iaitu yang dimohonkan hanya kepada Allah Ta’ala selagi mana tidak mengandungi lafaz-lafaz yang syirik.
Setelah kita fahami perkara ini dengan jelas, maka tinggalkanlah apa-apa jua bentuk tangkal, azimat, jampi-serapah serta yang seumpamanya. Kerana ia tidak memberi sebarang manfaat melainkan kesesatan dan kesudahan yang buruk. Tiada sama sekali padanya kesaktian dan kebaikan, melainkan kebodohan dan kerugian dunia dan akhirat.
Mungkin ada yang beralasan bahawa ia adalah sebahagian dari bentuk-bentuk usaha dan ikhtiar. Sedangkan bagi yang memahami perkara ini dengan baik, kita pasti akan mengatakan bahawa usaha dan ikhtiar itu sendiri perlu dilaksanakan dengan kaedah yang benar, dan bukan dengan jalan yang bathil.
Kerana setiap usaha dan ikhtiar di atas jalan kebathilan, maka ia akan tetap bathil dan tidak dinamakan sebagai usaha. Demikianlah dengan orang yang berusaha mendapatkan wang, tetapi mengusahakan (atau berikhtiar) dengan jalan yang haram seperti mencuri, merompak atau berjudi, maka ia akan tetap tidak dianggap sebagai usaha dan ikhtiar yang benar.
Bahaya Syirik
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Sesungguhnya syirik itu adalah kezaliman yang paling besar.” (Surah Luqman, 31: 13)
“Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.” (Surah al-An’am, 6: 88)
“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mensyirikkan-Nya, dan Allah mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Segsiapa yang mensyirikkan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.” (Surah an-Nisaa, 4: 116)
Allah tidak menerima apa jua bentuk amal daripada pelaku syirik. Bahkan amal-amal mereka seperti debu yang berterbangan. Di akhirat, doanya tidak diterima, dan dia tidak dimaafkan. Ini sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (maksudnya):
“Dan kami nilai segala amal yang mereka usahakan, lalu kami jadikan amal itu (seperti) debu yang berterbangan.” (Surah al-Furqon, 25: 23)
والسلام
0 ulasan:
Catat Ulasan