بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري
وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي
صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam.
Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera
ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan
Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari
kemudian. A'mma ba'du.
Pertama sekali saya ucapkan ribuan terima kasih kepada
Saudara Ibrahim kerana bertanya hal sensitif ini. Seperti selalu, saya mahu
maklumkan bahawa saya kurang gemar menjawab persoalan sensitif disebabkan
maudhu’ jawaban saya nanti akan bertentangan dengan arus perdana. Dan
kerananya, saya telah hadapi bermacam fitnah dan tuduhan hampir seumur hidup.
Susah benar rupanya untuk berkata benar ditengah masyarakat kita yang begitu
menebal kepercayaan tahyul, mistik, bid’ah dan khurafat.
Alhamdulillah, saya mendapat respons amat baik dari
para jamaah dan pembaca dalam artikel yang pertama minggu lepas. Ada yang
meminta dengan segera artikel siri 2, akan tetapi, hanya minggu ini saya poskan
kerana sememangnya saya menetapkan artikel hanya seminggu sekali. Disertakan
sambungan artikel ini siri 2. Semoga kita bersama mendapat manfaat darinya.
InsyaAllah.
Sambungan
Allah Swt. telah menceritakan mengenai makhluk disebut
Qarin ini menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Kabiir :
“51. Berkatalah salah seorang daipada mereka (ahli
syurga) : Sesungguhnya aku dahulu di dunia mempunyai seorang teman”. 52. Yang
berkata : Apakah kamu sungguh-sungguh termasuk orang-orang yang membenarkan
hari berbangkit?. 53. “Apakah bila kita telah mati dan kita telah menjadi tanah
dan tulang belulang, adakah kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi
pembalasan?”. 54. Berkata pulalah ia “mahukah kamu meninjau temanku itu?”. 55.
Maka ia meninjaunya, maka dia melihat temannya itu di tengah-tengah neraka
menyala-nyala. 56. Ia berkata pula : Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar
hampir mencelakakanku”.
Surah As Saaffah (37) : ayat 51-56
Siapa yang dimaksudkan “teman” itu dijelaskan oleh
Allah Swt. di dalam ayat dibawah :
“Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang
Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka
syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya”.
Surah Az Zukhruf (43) : ayat 36
Berkenaan Qarin ini juga, di dalam sebuah hadis,
“Nabi Muhammad Saw. bersabda kepada Abdullah bin
Mas’ud rhu. : Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin dan juga Qarin daripada
bangsa Malaikat. Mereka (sahabat) bertanya : Engkau juga Ya Rasulullah. Sabda
Baginda : Ya, aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu
dapat kuIslamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja”.
Hadis sahih riwayat imam Ahmad rh. dan Imam Muslim rh.
Di dalam suatu hadis lain ;
“Daripada Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar Rha., beliau menceritakan
bahawa pada suatu malam Rasulullah Saw. keluar dari rumahnya (Aisyah). Aisyah
berkata : Aku merasa cemburu. Tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya :
Wahai Aisyah, apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?. Aku berkata : Bagaimana
aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah. Sabda Baginda :
Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitanmu?. Aku bertanya : Apakah aku ada
syaitan?. Sabda Baginda : Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin. Aku bertanya
lagi : Adakah engkau pun ada syaitan, ya Rasulullah?. Jawab Baginda : Ya,
tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam”.
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.
Orang yang berada dalam keadaan menurun sebenarnya
adalah orang yang redha dirinya diresapi oleh makhluk-makhluk halus atau Qarin
ini. Dan Qarin ini pula akan meresapi tubuh orang yang redha, menyerunya dan
sedia menjadi temannya. Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan
serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia
sendiri sebagai Qarin. Oleh kerana dia sendiri yang menyerujemput makluk halus
tersebut, maka dia akan mendapatlah apa yang dimahukan itu. Ini dijelaskan oleh
Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Hakiim :
“Barang siapa yang mengambil syaitan itu menjadi
temannya, maka syaitan itu adalah teman seburuk-buruknya”.
Surah An Nisaa’ (4) : ayat 38
Maka itu, jawaban paling jelas dan tepat ke atas
persoalan tuan adalah, amalan menurun ini bukan datangnya dari ajaran
Islam dan inilah aqidah yang saya pegangi.
Amalan ini bukan merupakan amalan atau sunnah
Rasulullah Saw., bukan juga perbuatan para Khulafa ur Rasyidiin, para tabiin,
tabiut tabiin atau ulama salaf. Pra syarat untuk mematuhi ajaran Islam dan
menjauhi segala larangan itu ini yang menempelkannya sebagai Islam sebenarnya
tidak perlu pun dimasukkan dalam amalan menurun ini.
Penggunaan kalimah dan sebutan Islam (yang telah disebutkan)
merupakan sesuatu perkara yang wajib dilakukan oleh setiap orang Islam, bukan
hanya untuk membuat amalan menurun, tetapi amalan setiap masa. Terbukti bahawa
orang yang mengamalkan dan mempercayai amalan menurun ini, sekiranya tidak
patuh kepada ajaran suci Islam seperti tidak solat dan puasa serta melakukannya
untuk menonjolkan diri, tetap juga berupaya melakukan dan memperolehi sesuatu
seperti yang dihajati, sama juga seperti mereka yang patuh pada syarat-syarat
yang dikenakan.
Kalaulah amalan ini merupakan satu cabang ilmu yang
memberi manfaat, kenapa tidak dihantar sahaja mereka yang mempelajarinya ke
mana-mana negara untuk berperang atau bertempur dengan mereka yang sedang
memusuhi dan memerangi ummat Islam. Andainya amalan ini sesuatu yang hakiki
dalam ajaran Islam, barang tentunya Rasulullah Saw. ada mengajarkannya kepada
para sahabat ataupun tabiin yang terkemudian daripadanya dan mereka pun ada
membuatnya.
Dikesempatan ini ingin saya nyatakan : orang yang
menurun dan golongan yang mempercayai amalan menurun ini, sama ada sedar atau
tidak sedar telah memohon perlindungan kepada makhluk selain Allah Swt. untuk
melakukan sesuatu tujuan seperti yang dihajatkan. Orang yang seperti ini,
adalah golongan yang ingkar serta berpaling daripada ketentuan Allah Swt. dalam
menghadapi sesuatu keadaan. Sesungguhnya Allah Swt. telah berpesan supaya
mengerjakan solat dan bersabar dalam menghadapi musibah sepertimana firmanNya
di dalam Al Qur’an ul Kariim :
“Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan
(kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang
yang sabar”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 153
Setelah menyampaikan penjelasan mengenai perintah
bersyukur, Allah Swt. pun menjelaskan makna sabar dan bimbingan untuk memohon pertolongan
melalui kesabaran dan solat. Kerana seseorang hamba itu adakalanya ia mendapat
nikmat dan mensyukurinya atau ditimpa bencana kemudian bersabar atasnya.
Rasulullah Saw. menjelaskan dalam sebuah hadis :
“Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin itu, Allah
tidak menentukan sesuatu hal melainkan kebaikan baginya. Jika mendapatkan
kebahagiaan, ia lalu bersyukur, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Dan
jika mendapatkan kesusahan, lalu ia bersabar, maka yang demikian itu adalah
baik baginya”.
Hadis riwayat imam Ahmad rh.
Allah Swt. juga menerangkan bahawa sebaik-baik saranan
yang dapat membantu dalam menjalani berbagai musibah adalah kesabaran dan solat
sepertimana firman Allah Swt. :
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar
dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang
yang khusyuk”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 45
Kesabaran itu ada dua macam. Pertama, sabar dalam
meninggalkan berbagai hal yang diharamkan dan perbuatan dosa. Kedua, sabar
dalam berbuat ketaaan dan mendekatkan diri kepada Allah Swt. Jenis yang kedua
ini lebih besar pahalanya dan inilah yang dimaksudkan. Ada juga kesabaran jenis
ketiga, yaitu kesabaan dalam menerima dan menghadapi berbagai musibah dan
cubaan. Yang demikian itupun wajib, seperti istighfar dari berbagai aib.
Sebagaimana dikemukakan oleh Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengenai dua pintu
kesabaran, yaitu kesabaran dalam menjalankan hal-hal yang disukai oleh Allah
Swt. meskipun terasa amat berat bagi jiwa dan raga. Dan kedua, sabar dalam
menghindarkan diri dari hal-hal yang dibenci oleh Allah Swt. meskipun sangat
diinginkan oleh hawa nafsu. Jika seseorang telah melakukan hal itu, maka ia
benar-benar termasuk orang-orang yang sabar yang InsyaAllah akan beroleh
keselamatan.
Tafsir ul Qur’an ul Adziim, Imam Ibnu Katsir rh. Jilid
1, halaman 303-304
Sesungguhnya hanya Allah Swt. yang mempunyai sifat
qudrah, yang berkuasa memberi perlindungan dan kebaikan. Apabila seseorang itu
menyeru makhluk-makhluk halus untuk tujuan pertolongan, perlindungan dan
sebagainya, orang yang berkenaan telah menyamakan, atau mensyirikkan qudrah
Allah yang Maha Esa dengan sesuatu yang baru. Inilah perbuatan syirik, orang
yang terlibat dinamakan "musyrik" iaitu orang yang menyekutukan Allah
dengan sesuatu. Dosa syirik tidak diampuni oleh Allah Swt. kecuali dengan bertaubat
nasuha dan bersyahadah semula.
Orang yang 'menurun' berada dalam keadaan tidak
sedarkan diri atau separa sedar. Dalam keadaan apa sekalipun, tahap kesedaran
diri ketika itu berada dalam keadaan begitu minimum. Ini merupakan kelalaian nyata
yaitu melupakan Allah Swt. dengan segala pergerakan dikuasai oleh makhluk yang
meresap. Individu berkenaan ketika itu hanyalah merupakan bahan atau objek bagi
makhluk yang meresap itu melakukan sesuatu seperti yang dihajati. Atas
pemahaman seperti ini, apabila seseorang itu memohon pertolongan kepada orang
yang berada dalam keadaan 'menurun', ia sebenarnya telah memohon pertolongan
kepada makhluk yang menguasai diri manusia ketika itu, iaitu jin atau jin-jin,
yang juga iblis dan syaitan.
Dalam suasana apa pun, saya bepesan kepada semua dan
kepada diri saya sendiri, ingatlah sungguh-sungguh akan pesanan Allah Swt. di
dalam Al Qur’an ul Haliim :
“124. Dan barangsiapa berpaling daripada peringatanKu,
maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkannya
pada hari qiyamat dalam keadaan buta. 125. Berkatalah ia : Wahai Tuhanku,
mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya
seorang yang melihat?. 126. Allah berfirman : Demikianlah, telah datang
kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari
ini kamu pun dilupakan. 127. Dan demikianlah Kami membalas kepada orang yang
melampau batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya
azab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal”.
Surah Tahaa (20) : ayat 124-127
Kepada semua tekong, pendokong, pemuja dan pengekor
amalan menurun ini, baik sekali difahami dan dihayati, diucapkan dengan kalam
sehingga menusuk ke lubuk hati, akan kalamullah ini :
“Wahai Pencipta kami, kami telah menganiaya diri kami
sendiri, dan jika engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami,
nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi”
Surah Al A’raaf (7) : ayat 23
والله اعلم
Setakat inilah yang mampu saya
nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah
Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
5 ulasan:
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Moga Ustaz Mad dan semua rakan Jamaah dalam suasana tenang, dalam rahmah dan restu Allah SWT sentiasa.
Saya nak ucapkan terima kasih atas artikel ini. Memang memberi manfaat dan banyak memberitahu hal yang dulu tak tahu. Berkenaan tanggapan dan fitnah orang sekeliling tu, harap Tn Hj bersabar dan teruskanlah berda'wah. InsyaAllah, yang benar akan terserlah jua suatu ketika nanti. Saya ulang balik apa yang disebut oleh ustaz tadi, bersabar dan solat.
Sedikit pertanyaan, pernah terjadi perbincangan dengan rakan-rakan, yang akhirnya merumuskan bahawa tak dapat kata putus sebenar sama ada menurun ini dibenarkan oleh Islam atau tidak. Cuma sekarang saya dah clear. Tetapi ramai yang mengatakan boleh itu berdasarkan menurun ini turut diamalkan oleh orang-orang alim yang pastinya lebih arif tentang hukum hakamnya.
Saya mohon pandangan sedikit lagi.
Sekian
Wa'alaika,
Saya hanya orang biasa-biasa, yang selamanya tetap sebagai penuntut ilmu tanpa henti. Saya menulis ini pun bagi menjawab soalan dan kemusykilan dikalangan rakan-rakan agar adanya perkongsian ilmiah dan demi mendapat manfaat bersama. Tidak lari jua saya ini dari salah dan silap. Apa pun, terima kasih atas maklumbalas dan peringatan puan. Respons lanjut memang sangat saya hargai.
Kurang perlu rasanya saya menjawab pertanyaaan puan lagi, kerana jawabannya telah terangkum dalam penulisan saya terdahulu. Ia sekadar pengulangan apa yang telah saya nyatakan.
Sebagai tambahan, yang belum saya masukkan ke dalam artikel terdahulu, kepada golongan yang mempercayai dan amalkan ritual menurun ini, ingin saya mohon penjelasan ke atas beberapa persoalan :
1. Bolehkah dibuktikan secara nyata dan empirical bahawa makhluk Allah Swt. yang memasuki badan orang menurun itu benar-benar roh para auliyaa’ seperti yang didakwa. Atau sekadar makhluk ghaib lain yang mengaku sebagai Tok Syeikh, Tok Wali, orang Alim, orang sufi, orang zuhud dan berbagai lagi.
2. Apa terjadi kepada roh tuan punya diri sewaktu jasadnya dimasuki oleh makhluk lain tersebut. Kemana dia pergi dan berada. Apa dia buat pada masa itu.
3. Sekiranya berlakulah kematian tuan punya diri semasa proses situ, apa statusnya dalam hukum syara’.
4. Sekiranya berlaku perkataan mahupun perbuatan melanggar hukum dan peraturan syara’ ataupun hukum ta’zir semasa ritual menurun itu, pihak manakah yang akan menanggung dosa, menanggung hukum dunia dan akhirat.
Saya memerlukan jawaban berdasarkan dalil syara’ yang qat’ie.
Wassalam.
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Buat semua jemaah yang mengikuti perbincangan ilmiah kita,saya harap kalian semua berada dalah keadaan sihat wal afiat .tujuan saya membalas e mail ini adalah untuk menyatakan ucapan terima kasih saya kepada
ustaz mad yang menulis artikal yang sungguh bermenefaat ini.dan tidak dapat dinafikan sebahagian besat umat melayu mungkin masih keliru dengan isu ini.dan saya sendiri pun kurang faham sehingga
artikal yang sensasi ini dibentangkan.barulah terasa yang kebanyakan umat melayu memang cenderung pada amalan tersebut mungkin kerana kurang faham.alhamdulilah kini baru saya faham significant dan senonimnya senario menurun ini kerana .ada pihak yang menyatakan mendapat ilmu ini menerusi mimpi atau pun dari keturunan.maka teranglah yang ianya adalah sebahagian dari amalan nenek moyang kita yang terpesong akibat kurang ilmu.dan ianya sama sekali tidak ada kena memgena dengan ajaran
islam.
Shabas saya ucapkan dan teruskanlah menulis untuk berkongsi maklumat.
wassalam
Warmest Regards
" Knight Malaysia "
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Salaam semua,
Saya turut nak merakamkan ribuan terima kasih atas kiriman artikel lengkap dan ilmiah ini. Banyak memberi pengetahuan dan cerita sebenar. Cuma memang ia terbalik daripada pemahaman biasa dalam masyarakat kita ni. Namun, Islam adalah agama suci dan begitulah faktanya menurut Islam.
Mohon keizinan untuk dimajukan kepada rakan-rakan yang lain, bagi perkongsian ilmu.
Terima kasih sekali lagi. Sekian
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Terima kasih atas maklumbalas tuan-tuan. Keizinan diberikan untuk dimajukan artikel ini kepada rakan-rakan lain. Sampaikanlah ilmu Allah Swt. dan rasulNya ini kemana-mana pun. Hakcipta tak terpelihara. Cuma, pastikan ia sentiasa sama dengan ayat-ayat asal, saya hanya bertanggungjawab penuh ke atas karangan sendiri sahaja. Dan tidak boleh sama sekali digunakan untuk mendapat untung dan komersial.
Seterusnya, saya nak mohon penjelasan lagi ke atas beberapa persoalan :
1. Benarkah roh para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini mahukan asap dan bau kemenyan dan persembahan pulut kuning, ayam panggang, bertih, telor dll. untuk dimakan, kemudian barulah boleh datang.
2. Benarkah roh para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini menjadi tok nujum dan tukang tilik masa depan, hari bagus tak bagus, untung sial nasib orang : perbuatan yang jelas syirik kepada Allah Swt.
3. Adalah fitnah amat berat bahawa para auliyaa’ dan aqrab dengan Allah Swt. ini melakukan perbuatan syirik, maka siapakah yang datang meresap sebenarnya.
Saya memerlukan jawaban berdasarkan dalil syara’ yang qat’ie.
Wassalam.
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
Catat Ulasan