Sabtu, 22 Oktober 2011

Warna-warni Sejarah

0 ulasan


Soalan : Siapa Pejuang Kemerdekaan.
Daripada : Izahani 

Salam sejahtera untuk Ustaz Mad, selamat menyambut Aidil Fitri dengan baik dan moga dipenuhi berkah.

Hal ini telah dibangkitkan oleh seorang ahli politik dan heboh sekarang ni. Bermacam pendapat dan perspektif yang didengari. Dah jadi isu besar pun terutamanya dikalangan ahli politik dan pihak-pihak yang sama waktu dengan mereka. Ada juga kami berbincang dan cakap-cakap hal ini, tapi tak ada juga hasilnya kerana kami pun bukannya belajar sejarah banyak sangat. Setakat di sekolah saja. Yang paling pelik, kenapa hal sebegini dibangkitkan kepada masyarakat dan menyebabkan kekecohan. Tak bolehkah hal fakta sebegini diputuskan secara ilmiah. Bukankah itu cara yang lebih baik.


Saya ada mendengar ucapan tersebut menerusi youtube, dan berpendapat ia ucapan biasa dan tidaklah menyokong komunis tetapi lebih membangkitkan persoalan tentang takrifan serta bentuk penghargaan kepada para pejuang kemerdekaan yang datang dari berbagai golongan. Lantas yang menjadi persoalan besar adalah, adakah apa-apa yang tak kena dengan fakta sejarah itu sendiri. Apa yang dilihat sekarang, masing-masing pihak membuat tafsiran sendiri-sendiri dan disokong pula oleh ramai puak masing-masing. Dari perbincangan kami, nampaknya pemahaman tentang sejarah ini pun bermacam-macam fahaman.


Saya dapati juga, banyak yang diperkatakan itu tak diajar pun di sekolah dahulu dan sekarang pun sejarah dah langsung tak diajar disekolah. Ini pun pelik juga, sejarah sendiri pun tak diajar. Kenapalah terjadi begini sehingga rakyat sendiri pun tak tahu sejarah negara? Sebagai rakyat biasa, saya suka mendapat gambaran sejarah yang tepat dan mengambil manfaat darinya, bukannya berdasarkan perspektif orang politik yang tentu sekali penuh kepentingan.


Dipohon Ustaz Mad memberi ulasan sedikit dalam hal ini. Saya tahu juga ustaz bukan bidang sejarah, tapi berilah sedikit pandangan, bagi tujuan ilmiah dan kefahaman bersama dalam memahami isu ini. InsyaAllah.


Wassalam.



Maklumbalas


بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و


Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.


Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menyambut I’edul Fitr kepada Puan, semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Permintaan saya terima menerusi email dan ada yang membuat panggilan, juga berpesan supaya membuat sedikit maklumbalas. Kerana itu saya pun menulis artikel maklumbalas ini bagi "memenuhi permintaan". Sekadar itulah hasrat saya. Buat kesekian kali saya sebutkan lagi, saya kurang gemar memberikan ulasan ke atas isu-isu semasa kerana tidak mahu terlibat dengan sensasi, kontroversi dan kekecohan. Amat memeningkan apabila terlibat dengannya.


Maaf kerana lambat memberikan maklumbalas lantaran kekangan masa. Artikel ini saya hasilkan dalam situasi berkelana, maka akan banyak kekurangan kerana tiada bahan rujukan dan kurang tumpuan. Benar-benar bergantung kepada ingatan saya. Kerana itu, saya mohon maaf aas segala kesilapan ayat dan fakta. Saya juga ikuti isu ini dan mendengar ceramah itu menerusi youtube, sama seperti Puan juga atas niyat nak tahu apa yang sebenarnya. Malah pendapat saya pun hampir sama dan serupa dengan Puan juga selepas itu. Sejarah bukan bidang saya, kurang layak saya bercakap banyak, cuma begini :


Secara jelas saya berpendirian bahawa isu ini amat kecil sebenarnya tetapi diperbesar-besarkan oleh kumpulan-kumpulan yang ada kepentingan tersendiri. Lalu dikaitkan pula dengan hal itu ini, digembar-gemburkan dan disensasikan oleh pelbagai pihak sehingga menjadikan isu paling utama sekali  dikesampingkan manakala hal-hal yang dulunya tidak terlibat, kini dilibatkan dan menjadi hal utama pula.


Walhal, sudah puluhan tahun penafsiran dan persepsi ke atas peristiwa atau dokumentasi sejarah memang menjadi polemic dan perbahasan tanpa ada kesudahan. Seperti selalunya yang berlaku dalam masyarakat kita ini, sekiranya hal pelik dan kontradik disebutkan oleh para sarjana itu dianggap sebagai penemuan ilmiyah, jika disebut oleh orang-orang biasa ia dianggap sasau atau sesat, sekiranya dilafazkan oleh para alim dikatakan mendapat ilham cuma, apabila mereka-mereka ini menyebutkannya, tidaklah ia menimbulkan kekecohan sangat berbanding jika disebut oleh politikus, pasti gegak gempitalah seantero Malaya. Memang kita terlalu sensitif dengan politik dan politikus.


Lebih tepat saya mahu mengatakan bahawa, isu paling besar dalam hal ini adalah :

1. Ketepatan fakta sejarah yang tercatat

2. Penafsiran terhadap sejarah itu

3. Persepsi ke atas galuran peristiwa itu, dan

4. Penerimaan individu atau sekumpulan manusia yang tak mungkin sama dengan individu atau sekumpulan manusia lain.


Sama ada suka atau tidak suka, mesti kita terima hakikat bahawa penerimaan, penafsiran dan persepsi ke atas sesuatu peristiwa masa lalu memang sukar disepakati diantara sesama manusia. Masing-masing akan menganalisa seterusnya memutuskan pendirian ke atas sesuatu fakta peristiwa berdasarkan perspektif dan paradigma mereka tersendiri. Malah lebih teruk lagi, kadangkala setiap pihak mempunyai versi cerita masing-masing seterusnya menjadikan kontradiksi itu terus berpanjangan dan tiada titik temu. Maka, berterusanlah “para enau menjulurkan pucuk masing-masing”.  


Baik sekali kita sama-sama ulang sorot hal paling asas supaya maklumbalas lanjut nanti tidak terkeluar dari landasannya yaitu : Sejarah mempunyai beberapa makna, yang antaranya : dari sudut bahasa


Bahasa Arab : perkataan Syajaratun yang bermaksud pohon (pokok), salasilah/keturunan, asal usul. Dalam Bahasa Arab, ilmu sejarah juga disebut sirah, tawarikh atau tarikh.

Bahasa Yunani : perkataan Histories yang bermaksud pengkajian atau/dan penyelidikan tentang peristiwa masa lalu yang telah berlaku


Definisi umum secara praktikal : catatan dan/atau dokumentasi peristiwa/cerita/kisah masa lalu yang membicarakan tentang perilaku individu dan masyarakat manusia serta perubahan yang berlaku dalam peradaban dan kemasyarakatan manusia. Pengkisahan tentang tindakan individu atau sekelompok manusia melakukan sesuatu, sebab-sebab melakukannya, perincian perbuatannya serta kesan-kesan dari perlakuannya. Pengkajian, penyelidikan, pencatatan dan pendokumentasian ke atas peristiwa masa lalu inilah dipanggil Ilmu Sejarah.


Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan Sejarah sebagai berikut :

A.    Asal usul, keturunan, salasilah, peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu yang lampau

B.    Kajian atau pengetahuan mengenai peristiwa yang telah berlaku pada masa lalu


Demikianlah definisi/makna sejarah paling ringkas yang mampu saya berikan memandangkan Ilmu Sejarah bukan bidang saya. Boleh dirujuk kepada sarjana bidang sejarah sendiri bagi mendapatkan kupasan definisi yang lebih tepat dan berwibawa. Ilmu sejarah mempunyai beberapa manfaat dan kepentingan yang antaranya :


Sosio-ekonomi : memberikan teladan dan panduan untuk membuat perubahan ke tahap lebih baik berdasarkan rentetan perubahan peradaban terdahulu.

Sosio-politik : memberikan petunjuk dan pedoman dalam pentadbiran dan sistem pemerintahan dan pengagihan nilai dalam masyarakat

Kekuatan individu : melatih dan memahirkan individu untuk kritis dalam membuat penilaian fakta, kemahiran berfikir seterusnya berupaya menerapkan nilai murni dalam diri dan kehidupan (membuang yang keruh, mengambil yang jernih)

Kepentingan negara dan kebangsaan : mempertingkatkan rasa jatidiri, membentuk kedaulatan, berbangga dan menghargai keupayaan yang ada serta menaikkan semangat patriotisme dikalangan rakyat


Dalam kata lain, ilmu sejarah amat bermanfaat sebagai panduan dan pedoman untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik berbanding dahulu berdasarkan fakta-fakta yang tepat dan berwibawa. Itulah maqasid ilmu sejarah, bukannya sama sekali bertujuan supaya kita-kita ini terus bergaduh dan tuduh menuduh sesama sendiri, terikut-ikut dengan kisah yang tercatat dalam sejarah itu. Paling tepatnya maksud saya adalah, mengajar kita supaya membuang yang keruh dan apa-apa yang tidak kena padanya bukannya meneruskan apa yang tak kena itu atau mensensasikannya pula mengikut tafsiran sendiri.


Saya setuju dengan Puan bahawa subjek Sejarah sudah tidak diajar lagi di sekolah. Maka, jadilah Malaya ini satu-satunya negara dalam dunia ini yang warganya tidak diajar asal usul sendiri. Tidak hairanlah ramai kita telah hilang patriotic dan jatidiri : tak ambil kisah hakikat bahawa jutaan PATI sedang menjarah negara dan, berapa ramai yang kenan Mat Salih dalam segala segi malah lebih sudu dari kuah pun. Pelik tapi benar.


Bukan setakat itu sahaja, fakta-fakta yang terkandung dalam buku-buku sejarah itu pun dipenuhi fakta diragui lantaran ia bikinan para orientalis yang telah pun meletakkan persepsi dan perspektif mereka serta menunjukkan bahawa mereka sahaja yang betul. Begitulah apa yang ada dalam buku sejarah kita. Malah buku Sejarah Islam yang diajar di sekolah kita dahulu pun hasil karangan orientalis RO Winstedt dan Snouqe Hongrunje.  Walhal para sarjana Islam sendiri ada menghasilkannya seperti Imam At Thabari, Imam Khatib Al Baghdadi, Imam Ibnu Katsir, Imam As Suyuthi, Imam Adz Dzahabi dll. tapi tak pernah diberitahu pun.  


Sikap paling teruk dalam menafsirkan fakta sejarah adalah kecenderungan untuk berpihak (bias) seterusnya memanipulasi segala fakta itu mengikut tafsiran dan kepentingan sendiri. Amat malang sekali, jika inilah rupa penafsiran yang diberikan ke atas para pejuang kemerdekaan negara yang telah mengorbankan segala kepentingan diri malah ada yang dibunuh dan difitnah seluruh hidupnya.


Suka atau tidak, mesti kita akui bahawa para pejuang ini terdiri dari berbagai bentuk dengan ideology, manhaj, cara dan perwatakan masing-masing. Kalaupun berbeza cara, matlamat asasnya tetap juga sama (Nota : senghaja saya tidak menyebut terperinci kisah yang panjang ini). Inilah prinsip paling asas yang mesti diperakui dan diputuskan terlebih dahulu, sebelum sebegitu mudah kita-kita ini menjaja sana sini hal buruk baik orang yang telah mati.


Satu lagi hal lagi yang ingin saya sebutkan adalah sikap mudah menghukum yang berlaku di kalangan kita. Sejak bila pula kita-kita ini yang sedang menikmati segala kesenangan dari susah payah dan jerih perih perjuangan mereka terdahulu diberi hak untuk menjadi hakim ke atas apa yang mereka lakukan. Wajarkah kita yang hanya mendengar fakta hearsay dan membaca fakta-fakta diragui keasliannya itu meletakkan nilai kita sendiri terhadap segala tingkahlaku dan perbuatan mereka. Pasti juga mereka adalah manusia yang tentunya tidak lari dari salah dan silap, penuh dengan warna hitam putih (sama jua seperti kita). Namun untuk kita menjadi hakim dan menafsirkan perbuatan mereka sesedap rasa, tak patut sama sekali.


Baik sekali saya catatkan sedikit sejarah lama untuk menyegarkan minda kita :

1.    Pertempuran Siffin antara tentera Amirul Mukminin Ali Kmwj. dan tentera Muawiyah rhu. yang sebahagian besarnya adalah manusia Rodiallahu’anhu di kedua belah pihak.

2.    Pertembungan menumpah darah antara Hang Tuah dan Hang Jebat
3.  Ada lagi yang tidak saya sebutkan disini 


Adakah di kalangan kita ini yang diberi hak menjadi hakim untuk memutuskan siapa benar dan siapa salah? Atau kita ambil jalan mudah sahaja menjadi khawarij dan menghalalkan darah kesemua sekali?


Begitu juga, kenapa lidah kita sebegitu lancang mengistilahkan manusia yang membantu penentang British sebagai “tali barut”. Lantas, kenapa pula kita terkunci mulut untuk mengungkapkan yang sama kepada para pembantu British mengekalkan penjajahan mereka di negara kita dulu malah turut menekan anak bangsa sendiri. Maka, beginikah cara kita menilai dan menghukum orang-orang terdahulu dari kita ini? Fakta utama yang mahu saya nyatakan disini adalah, penilaian mestilah adil dan saksama dalam memberikan makna dan penfasiran kepada sejarah, bukannya mengikut fahaman sendiri sahaja sehingga sebegitu mudah menghitam putihkan sesuatu pihak.


Kepada pihak-pihak yang sedang tuding-menuding saling membuta sejarahkan sesama sendiri tu, ingin saya maklumkan bahawa semua kita-kita ini tetap buta dan dibutakan selagi mana catatan buku sejarah kita masih tertulis bahawa manusia yang meruntuhkan Khalifah Islam Othmaniyah diagung sebagai Bapa Pemodenan Turki, Stamford Raffles yang membuka Singapura, Francis Light yang membuka Pulau Pinang, juga selagi mana George Town dan Butterworth tidak bertukar kepada Tanjong dan Bagan. Ini hanyalah sebahagian kecil kekeliruan fakta yang diajar kepada kita, yang dapat saya nyatakan dalam artikel ringkas ini. Beginilah rupa paras fakta sejarah yang dihidangkan kepada kita dan secara tanpa soal pula kita hadam bulat-bulat. Maka itu, baik sekali kiranya pihak-pihak terlibat itu memeriksa keotentikan dan ketepatan fakta yang dipegangi terlebih dahulu, sebelum terlalu mudah membuta sejarahkan orang lain. Khuatir nanti “ketuk dulang paku serpih”. Menuding jari ke diri sendiri itu lebih baik.


Akhiirul kalaam, sebaiknya polemic berkenaan sejarah ini diselesaikan secara ilmiah, tenang dan insaf diri oleh tokoh terpercaya, ilmuwan dan sejarawan. Banyak perkara asas yang mesti disepakati terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. Bukannya keputusan sahaja yang ada, digembar-gemburkan dan disensasikan mengikut perspektif kelompok masing-masing sedangkan susur galur fakta hanya mengikut sedap sendiri. Saya sebutkan begini kerana, yang paling penting adalah kebenaran dan keadilan ditegakkan. Apa pun, sekalung tahniah saya ucapkan, politikus yang mula membangkitkan hal ini memang telah berjaya mendapatkan popularity dan sensasi, senjata utama dalam berpolitik.


والله اعلم


Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.


سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam


0 ulasan: