Thursday, August 18, 2011

Bulan Al-qur'an dan Sahur Yang Barokah

2 comments
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
 وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي  رب إشرح لي صدري و
 
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
 
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Saya masih menulis semula artikel berdasarkan siri kuliah/tazkirah sepanjang Ramadhan ini, namun tidak dapat disiapkan sehingga kini atas beberapa kekangan. Oleh itu, pada kali ini saya sertakan artikel kuliah yang telah dibuat oleh sahabat saya Akhi Abu Numair An Nawawi untuk manfaat ilmiah kita bersama. Siaran ini diperbuat dengan kebenaran beliau sendiri. Artikel saya sendiri akan menyusul setelah disiapkan nanti, InsyaAllah.
 
Ramadhan Bulan Al Qur’an
 
Allah Swt. telah memuliakan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkannya al-Qur’an al-‘Adzim. Keistimewaan ini diberikan oleh Allah kepada bulan Ramadhan sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya:
 
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ
 
“...Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 185
 
Begitu juga sebagaimana dinyatakan di dalam hadis Rasulullah Saw. bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan di mana Kitab-kitab Ilaahiyah diturunkan kepada para Nabi ‘alaihimussalatu was Salam. (Tafsir Ibnu Katsir, Jilid 1, halaman 501)
 
Rasulullah Saw. bersabda:
 
أُنْزِلَتْ صُحُفُ إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ فِي أَوَّلِ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَتِ التَّوْرَاةُ لِسِتٍّ مَضَيْنَ مِنْ رَمَضَانَ، وَالْإِنْجِيلُ لِثَلَاثَ عَشْرَةَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ، وَأُنْزِلَ الْقُرْقَانُ لِأَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ
 
“Suhuf (lembaran-lembaran) Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada tarikh enam Ramadhan, Injil diturunkan pada tarikh tiga belas Ramadhan, dan al-Qur’an diturunkan (nuzul al-Qur’an) pada tarikh dua puluh empat Ramadhan.”
Hadis Riwayat Ahmad, 28/191, no. 16984. Ath-Thabrani, 4/111, no. 3740. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Ahmad Muhammad Syakir. Manakala sebahagian lain ada yang mendhaifkannya.
 
Wallahu a’lam, melalui hadis ini juga diperjelaskan kepada kita bahawa al-Qur’an mula diturunkan pada hari (malam) ke dua puluh empat di bulan Ramadhan.
 
Allah Swt. menjelaskan lagi bahawa al-Qur’an diturunkan pada malam yang penuh kemuliaan dan kesejahteraan, iaitu malam al-Qadr. Malam yang penuh dengan kebaikan melebihi seribu bulan. Ini sebagaimana firman-Nya:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
 
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Tahukah kamu apa dia malam al-Qadr? Malam al-Qadr adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.”
Surah al-Qadr (97) : ayat 1-3
 
Allah menurunkan al-Qur’an kepada Rasul kita Muhammad Saw. demi untuk membimbing manusia. Turunnya al-Qur’an merupakan peristiwa besar yang sekaligus menyatakan tinggi kedudukannya bagi penghuni langit dan bumi. Turunnya al-Qur’an pertama kali jatuh pada Lailatul Qadr (malam al-Qadr) yang mana merupakan pemberitahuan kepada alam samawi yang dihuni oleh para malaikat berkaitan kemuliaan umat Muhammad. Allah memuliakan kita sebagai umat Muhammad pada hari ini dengan risalah barunya agar menjadi umat yang paling baik yang dikeluarkan bagi manusia.
 
Berdasarkan pengangan jumhur ulama, al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia di Baitul ‘Izzah untuk menunjukkan kepada para malaikat-Nya bahawa betapa agungnya persoalan al-Qur’an ini. Seterusnya al-Qur’an diturunkan kepada Nabi Saw. pertama kali pada malam itu juga. Kemudian secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun bersesuaian dengan peristiwa-peristiwa yang mengiringinya bermula dari beliau diutus sehinggalah wafatnya. Selama tiga belas tahun beliau tinggal di Makkah, dan selama itu jugalah wahyu turun kepadanya. Selepas hijrah, beliau tinggal di Madinah selama sepuluh tahun. Beliau wafat dalam usia enam puluh tiga tahun. Ini antaranya sebagaimana firman Allah Swt.:
وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيلا
 
“Dan al-Qur’an telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-perlahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bahagian demi bahagian.”
Surah al-Isra’ (17) : ayat 106
 
Turunnya al-Qur’an secara beransur-ansur amat berbeza dengan kitab-kitab yang turun sebelumnya, sangat mengejutkan orang, dan menimbulkan keraguan terhadapnya sebelum jelas bagi mereka rahsia hikmah Ilahi yang ada di balik itu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tidak menerima risalah besar ini dengan cara sekaligus, dan kaumnya yang sombong dan berhati keras turut dapat ditawan (dilunakkan) dengannya.
 
Antara hikmah wahyu ini turun secara beransur-ansur adalah demi menguatkan hati Rasul-Nya dan menjadikannya saling berkait dengan peristiwa serta kejadian-kejadian yang mengiringinya sehingga Allah menyempurnakan agama ini dan mencukupkan nikmat-Nya.
 
Tadarus al-Qur'an
 
Bertepatan dengan turunnya al-Qur’an di bulan Ramadhan, para ulama turut menamakan bulan ini sebagai bulan al-Qur’an. Bulan di mana umat Islam disunnahkan supaya menyibukkan diri dengan al-Qur’an. Iaitu menyibukkan diri dengan bertadarus atau mentadabburinya. Maksud tadarus di sini adalah merujuk kepada membaca, mengulangkaji, mengajar, atau menyemak bacaan al-Qur’an.
 
‘Abdullah B. ‘Abbas rhu. berkata:
 
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
 
“Rasulullah Saw. adalah orang yang paling dermawan. Beliau lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan di ketika Jibril ‘alaihis Salam datang menemui beliau. Jibril ahs. selalu mendatangi beliau pada setiap malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan al-Qur’an bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah Saw. lebih dermawan dari hembusan angin.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 1/7, no. 5
 
Di antara faedah yang dapat diambil dari hadis ini adalah sebagaimana kata Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):
 
واستحباب الأكثار من القراءة في رمضان وكونها أفضل من سائر الأذكار إذ لو كان الذكر أفضل أو مساويا لفعلاه
 
“Anjuran supaya memperbanyakkan bacaan al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Kerana membaca al-Qur’an itu lebih utama dari zikir-zikir selainnya. Sekiranya zikir itu lebih utama atau sama nilai keutamaannya tentu Malaikat Jibril dan Rasulullah telah melakukannya (pada bulan Ramadhan).” (Fathul Bari, 1/31)
 
Para ulama dari kalangan Salafus Soleh lebih banyak membaca al-Qur’an sama ada dalam solat atau di luar solat ketika bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan selainnya. Wallahu a’lam di sana ada beberapa riwayat yang menyebutkan tentang mereka di mana ada di antara mereka yang mengkhatam al-Qur’an setiap dua malam sekali pada bulan Ramadhan seperti al-Aswad, ada yang mengkhatam setiap minggu seperti Qotadah, dan ada pula yang mengkhatam setiap malam seperti Mujahid. Malah menurut ar-Rabi’ B. Sulaiman, Imam asy-Syafi’i mengkhatamkan al-Qur’an sebanyak 60 kali pada bulan Ramadhan. (Siyar A’lam an-Nubala’, 10/36)
 
Ketika era pemerintahan ‘Umar al-Khatthb rhu., Saa’ib B. Yazid menyatakan bahawa ‘Umar pernah memerintahkan ‘Ubai B. Ka’ab dan Tamim ad-Daari mengimami umat Islam solat tarawih dengan sebelas rakaat. Beliau menyatakan:
 
وَقَدْ كَانَ الْقَارِئُ يَقْرَأُ بِالْمِئِينَ حَتَّى كُنَّا نَعْتَمِدُ عَلَى الْعِصِيِّ مِنْ طُولِ الْقِيَامِ وَمَا كُنَّا نَنْصَرِفُ إِلَّا فِي فُرُوعِ الْفَجْرِ
 
“Pada ketika itu, seorang qari (imam) biasanya akan membaca ratusan ayat sehingga kami terpaksa bersandar kepada tongkat kami kerana terlalu lamanya berdiri. Kami bersurai (selesai solat) hanya ketika hampir-hampir masuk Subuh (fajar).”
Hadis Riwayat Malik, al-Muwaththa’, Jilid 1/341, no. 232. Dinilai sahih oleh al-Albani, Irwa’ al-Ghalil, 2/192
 
Demikian juga ketika zaman Rasulullah Saw. Sebagaimana diriwayatkan dalam Sunan at-Tirmidzi, Rasulullah pernah mengimami solat tarawih di bulan Ramadhan dengan bacaan al-Qur’an yang cukup panjang (atau banyak). Ia berlangsung satu malam suntuk sehingga para sahabat risau tidak sempat untuk bersahur. Dalam riwayat yang lain dinyatakan Rasulullah pernah mengimami solat tarawih dalam satu malam dengan membacakan surah al-Baqarah, Ali ‘Imran, an-Nisaa’, al-Ma’idah, dan al-An’am. (Rujuk: al-Albani, Sholatut Tarawih, m/s. 12)
 
Ini semua menunjukkan bahawa memperbanyakkan membaca al-Qur’an di bulan Ramadhan adalah salah satu sunnah Rasulullah Saw., para sahabat, dan para Salafus Soleh. Sunnah membaca ini bukan hanya sekadar membaca dan mengkhatamkan, tetapi perlu dengan penghayatan, kefahaman, tadabbur, serta mempelajarinya. Allah Swt. berfirman:
 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
 
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman (dengan sempurna) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”
Surah al-Anfaal (8) : ayat 2
 
Maka ambillah peluang ini dan getarkanlah hati-hati kita dengan al-Qur’an. Sekiranya di bulan-bulan yang lain kita sering sibuk sehingga lalai dari al-Qur’an, maka seharusnya di bulan Ramadhan ini kita peruntukkanlah ruang untuk perniagaan membeli akhirat. Ironinya apa yang kita lihat dalam kalangan masyarakat hari ini, bulan Ramadhan adalah bulan berpesta kain dan pakaian, pesta kuih dan juadah, pesta jualan dan perniagaan. Di mana slogan-slogan agama yang mengatakan Ramadhan adalah bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan sedekah, bulan yang penuh dengan ganjaran kebaikan, dan yang di dalamnya ada malam al-Qadr?

Beleklah al-Qur’an, beleklah tafsir-tafsirnya, kuatkanlah hati untuk ke masjid solat berjama’ah, sambutlah Ramadhan dengan keimanan dan mengharap pahala Allah Subhanahu wa Ta’ala, dan pohonlah keampunan kepada-Nya. Rasulullah Saw. bersabda:
 
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 1/67, no. 37)
 
Di ketika bulan Ramadhan, kita diperintahkan untuk berpuasa di siang hari dan berbuka di malam harinya. Selagi mana waktu masih malam, iaitu selagi belum masuknya Subuh, maka kita dibolehkan untuk makan, minum, dan menggauli isteri yang mana perkara ini diharamkan dilakukan di waktu siangnya. Ini adalah berdasarkan firman Allah Swt. (maksudnya):
 
أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَكُمْ وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَهُنَّ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنْكُمْ فَالآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ
 

“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan Ramadhan untuk bercampur dengan isteri-isteri kamu - mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu. Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar (masuknya waktu Subuh).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 187
 
Adalah menjadi sunnah Rasulullah Saw. di bulan Ramadhan sebelum memulakan puasa beliau bersahur dan melewatkannya di penghujung malam. Sahur adalah makan atau minum di penghujung waktu malam ketika hampir menjelang Subuh bertujuan untuk puasa. Atau lebih tepat lagi adalah akhir sepertiga malam sehingga terbitnya fajar (masuk waktu Subuh).
 
Sahur Penuh Barakah
 
Nabi Saw. bersabda:
 
السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ، فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ
 
“Makan ketika sahur itu barakah, maka janganlah kamu meninggalkannya sekalipun hanya dengan seteguk air. Kerana Allah ‘Azza wa Jalla dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang bersahur.”
Hadis riwayat Ahmad, Jilid 17/150, no. 11086. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth
 
Di antara bentuk barakah dari sahur adalah mampu memberikan tenaga, menguatkan semangat, dan meringankan beban bagi mereka yang berpuasa. Ini adalah hasil dari makanan dan minuman yang diambil ketika sahur. Kemudian, waktu sahur itu sendiri pula termasuk ke dalam waktu mustajab berdoa, waktu terbaik beribadah, dan waktu diampunkan bagi mereka yang memohon keampunan. Rasulullah Saw. menjelaskan kepada kita bahawa:
 
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
 
“Allah Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap akhir sepertiga malam lalu berfirman, “Siapa sahaja yang berdoa kepada-Ku, maka Aku tunaikan untuknya. Sesiapa sahaja yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya. Sesiapa sahaja yang memohon ampun kepada-Ku, Aku ampunkannya.”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 23/13, no. 6940)
 
Berkenaan turunnya Allah ke langit dunia, Ahlus Sunnah wal-Jama’ah menerima sebagaimana zahir hadis tentangnya. Iaitu Allah turun secara hakiki bukan majazi, tanpa diserupakan dengan turunnya makhluk, tanpa diberi perumpamaan, dan tanpa mempersoalkannya bagaimana. Kerana Allah Swt. tidak menyerupai segala sesuatu dan kita tidak mengetahui tentang-Nya melainkan dengan nash-nash yang sahih.
 
Seterusnya, dalam al-Qur’an pula kita boleh lihat Allah memuji mereka yang memohon keampunan ketika waktu sahur. Ini boleh disemak di Surah Ali ‘Imran (3) : ayat 17 dan Surah adz-Dzaariyaat (51) : ayat 18. Selain penuh barakah dan dalam rangka mengikuti sunnah, bersahur turut menjadi pembeza di antara puasa umat Islam dengan Ahlul Kitab (Yahudi dan Nashara). Rasulullah Saw. bersabda:
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
 
“Pembeza di antara puasa kami dengan puasa Ahlul Kitab adalah makan sahur.”
Hadis riwayat Muslim, Jilid 5/388, no. 1836
 
Melewatkan Sahur
 
Rasulullah Saw. bersabda:
إنا معاشر الأنبياء أمرنا بتعجيل فطرنا وتأخير سحورنا
 
“Sesungguhnya kami para Nabi diperintahkan untuk menyegerakan berbuka (sebaik masuk waktunya) dan melewatkan sahur.”
Majma’ az-Zawa’id, 2/275, no. 2609. Kata al-Haitsami, “Hadis riwayat ath-Thabrani dalam al-Kabir dan para perawinya perawi kitab Shahih.”
 
‘Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad Saw. adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.”
Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, Jilid 4/199
 
Waktu Disunnahkan Bersahur
 
Waktu disunnahkan memulakan sahur adalah sekitar kira-kira tempoh bacaan lima puluh ayat al-Qur’an sebelum masuknya waktu Subuh. Ini menunjukkan sekitar 15 atau 10 minit sebelum masuknya waktu subuh.
 
Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Zaid B. Tsabit rhu., beliau berkata:
 
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
 
“Kami pernah makan sahur bersama Nabi Shalallahu ‘alaihi wa Sallam. Setelah itu beliau segera menunaikan solat.” Aku bertanya, “Berapa lama jarak antara azan dengan sahur?” Beliau menjawab, “Kira-kira sama seperti (panjangnya) bacaan lima puluh ayat al-Qur’an”.
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 6/500, no. 1787
 
Juga sebagaimana firman Allah Swt. ,
“... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).”
Surah al-Baqarah (2) : ayat 187
 
Rasulullah Saw. menjelaskan lagi :
كُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يُؤَذِّنَ ابْنُ أُمِّ مَكْتُومٍ فَإِنَّهُ لَا يُؤَذِّنُ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ
 
“Makan dan minumlah kamu sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan. Dan beliau hanya melaungkan azan setelah terbit fajar (setelah masuknya waktu Subuh).”
Hadis riwayat al-Bukhari, Jilid 6/496, no. 1785
 
Tiga dalil ini menunjukkan bahawa sunnah makan sahur bermula dari kira-kira 50 ayat bacaan al-Qur’an menuju masuknya waktu Subuh (atau azan dikumandangkan). Dan makan perlu berhenti sebaik sahaja telah jelas masuknya waktu Subuh atau azan dikumandangkan.
 
Menghabiskan Makan dan Minum Ketika Azan
 
Rasulullah Saw. bersabda:
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ، فَلَا يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِيَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
 
“Apabila salah seorang di antara kamu mendengar panggilan (azan subuh) sedangkan bekas (minuman) masih ada di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga ia menyelesaikan hajat darinya (menghabiskan minum).”
Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10629. Abu Dawud, Kitab ash-Shaum, 6/297, no. 2003. Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/320, no. 729. Al-Baihaqi, 4/218, no. 7809. Dinilai sahih oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, dan al-Albani. Hasan oleh al-Wadi’i dan al-Arnauth. Lihat: al-Albani, as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381. Muqbil B. Hadi al-Wadi’i, al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain, 2/373-374. An-Nawawi turut memperakui kesahihannya dalam al-Majmu’ Syarah al-Muhadzdzab, 6/312
 
Syaikh Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah meletakkan hadis ini dalam bab:
 
“Mendengar Azan Sementara Bekas (Minuman) Berada Di Tangan Maka Dibolehkan Untuk Minum Darinya.” (Rujuk: al-Jaami’ ash-Shahih mimma Laisa fii Shahihain. m/s. 373)
 
Salah seorang perawi hadis ini, ‘Ammar B. Abi ‘Ammar (perawi Abu Hurairah) menyatakan:
وَكَانَ الْمُؤَذِّنُ يُؤَذِّنُ إِذَا بَزَغَ الْفَجْرُ

“Bahawasanya mereka mengumandangkan azan setelah terbit fajar.” (Hadis Riwayat Ahmad, 16/368, no. 10630. Dinilai sahih oleh al-Albani dan al-Arnauth)

Di antara riwayat lain yang menguatkan hadis ini adalah hadis daripada Abu Umamah radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:
أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ وَالإِنَاءُ في يَدِ عُمَرَ فَقَالَ: أَشْرَبُهَا يَا رَسُولَ الله؟ فَقَالَ: نَعَمْ، فَشَرِبَهَا
 
“Pernah ketika solat hendak didirikan (iqamah) sedangkan bekas (minuman) masih di tangan Umar (al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu). Dia bertanya kepada Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, “Adakah aku boleh meminumnya?” Rasulullah menjawab, “Boleh.” Maka ‘Umar pun meminumnya.”
Tafsir ath-Thabari, 3/527, no. 3017. Dinilai sahih isnadnya oleh Ahmad Muhammad Syakir, dan hasan oleh al-Albani
 
Juga hadis daripada Abu az-Zubair, beliau berkata:
 
قَالَ: سَأَلْتُ جَابِرًا عَنِ الرَّجُلِ يُرِيدُ الصِّيَامَ وَالْإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ لِيَشْرَبَ مِنْهُ، فَيَسْمَعُ النِّدَاءَ، قَالَ جَابِرٌ: كُنَّا نُحَدَّثُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: " لِيَشْرَبْ
 
Aku pernah bertanya kepada Jabir tentang seseorang yang hendak berpuasa sedangkan ia masih memegang bekas untuk minum, kemudian ia mendengar panggilan (azan Subuh). Jabir menjawab:
 
“Kami pernah mengatakan perkara seperti itu kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam dan beliau bersabda, “Hendaklah ia minum.”
Hadis Riwayat Ahmad 23/82, no. 14755. Al-Albani berkata, “Wa Isnaduhu laa ba’sa bihi fii asy-Syawaahid (Isnadnya tidak mengapa (dapat diguna) untuk penguat).” (as-Silsilah ash-Shahihah, 3/381) al-Haitsami berkata, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan isnadnya hasan.” (Majma’ az-Zawa’id, 3/364, no. 4858) Syu’aib Al-Arna’uth menyatakan, “Hasan lighairihi, dan sanad hadis ini dha’if kerana buruknya hafalan Ibnu Lahi’ah.”
 
Syaikh al-Albani rahimahullah menyatakan:
 
وفيه دليل على أن من طلع عليه الفجر وإناء الطعام أو الشراب على يده أنه يجوز له أن لا يضعه حتى يأخذ حاجته منه فهذه الصورة مستثناة من الآية: وكلوا واشربوا حتى يتبين لكم الخيط الأبيض من الخيط الأسود من الفجر. فلا تعارض بينها وما في معناها من الأحاديث وبين هذا الحديث ولا إجماع يعارضه بل ذهب جماعة من الصحابة وغيرهم إلى أكثر مما أفاده الحديث وهو جواز السحور إلى أن يتضح الفجر وينتشر البياض في الطرق راجع " الفتح ( 4 / 109 - 110 ) لأن من فوائد هذا الحديث إبطال بدعة الإمساك قبل الفجر بنحو ربع ساعة. لأنهم إنما يفعلون ذلك خشية أن يدركهم أذان الفجر وهم يتسحرون ولو علموا هذه الرخصة لما وقعوا في تلك البدعة
 
“Dalam hadis ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa sesiapa sahaja yang mengetahui fajar telah terbit tetapi bekas makanan atau minuman masih berada di tangannya, dia boleh segera menyelesaikan keperluannya tersebut (makan dan minum). Ini adalah bentuk pengecualian dari ayat “... makan serta minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu terbitnya fajar (masuknya waktu Subuh).” (Surah al-Baqarah, 2: 187)
 
Ayat ini dan hadis-hadis yang semakna dengannya tidak bertentangan dengan hadis tersebut. Tiada pula ijma’ ulama yang bertentangan dengannya. Bahkan sejumlah sahabat dan selain mereka berpendapat selari dengan makna hadis ini iaitu boleh makan sahur sehingga jelas terbitnya fajar dan menyebarnya cahaya di jalan-jalan (setelah jelas masuknya waktu Subuh). Lihatlah di kitab Fathul Bari (5/109-110). Dalam masa yang sama, hadis ini menolak bid’ah tentang penetapan waktu imsak sekitar 15 minit sebelum terbitnya fajar (sebelum masuknya waktu Subuh). Kebanyakan mereka yang mengamalkannya adalah disebabkan bimbang berkumandangnya azan Subuh dalam keadaan mereka sedang bersahur. Kalaulah mereka mengetahui rukhsah (keringanan) ini, sudah tentu mereka tidak akan terjerumus ke dalam bid’ah sedemikian rupa.” (Tamamul Minnah fii Ta’liq ‘ala Fiqhus Sunnah, m/s. 417-418)
 
Bersahur Dengan Tamar

Rasulullah Saw. bersabda:
نِعْمَ سَحُورُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

“Sebaik-baik makanan ketika seseorang mukmin bersahur adalah tamar (kurma kering).”
Hadis Riwayat Abu Daud, 6/290, no. 1998. Shahih Ibnu Hibban, 8/253, no. 3475. Dinilai sahih oleh Ibnu Hibban, al-Albani, dan Syu’aib al-Arnauth

Oleh itu, janganlah kita tinggalkan begitu sahaja sunnah bersahur ini walaupun hanya dengan kurma kering mahupun seteguk air. Selain beberapa hikmah dan bentuk barakah (tambahan kebaikan) yang dapat kita lihat secara umum, di sana masih ada lagi bentuk-bentuk barakah yang hanya diketahui di sisi Allah Swt.

Menyahut sunnah makan sahur ini juga termasuk ke dalam ciri-ciri mengerjakan puasa di atas keimanan dan mengharapkan pahala Allah Swt. Yang dengannya akan menjadi sebab diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan semoga kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa.
 
والله اعلم
 
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
 
سكيان
والسلام

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

2 comments:

Anonymous said...

Subject: Re: Bulan Al Qur'an dan Sahur Yang Barokah

Salam

hadis riwayat ahmad tahqiq dpd syeikh albani dan arnaouth cetakkan kitab atau syamela? Sya rasa no hadis itu silap.

Jzk


Sent from Yahoo! Mail on Android

boro said...

Wa 'alaikumussalam wa rahmatullah wa barakatuh...

Untuk tahqiq al-Arnauth tu, edisi syamela adalah dari Terbitan/Cetakan Mu'assasah ar-Risalah. Edisi Syamela sama dengan edisi kitab asli.

Untuk kitab al-Albani, sebahagian besarnya adalah edisi syamela. Ada yg sama dengan kitab asli, ada yg tidak. Utk as-Silsilah ash-shahihah, sama dengan asli. Tapi dari sudut no., ianya sama sahaja seingat ana.

Wallahu a'lam.

eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam