Friday, August 5, 2011

POCO POCO - Benarkah ia haram?

5 comments

 Assalamua'laikum Tuan Haji,
Saya sebutkan ringkas sahaja sama seperti tajuknya : Benarkah Haraam Tarian Poco-Poco itu seperti yang difatwakan di negeri Perak. Surat pengesahan fatwa itu saya sertakan (secara pdf).
Perincian kemusykilan saya :
1. Validity Majlis fatwa itu sendiri : adakah ini sistem mengistinbat hukum yang selaras dengan kehendak Allah Swt dan rasulNya. Apakah contoh syara' yang melayakkan mereka ini mendapat hak menggubal hukum. Siapa yang menjadikan institusi mereka ini sah. Benarkah mereka ini sah disisi Allah Swt dan rasulNya?
2. Siapa mereka ini, apa ciri mereka ini yang melayakkan mereka sehingga dianggap berhak membuat hukum? bukankah Allah Swt dan rasulNya telah menetapkan semua urusan, bukannya memberikan hak itu kepada manusia lain pula. Kenapa pula mereka ada hak?
3. Sekiranya fatwa itu tidak dipatuhi, adakah dikira berdosa! adakah dikira melanggar syari'at Allah Swt dan rasulNya dan menjadikan kita terkeluar dari Islam? Adakah fatwa ini satu taraf dengan ayat-ayat Allah Swt dan rasulNya yang wajib ditaati tanpa soal?
4. Sekiranya fatwa itu tersalah, apa boleh diubah atau ikut sesedap hati tok mufti saja? mahukah mereka mengaku salah dan menukarnya? atau perlu tunggu sehingga satu tok mufti lain yang batalkan?
5. Apa nak jadi apabila dalam negara sekangkang kera ini, satu negeri kata haraam lagi satu negeri kata halal? yang berkata bersimpang siur ini  adalah tok-tok mufti juga? misalnya hal fatwa ESQ. Maka, boleh dipercayai ke fatwa tok mufti ini?
  
5. Sekiranya sekarang difatwakan haraam, bagaimana pula dengan orang yang yang sedang melakukannya serta ada yang bergantung hidup kepadanya? apa nak jadi dengan mereka ini.
6. Sekiranya perkara ini benar-benar melanggar hukum Allah Swt dan rasulNya dan sememangnya haraam, kenapa dulu dibiarkan berkembang, takkanlah dulu halal sekarang haraam? tak kurang juga mak-mak guru yang terlibat untuk senaman. Malah, setelah diketahui haraam, tidak pula diberitahu kepada orang ramai, ditanya baru bagi tahu? Takkanlah nak kena pergi beratur depan pejabat agama untuk bertanya itu ini?
Saya concerns kerana ada membuat poco-poco ini bersama group perempuan, memang untuk tujuan senaman, dalam dewan tertutup.
Harap dapat memberi maklumbalas, memang terasa musykil. Dah tersebar merata-rata juga, orang dok mengata buruk-buruk hal fatwa ini termasuk ke atas mufti nya sekali.
Wassalam 


JAWAPAN UNTUK SOALAN YANG DIKEMUKAKAN

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

بسم الله الرحمن الرحيم

Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Shalafus Sholeh. A'mma ba'du.

Saya ucapkan terima kasih kepada Puan yang masih aktif bersama rakan-rakan jamaah. Banyak penjelasan telah pun dibuat oleh Sdr. Pyan SiPitong serta Sdr. Mohdpozi Atan menerusi artikel dan penerangan mereka. Persoalan yang Puan bangkitkan amat hebat merupakan hal-hal pokok dan, saya yang sekolah atap saja ni dan tiada apa-apa gelaran mahupun pangkat tak berapa layak nak membalasnya. Hakikatnya saya yang ditanyai ini pun tidak lebih tahu dari Puan yang bertanya. Namun untuk sekadar membantu, maklumbalas saya ringkas sahaja, begini :-


1. Validity Majlis fatwa itu sendiri : adakah ini sistem mengistinbat hukum yang selaras dengan kehendak Allah Swt dan rasulNya. Apakah contoh syara' yang melayakkan mereka ini mendapat hak menggubal hukum. Siapa yang menjadikan institusi mereka ini sah. Benarkah mereka ini sah disisi Allah Swt dan rasulNya?


Fatwa - makna mengikut bahasa ia diambil daripada perkataan AFTA - menjelaskan dan IFTA'AN - menghuraikan
. Secara praktikal bermaksud - memberi penjelasan dan menghuraikan hukum, ke atas sesuatu permasalahan yang telah dan sedang berlaku sekarang sedangkan hukumnya belum lagi ada. Sesuatu yang telah jelas dan qati'e hukumnya dari Allah Swt. dan rasulNya tidak perlu difatwakan lagi, contohnya haramnya perempuan menyerupai lelaki dan haramnya lelaki menyerupai perempuan.



Makna secara istilah (syara') adalah 1. Jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya dan/atau 2. Mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada perkara yang yang mesti dihukumkan atau perkara yang harus dihukumkan.


Zaman telah berubah dengan timbulnya berbagai perkara baru, yang dulu tiada. Begitu juga dengan hukumnya. Begitulah yang terjadi dengan Poco-Poco ini yang dulu tiada, sekarang ada dan diamalkan. Tidak boleh dibiarkan ia berlaku tanpa sebarang penetapan hukum, sedangkan adanya ia telah pun menimbulkan permasalahan dalam masyarakat. Kerana itu, WAJIB atas orang yang diberi kuasa (yaitu Mufti, ketua Majlis Fatwa) atau sekumpulan orang (yaitu Ahli Majlis Fatwa) membuat keputusan ke atas perkara itu demi kemaslahatan (kebaikan) ummat Muslimin. 

Asas dan dalil kepada perbuatan ini adalah sabda Rasulullah Saw. kepada Muadz bin Jabal rhu,
‘Bagaimanakah kamu akan memutuskan sesuatu perkara yang dihadapkan kepada kamu?, Muadz menjawab ‘akan saya hukumi dengan kitab Allah’, Nabi bersabda lagi ‘sekiranya hukum itu tidak terdapat dalam kitab Allah?, Muadz menjawab ‘dengan sunnah Rasulullah’, Nabi bersabda ‘Dan bila tidak terdapat dalam sunnah Rasulullah’, Muadz menjawab ‘saya akan berijtihad mencari jalan penyelesaian’ dan saya tidak akan berputus asa’, Rasulullah menepuk dadanya (kerana bergembira) dan bersabda ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah, sesuai dengan apa yang diredhai oleh Rasulullah’.
Hadis sahih riwayat imam Ahmad, imam Abu Daud, imam Tarmizi, imam Darimi dan imam Baihaqi rh.

Hadis ini memberi kuasa kepada Muadz bin Jabal rhu. seorang membuat keputusan yang disebut ijtihad. Berdasarkan contoh inilah, fatwa dibuat di zaman kita ini. Ijtihad merupakan sumber hukum ke 3 dalam Islm selepas Al Qur'an dan As Sunnah. Disebabkan oleh perubahan zaman, kuasa satu orang itu telah dikembangkan kepada sekumpulan orang yang dipanggil majlis fatwa. Ini juga dicontohkan oleh Nabi Saw. misalnya dalam membuat keputusan membina parit dalam Perang Khandak serta ijmak dan syura para sahabat dalam pemilihan Khalifah Ar Rasyidin iaitu Amirul Mukminin Utsman bin Affan rhu. dan Ali bin Abi Talib kmwj.

Mendapatkan pandangan
dan persetujuan sekumpulan yang bijak dan alim serta dipercayai adalah lebih baik bagi memastikan keputusan yang dibuat lebih rapi, terperinci dan tepat. Ini diperlukan berikutan kes semasa melibatkan berbagai bidang dan pertimbangan dari pelbagai aspek mesti dilakukan sebelum keputusan diputuskan. Dalam proses melaksanakan ijtihad itu, salah satu kaedah yang digunapakai sekarang adalah mendapatkan
1. Ijma' - yaitu kesepakatan sekumpulan ulamak terdahulu dalam kes yang sama atau paling hampir sama, serta
2. Qiyas - merujuk kepada hukum sudah ada dalam kes yang sama atau paling hampir sama.
Cuma orang sekarang keliru, memahami yang sumber hukum adalah ijma' dan qiyas, walhal ia hanyalah salah satu kaedah digunapakai untuk mengeluarkan ijtihad. Tetap jua sumber hukum adalah ijtihad. Fatwa adalah manifestasi kepada ijtihad di zaman ini.

Dahulu, khalifah ar Rasyidin sendiri yang memutuskan hukum, adakalanya secara musyawarah dengan para sahabat. Namun selaras dengan perubahan zaman, peranan itu diberikan kepada mufti dan jawatankuasa terpilih. Dalam kes negara/negeri kita, Sultan adalah ketua negara dan Baginda telah melantik Mufti untuk menjalankn fungsi itu serta dibantu oleh Ahli majlis fatwa. Maka peranan itu adalah sah dan benar menghikut peraturan pada masa ini. Sistem begitu adalah benar dan sah.

2. Siapa mereka ini, apa ciri mereka ini yang melayakkan mereka sehingga dianggap berhak membuat hukum? bukankah Allah Swt dan rasulNya telah menetapkan semua urusan, bukannya memberikan hak itu kepada manusia lain pula. Kenapa pula mereka ada hak?
Yang dilantik menjadi mufti dan ahli majlis adalah orang diyakini alim, bijak pandai berpengalaman dan diterima masyarakat. Yang dibisingkan selalunya adalah sebahagian orang-orang yang dilantik itu kurang disenangi sebahagian orang, lantaran merasakan ada orang lebih baik dan alim lagi. Seringkali juga adanya unsur pengaruh dan kepentingan politik dalam membuat judgement sebegitu, maka menjadikan isunya lebih kecoh.
Tugas mereka hanya membuat keputusan hukum ke atas sesuatu perkara baru yang tiada Allah Swt. dan RasulNya menetapkan hukum ke atasnya terdahulu. Bukanlah tugas mereka untuk merubah, menambah atau mengurang apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah Swt. dan rasulNya. Maka, hak membuat keputusan itu mesti diberikan kepada manusia lain demi kemaslahatan ummah. Berdasarkan contoh amalan para sahabat terdahulu, memang mufti dan ahli majlis mempunyai hak untuk membuat hukum.

3. Sekiranya fatwa itu tidak dipatuhi, adakah dikira berdosa! adakah dikira melanggar syari'at Allah Swt dan rasulNya dan menjadikan kita terkeluar dari Islam? Adakah fatwa ini satu taraf dengan ayat-ayat Allah Swt dan rasulNya yang wajib ditaati tanpa soal?
.

Asasnya fatwa itu Wajib dipatuhi selagi mana didapati, ia bertepatan dengan syara' dan/atau tiada fatwa lain yang mansuhkannya. Sesiapa yang senghaja mengingkarinya adalah berdosa. Sama ada terkeluar dari Islam atau tidak, ia bergantung kepada kes. Fatwa bagi kes-kes aqidah sekiranya dilanggar boleh menyebabkan seseorang terkeluar dari Islam. Fatwa tidaklah setaraf hukum Allah Swt. dan rasulNya kerana ia dibuat oleh manusia atas sesuatu sebab khusus dan tidak sama sekali ia bersifat qati'e. Hukum yang tetap dan qati'e itu hanyalah milik Allah dan rasulNya. Kuatkuasanya serta hukumnya boleh berubah disebabkan oleh zaman, keadaan dan keperluan. Perubahan status fatwa juga boleh berlaku apabila sifat perkara yang difatwakan itu telah berubah (misalnya segala yang buruk dalam hal itu dibuang - contoh, sos ikan sardin haram kerana ada gelatin babi, bila tiada gelatin babi, halal ia)
.

4. Sekiranya fatwa itu tersalah, apa boleh diubah atau ikut sesedap hati tok mufti saja? mahukah mereka mengaku salah dan menukarnya? atau perlu tunggu sehingga satu tok mufti lain yang batalkan?


Apabila jelas didapati yang fatwa itu salah, ia mesti diperbetulkan. Tidak boleh sama sekali berpegang kepada hukum yang diketahui secara pasti ia salah. Tak
perlu mufti itu buat pengakuan bersalah, yang dituntut adalah perbetulkan hukum yang salah itu tanpa perlu tunggu sehingga satu mufti lain batalkan fatwa tak betulnya itu.

Jawaban saya ini sangat ideal. Realiti perlaksanaannya tidaklah begitu. Ada orang yang tak suka ditegur sekalipun di memang salah sebaliknya, ada pula yang asyik nak menegur kerana merasakan orang lain serba tak kena. Wallahu a'lam, perangai manusia ni.

Kerana itulah, proses memberi fatwa ini amat ketat, memerlukan kajian teliti dan perinci, dibahaskan oleh para agamawan dan profesional, mungkin melibatkan beberapa peringkat sehingga keputusan dibuat. Ia tidak sepatutnya berdasarkan sentimen dan prasangka individu, sekumpulan individu, fanatisme mazhab atau kepartian. Mesti ia benar-benar menuju kepada keredhaan Allah Swt. dan rasulNya. Ini hal hukum halal dan haram, yang tidak boleh dibuat main-main.
Begitulah sepatutnya seperti yang termaktub dalam sistem dan prosedur. Namun, apa yang berlaku amalan sebenarnya sekarang ini, Wallahua'lam, tidak saya usul periksa, namun saya yakin ia dibuat dengan betul. Cuma tidak saya nafikan, memang banyak pro dan kontranya ke atas keputusan fatwa yang baharu, yang kecoh pun banyak. Gesaan saya kepada semua pihak yang tak senang hati tu, berhemah dan jujurlah dalam mencari kebenaran dan bermuzakarah, jangan sekadar menegak benang basah dan mencerca menerusi media dan pentas ceramah sahaja.
5. Apa nak jadi apabila dalam negara sekangkang kera ini, satu negeri kata haraam lagi satu negeri kata halal? yang
berkata bersimpang siur ini  adalah tok-tok mufti juga? misalnya hal fatwa ESQ. Maka, boleh dipercayai ke fatwa tok mufti ini?

Persoalan ini memang amat menarik
. Situasi ini memang memeningkan bukan sahaja Puan dan banyak orang lain, malah saya sendiri juga. Suka atau tidak, kita mesti terima hakikat bahawa inilah sistem yang diamalkan dalam kehidupan kita dimasa ini. Suka atau tidak kita kena terima kalaupun separa redha. Memanglah pelik malah menjengkelkan dalam negara sekangkang kera ini fatwa bersimpang siur. Memang terjadi disana halal, disini haram. Memang satu mufti kata halal dan satu mufti lain kata haram. Peningnya mereka seterusnya memeningkan kita-kita yang awam ini.

Yang mahu saya tekankan disini adalah, status Halal dan Haram bukan hal main-main, ini hal dosa dan pahala, perbuatan di alam fana yang penentu ganjaran di alam baqa (akhirat) sama ada syurga atau neraka. Ini perkara terlalu serius. Mesti ia ditetapkan secara jelas dan bukannya perkara pilihan. Amat mengarut dalam hal hukum hakam ini kita berkiblatkan karenah birokratik dan administrative bikinan manusia yang melahirkan kesimpulan "tak pe, disana haram, boleh buat kat sini, sini halal". Beginikah rupa paras hukum halal wal haram dalam Islam nih? Apakah penetapan hukum halal haram ini sama taraf dengan peraturan budak-budak main guli? Kerana itulah, bukan sekadar Puan pening, saya sendiri pun lebih keliru.

Benar bagai dikata, mengenai fatwa ESQ. Saya dapati ramai trainer dari KL menyebut "kat KL je haram, sini boleh, mufti kata boleh". Maka, jadilah hukum halal wal haram ni macam cerita Three Stooges dan Doraemon. Dan, sistem itulah yang kita ada dan diamalkan, maka tiada lain melainkan kena percaya jugalah kepada mufti-mufti itu. Sama ada suka atau tidak, kena percaya.  

Namun begitu, dalam era darsawarsa ini telah pun ada gesaan dan gerakan dari beberapa pihak yang mahukan hal administratif usang sebegini disemakkaji semula. Pastinya kerana tidak mahu "kelamkabut" terjadi dalam kes fatwa terutamanya melibatkan perkara halal wal haram dan aqidah. Moga Allah Swt. memberi restu dan memudahkan jalannya. Saya menyokong usaha pihak-pihak berkenaan demi memurnikan kesuciaan Islam dan memastikan anak cucu kita dalam kebaikan
.

6. Sekiranya sekarang difatwakan haraam, bagaimana pula dengan orang yang yang sedang melakukannya serta ada yang bergantung hidup kepadanya? apa nak jadi dengan mereka ini.


Sesudah diketahui haram berhentilah melakukannya dan jangan ber poco-poco lagi. Buatlah aktiviti lain dan berniaga lain. Banyak lagi benda lain boleh dibuat untuk senaman kesihatan dan juga, banyak benda lain yang boleh diperniagakan. Takkanlah, tidak menari dan berniaga poco-poco, akan membuatkan seseorang itu menjadi gemok gedempol, sasau, bankrap atau pun mati. Buatlah benda lain.


7. Sekiranya perkara ini benar-benar melanggar hukum Allah Swt dan rasulNya dan sememangnya haraam, kenapa dulu dibiarkan berkembang, takkanlah dulu halal sekarang haraam? tak kurang juga mak-mak guru yang terlibat untuk senaman. Malah, setelah diketahui haraam, tidak pula di
beritahu kepada orang ramai, ditanya baru bagi tahu? Takkanlah nak kena pergi beratur depan pejabat agama untuk bertanya itu ini?


Kat sini, amat jelas Puan sedang marah dan emosional. Moga jawaban saya akan mengurangkannya.

Dahulu dibenarkan poco-poco berdasarkan fakta begini : menurut qaedah usul fiqh,
segala urusan harian dalam kehidupan manusia yang membabitkan persoalan keperluan atau kepentingan hidup adalah harus dilakukan selagimana tiada tiada dalil yang jelas mengharamkan hal tersebut. Ini terbalik dengan ibadah khusus dalam agama yang, hanya yang ada dalil sahaja yang boleh diperbuat. Maka itu, poco-poco sebagai perkara baharu yang bukan ibadah khususiyah adalah boleh diamalkan sebelum adanya hukum yang jelas. Sekarang telah diputuskan ia haram, maka mesti ditinggalkan.

Dari Salman Al Farisi rhu. ia berkata : "Rasulullah Saw. pernah ditanya hukumnya samin, keju dan keldai. Maka jawab Baginda : Apa yang disebut halal ialah sesuatu yang Allah halalkan di dalam kitabNya, dan yang disebut haram adalah ialah sesuatu yang Allah haramkan dalam kitbNya, sedang apa yang Dia diamkan maka dia itu salah satu yang Allah maafkan buat kamu".
Hadis riwayat imam Tarmizi rh. dan imam Ibnu Majah rh. Diriwayatkan juga oleh imam Hakim rh. dan imam Al Bazaar rh. dengan sedikit lafaz berbeza.

Kenapa telah berbulan-bulan diputuskan haram tetapi tidak dimaklumkan dan dilaksanakan kepada masyarakat umum, saya juga tak tahu kenapa. Alasan selalunya adalah mematuhi karenah birokratik dan administratif yang keputusan itu mesti diwartakan terlebih dahulu, bermaksud secara prosedurnya diluluskan oleh Exco dan diperkenan oleh Tuanku Sultan, kemudian diisytiharkan dalam Warta Negeri, baharulah dianggap sebagai berkuatkuasa. Inilah birokratik, walhal halal dan haram ini hal sangat besar dalam Islam dan penguatkuasaannya adalah immediate tanpa tangguh. Malah, sekiranya diisytiharkan pun, belum tentu rakyat boleh tahu melainkan ia disebut didalam media secara besar besaran.

Kesimpulan Dari Saya,

1. Perkara halal dan haram adalah hal sangat signifikan kepada Islam dan ummatNya. Impaknya dari dunia hingga akhirat. Tidak munasabah sekali ia hanya menjadi satu ketetapan sebuah negeri kecil sahaja. Perkara hukum dalam Islam ini bersifat global, bukan berpilih-pilih dan berpisah-pisah. Yang suka sangat berpilih dan berpisah-pisah ini adalah ajaran orientalis, dogma tinggalan penjajah dan amalan sangat disukai yahudi. Had perbatasan antara negeri atau negara hanyalah bikinan manusia yang membataskan ruang pemerintahan dan administratif, tidak sama sekali peraturan manusia ini boleh membataskan hukum Islam.

2. Para agamawan terutama yang berpangkat dan bergelar yang cakapnya laku, seharusnya berhemah dalam memberikan ulasan ke atas fatwa ini supaya tidak menyerlahkan lagi betapa bersimpang siurnya sesama mereka, memeningkan diri mereka sendiri seterusnya memeningkan orang. Memilih langkah kontra 100% dengan beralasankah sistem birokratik administratif tanpa mendapatkan dan menilai detail hujjah daripada dari Mufti Perak terlebih dahulu adalah tindakan semberono, emosional serta mengguna kuasa dan kerusi. Apakah terlalu sukar untuk berlembut hati demi Allah Swt. dan rasulNya? dengan membuat statement bersimpang siur sekadar menyerlah sikap dan peribadi yang tak berapa kena malah, langsung tidak mendorong kepada penyelesaian terbaik.

3. Saya menyokong fatwa Negeri Perak ini, atas sebab : disebutkan adanya unsur tasyabbuh (penyerupaan)
dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica dan bercirikan agama Kristian. Berdasarkan pernyataan ini, ia adalah amalan khurafat dan semestinya diharamkan. Namun begitu, oleh kerana kita tidak lagi di zaman batu, maka paling wajar adalah seluruh hujjah itu dipublishkan untuk tatapan umum sepertimana dibuat oleh Mufti WP dalam kes ESQ. Rakyat sudah cukup bijak membuat penilaian terbaik berteraskan ilmu, iman dan amal dan tak perlu lagi bertaqlid buta sahaja, bagai lembu dicocok hidung.

Aakhirul kalam, pedoman dari saya adalah begini,
Rasulullah Saw. bersabda : "Yang halal sudah jelas dan yang haram juga sudah jelas, diantara keduanya itu ada beberapa perkara yang belum jelas (syubhat). Hal-hal yang syubhat tidak diketahui oleh sebahagian besar manusia. Maka barangsiapa yang takut melakukan kesyubhatan, beerti ia telah menjaga dirinya dari sesuatu yang mencemarkan kehormatan peribadi dan agamanya. Dan barang siapa yang jatuh ke dalam kesyubhatan, sebagaimana seorang penggembala yang menggembala di tempat yang terlarang, diragukan ternakannya memakan di tempat yang terlarang tadi".
Hadis sahih riwayat imam Bukhari rh. dan imam Muslim rh.

Mungkin Puan tak suka, namun saya nak beritahu : tinggalkanlah poco-poco, ia syubhat.
Wallahu a'lam dan Wassalam.   
Tanah Liat, Bukit Mertajam

5 comments:

Anonymous said...

daripada Mohammad Pozi.

Berikut Adalah link saya saya ambil daripada The Malaysian Insider, pandangan Doktor Mohd Asri mengenai poco-poco

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-asri-tarian-poco-poco-tak-wajar-diharam/

Click here poco-poco tak wajar diharamkan.

Anonymous said...

Salam.

Poco-poco haram di Perak. Majlis fatwa negeri telah mengeluarkan fatwa. Semua aktiviti itu haram di negeri tersebut.

Pandangan Dr Asri merupakan pandangan kedua. Sungguhpun yang demikian pandangan tersebut tetap terbatal di Perak.

Soal mereka berkelayakkan atau tidak dalam fatwa bagi pandangan saya, sudah tentu mereka berkelayakkan, berilmu. Mereka dilantik oleh raja di negeri masing2. Bersederhana dan berlapang dadalah.

Terima kasih

frm:sabja114

Anonymous said...

Maklum balas ini saya perolehi daripada penulisan seorang rakan...

sila klik pada link dibawah untuk membaca

click Benarkah Poco-Poco Haram

daripada : Muhammad Pozi

Anonymous said...

Salam.

Sekadar perbincangan tambahan.

Ada yang mengaitkan poco-poco dgn kristian. Sahabat saya seorang kristian bertanya di manakah dalil dalam kitab kristian yang menunjukkan poco-poco amalan mereka?

Kitab baru atau kitab lama kristian?

Kadang2 bagus hujah sahabat2 kita ada rasa tawadhuk beradab dan mengikuti al-Quran dan as-Sunnah, malangnya ketika berhadapan dgn Syeikh Qaradawi hilang adab dan etika serta akhlak orang2 sunnah ya. Saya katakan ini kerana manhaj sunnah ini dipinggir kerana sikap pembawanya.

Saya faham kebenaran bukan terletak pada satu org sahaja, tetapi gesaan kita bersederhanalah.

Terima kasih


daripada : sabja114

Anonymous said...

Salam.

sama-sama kasih laa.... hj .... !

Terima kasih tu terima kasih la..... jugak kan. kalau berpaksikan sebuah hadith yang berbunyi :
لايشكر الله من لا يشكر النس
Maksudnya : "Orang yang tidak berterima kasih kepada manusia ialah orang yang tidak mensyukuri Allah''

Hadis sahih riwayat : imam Ahmad, imam Abu Daud dan imam Ibnu Hibban;
dalam sahih al-Jami' al-Saghir oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin al Albani, No. 7719.

Saya juga nak ambil kesempatan ini mengucap terima kasih terutamanya Puan Izana Hani, Saudara Piyan dan Abg Hj. Mad. mengajukan soalan, memaklum-balas dan memberi jawaban.

from : mohammad pozi