Salaam, Abang Mad,
Sekarang sedang kecoh kes terbaru iaitu JAIS serbu gereja baru-baru ini di Damansara, ia menjadi isu yang besar menyebabkan banyak pertelagahan dan pertentangan pendapat berbagai pihak. Malah paling teruk sekali, dikalangan orang Islam pun sendiri pun berbalah. Saya nak minta Abg. Mad ulas sikit tentang hal ini. Juga berikan sama ada hal ini sengaja dipolitikkan atau ada sesuatu dalam sistem amalan semasa kita yang tak berapa kena.
Diharap dapat Abg. Mad beri pandangan dan pendirian yang jelas dalam hal ini, untuk manfaat ilmiah semua rakan-rakan.
Wassalam.
Maklumbalas :
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
وبعد, يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي رب إشرح لي صدري و
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.
Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat menjalani puasa kepada semua rakan jamaah serta para pembaca dan mendoakan agar Allah Swt. menerima semua amalan kita. Saya mendapat email mohon beri pandangan dalam perkara ini dari 3 orang, sudah lama pun, tetapi jumlah email keseluruhan adalah 5 kerana Sdr. Boru ada membuat 2 kali email peringatan kepada saya termasuk 1 kali panggilan telefon, juga berpesan supaya saya tidak lupa memberikan maklumbalas. Setelah itu saya pun menulis artikel maklumbalas ini kerana "memenuhi permintaan", bukannya saya suka sangat pun.
Baik sekali saya sebutkan, ulangan yang entah ke berapa kali, saya memang kurang gemar memberikan ulasan ke atas isu semasa kerana tidak suka terlibat dengan kontroversi dan kekecohan. Sepanjang pengalaman saya berpuluh tahun hidup di Malaya ini, terlalu banyak hal yang kita-kita ini terlebih emosional dari rasional serta, lebih perasaan dari fikiran. Tambah-tambah lagi dalam hal politik dan agama. Kita-kita ini lebih suka mengikut "lubang biawak' masing-masing berbanding mencari yang Haq yaitu Kitabullah dan as sunnah rasulNya sebagai "sebaik-baik penghuraian".
Oleh itu, sesiapa rakan serta pembaca yang berminat untuk terus membaca artikel maklumbalas ini disebalik muqaddimah yang tak sedap di dengar ini, dipersilakanlah membacanya sehingga habis dan boleh di'forward'kan kemana-mana, hakcipta tak terpelihara dan saya bertangungjawab penuh ke atasnya. Kepada yang tidak berminat dan tak suka, selepas habis dibaca paragraph ini, padamkan saja email ini.
Baik sekali, saya mulakan dengan ayat-ayat Allah Swt. yang sendiri menjelaskan maksudnya. Tidak jua perlu saya bercerita panjang tentang tafsir ayat-ayat ini kerana saya yakin rakan-rakan dan para pembaca telah sedia maklum akan maksudnya.
"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang diluar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya".
Surah Ali Imran (3) : ayat 118
“Sekali-kali tidak akan orang yahudi dan nasrani redha (suka) kepada kamu sehingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar). Dan sesungguhnya, jika kamu ikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepada kamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 120
Amat perlu ummat Islam berhati-hati dengan segala tipudaya kaum kafirin kerana hakikatnya mereka tidak pernah redha dan suka kepada kita orang-orang mukmin ini sehingga kita mengikut agama dan telunjuk mereka (menjadi kufur sepertimana mereka).
Daulah Islam adalah sebuah negara berperlembagaan berteraskan syariat Islam sebagai tonggak rujukan hukum dan perundangannya. Perlembagaannya tercermin padaprinsip-prinsip dan hukum syara’ yang dibawakan oleh Al Qur’an ul Haaq dan as Sunnah Nabawiyah dalam hal aqidah, ibadah, akhlak, muammalah, hubungan individu, sivil, jenayah, pentadbiran, perlembagaan dan perhubungan antarabangsa. Maka tiada pilihan lain, kepada para pemimpin, wali, para pegawai dan orang kepercayaan untuk menjalankannya, selain berkewajiban mengikuti dan mematuhi perlembagaan dan kehendak syariat ini. Inilah kehendak Islam dan bukti keimanannya.
Ini djelaskan oleh Allah Swt. menerusi firmanNya di dalam Al Qur’an ul Majiid :
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu),maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyiksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.
Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal (kepada orang-orang yang penuh keyaqinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih daripada Allah".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 49 dan 50
Fungsi kepimpinan adalah mentadbir negara, memberikan keadilan dan kebaikan dalam segala segi kehidupan para penduduknya dan, berdasarkan ayat Allah Swt. di atas memastikan tertegaknya hudud Allah dan terjaganya aqidah seluruh ummat mukminin di dalamnya adalah tanggungjawab utama.
Saya tidak mahu bercakap panjang sama ada di Malaya ini telah tertegak sepenuhnya hukum Allah atau tidak, biarlah polemik itu diselesaikan oleh pihak-pihak yang suka terlibat dengannya, dan biarlah mereka yang rela terlibat secara langsung dan lebih pakar itu mencari penyelesaian kepada hal yang sudah ratusan tahun belum lagi selesai itu.
Secara jelas apa yang mahu saya katakan adalah :
Tindakan JAIS membuat pemeriksaan ke atas aktiviti mencurigakan oleh sekumpulan orang bukan Islam di dalam sebuah institusi agama lain (bukan tempat awam) bersama sekumpulan orang Islam adalah satu tindakan terpuji demi menjaga kepentingan Agama Islam dan aqidah ummat Islam. Mereka telah melakukan tindakan yang selaras dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka. Malah sepatutnya dibuat dahulu lagi. Bagi sesiapa yang mengikuti dengan rapat kes ini, hasil selepas pemeriksaan itu telah menyerlahkan banyak perkara yang selama ini "tersembunyi di bawah tikar" dan dibuat-buat tak nampak.
Harapan saya, biarlah usaha menjaga kepentingan agama Islam dan aqidah ummat Islam ini dikembangkan dan diperkukuhkan, bukan hanya sekadar usaha menghalang pihak bukan Islam "mendampingi" ummat Islam yang ditekankan, tetapi juga kekalutan "dalam kelambu" ummat Islam sendiri yang semakin parah sehingga begitu ramai mudah terikut dengan da'yah asing juga, harus diperbetulkan bersungguh-sungguh. Malah itu mungkin lebih patut diberi keutamaan sekarang ini.
Justeru itu, saya menyeru kepada semua pihak terlibat, daripada bertegang leher menegakkan "lubang biawak" masing-masing, baiklah bermuhasabah diri dan merendah diri sedikit seterusnya memusatkan usaha bersama-sama demi menjaga kepentingan agama Islam dan aqidah ummat Islam sebelum keadaan menjadi bertambah parah.
Begitulah bahasa mudah saya, yang maksud sepenuhnya diharap para rakan dan pembaca budiman, sendiri faham. Berkenaan perbezaan pandangan pelbagai pihak serta ada yang tak kena dengan amalan sistem semasa, saya lebih suka untuk tidak memberikan ulasan. Amat dikhuatiri sekadar "menuang cuka ke dalam luka", serta menambahkan serabut ke atas sesuatu yang memang sudah kelam kabut.
Akhirul kalam,
"...... Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya".
Surah Al Maaidah (5) : ayat 2
والله اعلم
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhaif ini.
سكيان
والسلام
eddzahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam
0 ulasan:
Catat Ulasan