Jumaat, 5 Ogos 2011

Anak Angkat & Derma Organ

0 ulasan
بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Segala puji bagi Allah Swt., Pencipta sekelian alam. Salawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Saw. Selamat sejahtera ke atas para Ahlul Bait, SahabatNya, Tabi'in, Tabi'ut Tabi'in, para Syuhada dan Salafus Soleh serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik hingga ke hari kemudian. A'mma ba'du.

Saya ada mendapat pertanyaan serta memohon penjelasan secara email mencakupi berbagai bidang. Artikel dibawah adalah salah satu darinya. Disertakan korespondens terdahulu untuk manfaat ilmiah bersama. InsyaAllah.


BERIKUT ADALAH SOALAN BESERTAA JAWAPANNYA 

Subject: Anak Angkat & Derma Organ

Assalammualaikum Ustaz Mad,

Saya telah berkahwin hampir 5 tahun dan sehingga kini masih tidak mempunyai zuriat. Untuk makluman ustaz, isteri saya mengidapi penyakit buah pinggang dan telah menjalani rawatan dialisis hampir setahun. Doktor menasihati kami supaya jangan mengandung dan sekiranya mengandung perlu digugurkan. Saya ingin bertanya mengenai hukum mengambil anak angkat yang berstatus anak luar nikah?


JAWAPAN

Wa'alaika Tuan,

Moga rahmat dan berkah Allah mengiringi hidup tuan sentiasa, disebalik apa jua cabaran.

Saya belum kenali tuan. Malah berasa amat terkejut menerima email ini. Baiknya, kalau dapat kita aturkan pertemuan, supaya dapat kita lebih kenali. Tuan boleh hubungi saya di talian 013-422xxxx. Tuan juga, boleh hadir ke kuliah atau usrah. Banyak urusan yang boleh kita bincang bersama. Secara berdepan adalah lebih baik. InsyaAllah.

Mengenai isteri tuan, Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Dermawan. Yakinlah dengan sesungguhnya, pasti akan ada kebaikan disebalik apa jua keburukan dan kesengsaraan. Inilah janji Allah kepada ummatNya, akan adanya faedah/ganjaran ke atas ummat yang selalu ingat kepadaNya dan merenungkan hikmah/kebijaksanaan ciptaanNya  :

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal " (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah SWT sambil berdiri atau duduk atau dalam kedaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) : Ya Allah (Pencipta kami), tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka".
Surah Ali Imran (3) : ayat 190 dan 191

Dalam hadapi apa jua dugaan dan cubaan, terimalah ia datangnya dari Allah SWT, Zat yang Maha Agung, Maha Tinggi dan Maha Perkasa. Jangan kita berputus harap, terus berusaha mencari kebaikan dan berdoa memohon keadilan dariNya. Pasti ada jalan keluar kepada sesuatu apa pun, cuma dituntut kita redha dan terus berusaha dengan ketabahan dan taqwa.

"Ya Pencipta kami, berilah kepada kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami dengan perantaraan  rasul-rasul Engkau. Dan janganlah Engkau hinakan kami di hari qiyamat. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji".
Surah Ali Imran (3) : ayat 194

Tiada suatu apa pun yang diciptaNya adalah sia-sia, semuanya mempunyai kebaikan yang nyata di dunia ini ataupun bakal kita memperolehinya di akhirat nanti. Yakinlah, suara rintihan kita ini Allah SWT dengari dan, Yakinlah, sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama dan dekat dengan kita.

"Maka tuhan telah memperkenankan permohonannya (dengan berfirman) : Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amal orang yang beramal diantara kamu, baik laki-laki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalanKu, yang berperang dan dibunuh, pastilah akan Kuhapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan pastilah Aku masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahya sebagai  pahala di sisi Allah. Dan Allah pada sisiNya pahala yang baik".
Surah Ali Imran (3) : ayat 195

Mengambil anak angkat yang berstatus luar nikah
Saya mulai dengan sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud :

"Tidak ada seorang anak pun yang baru dilahirkan kecuali dilahirkan dalam keadaan suci. Kedua orang tuanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Musyrik".
Hadis sahih riwayat imam Muslim rh.

Hasrat tuan itu adalah sangat mulia. Setiap anak itu dilahirkan suci bersih dan penuh kemuliaan. Cara bagaimana dia dihadirkan ke dunia ini, adalah perbuatan orang yang melakukannya dan anak itu tidak sama sekali menanggung dosa itu dan keaibannya. Kita takkan mampu mengubah apa yang telah berlaku kerana memberi petunjuk itu semata-mata hak Allah SWT, bukan kita. Namun kita, tetap mempunyai upaya untuk terus berusaha dengan memelihara penuh kasih, memberi makan, membesarkan, memberi pendidikan dan mendorong dia kepada mencintai Allah. Mendidik dia supaya menjadi manusia berguna. Ini perbuatan amat mulia dan dianugerahi Allah dengan ganjaran rahmat amat besar.

"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, tetapi Allah lah yang memberikan petunjuk (memberikan taufiq) kepada siapa yang dikehendakiNya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanyaitu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredhaan Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup sedangkan kamu sedikitpun tidak akan dianiaya (dirugikan)".
Surah Al Baqarah (2) : ayat 272

Teruskanlah hasrat tuan, ambillah dan peliharalah anak itu, bentuklah dia menjadi mukmin yang bertaqwa dan beramal soleh.

Apapun, karenah anak-anak adalah ujian dari Allah. Ia menguji  kesabaran dan keimanan manusia kepada Allah.

”Dan ketahuilah bahawasanya harta kekayaan dan anak kamu adalah cubaan hidup dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang amat besar”.
Surah Al Anfal (8) : ayat 28

Memelihara anak angkat adalah harus. Kesediaan tuan memelihara anak terpinggir ini, amat terpuji.

Wallahu a'lam.
Sekian.


SOALAN KE 2

Assalammualaikum Ustaz Mad,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas penjelasan yang telah diberikan. Disini juga saya ingin mohon kemaafan kerana tidak memperkenalkan diri terlebih dahulu dalam perbicaraan ini.

Untuk pengetahuan Ustaz, saya adalah XXXX menetap di Shah Alam, Selangor.

InsyaAllah, sekiranya mempunyai kelapangan waktu saya akan menghadiri kuliah Ustaz. Sekiranya tidak keberatan saya ingin mendapat penjelasan lanjut dari Ustaz darihal beberapa soalan, antaranya :

1) anak angkat tersebut perlu di Bin kan siapa dan siapa yg boleh dijadikan wali anak tersebut?
2) adakah perpindahan organ (buah pinggang) dibenarkan?

Wassalam


JAWAPAN KE 2

Wa'alaika tuan,

Saya beri maklumbalas perkara no. 1 dahulu.

Mengambil anak angkat telah pun diamalkan di zaman Arab jahiliyah lagi yang mana, anak angkat itu dilayan dan diberi taraf sama seperti anak kandung. Ini bermakna anak angkat itu berhak mendapat pusaka, berhak menggunapakai nama keturunan bapa angkat sebagai nasabnya serta lain-lain. Terjadi juga dalam masyarakat Melayu Islam kita ini, anak angkat telah dinasabkan (bin atau binti) kepada bapa angkat mereka.

Mengambil anak angkat adalah dibenarkan di dalam Islam berdasarkan contoh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sewaktu Baginda mengambil anak angkat iaitu Zaid bin Haritsah rodiallahuanhu. Zaid waktu itu seorang anak muda yang ditawan sejak kecil dalam salah satu penyerbuan jahiliyah, yang kemudian dibeli oleh Hakim bin Hizam untuk diberikan kepada ibu saudaranya, Siti Khadijah binti Khuwailid dan selanjutnya diberikan pula oleh Siti Khadijah kepada Nabi Muhammad SAW sesudah mereka berkahwin.

Setelah ayah dan bapa saudara Zaid mengetahui tentang hal tersebut, mereka datang kepada Nabi SAW dan meminta anaknya kembali tetapi Baginda menyuruh Zaid sendiri yang membuat keputusan. Zaid telah memilih Nabi SAW sebagai ayah. Setelah itu, Nabi SAW telah mengisytiharkan Zaid sebagai anak angkat Baginda di hadapan orang yang ramai. Sehingga banyaklah orang yang memanggil pada masa itu Zaid Ibnu Muhammad. Pengisytiharan sebegini sekarang diperbuat dalam bentuk peraturan dan prosedur mengikut undang-undang semasa.

Berdasarkan peraturan Islam, anak angkat itu kekal nasabnya (bin atau binti) kepada bapa dan keturunan asalnya dan tidak boleh diubah. Perbuatan mengubah nasab keturunan ini adalah amalan jahiliyah dan diharamkan di dalam Islam. Inilah hukum tegas sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al Qur'an ul Razaaq :

"Panggilah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka (panggilah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Surah Al Ahzab (33) : ayat 5

Status anak angkat itu adalah kekal selamanya sebagai bukan nasab. Maka itu, mereka adalah ajnabi (orang yang boleh dikahwini) dengan seluruh kaum keluarga angkatnya itu tidak menjadi mahram (orang yang haram dikahwini). Oleh itu, batasan hubungan dan aurat setelah dia cukup umur (baligh) hendaklah dijaga. Dari segi perwalian nikah, walinya mestilah bapa yang sebenar atau menurut turutan wali yang dibenarkan oleh syara' sekiranya bapa kandung telah meninggal dunia.

Status dan hukum anak angkat ini telah diterangkan oleh Allah SWT di dalam Al Qur'an ul Rahiim :

"Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu itu sebagai anak-anakmu sendiri, yang demikian itu adalah omongan-omonganmu dengan mulut-mulutmu, sedang Allah berkata dengan benar dan Dialah yang menunjukkan ke jalan yang lurus".
Surah Al Ahzab (33) : ayat 4

Bagi anak luar nikah, walinya adalah wali hakim. Yang dimaksudkan dengan wali hakim itu adalah, pemerintah negara (ulil amri) dan pegawai yang diberi kuasa olehnya untuk menguruskan hal ehwal munakahat. Apabila sampai masanya, sila maklumkan keadaan sebenar ke Pejabat Agama dan telah ada prosesnya. Tidak sukar pun.

Saya nak berpesan sedikit mengenai hak mendapat warisan harta pusaka (yang ditinggalkan oleh orang mati), bahawasanya anak angkat ini tiada hak mendapat warisan kerana dia bukanlah nasab keturunan. Hanya keluarga sahaja yang berhak mendapat hak warisan sepertimana ditegaskan oleh Allah SWT di dalam Al Qur'an ul Haaq :

"Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu, maka orang-orang itu termasuk (golonganmu) juga. Orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu".
Surah Al Anfaal (8) : ayat 75

Tidaklah bermaksud anak itu boleh diabai dan dihalau sahaja setelah ibubapa angkatnya meninggal dunia kerana dia tiada hak warisan. Boleh diberikan harta dan apa jua yang dihasratkan semasa hidup lagi menerusi kaedah wasiyat, hibah atau hadiah. Orang yang menjadi ibubapa angkat itulah yang mesti berlaku adil dan bijak dalam menjalankan tanggungjawab.

Sekian.
Wassalam.


JAWAPAN KE 3


Assalamu'alaikum,

Saya beri maklumbalas perkara no. 2 berkenaan menderma organ.
Saya ada membuat semakan beberapa tempat serta perbahasan berkenaan menderma organ. Adalah didapati yang Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan pada tahun 1970 lagi, namun saya tidak perolehi dokumennya secara hardcopy ataupun softcopy. Namun begitu, seorang sahabat telah membuat rujukan panjang lebar dalam hal ini, dan saya bersetuju dengannya. Saya sertakan di sini untuk perhatian pihak tuan.

Hukum Isu Derma Organ, Gugur Janin
Oleh : Ust Hj Zaharuddin bin Hj Abd Rahman
B.A (Hons) UM ; MA (Hons) Syariah, Jordan

Sidang Majma' Fiqh yang dibuat pada tahun 1986 M, Majma' Fiqh Islam Sedunia telah membuat fatwa begini :-

1. Pemindahan organ
a. Memindahkan organ seseorang pesakit dari satu bahagian dari tubuhnya ke bahagian lain tubuhnya juga. Hukumnya : HARUS, dengan syarat :-
i. Kepastian manfaat yang bakal diperolehi adalah lebih tinggi dari mudarat yang mungkin menimpa hasil pemindahan.
ii. Pemindahan tersebut tidak menyebabkan mana2 anggota yang diambil, hilang upaya dari menjalankan fungsi asalnya.

b. Memindahkan organ seseorang pesakit kepada pesakit lain. Hukumnya : HARUS, dengan syarat :-
i. Ia terdiri dari anggota yang akan pulih dan boleh tumbuh semula seperti darah dan kulit.
ii. Mestilah penderma mempunyai keahlian dari sudut umur dan aqal dalam membuat keputusan tersebut.

c. Memanfaatkan sebahagian angggota yang dipisahkan dari tubuh kerana keperluan akibat sakit tertentu, lalu didermakannya untuk orang lain seperti Kornea mata,
Hukumnya : HARUS dengan syarat-syarat manfaat melebihi mudarat.

d. Memindahkan Organ yang boleh menyebabkan kematian penderma seperti Jantung, Hukumnya : HARAM

e. Memindahkan Organ yang boleh menghilangupayakan fungsi anggota tersebut dari tugas utamanya dalam keadaan tidak mengancam nyawa penderma. Seperti derma kornea mata kedua-duanya, kedua-dua tangannya, Hukumnya : HARAM, kiranya didermakan hanya sebelah kornea, terdapat khilaf di kalangan fuqaha, yang lebih kuat adalah Haram kecuali kiranya tersangat diperlukan.

f**. Memindahkan anggota mayat kepada seorang yang hidup yang hidupnya bergantung kepada anggota itu. Hukumnya : HARUS, dengan syarat mendapat keizinan si mati (sebelum matinya) atau warisnya selepas matinya atau izin pemerintah kiranya si mati tidak diketahui warisnya.

g. Memindahkan organ binatang kepada manusia, Hukumnya : HARUS, dengan syarat haiwan yang halal di makan dagingnya.

h. Menjual organ-organ yang ingin dipindahkan atau penderma mengambil bayaran yang ditetapkan hasil organnya, Hukumnya : HARAM, kecuali jika si penerima @ mana-mana pihak ketiga memberi hadiah secara sumbangan penghargaan tanpa ditetapkan sebelumnya.

Perbahasan paling banyak adalah berkenaan perkara (f**), berikutan :-

A. Banyak hadis sahih yang menyebut bahawa mayat hendaklah dihormati, dikendalikan dengan penuh kemuliaan dan tidak boleh dicacatkan dari sifat asalnya. Oleh itu, mayat tidak boleh diusik.

B. Orang hidup boleh wasiyat (pesankan) sesuatu yang miliknya sahaja seperti harta dan pesanan ilmiah sepertimana yang dicontohkan oleh syara'. Membuat wasiyat ke atas batang tubuh mayat kalaupun tubuh sendiri tidak disyariatkan. Ini disebabkan tubuh badan orang mati bukan lagi miliknya (simati) tetapi adalah milik Allah SWT dan wajib diuruskan oleh para waris dan orang hidup.

C. Sekalipun ada perbahasan sepertimana di para A dan B, para fuqaha bersepakat menghukum Harus diperbuat mengikut syarat-syaratnya seperti yang dinyatakan kerana pendermaan organ itu boleh menyelamatkan satu nyawa lain.      

Berdasarkan fatwa-fatwa di atas, adalah Harus menderma organ setelah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Mudah-mudahan Rahmah dan Barokah Allah SWT sentiasa mengiringi hidup tuan berdua.

Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.

Wallahua’lam

سكين
والسلام

edd_zahir@38
Tanah Liat, Bukit Mertajam

0 ulasan: