From: xxxxxxxxxx
Cc:
Sent: Mon, May 16, 2011 8:57:33 AM
Subject: Pertanyaan Hal Nikah
Assalamua’laikum,
Saya diberi address email ini oleh rakan, dengan harapan Ustaz dapat membantu kalaupun kita tidak pernah berurusan atau mengenali sebelum ini.
Saya XXX bin XXX dari Klang, Selangor. Saya dihubungi oleh adik sepupu dari kampung berkenaan bakal majlis pernikahannya dan kenduri pada cuti sekolah bulan Jun ini yang sekarang telah jadi kelam kabut.
Keadaannya begini, ada seorang kenalan memberitahu kepada kakak beliau berkenaan tunangnya yang dikatakan dulu berperangai bohsia dan pernah terlanjur sebelum mereka kenal dan bertunang. Hal ini menjadi kecoh sekeluarga. Semua adik beradik menolak dan menghina tunangnya dan memutuskan tidak akan menerima. Mak dan Ayah menyuruh adik sepupu sendiri membuat keputusan namun kelihatan lebih tidak suka.
Beliau ada bertanya kepada tunang dan tunangnya akui perbuatan itu dulu, tetapi sekarang benar-benar bertaubat. Segala perbuatannya itu masih tidak diketahui keluarga.
Adik sepupu saya berasa sedih hati dan kecewa, sekarang ni dia dah 2 minggu tak balik kampung dan membicarakan hal nikah. Memang jadi kecoh di kedua belah pihak memandangkan nikah dan kenduri hanya 2 minggu saja lagi. Semua perkara sudah disiapkan dan kad jemputan pun sudah dihantar. Tarikh dan masa nikah pun dah tetap.
Adik sepupu kata, biarpun dia sangat sedih dan rasa tertipu, namun dia masih ada rasa ingin meneruskan perkahwinan itu. Dia belajar untuk menerima hakikat keadaan sebenar bakal isterinya. Tambahan pula, tunangnya merayu sungguh dan bersumpah telah sungguh bertaubat. Jika diputuskan pertunangan sekarang, dia dan seluruh keluarga akan malu.
Adik sepupu tersepit sangat kerana keluarga tak mahu lagi terlibat sekiranya dia masih mahu meneruskan perkahwinan dan takkan buat kenduri pun. Semuanya dia kena urus sendiri-sendiri. Juga ada rasa bahawa akan terbuang oleh keluarga jika meneruskan perkahwinan dengan tunangnya.
Keadaan memang kritikal sekarang ni. Harap dapat Ustaz memberikan panduan dan penyelesaian. Saya pun tak tahu macam mana nak membantu.
Wassalam.
To: xxxxxxxxxxxx
Cc:
Sent: Mon, May 16, 2011 10:21:47 AM
Subject: Pertanyaan Hal Nikah
Wa’alaika,
Terima kasih kerana memaklumkan kepada saya kisah ini. Agak pelik sebenarnya kerana saya memang langsung tak kenal tuan. Kedatangan email ini amat mengejutkan saya. Atas dasar persaudaraan Islam dan tuan memerlukan sedikit bantuan, saya tiada halangan memberikan buah fikiran yang termampu. Namun ada sedikit hal saya nak maklumkan,
1. Saya tak mampu nak memberikan penyelesaian paling tepat kerana hal ini melibatkan hal hati dan perasaan orang serta hak pemilihan individu. Tambahan lagi telah menjadi isu besar dalam keluarga sendiri dan diantara 2 keluarga.
2. Serba salah juga saya nak memberikan maklumbalas. Sangat khuatir kerana sebarang silap atau salahfahaman, ia menjadi mencurah minyak ke dalam api pulak. Menjadi tikus membaiki labu. Membuat rosakkan semua perkara berbanding nak memberi kebaikan.
3. Saya tak kenal tuan langsung, dikhuatiri apa-apa perkatan saya menjadi fitnah pula. Harapnya tuan berkata benar.
4. Saya mampu beri pandangan dan nasihat saja, yang boleh diterima dan ditolak. Keputusan akhir, hak penuh individu itu sendiri.
Malam nanti akan saya pos sedikit pandangan saya. InsyaAllah. Boleh juga call saya selepas Maghrib di 013-XXXX. Sekiranya tuan punya badan sendiri call lagi baik.
Wassalam.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota : Saya mendapat panggilan kira-kira 8.20 malam dari individu terlibat. Dari percakapannya, memang dia dalam keadaan berserabut dan sukar membuat keputusan. Bercakap pun tak fokus. Lebih banyak mencurahkan perasaan kecewa dan sedih. Dibawah ini, saya catatkan intipati perkataan saya kepada beliau. Perbualan agak panjang sebenarnya. Yang tercatat ini hanyalah point utama sahaja. Beberapa perincian kisah yang berlaku tidak saya catatkan bagi menjaga hak privacy dan aib individu-individu yang terlibat. Dalil-dalil disebutkan saya nyatakan secara ringkas sahaja kepada beliau, tetapi saya catatkan dengan penuh dalam artikel ini.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tepat sekali petua dan pepatah orang-orang lama : Sesal dahulu pendapatan, Sesal kemudian tiada gunanya. Pepatah ini agak tepat dengan suasana yang sedang berlaku ini.
Saya ulangsorot sikit, Rasululullah Saw. berpesan calon isteri hendaklah memiliki dasar pendidikan agama dan berakhlak baik karena wanita yang mengerti agama akan menjaga dirinya seterusnya mengetahui tanggung jawabnya sebagai isteri dan ibu. Sebagaimana sabda Baginda :
Dari Abu Hurairah rhu. dari Nabi Saw., Baginda bersabda : “Perempuan itu dinikahi karena empat perkara, karena hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan karena agamanya, lalu pilihlah perempuan yang beragama nescaya kamu bahagia”.
Hadis sahih Muttafaqun ‘Alaihi
Dalam hadits di atas, Baginda Saw. menekankan pada sisi agamanya dalam memilih isteri berbanding dengan harta, keturunan, bahkan kecantikan sekalipun.
Demikian pula perintah Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Kariim :
“Dan janganlah kamu nikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman. Sesungguhnya wanita budak yang Mukmin lebih baik dari wanita musyrik, walaupun ia menarik hatimu. Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita mukmin) sebelum mereka beriman. Sesungguhnya budak yang mukmin lebih baik dari orang musyrik walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan keampunan dengan izinNya. Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada manusia supaya mereka mengambil pelajaran”.
Surah Al Baqarah (2) : ayat 221
Begitulah yang sepatutnya diperbuat dahulu. Namun, barang yang lepas tak guna dikenang. Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata terimalah padahnya, terlajak perbuatan terimalah akibatnya.
Perihal kemuliaan akhlak merupakan perkara yang sangat diberatkan dalam Islam untuk memilih bakal suami dan isteri. Ini dijelaskan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur’an ul Jamiil :
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula) …’.
Surah An Nur (24) : ayat 26
Dan secara lebih tegas lagi, Allah Swt. menyebutkan dalam ayat berikut :
“Lelaki penzina tidak boleh menikah kecuali dengan wanita penzina atau wanita musyrik. Wanita penzina tidak boleh dinikahi kecuali oleh lelaki penzina atau lelaki musyrik. Dan hal itu diharamkan untuk orang yang beriman”.
Surah An Nur (24) : ayat 3
Dalam kes ini, banyak pilihan dan keputusan telah dibuat. Banyak perkara telah diatur dan telah siap pun. Cuma tahap paling akhir yaitu, sama ada tuan mahu meneruskan atau membatalkan nikah itu sahaja setelah mengetahui hal sebenar. Inilah jua tahap paling kritikal. Yang pening sekarang adalah tuan disebabkan hal-hal seperti disebutkan. Jadi, ada beberapa alterntif yang tuan boleh buat, yang dapat saya cadangkan.
Dalam menjalani proses kehidupan rutin sehari-hari, telah menjadi fitrah manusia, tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap. Malah hampir tiada sesiapa pun yang tidak pernah berbuat silap dan dosa. Yang membezakan hanyalah tahap dan jenis kesilapan itu sahaja.
Begitulah yang terjadi kepada tunang tuan. Penyebabnya pun berbagai-bagai faktor, yang tak wajar diperpanjangkan perbicaraannya disini. Harus diingat, apa yang terjadi itu tak dapat nak diperbetulkan semula, kitaran masa takkan dapat diputar kembali ke belakang. Hal yang berlalu itu, biarlah ia pergi sebagai kenangan dan pengalaman sama ada manis atau pahit. Yang rosak kita sesali dan yang baik kita redhai dan teladani.
Fokus masa ini adalah menyelesaikan kekalutan disebabkan oleh peristiwa masa lampau, supaya dapat membentuk hidup lebih baik di masa depan. Kesilapan lalu tidak sesekali bermaksud bahawa seluruh pintu kebaikan sudah pun tertutup, tidak semestinya kita akan terus bergelumang dalam dosa kepada diri sendiri, dosa kepada orang lain dan dosa terhadap Allah Swt. tanpa ada jalan keluar lagi. Sesungguhnya pintu keampunan Allah, sentiasa ada sepertimana firmaNya :
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu (umat Islam) mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.
Surah Ali Imran (3) : ayat 31
Pasti sekali, akan sampai satu ketika, apabila melakukan menzalimi diri sendiri, perasaan bersalah itu akan terbit dan mungkin akan timbul satu perjanjian dengan diri sendiri bahawa tidak akan melakukan perbuatan itu lagi. Mohonlah ampun kepada Allah Swt. diiringi dengan iqrar taubat dengan sebenar-benar kepadaNya untuk tidak akan ulangi kezaliman dan dosa itu. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya :
“Dan Dialah (Allah) yang maha menerima taubat daripada hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang telah mereka lakukan). Dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan”.
“Dan Dia memperkenankan (doa) orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan menambah (pahala) kepada mereka dari kurniaNya. Dan orang-orang yang kafir bagi mereka azab yang sangat keras”.
Surah Asy Syuura (42) : ayat 25 dan 26
Taubat ialah kembali taat kepada Allah Swt. dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah. Setiap individu disuruh bertaubat untuk menyucikan diri dari dosa besar dan kecil, sama ada dilakukan dengan senghaja mahupun tidak. Bertaubat kepada Allah hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas kerana taubat yang tiada keikhlasan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap individu terbabit. Taubat yang terbaik adalah taubat yang penuh penyesalan, keinsafan dan rasa rendah diri kepada Allah Swt.
Apabila dikenalpasti yang dia telah benar-benar bertaubat, tiada salah untuk tuan menerima dia sebagai isteri. Perbuatan bertaubat ini adalah satu amalan mulia, tidak boleh dicela orang yang telah bertaubat dari dosa-dosanya dan mengubah diri. Orang yang telah kembali ke jalan Allah tidak sepatutnya lagi dihina malah amat wajar dibantu. Inilah intipati sabda Rasulullah Saw. :
Dari Imran bin Hussain rhu. meriwayatkan, dia berkata : Bahawasanya seorang wanita dari Juhainah datang kepada Nabi Saw. dalam keadaan mengandung kerana zinanya seraya berkata : “Wahai Nabi Allah, saya telah melakukan kesalahan hudud maka laksanakanlah ia ke atas saya”.
Rasulullah Saw. memanggil walinya seraya bersabda : “Hendaklah engkau berbuat baik kepadanya. Setelah dia telah bersalin bawalah dia kepadaku”. Wali wanita itu telah melakukan apa yang diperintahkan kepadanya. Rasulullah Saw. kemudian memerintahkan supaya wanita itu direjam dan pakaiannya diikat kuat-kuat, kemudian wanita itu direjam dan Rasulullah Saw. bersolat ke atas jenazahnya.
Umar bin Al Khattab berkata kepada Rasulullah : “Rasulullah bersolat ke atasnya sedangkan dia berzina?”.
Rasulullah bersabda : “Sesungguhnya dia telah bertaubat dengan satu taubat yang jika dibahagi-bahagikan dengan tujuh orang penduduk Madinah nescaya meliputi. Adakah engkau dapati satu taubat yang lebih utama daripada dia dengan sukarela menyerahkan dirinya kepada Allah Taala?”.
Hadis sahih riwayat Imam Muslim rh.
Sekiranya tuan memutuskan untuk teruskan pernikahan, kesediaan tuan menerima dia itu, merupakan satu sifat ideal dan mulia supaya dapat dia dibimbing ke jalan kebaikan. Mudah-mudahan hasrat murni tuan dibalasi ganjaran kemuliaan dari Allah Swt.
Akad nikah belum pun berlaku, membawa maksud tuan belum berkahwin dan tiada cerai-berai, yang ada hanyalah MoU dan janji mulut yang disebut alam pertunangan. Maka itu, tuan dan tunang masih boleh untuk meneruskan atau membatalkan hubungan. Namun baiklah juga diambilkira “Lembu dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji”. Pertimbangkanlah semua faktor sebaiknya dan tetapkanlah :
1. Sekiranya masih ada rasa inginkan kebersamaan, teruskanlah niyat untuk bernikah. Lakukanlah secara baik.
2. Sekiranya dipersetujui untuk berpisah, ia boleh juga dibuat atas sebab-sebab yang telah dinyatakan di atas. Lakukan juga secara baik dan berhemah, bukannya menyerlahkan aib orang.
Tuan pilihlah salah satu darinya, tuan mempunyai alasan paling kukuh pun untuk menjustifikasi salah satu dari pilihan itu. Apa yang telah saya nyatakan di atas mungkin boleh membantu. Buatlah Solat Istikharah (memohon petunjuk), moga Allah akan melapangkan ruang yang terbaik untuk dipilih.
Sekiranya tuan memilih untuk meneruskan perkahwinan, baik sekali tuan mengambilkira hal-hal ini :
Dalam kes tunang tuan, mesti dia betul-betul bertaubat dari perbuatan nista yang pernah dia lakukan dengan kekasihnya yang dulu. Selama belum betul dan serius bertaubat, maka kekal status dia sebagai wanita penzina, dan status ini hanya akan hilang jika dia bertaubat. Untuk mengetahui apakah dia benar bertaubat atau belum, tuan boleh melihat perubahan sikapnya, seperti sedih atau marah jika diungkit-ungkit, sangat malu jika mengingat perbuatan nistanya, berusaha melupakan kekasihnya yang dulu dan berusaha mengubah diri menjadi wanita solehah.
Rahimnya mesti kosong. Jika hamil maka ditunggu sampai melahirkan dan suci dari nifas. Saya sebutkan ini atas dasar berhati-hati kerana pengakuan dia sendiri tentang masa lampaunya dan dalil umum dari ayat Allah Swt. yang menetapkan bahawa perempuan yang perutnya berisi (mengandung), secara otomatik dia berada di dalam iddah dan, perempuan yang didalam iddah tidak boleh berkahwin. Peraturan hukum ini dinyatakan oleh Allah Swt. di dalam Al Qur'an ul Haniif :
"Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (monopause) diantara perempuan-perempuan jika kamu ragu-ragu (tentang masa iddahnya) maka iddah mereka adalah 3 bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid. Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungannya. Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya".
Surah At Talaaq (65) : ayat 4
Binalah kehidupan rumahtangga dengan penuh kerukunan dan atas dasar taqwa. Bimbinglah dia dan diri tuan sendiri ke jalan Allah. Selanjutnya jangan sekali-kali diungkit-ungkit masa lalunya. Karena orang yang sudah bertaubat itu seperti orang yang tidak pernah melakukan dosa. Perbuatan mengungkit keaiban cerita lama hanya akan merosakkan kerukunan rumahtangga, menghina dia dan pasti sekali, menonjolkan sikap tidak redha dan tidak ikhlas sebenarnya. Apabila tuan sudah menerima, terimalah sepenuhnya dengan redha dan suci hati.
Seterusnya, carikan persekitaran baru yang baik dan teman yang baik untuk rumahtangga tuan. Persekitaran baru dan baik diyakini akan mendorong tuan berdua menjadi insan salih. Lingkungan baru juga akan mendorong melupakan kisah silam dan memudahkan pembinaan hidup baru. Sekiranya dia kurang menjaga aurat, perintahkan dia untuk menutup aurat. Semoga ini dapat mengubah keperibadiannya.
Berkenaan keluarga tuan yang menolak, biarlah masa yang menentukan. Cuma, janganlah pula tuan membenci dan membuang mereka. Mereka terkejut badak dan kurang waras sekarang ini untuk menerima realiti sebegitu dalam tempoh terdekat. InsyaAllah, keikhlasan dan kemurnian hati tuan serta doa, akan dimaqbulkan Allah segala kebaikan nanti. Carik-carik bulu ayam akhirnya bersimpul jua dan keras-keras kerak nasi akhirnya lembut jua.
Wallahu a’lam. saya telah cuba membantu sebaiknya dan mendoakan sepenuh kebaikan untuk tuan. Allah jualah yang telah menetapkan urusanNya.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Nota : Individu itu setuju untuk mempertimbangkan sedalamnya cadangan dan pandangan saya. Akhir perkataan beliau adalah, beliau lebih berhasrat untuk meneruskan pernikahan itu disebalik kelam kabut yang berlaku. Sehingga kini, saya masih belum mendapat sebarang khabar berita terbaru.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Setakat inilah yang mampu saya nukilkan. Moga saya telah membantu. Yang benar itu datang dari Allah Swt. dan Rasul-Nya, semua yang tidak benar itu dari saya yang amat dhoif ini.
Wallahua’lam
سكين
والسلام
eddzahir@38
0 ulasan:
Catat Ulasan